RSS Feed

Category Archives: 04-Noraz Ikha

Alang-Alang Menyeluk Pekasam – Noraz Ikha

Posted on

AKU baru sahaja menghabiskan pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda di sebuah universiti. Seperti graduan yang lain, aku juga berharap akan mendapat pekerjaan yang baik selepas ini. Tetapi sebelum itu, aku harus bersedia bagi menghadapi cabaran di dalam dunia pekerjaan yang bakal aku tempuhi itu. Antara persediaan yang sudah aku rancangkan ialah pertama, mendapatkan lesen memandu. Kedua ialah mencari maklumat mengenai jawatan kosong yang terdapat di Malaysia ini. Dan ketiga ialah berlatih bercakap di hadapan cermin mengikut panduan menghadapi temuduga yang telah aku perolehi daripada internet.

Hmmm…. rasanya persediaan kedua dan ketiga itu tidaklah menjadi masalah kepadaku. Tetapi, persediaan pertama itu merupakan masalah yang paling besar di dalam hidup aku. Menyentuh stereng kereta pun aku tidak pernah. Ditambah dengan perasan takut yang kuat di dalam diri, mampukah aku belajar memandu? Kebelakangan ini terlalu banyak berita mengenai kemalangan jalan raya yang dipaparkan di dalam surat khabar dan juga di televisyen. Ada yang putus tangan, putus kaki, badan hancur dan macam-macam lagi. Huh, seram aku melihatnya!

Jantung aku ini asyik berdegup dengan laju sahaja apabila teringatkan persediaan pertama itu. Tetapi mahu atau pun tidak, aku harus mendapatkan lesen tersebut kerana aku telah pun mendaftar di sebuah pusat latihan memandu. Dan latihan itu akan bermula pada esok hari. Huwaaa, takutnya!!!

*****

PONNN!!

Bunyi hon bergema dengan kuatnya di kawasan pusat latihan memandu. Bagaimana hon kereta ini boleh berbunyi sedangkan aku tidak berbuat apa-apa pun? Lagi pula aku baru sahaja melangkah masuk ke dalam kereta ini dan terus duduk di kerusi memandu. Alamak! Bagaimana hendak menghentikan bunyi hon ini? Aku lihat hampir semua orang yang berada di pusat latihan  memandu ini sudah memandang ke arah kereta belajar memandu yang sedang aku naiki. Aku mula menjadi tidak tentu arah.

“Alihkan tangan awak tu daripada stereng.” Tiba-tiba telingaku menangkap suara seseorang memberi arahan.

Secara automatik aku menoleh ke arah datangnya suara itu, namun tidak pula aku mahu mematuhi arahan tersebut. Salahkah aku menekan bahagian tengah pada stereng itu sebagai cara meredakan perasaan takut dan debar di dalam diri aku ini? Lagi pula aku harus berani menyentuh stereng kereta, barulah aku akan berani memandu kereta ini nanti.

Aku dapati seorang lelaki dalam lingkungan umur tiga puluh hingga tiga puluh lima tahun yang berada di tempat duduk penumpang hadapan itu sedang memandang aku dengan kening yang berkerut. Namun bibinya seolah-olah mahu mengukir senyuman, tetapi seperti ditahan-tahan. Huh! Jika kau mahu ketawakan aku, ketawa sahajalah. Tidak perlu ditahan-tahan begitu. Memang aku tidak tahu apa-apa berkenaan hal kereta. Dan aku tidak kisah jika kau mahu ketawa sampai berguling-guling sekalipun. Getusku di dalam hati.

“Saya kata, alihkan tangan awak. Bunyi hon ini berpunca daripada bahagian tengah stereng yang awak tekan tu. Di situlah tempat hon,” jelas lelaki itu. Sekali lagi dia mengarahkan aku melepaskan stereng.

Secepat kilat aku mematuhi arahannya. Hisyy, manalah aku tahu di bahagian tengah stereng itu ialah tempat hon! Sesuka hati pula aku menekannya. Aku tersengih kepada lelaki itu sebagai cara mengawal perasaan malu yang pastinya sudah memerahkan wajahku pada saat ini.

“Nama saya Nazhan. Sayalah yang akan mengajar awak memandu kereta ini.” Lelaki itu memperkenalkan diri. Ada senyuman yang terbit di bibir lelaki itu pada hujung ucapannya. Ohh… rupa-rupanya dia ini merupakan cikgu memandu aku.

“Nama saya Nur Nayli Liwani. Encik boleh panggil saya dengan nama Nayli sahaja,” balas aku sambil tersenyum.

“Baiklah, Nayli. Sebelum saya memulakan sesi latihan ini, saya mahu bertanyakan awak satu soalan. Apa yang awak tahu tentang kereta?” tanya Encik Nazhan.

“Saya tak tahu apa-apa tentang kereta. Ini adalah kali pertama saya mahu belajar memandu,” jawab aku dengan jujur.

“Takkanlah awak tak tahu apa-apa? Awak tahu tak benda yang awak tekan tadi itu namanya ialah stereng?” duga Encik Nazhan.

Aku mula mengerutkan kening. Hisyy, itu budak kecil pun tahu! Encik Nazhan ini sengaja mahu mengenakan akukah?

“Awak kata, awak tak tahu apa-apa. Janganlah marah dengan soalan saya tu,” ujar Encik Nazhan sambil tersengih, dia bijak membaca riak wajahku.

Pantas sahaja aku membuang kerutan di keningku. “Tak adalah, saya tak marah,” balas aku dengan diakhiri senyuman yang sengaja dibuat-buat.

“Okey. Sama ada awak sudah tahu ataupun belum, saya mahu memperkenalkan komponen-komponen asas yang wajib diketahui oleh semua pemandu,” suara Encik Azhan. Aku sekadar mengangguk.

Setelah dia memberitahuku di manakah letaknya kedudukan gear satu hingga gear undur pada kotak gear, mengenal pasti yang mana satukah pedal clutch, pedal break, dan pedal minyak di dalam kereta ini, dia menyuruh aku menghidupkan enjin. Dengan perasaan takut dan gemuruh yang kuat, aku memusingkan kuncinya sedikit demi sedikit. Akhirnya enjin kereta telah berjaya aku hidupkan. Fuhh! Lega! Tersenyum panjang aku dibuatnya.

Encik Nazhan mengajar aku bagaimana pula mahu menyalakan isyarat ke kanan dan ke kiri serta bagaimana hendak menghidupkan pengelap cermin kereta hadapan dan belakang.

“Cuba tekan pedal minyak tu,” arah Encik Nazhan.

Hahh!! Tak mahulah! Aku takut untuk menekan pedal minyak itu. Aku bimbang jika kereta ini akan terus meluncur laju tanpa sempat aku mengawalnya. Mati kataklah jawabnya aku nanti.

“Tekan saja pedal minyak tu. Nak takut apa? Jangan risau, kereta ini takkan melompatlah!” tegas Encik Nazhan, seperti dia faham sahaja dengan kebimbangan dan ketakutan yang sedang aku alami pada saat ini.

Perlahan-lahan aku mula menekan pedal minyak. Vroomm!! Kereta viva manual berwarna putih itu mengaum dengan kuat. Pantas sahaja aku melepaskan kembali pedal minyak tersebut. Mujurlah hanya mengaum. Tetapi… mengapa kereta ini tidak bergerak, ya? Bukankah pedal minyak itu bertujuan untuk menggerakkan kereta?

