RSS Feed

Category Archives: 04-SyaCha Abdullah

Cinta Di Sebalik Purdah – SyaCha Abdullah

Posted on

Karya picisan ini ditulis sekadar untuk memperbaiki kelemahan saya dalam bidang ini. Minta sebarang teguran jika ada sebarang kesilapan dalam karya ini. Maaf jika jalan ceritanya mengecewakan. Terima kasih.

+++++

“MAAF … adik, boleh abang bertanya?” lembut suara Izz menyapa sekumpulan kanak-kanak yang sedang leka bermain konda-kondi. Salah seorang daripada mereka sedang memegang sebatang kayu yang sehasta panjangnya. Mungkin giliran dia untuk bermain, telah hati Izz.

“Ya, ada apa yang boleh saya tolong abang?” sahut seorang daripada mereka. Yang lain hanya membatukan diri. Izz membongkokkan sedikit badannya. Dia memegang bahu budak itu.

“Abang cari rumah Tok Ketua. Adik boleh tunjukkan tak?”

“Oh, kerja senang aje tu, bang! Jom!”

Si Gempal tadi melangkah ke arah basikal yang disandarkan pada bangsal buruk berdekatan tempat mereka bermain. Rakan-rakannya turut serta mengikut tingkahnya. Masing-masing menarik basikal mereka yang terbaring tanpa ditongkatkan.

“Jauh ke rumah Tok Ketua tu, dik?”

Izz bertanya, umum. Tanpa mengajukan soalan itu untuk siapa.

“Tak jauh, bang. Abang nampak tak kat hujung sana ada simpang tiga?”

Izz mengangguk.

“Kat sana ada satu kedai. Sebelah tu rumah Mak Temah. Rumah Tok Ketua selang tiga buah rumah je daripada rumah Mak Temah,” sekali lagi Izz mengangguk.

“Haa, asyik abang je yang tanya kita orang macam-macam. Saya pula nak tanya abang.”

Si Gempal yang tadi memperkenalkan diri sebagai Fakree, bersuara.

“Fakree nak tanya apa?”

Kening Izz diangkat sedikit. Tanda teruja mahu mendengar soalan yang bakal dilontarkan.

“Abang datang dari mana? Tengok gaya macam datang dari jauh je,”

Izz tersenyum dengan soalan itu. Dia mengusap kepala Fakree, sebelah tangannya memeluk bahu Adri.

“Abang datang dari Kuala Lumpur. Datang sekejap sahaja. Ada kerja di sini.”

“Ooooo ….” serentak suara kanak-kanak lingkungan tujuh hingga sepuluh tahun itu menyahut.

+++

KAKI mereka dijejakkan di halaman Tok Ketua. Adri melangkah menghampiri pintu serambi rumah itu.

“Assalamualaikum … tok, oh atok … .”

Adri memanggil. Matanya mencari-cari kelibat Tok Ketua. Manalah tahu kut orang tua itu sudah menunjukkan dirinya.

“Waalaikumussalam. Tok kat sini. Marilah sini,” suara Tok Ketua kedengaran dari arah pangkin yang agak terselindung di belakang rumah.

Adri memberi isyarat kepada kawan-kawannya, juga Izz yang sedang menanti. Mereka semua menuju ke arah suara Tok Ketua sebaik mendapat isyarat daripada Adri.

Dari jauh, mereka dapat lihat dua susuk tubuh di pangkin. Tok Ketua dan Nek Tijah, isterinya. Selalunya, petang-petang begitu, memang pasangan ini akan menghabiskan masa bersama di pangkin ini.

Tok Ketua tidak seperti suami-suami lain di kampung ini. Mereka lebih gemar menghabiskan waktu petang mereka di Warung Pak Ramli. Berbual kosong dan bermain dam. Hanya sesekali sahaja Tok Ketua menyertai mereka. Sekadar untuk menjenguk orang kampung, seraya beramah mesra dengan mereka.

“Assalamualaikum ….”

Izz menyapa kedua-dua orang tua itu. Tangannya dihulurkan ke arah Tok Ketua. Tangan tua itu dikucup. Senyuman tanda menyapa dihulurkan buat Nek Tijah. Hanya kumpulan kanak-kanak itu sahaja yang mengucupi tangan kedua-dua mereka, Tok Ketua dan Nek Tijah.

“Waalaikumussalam. Kamu ni …,” kata-kata Tok Ketua terhenti. Riaknya seperti sedang mengingatkan sesuatu.

“Izz Rizqin. Anak kepada Rahimi.”

Izz memperkenalkan dirinya. Tidak mahu orang tua itu pecah kepala memikirkan siapa dirinya.

“Haaa … Anak Dato’ Rahimi!”

Izz tersenyum. Mujur Tok Ketua kenal dengan ayahnya. Mudah untuk dia meminta bantuan Tok Ketua sepanjang dia di sini nanti.

“Dia ni datang bawa hajat besar, Jah.”

Tok Ketua memberitahu isterinya. Izz tersengih melihat senyum Nek Tijah yang seolah-olah mahu mengusik.

“Eloklah tu. Haa, pergi masuk dulu. Mandi siap-siap. Maghrib nanti ikut tok ke surau. Sekejap lagi nek siapkan bilik tidur untuk kamu.”

Nek Tijah memberi arahan. Mungkin mengerti lelah Izz setelah menempuh perjalanan. Bukanlah jauh mana pun, daripada Kuala Lumpur ke Melaka. Hanya mengambil masa dua jam. Cuma, mungkin kerana mengerti yang Izz tidak pernah menggunakan pengangkutan awam. Maklum sahajalah, anak orang berada. Punya pemandu sendiri untuk ke mana sahaja. Tetapi berbeza untuk kali ini.

“Kamu semua balik dulu ya? Nanti Maghrib jangan lupa datang solat di surau. Sama-sama kita meramaikan jemaah ya?”

Tok Ketua pula memberi arahan, untuk kumpulan kanak-kanak tadi. Mereka hanya mengangguk. Mereka memang selalu muncul di surau. Selalunya, usai solat berjemaah, mereka akan mengaji Al-Quran. Ustaz Dahlan yang mengajar mereka.

“Abang, nah ambil beg abang. Nanti kita jumpa di surau ya?”

Adri menghulurkan beg Izz yang ditumpangkan di dalam bakul pada basikalnya. Izz menyambut huluran itu.

“Okey. Malam nanti kita jumpa di surau ya?”

“Abang, kita kan orang Islam. Lagi elok kalau kita gunakan perkataan InsyaAllah. Sebab kalau Allah tak izinkan, sesuatu perkara itu takkan berlaku,” lancar penjelasan keluar daripada mulut Firas. Izz tersenyum.

“InsyaAllah. Kalau Allah izinkan, nanti kita jumpa di surau ya. Haa, nah. Ini ada sikit bahagian untuk adik-adik. Terima kasih sebab tolong tunjukkan abang jalan ya,” helaian not berwarna merah dihulurkan kepada kanak-kanak itu.

“Eh, tak apalah abang. Kami ikhlas nak bantu abang. Lagipun, kalau bukan kami, siapa lagi yang nak tolong?”

“Tak apa. Ambillah. Kata orang, rezeki jangan ditolak.”

Mendengar kata-kata Izz, Fakree mengambil helaian not itu. Mewakili teman-temannya.

“Terima kasih abang,” serentak mereka mengucapkan terima kasih kepada Izz. Izz mengangguk, tanda menyahut.

“Tok, kami balik dulu ya. Assalamualaikum Tok, abang.”

Izz mengekori langkah Tok Ketua menuju ke arah pintu dapur rumah sebaik sahaja kelibat kanak-kanak itu hilang dari pandangan mereka.

+++

IZZ duduk di tangga serambi. Betul kata ayah, tangga rumah Melaka memang menarik binaannya. Kata Tok Ketua, sekarang sudah tidak banyak tangga seperti itu. Maklumlah, umur semakin meningkat, tenaga semakin kurang. Susah jika rumah terlalu banyak tangga.

Fakree, Adri, Firas dan tiga orang lagi rakan mereka leka bermain di halaman rumah Tok Ketua. Sebentar tadi Izz menyertai mereka.

“Kamu tak mahu jalan-jalan keliling kampung ni, Izz?”

Nek Tijah menegur Izz yang sedang ralit memerhati pemandangan di sekeliling rumah itu, dulang yang berisi secawan kopi diletakkan di atas tangga. Di hadapannya terdapat beberapa batang pokok kelapa yang tinggi menggapai langit. Pelbagai jenis pokok bunga yang hampir menjadi pagar, menceriakan lagi laman itu. Kelopak-kelopak bunga yang mekar sesekali bergoyang bersama daun-daunnya apabila ditiup angin. Merah, kuning, oren, merah jambu disatukan pula dengan warna daunnya. Kombinasi warna yang cukup menarik!

“Petang sikit kut, nek. Saya jalan dengan budak-budak ni nanti. Tok tak balik lagi ke, nek?”

“Dah balik. Ada kat dalam tu. Solat Zohor. Tadi tak sempat agaknya.”

Izz memandang ke arah muka jam pada pergelangan kanannya. Jam 3.45 petang, Asar hampir menjenguk. Kopi yang dihidang, dihirup perlahan. Sekejap-sekejap, angin bertiup lembut. Rambut Izz yang sedikit panjang pada bahagian jambul bergoyang-goyang angkara sang angin.

+++

DERINGAN telefon bimbit mengejutkan Izz. Dia terlelap di atas kerusi rotan sebaik sahaja pulang daripada kebun getah. Sengaja Tok Ketua mengajaknya untuk pergi menoreh bersama. Biar dia rasa bagaimana kehidupan orang di kampung.

“Hello …,” serak basah suara Izz menyahut panggilan.

“Hei, tidurlah tu! Izz Rizqin, wake up!”

Suara Datin Faridah lantang menerjah masuk ke ruangan telinga Izz. Izz berdehem membetulkan suaranya. Memang pantang ibunya jika dia mahupun adik-adiknya tidur ketika matahari mulai tegak.

“Ehem … mum. Sorry mum. Izz tertidur sekejap tadi. Tak sengaja.”

Izz memperlahankan suara. Cukup untuk didengari mereka berdua sahaja.

“Mum hantar kamu ke sana untuk cari jodoh, bukan suruh tidur! Dah jumpa calonnya?”

Izz menggaru kepala yang tidak gatal. Mukanya dicemberutkan. Baru dua hari dia tiba di kampung ini, berjalan di sekeliling kampung pun belum sempat, masakan hendak mencari calon isteri. Cari isteri bukan macam cari ikan di pasar!

“Izz Rizqin, are you hear me?”

“Yes mum. Izz dengar. Nantilah mum. Izz tak sempat nak keluar rumah lagilah. Bagi Izz masa lebih sikit ya?”

“Mum dah beri kamu tempoh tiga bulan, kelmarin. Dua bulan dah berlalu. Tinggal lebih kurang 30 hari sahaja lagi. Kalau kamu lambat, kamu pergi cari rumah sendiri. Mum tak mahu tinggal sebumbung dengan bujang terlajak!”

Izz tergelak mendengar ugutan daripada ibunya itu. Kedengaran juga tawa halus Datin Faridah di hujung talian. ‘Mum, memang suka mendesak. Tapi, mum tetap memahami anak-anaknya,’ hati Izz berbisik.

