RSS Feed

Category Archives: Cerpen Bertema I

KEJAM, INI CINTAKU YANG PERTAMA! – AZRINA NUR RUSLY

Posted on

“TENGGELAM dalam kesayuan ku seorang
Biarpun dulu berjanji bersama
Ucap rayuanmu kau putarkan
Sehingga kini masih kupercaya
Rindu dan dendam menjadi pegangan
Tak mungkin kulepaskan
Biarpun terluka dalam dada
Kata-katamu menghiris hatiku
Di dalam sendu
Aku tatapi potret-potret wajahmu
Hingga kuterbayang kenangan bersamamu
Di saat-saat bahagia
Kau kejam dan …”

Belum sempat Datul menghabiskan nyanyian sumbangnya, mikrofon yang berada di tangannya dirampas oleh Puan Zaleha. Serentak itu, set karaoke yang sedang ligat bekerja turut terpadam. Merah padam wajah Puan Zaleha menahan amarah. Sakit telinganya mendengar Datul terjerit-jerit berkaraoke di ruang tamu rumah teres setingkat itu. Kalaulah ada bilik kedap bunyi di rumah peninggalan arwah suaminya itu, teringin juga Puan Zaleha menyembunyikan dirinya di situ.

“Apa ni ma? Datul tak habis nyanyi lagi!” Geram Datul apabila Puan Zaleha merampas mikrofonnya ketika dia sedang seronok menyanyi. Baharu masuk bahagian korus pula itu. Bahagian yang paling Datul suka sekali, yang mencabar kekuatan vokalnya. Hehehe… Berangan sekejap Datul menjadi seorang penyanyi.

“Banyaklah kamu punya tak habis nyanyi. Dah berpuluh buah lagu dah kamu melalak, masih tak puas-puas lagi?” Sambil melilitkan wayar ke badan mikrofon, sempat lagi Puan Zaleha bersoaljawab dengan anak gadisnya yang tampak tidak berpuashati dengan tindakannya itu. Sudah hampir dua jam menyanyi, masih belum puas lagi anak gadisnya itu. Memang bertuah punya anak.

“Ala… Bukannya selalu pun ma. Hujung minggu aje nak rehat-rehatkan minda. Haaaa… Masa ni la nak ‘release tension’, nyanyi-nyanyi, barulah berbaloi-baloi cuti hujung minggu.” Datul membuat gaya seperti iklan di televisyen pula sambil membalas kata-kata Puan Zaleha.

“Amboiii… Kamu tahu kamu punya berbaloi ajelah ye? Habis mama ni tak tahu nak bercuti ke? Penat gegendang telinga mama ni bekerja hari ni kamu tahu tak?”

“Apasal pulak gegendang telinga mama penat?” Aduhai… Apalah malang nasib Puan Zaleha mendapat anak yang loyar buruk sebegini. Ini sudah tentu akibat suka sangat menonton rancangan hiburan lawak jenaka yang banyak disiarkan di televisyen dewasa ini. Jika tidak pun, mungkin diwarisi daripada Puan Zaleha sendiri.

“Yelah, penat dengar kamu menyanyi. Kalau sedap tak apalah, ini tidak, bukan main sumbang lagi! Datul… Datul… Kamu tolong mama berkemas pun lagi bagus daripada kamu melalak tak tentu arah ni.” Jangan harap Datul boleh menang apabila berloyar buruk dengan Puan Jamilah. Jangan tidak tahu, Puan Jamilah itu dahulu lebih hebat lagi loyar buruknya. Jika tidak, masakan arwah suaminya dahulu boleh terpikat kepadanya. Disebabkan dirinya yang suka berjenaka dan tidak mudah ambil hati dengan kata-kata oranglah yang membuatkan arwah suaminya yang memang terkenal dengan sikap seriusnya itu jatuh cinta kepadanya.

“Mama ni… Esok dah nak kena kerja, hari ni bagi peluang la Datul rehat-rehat.” Mimik muka kasihan dipamerkan oleh Datul. Itu tidak lain dan tidak bukan, hendak memancing simpati Puan Zalehalah itu. Anak manjalah katakan.

“Susah bercakap dengan kamu ni, Datul. Esok, bila kamu dah ada anak sendiri, tahulah nasib kamu!” Sebenarnya, Puan Zaleha bukanlah serius sangat dengan kata-katanya itu tadi. Bukan ada apa pun yang perlu dikemaskan lagi. Semuanya sudah Puan Zaleha bereskan, dari mengemas rumah, hinggalah hal masak-memasak. Lagi pun Puan Zaleha bukannya bekerja. Duit pencen arwah suaminya sebagai bekas tentera cukup untuk perbelanjaannya dua beranak. Malahan Datul juga ada menghulurkan sebahagian dari wang gajinya untuk perbelanjaan rumah.

Naik malas Puan Zaleha mahu bercakap lagi dengan anak tunggalnya itu. Umurnya sudah menginjak dua puluh lapan tahun, tetapi perangai manjanya mengalahkan remaja belasan tahun. Tahunya hendak berhibur sahaja. Namun, mujur juga Datul hendak juga bekerja sebaik habis belajar. Buatnya, bekerja pun dia tidak mahu, lagi pening kepala Puan Zaleha. Akhirnya Puan Zaleha berlalu ke dapur. Buat cekodok bilis lagi bagus dari melayan perangai loyar buruk anak gadisnya itu, fikirnya. Kenyang juga perut di waktu petang-petang redup begini.

**********
CEKODOK yang masih panas di dalam piring, dicapainya seketul lalu segera dibawa ke mulut. Sebelum digigit, sempat juga Datul meniup-niup dahulu untuk menyejukkan cekodok itu. Kalau masih panas itu terus sahaja dikunyah, mahu melecur lidahnya nanti. Kalau sudah melecur, siapa yang susah kalau bukan dirinya sendiri. Dan sudah tentu susah dia hendak makan masakan mamanya yang sedap-sedap nanti.

“Datul… Mama tanya kamu sikit, boleh?” Datul mengangkat muka memandang wajah mamanya. Lain macam sahaja riak mamanya, seperti ada perkara penting yang hendak ditanyakan.

“Apa dia ma?”

“Kamu tu, dah ada calon ke belum?” Haishh… Hal jodoh lagi rupanya. Mati-mati Datul ingatkan mamanya ada masalah negara yang besar hendak dibincangkan. Bosan pula asyik subjek yang sama sahaja dibangkitkan. Tetapi subjek yang membosankan itulah yang menjadi subjek kesukaan mamanya. Apa yang boleh Datul lakukan lagi selain melayan sahaja. Itulah satu-satunya mama yang Datul ada. Tiada dua, tiada tiga kerana tidak pernah pula Datul mendengar arwah papanya ada mempunyai isteri lain semasa hayatnya dahulu.

“Calon apa ma?” Sengaja Datul buat-buat tidak tahu. Padahal di dalam kepalanya sudah berkira-kira hendak mengenakan mamanya. Hah! Mamanya kalau sudah terkena, pasti akan senyap sendiri.

“Calon suamilah, takkan ayah tiri pulak!” Datul perasan riak wajah mamanya sedikit berubah. Tentu mamanya panas hati apabila soalannya dijawab dengan soalan juga oleh Datul.

“Calon suami tu tak adalah ma, kalau mama nak calon ayah tiri, memang ada yang Datul berkenan dah ma.” Hah! Hajat hendak mengenakan si Datul, akhirnya Puan Zaleha sendiri yang terkena. Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Tersengih Datul memandang wajah cemberut mamanya itu.

Datul menuangkan air kopi ke dalam cawan. Asap nipis yang terbit dari air kopi yang masih panas itu mengeluarkan aroma yang sangat wangi. Kopi jenama apalah yang mamanya gunakan agaknya, punya rasa yang sedap dan bau yang sangat wangi. Jangan-jangan mama gunakan kopi cap Kapal Api, sekali minum, boleh lepas sampai ke bulan tanpa perlu menaiki roket. Tersengih-sengih Datul mengingatkan iklan itu yang pernah disiarkan di televisyen satu ketika dahulu.

“Haaa… Yang kamu tersengih-sengih ni kenapa pulak Datul? Ingatkan calon suami ke?” Cawan berisi air kopi yang dihulurkan oleh Datul segera diambil oleh Puan Zaleha, lalu diletakkan di hadapannya. Matanya masih tidak lepas dari wajah anak gadisnya itu. Cantik. Anak gadisnya itu berkulit putih, seperti arwah suaminya dahulu. Rambutnya ikal mayang dan bermata bundar. Mustahil tiada lelaki yang tidak terpikat dengan anak gadisnya itu.

“Hishhh mama ni. Datul mana ada masa nak fikir pasal calon suami! Dah la ma, tak nak cerita pasal tu lagi. Ada jodoh nanti, kawin la Datul. Mama janganlah risau.” Melihatkan reaksi anak gadisnya yang seakan tidak senang dengan topik yang dibincangkan, Puan Zaleha tidak lagi meneruskan perbualan. Cawan yang berada di hadapannya dibawa ke mulut. Diminum beberapa teguk isinya sebelum diletakkan semula ke atas meja.

Diperhatikan wajah anak gadisnya yang leka menyuap cekodok ke dalam mulut. Nampak berselera sungguh. Puan Zaleha memang bersyukur dengan sikap anak gadisnya yang tidak memilih makanan. Apa sahaja yang dimasak oleh Puan Zaleha, semuanya sedap bagi Datul. Cuma satu perkara itu sahaja yang Puan Zaleha terkilankan. Tentang jodoh anak gadisnya itu.

Susah sungguh hendak berbincang tentang jodoh dengan Datul. Puan Zaleha tahu, pasti ada sesuatu yang disembunyikan oleh Datul daripadanya. Entah-entah anak gadisnya itu sudah punya teman lelaki namun dirahsiakan daripadanya. Atau barangkali Datul menunggu seseorang yang dirasakannya sangat istimewa dalam hidupnya.

**********
DATUL berbaring-baring di atas tilam di dalam biliknya. Usai makan malam tadi, Datul sudah meminta izin Puan Zaleha hendak masuk tidur lebih awal. Alasannya, takut tidak tersedar pagi nanti. Maklumlah, sudah dua hari bercuti. Bimbang juga jika otak masih memikirkan esok juga adalah hari cuti. Alamatnya, cuti kecemasanlah Datul nanti.

Suram suasana di bilik Datul. Hanya diterangi sedikit imbasan cahaya lampu jalan yang mencuri-curi masuk melalui cermin tingkap yang terselak langsirnya. Sungguh, ia tidak langsung mampu membantu Datul melelapkan matanya malam ini. Perbualan dengan mamanya petang tadi, kembali berlegar-legar di fikirannya.

Sudah acapkali Datul mengelak setiap kali mamanya mula menyentuh tentang isu jodoh. Bukan Datul tidak mahu berumahtangga, memberikan cucu kepada mamanya, namun sudah tersurat jodohnya lambat sampai. Datul redha dengan ketentuan Ilahi. Lagi pun tiada sesiapa dapat menggantikan tempat tertinggi di dalam hati Datul yang telah terlebih dahulu dipenuhi oleh satu nama yang pemiliknya sudah lama tidak Datul temui.

Datul mengeluarkan sebuah album lama dari dalam laci meja soleknya. Diselak helaian demi helaian. Bibirnya mengukir senyum melihat gambar-gambar dirinya bersama rakan-rakan sekolah yang dirakamkan ketika sambutan majlis Hari Guru. Ketika itu, Datul dan Fazli mengambil bahagian dalam satu persembahan bersama. Wajah Fazli yang sedang tersenyum manis di dalam gambar direnung lama. Tanpa sedar, fikirannya menerawang ke masa silam. Kembali ke zaman persekolahan yang sudah bertahun-tahun ditinggalkan.

***********
“DATUL… Datul…” Datul segera menoleh ke arah suara yang memanggil. Suara yang sangat dikenalinya. Entah apa lagilah yang dikehendaki oleh budak lelaki seorang ini daripadanya. Semenjak mereka membuat persembahan bersama ketika sambutan Hari Guru, tidak habis-habis Fazli mengekorinya. Naik rimas Datul hendak melayannya. Ada-ada sahaja yang hendak ditanya. Ada-ada sahaja yang hendak dicerita. Kadang-kadang cerita yang tiada kaitan dengan diri Datul pun, heboh budak lelaki seorang ini hendak berkongsi.

“Apa benda? Lecehlah kau ni Fazli. Asyik nak berkepit dengan aku aje. Cuba kau pergi campur dengan Tajul ke, dengan si Napi tu ke. Ini tidak, mana aku pergi, kat situ jugak kau nak pergi.”

“Ala Datul. Aku suka kawan dengan kau. Kau baik, tak macam diorang tu. Diorang tu suka buli aku.”

“Buat fitnah saja kerja kau ni Fazli. Tak pernah pun aku nampak diorang buli kau!”

“Memanglah kau tak pernah nampak, Datul. Depan kau, diorang tunjuk baik. Belakang kau, diorang buli aku.”

“Dahlah. Apa benda yang kau nak cerita pula kali ni? Cepat, telinga aku dah bersedia nak dengar ni.”