Aku suarakan persoalan yang menyerbu ke dalam kotak fikiranku ini kepada Encik Nazhan. Encik Nazhan mengatakan bahawa kereta itu kini sedang berada di dalam keadaan gear bebas. Andai aku menekan pedal minyak itu sekuat hati sekalipun, kereta itu hanya akan mengaum dan tidak akan bergerak walaupun seinci. Aku mengangguk-angguk seperti burung belatuk apabila mendengar penerangannya itu.

Pertama kali aku berjaya menggerakkan kereta itu, gembira bukan kepalang rasa hatiku ini.  Hari ini, aku diajar memandu hingga ke gear dua. Sesekali kereta itu mengeluarkan bunyi geseran yang kuat dan mengilukan gigi. Keadaan ini berlaku apabila aku gagal memasukkan gear kerana tidak betul menekan pedal clutch. Sudah lebih daripada lima kali aku berpusing di litar pusat latihan memandu itu. Ah, rupa-rupanya bukanlah susah sangat mahu memandu. Puas sungguh aku rasakan apabila kereta itu membelok mengikut arah yang telah aku arahkan pada sterengnya.

*****

AKU berjaya mempelajari cara memandu di bahagian bukit walaupun pada mulanya kereta itu berundur ke belakang. Enjin kereta juga mengaum dengan sangat kuat apabila aku tetap menekan pedal minyak walaupun kereta itu sedang berundur menuruni bukit di dalam litar itu. Begitu juga di bahagian tempat letak kereta, aku telah berjaya meletakkan kenderaan dengan baik walaupun pada awalnya lebih daripada tiga tiang telah aku langgar. Berdenting kuat bunyi tiang itu jatuh ke atas jalan tar hingga menarik perhatian semua orang yang berada di pusat latihan memandu itu. Bukan sahaja orang, kucing yang berada di kedai makan di hujung pusat latihan memandu itu juga turut menoleh ke arahku.

Setiap kali aku melakukan kesalahan, Encik Nazhan akan menegur aku. Perasaan malu memang tidak mampu aku nafikan lagi. Namun demi sekeping lesen, aku tetap wajib meneruskan latihan memandu ini. Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Alang-alang aku belajar memandu, biarlah aku belajar sehingga lulus dan mendapat lesen.  Alang-alang belajar A, biarlah belajar sampai Z. Walaupun aku belum mempunyai kereta sendiri, aku harus mempunyai lesen kereta sebagai persediaan masa hadapan. Aku tidak mahu berada di dalam keadaan sudah hujan barulah sibuk mencari payung. Tiada gunalah lagi payung itu andai diri sudah kuyup.

“Jom kita ke jalan raya,” kata-kata Encik Nazhan itu mengejutkan aku yang sedang berkhayal.

Alamak! Perasaan takut kembali kembali menyerang diriku. Sudahlah di jalan raya itu banyak kenderaan yang laju-laju, haii… bolehkah aku boleh memandu di sana? Aku masih mahu berlatih di dalam litar pusat latihan memandu ini sahaja.

“Encik Nazhan, saya takutlah hendak memandu di jalan raya. Boleh tak kalau saya minta tangguh,” pintaku dengan suara yang hampir menggeletar.

Encik Nazhan memandang sinis ke arah wajahku yang sudah pucat seperti tiada darah.

“Awak nak tangguh sampai bila? Sampai tahun hadapan ke?” soal Encik Nazhan kembali. Kedengarannya dia dia sedang memerli permintaan aku sebentar tadi. Boleh tahan pedas juga ayat yang keluar dari mulutnya itu.

“Eh, tak ada lah sampai tahun hadapan, Encik Nazhan. Tapi tangguhkan sekejap sahaja, dalam dua tiga hari,” balas aku separuh membela diri.

“Hanya kerana awak takut, awak hendak tangguhkan? Memang di dalam memandu kenderaan, kita tidak boleh ada perasaan takut yang cuma akan membuatkan kita menjadi panik. Tetapi cuba awak fikir, apabila kita melayan perasaan takut itu, kita akan menjadi lebih takut lagi. Saya tidak rasa sikap bertangguh itu akan mampu membuang perasaan takut. Sebaliknya sikap bertangguh itu hanya akan membuatkan kita menjadi malas. Inilah punca kepada kebanyakan perancangan yang terhenti di pertengahan jalan. Awak mahu ke usaha mendapatkan lesen awak ini terhenti? Hanya dengan tidak bertangguh sahajalah awak akan mampu melawan perasan takut itu,” luah Encik Nazhan.

Hmmm… panjang sungguh kata-kata Encik Nazhan itu. Aku sudah terasa seperti sedang mendengar ceramah motivasi pula. Siapa suruh aku meminta tangguh? Jika tidak, sudah pasti Encik Nazhan tidak akan berkata sepanjang itu. Tetapi, benar juga apa yang telah Encik Nazhan katakan. Sampai bila aku mahu bertangguh? Belum tentu perasaan takut aku ini akan hilang selepas dua atau tiga hari. Entah-entah makin kuat pula perasaan itu nanti. Hisyy, tidak boleh jadi!

“Baiklah, Encik Nazhan. Saya tidak jadi menangguhkannya,” ucapku diiringi semangat yang penuh di dada.

“Macam itulah kalau mahu jadi orang. Buat sesuatu itu biarlah sampai berjaya. Lepas itu kalau mahu berhenti, berhentilah. Tetapi biasanya, apabila kita sudah berjaya, kita akan berasa sayang untuk berhenti. Kita akan terus memperbaikinya, teruskan… dan teruskan lagi sehingga kita berasa puas dan akhirnya kita berasa bosan. Kemudian kita akan mula mencari sesuatu yang baru,” balas Encik Nazhan.

Siapakah Encik Nazhan ini? Mengapa tutur biacaranya terlalu sarat dengan maksud yang tersirat? Ayatnya juga adakalanya kedengaran sinis dan seperti terkena pada batang hidung aku sendiri.Ssebenarnya persoalan itu tidak perlu aku fikirkan, kerana jawapannya sdah terpapar di hadapan mata. Encik Nazhan itu ialah pengajar di pusat latihan memandu. Dan kemahiran berkata-kata itu ada pada setiap orang yang mahu berfikir dengan aktif dan kreatif.

“Terima kasih. Nasihat dan kata-kata Encik Nazhan itu memang sangat berguna. Tetapi saya kena memikirkannya kembali sebab seperti ada maksud yang tersirat. Encik Nazhan ini pandai berkata-kata. Seharusnya Encik Nazhan menjadi seorang guru,” kataku spontan. Encik Nazhan hanya tersenyum.

Seketika kemudian, aku mula memandu kereta masuk ke jalan raya. Baharulah aku berpeluang untuk memandu hingga ke gear empat. Jika di dalam litar, Encik Nazhan hanya membenarkan aku memandu setakat gear dua sahaja. Katanya, di dalam litar itu memang seharusnya perlu memandu dengan perlahan, demi keselamatan.

Selepas melepasi satu lampu isyarat, aku meneruskan pemanduan seperti biasa. Tetapi semasa aku mahu memasukkan gear dua, tiba-tiba sahaja Encik Nazhan memarahi aku.

“Eh, awak alih gear satu terus ke gear empat? Awak sudah gila ke?? Tekan pedal clutch dan break cepat!” arah Encik Nazhan separuh marah.

Pantas sahaja aku menurut kata-kata Encik Nazhan. Dia terus menukarkan kedudukan gear ke gear yang sepatutnya, iaitu gear dua. Benarkah aku tersalah masukkan gear? Mengapa aku tidak perasan? Bunyi hon daripada kenderaan lain sudah mula kedengaran. Tetapi aku buat tidak dengar sahaja.