Talian ditamatkan oleh Datin Faridah. Izz menatap skrin telefon bimbitnya. Gambar seorang gadis menghiasi skrin kecil itu. Izz tersenyum sendiri. Dulu dia pernah bawa gadis itu pulang untuk bertemu dengan ibu dan ayah. Tetapi sayangnya, gadis itu hanya mahu mengambil kesempatan di atas kemewahan keluarga Izz.

+++

“AKU beri amaran pada kau, jauhi tunang aku,” tiba-tiba seorang lelaki memberi amaran pada Izz yang sedang menikmati hidangan tengaharinya. Izz terkesima. Namun, dia cuba untuk berlagak tenang. Dia juga berusaha untuk tidak menegangkan keadaan.

Izz bangkit dari duduknya. Berdiri di hadapan lelaki yang tubuhnya sedikit sasa berbanding Izz. Belakang lelaki tersebut kelihatan dua orang lagi yang agak sasa juga. Izz menghulurkan tangan untuk bersalam. Lelaki itu terkejut.

“Saya Izz Rizqin. Ini Saufi, kawan baik saya.”

Izz menghalakan tangannya ke arah Saufi yang tadi duduk bertentangan dengannya. Lelaki yang berbadan sasa tadi memandang Saufi yang tersenyum mesra.

“Duduk dulu. Kita bincang elok-elok. Saya sendiri belum kenal saudara, tapi saudara mungkin mengenali saya. Saudara ni, tunang kepada siapa ya?”

Izz menarik tangan lelaki itu untuk duduk di sebelahnya. Dua lelaki yang mengiringi tadi hanya berdiri.

“Saya Nazri. Tunang kepada Herlina,” mendatar suara lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Nazri itu. Izz terpaku. Antara percaya dengan tidak. Tidak mungkin Herlina sudah bertunang. Kata Herlina, cintanya hanya untuk Izz. Izz menggeleng berkali-kali. Sukar untuknya menerima apa yang disampaikan oleh Nazri. Saufi memegang bahunya.

“Beginilah. Kita bersua enam mata nanti. Saya nak dengar sendiri daripada mulut Lina.”

Nazri mengangguk setuju. Dia menghulurkan tangan menyalami Izz dan Saufi. Begitu juga dua orang lelaki yang tidak diketahui namanya it. Saufi menepuk bahu Izz perlahan dan berkali-kali. Dia tahu apa yang bermain di fikiran Izz sekarang. Dia juga tahu, cinta Izz terhadap Herlina sangat mendalam. Izz berupaya mengukir senyuman.

“Izz … Izz …,” suara Tok Ketua menyedarkan Izz daripada lamunannya. Dia tersenyum ke arah Tok Ketua.

“Kamu ada masalah ke?” Izz tersenyum lagi. Tidak tahu bagaimana mahu menjawab soalan Tok Ketua. Dia menarik nafas dalam-dalam.

“Mum baru sekejap telefon …,” kata-katanya terputus di situ. Tok ketua menepuk bahunya. Dia mengerti perasaan anak muda ini.

“InsyaAllah. Kalau jodoh kamu dengan gadis yang ayah kamu maksudkan, kamu akan jumpa dia nanti.”

+++

IRIS mengeluarkan semua baju-baju daripada beg yang dibawanya tadi. Banyak helaian yang sudah tidak kemas lipatannya. Iris membersihkan almari usang peninggalan arwah ayah. Bilik itu sudah tidak didiami lagi. Emak tidak lagi tidur di bilik itu kecuali apabila rindunya pada arwah ayah menusuk tepat di kalbu.

Selama tiga tahun ketiadaan Iris di rumah, pelbagai perkara yang adik-adik ceritakan tentang emak. Mereka kata, emak menangis kerana rindukan arwah ayah, emak menangis kerana rindukan Iris. Kadang-kadang, emak menangis lagi kerana terlalu rindukan arwah nenek. Emak anak bongsu dan sangat rapat dengan arwah nenek sehingga orang tua itu pergi pada usia Iris 18 tahun.

Iris mengemaskan semula lipatan pakaiannya. Lantas menyusunnya ke dalam almari usang yang sudah dibersihkan itu. Sungguhpun dia hanya bercuti selama sebulan, atas arahan Tuan Pengarah, namun, pakaiannya harus disusun rapi. Sehelai, dua helai, tiga helai …

Tiba-tiba, sepucuk surat terjatuh ke atas lantai. Iris mengambilnya semula. Dia tidak tahu siapa yang meletakkan surat itu ke dalam begnya. Tetapi, dia kenal dengan tulisan yang terpampang di atas sampul surat itu. Kak Iris, siapa sahaja yang memanggil dia dengan nama itu. Iris tersenyum sendiri.

Iris meletakkan surat itu di atas meja solek. Belum ada masa untuk diluangkan kepada si penulis surat itu. Iris menyambung kerjanya. Hampir selesai, Iris terjumpa pula sebuah kotak baldu berwarna merah hati. Tak mungkin!

Iris bangkit mencari semula surat yang diletakkan di atas meja solek sebentar tadi. Hati Iris berdebar. Degup jantungnya sudah mula tidak teratur. Iris membawa surat dan kotak baldu yang berada di tangannya ke arah katil. Dia duduk di birai katil. Perlahan dia cuba membuka sampul surat itu. Tiba-tiba, bunyi pintu yang diketuk oleh Irdina mematikan pergerakan Iris.

“Kak, jom makan. Dina dah siap masak. Adik-adik tengah hidangkan. Jom.”

Senyum Irdina dibalas oleh Iris. Anggukan mengiringi senyumnya. Irdina merapatkan kembali pintu bilik Iris. Iris bangkit sebaik sahaja adiknya itu berlalu pergi. Sekali lagi, surat itu ditempatkan di atas almari solek, kali ini bersama dengan kotak baldu tadi.

+++

“KAK, Dina nampak, macam akak pegang something dalam bilik tadi. Apa tu?”

Dina menduga. Dia tersengih-sengih. Sengihannya memberi isyarat kepada otak Iris yang adiknya itu sedang menggonjaknya.

“It’s just a box, dear.”

Iris tersenyum.

“Kotak apa, kak? Kotak cincin eh?”

Irsyad menyampuk tiba-tiba. Anak ketiga dalam keluarga itu memang tidak sabar mahu melihat kakak-kakaknya naik pelamin. Katanya, dia bosan menjadi anak tunggal lelaki. Jika kakak-kakaknya sudah berkahwin, sudah tentu dia ada teman untuk berborak perihal dunia lelaki.

Tawa Irdina membolehkan Irsyad membuat telahan berikutnya. Irsyad tersengih memandang Iris. Iris buat tidak tahu. Malas mahu melayan karenah dua adiknya ini. Ini baru dua. Belum lagi Ibtihal dan Ibtihaj menyertai mereka. Si kembar itu, jika sudah menggiat, sampai naik kejang pipi Iris menahan senyum.

“Okey, Irsyad tahu kotak apa yang Kak Iris dapat!”

Irsyad ketawa terkekeh-kekeh. Iris menggeleng. Emak hanya tersenyum bahagia.

“Kak, petang ni kita bawa adik dan mak jalan-jalan keliling kampung ya?”

Irsyad menyuarakan hasratnya. Sebenarnya dia yang mahu menghabiskan masa bersama kakaknya yang seorang itu. Iris mengangguk tanda setuju.

“Kak Iris nak tidur sekejap lepas solat ni. Nak masuk Asar nanti, Irsyad tolong kejutkan, ya?”

“Beres!”

+++

IRIS menghidupkan enjin Proton Exora miliknya. Sebenarnya, emak yang belikan kereta itu untuk Iris. Hasil duit pemberian Iris setiap bulan yang emak kumpulkan, sedikit demi sedikit. Emak buat untuk bayar wang pendahuluan. Entah kenapa emak tidak menggunakannya, Iris sendiri tidak tahu.

Janji Iris untuk membawa emak dan adik-adiknya mengelilingi kampung perlu dilaksanakan walaupun lelah masih terasa. Iris tersenyum melihat emak dan adik-adiknya yang baru terjengul di muka pintu.

“Cepat … cepat. Siapa lambat tinggal,”

Irdina berseloroh dengan emak dan adik-adiknya. Iris tersenyum lagi. Kelihatan emak dan adik-adiknya terkocoh-kocoh menyarung selipar masing-masing. Iris memandang selipar tua Mak Temah, emaknya. Entah sudah berapa tahun agaknya emak tidak tukar selipar. Dipandang pula ke arah selipar di tapak kaki Irdina, nampak seperti baru beberapa kali disarung. Mungkin dibeli untuk menjadi kelengkapan Irdina di kolej. Selipar pada kaki Irsyad, Ibtihal dan Ibtihaj masing-masing di pertengahan usia. Iris menggeleng. Dia sudah bekerja, tetapi, kenapa kehidupan keluarganya masih sama seperti saat Iris masih menuntut di kolej dahulu? Iris bingung sendiri.

Bunyi pintu kereta dirapatkan mematikan lamunan Iris. Dia melemparkan senyum buat Mak Temah yang duduk di sebelahnya. Irsyad dan Irdina di kerusi tengah, sementara si kembar duduk di kerusi paling belakang.

“Nak pergi mana sekarang ni?” soalan Iris lemparkan buat keluarganya. Mak Temah memandang ke arah anak-anaknya di tempat duduk belakang.

“Mana je. Kami tak kisah.”

Iris mengangguk. Pemanduannya dimulakan. Tempat pertama dituju ialah sungai di hujung kampung. Sungai tempat dia, Irdina dan Irsyad menghabiskan waktu petang bersama arwah ayah mereka.

Iris memasukkan kakinya ke dalam air. Pandangannya dilemparkan ke arah sawah yang terbentang di hadapannya. Hijau dan mendamaikan. Jika di bandar, Iris hanya dapat melihat bangunan-bangunan yang megah berdiri. Masing-masing mencakar langit!

“Best kan duduk kampung?”

Irsyad yang duduk di sebelah Iris memandang kakaknya itu. Mahu penjelasan selanjutnya.

“Iyalah. Di kampung, kita boleh tengok pokok-pokok yang menghijau. Ada sungai. Ada pokok kelapa yang tinggi. Dan yang paling penting, ada emak!”

Iris memeluk Mak Temah yang baru sahaja melabuhkan punggungnya di sebelah Iris. Mak Temah mengusap kepala Iris yang dilentokkan ke bahunya. Petang itu, mereka menghabiskan masa bersama di sungai itu. Pelbagai kenangan di singkap semula. Iris bahagia.

+++

MAK Temah merenung anak gadis sulung keluarga yang sedang leka memilihkan pakaian sesuai untuk dirinya. Sepasang demi sepasang baju kurung Iris capai. Kemudian ditempatkan semula di tempat asalnya. Mungkin tidak sesuai dengan aku, telah Mak temah sendiri.

“Tak payahlah beli baju mak sekarang. Duit Iris tu, buat belikan barang untuk adik-adik je. Lagipun, adik-adik lagi perlukan duit tu,” setelah lama menyusun ayat, akhirnya, Mak Temah berjaya menyuarakan rasa hatinya. Bukan tidak sudi menerima pemberian anaknya. cuma tidak mahu menyusahkan gadis itu.