“Aku malulah nak cakap…”

“Kalau malu, tak payah cakap!”

“Tapi…” Belum sempat Fazli menghabiskan kata, Datul sudah berlari meninggalkannya sendirian di situ. Fazli hanya mampu memandang langkah gadis itu dengan pandangan penuh sayu.

“Bye!!” Tanpa sedar, laungan selamat tinggal yang kedengaran dari kejauhan itulah rupanya yang menjadi kalimah terakhir Datul buat Fazli.

***********
“KORANG ada nampak Fazli tak?” Meluncur juga pertanyaan itu daripada mulut Datul akhirnya. Puas juga Datul menahan gejolak rasa ingin tahu yang berpusaran di dalam fikirannya. Semenjak masuk ke dalam kawasan sekolah, jangankan bayang, malahan kelibat Fazli pun langsung tidak kelihatan. Sakitkah dia? Atau ada apa-apa perkara burukkah yang terjadi kepadanya? Selalunya ada sahaja budak lelaki yang seorang itu di sekitarnya.

“Kau tak tahu ke Datul? Atau… Kau saja buat-buat tak tahu?” Soalan yang ditanya, soalan pula yang diberi sebagai jawapan. Pelik bercampur geram dirasakan oleh Datul. Betullah si Napi ini kurang berfikir. Jika Datul tahu, tidak perlu ditanya lagi soalan itu kepada mereka.

“Kalau aku tahu, apa gunanya aku bersusah-payah mengeluarkan suara aku yang lemak merdu ni bertanya kat korang? Jadi, eloklah kiranya tuan hamba menerangkan kepada hamba hal yang sebenarnya.” Hah! Sudah keluar loyar buruk gadis genit seorang ini. Bahasa pertuturan sewaktu di Zaman Kesultanan Melaka pula yang digunakannya. Itu sudah pasti Datul sudah mula masuk mood gila-gilanya. Namun, mood gila-gilanya itu terpadam terus setelah mendengar kenyataan yang dibentangkan oleh Napi di hadapannya.

“Fazli dah pindah. Minggu lepas tu minggu terakhir dia sekolah di sini. Ayah dia ditukarkan ke Kedah. Semua orang dah tahu!”

“Dia tak cakap dengan aku pun.” Lemah suara Datul. Lain sungguh perasaannya mendengar baris ayat yang keluar daripada mulut Napi. Tanpa kata, Datul berlalu meninggalkan Napi, berlalu membawa hatinya yang tercalar.

‘Fazli… Kenapa kau pergi tak beritahu aku? Kenapa mesti aku orang yang terakhir tahu berita sedih ni?’

Bunyi ketukan di pintu bilik berselang-seli dengan suara Puan Zaleha, menerbangkan kenangan Datul ketika zaman persekolahan dahulu. Entah apa lagi yang mamanya itu mahukan daripadanya. Jika hendak berbicara soal jodoh, sudah jelas terang lagi bersuluh Datul tidak berminat. Malas-malas Datul turun dari katil. Pintu bilik yang berkunci dibuka selaknya. Terjengul wajah mamanya di muka pintu bersama sekeping surat.

“Ini surat kamu. Rabu lepas mama terima tapi maaflah, mama terlupa nak beri pada kamu.”

“Rabu lepas? Lama dah tu ma.”

“Alah, tak lama manalah. Hari ni baru Ahad. Bukalah. Mama teringin juga nak tahu isinya.”

“Esok ajelah Datul buka surat ni ma. Datul ngantuk ni, nak tidur dulu. Esok Datul ada kursus motivasi, kena pergi awal.”

Datul hanya memandang langkah Puan Zaleha yang makin lama makin jauh meninggalkan dirinya terkulat-kulat di muka pintu. Rasa bersalah menerjah hatinya. Sedar mamanya itu terasa hati dengan jawapannya tadi. Hai Datul, berdosa jika seorang anak menyakitkan hati ibunya. Apatah lagi jika sampai mengalir airmata si ibu. Surat di tangan dipandang lagi. Tiada keinginan langsung hatinya untuk melihat isi surat itu ketika ini namun digagahi juga untuk membukanya. Ternyata tiada apa yang menarik berkenaan surat itu.

Datul kembali ke katil. Tubuh direbahkan di atas tilam. Dengan tangan disilangkan di atas dahi, terbayang lagi wajah mamanya sebentar tadi. Rasa bersalah semakin kuat terasa. Akhirnya, Datul bangun mendapatkan mamanya. Lebih baik memohon kemaafan mamanya dahulu sebelum tidur. Jika tidak, andainya dia tidur malam ini dan tidak bangun-bangun lagi buat selamanya, dosa menyakitkan hati mamanya akan dibawa bersama hingga ke hari kebangkitan semula.

**********
DEWAN yang menempatkan peserta kursus motivasi kecemerlangan disertai oleh Datul masih belum lagi dipenuhi oleh para peserta. Masih banyak lagi kerusi yang kosong termasuklah yang berada di sebelah tempat duduk Datul. Sambil menunggu peserta memenuhi dewan, Datul sempat melemparkan pandangan ke seluruh pelusuk dewan. Tiba-tiba matanya tertancap pada seorang peserta lelaki yang baharu sahaja memboloskan diri di pintu.

‘Wow, kacaknya dia tapi wajahnya macam pernah nampaklah!’

Datul segera mengalihkan pandangannya apabila menyedari lelaki tersebut memandang ke arahnya sambil melemparkan senyum. Secara automatik, jemarinya membetul-betulkan rambutnya yang sudah siap sedia kemas itu. Itulah sikap Datul yang tidak pernah berubah semenjak sekolah hingga kini.

Datul menumpukan pandangannya pada papan putih yang terdapat di hadapan dewan. Namun begitu, hanya pandangannya sahaja di situ, tidak fikirannya. Datul masih lagi terfikirkan lelaki tadi. Ulas senyumnya seperti pernah dilihat sebelum ini tetapi tidak dapat Datul pastikan di mana.

Bunyi derap tapak kasut yang semakin mendekat menambahkan debar di dadanya. Haish… janganlah lelaki kacak itu duduk di sebelah Datul. Jika ya, tentu tidak keruan Datul jadinya nanti. Sudahlah hati bergetar terpandangkan raut wajah lelaki itu yang cukup kacak dirasakannya. Apatah lagi dengan senyumannya yang cukup manis. Argh! Datul sudah terpikat.

“Hai… Ada orang duduk di sini?”

“Ermm… Ha.. Hai… Tak.. Tak ada.” Haish Datul, kenapa pula tiba-tiba sahaja menjadi gagap. Janganlah menjatuhkan saham sendiri, bentak hatinya.

“Kalau macam tu, boleh saya duduk di sini?”

“Boleh! Boleh! Silakan.”

“Saya Fazli. Cik?” Namanya sama seperti pemilik cinta yang ada di dalam hati Datul. Diakah orangnya? Kalau benar dia, Datul adalah orang yang paling gembira. Bertemu cinta pertamanya semula.

“Saya Datul, Syaidatul Akmal”

“Syaidatul Akmal? Dulu sekolah di Seri Mahkota?” Datul memandang tepat ke wajah lelaki yang duduk di sebelahnya itu. Lelaki itu juga tahu dia bersekolah di Seri Mahkota. Diakah?

“Ya, kenapa?”

“Awak tak ingat saya lagi?” Datul mengamati wajah Fazli. Tahi lalat yang berada di sudut bibir lelaki itu mengingatkan Datul kepada Fazli yang sama bersekolah dengannya di Seri Mahkota dahulu. Mungkinkah lelaki yang berada di sebelahnya ini adalah Fazli yang itu?

“Jangan kata awak Fazli Skema yang selalu kena buli dengan Napi tu…” Melihat senyuman Fazli, sahlah jangkaannya betul. Patutlah hatinya berdebar tatkala pandangan mata mereka bertaut.

“Haaaa… Betullah tu. Sayalah Fazli yang selalu kena buli tu. How’s life? Sudah berpunya?” Gembira Fazli apabila Datul dapat mengingatinya semula. Harap-harap jawapan pada persoalannya nanti adalah sesuatu yang menggembirakan.

“Siapalah yang sudi nak berkawan dengan saya ni awak…” Bertambah mekar senyum Fazli. Ada peluang untuknya mengisi ruang kosong di hati gadis itu, fikirnya. Namun, dia tidak menyedari yang ruang kosong itu sudah lama diisinya.

‘Kalaulah awak tahu Fazli yang sesungguhnya dalam hati saya ini hanya ada nama awak sahaja dari dahulu hinggalah sekarang. Tidak pernah sedetik pun saya melupakan awak, melupakan kenangan sewaktu kita bersama di alam persekolahan kita. Kalaulah awak tahu betapa hati saya merintih kehilangan awak dahulu.’ Namun kata-kata itu hanya mampu terluah di dalam hati Datul sahaja.

“Jadi awak masih kosonglah ni?” Di dalam hati Fazli sudah rasa kegembiraan yang tiada tolok bandingnya. Ternyata tidak sia-sia dia menolak segala cinta yang dihulurkan kepadanya semenjak berpisah dengan Datul. Begitu juga dengan calon yang dicadangkan oleh kedua orangtuanya. Semuanya ditolak gara-gara di dalam hatinya hanya ada cinta untuk Datul sahaja.

“A’ah. Awak pula?”

“Oh! Saya bahagia sekarang. Cuba awak tengok ni… Comel tak?” Sekeping gambar kanak-kanak lelaki yang berada di atas dukungan sambil memaut erat lehernya dari belakang yang ditunjukkan kepada Datul. Gambar yang diambil ketika dia melawat abang sulungnya sekeluarga yang tinggal di luar negara tahun lalu. Itulah kebahagiaannya selain kenangan bersama Datul dahulu. Nampaknya tidak sia-sia dia menunjukkan gambar itu. Perubahan riak wajah Datul menampakkan ada sesuatu. Adakah Datul kecewa?

“Comel. Tahniah sebab dah menjadi seorang bapa.” Senyuman yang terbit di ulas bibir Fazli umpama belati yang menghiris lumat hati Datul. Sungguh Datul kecewa. Riak wajah Fazli menggambarkan kebahagiaan yang kini sedang dikecapinya. Berlainan dengan Datul yang masih lagi belum mampu membuka hatinya untuk didiami oleh insan lain.

“Eh, ini bukan anak saya la. Ini Pejal, anak abang saya. Dia memang mesra dengan saya, maklumlah, saya ni seorang aje Pak Usunya yang masih bujang.” Sebelah kening Fazli yang sengaja dijungkitkan bersama senyuman yang terukir mendebarkan dada Datul. Ketara sangatkah riak kecewa di wajahnya tadi? Ah! Malunya.

Perbualan mereka terhenti ketika penceramah memulakan sesinya. Seluruh perhatian ditumpukan kepada penceramah di hadapan dewan hingga usai kursus tersebut dijalankan. Dan keduanya terpaksa berpisah lagi namun pertemuan mereka tidak berakhir di situ sahaja. Pertemuan demi pertemuan berlanjutan hingga akhirnya dua jiwa yang punya satu rasa yang sama tenggelam dalam hangatnya gelora cinta.

**********
“MA, kalau Datul cakap sesuatu mama jangan marah ye?” Puas sudah Datul berfikir bagaimana cara hendak bercerita dengan mamanya tentang permintaan Fazli siang tadi. Rasa seperti terlalu tergesa-gesa sedangkan mereka baharu sahaja bertemu beberapa minggu bertemu semula.

“Cakaplah, tapi mama tak dapat janji tak marah. Kalau perkara tu tak elok, terpaksalah mama marah juga.” Bimbang juga jika tiba-tiba anak gadisnya itu mengaku ada melakukan perbuatan yang melanggar hukum agama pula. Jika ada, tidak mungkin Puan Zaleha akan mendiamkan sahaja. Walaupun dia tidak terlalu menekankan aspek agama terhadap anak gadisnya itu, namun untuk membiarkan Datul melakukan sesuatu yang di luar batasan, tidak baginya.

“Yelah. Sebenarnya ma, baru-baru ni Datul terjumpa semula kawan lama Datul masa sekolah dulu.” Wajah mamanya kelihatan serius. Takut pula Datul hendak meneruskan ceritanya.

“Jadi?” Puan Zaleha menyampuk apabila dilihatnya Datul terdiam.

“Dulu dia ada nak cakap sesuatu dengan Datul tapi Datul tak mahu dengar. Lepas tu dia pindah.”

“Habis tu?” Hairan pula Puan Zaleha melihat cara Datul bercerita kali ini. Terhenti-henti. Tidak seperti selalu. Biasanya setiap kali bercerita, lancar sahaja mulutnya berkata-kata.

“Rupa-rupanya dulu dia nak cakap yang dia sukakan Datul.” Ceria wajah Datul apabila menyebut perkataan ‘suka’ itu.

“Datul pula macam mana?” Puan Zaleha dapat mengagak anak gadisnya turut menyukai lelaki itu. Dari riak wajahnya yang ceria, Puan Zaleha sudah dapat meneka. Puan Zaleha lebih dahulu makan garam, sekilas ikan di air, sudah dapat dikesan yang mana jantan dan yang mana betina.