“Maaf, Encik Nazhan. Saya tak sengaja,” ucapku bersungguh-sungguh.

“Tak apa. Saya minta maaf juga sebab termarahkan awak tadi. Tapi lain kali awak kena fokus,” tegas Encik Nazhan.

“Baik,” balasku sepatah.

*****

WAKTU pembelajaranku di pusat latihan memandu ini semakin hampir ke penghujungnya. Hari ini aku akan menghadapi ujian memandu bersama pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan. Debar di dadaku ini terasa semakin kuat. Saat namaku dipanggil untuk menjalani ujian memandu pada peringkat jalan raya, perasaan takut dan gemuruh semakin kuat melanda diri. Aku sempat melihat isyarat bagus yang ditunjukkan oleh Encik Nazhan sebagai cara menaikkan semangat dan menenangkan perasaannku. Aku hanya membalas isyarat itu dengan senyuman yang hambar. Syukur, akhirnya aku lulus dalam ujian peringkat jalan raya itu.

Kini aku sedang bersedia untuk menjalani ujian mendaki bukit pula. Dengan penuh keyakinan, aku menekan pedal minyak dan berhenti tepat di tengah-tengah bukit. Aku sudah pandai di bahagian ini. Sewaktu latihan juga aku jarang membuat kesilapan. Namun nasibku kurang baik pada sesi ujian peringkat bukit ini. Kereta yang aku pandu telah menggelongsor ke belakang sewaktu aku mahu menggerakkannya ke hadapan. Gagal! Aku telah gagal!! Semangat aku terus jatuh merudum.

Lama aku tidak mengambil semula ujian memandu peringkat bukit itu. Aku sudah pernah mengambilnya untuk kali kedua, namun masih gagal. Entah di mana silapnya, sewaktu latihan, lancar sahaja pemanduanku. Puas Encik Nazhan menasihatkan aku agar mengambilnya sekali lagi. Tetapi aku tidak mahu. Aku sudah berputus asa. Aku tidak mahu berhadapan dengan kegagalan buat kali ketiga.

Pada saat ini, tiba-tiba sahaja aku teringatkan prinsipku dahulu iaitu alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Alang-alang aku belajar memandu, biarlah aku belajar sehingga lulus dan mendapat lesen.  Alang-alang belajar A, biarlah belajar sampai Z. Ya… dahulu aku pernah berfikir seperti itu. Kini aku sedar, aku harus menyelesaikan apa yang telah aku mulakan. Aku tidak boleh membiarkan sesi ujian memanduku terus tergantung tanpa lesen.

Dengan semangat yang baru, aku menghubungi Encik Nazhan. Aku katakan padanya bahawa aku mahu mengambil ujian memandu itu sekali lagi. Dan akhirnya berkat doa, kesedaran dan semangat yang tinggi untuk mendapatkan lesen, aku telah lulus. Aku bersyukur kepada Allah yang maha esa kerana memberikan aku peluang dan kesedaran di dalam diri untuk meneruskan perjuangan. Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan! Ingatlah peribahasa ini dalam apa jua cita-cita yang ingin dicapai.

-TAMAT-

Bangau Oh Bangau – Noraz Ikha

Posted on


Tok! Tok! Tok!

Bunyi ketukan pintu bilik Mariana bergema. Hesyy, anak dara seorang ni! Agaknya, mahu tunggu matahari berada tegak di atas kepala baharu dia nak bangun tidur. Di dalam hati, Puan Sally menggumam geram.

“Marianaaa, bangun cepat! Mak dah nak keluar ni!” panggil Puan Sally, kuat nada suaranya.

Sementara di dalam bilik itu, Mariana masih berselubung selimut sehingga menutupi kepalanya. Mujur sahaja selimut itu berwarna merah jambu. Jika berwarna putih, bukankah sudah kelihatan seperti mayat? Hai… Mariana… Mariana… Dia langsung tidak memberi tindak balas terhadap panggilan Puan Sally. Tidurnya begitu lena. Barangkali, dia sedang mimpikan putera raja datang melamar dirinya.

“Marianaaaaa!!!”  Kali ini Puan Sally menyeru dalam nada yang paling kuat. Terasa mahu keluar anak tekaknya.

Mata Mariana terbuka secara spontan. Telinganya dapat menangkap jeritan ibunya yang agak menakutkan. Kenapakah dengan ibunya itu? Tergesa-gesa dia menyelak selimut. Dia terus bangun dan melangkah ke pintu.

“Kenapa, mak? Pagi-pagi lagi dah buat orang terkejut,” terus Mariana menyoal sebaik wajah ibunya terpapar di ruang matanya.

“Pagi-pagi apanya? Dah hampir pukul sepuluh pagi ni. Hei, Mariana! Anak dara tak boleh bangun lewat macam ni tau,” bebel Puan Sally. Mariana sudah membuat gaya mahu menutup telinga.

“Alah, mak…. sekali-sekala aje,” bela Mariana sambil mempamerkan riak kasihan pada wajahnya.

“Banyaklah kamu punya sekali-sekala. Mak nak keluar dengan Mak Cik Midah ni. Kamu tolong jaga adik kamu tu, tau!” arah Puan Sally sambil matanya melirik ke arah Adriana Iffah yang sedang menonton rancangan kartun di televisyen.

“Tapi mak…” Belum sempat Mariana menghabiskan kata-katanya, terdengar suara seseorang memberi salam. Spontan perhatian mereka terarah ke pintu rumah. Puan Hamidah sudah tercegat di situ bersama anak lelakinya yang baru berumur sepuluh tahun, sebaya dengan Adriana Iffah.

“Waalaikumussalam, Midah. Jemput masuk,” pelawa Puan Sally sambil langkahnya disusun laju ke pintu yang sudah sedia terbuka.

Tanpa membuang masa, Puan Hamidah dan Harraz Rifqi melangkah masuk.

“Ha, ni Mariana… kamu tolong jaga sekali si Rifqi.” Puan Sally menambah arahannya. Mariana dilihat sedang menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Mak dengan Mak Cik Midah ni, nak ke mana? Hari ni, Mariana pun ada hal juga. Mana boleh jaga budak dua orang ni, mak!” Cepat-cepat Mariana memberitahu sebelum rancangannya untuk keluar berjumpa kekasih hati berkubur begitu sahaja.

“Kamu jangan nak mengada-ada. Hal kamu tu tak penting. Kamu nak jumpa Faizal, kan? Tak payah! Hal mak dengan Mak Cik Midah kamu ni lagi penting. Kami perlu menghadiri mesyuarat Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Limau Manis ni. Kamu nak kampung kita mundur?” jelas Puan Sally. Sempat dia menyedarkan Mariana tentang masa hadapan Kampung Limau Manis.

“Mak ni… balik-balik masa depan Kampung Limau Manis. Yalah, mak dengan Mak Cik Midah kan orang kuat kampung. Tapi, nanti mak jangan menyesal pula kalau Mariana tak kahwin. Sebabnya, mak selalu halang rancangan anak mak nak keluar dating. Mak jangan lupa, umur Mariana dah dua puluh satu tahun tau. Mak nak ke anak mak ni jadi anak dara tua?” luah Mariana separuh mengugut.

Terbeliak mata Puan Sally mendengar kata-kata Mariana. Adakah patut Mariana berkata begitu?

“Kamu jangan nak merepek. Kamu tu muda lagi. Lagipun, tak ke mananya si Faizal tu. Kalau dia tak mahu dengan kamu, tahulah apa mak nak buat dengan dia,” balas Puan Sally. Kata-katanya penuh dengan makna tersirat.