Iris tersenyum di sebalik purdahnya. Dari redup matanya, Mak Temah dapat mengagak Iris sedang tersenyum. Dia membalas senyuman Iris.

“Mak, adik-adik, ada bahagian lain untuk mereka. Ini bahagian mak. Mak kena ambil juga.”

“Iris … Iris terlalu baik dengan mak.”

“Emak … sungguhpun emak hanya ibu tiri kepada Iris. Tapi, emak tetap emak Iris. Lagipun, Iris dah tak ada ummi, dah tak ada ayah. Hanya mak tempat Iris menumpang kasih sekarang,” kata-kata Iris berjaya mengalirkan air mata Mak Temah yang sejak tadi sudah bergenang. Iris betul-betul mengikut sifat umminya. Baik luaran mahupun dalaman, Iris persis ibu kandungnya.

Usai membeli pakaian untuk Mak Temah dan adik-adiknya. Iris membawa mereka untuk menikmati makan tengahari di sebuah restoran. Ibtihal dan Ibtihaj yang paling teruja. Mereka tidak pernah menjejakkan kaki di mana-mana restoran pun.

“Mak Temah!”

Adri menyapa Mak Temah yang sedang berbual dengan anak-anaknya.

“Eh, Adri. Firas dan Fakree pun ada?”

“Aah. Ni, Abang Izz ajak kami jalan-jalan kat sini. Bosan katanya duduk terperap di rumah,” petah Firas memberi hujah. Izz menghadiahkan senyumnya untuk Mak Temah sekeluarga. Tangannya dihulurkan kepada Irsyad, menyalaminya.

Sekejap pandangan mata Izz dilemparkan ke arah setiap wajah di meja itu. Tiba giliran memandang Iris, dia cuba mengakses raut wajah gadis itu. Namun gagal. Pandangan mata mereka bertaut seketika. Iris menundukkan pandangannya sebaik tersedar akan tingkahnya, juga tingkah Izz. Izz juga tersedar daripada perlakuannya itu.

“Kami minta diri dulu ya, Mak Temah,” sekali lagi tangannya dihulurkan kepada Irsyad. Kemudian mereka berlalu pergi.

Sebaik keluar daripada restoran …

“Abang kata nak makan!”

Fakree menekan sedikit nada suaranya. Izz mengusap kepala anak kecil itu.

“Kita makan kat tempat lain ya?”

Izz tergelak kecil melihat wajah cemberut tiga kanak-kanak itu. Mereka sudah dianggap seperti adik mereka sendiri.

+++

MALAM itu, Izz mencapai komputer ribanya yang selalunya hanya disentuh ketika dia hendak melakukan tugas. Dia meraba ke dalam poket beg mencari alat jalur lebar yang diselitkan di situ.

Dia mula mengakses ke laman Facebooknya. Mencari sesuatu. Alamak, dah terpadam! Izz menepuk dahinya. Dia menggerakkan kursor ke arah ikon Yahoo! Mesengger yang terpapar pada skrin.

Nama Izzah Durrani dicari dan diklik sebaik terlihat ikon menandakan Izzah Durrani berada di atas talian ketika itu..

‘Acu, hint abang lagi!’ – Izz Rizqin.

‘Oits … dah la masuk rumah orang tak beri salam! Tiba-tiba minta hint. Apa kes?’ – Izzah Durrani.

‘Maaf! Assalamualaikum, Acu. Boleh bagi abang hint pasal that girl lagi tak?’ – Izz Rizqin.

‘Haa … macam nilah abang saya! Hint? No way! Kelmarin Acu nak hint, abang menyombong. Rasain kamu! Cari sendiri jodohnya!’ – Izzah Durrani.

‘Please, dear. I’m begging you.’ – Izz Rizqin.

‘Dah jumpa ke?’ – Izzah Durrani.

Belum sempat membalas perbualan adiknya, Izz terpaksa bangkit dari katil, menuju ke pintu sebaik terdengar bunyi ketukan dari luar bilik.

“Mari minum di serambi. Tok ada perkara nak bincang dengan kamu.”

Izz mengangguk. Sebaik Tok Ketua menghilangkan diri, Izz masuk semula ke dalam bilik. Baju sukan yang seringkali disarung untuk mengelak dirinya daripada kesejukan, dicapai.

Izz melangkah ke arah tempat yang Tok Ketua sebutkan sebentar tadi. Kelihatan Tok Ketua sedang menikmati kopi panas ditemani beberapa ekor kucing peliharaannya. Dia menghampiri Tok Ketua.

“Tok …,” Izz duduk di atas anak tangga di serambi, sementara Tok Ketua duduk di atas pangkin berhadapan dengan tangga. Tok Ketua menoleh.

“Minum dulu, Izz.”

Izz mengangkat cawan kopi yang terhidang berdekatan dengannya. Perlahan dia menghirup kopi panas itu.

“Tengahari tadi, ayah kamu telefon Tok. Dia bertanya tentang kamu.”

Hirupan Izz terhenti. Dia meletakkan semula cawannya ke tempat asal.

“Dad tanya pasal apa?”

Tok Ketua hanya memberi isyarat, Izz faham dengan isyarat tersebut. Izz mengeluh. Dia bersandar di jenang pintu.

“Masa yang tinggal tak lama lagi, Tok.”

Izz meluahkan. Kerisauannya memuncak. Tinggal lagi 2 minggu masa untuk dia mencari jodohnya.

“Istikharahlah. Minta petunjuk daripada Allah. Jangan terburu-buru.”

Tok Ketua memegang bahu Izz. Izz mengangguk. Dia bangkit sebaik Tok Ketua menghilangkan diri ke dalam bilik tidur. Komputer riba dicari semula.

‘Dah offline? Awal sungguh!’

+++

“Firas!”

Izz berteriak memanggil Firas yang sedang melintasi laman rumah Tok Ketua. Dia melambai ke arah Firas, isyarat memanggil kanak-kanak yang sudah dianggap seperti adiknya. Firas mendekati Izz.

“Ada apa, bang?”

“Firas nak ke mana?” soalan Firas dijawab dengan soalan daripada Izz.

“Kedai Wak Dol. Mak suruh beli barang-barang ni.”

Firas menunjukkan senarai barang yang dikirim oleh ibunya. Izz terkejut. Banyak!

“Seorang?” jawapan Firas hanya dengan anggukan. “Mari abang temankan.”

Izz menyarung seliparnya. Firas tersengih sendiri melihat telatah Izz. Izz mencemberutkan wajahnya melihat sengihan daripada Firas.

“Kenapa?”

“Abang nak ikut ni … ada udang dalam mee ke?” kata-kata Firas membuatkan Izz malu sendiri, tetapi cepat dia menangkisnya dengan tawa. Firas turut tergelak sama. ‘Macam mana budak kecil ni boleh tahu? Takkan ada sixth sense kut?’

+++

FIRAS menghulurkan senarai barang yang digenggam rapi sejak dari rumah tadi kepada pekerja Wak Dol. Sementara menunggu, Firas duduk di atas pangkin yang terletak di luar kedai bersama Izz.

Sedang leka berborak, tiba-tiba Izz terdiam seketika. Pandangan matanya memandang ke arah sesuatu. Firas mengikut arah pandangan Izz. Seorang perempuan berpurdah sedang melangkah ke arah kedai Wak Dol. Mungkin atas tujuan yang sama dengan Firas. Ada seorang lelaki bersamanya.

Gadis itu menundukkan pandangannya sebaik perasan bahawa Izz sedang memandangnya. Lelaki di sebelahnya melemparkan senyuman kepada Izz dan Firas.

“Assalamualaikum,” sapa si lelaki. Tangannya dihulur ke arah Izz.

“Waalaikumussalam.”

Izz menyambut huluran tangan lelaki itu. Si gadis melangkah masuk ke dalam kedai Wak Dol. Sementara si lelaki tetap berdiri bersama Izz yang sedang terpaku dan Firas yang sudah tersengih menampakkan giginya yang rongak.

“Itu kakak saya. Iris. Sedang bercuti. Tapi tak lama lagi nak balik KL dah,” terang Irsyad tanpa dipinta. Izz mengangguk.

‘Erkkk … KL?’

Izz tiba-tiba tersedar sesuatu. Diakah?

“Jom, Irsyad. Jumpa lagi Firas, Encik …,” kata-kata Iris terhenti di situ.

“Ni Abang Izz, datang dari KL juga, Kak Iris. Abang, ni Kak Iris. Yang hari tu kita jumpa di restoran. Anak Mak Temah.”

Izz tersenyum. Dia mengangguk lagi.

“Okey. Kak Iris dan Abang Irsyad balik dulu ya, Firas. Encik Izz, kami minta diri dulu,” lembut suara di sebalik purdah itu. Izz diam seribu bicara. Irsyad dan Firas hanya tersengih. Irsyad mengenyitkan sebelah matanya ke arah Firas kemudian menuruti langkah kakaknya itu.

+++

“KAK, handsome kan Abang Izz? Irsyad rasa, kalau dia jadi suami akak … confirm!”

“Apa yang confirm?”

“Perghhh … mesti anak-anak akak comel-comel belaka!”

Irsyad menyambung katanya tadi.

“Irsyad! Ke situ pula perginya.”

“Irsyad nak tanya, akak jawab jujur ya?”

“Pernah ke akak tak jujur dengan adik?”

“Soalan ni, soalan cepu mas. Mungkin akak payah nak jawab kut.”

Irsyad mengangkat bahu. Iris mengangkat kening tanda memberi peluang untuk adiknya itu melontarkan soalan yang berbuku di hati.

“Apa yang akak rasa, setiap kali mata Abang Izz bertentang dengan mata akak?”

“Adik!”

“See! Irsyad dah kata. Mesti akak tak mahu jawab.”

Irsyad menarik muka masam. Iris melepaskan nafas, kuat. Mungkin keliru, sama ada hendak memberikan jawapan atau tidak.

“Kalau tak mahu jawab, tak apa. Mungkin akak belum sedia.”

“Entahlah, dik. Akak pun tak tahu sebenarnya. Macam-macam perasaan ada dalam hati ni. Gementar, degupan jantung ni tiba-tiba jadi laju. Akak rasa macam pernah jumpa dia. Tapi akak tak ingat di mana.”

Irsyad mengangkat sebelah keningnya. Dia terangguk-angguk mendengar kata-kata kakaknya itu.

“Irsyad rasa?”

Irsyad menoleh ke arah kakaknya.

“Rasa apa pula?”

“Pandangan Irsyad?”

“Akak tahu apa yang patut akak lakukan,” sekali lagi Irsyad mengenyitkan matanya, kali ini untuk kakaknya.

+++

IZZ berteleku di atas sejadah. Sudah dua malam, dia bermimpi akan gadis itu. Entah, dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak mentafsirkan mimpinya. Usai solat asar di surau petang tadi, Izz bertemu dengan Ustaz Dahlan untuk bertanya tentang makna mimpinya.

Dia keliru dengan jawapan daripada Ustaz Dahlan. Kata Ustaz Dahlan, mungkin itu petunjuk yang Allah kurniakan kepada Izz selepas Izz memintanya melalui istikharah. Dalam masa yang sama, Ustaz Dahlan kata, kalau permintaannya itu datang dari hati yang bernafsu, mungkin, mimpi yang dia dapat itu, hanya sekadar permainan tidur.