“Datul pun sukakan dia. Masa sekolah tu Datul rimas dengan dia, tapi lepas dapat tahu dia pindah, baru Datul rasa kehilangan.” Ukiran senyum terbit di bibir Puan Zaleha mendengar kata-kata Datul. Tidak lama lagi bermenantulah Puan Zaleha. Sudah lama sangat Puan Zaleha teringin bercucu.

“Jadi, apa masalahnya? Dia dah kawin? Atau Datul dah suka orang lain?”

“Tak la ma. Datul hanya suka dia dari dulu sampai sekarang. Ini cinta pertama Datul ni ma.”

“Eloklah tu. Apa pula yang jadi masalahnya?”

“Masalahnya, kami baru aje terjumpa setelah bertahun-tahun terpisah. Datul memang betul-betul cintakan dia, dan dia pun nampaknya macam betul-betul cintakan Datul tapi Datul tak pasti ma. Datul tak tahu betul ke tidak dia cintakan Datul, nak hidup bersama Datul, dapat menjaga dan melindungi Datul sampai akhir hayat. Datul tak dapat nak buat keputusan. Ma… Dia ajak Datul kawin!” Betul sangkaan Puan Zaleha. Gembira sungguh mendengar kata-kata Datul. Dipeluk erat anak gadisnya itu seketika.

“Datul buatlah keputusan mengikut kata hati Datul, cuma satu aje mama nak pesan.”

“Apa dia ma?”

“Sebelum Datul buat keputusan, Datul minta dulu petunjuk Allah. Buat solat istikharah beberapa kali. Insyaallah, jika kita betul-betul memohon kepadaNya untuk menunjukkan kepada kita pilihan yang terbaik untuk kita, Dia tak akan menghampakan kita.”

“Baiklah ma, nanti Datul buat.”

“Tapi mama harap dapat dengar keputusan yang baik la. Hehe… Mama dah lama teringin nak main-main dengan cucu.” Ucapan bernada gurauan tetapi mempunyai maksud yang benar-benar penuh harapan diluahkan oleh Puan Zaleha.

“Ma…” Merona merah wajah Datul diusik mamanya. Belum apa-apa sudah menyebut tentang bermain dengan cucu mamanya yang seorang ini. Terasa malu pula Datul.

**********
“YA ALLAH, pemilik seluruh alam dan sekalian isinya, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui akan apa yang tidak aku ketahui dan sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui akan setiap sesuatu yang ghaib.

Ya Allah, tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, aku bermohon padaMu, ampunkanlah segala dosaku, kedua ibubapaku, kaum keluargaku dan seluruh umat Islam di seluruh dunia sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.

Ya Allah, tuhan yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui, aku memohon kepadamu, sekiranya lelaki bernama Fazli ini adalah tercipta sebagai jodoh yang baik untukku, untuk agamaku, kehidupanku dan akibat persoalanku, baik di masa kini atau di masa akan datang, maka berikanlah aku petunjuknya dan permudahkanlah aku membuat keputusan serta kurniakanlah keberkatan kepadaku dalam menempuh kehidupan bersamanya. Tetapi sekiranya lelaki bernama Fazli ini bukan tercipta sebagai jodoh yang baik untukku, untuk agamaku, kehidupan dan akibat persoalanku, baik di masa kini atau masa akan datang, maka palingkanlah dia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya, lalu takdirkanlah yang baik-baik sahaja untukku di mana sahaja adanya, kemudian kurniakanlah keredhaanMu padaku dengan apa-apa yang baik itu.”

Usai berdoa, Datul merebahkan diri di atas katil. Sudah tiga malam Datul melakukan solat Istikharah seperti yang disarankan oleh Puan Zaleha kepadanya lewat perbualan minggu lepas. Dan sudah dua kali dia didatangi mimpi kehadiran seorang lelaki yang berpotongan seperti Fazli. Mungkinkah benar Fazli adalah jodoh yang telah ditetapkan kepadanya? Datul ingin melihat pula petunjuk yang akan diberi sekiranya ada untuk permintaan kali ketiganya ini kepada Allah. Jika petunjuk yang sama, maka Datul akan membuat keputusan yang menggembirakan semua orang.

**********
“AWAK, kalau benar awak ikhlas hendak memperisterikan saya, bawalah keluarga awak jumpa mama saya. Jika mama saya merestui, saya akan terima lamaran awak.” Datul tertunduk seusai menghabiskan kata-kata yang membuatkan dia bertemu Fazli hari ini. Terasa ringan kepalanya selepas berjaya meluahkannya.

“Betul ni? Awak tak main-main dengan saya?” Masih lagi Fazli seperti tidak percaya. Benarkah apa yang baharu sahaja menerobos pendengarannya sebentar tadi? Jika benar, sejuta syukur dipanjatkan kepada Ilahi.

“Saya serius ni. Memanglah saya ni gila-gila sikit, tapi tentang hidup, saya tak akan main-main.”

“Syukur kepada Allah! Terima kasih, sayang. Betullah petunjuk yang saya dapat lepas lakukan solat istikharah. Memang awak yang ditakdirkan sebagai jodoh saya.” Fazli meraup wajahnya berkali-kali. Dia benar-benar gembira.

“Awak pun buat solat istikharah juga?” Datul seperti tidak percaya lelaki itu juga sepertinya, melakukan solat istikharah untuk memohon petunjuk. Mungkin benar jodoh mereka ditakdirkan untuk bersama.

“Iyelah sayang, awak ingat persoalan masa depan saya, saya nak buat main-main aje? Hehe.. Hujung minggu nanti, saya bawa keluarga saya jumpa mama awak ye, sayang. Tak sabar saya nak jumpa bakal mertua. Lagi tak sabar nak miliki anak bakal mak mertua saya tu.” Berkerut wajah Fazli apabila secara spontan jemari Datul sudah hinggap di lengannya bersama sebuah cubitan yang dihadiahkan oleh gadis itu.

“Isk, gatal!” Cemberut wajah Datul namun dia sedikit termalu apabila teringatkan tindakan spontannya mencubit Fazli. Mujur juga Fazli memakai kemeja berlengan panjang, maka tidak tersentuh kulit mereka.

**********
SEAWAL pagi Puan Zaleha sudah membuat persiapan untuk menyambut kehadiran tetamu istimewa. Abang sulungnya yang tinggal di kampung sejak semalam sudah tiba di rumahnya. Walaupun keluarga Fazli datang sekadar untuk merisik dan bertanya sahaja, Puan Zaleha mengharapkan bantuan abang sulungnya itu untuk mewakili dirinya dan Datul. Jika arwah suaminya masih hidup, tidak perlulah Puan Zaleha menyusahkan abang sulungnya itu.

Tetamu dijangka sampai ketika waktu makan tengahari nanti. Pagi-pagi lagi Datul sudah dikerah ke pasar membeli barangan basah untuk dijadikan juadah makan tengahari. Hari ini Puan Zaleha hendak menyediakan masakan kampung. Masak lemak cili api daging bersama kentang, ayam masak merah, kerabu mangga, sayur kangkung goreng belacan dan ulam-ulaman. Biar terbuka selera tetamunya nanti. Datul juga dikerah memasak bersamanya sebagai latihan. Mudah-mudahan satu-satunya anak daranya itu akan diterima dengan baik setelah memasuki keluarga Fazli nanti.

Juadah yang sudah siap terhidang di atas meja ditutup elok dengan tudung saji supaya tidak dihinggapi lalat. Kebersihan harus dijaga. Bukankah di dalam Islam amat menitikberatkan tentang kebersihan. Bukan sahaja tubuh badan, makanan yang disediakan dan juga persekitaran, malahan hati dan jiwa juga harus dijaga kebersihannya. Puan Zaleha percaya, bermula dengan rezeki yang diterima, makanan yang dimakan dan amalan yang dilakukan, dapat memberikan kebersihan hati dan jiwa.

Datul sudah siap berhias. Walaupun berpakaian ringkas namun kelihatan cantik dan kemas. Puan Zaleha berpuas hati melihat penampilan anak gadisnya yang lengkap bertudung. Mungkin sudah sampai masa anak gadisnya berubah. Sebelum ini puas juga Puan Zaleha menyuruh Datul memakai tudung tetapi ada-ada sahaja alasannya untuk mengelak. Kali ini, Datul sendiri yang memakainya tanpa disuruh. Cantik!

“Cantiknya anak mama ni bertudung. Kan betul cakap mama dulu, anak mama bila bertudung nampak lebih cantik.”

“Ma… Datul bertudung bukan sebab nak cantik la.”

“Mama tahu. Datul bertudung sebab nak jaga aurat kan? Sebelum ni lagi mama dah cakap kan, menutup aurat itu dituntut oleh agama kita. Baguslah kalau anak mama dah sedar keperluan bertudung. Haaaa… Itu pun tetamu kita dah sampai. Pergi ke dapur. Nanti bila mama panggil, baru keluar.” Sengaja Puan Zaleha menyuruh Datul ke dapur. Tidak manis pula jika anak gadisnya itu ada sekali bersamanya menyambut bakal suaminya bersama keluarga yang datang. Elok anak gadisnya itu keluar bersama air yang sudah siap dibancuh, lebih manis nampaknya.

“Baik ma.” Lambat-lambat Datul berlalu ke dapur. Namun sempat dia berdiri di sebalik dinding yang membahagikan ruang tamu dan ruang dapur. Teringin juga Datul melihat dahulu keluarga Fazli.

**********
DATUL mengintai tetamu yang datang dari belakang dinding. Kelihatan mamanya dan Pak Long Zaidi mempelawa tetamu masuk ke rumah. Hatinya tercuit tatkala melihat seorang perempuan yang kelihatan cantik beriringan masuk bersama Fazli. Jika hendak dikatakan adiknya, sebelum ini Fazli ada menyatakan dirinya anak bongsu. Lagi pun, Fazli hanya dua beradik, abangnya yang menetap di luar negara dan Fazli sendiri. Siapa pula gadis itu? Hati Datul sudah berbolak-balik.

Sedang hatinya tertanya-tanya, kedengaran suara mamanya memanggil namanya. Ditilik seketika penampilan dirinya sebelum keluar bertemu keluarga Fazli bersama sedulang air buat tetamu membasah tekak. Begitu berhati-hati Datul melangkah. Ditambah lagi dengan debaran di dalam dadanya yang semakin menggila. Datul harus menjaga reputasinya di hadapan keluarga Fazli.

Dimaniskan wajah apabila tiba di ruang tamu di mana keluarga Fazli sedang duduk berbincang dengan Pak Long Zaidi dan mamanya. Di sofa berangkai dua pula kelihatan gadis tadi duduk di sebelah Fazli. Apabila pandangan mereka bertemu, sengaja gadis itu mendekatkan tubuhnya kepada Fazli. Hati Datul sedikit membara apabila Fazli bagaikan tidak peduli dengan perbuatan gadis itu. Siapakah dia? Arghhh… Siapakah gadis itu?

Air teh ‘o’ yang sudah siap dituang ke dalam cawan, dihulurkan kepada semua tetamu. Apabila tiba kepada Fazli, gadis yang masih belum diperkenalkan kepada Datul itu pula yang mencapainya sebelum diberi kepada Fazli. Dan lelaki itu, dengan tanpa rasa bersalah terus sahaja menghirup air yang dihulurkan kepadanya. Bengkak hati Datul melihat kemesraan itu. Namun sedaya upaya disembunyikan riak cemburunya.

Usai berkenalan dan berbincang tentang hubungan Fazli dan Datul, kesemua tetamu menjamah hidangan yang disediakan. Sekali lagi Datul diserang rasa cemburu apabila gadis bernama Ros yang diperkenalkan sebagai anak angkat di dalam keluarga Fazli itu melayan Fazli di meja makan. Di dalam hati Datul timbul perasaan curiga tentang hubungan mereka. Benarkah gadis itu sekadar adik angkat kepada Fazli atau mereka ada hubungan istimewa. Pelik pula Datul lihat cara gadis itu memandangnya, seperti hendak memberitahu bahawa Datul sudah mengganggu haknya.

**********
MAJLIS pertunangan berlangsung dengan meriah sebulan selepas pertemuan dua keluarga. Datul bahagia. Begitu juga dengan Fazli namun panas yang disangka sampai ke petang, rupanya ditimpa hujan di tengahari. Kebahagiaan yang tercipta seketika cuma. Ada hati yang cemburu dengan kebahagiaan mereka. Dan sesuatu yang akhirnya membuat hati keduanya terluka terjadi tanpa diduga.

“Abang, tolong Ros bang.” Ros meluru mendakap tubuh Fazli sejurus pintu dibuka. Terkejut Fazli apabila adik angkatnya itu begitu berani bertindak begitu. Segera Fazli menjauh sedikit sebaik berjaya meleraikan pelukan gadis itu.

“Kenapa ni Ros? Apa yang dah berlaku?” Tubuh Ros kelihatan sedikit terdedah dengan pakaian yang terkoyak di sini-sana. Wajah gadis itu juga kelihatan seperti orang takut. Gadis itu duduk di sofa sambil menangis.