“Mak ni, pandai-pandai aje. Jangan nak buat rancangan yang bukan-bukan pula ya, mak!” Mariana memberi amaran kepada ibunya.

“Dah… dah… Rifqi, hari ni Rifqi duduk dengan Iffah, ya? Nanti mak cik balik, mak cik bawa aiskrim Cornetto.” Puan Sally mengalihkan perhatiannya kepada Harraz Rifqi dan Adriana Iffah pula.

Harraz Rifqi hanya mengangguk. Manakala, Adriana Iffah sudah tersenyum sambil memandang Harraz Rifqi.

“Mak keluar dulu ya, Iffah. Jangan nakal-nakal. Dengar cakap Kak Mariana, tau!” Puan Sally mengingatkan Adriana Iffah pula.

“Baik, mak,” ringkas sahaja balasan yang keluar dari mulut Adriana Iffah.

Tidak berapa lama kemudian, Puan Sally dan Puan Hamidah sudah keluar rumah. Meninggalkan Adriana Iffah dan Harraz Rifqi di bawah jagaan Mariana.

“Helo, Faizal! Maaf… Saya tak boleh keluar. Mak suruh saya jaga Iffah dengan Rifqi…” Terdengar suara Mariana, separuh merengek di sebalik pintu bilik yang sudah tertutup itu.

**********

KINI, tinggal Adriana Iffah dan Harraz Rifqi sahaja di ruang tamu. Mariana yang sudah masuk ke bilik tidak pula keluar-keluar sejak tadi. Entah apalah yang dibuatnya di dalam bilik itu.

Senaskhah majalah di atas meja yang sudah sedia terbuka helaiannya menarik perhatian Harraz Rifqi. Perlahan-lahan dia mendekati majalah tersebut.

TANDA-TANDA KITA JATUH CINTA

Suara Harraz Rifqi yang kuat membaca tajuk di dalam majalah itu telah menarik perhatian Adriana Iffah. Spontan dia menoleh ke arah Harraz Rifqi. Keningnya sedikit berkerut. Seketika, dia sudah duduk di sisi Harraz Rifqi. Nampaknya, dia juga tertarik dengan apa yang sedang dibaca oleh Harraz Rifqi itu.

“Jatuh cinta tu, apa ya?” Tiba-tiba Adriana Iffah menyoal.

“Jatuh cinta tu… jatuh cintalah.” Harraz Rifqi menjawab. Yakin sahaja gayanya, walhal, dia juga tidak pasti.

“Sama tak macam kita jatuh tangga?”  Adriana Iffah bertanya lagi.

Dua-dua sebutan ada perkataan jatuh. Bukankah lebih kurang sahaja bunyinya tu? Fikir Adriana Iffah di dalam hati.

“Kena jatuh tangga dulu baharu akan jatuh cinta kut,” kata Harraz Rifqi sambil mengusap-usap dagunya. Gayanya seperti sedang memikirkan masalah negara.

“Hahahaha!!!”

Tiba-tiba perbualan dua orang kanak-kanak itu terganggu dengan bunyi ketawa kuat yang sudah kedengaran seperti orang hilang akal. Rupa-rupanya Mariana yang sedang ketawa sambil menekan perut di hadapan pintu biliknya. Geli hati sungguh dia apabila terdengar teori tidak munasabah yang keluar dari mulut Adriana Iffah dan Harraz Rifqi.

“Kenapa Kak Mariana ketawa?” soal Adriana Iffah tidak puas hati.

Mariana menghampiri Adriana Iffah dan Harraz Rifqi dengan tawa yang masih bersisa. Kemudian, dia duduk di atas sofa tanpa berlengah.

“Korang nak dengar sebuah cerita tak? Cerita best punya!” ajak Mariana dengan penuh semangat.

Luas bukaan mata Adriana Iffah dan Harraz Rifqi. Teruja.

“Nak… Nak… Cerita cinta ke, kak?” Spontan Rifqi bertanya.

Mariana mengecilkan matanya. Haisy, budak ni. Tak padan dengan kecil. Mahu cerita cinta saja. Hmmm…. sebenarnya salah Mariana juga. Siapa suruh dia letak majalah yang ada topik cinta itu di tempat umum a.k.a di ruang tamu. Tidak pasal-pasal sahaja budak kecil yang membacanya.

“Hei, budak kecil tak boleh tahu cerita cintalah. Gatal Rifqi ni, ya!”

Mariana menegur sambil berpura-pura marah. Matanya dijegilkan ke arah Harraz Rifqi yang sedang tersengih. Sementara Adriana Iffah pula terkebil-kebil tidak faham apa-apa.

“Okey la, akak rasa…. akak boleh ceritakan kisah cinta. Tapi, kisah cinta ni ialah kisah cinta sepasang bangau,” ujar Mariana sambil mengambil majalah yang masih berada di atas meja itu. Cepat-cepat dia menyimpannya di dalam laci meja. Majalah itu tidak sesuai dibaca oleh kanak-kanak.

“Bangauu??” Serentak Adriana Iffah dan Harraz Rifqi bersuara. Laju Mariana mengangguk.

“Bangau oh bangau…. kenapa engkau kurus. Macam mana aku tak kurus… ikan tak mahu timbul.” Tiba-tiba Harraz Rifqi menyanyi. Dia dan Adriana Iffah baru sahaja mempelajari lagu ini di sekolah untuk satu persembahan lakonan.

“Iffah pun nak nyanyi juga! Ikan oh ikan… kenapa kau tak mahu timbul. Macam mana aku nak timbul… rumput panjang sangat,” sambung Adriana Iffah pula.

Kemudian, mereka memandang Mariana.

“Akak, sambunglah!” Serentak itu juga mereka berkata.

Adoii, aku kena nyanyi juga ke? Fikir Mariana sambil menggaru-garu kepalanya. Ah… layan sahajalah mereka ni. Putus Mariana kemudian.

“Rumput oh rumput…. kenapa kau panjang sangat. Macam mana aku tak panjang…. kerbau tak makan aku.” Adriana menyanyi.

“Hahahaha….” Mereka ketawa serentak. Seronok sungguh rasanya.

“Kau orang berdua ni, tahu ke apa maksud lagu ni?” Sengaja Mariana bertanya.

“Cikgu kata, jangan suka salahkan orang lain kalau terjadi apa-apa yang buruk,” jawab Adriana Iffah dan disokong Harraz Rifqi.

“Okey, akak nak cerita ni. Pada zaman dahulu kala, ada seekor bangau jantan dan seekor bangau betina. Kedua-dua bangau ni merupakan sepasang kekasih yang sangat bahagia. Kalau Iffah dan Rifqi nak tahu, tempat tinggal bangau ni tak tetap. Sebab, bangau hidup dengan cara berpindah randah. Sekejap tinggal kat pantai sini, sekejap tinggal kat pantai sana.” Mariana berhenti sebentar untuk mengambil nafas panjang.

“Oh…. kesian bangau tu sebab kena pindah-pindah, kan? Bangau tu tak ada rumah sendiri ke, kak?” soal Adriana Iffah. Dia kelihatan sungguh berminat dengan cerita yang sedang disampaikan oleh Mariana itu. Begitu juga dengan Harraz Rifqi.

Mariana ketawa mendengar soalan itu. Alahai…. budak kecil ini. Rumah pula yang ditanya.

“Bangau tak ada rumahlah, sayang. Bangau tinggal kat kawasan pantai,” jawab Mariana sambil menggosok kepala Adriana Iffah. Kusut masai jadinya rambut budak kecil itu.

“Ooo…!” Mulut Adriana Iffah sudah membentuk huruf ‘O’.