‘Ya Allah, hanya pada-Mu hamba mengadu. Kaulah yang Maha Rahim, kurniakanlah hamba petunjuk-Mu. Kau juga yang Maha Latiff, lembutkanlah jalan kepayahan yang perlu hamba terokai ini. Amiiin Ya Allah.’

Tanpa sedar, air mata Izz menitik. Lelah dalam pencariannya.

+++

Telefon bimbit Izz berdering, tanda ada panggilan masuk daripada ibunya.

“Hello, mum,” lemah suara Izz menerobos masuk ke ruang pendengaran wanita itu.

“Are you okay, my dear?”

“Yeah, i’m good.”

“How?”

“Izz dah give up, mum. Izz tak tahu apa yang patut Izz cari sekarang ni.”

Luahan Izz merendahkan tahap keterujaan Datin Faridah. Hajat untuk menyambut menantu dalam masa terdekat, mungkin tidak akan kesampaian.

“Tak apalah, sayang. Kalau Izz dah tak mampu nak teruskan, baliklah. Jangan paksa diri.”

“Thanks, mum.”

Menitik lagi air mata lelakinya. Dia tahu ibunya kecewa dengan dirinya. Silapnya juga kerana tidak mencari cinta di zaman dia belajar dahulu. Silap dia juga kerana terlalu kecewa setelah kehilangan Herlina dahulu. Izz meraup wajahnya. Fikirannya berkecamuk. ‘Dah tentu hati mum perit dengar khabarku tadi.’

+++

IRIS yang sedang bersantai bersama adik-adiknya, tiba-tiba bangkit.

“Kak Iris nak ke mana?”

Ibtihal bersuara.

“Nak ke bilik sekejap.”

Adik-adiknya mengangguk mendengar jawapan itu. Iris melangkah perlahan. Entah kenapa, tiba-tiba dia teringat tentang surat yang yang terselit di celahan pakaiannya kelmarin. Surat tersebut masih elok terletak di atas meja solek bersama kotak berwarna merah baldu itu.

Iris mencapai surat itu dan melangkah ke birai katil. Punggungnya dihulurkan sedikit. Perlahan Iris membuka lipatan surat yang diterimanya.

‘Assalamualaikum, Kak Iris. Dah siap kemas pakaian ya? Rajin sungguh Kak Iris. Sebenarnya, Izzah tulis surat ni atas satu tujuan. Untuk beritahu akak, yang sebenarnya, ada seorang lelaki sedang dalam misi mencari cinta dihantar ke kampung akak. Mum and dad yang hantar. Sebenarnya, mum dan dad dah lama berkenan nak jadikan akak sebagai menantu mereka, so that, mereka hantar lelaki tu untuk cari akak. Izzah pun suka kalau akak jadi kakak ipar Izzah. Sejuk mata Izzah. Oh ya, cincin ni, sebagai tanda yang kami dah ‘cop’ akak jadi a part of our family. Terima ya.’ –Izzah Durrani.

Iris tersenyum sendiri. Izzah Durrani, memang nakal! Selalu sahaja dia menyakat Iris. Tetapi, siapa lelaki itu? Iris bingung.

+++

PETANG itu, Iris duduk di pangkin. Ibtihal dan Ibtihaj sedang menikmati zaman kanak-kanak mereka. Irdina melayan kehendak adik-adiknya itu. Irsyad dan Mak Temah menyertai Iris di pangkin.

“Mak …,” suara Iris dimatikan. Mak Temah menoleh. Irsyad turut mengalihkan pandangannya ke arah Iris.

“Nah …,” surat yang Iris terima itu dihulurkan. Pantas sahaja Irsyad menyambut huluran itu, mewakili emaknya. Dia membuka dan membacanya, tekun!

“Wah! Kak Iris rasa siapa?”

“Entahlah, dik.”

Iris diam seketika. Mak temah dan Irsyad turut menyepi.

“Iris dah buat istikharah …,”

“Jawapannya?” serentak Mak Temah dan Irsyad bersuara.

“Kak Iris rasa dia. Mungkin sebab tu, pagi tadi tiba-tiba Kak Iris tergerak hati nak baca surat ni. Walhal, Kak Iris terima surat ini dah lama. Sejak Kak Iris sampai sini kelmarin.”

“Jadi?” jawapan Iris hanyalah dengan mengangkat bahunya. Daripada penerangan Iris sebentar tadi, Irsyad dapat mengagak siapa lelaki yang Iris maksudkan.

“Iris buntu mak. Takkan Iris yang nak terhegeh-hegeh cari dia.”

Mak Temah menepuk perlahan paha anak gadisnya itu.

+++

IZZ menyarung jeans lusuh berserta kemeja-T seusai mandinya. Fakree, Adri dan Firas sudah lama menunggu di ruang tamu. Izz menunjukkan wajahnya di ruang tamu setelah hampir 15 minit bersiap. Hari ini hari terakhir dia di kampung ini. Esok dia akan pulang ke Kuala Lumpur. Jadi, hari ini dia akan mengahabiskan masanya bersama tiga kanak-kanak yang banyak membantunya itu.

“Jom!”

Suara Izz menghentikan gelak tawa Tok Ketua dan kanak-kanak itu. Kanak-kanak itu bangkit menyalami Tok Ketua dan Nek Tijah. Kemudian mereka melangkah keluar daripada rumah, menyarung kasut masing-masing.

Ketika melintasi laman rumah Mak Temah, Izz menoleh ke arah laman kosong itu. Dia tidak tahu jika hatinya juga sekosong laman itu. Yang dia tahu hanyalah dia perlu mengisi ruang kosong itu. Tetapi dengan siapa? Izz mengeluh. Keluhannya jelas kedengaran dan menarik perhatian tiga kanak-kanak itu.

“Abang okey?”

Izz hanya mengangguk lemah. Fakree, Adri dan Firas tidak perlu tahu apa yang sedang berkecamuk di fikirannya.

“Hurm, kita nak ke mana hari ni?”

“Oleh kerana hari ni hari terakhir abang di kampung ni, jadi, abang yang akan buat keputusan.”

Adri memberi cadangan.

“Setuju!”

“Tapi abang tak setuju. Kamu bertiga buat keputusan. Sebab, abang nak kamu bertiga puas hati. Okey?”

Fakree, Adri dan Firas mengangguk. Mereka melambai-lambaikan tangan isyarat menahan bas.

+++

PENAT berjalan sekeliling bandar. Banyak aktiviti yang mereka lakukan. Banyak juga perkara baru yang Fakree, Adri dan Firas pelajari daripada Izz. Kepingan-kepingan gambar yang sempat mereka cuci sebentar tadi ditatap. Indah sungguh kenangan bersama Izz.

“Abang, nanti kalau ada masa lapang, jangan lupa jenguk kami di sini lagi ya?” pinta Adri. Air matanya mula bergenang. Izz menyeka air mata Adri.

“InsyaAllah. Kalau ada kelapangan, nanti abang akan datang jenguk kamu semua. Tok Ketua dan Nek Tijah juga.”

“Jangan lupa Kak Iris juga!”

Fakree menyahut nakal. Izz menangkap tangannya. Dia tersenyum pada Fakree.

“Dah. Jom kita balik. Dah penat dah ni.”

Izz memulakan semula langkah yang terhenti. Sebaik mendekati laman rumah Tok Ketua, Izz terpaku. Kereta itu? Langkah Izz diteruskan. kali ini perlahan dan lebih teratur.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam. Haa, dah balik pun kamu semua. Mari masuk. Ni, mak, ayah dan adik kamu dah lama menunggu ni.”

“Mum, dad …,” sapa Izz. Dia mengucupi tangan dan dahi kedua-dua orang tuanya.

“Go and take your bath. Siap-siap. Lepas Maghrib kita berangkat.”

“But …,” kata-kata Izz terputus di situ. Namun dia tetap melangkah sebaik mendapat isyarat daripada ayahnya.

+++

USAI melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah. Izz mengangkat beg pakaiannya masuk ke dalam but kereta. Mujur tidak terlalu banyak pakaian yang dibawa.

“Kita tak mahu tunggu Tok Ketua dan Nek Tijah balik dari surau ke, mum? Dad?”

“Nek Tijah pesan, rapatkan pintu, dan manggakan sahaja. Mereka mungkin pulang lewat. Jom. Kita pun dah lambat ni.”

Tubuh Izz menerobos masuk ke dalam perut kereta. Didahului dengan ibu, ayah dan adiknya. Sebaik sahaja ayahnya menghidupkan enjin kenderaan, Izz terus menutup mukanya dengan bantal kecil yang tersedia di dalam kereta itu.

“Izz Rizqin, are you okay?”

Izzah di sebelahnya bersuara.

“Yes, i’m okay Miss Izzah Durrani binti Dato’ Rahimi. Just a little bit tired. Need some rest.”

Izzah tersenyum lebar mendengar jawapan abangnya itu. Menipu sahaja kerjanya!

“Okay, come. Kita dah sampai.”

Datin Faridah membuka pintu di sebelah tempat duduk Izz. Izz terkejut. Rasanya dia belum sempat melelapkan diri. Atau mungkin dia sedang bermimpi? Dia mengalihkan bantal yang menutup mukanya.

“Come on, sayang. Mereka tunggu kita dah lama tu.”

Bagai kerbau yang dicucuk hidung, Izz hanya menurut. Datin Faridah menghadiahkan senyumnya kepada isi rumah. Izz mengangkat pandangannya. Tok Ketua? Nek Tijah? Kata ke surau? Izz bingung.

“Eloklah, semua dah ada. Jadi, boleh kita mulakan?”

“Kita ni orang Melaka, Tok. Apa kata, kita berpantun. Adat kita,” cadang Irsyad. Mak Temah mencubit lengan anaknya.

“Elok juga tu. Jadi, Tok sebagai wakil bagi pihak lelaki, biar Tok mulakan dulu ya?”

“Silakan.”

“Bintang bukan sebarang bintang, bintang kejora tidak terpanjat, datang bukan sebarang datang, datang kami membawa hajat. Haa, siapa yang nak beli ni?”

“Biar Irsyad jawab. Bintang kejora jadi kenangan, kenangan indah sudah tersurat, datang lengkap dengan rombongan, apakah hajat maksud tersirat?”

Izz bingung. Dia hanya membatukan diri. Langsung tidak tahu apa yang sedang berlaku.

“Walau ribut datang melanda, bunga tetap harum baunya, sebelum bermula adat petanda, adakah bunga sudah berpunya?”

“Semangat pendekar berapi-api, pencak silat hebat langkahnya, mekar elok dijaga rapi, setahu saya bunga di taman belum berpunya.”

“Teruna merantau merata-rata, hati tetap pada si dara, kalau begitu bagai dikata, eloklah kita mulakan bicara. Boleh, Dato’?”

“Ya … ya, kita mulakan. Saya wakil anak teruna saya, Izz Rizqin, berhajat nak jadikan anak sulung Mak Temah, Iris Qaireen, sebagai penyeri hatinya yang dah lama kosong katanya. Jadi bagaimana?”