“Ad… Ada o… Ada orang cuba nak rogol Ros masa Ros nak datang sini tadi. Nasib baik orang tu tak sempat buat apa-apa, Ros dapat lari.” Selesai berkata-kata, Ros menyambung tangisnya.

“Kenapa Ros datang sini. Abang tinggal sorang aje kat rumah ni. Mama dan papa tak ada di rumah. Nanti kalau ap…”

Tok! Tok! Tok!

Belum sempat Fazli menghabiskan ayat, bunyi ketukan di pintu menghentikan percakapannya. Siapa pula yang datang malam-malam begini? Kalau mama, tak mungkin akan mengetuk pintu pula. Mama ada kuncinya sendiri. Bergegas Fazli ke pintu utama. Berubah riak wajahnya apabila wajah enam orang lelaki berkopiah berdiri di hadapan pintu.

Lelaki berkopiah yang dijemput masuk ke rumah hanya menggeleng melihatkan keadaan pakaian Ros yang duduk di sofa. Tidak pula gadis itu menutup tubuhnya yang terdedah. Hanya membiarkan sahaja lelaki-lelaki berkopiah itu memandangnya. Ketika lelaki berkopiah itu menyebutkan tuduhan, tidak pula gadis itu mahu menafikan walaupun puas Fazli merayu dia menceritakan kisah sebenar. Dan sekali lagi wajah Fazli berubah pucat ketika wajah mama dan papa muncul di hadapan pintu. Akhirnya, di luar kerelaannya, Fazli terpaksa menikahi adik angkatnya itu untuk menutup malu keluarga.

**********
DATUL menangis di dalam bilik sendirian. Perut yang terasa lapar tidak dihiraukan. Dibiarkan sahaja isi perutnya menjerit-jerit meminta makanan. Hatinya yang terluka perlu dirawat dahulu. Perkhabaran yang baharu sahaja diterima daripada keluarga Fazli sebentar tadi membuatkan jiwanya kacau. Fazli terpaksa menikahi adik angkatnya setelah ditangkap khalwat. Kenapa Datul harus menerima nasib sebegini. Datul kecewa. Kejam. Fazli memang kejam, ini adalah cinta Datul yang pertama. Dan cintanya terputus di tengah jalan setelah dikhianati.

Usai menangis, Datul ke bilik air untuk mengambil wuduk. Dan dengan hati yang sedih, Datul melakukan solat taubat. Walaupun disarankan mengadakan solat taubat di sepertiga malam, namun Datul melakukan juga ketika malam masih muda. Usai, Datul menunaikan pula solat isyak. Jiwanya gundah dan lebih baik dia meluahkan kesedihannya kepada Allah. Datul berdoa, memohon kepada Allah memberikannya ketenangan dan kekuatan dalam menempuhi dugaan yang diterima.

Deringan telefon bimbit mengejutkan Datul dari keasyikan memohon keredhaan Allah. Telekung yang tersarung di tubuhnya, dibuka dan disangkutkan di penyidai. Telefon bimbit yang masih belum penat berbunyi segera dicapai. Membulat matanya melihat nama pemanggil yang tertera di skrin. Fazli! Entah apa lagi yang lelaki itu hendak. Tidak puaskah hatinya melukakan hati Datul. Tidak cukupkah lagi kekecewaan yang telah diberikan.

Malas-malas Datul menjawab panggilan. Walau di dalam hatinya kecewa, namun rasa cintanya masih tebal buat lelaki itu. Walaupun lelaki itu kejam namun ini cintanya yang pertama. Tidak mungkin dengan mudahnya dia dapat melupakan dan menanam kebencian terhadap lelaki yang dicintainya semenjak zaman persekolahan lagi.

“Assalamualaikum!”

“Waalaikumussalam. Sayang, dengar penjelasan abang!” Sudah ber’abang’ pula Fazli. Datul dapat merasakan cinta lelaki itu kukuh buatnya. Tetapi, kenapa sampai boleh ditangkap khalwat hingga menyebabkan pertunangan mereka terpaksa diputuskan?

“Apa lagi yang awak nak jelaskan? Cepatlah cakap, saya nak tidur ni. Esok nak kerja.”

“Sayang, percaya cakap abang. Abang tak buat apa-apa dengan Ros. Dia hampir dirogol masa nak datang rumah abang dan masa abang nak suruh dia balik, rumah abang diserbu pencegah maksiat. Abang pun tak tahu macam mana boleh jadi macam tu. Bila abang minta Ros ceritakan hal sebenar, dia taknak. Dia asyik menangis aje. Mama dan papa pula balik dan nampak kejadian tu, dengan pakaian Ros yang terkoyak, mama paksa abang bertanggungjawab.”

“Entahlah awak, saya tak tahu nak percaya atau tidak cakap awak. Apa yang saya tahu, awak kejam. Ini cinta saya yang pertama dan awak dah hancurkannya. Sudahlah, semoga awak berbahagia. Assalamualaikum.” Belum sempat Fazli menjawab, Datul pantas memutuskan talian. Cerita Fazli tentang kejadian yang menyebabkan hatinya dilukai itu berlegar-legar di dalam kepalanya. Hendak percaya atau pun tidak.

**********
“BERHENTI!” Suara seorang lelaki yang kedengaran dari luar pintu rumah mengejutkan semua orang yang sedang tekun menyaksikan majlis pernikahan Fazli dan Ros. Terhenti lafaz akad yang sedang diucapkan oleh Fazli. Semua mata tertumpu kepada lelaki itu.

“Kenapa ni? Awak ni siapa?” Papa Fazli meluru ke pintu rumah. Terkejut juga apabila perjalanan majlis tiba-tiba sahaja diganggu.

“Maafkan saya, pakcik. Saya datang ni sebenarnya nak berterus-terang dengan keluarga Ros.” Mendengarkan tujuan kedatangan lelaki itu berkaitan dengan Ros, segera Fazli bangkit dari silanya. Pintu rumah segera dituju. Disarung selipar yang ada di muka pintu. Lengan lelaki itu ditarik menjauh sedikit daripada pintu.

Mereka duduk di gazebo. Papa Fazli turut berada di situ. Selepas lelaki itu menerangkan hal sebenar yang berlaku di antara dia dan Ros, Fazli naik berang. Dicekak kolar baju lelaki itu namun sempat dileraikan oleh papanya sebelum kepalan tangannya sampai ke wajah lelaki itu. Tindakan lelaki itu meninggalkan Ros yang sudah mengandungkan anaknya menyebabkan Fazli terpaksa menanggung akibatnya. Pertunangannya terputus di tengah jalan akibat tindakan Ros memerangkapnya demi menyelamatkan diri dari malu.

“Papa, sekarang papa dah dengar kan cerita sebenarnya. Fazli taknak teruskan pernikahan ni. Biarlah Amir yang menggantikan tempat Fazli. Sekarang, Fazli nak pergi ke rumah Datul. Fazli nak sambung semula pertunangan kami.” Papa Fazli tidak mampu menghalang kehendak Fazli. Tahu salahnya kerana mendesak Fazli memikul tanggungjawab yang ternyata bukan perbuatannya.

“Fazli, selesai majlis nanti kita pergi rumah Datul ye nak. Tapi sekarang, jom kita teruskan majlis. Bawa Amir ke dalam. Biar kita nikahkan Amir dengan Ros.” Mereka bertiga meninggalkan gazebo, masuk ke rumah dan semua yang ada di dalam rumah merasa pelik apabila bukan Fazli yang duduk di hadapan kadi tetapi digantikan dengan lelaki yang tidak mereka kenali. Namun, majlis terus dijalankan setelah papa Fazli memaklumkan hal sebenar kepada kadi.

**********
KEDATANGAN Fazli sekeluarga disambut baik oleh Puan Zaleha. Dia sudah tahu tujuan besan tidak jadinya itu datang kali ini. Fazli sudah menghubungi sebelum mereka datang. Puan Zaleha bersyukur apabila Fazli sudah terbukti tidak bersalah dan tidak mencurangi Datul. Puan Zaleha amat mengharapkan anak gadisnya akan mendapat kebahagiaan dengan orang yang benar-benar dicintainya. Dan kebahagiaan itu pasti akan menjadi milik anaknya sedikit masa lagi.

“Kami minta maaf sebab memutuskan pertunangan anak-anak kita sebelum ni, Leha.” Mama Fazli memulakan bicara.

“Tak apalah Kak Dah. Benda tak kita jangka kan? Adalah hikmahnya di sebalik apa yang berlaku tu. Syukur, benda dah selesai. Dah tahu Fazli tak salah dalam hal ni.” Fazli tersenyum mendengar kata-kata bakal ibu mertuanya. Gembira kerana masih diterima dengan baik oleh Puan Zaleha. Dan dia sangat berharap akan diterima semula juga oleh Datul. Cintanya benar-benar tulus untuk Datul. Sejak dahulu tiada perempuan lain yang berjaya merampas cintanya yang telah dikhaskan untuk Datul.

“Datul pula macam mana Leha? Dia sudi ke terima anak kami semula?” Riak kebimbangan terpamer pada wajah kedua orangtua Fazli. Bimbang jika gadis itu tidak mahu menerima anak mereka yang sudah tertutup pintu hatinya kepada perempuan lain. Jika ditolak cintanya oleh Datul, bimbang pula jika Fazli akan membujang hingga ke tua.

“Kak Dah jangan risau, saya tahu Datul akan terima Fazli. Anak saya tu memang dah lama sayangkan Fazli, sejak sekolah. Dia dah tahu perkara yang berlaku ni hanya satu salah faham. Dia dah setuju nak sambung semula jika Fazli minta.” Fazli sekeluarga meraup muka, bersyukur diberi kemudahan dalam menyelesaikan salah faham yang berlaku.

“Kalau macam tu, bulan depan kita langsungkan pernikahan budak-budak ni Leha. Kak Dah tak mahu ada salah faham berlaku lagi. Susah hati Kak Dah selagi diorang ni tak disatukan.”

“Baiklah Kak Dah, nanti saya uruskan persiapan bagi pihak saya.”

Pertemuan dua keluarga memeterai persetujuan untuk satu perjalanan hidup dua hati yang sudah lama saling menyinta. Di balik dinding, ada hati yang sedang diamuk gelora. Namun, gelora yang membadai di dalam hati terpaksa dikawal apabila namanya dipanggil ke ruang tamu. Datul melangkah penuh sopan dengan bibir mengukir senyuman paling manis bersama sedulang air kopi pelepas dahaga.

Pandangan dua pasang mata bertaut. Bicara mata menzahirkan rasa yang terbenam di dasar hati yang sedang hebat melagukan irama rindu, semakin lama semakin kuat dan mendayu syahdu. Cinta yang disemai di jiwa makin tumbuh subur dan kukuh berakar umbi. Semoga kebahagiaan menjadi milik mereka selamanya. Perjalanan cinta yang kejam, namun ini cinta pertama. Cinta pertama Datul dan Fazli, bakal terzahir akhirnya.

Lagu ‘Kejam’ dan ‘Ini cintaku yang pertama’ tidak akan berkumandang lagi di dalam rumah. Kini Datul sudah menemui kebahagiaannya bersama Fazli, insan yang menduduki tempat tertinggi di dalam hatinya. Ini cinta pertama mereka dan cinta pertama itu dibawa ke akhir hayat.

MUDA – GY HANIEY

Posted on

i

“Ateh! Encik Walid suruh sampaikan pesan.  Kali ni tak boleh patah balik dah, macam yang dulu-dulu, sebab Encik Walid dan Ahli Majlis Tertinggi dah terima dengan sebulat suara,”

Terkebil-kebil dia merenung N71 di tangan.  Kelam kabut berkejar dari dapur mencari telefon bimbitnya yang menyorok entah di mana-mana, itu yang dia dapat.  Terkejut, ditambah sedikit sakit hati. Tanpa salam dan  bertanya khabar, suara adiknya itu bagai petir menyambar ke dada.  Rentung! Terbakar! Hangus!… Hangit!

Hah? Hangit! Hidungnya bijak memberi reaksi lantas meluru ke dapur bersama telefon yang terlekap di telinga.  Ulas mata terjojol saat melihat ikan kembung yang tadinya cantik disalut kunyit bak hiasan bersepuh emas, sudah bertukar arang.  Asap berkepul-kepul terbit dari kuali terlebih panas hingga merabunkan pandangan.

“Ya Allah, habis hangit ikan aku!  Ini semua kau punya pasal, Noi! Tak boleh ke telefon kejap lagi? Dah tau masa ni Ateh nak masak, masa ini jugaklah kau nak baca perutusan!”

Dengan gementar, dihulurnya tangan perlahan-lahan lalu mematikan aliran gas.  Pedih mata menahan asap hingga terbatuk-batuk. Fuh! Nasib baik rumah aku tak hangus sama.  Kalau tak, tidur surau malam ni, bisik hatinya kelegaan.

Berderai tawa si adik di hujung talian tambah menyakitkan hati. Ditekannya butang mati dengan kasar sambil membayangkan sedang menunjal kepala si Noi di kampung. Hah, padan muka kau!