“Okey, akak sambung ya. Pada suatu hari, tibalah masanya untuk pasangan bangau ini berpindah dan mencari tempat tinggal atau pantai yang baharu. Mereka pun terbang… terbang… dan terus terbang. Tengah asyik terbang ni, mereka tak perasan yang ada seorang pemburu kat bawah tu tengah menghalakan senapangnya ke arah mereka.” Sekali lagi Mariana berhenti bercerita. Dia menghela nafasnya dalam-dalam sambil memejamkan mata, seolah-olah dia pula yang sedang berhadapan dengan risiko muncung senapang itu.

“Lepas tu, apa yang terjadi, kak?” Harraz Rifqi sudah tidak sabar untuk mengetahuinya.

“Bangau tu kena tembak ke??” Adriana Iffah menambah soalan.

“Sabar ya, adik-adikku. Akak nak ceritalah ni. Akhirnya, pemburu tu menembak bangau betina dan bangau jantan pula terselamat.”

Mulut Adriana Iffah dan Harraz Rifqi melopong. Mariana tersenyum melihat reaksi mereka.

“Tapi, sebenarnya pemburu tu bukanlah seorang yang jahat. Dia membawa bangau betina itu kepada doktor haiwan dan merawat lukanya,” sambung Mariana.

“Wah…. baiknya pemburu tu!” celah Adriana Iffah.

“Betul tu, Iffah. Okey, akak nak tanya. Korang rasa, apa yang terjadi kepada bangau jantan selepas kekasihnya iaitu bangau betina tinggal dengan pemburu tu? Mereka telah terpisah ni,” soal Mariana.

Adriana Iffah dan Harraz Rifqi berpandangan. Kemudian mereka menggeleng. Tidak mampu teka apa yang terjadilah.

“Ha… bahagian inilah yang akak suka nak cerita. Sebenarnya, bangau ialah seekor burung yang sangat terkenal dengan nilai setia.” Cerita Mariana terhenti lagi kerana dia terdengar soalan daripada Harraz Rifqi.

“Bangau tu burung? Bukan ke burung tu selalunya kecil-kecil? Tapi, bangau tu besar,” sangkal Harraz Rifqi dengan perasaan Pelik. Dia kurang faham.

“Ya, Rifqi. Bangau tu memang sejenis burung walaupun saiznya besar. Okey, burung helang besar tak?” Mariana sedang cuba memberi kefahaman kepada Harraz Rifqi. Terbantut sudah niatnya untuk bercerita mengenai nilai setia yang ada pada bangau.

“Besarrr! Burung helang boleh angkat orang dengan cakarnya. Burung helang kuat!” Begitu bersemangat Harraz Rifqi menjawab.

“Ha… tu, besar kan? Tadi Rifqi kata, kalau burung kecil aje?” duga Mariana.

“Opsss!!!” Harraz Rifqi menutup mulutnya. Sedar bahawa dia sudah tersilap cakap.

“Tapi, bangau tu tak nampak macam burung, pun?” celah Adriana Iffah pula.

“Okey, akak faham. Bangau tak nampak macam burung sebab kakinya panjang. Lepas tu, lehernya pun panjang, kan? Tapi, bangau ada paruh. Dia ada kepak. Dan dia juga boleh terbang, sama macam burung-burung yang lain,” terang Mariana. Dia perlu bersabar dalam melayan kerenah dan pertanyaan dua orang kanak-kanak di hadapannya itu.

“Ooo…!” Sekali lagi mulut Adriana Iffah membentuk huruf ‘O’. Harraz Rifqi pula mengangguk tanda faham.

“Okey, kita sambung cerita tadi. Lepas bangau betina itu ditangkap pemburu, bangau jantan berasa sangat sedih. Tapi, dia kena meneruskan perjalanannya. Lalu, dia pun terbang meninggalkan bangau betina itu di bawah jagaan pemburu.”

Mariana berhenti bercerita lagi apabila dilihatnya Harraz Rifqi seperti mahu memperkatakan sesuatu. Lalu Mariana memandang dan memberi isyarat mata agar Harraz Rifqi meluahkan apa yang sedang bermain di fikirannya saat itu.

“Rifqi tak puas hatilah! Kenapa bangau jantan tu tak pergi selamatkan bangau betina? Kenapa dia sanggup tinggalkan kekasihnya?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Harraz Rifqi. Sementara itu, Adriana Iffah mengangguk-angguk tanda menyokong pertanyaan rakan sepermainannya itu.

Errkk! Mariana terkedu dengan soalan tersebut. Dia sendiri tidak pernah memikirkannya. Bagaimana budak sekecil Harraz Rifqi boleh terfikir tentang hal itu? Anak kecil zaman sekarang… lain cara berfikirnya. Dia memperoleh kisah bangau ini melalui internet. Namun, tidak pula diceritakan kenapa bangau jantan itu tidak menyelamatkan bangau betina. Buat seketika, Mariana buntu. Apa dia mahu jawab? Akhirnya dia mendapat satu idea.

“Sebabnya, bangau jantan tu sedar bahawa dia tak mampu merawat kecederaan bangau betina yang sangat teruk. Bangau betina tu lumpuh dan dia tak mampu terbang lagi. Mujurlah bangau betina tu tak mati. Bukankah tadi akak kata, hidup bangau ni berpindah-randah. Kalau bangau betina tu dah tak boleh terbang, macam mana dia nak ikut bangau jantan cari tempat tinggal baharu? Lagipun, pemburu itu sudah menyediakan sarang untuk bangau betina itu tinggal,” jawab Mariana penuh yakin.

“Oh…. kesiannya mereka.” Serentak Harraz Rifqi dan Adriana Iffah mengeluh. Bagai sehati sejiwa pula mereka itu.

“Okey, akak sambung cerita lagi. Walaupun mereka sudah terpisah, bangau jantan tu tak pernah berhenti daripada mencintai bangau betina. Begitu juga dengan bangau betina. Pendek kata, mereka ialah pasangan kekasih yang sangat setia. Bangau jantan sanggup terima hakikat yang kekasihnya itu sudah cacat. Perasaan cintanya semakin kuat. Bangau jantan itu juga sanggup terbang dari tempat tinggal baharunya yang jauh beribu batu untuk pulang melawat bangau betina yang setia menunggu. Mereka tetap hidup bahagia. Macam itulah cara mereka menjalani hidup selepas kejadian malang itu. Cerita tamat. Hehehe… suka tak?” Mariana menamatkan ceritanya sambil tersenyum.

“Sukaaa!!!” jerit Adriana Iffah dan Harraz Rifqi.

“Pengajarannya, kita kena setia dan jaga orang yang kita sayang macam pasangan bangau tadi. Kita kena terima walau bagaimana keadaannya. Jangan pula masa dia susah atau sakit, kita tinggalkan dia. Tak berhati perut tu namanya. Tentu korang pun ada orang yang korang sayang, kan? Contohnya, macam kawan-kawan dan keluarga. Ha… korang sayang akak tak ni??” Sengaja Mariana menduga mereka.

“Sayanggg!!” sahut Adriana Iffah dan Harraz Rifqi. Senada.

Mariana memeluk mereka. Senang rasa hatinya melihat mereka yang menurut kata. Cuma mulut mereka sahaja yang banyak bertanya. Hmmm…. layankan sahajalah!

“Bagus. Akak pun sayang sangat pada korang. Nanti kalau akak sakit, korang kena jaga akak tau. Rifqi sayang Iffah tak?” soal Mariana tiba-tiba. Hehehe…. seronok pula dia berbual dengan mereka.