Izz terkejut mendengar susunan kata ayahnya. Bagai tidak percaya. Dia menoleh ke arah Izzah di sebelahnya. Izzah mengangguk tanda mengiakan. Air mata Izz mengalir perlahan. Langsung tidak percaya akan apa yang sedang berlaku.

“Boleh kami nak dengar terus daripada mulut tuan yang empunya badan?”

Irsyad bersuara. Izzah menepuk paha Izz, menyedarkan Izz tentang soalan yang ditujukan kepadanya.

“Beberapa hari yang lalu, saya minta petunjuk daripada Allah tentang jodoh saya. Tapi saya kurang keyakinan. Bukan kerana tidak percaya akan petunjuk daripada Allah, cuma, terasa diri ini terlalu hina nak dibandingkan dengan Cik Iris. Maklumlah, saya jahil. Kurang ilmu agama. Tapi, bila diingat semula pada getaran hati ni tatkala saya menatap mata Cik Iris, saya yakin, memang Cik Irislah orangnya. Cik Iris, sudikah Cik Iris menjadi teman hidup saya?”

Iris menoleh ke arah Mak Temah, Irsyad, Irdina, Ibtihal dan seterusnya Ibtihaj. Mereka tersenyum menanti keputusan daripada Iris. Tok Ketua dan Nek Tijah juga bagai tidak sabar menanti keputusan. Debaran yang seumpama saat menanti penentuan sepakan penalti.

Iris mengangguk perlahan. Dia yakin dengan jawapannya. Dia juga yakin lelaki yang berada di depannya kini telah muncul beberapa kali dalam mimpinya. Izz meraup wajahnya dengan kedua-dua telapak tangan. Dia bersyukur.

+++

“AKU terima nikah Iris Qaireen binti Kamal, dengan mas kahwinnya sebanyak RM 20.80 tunai.”

“Sah!” suara tiga orang saksi yang menyaksikan hari bersejarah buat Izz dan Iris kedengaran. Untuk kesekian kalinya, air mata Izz mengalir. Usai lafaz taklik dan penyerahan wang mas kahwin, mereka sekeluarga bergambar.

Fakree, Adri dan Firas turut tidak ketinggalan. Mereka menjadi orang kuat dalam menjayakan majlis perkahwinan Izz dan Iris yang dilangsungkan secara sederhana.

Azan Zohor berkumandang jelas dari surau berdekatan. Surau yang telah melakar sejarah buat Izz dan Iris. Iris bangkit menuju ke biliknya, kewajipannya harus ditunaikan. Izz turut bangkit bersama.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam. Abang.”

Iris menegur Izz. Langsung tiada riak kekok. Izz duduk di birai katil, sementara Iris duduk dihadapan meja solek. Berusaha untuk menanggalkan purdahnya. Dari cermin, dia dapat melihat Izz sedang memerhatikannya. Tingkahnya mula tidak keruan. Izz bangun mendekati Iris. Dia membantu Iris dari arah belakang.

“Terima kasih,” satu kucupan hinggap di hujung kepala Iris yang masih bertudung. Iris mengangkat keningnya.

“Terima kasih sebab sudi terima abang.”

“Alhamdulillah, jodoh itu datang dari Allah.”

Iris memusingkan badannya menghadap Izz.

“SubhanAllah,” hanya lafaz itu yang terkeluar dari bibir Izz. Dia tunduk. Air matanya mengalir lagi. Dia bersyukur ke hadrat Illahi. Iris mengusap lembut kepala suaminya.

“Abang, jom, imamkan solat Iris.”

Izz bangkit. Air matanya diseka. Tersenyum melihat senyuman indah isterinya. Dalam doanya, Izz meminta supaya Allah memelihara keharmonian rumah tangganya.

+++

KINI, Izz bahagia melayari hidupnya bersama isterinya. Jodoh yang datang daripada Allah. Jodoh yang terlalu indah buat Izz. Izz selalu tersenyum sendiri tatkala teringat akan bait-bait kata yang dilemparkan oleh pelakon yang membawa watak sebagai datuk kepada Syuhadah dalam filem Syurga Cinta.

“Jodoh itu datang daripada tiga cara. Jodoh yang datang daripada syaitan, dimana, pasangan itu berkenalan, bercinta, bersentuhan dan terus melakukan maksiat. Yang kedua, jodoh yang datang daripada bomoh. Berlaku apabila si lelaki terlalu gilakan si perempuan, sedangkan si perempuan berusaha menjauhi dirinya daripada lelaki itu. Lalu lelaki itu membomoh si perempuan untuk mendapatkannya, lalu berkahwin. Dan yang ketiga, jodoh yang datang daripada Allah, dimana, pasangan itu berkenalan, bertentang mata dan terus menusuk ke kalbu, lantas si lelaki meminang perempuan itu dan diterima. Maka jodoh itu yang paling dirahmati oleh-Nya.”

Izz tersenyum lagi. Dia faham, jodoh itu amanah buatnya, dan dia akan menjaga amanah itu sebaik mungkin. Itu janji Izz pada dirinya sendiri.

Jauh Di Mata Dekat Di Hati – SyaCha Abdullah

Posted on

“Mamaaaaa…” Alfi berlari apabila dia dikejar Alwi.  Puan Sarina menggeleng kepala melihat telatah dua anaknya.

“Mama tolong Adikkkk…”

“Oh, pandai ya nak minta tolong mama.  Mama, jangan tolong dia, ma.  Biar Abang sekeh budak kecil ni.  Nakal!”

Alwi terus mengejar Adiknya.  Dia mengagah ke kiri dan ke kanan.

“Ha, sudah, sudah.  Mama pula yang pening kepala.  Mari duduk sini.  Minum air ni.”

Puan Sarina menarik lengan anak lelaki yang berdiri di hadapannya.  Dicari juga tangan Alfi yang sedang bersembunyi di belakangnya.   Encik Ruzaihan tersenyum melihat telatah anak-anaknya.  Bukannya kecil lagi umur mereka.  Masing-masing sudah berumur 24 dan 26 tahun!

“Inilah padahnya bila asyik disuakan dengan ribena.  Jadi budak-budak dah anak-anak kita ni,” senda Encik Ruzaihan menggeletek hati keluarganya.  Alfi mendapatkan ayahnya.  Dia duduk di sisi ayahnya.

“Kan comel anak-anak ayah macam ni.”

Alfi melentokkan kepalanya pada bahu Encik Ruzaihan.   Encik Ruzaihan mengusap kepala gadis itu.

“Comellah sangat!  Awak berdua ni, kalau masing-masing dah ada pasangan, dah lama ayah kahwinkan.”

“Fuh! Nasib baik kita belum ada pasangan, kan Adik?”

Kata-kata Alwi membuatkan Alfi bangkit menghulurkan tangannya.

Give me five, Abang!”

“Oh, kamu berdua berpakat kenakan ayah pula ya?”

Alfi bangun cuba untuk melarikan diri.

“Haa, nak pergi mana? Mari sini, ayah nak sekeh kepala Adik!”

Encik Ruzaihan menarik lengan anak bongsunya untuk duduk semula.  Lengan sasa lelaki itu mengepit leher anaknya.

“Adik, selamat padan muka!”

Alwi mengejek adiknya.  Alfi menjelirkan lidah.  Tiba-tiba Alfi memegang tangan ayahnya.

“Eh ayah.  Kejap!”

“Kenapa? Nak lari?”

“Bukan.  Kejap.”  Alfi mengalihkan tangan Encik Ruzaihan yang memaut lehernya tadi.  “Adik lapar,” tangan Alfi menepuk perutnya.

“Haa, tu lah.  Tadi tak mahu sarapan.  Dah mari tolong mama masak kat dapur.”

Alfi tersengih.  Tangannya pantas menyusun gelas yang mama dan ayahnya gunakan ke dalam dulang dan mengangkatnya ke dapur.

+++

Alfi menghidangkan lauk yang dimasaknya sebentar tadi.  Sudah menjadi kebiasaan, Alfi akan memasak untuk keluarganya sementara Puan Sarina hanya membantu Alfi menyediakan bahan.  Puan Sarina telah melatih Alfi untuk membantunya sejak Alfi berumur 15 tahun lagi.

“Wah, sedapnya!” Alwi menegur sebaik aroma masakan menerpa ke rongga hidungnya yang ala-ala Zizan Raja Lawak.

“Tengoklah siapa yang masak,” giat Puan Sarina.  Alfi yang baru keluar dari dapur tersengih.  Mangkuk hidangan pada tangannya di pegang rapi.

“Nah.  Ini lauk kegemaran Abang.  Adik masakkan khas,” mangkuk hidangan diletakkan di atas meja makan.  Alwi tersengih apabila melihat ayam masak merah yang terhidang.  Memang benar kata Alfi, lauk itu lauk kegemarannya.

“Tema masakan hari ini lauk kegemaran ya tuan-tuan dan puan-puan.” Alfi bersuara seperti sedang mengacara rancangan di televisyen.  Mereka sekeluarga ketawa.

+++

Majalah pada tangan Alfi dibelek.  Alfi mencari ruangan yang menarik untuk dibacanya.  Kebiasaan buat Alfi, dia akan membaca ruangan yang menarik minatnya terlebih dahulu sebelum membaca keseluruhan artikel di dalam majalah yang menjadi santapan matanya.

Bosan membaca, Alfi mencapai komputer riba.  Lagu-lagu yang sudah tersusun di dalam senarai, diputarkan.  Baru sahaja hendak terlayang, Alfi dikejutkan dengan deringan telefon bimbit.  Ada mesej masuk.

‘Adik, jom keluar!’ – Alwi.

‘Nak ke mana?’ – Alfi.

‘Ikut je la.  Siap cepat.  Abang tunggu dalam kereta.’ – Alwi.

Malas mahu bertanya lanjut, Alfi bingkas bangun.  Dia mencapai tuala mandi, badan dibasahkan sedikit.  Sekadar untuk keselesaan dirinya.

Alfi menyarungkan jersi pasukan bola sepak kegemarannya, Chelsea.  Dipadankan dengan jeans lusuh, hadiah daripada Alwi, Alfi sendiri tidak tahu sempena apa abangnya memberikan hadiah itu.  Tudung disarung.

Alfi mengatur langkah menuruni anak tangga.  Satu persatu.  Rumahnya sunyi.  Dia tahu  Alwi sedang menunggu di dalam kereta.  Mama dan ayahnya tidak pula kelihatan.  Mungkin sedang berehat di dalam bilik.

“Adik, cepatlah.”

Alwi melambai ke arah Alfi.  Alfi terkial-kial menyarung snickers.

“Kejaplah.”

+++

“Uish, Abang nak bawa Adik ke mana ni?”

“Ikut jelah,” pemanduan Alwi hampir tidak fokus apabila Alfi tiba-tiba bersuara.  Alfi mencemberutkan mukanya.  Geram sungguh! Abang tak pernah macam ni!

“Haa, dah tiba.  Jom turun!”

Alwi membuka pintu.  Dia meninggalkan adiknya yang masih berselirat dengan tanda tanya.  Dia tersenyum.