Kuali panas diangkat ke singki. Malang tidak bertanda, minyak yang masih berasap terpercik pula ke tangan. Akibat terkejut bercampur perit, pegangan di kuali terlepas lalu  minyak yang direnangi dua ekor ikan kembung rentung mencemari lantai marmar putih. Spontan dia berundur ke belakang, bimbang kakinya menerima nasib serupa tetapi lompatannya tidak kena gaya. Maka, terlentanglah dia di dapur sempit itu dengan kepala terkunang-kunang akibat terhempas ke lantai. Sekoyong-koyang, suara umi terngiang-ngiang di telinga

“Ateh ni nanti, kawin dengan orang kaya! Ada bibik, ada orang gaji. Umi pun boleh tumpang senang”

Bagai terasa-rasa umi mengelus rambutnya, seperti waktu dulu. Saat umi memujuk rajuknya  kerana diejek untuk dijodohkan dengan Arip, budak gembala lembu. Tersedar semua itu sudah  15 tahun berlalu, dia bangun perlahan-lahan menghadapi kenyataan. Kepala yang terasa sengal digosok. Pandangannya terpaku di lantai, di bawah meja makan sebelum beralih ke dinding kabinet. Dia mengeluh lemah. Tumpahan minyak memang mencemarkan alam sekitar!

“Umiii…Tolong Ateh! Bilalah mulut umi nak jadi masin ni?” raungnya.

Perutusan dari adiknya sebentar tadi melintas di fikiran. N71nya dicapai lantas nombor mudah alih Noi ditekan. Sebaik saja adiknya itu menyebut ‘hello’, terus sahaja dia berteriak kuat.

“Noi! Encik Walid tak salah orang ke?”

“Entah! Tak lah, kot!”

Dia nekad kali ini kerana tidak mampu lagi memberi pelbagai alasan. Empat bulan lagi, dia bakal meyertai kelab 3 ‘series’. Semakin dia mengeraskan hati, semakin lentuk pujuk rayu umi. Tambahan lagi, seisi alam sudah maklum bahawa si dia itu pernah mencuit rasa dalam hatinya, bertahun lampau. ‘Handsome, kaya lagi!’

Di matanya sudah terbayang bibik yang mundar mandir di ruang dapur rumahnya nanti. Telinganya bagai terdengar-dengar panggilan ‘puan’ dari mulut pembantu rumahnya itu. Hujung minggu, bercuti makan angin ke Paris, Las Vegas. Sarapan di Hong Kong, tengaharinya sudah berada di Seoul. Dia tersengih melayan anganan.

‘Seronoknya jadi isteri orang kaya!’, bisiknya dalam hati. Tak payah susah-susah macam sekarang! Namun, kenyataan tetap perlu didepani. Mop dicapai. Lalu dua ekor ikan kembung yang sudah bertukar menjadi ikan kayu itupun dicampak ke tong sampah!

***

“Alif…Lam…Mimm,” Arip memulakan bacaannya.  Tok Malim senyum girang sambil mengangguk perlahan.  Gembira melihat peningkatan tersebut.  Tetapi, senyumnya tidak lama.  Terbeliak mata tok guru mengaji itu apabila mendengar suara-suara halus menyampuk dari tangga rumah.

“Arip…Lemm…buuu!” Diikuti ketawa tertahan-tahan.

“Siapa tu, hah? Nak kena sula?” Ayat lazim Tok Malim apabila marah. Seketika, bergemuruh hentakan kaki di tangga sebelum senyap sunyi. Arip pun menyambung semula bacaannya…

“Nok! Cepatlah sikit! Kau ni lembablah… Cepat! Nanti dia nampak!”

“Sabarlah… Hish, dia ni! Kalau nak cepat sangat, buat sendiri! Jangan suruh aku!” Bibir nipis Nok sudah memuncung panjang. Sakit hatinya digesa begitu rupa. Kerja sukarela, bukannya bergaji pun!

Kasut getah bersepuh lumpur dijinjit si Nok dengan hujung jari. Gelilah konon! Padahal warna selipar jepun yang tersarung di kakinya itu  lebih kurang sama sahaja. Terjingkit-jingkit dia menjauhi kaki tangga rumah Tok Malim. Di atas rumah, masih ramai yang belum habis mengaji. Oleh kerana hari ini mereka datang dan pulang awal, rancanganpun berjalan seperti yang direncana.

“Ehh… bukan yang tu! Yang ni… yang ni! Ini besar sikit, susah nak ambik nanti. Nok, letak kat sini!”

“Eh, janganlah oi! Yang tu memang besar tapi leper. Senang je nak ambik. Yang ni, hah! Tengok! Kan tebal ni!” Ada suara lain pula membantah.

Nok mula berang. Dilepasnya kasut getah ke tanah. Beg berisi muqaddam yang melurut, ditarik kasar ke bahu. Mukanya cemberut masam. Memang kepantangan baginya, diarah-diarah begitu begini.

“Hah Nok! Kau jangan nak mengelat, ye? Kali ini giliran kau. Tadi dah janji!” Kam, Tina dengan Ton, mula tidak berpuas hati. Giliran mereka bertiga tiada masalah. Sampai masa Nok beraksi, mulalah timbul macam-macam.

“Koranglah! Sekejap yang tu! Sekejap yang ni! Malas aku… kita tunda esok!” Boleh pula tunda-tunda!

“Kami tak kira! Kau kena buat hari ni! Esok kita nak buat yang lain…” Bantah Kam. Dua lagi jadi tukang angguk.

Nok merengus geram. Dikepit semula jarinya di hujung kasut getah. Perlahan-lahan diletakkan atas gumpalan tahi lembu, di tepi rumah Tok Malim. Bahan buangan itu masih baru, kerana waktu mereka sampai, ada sekumpulan lembu berkumpul di situ. Nok menekan sedikit kasut getah itu tetapi Tina bertindak lebih ekstrem. Dengan menggunakan ranting kayu, ditekannya kasut itu hingga terbenam, diikuti yang sebelah lagi. Teman berdua menabur bunga kertas di atasnya bak meraikan mempelai. Sekali pandang, tidak ubahnya bagai kek coklat berinti kasut!

Berderai ketawa mereka berempat tetapi terbantut dek bunyi berdeham Tok Malim dari atas rumah. Kelam kabut mereka bersembunyi di sebalik seperdu senduduk, bertentangan dengan kediaman tok guru mengaji mereka itu. Duduk berhimpitan di sana sambil beralaskan selipar masing-masing, menunggu saat mangsa keluar dan ‘menikmati’ hadiah dari mereka sebentar lagi.

“Abang, kau ada nampak kasut aku?”

Nok kerling Tina yang  terseringai sebelum melawan pandangan Ton. Badan Kam sudah mula bergegar menahan tawa. Ulas mata dibesarkan kerana mereka berempat tidak mahu ketinggalan walau sebabak pun adegan di depan mata. Siaran langsung tu!

“Cuba cari sebelah sana! Nanti aku cari kat bawah rumah. Ni mesti ada yang sorok ni!” Dan pastinya, dia boleh mengagak angkara siapa!

Si abang sudah menyusup ke bawah rumah. Tampak sukar benar membawa perut yang boroi. Tawa Nok sudah mula terletus tapi mulutnya cepat-cepat dicekup Tina. Telunjuk Ton tegak di tepi mulut sementara Kam pula menuding ke arah depan. Tengok sana! Kam guna bahasa isyarat menunjuk si adik yang semakin menghampiri sasaran. Dua tiga orang teman lain ikut meninjau di merata kawasan rumah. Empat dara sunti di sebalik perdu senduduk terasa jantung mereka seperti mahu terlompat keluar menantikan saat-saat itu. Teruja yang amat!

“Abanggg!”

Jeritan si adik itu mengejutkan abangnya. Spontan, dia berpaling. Mungkin terlupa ataupun mungkin tidak sengaja, dia menegakkan badan. Dan,

Kelekuk!

“Adoi! Tak guna punya gelegar! Sakit kepala aku!”

“Eh, ni apa yang bising-bising sangat ni, hah? Kawan awak ramai lagi nak mengaji ni… Janganlah bising!” Tok Malim bertempik dari beranda. Misai penunduknya yang melenting diurut-urut.

Kelam kabut si perut gendut keluar dari bawah rumah. Wajah Tok Malim ditentang dengan gementar tapi kebenaran perlu ditegakkan. Dari ekor mata, dia nampak adiknya sedang mengadap selonggok najis lembu di tepi rumah. ‘Apahal pulak tu?’, hatinya tertanya-tanya.

“Tok, kasut Arip hilang. Tak tau siapa sorok. Adul cari kat bawah rumah, terhantuk gelegar pulak. Sakit tok!” Adunya sambil menggosok-gosok kepala yang terasa perit.

“Siapa yang main sorok-sorok kasut ni, hah? Nak kena sula?” Tempik Tok Malim lagi. Misai yang berbelang putih turut bergerak-gerak.

Siapa berani hendak mengaku? Sedangkan yang tidak tahu apa-apa, sudah seperti ayam patah tengkuk, inikan pula ‘mereka’ yang punya kerja. Kecut urat perut macam limau terlebih busuk!

Tok Malim hanya mampu menggeleng kemudian masuk semula ke dalam rumah menghabiskan tugas. Adul rapat ke sisi Arip. Terkejutnya dia melihat ‘kek’ yang berhias cantik. Beberapa orang budak laki-laki turut hampir lalu pecah tawa dalam kumpulan itu. Adul melirik Arip di sisi. Cebikan si adik mengundang kasihan dalam hatinya lalu di kuis  kasut itu menggunakan sebatang ranting. Saat itulah dia terdengar bunyi ketawa dari rimbun senduduk. Perasaan berkocak marah, sangkaannya tadi mungkin ada benarnya. Diam-diam, dijolok  ranting kayu ke dalam kasut lalu menghampiri perdu senduduk yang galak bergoyang.

“Hoi!” Tempiknya. Kasut berlumur tahi lembu diangkat betul-betul di atas kepala anak dara sunti nan berempat.

Wah! Bukan main terkejut semuanya! Terus sahaja membuka langkah seribu mencari basikal mereka tanpa sempat menyarung selipar, hanya di sauk di lengan masing-masing. Geli geleman pun ada apabila membayangkan andai kasut tersebut menimpa muka. Dari jauh, mereka dengar Adul terjerit-jerit mengejar dari belakang. Kasut berlumur warna hijau masih terlekat di hujung ranting yang dipegangnya.

“Tunggu! Kurang ajar! Aku sumbat mulut korang dengan kasut ni!” Termengah-mengah dia mengekor. Tidak mampu menandingi kepantasan empat orang budak perempuan bertubuh kurus kering.

“Nok! Nok! Selipar kau cicir!” Laung Kam.

“Apa? Ahh… lantaklah!” Yang penting sekarang, selamatkan diri. Basikal disorong ke depan lalu dengan sekali lompat, dia sudah mendahului yang lain.

“Nok, selipar kau!” Ton pula menjerit bila terpandang Adul sudah menjinjit selipar Nok.

“Aku kata biar aje… lagipun bukan selipar aku,”

“Selipar siapa?”

“Umi aku!”

Hahahaha… ketawa mereka bersambung-sambung dari atas basikal.

ii

“Ateh, umi suruh kau balik bulan depan. Encik Walid tak mau tunggu lama-lama, takut kau belot lagi,”

Matanya yang hampir tertutup, kembali luas. Sakit benar rasa hati diganggu masa rehatnya. Lebih sakit lagi, bila si Noi masih tidak mahu belajar sivik. Angkat telefon, beri salam! Tak adalah buat orang mati terkejut! Rungutnya dalam hati.

“Tengoklah dulu! Ateh kerjalah, jadi kuli orang. Kalau bos kasi cuti, bolehlah. Kalau tak, macamana?” Mendatar suaranya melayan si Noi. Mata kembali layu. Minggu ini, masa kerjanya sebelah malam. Waktu siang begini, dia perlu mengecas tenaga.

“Ehhh… tak boleh. Kena balik jugak. Encik Walid nak temukan korang berdua,”

“Hah? Biar betul kau ni,”

“Laa… betullah! Encik Walid takut Ateh lari macam hari tu. Nak bagi Ateh puas hati. Nanti tak adalah komplen, hidung kembanglah! Mata besarlah! Telinga capanglah!”

Dia diam sahaja. Malas hendak menjawab. Mata kembali tertutup tetapi benaknya terbuka luas. Wajah ‘si dia’ menjelma di minda. Kemudian, membandingkan pula dengan wajah-wajah yang pernah diperkenalkan kepadanya oleh walid dan umi. Hidung dia, mancung. Hidung Jamal, kembang! Mata dia sepet, mata Talib terjojol luas. Telinga dia cantik tapi telinga Nabil capang! Ohh… jauhnya beza antara mereka, hatinya dianyam bahagia kerana wajah itulah yang bakal dia tatap setiap hari, nanti.

“Ateh, hidup lagi ke?”

“Kurang ajar, ye? Sukalah tu kalau aku mati!” Kata-katanya disambut kekehan Noi yang begitu menjengkelkan.

“Walid ada gambar terbaru dia. Nak tengok ke?”

Kali ini, matanya terbuka luas. Segala urat, sendi dan otot di dalam badan terasa hidup. Spontan dia bangun dari pembaringan. Hatinya berdendang lagu bahagia. Jantungnya berkompang lagu pengantin baru!