“Mestilah sayang, kak. Akak jangan risau. Nanti kalau Iffah sakit, Rifqi akan jaga dia,” jawab Harraz Rifqi. Terpancar kejujuran dan keikhlasan pada riak wajahnya.

Mariana tersenyum. Bagusnya Harraz Rifqi. Detik Mariana jauh di sudut hatinya.

“Iffah? Sayang Rifqi tak?” Kali ini Mariana bertanya kepada Adriana Iffah pula.

“Sayang,” jawab gadis kecil itu sambil tersipu-sipu.

“Alala… comelnya adik akak ni!” balas Mariana sambil mencubit pipi Adriana Iffah. Adriana Iffah cuba mengelak sambil tergelak.

“Akak nak ajar cara membuat burung bangau menggunakan kertas. Siapa nak belajar angkat tangan cepat!” ajak Mariana kemudian.

Kedua-dua kanak-kanak itu mengangkat tangan dengan pantas.

Mariana mengambil kertas A4 berwarna warni dari dalam bilik. Gamat suasana di ruang tamu itu apabila mereka saling membaling bangau masing-masing yang sudah berjaya disiapkan. Konon-kononnya mahu menerbangkan bangau kertas itu. Tidak ada maknanya, semua bangau kertas itu jatuh semula ke lantai.

Ding… Dong!

“Assalamualaikum!”

Tiba-tiba loceng rumah berbunyi diikuti ucapan salam. Itu macam suara mak! Jerit Mariana dalam hati. Cepat-cepat dia membuka pintu.

“Waalaikumussalam, mak,” balas Mariana. Tepat tekaannya. Puan Sally dan Puan Hamidah sudah tercegat di depan pintu.

“Ya-Allah! Apa yang kau orang buat di rumah ni?? Masya-Allah…. bersepah dengan kertas warna warni,” bebel Puan Sally sebaik masuk ke dalam rumah.

Mariana, Harraz Rifqi, dan Adriana Iffah hanya tersengih mendengar bebelan tersebut.

**********

KETIKA ini, Mariana, Adriana Iffah, Puan Sally dan suaminya iaitu Encik Hussein sudah berada di meja makan rumah Puan Hamidah kerana menerima jemputan makan malam. Ada berita yang mahu disampaikan katanya. Berita apa itu tidak pula Puan Sally sekeluarga tahu. Hati mereka tertanya-tanya juga. Seperti ada berita gempar pula.

“Ada berita apa ni, Midah?” Puan Sally bertanya dalam nada kurang sabar. Suaminya hanya memerhati.

“Rasanya, eloklah kalau Lan yang jelaskan. Silakan, bang!” Puan Hamidah mempersilakan suaminya.

“Sebenarnya, saya dinaikkan pangkat daripada jawatan penolong pengurus kepada pengurus cawangan. Syarikat menghantar saya untuk menguruskan cawangan syarikat yang baharu. Tempatnya jauh pula dari kampung ni. Tak laratlah saya nak berulang-alik setiap hari. Jadi, terpaksalah kami sekeluarga pindah dari sini,” terang Encik Mazlan.

“Ya ke?” Hanya perkataan itu yang mampu Puan Sally katakan. Mulutnya sudah melopong. Dia benar-benar terkejut.

Nampaknya, Puan Sally bakal kehilangan sahabat baik merangkap penyokong setianya dalam mesyuarat ahli jawatankuasa kampung. Adriana Iffah juga bakal kehilangan rakan sepermainannya iaitu Harraz Rifqi.

“Sally, aku sebenarnya sayang sangat nak tinggalkan kampung ni. Lepas ni, aku mesti rindu nak berpersatuan dengan kau,” luah Puan Hamidah. Suaranya kedengaran sangat sebak.

Tanpa menunggu lama, Puan Hamidah bangun dan dia terus memeluk Puan Sally. Air matanya sudah bercucuran. Puan Sally pula masih kaku kerana terkejut. Sunyilah dia nanti tanpa Puan Hamidah di sisi.

“Bila pindahnya, Lan?” Encik Hussein yang senyap dari tadi mula bersuara.

“Esok, Sein,” jawab Encik Mazlan dengan berat hati.

“Cepatnya!” Serentak Encik Hussein dan Puan Sally bersuara.

Semakin lemah semangat Puan Sally mendengar jawapan Encik Mazlan itu. Puan Hamidah mengeratkan pelukannya. Sebenarnya, Puan Hamidah sudah mengetahui hal perpindahan ini sejak sebulan lalu. Tetapi, dia tidak sampai hati untuk memberitahu Puan Sally dan keluarganya.

Sementara itu, terdapat seseorang yang lain sedang kuat menahan perasaan di meja makan itu. Jiwanya seperti mahu memberontak. Dia tidak bersetuju dengan perpindahan yang bakal berlaku pada esok hari. Dia tidak suka!!!!

“Rifqi tak mahu pindahhh!!” bentak Rifqi secara tiba-tiba. Tinggi sungguh nada suaranya.

Semua orang terperanjat dengan bentakan itu. kini, semua mata sudah menghala ke wajah Harraz Rifqi.

“Rifqi?” tegur Puan Hamidah sambil menghampiri anak lelakinya itu.

Namun, belum sempat bahu Harraz Rifqi disentuh, Harraz Rifqi bingkas bangun dan berlari keluar dari ruang makan keluarganya itu. Tindakan Harraz Rifqi itu disusuli Adriana Iffah pula. Sekali lagi semua yang berada di situ tergamam. Ke mana mereka mahu pergi?

**********

HARRAZ RIFQI mencabut-cabut rumput yang ada di tempat duduknya. Geram! Sudah banyak kali dia memberitahu ayah dan ibunya yang dia tidak mahu berpindah. Tapi, langsung mereka tidak mahu mendengar.

“Rifqi.” Terdengar suara seseorang menegur.

Harraz Rifqi menoleh. Adriana Iffah sudah tercegat di sebelahnya.

“Iffah,” pendek sahaja balasan Harraz Rifqi. Sekadar mencukupkan syarat untuk bersuara.

Adriana Iffah turut duduk di samping Harraz Rifqi, di taman permainan Kampung Limau Manis.

“Saya tak nak pindah dari sini, Iffah.” Harraz Rifqi meluahkan rasa hatinya yang semakin membuatkan dia tertekan.

“Saya pun tak nak awak pindah dari sini. Nanti saya tak ada kawan nak main. Tak seronoklah kalau awak tak ada,” luah Adriana Iffah. Dia juga turut bersedih.

“Saya takkan pergi dari sini. Awak jangan risau, saya takkan tinggalkan awak. Kita akan terus main sama-sama,” azam Harraz Rifqi.

“Betul??”

“Saya janji!”

**********

KEESOKAN harinya………

“Assalamualaikum!!” Kuat Adriana Iffah mengucap salam.

Dia berasa sangat pelik. Sudah berkali-kali dia memberi salam. Tapi, pintu rumah Harraz Rifqi masih juga bertutup. Ke mana perginya Harraz Rifqi?

“Iffah…”

Adriana Iffah terkejut dengan sapaan itu. Pantas dia berpaling.

“Rifqi dah pindah, Iffah,” beritahu Mariana sambil memeluk bahu adik perempuan kesayangannya itu.

Adriana Iffah menggeleng-geleng. Dia tidak percaya.

“Akak, Rifqi dah janji yang dia takkan tinggalkan Iffah. Dia takkan pindah dari sini!” Adriana Iffah menafikan hakikat yang sudah jelas terbentang di hadapan matanya.