Laut yang terbentang luas di hadapannya dipandang.  Bayu laut yang bertiup dihirup bertalu-talu.  Damai.  Jam baru sahaja menginjak ke angka 4.  Kawasan perkelahan itu masih belum sesak dengan ramai orang.  Cuma ada beberapa pasangan kekasih yang sibuk berpacaran di persisiran pantai.  Memburukkan pemandangan.

“Abang,” suara Alfi mematikan fokus Alwi.  Sekali lagi.  Alwi menoleh.  “Kenapa Abang bawa Adik ke sini?”

Alwi tersenyum.  Tangan adiknya ditarik.  Dia mendorong adiknya ke gigi air.

“Adik, nanti kalau Adik rindu Abang, Adik datang sini ya?”

“Adik tak pernah rindu Abang pun,” balas Alfi selamba.

You will soon, my dear.  I bet you.  Soon.  Very soon,”  hambar nada suara Alwi.  Alfi tersengih.  Suka dapat mengusik abangnya.

Alfi meninggalkan Abangnya sendiri di gigi air.  Dia mencari sebatang kayu untuk mengukir nama pada pasir pantai.  Alwi hanya memandang adiknya.  Dia tidak banyak bicara.  Tanpa sedar, airmatanya menitis.

“Abang!” teriak Alfi dari jauh.  Alwi hanya mengangkat kepala.

“Janji tak tinggalkan Adik ya?” Alfi mengatur langkah mendekati Alwi.  Jari kelingking dihulurkan.  Alwi menyambut.

“Janji okey?” Alfi mahukan kepastian.  Kali ini Alwi tersenyum.

“Senyum tanda setujukan?” kata-kata Alfi memancing tawa Alwi.  Alwi menarik adiknya ke dalam dakapan.  Alfi turut tersenyum.

+++

Getaran telefon bimbit mengganggu Alfi.  Sesekali dia cuba untuk meninjau skrin kecil pada telefon bimbit itu untuk memastikan siapa pemanggilnya.

“Alfi Dayana, awak ada masalah ke?”

“Erkkkk… Tak puan.  Cuma…”

“Cuma?”

My mom keep calling me.  Boleh saya jawab panggilan sekejap, puan?”

Alfi meminta izin.  Puan Azyan, pengarah urusan syarikat tempat Alfi bekerja hanya mengangguk.  Dia tidak mahu tumpuan Alfi terhadap mesyuarat terganggu.

“Terima kasih puan.”

Alfi bingkas keluar daripada kelas untuk menjawab panggilan.  Selang beberapa minit Alfi masuk semula.

“Puan, saya kena pergi.”

“Ke mana?”

“Abang saya.  Puan, saya kena pergi.  Sorry.”

Tanpa dapat dihalang, Alfi meninggalkan mesyuarat.

+++

“Mama, Abang mana, ma?  Abang mana?”

“Duduk dulu, sayang.  Abang masih di dalam.”

“Doktor kata apa?”

“Doktor tak keluar lagi.  Adik duduk sini.”

Puan Sarina memeluk anak bongsunya.  Kejap-kejap.  Esak tangis anak gadisnya itu semakin reda.

+++

Doktor keluar daripada bilik rawatan.

“Siapa waris mangsa?”

“Saya.”  Encik Ruzaihan menerpa ke arah doktor.  Alfi dan Puan Sarina turut bangkit mendapatkan mereka.

“Maaf.  Kami tak dapat selamatkan mangsa.  Mangsa mengalami patah leher dan kecederaan teruk pada bahagian kepala, mungkin akibat hentakan yang kuat semasa pelanggaran.  Maaf.”

Doktor menepuk bahu Encik Ruzaihan.  Encik Ruzaihan terduduk mendengar perkhabaran itu.

“Abanggggggggggg…”

“Adik, sabar sayang.”

“Abang janji tak akan tinggalkan Adik.  Abang janji Abang akan temankan Adik.”

Puan Sarina memeluk erat anak gadisnya.  Tiada sepatah kata mampu diluahkan lagi.

“Mama, Adik nak Abang.  Adik nak Abang.”

+++

‘Abang, hari genap sebulan Abang tinggalkan Adik.  Abang tipu Adik.  Abang janji Abang takkan tinggalkan Adik.  Abang janji Abang akan temankan Adik.  Abang, Adik rindu Abang.  Rindu sangat pada Abang.’

Alfi mencampakkan pandangannya jauh-jauh ke laut.  Tempat terakhir dia meluangkan masa bersama Alwi.

‘Abang, Adik ingat lagi ayat Abang. Abang kata, Adik akan rindu Abang.  Ya, Adik rindu Abang.  Adik rindu Abang sampai akhir nadi Adik.’

Alfi memandang pula pada skrin telefon bimbit milik Alwi.  Sejak kehilangan Alwi, hanya telefon bimbit Alwi menjadi teman Alfi, ke mana sahaja dia pergi.  Alfi membuka fail ‘Notes’ pada telefon bimbit Alwi.

Dear Adik, Abang tahu Adik akan buat ‘spotcheck’ kat handphone Abang ni.  Adik, Abang minta maaf sebab Abang terpaksa mungkir janji pada Adik.  Abang tahu Adik perlukan Abang (nada agak perasan), tapi Abang tak boleh terus tinggal dengan Adik, tak boleh terus jaga Adik.  Adik dah besar.  Kalau kahwin, mesti Abang dah dapat anak saudara.  Adik, Abang nak Adik janji dengan Abang.  Jaga mama dan ayah sebaik mungkin.  Hiburkan hati mama dan ayah.  Adik kena kuatkan semangat supaya mama dan ayah tak sedih lagi.  Adik pun jangan sedih ya?  Abang sentiasa ada dengan Adik, mama dan Ayah.  Abang ada jauh dalam hati kamu semua.  Jangan buang Abang ya?’

Alfi menyeka airmatanya.  ‘Abang, Adik janji.  Adik takkan pernah buang Abang dari hati Adik.  Abang adalah Abang yang terbaik buat Adik.  Walaupun Abang jauh dari mata Adik, tapi Abang tetap dekat di hati Adik.’

Alfi tersenyum.  Dia bangkit dari tempat duduknya.  Dia berjanji akan menjejakkan kakinya di pantai itu lagi bila terlalu rindukan Alwi.  Dan dia berjanji, dia akan sentiasa merindui Alwi.

Kuingin Kamu – SyaCha Abdullah

Posted on

“ADUH…” Emran menarik kakinya yang terjulur keluar kereta.  Ketingnya digosok berkali-kali.  Kemudian dia menoleh ke arah dua gadis yang terpacak di sebelah pintu Hyundai Genesisnya.  Riak bersalah jelas terpampang pada wajah gadis itu.  Terutamanya yang seorang itu.

“Tengok je?” Emran menyoal mereka.

“Errkkkkk…”

“Maaf, encik.  Kawan saya tak sengaja tadi.”

Fitriah membela temannya.  Padahal salahnya juga!

“Kawan awak ni, bisu kah?”  sedikit bentakkan dalam nada suara lelaki itu.

“Errkkkk…”

“Sekolah tak habis agaknya.  Sebab tu tak pandai bercakap,” Sinis.

“Heh, jaga sikit mulut awak tu ya!  Ingat awak tu bijak sangat ke bercakap?  Tak ada budi bahasa langsung!” Humaira’ memarahi Emran.  Emran tergelak.  Humaira’ memandang Fitriah yang sedang memandangnya.

“Gila ek?” Humaira’ menyoal perlahan.  Tapi cukup jelas di pendengaran Emran.

“Kelakarlah bila awak marah!” tawanya masih bersisa.

“Ah, sudahlah!  Saya minta maaf pasal tadi.  Dah, saya dah lambat ni.  Gelaklah sorang-sorang.”

Humaira’ menarik lengan Fitriah.  Cuba untuk meninggalkan lelaki yang dianggap tidak siuman itu.

“Kalau saya tak mahu maafkan macam mana?” duga Emran.

“Errkkkk… Janganlah macam tu.  Nanti kat akhirat, saya kena cari awak untuk minta maaf.  Aduh, susahlah nanti.”

Humaira’ sedikit merayu.  Emran gelak lagi.

“Hish, cepatlah maafkan!”

“Ek eh, nak paksa-paksa orang pulak.  Cik adik, maaf tu lahir dari hati okey.”

Emran masuk ke dalam perut keretanya.

Humaira’ kalut.  Ibu pernah pesan, ‘Kalau ada buat salah dengan orang, minta maaf cepat-cepat dan pastikan orang tu maafkan kita.  Kalau tak, kita kena cari orang tu kat Padang Mahsyar nanti. Kalau dia dah masuk Syurga macam mana?’.  Sebaris pesan ibu yang sentiasa terngiang-ngiang di telinga Humaira’.

Tingkap kereta diketuk bertalu-talu.  Airmata sudah bertakung di kolam mata.  Emran buat tidak endah.  Humaira’ cuba meraih simpati Fitriah.  Fitriah tidak tahu apa yang patut dilakukan.

“Encik…”

Emran membuka tingkap kereta.

“Encik, tolonglah.  Maafkan saya,” sedikit merayu.  Fitriah menggeleng.  Cepat benar Humaira’ menunjukkan kelemahannya.  Merayu pada lelaki yang tidak dikenali.

“Saya maafkan awak.”

Humaira’ hampir melonjak kegembiraan.

“Tapi dengan syarat.”

Emran menyambung.

“Syarat?”

“Ya, syarat.  Awak kena jadi kawan saya.”

Emran mengangkat sedikit keningnya.

“Kawan?” Humaira’ mengerutkan dahinya.

“Ya.  Saya Emran.  Awak?”

“Humaira’.  Faqehah Humaira’,”  dia tersenyum.  Terpana Emran melihat lesung pipit pada kedua-dua belah pipi gadis itu.  Emran membalas senyuman itu.

+++

TIMBUNAN kertas ditenung.  Menanti untuk dibuat salinan.  Ramai pula yang menghantar bahan untuk dibuat salinan hari ini.  Musim peperiksaan agaknya.  Macam soalan periksa saja ni.

“Assalamualaikum,” satu suara menegur.

“Waalaikumussalam.”

Humaira’ menoleh.   “Erkkk, awak?”

“Ya saya.  Kenapa?”

“Mana awak tahu saya ker…” belum sempat Humaira’ menghabiskan ayat, lengannya sudah ditarik oleh Emran.

“Aunty, saya bawa makcik ni pergi lunch sekejap.”

Emran mengenyitkan matanya ke arah tauke kedai tempat Humaira’ bekerja.  Aunty Mei Li hanya mengangguk.  Dia kenal benar dengan Emran, pelanggan tetapnya.  Namun beberapa bulan kebelakangan ini Emran jarang menghantar bahan untuk dicetak.  Mungkin sudah memiliki mesin pencetak sendiri di rumah.

+++

“HAA, order.  Awak nak makan apa hari ni?”

Emran mengetuk jemarinya ke atas meja.  Bunyi ketukan halus terhasil.  Jelas di pendengaran Humaira’ yang duduk setentang dengan tempat duduk Emran.

Humaira’ memandang suasana sekitar restoran itu.  Kerusi dan mejanya diperbuat daripada kayu jati.  Lantai dihiasi marmar yang bagai diketuk oleh adik bongsunya, tidak serupa lantai!  Tetapi Humaira’ tahu, semakin teruk rupa marmar itu, semakin tinggi nilainya.