“Nak… nak… nak! Nak tengok sangat,” Dia dengar adiknya di sana berdengus kasar.

“Gatal!” Jerkah Noi.

Terletus ketawa dari ulas bibirnya. Sempat lagi membayangkan wajah Noi yang kelat umpama salak muda. Bimbang adiknya itu berjauh hati, ketawanya dipendekkan sahaja. Dia khuatir kerugian kerana tidak dapat menatap wajah terkini bakal tunangnya itu. Nafasnya dihela panjang.

“Tapi, macamana walid dapat gambar dia pulak?”

“Eh… dia datang rumahlah. Penuh dalam telefon walid tu, gambar dia aje…”

Si dia datang? Bukankah dia di New Zealand sekarang ni? Pulang bercutikah? Hatinya mengembang dengan rasa bangga. Begitu bermaknakah dirinya itu? Sekadar rombongan merisik, cukup hanya keluarga yang hadir tetapi dia sudi ikut bersama. Bukankah itu tandanya dirinya dihargai? Ohh… hati melonjak girang. Tidak sabar menunggu sebulan lagi.

“Tapi orang peliklah. Macam tu punya handsome, kenapa tak kawin lagi? Mustahil tak ada orang nak! Kalau Ateh tu, orang fahamlah…”

“Eh, kenapa dengan Ateh pulak?”

“Ateh tu kan, buruk! Hodoh! Memanglah tak laku, tak ada orang hendak!” Ketawa Noi terdengar sayup-sayup sebelum talian terputus.

Haprak punya adik!

***

Malang betul nasib mereka hari ini. Sudahlah didenda kerana tidak menyiapkan kerja rumah, basikal Kam pula pancit. Terdorong oleh rasa persahabatan yang kental, Kam dibenarkan membonceng di belakang Nok. Sambil mengayuh perlahan-lahan, tiada lain yang dibincangkan kecuali pembalasan!

“Memang nak kena si Roi tu! Mentang-mentang dia pengawas! Suka hati dia aje nak tulis nama orang. Lewat 2 minit pun tak boleh!”

Nok terpinga-pinga, mindanya mula menganalisa. Roi mana pulak ni? Seingatnya, tiada pengawas bernama Roi di sekolah!

“Ada pengawas baru ke? Aku tak kenalpun pengawas nama Roi tu?”

“Hish, kau ni. Roi tu si boroi Adul  tulah, siapa lagi!” Ton mencebir. Tina dan Kam mengekeh gelihati mendengar panggilan manja tersebut. Memang kena betul dengan tuannya!

“Kau pun kena, Ton? Aku ingatkan, aku seorang je jadi mangsa dia,” Nok meniru tingkah Ton, mencebir panjang. Meluat betul bila ingat muka si Adul boroi. Rasa hendak belah saja perut besar tu! Gantikan dengan hati dan perut yang baru. Yang sekarang ni, busuk! Tak boleh pakai!

“Kami berdua pun kena! Ingat tak aku keluar dengan Tina pergi tandas tadi? Dia kata kami berdua ponteng kelas! Tak guna punya Adul!” Kam menumbuk udara.

Terjerit Nok memarahinya kerana basikal bergoyang kuat dan sukar dikawal. Tapi, Kam masih lagi di bawah pengaruh rasa sakit hati yang melampau pada Adul. Kali ini, kakinya pula bergerak laju lalu tersepak belakang lutut Nok. Tergolek kedua-duanya ke tanah bersama jeritan nyaring dari Nok.

“Kau turun dari basikal aku, sekarang!” Lurus telunjuknya menghalau.

“Habis, aku nak naik basikal siapa?” Kam pandang Tina. Tapi bagi Tina, langit yang membiru lebih cantik untuk dipandang berbanding muka temannya itu.

“Tonnn…” Rayu Kam sambil menunjuk muka kasihan. Ton yang lebih lembut hatinya berbanding yang lain, angguk kepala laju. Rambut tocang duanya bergoyang-goyang. Kam tidak tunggu lima saat pun. Terus sahaja bertenggek di belakang Ton. Pergerakannya dihadkan. Bimbang dihalau buat kali kedua!

“Macam ni tak boleh jadi! Kita mesti kenakan dia semula. Si Arip pun berlagak betul! Mentang-mentang cikgu asyik puji dia, nak menunjuk dengan kita. Kalau dia bagi kita pinjam buku latihan dia tadi, tentu kita tak kena denda. Tak adalah balik lewat macam ni. Kedekut!” Kutuk si Tina.

“Alah… Dia tu berani sebab ada abang dia aje… Cuba kalau sorang? Nak angkat muka pun tak berani! Tak apa… tahun depan si boroi tu dah masuk tingkatan satu. Hah, tahulah nasib dia nanti!”

Keempat-empatnya tersengih lebar. Lagi lima bulan, mereka akan melangkah ke darjah lima. Tidak sabar rasanya menanti detik Si Arip melutut di hadapan mereka bila tiadanya Adul sebagai pelindung. Budak gembala lembu itu memang pandai bermuka-muka! Kalau depan cikgu, dialah yang paling baik, paling bijak. Jalanpun tertunduk-tunduk. Tapi, bila ada abangnya di sisi, perangai sebenarnya mula terdedah.  Walaupun tindakannya tidak seganas Adul namun mereka tetap tidak sukakannya yang dirasakan pembantu kanan abangnya itu.

“Cepatlah sikit oi! Nanti lambat pergi mengaji, tak jadi pulak rancangan kita. Aku tak sabar nak balas dendam pada Adul,”

Nok mempercepatkan kayuhan. Dibiarkannya teman bertiga tertinggal di belakang. Sakit hati pada budak lelaki 12 tahun itu, payah dihilangkan. Tidak pasal-pasal dia didenda mencabut rumput di padang pagi tadi. Pinggangnya rasa hendak patah.  Kalau padang sebesar gelanggang bola jaring, tidaklah dihairankan sangat. Ini, padang bola! Dendamnya berbungkal di dalam hati.

“Tunggulah Nok! Kalau ia pun, janganlah laju sangat! Kam ni berat, tau tak?” Teriak Ton tapi Nok tetap menonong ke depan.

Tina cuba menyaingi temannya itu. Ton masih termengah-mengah mengayuh kerana terlebih muatan. Sebelah pagi, mereka ke sekolah berasingan kerana ada yang pergi bersama kakak atau abang masing-masing. Ketika pulang baharulah mereka berbasikal bersama sementara abang dan kakak mereka menghadiri kelas tambahan di sekolah.

“Nok, kau datang lewat pagi tadi?”

“Tak!”

“Habis, kenapa Adul tulis nama kau?”

“Entah, dia kata aku tak berdisiplin. Tak pakai lencana sekolah!”

Tina mengerling baju seragam Nok. Apa yang tak kena? Bukankah ada lencana di baju Nok itu? Adul sengaja nak buat khianat ke? Dahinya berkerut hairan. Bila diamatinya, ternyata ada sedikit kelainan pada Nok hari ini, tapi apa?

“Nok, kau pakai baju baru ke? Nampak besar sikitlah!” Nampaknya Ton ikut menyedari kelainan tersebut.

“Taklah! Baju aku basah. Aku pakailah baju kakak aku!”

“Kakak kau yang sekolah menengah tu?”

Nok mengangguk. Kam dengan Ton sudah ketawa lepas. Terbayang-bayang tubuh gempal Kak Wok yang belajar di tingkatan satu. Tina ternganga. Lencana di baju Nok dijelingnya semula.

Laaa… Patutlah!

iii

“Boleh cakap dengan cik Norkiah?”

“Ya, sayalah tu. Siapa ni?” Hairan betul dia. Sebelum ini, tiada siapa yang menghubungi bertanyakan nama penuhnya. Nama yang umi pilih kerana tertarik dengan filem Masam Masam Manis lakunan Tan Sri P. Ramlee. Akauntan tempat kerjapun, memanggilnya Kiah. Sejak bekerja, nama Nok seolah-olah sudah berkubur. Kadang-kadang , dia rasa rindu hendak mendengar panggilan itu semula.

“Nok! Ni akulah… Rindunya aku kat kau!”

Ya Tuhan! Siapakah yang mendengar jeritan batinnya itu? Beberapa potong nama yang sudah lama sirna, melintas kembali di benak. Ton? Tina? Kam? Tak mungkin! Kepalanya tergeleng perlahan. Hubungan mereka berempat sudah lama terputus. Tuhan saja yang tahu, betapa dia merindukan saat-saat lalu. Sebaik sahaja tamat sekolah, masing-masing keluar dari kampung mencari penghidupan baru. Sejak itu mereka jarang berjumpa, hanya sesekali bila pulang beraya. Kali terakhir bertemu, di hari bahagia Kam lima tahun lalu!

“Nok! Ini akulah… Tina!”

“Tinaaa! Betul ke ni Tina?” Terharu sungguh rasanya, langsung tidak menyangka dihubungi teman lama. Antara mereka berempat, Tina yang paling awal mengakhiri zaman dara. Pasangannya pun, kawan sekolah mereka juga cuma berlainan tingkatan. Terbayang-bayang wajah manis Tina yang bujur sireh, dagu berbelah sehingga menambat hati Azhar, abang angkatnya dari tingkatan lima. Dia tersengih sendiri.

“Nok… aku ada kat kampung. Due aku dah dekat, anak kedua. Noi yang bagi nombor kau ni. Tak sangka, akhirnya kau jadi juga dengan dia,” Ada nada sebak pada suara Tina. Dia menghela nafas dalam-dalam.

“Aku pun tak percaya, dia masih sudi tunggu aku. Ye la kan, kat luar negeri tu ada ramai lagi yang dia boleh pilih,”

“Dia belajar kat luar negeri ke? Aku tak tahu pun. Tapi tulah, orang tua ada cakap. Jangan benci sangat, nanti jadi suka!”

Dia mula berkerut hairan. Bila waktunya dia membenci? Zaman nakal sekolah rendah? Itupun nak kira jugak ke? Tina dah salah orang ni, fikirnya.

“Kau cakap pasal siapa ni, Tina? Bila masa pulak kami ni saling membenci?”

“Laa… aku cakap pasal kau lah, dengan si gembala lembu tu! Arip… lemmm… buuu!”

Hah? Batu besarkah yang menghempap kepalanya kini? Tidakkk!

***

“Eh Arip! Siapa yang datang rumah Tok Malim dengan kau semalam, hah? Aku tak pernah tengok pun! Sedara kau ke?”

Nok rapat ke meja Arip. Temannya yang bertiga berdiri di belakangnya, tidak ubah bagaikan panglima melindungi sang ratu. Arip terkebil-kebil melihat mereka sebelum membuang pandang. Malas hendak melayan samseng Kampung Dusun!

“Arip, kau dengar tak Nok tanya?” Kam pula menyoal siasat. Geram juga rasanya melihat tingkah selamba si Arip.

“Ingat aku pekak ke?” Suara Arip garau dan dalam. Tidak kena dengan badannya yang kurus tinggi.

“Kalau tak pekak, jawablah. Nama aje bijak tapi itupun nak kena ajar!” Basuh Kam lagi. Nok sengih. Ton dan Tina hanya membisu. Diserahkan bulat-bulat kepada teman berdua.  Tambahan lagi, Nok yang beria-ia benar mahu menyiasat.  Mereka berdua hanya bertindak mengikut arahan!

Arip menjeling Kam yang membuntangkan mata. Rimas rasanya melayan karenah anak dara berempat itu. Tetapi apakan daya, mereka sekelas. Mahu atau tidak, terpaksalah juga dia menghadapinya. Semenjak dari sekolah rendah hinggalah sudah boleh jadi emak orang, perangai nakal tidak surut-surut. Paling menghairankan, hanya dia yang sering jadi mangsa berbanding teman-teman lain. Lebih-lebih lagi, selepas Adul melangkah ke sekolah asrama penuh. Tinggallah dia menghadapi kaki buli berempat itu!

Bukan dia tidak pernah melawan tetapi balasan yang akan dia terima lebih teruk lagi. Pernah sekali dia meletakkan seekor katak puru dalam kasut Nok semasa mengaji, gara-gara selipar jepunnya dicampak anak dara itu ke atas bumbung rumah Tok Malim. Keesokannya, dia menerima penghantaran istimewa berupa sekotak katak pelbagai saiz. Terjerit-jerit emak melatah akibat geli geleman melihat katak berlompatan di ruang tamu. Terbakar sungguh hatinya!

“Itu Adul, abang aku!” Akhirnya Arip mengalah. Terbelalak empat pasang mata di hadapannya itu.

“Adul? Eh, bukan dia boroi ke? Kau jangan nak tipu kami!” Tina mengancam. Tiba-tiba terasa mahu masuk campur. Macam tidak percaya dengan kata Arip. Adul yang mereka kenal berperut boroi, dagu berlapis. Tapi semalam… alamak! Kacak sungguh!

“Kau nak percaya ke tidak, aku peduli apa!” Arip mula mengangkat punggung, mahu pergi dari situ tetapi langkahnya ditahan Nok. Senyum gadis itu nampak lain macam. Nok menapak hampir dengannya dengan muka comel sambil mata dikelip-kelip berulang kali. Tidak ubah macam si Tompok, kucingnya yang manja. Berderau darah Arip naik ke kepala! Dadanya rasa mahu meletup!