“Rifqi dah pindah, sayang. Takkanlah keluarganya nak tinggalkan dia seorang kat sini.” Mariana cuba menerangkan perkara sebenar.

“Rifqi kata, dia sayangkan Iffah. Iffah pun sayangkan dia. Kalau dia dah pergi, maknanya dia tak sayang pada Iffah lagi. Iffah benci dia!” bentak Adriana Iffah.

Air matanya mula tumpah ke pipi. Manakala sendunya mula kedengaran. Mariana menggeleng. Kasihannya Iffah. Detik hati Mariana

**********

Imbas kembali…..

“Macam mana dengan Rifqi, bang? Dia tak nak pindah.” Puan Hamidah meluahkan kerisauannya. Dia sudah duduk berhadapan dengan suaminya di meja makan.

“Mana dia sekarang?” Encik Mazlan bertanya kembali.

“Ada kat dalam bilik. Dari tadi saya panggil dia sarapan. Tapi dia tak nak keluar. Kunci pintu pula tu,” adu Puan Hamidah.

“Walau bagaimanapun, kita kena bawa Rifqi sekali. Takkan kita nak tinggalkan dia kat sini pula,” tegas Encik Mazlan.

Encik Mazlan bangun dan membuka kabinet dapur. Dia mengeluarkan ubat tidur, lalu dicampurkan ke dalam segelas air. Terbuntang mata Puan Hamidah melihat apa yang sedang dilakukan suaminya.

“Abang nak buat apa dengan ubat tidur tu? Kejap lagi abang nak memandu, kan?” tegur Puan Hamidah sepantas mungkin.

“Abang nak bagi anak kita tu minum. Nanti masa dia tertidur lepas minum air ni, kita angkat dia masuk kereta,” terang Encik Mazlan.

Sekali lagi mata Puan Hamidah terbuntang.

“Abang, anak kita tu baru aje bangun tidur. Abang nak suruh dia tidur lagi?”

“Dah tak ada cara lain lagi. Dia mati-mati tak nak pindah.”

Puan Hamidah terdiam.

Di dalam bilik, Harraz Rifqi sedang duduk berteleku di atas katil. Dia mendengar panggilan ibunya. Namun, dia tidak peduli. Dia masih mahu menunjukkan bantahan kepada isu perpindahan mereka.

“Rifqi, ayah ni. Tolong buka pintu ni, sayang!”

Kali ini Harraz Rifqi terdengar suara ayahnya pula. Ahhh, dia tidak peduli! Biarkan mereka. Dia terus berbaring dan memejamkan mata. Pura-pura tidur.

“Rifqi, ayah tahu Rifqi tak nak pindah. Ayah ikut kemahuan Rifqi. Kita tak jadi pindah. Tapi, Rifqi tolong buka pintu ni dulu, ya!” Encik Mazlan cuba menarik perhatian Harraz Rifqi.

Mendengarkan itu, mata Harraz Rifqi terbuka dengan luas. Laju dia bangun dan terus membuka pintu. Encik Mazlan tersenyum sambil memasuki bilik itu. Dia duduk di atas katil. Begitu juga dengan Harraz Rifqi.

“Betul ke kita tak jadi pindah?” soal Harraz Rifqi. Dia mahukan kepastian. Kalaulah benar, alangkah seronoknya!

“Rifqi tentu haus. Daripada bangun tidur lagi Rifqi tak minum apa-apa, kan? Minum air ni dulu, Rifqi,” pelawa Encik Mazlan tanpa menjawab soalan Harraz Rifqi.

Gelas di tangan Encik Mazlan itu diunjukkan kepada Harraz Rifqi. Tanpa ragu-ragu, Harraz Rifqi terus mencapai gelas tersebut dan meminum airnya sehingga habis.

“Betul ke kita tak jadi pindah ni, ayah?” Sekali lagi Harraz Rifqi menyoal.

“Betul.” Encik Mazlan terpaksa menjawab begitu.

“Kenapa tak jadi?” Harraz Rifqi terus bertanya.

“Rifqi tak payahlah fikir pasal perkara ni lagi. Ayah nak keluar dulu. Rifqi berehat, ya. Nanti, ayah bawakan sarapan,” jawab Encik Mazlan.

Beberapa minit selepas Encik Mazlan keluar, Harraz Rifqi mula berasa mengantuk. Dia pun berbaring dan terus tertidur.

**********

TIDUR Harraz Rifqi yang nyenyak itu terganggu dek hentakan yang menggegarkan tubuhnya. Perlahan-lahan dia membuka mata. Kepalanya terasa sedikit sakit dan pening. Mungkin kerana hentakan itu atau kerana dia terlebih tidur.

Eh, kat mana ni? Hati Harraz Rifqi berdetik. Hairan. Dalam kereta? Dia menoleh ke arah ayahnya yang sedang memandu.

“Ayah! Ayah kata kita tak jadi pindah!” Harraz Rifqi melenting.

“Maaf, Rifqi. Kita kena pindah.” Hanya itu yang mampu Encik Mazlan ucapkan.

“Ayah tipu!!!”

Bunyi raungan Harraz Rifqi itu bergema di dalam kereta. Hampir sahaja Encik Mazlan dan Puan Hamidah menyumbat kapas ke dalam telinga. Bingit. Maafkan kami, sayang.

**********

Dua minggu kemudian……

“Iffah, bangun. Tak nak pergi sekolah ke?” Puan Sally mengejutkan Adriana Iffah.

Adriana Iffah tidak memberi tindak balas. Matanya terus terpejam. Puan Sally berasa hairan. Pantas dia menyentuh dahi anaknya itu. Ya-Allah, panasnya! Demam ini!

“Rifqi… Rifqi….”

Terdengar Adriana Iffah meracau dalam lenanya. Puan Sally kaget. Dia mula mengetap bibir sambil menahan sebak di dadanya.

“Iffah benar-benar rindukan Rifqi. Semoga suatu hari nanti, Iffah akan bertemu kembali dengan dia. Sabar ya, sayang,” bisik Puan Sally sambil mengusap lembut kepala Adriana Iffah. Kemudian, dia mengucup dahi anaknya itu dengan penuh rasa kasih.

**********

Sepuluh tahun kemudian……

Masa yang berlalu telah mengubah keadaan. Adriana Iffah dan Harraz Rifqi yang dahulunya kanak-kanak, kini sudah meningkat dewasa. Sudah dua puluh tahun umur mereka. Mereka sedang menuntut di universiti yang sama. Namun, masing-masing tidak mengenali. Manakala, Mariana sudah berkahwin dengan cinta hatinya iaitu Faizal.

“Iffah, kau ni macam budak kecillah. Setiap hari kau buat bangau guna kertas. Bilik ni dah jadi macam taman permainan kanak-kanak aje aku tengok. Kau buat apa dengan bangau kertas banyak-banyak macam ni?” tegur Suhaila iaitu rakan sebilik Adriana Iffah di universiti.

Suhaila membuka sebuah kotak lutsinar besar yang dipenuhi dengan bangau-bangau kertas hasil tangan kreatif Adriana Iffah. Berwarna-warni lagi.

“Suka hati akulah kalau aku nak jadi budak kecil pun. Ada kau kisah?” Balas Adriana Iffah dengan selamba. Dia sibuk membuat bangau kertas yang baharu.

Suhaila ternampak sehelai kertas panjang terselit di antara bangau-bangau kertas yang berselerak di dalam kotak tersebut. Tanpa membuang masa, dia terus mengambil dan membaca tulisan pada kertas itu.

“Kau ni memang betul-betul buat lawaklah. Lagu Bangau Oh Bangau pun ada dalam kotak ni. Dah sah-sahlah kau teringin nak balik ke zaman kanak-kanak, kan?” duga Suhaila.