Mata dikalihkan pula ke arah kaunter pembayaran.  Ada dua mesin kira di situ.  Dua orang juruwang berdiri di sebalik mesin tersebut.  Pelanggan yang sudah siap menjamu selera beratur di kaunter untuk melangsaikan bayaran.

Pelayan restoran juga berpakaian kemas.  Berkemeja putih.  Seluar slack hitam disarungkan.  Topi di kepala, mengikut etika penyediaan makanan, supaya rambut tidak gugur dan masuk ke dalam hidangan pelanggan.  Apron juga siap dililit pada pinggang masing-masing.

Humaira’ terpana.  Sepanjang 23 tahun hidupnya, belum sekali pun dia menjejakkan kakinya ke dalam restoran semewah ini.  Lampu malap di siling ditenung.  Cermin yang menampakkan permandangan luar restoran juga diperhati tanpa sebarang kedipan mata.

“Awak!”

Emran mematikan lamunan Humaira’.

“Nak makan apa?” Kening diangkat sedikit.

“Errrr…” Humaira’ memandang menu di tangannya.  “Saya tak pandai nak pilih.” Humaira’ menghulurkan menu kepada Emran.  Pelayan yang sedari tadi berdiri di sisi meja tersenyum ke arah Humaira’.

“Cik, selalunya, kami cadangkan kepada pelanggan untuk  makanan yang bertanda thumbs up  ni.”  Perlahan gadis itu bersuara, cukup untuk pendengaran mereka bertiga.  Humaira’ mengangguk.  ‘Hish, macam mana boleh tak perasan tanda ni!’

“Yang tanda cili kat hujung nama makanan tu pula, selalunya masakan pedas.  Awak tak makan pedas, kan?”  Emran menyambung.

“Bukan tak makan pedaslah.  Tapi kurang sikit dengan masakan pedas,”  balas Humaira’ tersenyum.  Cepat sungguh Emran mengenalinya.  ‘Mamat ni stalk aku ke?’ senyuman mengulum manis di bibir tatkala bisikan nakal itu melintasi hatinya.

+++

EMRAN meletakkan sudu dan garfu bersebelahan, rapat-rapat.  Nasi Goreng Tom Yam, hidangan istimewa di restoran itu menjadi pilihannya tengahari itu.  Humaira’ juga memilih makanan yang sama.  Sebenarnya, restoran itu tidaklah semewah PappaRich, tidak juga se‘eksklusif’ OldTown Cafe, tapi cukup mewah pada pandangan Humaira’.

Tisu yang tersedia diambil dan disapu ke mulut.  Banyak perkara yang mereka bualkan sepanjang menikmati makanan tengahari.

+++

WAKTU hampir menunjukkan jam 2 petang.  Humaira’ gelisah.  Kewajipannya sebagai seorang muslim belum dilaksanakan.  Emran pula ralit menikmati keindahan tasik di hadapan mereka.

‘Aduh, dia tak mahu hantar aku balik ke?’ kepala yang tidak gatal digaru.  Mukanya cemberut.  Timbunan kerja di kedai menerjah ruang fikirannya.  Satu persatu.  Sebahagiannya perlu diselesaikan sebelum malam ini supaya esok tidak terkejar-kejar semasa pelanggan mahu mengambilnya.  Belum dikira dengan salinan yang perlu disiapkan pada hari yang sama.

Ligat otaknya memikirkan cara untuk mengajak Emran pulang.  Hendak berterus–terang, dia malu.  Humaira’ sangat menjaga hati mereka yang berkawan dengannya.

“Kenapa ni? Gelisah je.  Sepatutnya duduk di sini, tenangkan kepala otak yang serabut dengan kertas-kertas di kedai tu,” Emran hanya memerhati gelagat Humaira’ sejak tadi lagi, cuma Humaira’ tidak perasan.

Humaira’ mengangkat tangan kirinya.  Jam di pergelangan ditatap seketika, sesekali dia mengetuk muka jam itu.  Emran mengerutkan dahi.

“Awak, jam dah pukul berapa ya?  Jam saya mati pula.”

“1.55 tengahari.  Kenapa?”

“Erkkkkk…”

“Kenapa?” kening Emran diangkat sedikit.

“Dah hampir jam 2.  Kita belum solat.  Lunch hour pun dah habis.  Kerja kat kedai berlambak lagi.  Awak hantar saya balik ke kedai ya?”

Mendengar bicara Humaira’, Emran menepuk dahi. “Maaf! Saya terlupa. Jom!”

Bingkas mereka berdua bangun meninggalkan kawasan tasik itu.  Emran sendiri terlupa tentang mesyuaratnya jam 3 petang nanti.

+++

“HAA, pandai balik rupanya kau.  Aku ingatkan kau tak jumpa kedai tadi,” Fitriah bersuara, sinis.

“Maaf.  Aku keluar makan tengahari tadi.”

“Kau fikir nak isi perut kau je.  Habis, kerja-kerja ni semua kau tak ingat nak buat?  Kau ingat aku ni kuli batak kau ke?” terpempan Humaira’ mendengar keluhan Fitriah.  Selama ini Humaira’ tidak pernah merungut jika Fitriah seringkali meminta cuti daripada Aunty Mei Li.

“Aku bawa makanan untuk kau, makan ya.  Aku nak solat dulu,” Humaira’ meletakkan bungkusan makanan di atas meja berdekatan dengan Fitriah.

“Ah, tak payah! Kau ingat aku nak sangat makan benda ni?” Nasi Goreng Tom Yam yang dibungkus sebentar tadi berterabur di atas lantai.  Sekali lagi Humaira’ terkedu.  Titisan air jernih mengalir ke pipi mulusnya.

Humaira’ tunduk untuk mengutip nasi yang berterabur.  Mujur tiada pelanggan yang datang.  Aunty Mei Li bergegas lari dari dapur apabila terdengar suara tengkingan Fitriah tadi.  Dia menggeleng melihat situasi itu.  Dia berlari semula ke dapur mencari sesuatu.  Sebentar kemudian dia muncul bersama sebatang penyapu dan pengaut sampah.

“Yaya’, you pergi sembahyang dulu.  Ini nasi, kasi aunty yang kemaskan,” perempuan hampir sebaya dengan ibu itu menepuk bahu Humaira’.

“Biar saya yang kemaskan, aunty bagi penyapu pada saya,” Humaira’ merasa bersalah.

“Tak apa, tak apa.  Ini biar aunty yang kemaskan,” bersungguh-sungguh Aunty Mei Li memujuk.

Perempuan Cina itu mendorong tubuh Humaira’ yang sedikit kurus ke bilik air.  Kemudian dia ke hadapan semula.

“Aunty manjakan sangatlah budak tu.  Lama-lama nanti, dia pijak kepala aunty, baru aunty tahu,” tanpa menoleh Fitriah bersuara.

“Macam you?” sedikit sinis.

“Apa pula macam saya!” protes Fitriah.

+++

USAI solat, Humaira’ ke ruangan depan kedai.  Punggungnya dihulurkan ke atas bangku tinggi yang tersedia.  Alat pengokot yang selalu digunakan dicapai dan dipegang kemas.  Baru dua set salinan dikerjakan, telefon bimbitnya berdering.

Humaira’ mencapai beg galasnya.  Poket kecil dihadapan sekali diseluk untuk mengeluarkan telefon bimbitnya yang masih berdering.

‘Emran?’

Humaira’ menoleh kearah Fitriah yang sedang mengerjakan timbunan kertas itu.  Fitriah sedikit menjeling.  Humaira’ membiarkan telefon bimbitnya.  Dia menekan butang  ‘silent’, supaya tiada deringan menerpa ke gegendang telinga mereka lagi.  Sebentar kemudian, getaran pada telefon bimbit berhenti, lantas Humaira’ mencapainya dan mengubah kepada mod senyap.  Kemudian dia menyambung kerjanya.

Aunty Mei Li memandang sekilas pada dua teman serumah itu.  Seawal mereka mula bekerja dengan Aunty Mei Li, mereka tidak pernah bergaduh.  Tetapi, kenapa sekarang Fitriah seringkali menarik muka dengan Humaira’?  Mereka datang ke pekan dari kampung yang sama, dengan tujuan yang sama.  Mengapa kini mereka tidak sependapat seperti dahulu? Aunty Mei Li sendiri bingung.

+++

TEPAT jam 9 malam.  Semua kertas-kertas yang dihantar oleh pelanggan sepanjang hari disusun kemas.  Lantai kedai disapu dan dimop.  Meja kerja dilap supaya bersih.  Bangku dimasukkan ke bawah meja.

Usai semua kerja, pintu kedai yang ditutup separuh itu ditarik ke bawah.  Aunty Mei Li sudah masuk ke rumah.  Di rumah kedai itu, Aunty Mei Li tinggal bersama suaminya, tuan punya kedai fotostat itu.  Dahulu, Aunty Mei Li dan suaminya mempunyai seorang anak perempuan.  Satu-satunya anak mereka.  Humaira’ tahu akan perkara itu pun melalui gambar keluarga perempuan Cina itu.  Langsung dia tidak pernah bertanya tentang perihal keluarga majikannya itu.  Bimbang mengecilkan hati.

Humaira’ mencari kelibat Fitriah.  Gadis itu duduk di tepi koridor menunggu Humaira’.  Di bibirnya terukir senyuman manis.  Humaira’ mengerutkan dahi.

“Jom balik!” senyuman yang masih terukir di bibir Fitriah membuatkan Humaira’ putus akal.  Namun kakinya tetap menurut langkah Fitriah.

“Aku minta maaf pasal petang tadi.  Aku penat sangat.  Tak boleh nak kawal perasaan,” Fitriah memulakan bicara.

“Aku tak makan hati pun.  Cuma terkejut bila kau tiba-tiba buat macam tu.”

“Maaf ya?” Fitriah bersungguh.  Dia menghulurkan tangannya seperti selalu.  Humaira’ menyambutnya.

“Kita kawan sejak kecil lagi, aku harap, kita terus berkawan, sampai akhir hayat kita.  Walau apapun terjadi,” senyuman Fitriah menyejukkan hati.  Humaira’ membalas senyum dan mengangguk.  Tangan Fitriah digenggam erat.

+++

FITRIAH mencapai telefon bimbit Humaira’.  Ketika itu Humaira’ sedang mandi.  Dia membuka fail mesej.

‘Sayang? Semuanya dari penghantar yang sama,’ senarai mesej itu disemak lagi.  Satu persatu mesej dibuka.

“Kenapa Fit?” hampir terpelanting telefon bimbit ditangan.

“Eh kau ni.  Terkejut aku!”  Fitriah meletakkan telefon bimbit itu perlahan-lahan ke atas meja.

“Ada mesej masuk tak?”

“Tak.  Aku ambil nombor telefon Aunty Mei Li.  Semalam aku terpadam dari senarai pula,” Fitriah cuba berselindung. “Aku nak keluar kejap lagi.  Kau nak kirim apa-apa ke?” dia menyambung lagi.

“Tak kot.  Aku nak tidur je di rumah.  Sakit kepala pula,”

+++

FITRIAH cuba mendail seseorang.  Hampir 15 minit dia menunggu.  Namun kelibat temannya yang seorang itu belum juga  timbul.