“Ariipp… cakaplah betul-betul. Siapa semalam tu?”

“Adul, abang aku! Dia balik cuti, kena sakit mata. Kau jangan dekat dengan dia, nanti kau pulak kena jangkit!” Amaran itu dibuat kerana dia tidak mahu empat dara itu mengganggu abangnya pula. Cukuplah yang sudah-sudah!

“Jadi, betullah tu Adul? Tak sangkanya! Kalau macam tu, aku lantik kau jadi posmen aku. Hari ni, aku nak kirim salam je. Esok, aku nak kirim surat pulak, boleh?” Nok sengih lebar. Tiga lagi jadi pom pom girl. Bersorak-sorai tanda sokongan tidak berbelah bahagi.

Arip terpinga-pinga. Jangkaannya meleset. Dan, sejak hari itu bahunya semakin senget memikul tanggungjawab. Menyampaikan salam beserta surat cinta beraroma bedak bayi. Dan paling penting, mengarang surat balasan bagi pihak Adul. Sudahnya, dia sendiri terasa hanyut oleh perasaan terhadap Nok… tanpa diketahui sesiapa. Lebih-lebih lagi, anak gadis itu yang menyangka perasaannya terluah kepada orang yang sepatutnya.

“Korang jangan ganggu Arip lagi! Dia dah baik sekarang,”

“Eleh… dia baik dengan kau aje. Dengan kami, sama jugak. Kedekut! Tangkai jering!” Bentak Kam suatu hari, bila dia merancang hendak mengenakan bakal ‘adik ipar’ Nok itu.

“Apalah bengap sangat? Kalau dia baik dengan aku, korang pun dapat untung sama. Nah, buku aku! Baru kejap aku salin jawapan dari Arip!” Nok mengibar buku tulis sambil terseringai. Pandai betul ambil kesempatan! Sambil menyelam, sambil minum air!

Kam, Ton serta Tina bertepuk tampar kegirangan. Bagai tikus jatuh ke beras!

iv

“Umii… kenapa Arip pulak? Bukan Adul ke?”

Dia tidak tunggu sesaat pun, apatah lagi sebulan untuk bertanyakan tentang hal tersebut. Kali ini, masalahnya bukan lagi tentang hidung, mata atau telinga tapi status gembala yang disandang Arip. Sejak dulu, kini dan selamanya. Wajah Adul yang kacak melambai-lambai di ruang mata. Impiannya berkecai! Paris, Las Vegas, Hong Kong dan Korea makin jauh dari jangkauan. Yang ada hanya padang tempat lembu meragut rumput!

“Adul? Eh, yang datang minta Ateh ni, Arip. Dengarnya, Adul ada kat New Zealand. Arip pun apa kurangnya. Ateh dah tengok gambar Noi hantar tu?”

Panjang sedepa bibirnya. Gambar? Huh, dah lama dia padamkan. Bahkan sebelum sempat dijamah pandangan mata. Tidak sanggup menelek tubuh kurus kering si Arip. Agaknya, setiap hari mengadap lembu, selera Arip pada nasi pun sudah hilang. Entah-entah, Arip makan rumput! Hatinya berbisik jahat.

“Alaa… umi. Ateh tak naklah! Umi cakap dengan walid, ye? Ateh tak suka!” Rengeknya lagi. Airmata sudah semakin berat di pinggir kelopak. Terbayang kembali wajah Arip yang suka berlindung di belakang abangnya Adul. Teringat semula sifat kedekut lelaki itu ketika di alam persekolahan. Oh Tuhan, bukankah anak-anak bakal mewarisi sifat orang tuanya? Dia impikan zuriat yang berani dan baik hati! Bukannya penakut dan tangkai jering!

“Jangan buat hal! Walid dengan umi dah setuju. Ateh pun tak bantah hari tu! Atok pun dah tahu. Sebab tu umi suruh balik! Kenapa Ateh tak balik?” Bebel umi. Dia diam tidak menjawab. Memang salah sendiri!

“Ateh ingatkan Adul…”

“Lagi-lagi Adul! Apa lebihnya Adul dari Arip?”

“Adul pandai, kaya…”

“Arip pun bijak. Dia lulus universiti jugak. Lagi kaya dari Adul, tau? Lembu dia tu dah eksport sampai luar negeri!” pintas umi panjang lebar membuatkan dia terpinga-pinga seketika. Agak terkejut dengan berita yang baru diketahuinya itu. Otaknya diperah lagi, mencari fakta untuk melenyapkan impian umi bermenantukan si kurus tersebut.

“Tapi, Adul duduk New Zealand. Arip tu langsung tak ke mana-mana. Otakpun tak berkembang. Macam katak bawah tempurung!”

“Eh… Si Arip tu tak suka membazir! Kumpul duit, nak besarkan ternakan lembu dia tu! Esok, bila dah kawin, dia bawaklah kamu ke mana-mana yang kamu nak pergi. Lagipun, New Zealand dengan kampung kita ni, tak ada beza pun!” Umi sudah menukar panggilan untuknya sebagai petanda ribut kecil sedang berpusar di dalam tubuh uminya itu.

Umi ni macam tahu-tahu saja, gerutunya dalam hati. Kalau sudah berkenan, semuanya elok! New Zealand dengan Kampung Dusun pun sudah tak nampak beza!

“Banyak beza umi. New Zealand kan sejuk…”

“Sejuk? Felda New Zealand tu, sejuk ke? Rasanya, sama aje dengan Kampung Dusun ni!”

Kenyataan umi itu membuatkan dia hampir pitam. Kepalanya berdenyut keras. Fikirannya dipenuhi gambaran pemuda kurus kering yang pernah dilantik menjadi posmennya suatu ketika dulu. Hidungnya terbau-bau hamis daging lembu. Lebih dramatik, ingatannya terseret kepada ‘kek berinti kasut’ yang pernah menjadi hadiah istimewa buat Arip!

***
“Arip, nanti kau kena panggil aku, kakak. Sebab masa tu, aku dah jadi kakak ipar kau!” Nok mengilai gelihati. Cikgu tiada di kelas, inilah masa yang sesuai untuk mengusik. Seronok pula membayangkan Arip memanggilnya kakak. Ton, Tina dan Kam hanya tersengih, menumpang seronok.

“Tak ingin aku! Jangan nak berangan!” Marah Arip. Kalau sungguh Adul berjodoh dengan Nok, tidak mungkin dia mahu memanggil gadis itu dengan panggilan kakak. Lebih baik kalau dia langsung tak bercakap!

Nok berkerut hairan. Arip mahu berkurang ajarkah? Walaupun dia maklum mereka seusia, pangkat tetap diutamakan. Wajah Arip direnungnya, lama. Tidak sedar, dia menilai penampilan anak muda itu dalam diam. Kalau dilihat dari segi rupa, kedua-duanya setara cuma Arip kurus tinggi berbanding Adul yang dulunya boroi, sekarang sudah tegap badannya. Suara Arip garau dan dalam. Ada waktunya, suara itu mampu membuatkan romanya meriding terutama apabila Arip berbisik ke telinga Nok tentang rahsia dari Adul. Lengan Arip kekar, urat lengannya kelihatan timbul. Mungkin kerana kerja mengembala yang dilakukannya selepas tamat sesi persekolahan.

“Nok! Kau menung apa tu?” Jerkah Kam membuatkan Nok tersentak. Dadanya diurut perlahan-lahan, bagi mengurangkan rasa terkejut. eman bertiga yang tersengih-sengih dijelingnya, tajam.

“Nok teringat Adul tu!”

Arip mengerling sekilas. Mahu melihat perubahan air muka Nok tetapi anak gadis itu diam sahaja. Nok angkat muka, mengilas pandangan ke arah Arip sekali lagi namun pandangan mereka bertembung. Kali ini, Nok bertahan dan Arip pula melawan. Entah bila, teman yang bertiga pergi dari situ, kedua-duanya tidak pasti.

“Aku tak rasa yang aku kena panggil kau kakak,” Arip bersuara perlahan. Nok terpinga-pinga. Kurang memahami ungkapan tersebut. Senyuman Arip tersembunyi maksud tersirat yang sukar ditebaknya.

“Aku yakin sangat, kau yang kena panggil aku abang, nanti!” Senyuman Arip semakin melebar membuatkan jantung Nok bertukar rentak!

Kerna Terpaksa – Wild Cherry

Posted on

            

            “AWAK dah berubah sekarang! Mana Khalidah yang saya kenal dulu? Mana dia janji awak yang sanggup sehidup semati dengan saya tak kira susah atau pun senang? Mana!!?” Meninggi suara Encik Johan. Panas hatinya apabila melihat isterinya sedang memasukkan kesemua pakaian ke dalam bagasi.

“Saya dah tak boleh hidup dengan awak! Dulu sebelum kita kahwin, awak janji yang kita takkan hidup susah sebab awak cakap perniagaan awak tu stable… tapi sekarang dah bankrap! Mana nak cekau duit untuk bayar hutang-hutang tu semua? Entah-entah awak akan jadikan saya alat untuk langsaikan semua hutang-hutang tu! Sebelum saya dipergunakan, lebih baik saya pulang ke rumah mama saya. Sekurang-kurangnya saya masih ada tempat berlindung lepas apartment ni disita.” Selesai mengemas semua barang-barangnya, Puan Khalida berjalan keluar dari bilik itu. Dia mengheret sebuah bagasi dan menjinjing sebuah beg.

Encik Johan mengekori langkah isterinya yang sedang menuruni tangga. Dia terkejut mendengar kata-kata yang keluar dari mulut perempuan yang telah dinikahinya. Sungguh tidak masuk akal!

“Astaghfirullahalazim…. apa yang awak merepek ni Khal? Perniagaan saya bankrap tak ada kena mengena dengan nak pergunakan awak. Awak ingat saya jahat sangat ke hah? Saya bukan lelaki pengecut yang sanggup mengorbankan perempuan yang saya sayang! Saya masih waras lagi! Siapa yang dah menghasut awak ni ha?” tengking Encik Johan. Kesabarannya sudah semakin menipis.

“Takde siapa yang menghasut saya. Saya sendiri yang nak keluar dari sini!” Dia masih terus berjalan. Langkahnya terhenti apabila terasa lengannya ditarik kuat. Dia sedikit terdorong ke belakang.

“Isy… lepaskan sayalah!!” jeritnya. Lengannya terasa sakit apabila dicengkam sebegitu.

Encik Johan melepaskan pegangannya apabila melihat wajah Puan Khalidah sedikit berkerut. “Awak dah tak sayangkan saya ke? Cuba awak ingat balik pelbagai rintangan yang kita telah lalui untuk hidup bersama dulu. Tolong jangan pergi,” rayunya.

“Saya memang dah tak sayangkan awak lagi… dan saya menyesal kahwin dengan awak! Mungkin betul kata orang… orang yang kahwin tanpa restu keluarga, rumahtangganya takkan bahagia.” Dia menjawab tanpa berfikir.

Kecewa Encik Johan mendengar jawapan isterinya. “Kalau awak dah tak sayangkan saya lagi, awak tolonglah fikirkan tentang anak-anak kita. Takkan awak nak tinggalkan mereka macam tu aje.. mereka memerlukan awak sebagai ibu mereka,” Pujuk Encik Johan.

“Mereka anak awak kan… awak sahaja la yang jaga mereka. Saya tak nak ada apa-apa hubungan lagi dengan mereka dan awak!” Jari telunjuknya dihalakan ke dada suaminya. Kemudian dia bepusing untuk meneruskan jalannya yang terhalang tadi.

Kata-kata Puan Khalidah telah menaikkan kembali kemarahan encik Johan. Dia merentap beg pakaian yang dijinjit oleh Puan Khalidah.

Puan Khalidah terkejut dengan perbuatan suaminya.

“Apa awak kata? Mereka anak awak jugak tau! Awak yang melahirkan mereka! Saya tak benarkan awak keluar dari rumah ni!” herdiknya.

“Apa hak awak nak halang saya? Apa hak awak!?” Dia menarik semula beg pakaiannya.

“Saya suami awak! So sebagai isteri, awak kena patuh arahan saya! Pergi masuk bilik!” Encik Johan merentap kembali beg pakaian itu.

“Awak ni tak paham bahasa ke hah? I don’t want to be your wife anymore! Biarkan saya pergi!” tengkingnya. Dia merampas balik beg pakaiannya.

Pedih hati Encik Johan mendengar bicara isterinya. Dia tidak menyangka perkahwinan yang dibina atas dasar cinta berakhir begini.

Puan Khalidah meneruskan langkahnya kembali. Belum sempat dia sampai ke pintu keluar, seorang kanak-kanak lelaki yang berusia 11 tahun berlari mendapatkannya.

“Mama… mama… tolong jangan pergi… jangan tinggalkan along dan adik…” Budak lelaki itu memaut kedua-dua belah kaki Puan Khalidah menyebabkan pergerakkannya terkunci. Adiknya hanya berdiri kaku dibalik tangga. Di situlah tempat mereka berdiri menyaksikan pertengkaran antara kedua ibu bapa mereka sebelum si along meluru mendapatkan mamanya tadi.