“Zaman kanak-kanak ialah zaman yang paling seronok dalam hidup aku. Aku tak akan berhenti daripada merindui semua yang ada pada zaman itu,” luah Adriana Iffah sejujur hati.

“Wahh, mesti kau ada pengalaman yang best, kan? Ceritalah kat aku pasal zaman kanak-kanak kau!” pinta Suhaila bersungguh-sungguh. Dia menggoyang-goyangkan tangan Adriana Iffah.

“Mana boleh cerita. Rahsia!” balas Adriana Iffah dengan sengihan yang meleret.

“Okey…. Kalau kau tak nak cerita, esok aku buang kotak bangau kau ni,” ugut Suhaila.

“Kalau kau berani, buanglah!” Adriana Iffah tidak mahu mengaku kalah.

“Oohh… Kau ingat, aku tak berani buang, ya? Tak apa, kau tengoklah esok pagi. Jangan menyesal.” Suhaila memberi ingatan.

Adriana Iffah hanya mencebik. Apa-apa ajelah si Suhaila ni. Bisik Adriana Iffah di dalam hati.

**********

Keesokan harinya…….

“Suhaila! Bangun cepat! Mana kau buang kotak bangau aku tu??” jerit Adriana Iffah sambil menggoyang-goyangkan badan Suhaila.

Suhaila pura-pura tidur. Dia ketawa terbahak-bahak di dalam hati. Padan muka dia! Dia ingat aku cakap main-main agaknya semalam, ya? Rasakannn. Hati Suhaila berkata-kata.

“Aku tau kau tak tidur. Janganlah buat aku macam ni. Kesianlah sikit kat aku. Suhailaaa,” rengek Adriana Iffah.

Apa hal aku nak kesian kat kau? Itulah, cakap orang tak nak dengar! Suhaila terus membebel di dalam hati. Dia terus membatu.

“Yalah…. Aku cerita kisah zaman kanak-kanak aku nanti. Tapi, kau pulangkanlah dulu kotak bangau aku,” pancing Adriana Iffah.

Spontan mata Suhaila terbuka.

“Serius?” tanya Suhaila sambil bangun.

“Serius!!” balas Adriana Iffah.

“Hmmm…. Tapi…. Aku dah buang kat tempat sampah belakang asrama kitalah,” lambat-lambat Suhaila memberitahu.

“Apa??!” Spontan Adriana Iffah menjerit.

Tanpa membuang masa, dia terus berlari keluar untuk mendapatkan kembali kotak bangau kesayangannya. Penat-penat aku buat bangau tu, senang-senang pula kau nak buang, ya! Bebelnya di dalam hati.

Nasib baik kotak bangau itu masih berada di tempat sampah. Kalau tidak, menangis tak berlagulah dia jawabnya. Dia mengusap-usap kotak tersebut sebelum mengangkatnya. Langkahnya terhenti sewaktu dia melintasi kolam ikan yang terdapat di asrama itu. Dua ekor bangau batu yang menjadi hiasan di dalam kolam telah mencuri perhatiannya. Lantas dia duduk di bangku berhadapan kolam yang telah disediakan. Kotak bangaunya diletakkan di sisi.

Kenangan masa kecilnya mula menguasai fikiran Adriana Iffah. Tanpa sedar, dia tersenyum sendiri saat teringatkan kisah bangau yang pernah diceritakan oleh kakaknya. Kisah bangau yang setia kepada pasangan. Senyumannya bertambah mekar tatkala mengimbau kenangan ketika dia menyanyikan lagu Bangau Oh Bangau dan mempelajari cara membuat bangau kertas bersama Harraz Rifqi.

Perlahan-lahan, Adriana Iffah mula menyanyikan kembali lagu Bangau Oh Bangau…..

**********

BADAN Harraz Rifqi terasa segar. Dia baharu balik daripada berjogging. Hari-hari cuti macam ni, memang seronok bila dapat jogging lama-lama. Bisik hatinya. Dia mula memasuki kawasan asrama.

Seorang gadis yang sedang duduk di tepi kolam itu mencuri tumpuannya. Perlahan-lahan dia mendekati tanpa gadis itu sedari. Dia dapat mendengar nyanyian gadis itu yang kedengaran mendayu-dayu.

Lagu Bangau Oh Bangau?? Fikir Harraz Rifqi. Kemudian, dia melihat kotak bangau di sebelah gadis itu. Serta-merta dia teringatkan zaman kanak-kanaknya. Sampai bila-bila pun dia tidak akan lupa kenangan itu. Tiba-tiba, perasaan rindunya kepada Adriana Iffah membuak-buak. Bagaimanakah wajah Iffah sekarang?

“Rifqi…. Aku rindukan kau..” Tiba-tiba Adriana Iffah meluahkan kata-kata itu setelah habis menyanyi.

Harraz Rifqi bagaikan terkena arus elektrik tatkala mendengarkan kata-kata gadis itu. Jadi, gadis ini ialah Adriana Iffah?? Hati Harraz Rifqi berdetik. Dia terus diserbu seribu persoalan.

“Iffah,” panggil Harraz Rifqi. Dia memberanikan diri menyebut nama itu.

Bagai mahu gugur jantung Adriana Iffah apabila tiba-tiba ada suara yang menegur saat dia hanyut dibuai kenangan. Dia menoleh ke arah Harraz Rifqi.

“Ya, saya,” balas Adriana Iffah.

Harraz Rifqi seperti mahu melonjak gembira apabila gadis itu menyahut panggilannya. Ya, memang benar gadis ini ialah Iffah! Jerit hatinya.

“Saya pun, rindukan awak. Sangat rindukan awak!” luah Harraz Rifqi tanpa ragu-ragu.

Adriana Iffah mengerutkan keningnya. Buang tabiat ke lelaki ni? Sempat Adriana Iffah berfikir begitu.

“Awak ni, siapa?” tanya Adriana Iffah. Seram juga bila tiba-tiba ada lelaki yang tidak dikenali berkata begitu kepadanya.

“Saya, Rifqi. Harraz Rifqi!”

Adriana Iffah terkesima.

“Rifqi? Benar awak ialah Rifqi??” Sukar untuk Adriana Iffah mempercayai hakikat itu.

Harraz Rifqi menganggukkan kepalanya laju-laju. Kemudian dia membuka kotak bangau kepunyaan Adriana Iffah. Diambilnya seekor bangau kertas berwarna merah.

“Bangau kertas ni, Kak Mariana yang ajar kita dulu, kan?” ujar Harraz Rifqi bagi meyakinkan Adriana Iffah bahawa dia memang Harraz Rifqi. Bukan orang lain.

“Ya, betul. Ya-Allah! Saya tak sangka boleh jumpa awak balik di sini.” Adriana Iffah memanjatkan rasa syukurnya ke hadrat Illahi.

Beberapa saat kemudian, mereka saling berbalas senyuman. Mungkinkah perasaan rindu itu tanda cinta? Kita fikirlah sendiri. Semoga mereka bertemu bahagia yang dinanti selama ini.

Di sebalik pokok berhampiran kolam itu, terdapat orang lain yang sedang tersenyum. Hatinya turut terharu tatkala menyaksikan pertemuan ala-ala jejak kasih itu. Dia puas hati. Dan dia tidak akan bertanya mengapa mereka berpisah dahulu. Biarlah rasa gembira ini kekal buat selama-lamanya.

Perlahan-lahan, Suhaila melangkah meninggalkan pasangan merpati dua sejoli itu.

-TAMAT-