“Awak kat mana?”

“Sekejap.  Saya tengah parkir kereta ni.  Awak kat mana?”

“Depan GSC ni.  Saya dah beli tiket pun.  Cepat sikit.”

Fitriah mematikan talian sebaik perkataan ‘Okey’ di hujung talian menerpa ke gegendang telinganya.  Kemudian dia duduk di bangku yang tersedia.

+++

“MAAF! Saya lambat.  Ada kerja sikit tadi.”

Emran meminta maaf.  Sedikit rasa bersalah menyalut hatinya.

“Tak apa.  Jom! Orang lain dah nak masuk tu.”

Fitriah menarik lengan Emran.  Emran sedikit kaget.  Dia sendiri tidak berani menyentuh mana-mana perempuan, apatah lagi memberi ruang untuk bersentuh dengan perempuan yang bukan mahramnya.  Dia menari lengannya perlahan.  Tidak mahu menyakitkan hati Fitriah.

“Humaira’ tak ikut?” dia cuba berbasa-basi.

“Tak.  Dia balik kampung sekejap,” nada suara Fitriah sedikit berubah.  Emran terus melangkah.  Dia membiarkan Fitriah berjalan di hadapan.

+++

“OKEY tak cerita tadi?” Fitriah memulakan bicara sebaik kakinya melangkah keluar dari panggung wayang itu.  Emran hanya mengangkat bahu sedikit.  Sepanjang cerita ditayangkan, dia langsung tidak fokus.  Gajet di tangan menemaninya sepanjang penceritaan.

“Jom makan!”

Fitriah sekali lagi menarik lengan sasa Emran.

“Saya kena balik, ada kerja sikit yang perlu diselesaikan.  Maaf.”

Emran melangkah tanpa menoleh ke arah Fitriah lagi.  Malas mahu melayan gadis itu.  Emran rimas.

Telefon bimbit Emran dikeluarkan.  Dia menaip pesanan ringkas untuk seseorang.

‘Balik kampung tak bagitahu saya pun.’ – Emran.

‘Errr, bila masa pula saya balik kampung?’ – Humaira’.

‘Fit bagitahu saya, awak balik kampung.’ – Emran.

‘Tak pun.’ – Humaira’

‘Ok.’ – Emran.

‘Pelik!  Fitriah tipu aku ke?  Motif?  Atau, Humaira’ yang mahu berahsia?’ detik hati Emran sendiri.

+++

MORNING sweetheart!’ – Emran.

Sebaris mesej yang Emran hantar pagi tadi tiada balasan.  Emran bingung.  ‘Kenapa tiba-tiba dia senyap?’

Ingin membuat panggilan, dia masih dalam bilik mesyuarat.  Dia akui, beberapa hari kebelakangan ini, dia agak sibuk.  Jarang dapat menghubungi Humaira’.  Keluar kerja seawal 7.30 pagi, pulang lewat jam 12 malam.  Banyak kerja yang perlu dilangsaikan di pejabat.  Dia gelisah menanti jawapan dari Humaira’.  Sihat kah? Dah makan kah?

Selesai mesyuarat, Emran terus melangkah deras.  Niatnya untuk menjenguk kedai tempat Humaira’ bekerja.

“Aunty, Yaya’ mana?”

“Sudah tiga hari dia minta cuti dari aunty.  Kenapa Emran?” kebimbangan terbit pada wajah Aunty Mei Li apabila melihat Emran gelisah.  Emran mengkerling ke arah Fitriah yang sedang melayan pelanggan.

“Erm… Dah tiga hari juga saya cuba hubungi dia, tapi tiada jawapan.  Dia sihat ke, dah makan ke.  Risau saya dibuatnya.”

“Hey, you sudah jatuh hati sama itu orang kah?” Aunty Mei Li cuba menyerkap.  Dia tersengih melihat muka merah Emran, menahan malu.

“Tak apalah aunty.  Saya balik ke ofis dulu ya.  Thanks aunty!”

Emran melangkah meninggalkan Aunty Mei Li.  ‘Kurang asam sungguh!  Malu aku! Hish!’  Emran tergelak sendiri.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering menandakan ada mesej masuk.

‘Humaira’!’

‘Saya takkan ganggu awak lagi.  Saya cuma nak tengok awak bahagia dengan orang yang awak sayang.  Awak bahagia, saya pun akan bahagia.’ – Humaira’.

‘Kenapa ni?  Tiba-tiba je.’ – Emran.

I’m leaving.’ – Humaira’.

‘Okey.  Hak awak.  Saya tak boleh bantah.  Cuma satu benda saya nak awak tahu, awak yang pertama dalam hati saya selepas keluarga saya.  Tak ada yang lain.’ – Emran.

‘Saya nak tengok awak bahagia je.  Walaupun saya terluka.’ – Humaira’.

‘Bahagiakan diri sendiri sebelum bahagiakan orang lain.’ – Emran.

‘Saya akan bahagia bila awak bahagia.’  – Humaira’.

‘Saya takkan bahagia tanpa awak di sisi.  Tapi saya tak boleh paksa awak.  Hak awak.’ – Emran.

‘Bagi saya masa.’ – Humaira’.

‘Selama mana yang awak mahu, silakan.’ – Emran.

Emran meraup wajahnya.  Bimbang kehilangan Humaira’ dia benar-benar sayang pada Humaira’, perlukan Humaira’ di sisi terutamanya bila sakitnya menyerang.

Emran memegang dadanya, sebelah kiri.  Perit.  Kepalanya berpinar.  Dia segera membuka laci.  Susunan ubatnya dicapai.  Perlahan-lahan sakit itu pergi meninggalkannya.  Mujur cepat.

“Encik Emran, bos nak jumpa,” Nadia, setiausaha Emran membuka pintu.  Kaget dia melihat sekujur tubuh Emran sudah terbaring di atas lantai pejabat.  Emran sedikit pucat.  Emran dibawa ke hospital.

+++

HUMAIRA’ bergegas ke hospital.  Dia menerjah ke kaunter pertanyaan untuk bertanya tentang Emran.  Bilik Emran dituju setelah jururawat menunjukkannya.

“Awak!” Humaira’ sedikit menjerit.  Emran terpaku di atas katil.  Dia terkejut dengan kehadiran Humaira’.

“Awak tak apa-apa?” Emran tersenyum.  Dia tahu Humaira’ risau.

“Awak sayang saya ke?”

“Mestilah sayang!” tegas Humaira’.  Hilang rasa malu untuk meluahkannya.

“Terima kasih awak.  Saya sayang awak juga.  Jangan tinggalkan saya lagi ye?” Emran mengulum senyuman.

“Janji!” tangan diangkat, bagai mahu berikrar pengakap.

+++

“SAYANG…”

“Ya saya.”

“Abang nak tanya ni.”

“Apa dia?”

“Hari tu, kenapa sayang nak tinggalkan abang?” Humaira’ hanya tersengih mendengar soalan itu.

“Senget ek?”

“Kenapa pula?”

“Sengih macam kerang busuk! Abang tanya tak mahu jawab!  Geram!” Humaira’ tergelak.  Wajah tunangnya itu ditatap.

“Sebenarnya…” Emran mengangkat kening.  Meminta Humaira’ menyambung ayatnya. “Yaya’ cemburu bila tahu abang rapat dengan Fit.  Abang balas mesej Fit, tapi mesej Yaya’ abang tak balas pun.  Tapi itu dulu lah.” giliran Emran pula ketawa terbahak-bahak.

“Abang! Orang tengok lah!”

“Hei, abang dengan dia kawan je okey!  Kan abang dah pesan, sayang yang pertama selepas keluarga abang.  You’re part of my life!  Sayang tak percayakan abang ke?” Emran bersungguh lagi.

“Okey.  Yaya’ janji! Yaya’ tak cemburu lagi,” Humaira’ tersengih.  Dia malu.

“Percaya abang tak?” Emran menduga.

“Percaya.  Dah, jom makan!  Yaya’ lapar,” Humaira’ menepuk perutnya.  Muka dicemberutkan.

“Ish…”

“Kenapa pulak?”

“Buruk muka tu.  Dah, makan.  Kejap lagi abang hantar ke kedai Aunty semula.” Humaira’ segera mencapai sudu dan garfu.  Makanan disuap cepat.  Kerja perlu dikejar, walaupun kerja tidak lari.  Ayat itu yang Emran selalu gunakan bila Humaira’ asyik sahaja ingin mengejar sesuatu.  “Benda tu tak ada kaki, buat apa nak dikejar.  Dia tak lari pun.”

+++

HUMAIRA’ tersenyum sendiri mengenang cerita lima tahun lalu itu.  Di situlah bermulanya bibit cinta Humaira’ dan Emran, suaminya kini.  Dia bersyukur mengenali Emran.  Seorang yang penyayang dan sentiasa mengambil berat.  Sangat mengambil berat.

Fitriah, kini bahagia bersama suaminya, teman sepejabat Emran.  Humaira’ dan Emran sendiri tidak pasti sejak bila Fitriah memulakan perkenalan bersama lelaki pilihannya itu.  Apa yang pasti, itu pilihannya.

Humaira’ memegang perutnya yang semakin membulat.  Anak ketiga.  Dia duduk di tepi kolam tempat dia dan Emran menghabiskan masa, selalunya.  Emran pula sibuk melayan karenah anak-anaknya bermain.  Berlari sana, berlari sini.  Apabila penat, menerpa ke arah Humaira’ meneguk air.

“Okey, Babah dah penat.  Lapar pula tu.  Along dan Angah lapar tak?” dua anak kecil itu mengangguk.

“Jom kita pergi cari kedai makan.  Ajak ibu.  Jom!”

“Jom!” Asyraf dan Arsyad bersorak serentak.  Mereka berlari ke arah ibu mereka.

“Sayang, jom makan,” lembut bahu Humaira’ disentuh.  Humaira’ tersenyum.  Mereka melangkah meninggalkan tasik itu dengan seribu satu kenangan yang setia bertamu di hati.  Tiada lagi cemburu dihati Humaira’ buat Emran.  Bisikan Emran ke telinganya setiap malam membuatkan dia lupa akan kisah cemburunya.

“Sayang, abang nak nyanyi ni.”

“Nyanyi lah, nak dengar.”

“Kuingin engkau menjadi milikku, aku akan mencintaimu, selama hidupku, dan aku kan berjanji, hanya kaulah yang ku sayangi, ku akan setia di sini, menemani…”

“Okey dah!”

“Kenapa?”

“Tengok langit tu, dah mendung!” Humaira’ menjarakkan sedikit tubuhnya dari Emran.  Emran mencuit pinggang Humaira’  Kedua-dua anaknya ketawa melihat telatah ibu bapa mereka.

“Sayang, kuingin kamu!”

Humaira’ tersenyum lagi.  Terlebih makan gula agaknya suaminya ini, sweet sangat! Tapi tak mengapa, Humaira’ tetap akan terus biarkan marakan api cintanya terhadap suaminya ini terus menyala.  Dia tahu, Emran benar-benar menyayanginya.  Humaira’ yakin.  Pelayaran cinta Humaira’ terhadap Emran akan diteruskan hingga ke akhir hayatnya.  Itu janji Humaira’ pada dirinya sendiri.