Sayu hati Encik Johan melihat anak sulungnya menangis dan merayu begitu. Di dalam hati dia berdoa agar hati isterinya lembut apabila melihat anak mereka merayu.

“Lepaskan akulah! Aku bukan mama kau lagi! Lepas!” Dia cuba menarik kakinya namun pautan budak itu terlalu kejap.

“Tidak! Along takkan  lepaskan kalau mama janji takkan tinggalkan along, adik dan papa!” Tegas budak itu.

“Aku kata lepas!” Puan Khalidah menolak badan budak itu sekuat hatinya. Tolakannya menyebabkan kepala budak itu terhantuk pada bucu meja kopi yang diprbuat dari kaca itu.

“Along!!” Encik Johan memangku anaknya. Dia menarik tisu yang ada di atas meja kopi lalu menekupkan pada dahi anaknya yang berlumuran darah itu. Si adik yang hanya berdiri kaku dari tadi segera mendapatkan papa dan alongnya.

Pucat muka Puan Khalidah apabila melihat banyak darah yang mengalir pada dahi anak sulungnya. Dia hanya berdiam diri, tidak mampu membuat apa-apa.

“Sampai hati awak mencederakan anak sendiri Khal! Apa salah dia hah? Dia hanya tak nak awak tinggalkan rumah ni… kalau awak masih ada secebis kasih sayang untuk anak-anak kita, awak janganlah pergi. Kalau awak nak pergi jugak… pergilah tapi ingat! Sebaik sahaja awak melangkah keluar dari rumah ni, gugurlah talak satu.” Encik Johan memberi kata putus.

Puan Khalidah masih lagi berdiri kaku. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi menandakan satu mesej diterima. Dia segera membaca mesej itu. Selesai membaca, dia memandang wajah suami dan anak-anaknya. Perlahan-lahan dia melangkah pergi. Pergi meninggalkan keluarganya.

“Mama!! Mama!!” jerit si along tanpa menghiraukan dahinya yang sakit. Kelibat Puan Khalidah hilang dari pandangan matanya.

Encik Johan kecewa melihat isterinya berlalu. Dia segera mencempung anak sulungnya untuk dibawa ke hospital.

*****

HAH!!!” Dia tersedar dari tidur. Turun naik nafasnya. Dia meraup wajahnya yang berpeluh. Sejak dua tiga hari kebelakangan ini dia sering bermimpi tentang kejadian lima belas tahun yang lalu. Dia meraba dahinya yang berparut. Hatinya sakit mengenangkan peristiwa itu. Dia tidak menyangka mamanya sanggup mencederakannya.

Kerana sikap mamanya itu, dia tidak percaya pada perkahwinan. Papa dan mamanya yang berkahwin atas dasar cinta pun boleh bercerai berai. Dia menilik jam di telefon bimbitnya. “Baru pukul 4.30 pagi,” keluhnya. Qasyi Umair turun dari katil. Dia mencapai jubah mandi dan tuala mandi lalu keluar dari bilik tidur. Dia turun dari tangga dan menuju ke kolam renang yang terdapat di luar rumah banglo dua tingkat itu.

*****

SESAMPAI sahaja di kolam renang, dia terus terjun dan berenang. Jika jiwanya kacau, dia akan berenang. Pada dia, berenang merupakan satu kepuasan. Segala masalah yang membelenggu otaknya akan hilang… hilang bersama kedingingan air kolam itu.

Setelah puas berenang, dia naik ke atas lalu membaringkan dirinya di kerusi malas yang memang disediakan di situ. Matanya dihalakan ke langit yang gelap. Keadaan cuaca pagi yang sejuk tidak dihiraukan.

“Along berenang lagi?”

Qasyi tersentak. Dia berpaling ke arah suara yang menegurnya.

Qalif Haikal yang sudah lengkap berbaju melayu merah, berkopiah putih dan berkain pelekat mula melabuhkan punggungnya di kerusi malas sebelah alongnya. Dia pelik melihat perangai alongnya yang sejak dua menjak ini asyik berenang pagi-pagi buta.

“Dah pukul berapa sekarang?” soalnya. Soalan adiknya dibiarkan  tidak berjawab.

“Lagi 10 minit nak dekat pukul 5.30 pagi,” jawab Qalif perlahan.

Qasyi mencapai tuala yang diletakkan di atas meja lalu mengelap rambut dan badannya yang basah. Selesai mengelap, dia menyarungkan jubah mandi ke badannya. “Along masuk dululah, kejap lagi dah nak azan subuh,” pamitnya.

“Along!!” panggil Qalif.

Terhenti pergerakkan Qasyi. Dia berpaling ke belakang, menunggu bicara adiknya.

“Papa ajak jemaah sama-sama,” ujarnya.

Qasyi tersenyum. “Okey.. tunggu along kat bilik solat.” Dia meneruskan langkahnya masuk ke rumah.

*****

AMIN… amin ya rabbal alamin…” Usai mengaminkan doa, Qasyi berpaling ke belakang lalu menyalami serta mencium tangan papanya. Tangan inilah yang telah membesarkan dia dan adiknya selepas mamanya meninggalkan mereka. Lelaki inilah papa dan lelaki inilah juga mama.

Dato’ Johan mengusap lembut belakang badan anak sulungnya. Selepas itu, giliran Qalif pula menyalami dan mencium tangannya. Dato’ Johan berehat sebentar di bilik solat. Dia menghantar pemergian kedua-dua orang anak bujangnya yang keluar dari bilik solat  dengan pandangan mata.

Kini dia sudah mampu tersenyum bangga melihat kejayaannya membesarkan anak-anaknya tanpa kasih sayang seorang ibu. Dia sentiasa bersama dengan anak-anaknya dalam apa keadaan sekalipun. Dia tidak mahu anak-anaknya bersedih mengenangkan bekas isterinya yang tidak bertanggungjawab itu.

Cuma satu yang amat dia bimbangkan iaitu perangai anak sulungnya yang sentiasa bertukar-tukar perempuan seperti menukar baju. Dia sentiasa berdoa agar suatu hari nanti muncul seorang perempuan yang dapat memecahkan benteng pertahanan Qasyi yang tidak percaya pada perkahwinan.

*****

QASYI tergesa-gesa turun dari tangga. Untuk sampai ke pintu keluar, dia perlu melintasi ruang tamu.

“Along nak pergi mana tu? Tak makan malam dulu ke?” soal Dato’ Johan yang ketika itu sedang menonton Buletin Utama di ruang tamu.

“Along dah lambat ni.. nak keluar jumpa Cassandra jap,” jawabnya pendek. Dia menyarungkan kasutnya.

“Aik.. Cassandra pulak? Semalam Carissa, hari tu Zetty, minggu lepas Christ apa entah namanya. Cristian ke apa?” Tergeliat lidah Dato’ Johan mahu menyebut nama-nama kekasih Qasyi. Nama bukan main lagi!

“Cristina la pa.. bukan Cristian,” jawab Qalif bagi pihak Qasyi.

Qasyi tersengih mendengar bicara papanya. “Okeylah pa, Qalif… along pergi dulu. Assalamualaikum,” pamitnya.

“Jangan balik lewat pulak!” jerit Dato’ Johan.

*****

DATO’… sarapannya udah siap.” Suara bibik Salmah telah memecahkan lamunan Dato’ Johan.

“Ha… yalah. Awak pergi panggil Qasyi dan Qalif sekali,” arahnya.

“Qasyi sama Qalif udah ada di bawah nungguin Dato’,” katanya.

“Oh.. kejap lagi saya turun.”

*****

ALONG tolong hantarkan Qalif ke kolej boleh?” pinta Qalif.

Qasyi terhenti menyuapkan bihun goreng ke dalam mulutnya. Dia mencapai cawan yang berisi teh o panas lalu menyisip sedikit.  “Kereta Qalif mana?” soalnya pelik.

“Qhalif bagi Dhiah pinjam. Dia nak balik kampung sebab mak dia masuk hospital,” terangnya.

“Patutlah tak nampak toyota vios tu kat garaj…kenapa dia tak balik kampung naik pengangkutan awam je? Bas dengan teksi kan banyak?”

“Dhiah nak naik bas tapi Qhalif yang tak bagi. Pemandu bas dengan teksi ni bukan boleh percaya sangat… kat dalam paper tu banyak kes penumpang yang kena rogol. Daripada dia naik bas, lebih baik Qalif bagi dia bawak kereta Qalif tu,” jelasnya.

“Tak takut kena tipu ke? Manalah tahu dia jual kereta tu ke..” Qasyi sengaja menakut-nakutkan Qalif.

“Tak ada maknanya la dia nak jual. Qalif kenal siapa Mardhiah. Lagipun  kami dah lima bulan couple. Qalif sendiri ada dengan dia masa abah dia telefon dia. Opss!” Dia menekup mulut apabila terlepas cakap yang dia telah berpacaran dengan Mardhiah.

“Hohoho… diam-diam ubi berisi ek.. sepandai-pandai Qalif menyimpan rahsia, akhirnya terbocor juga,” sakatnya. Dia tergelak kuat.

“Apa yang digelakkan ni? Rancak bukan main lagi,” tanya Dato’ Johan yang baru sampai di meja makan. Dia mengambil tempat di kepala meja.

Qalif menjegilkan matanya ke arah Qasyi memberi amaran agar tidak membocorkan rahsianya.

“Qalif ni pa…” Dia ketawa lagi melihat muka Qalif yang sudah memerah.

“Along!!” Keras suara Qalif. Ada nada merajuk di situ.

“Okey… okey.. along tak cerita.” Qasyi meletakkan jari telunjuknya di bibir.

“Apa yang along dengan Qalif nak sorokkan dari papa ni? Baik along cakap. Kalau tak… papa sekat kad kredit along,” guraunya.

“Ala… mana aci papa ni…” Qasyi tak puas hati.

“Aci… tak aci, along kena bagi tau jugak apa yang kelakar sangat tadi?”

Qasyi merenung adiknya. “Sorry la ek Qalif. Untuk menyelamatkan kad along dari disekat, along terpaksa cerita jugak.”

Qalif menundukkan wajahnya ke bawah. Malu untuk mendengar kata-kata abangnya yang seterusnya.

“Tak lama lagi papa akan dapat menantu. Anak bongsu papa ni dah ada calon,” bocornya.

Qalif pantas mengangkat muka. “Bukan pa.. Mana ada Qalif nak kahwin. Belajar pun belum habis lagi. Kami cuma berkawan je,” nafinya. Mukanya memerah lagi.

Dato’ Johan tersenyum. Dia tidak menyangka anak bongsunya yang ulat buku sudah mempunyai kekasih hati. Dia memandag Qasyi yang masih galak mentertawakan Qalif. “Along pilak bila nak bawak bakal menantu jumpa papa? Selalu asyik dengar bermacam-macam nama je, kenalkan tak pernah pulak,” usiknya.

Ketawa Qasyi terhenti. Kini giliran Qalif pula yang tersengih.

“Ehem… ehem…” Qasyi  membetulkan suaranya. “Papa ni kan, saje je tau. Ke.. papa yang nak berkenalan dengan bekas aweks along untuk dijadikan calon mama tiri kami?” usiknya pula.

Ek… eh… ke situ pulak along ni. Untuk papa nak buat apa, papa dah tua. Takkan la dalam banyak-banyak aweks along tu satu pun yang sangkut?”

“Perempuan macam dorang tak layak nak dibuat bini. Tahunya nak menghabiskan duit orang je,” ujarnya

“Habis tu yang along usung dorang ke sana sini tu buat apa?”

“Saja nak enjoy… nak hilangkan stress lepas habis kerja.”  Selamba dia menjawab.

“Along tak buat perkara tak senonoh, kan dengan dorang?” Dato’ Johan ingin tahu.

“Astaghfirullahalazim pa… along masih tahu dosa dan pahala. Tak pernah terdetik pun di hati along ni nak merosakkan anak dara orang. Along keluar dengan dorang pun just makan-makan and shopping je…” Qasyi membuat pengakuan.

“Okey, papa percaya dengan along. Papa tahu along takkan buat benda-benda tak senonoh dengan anak dara orang.”

Thanks pa… thanks sebab percayakan along.”

“Along, cepatlah makan. Nanti terlambat pulak Qalif masuk kelas.” Qalif mencelah.

Qasyi mempercepatkan suapannya.

“Pa,  kami pergi dulu.” Qasyi dan Qalif menyalami tangan Dato’ Johan.

Bawak kereta elok-elok,” nasihatnya. Dato’ Johan meneruskan suapannya.

*****

QALIF sedang menelaah pelajaran di perpustakaan. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Semua mata tertumpu ke arahnya kerana dia terlupa untuk menutup telefon bimbitnya. Dia segera mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menukar deringan kepada senyap. Selepas itu dia membuka peti masuk untuk membaca mesej yang dikirim oleh Mardhiah.

Aassalamualaikum… awak tengah buat apa tu?

            Usai membaca mesej itu, dia segera membalasnya.

Waalaikumussalam.. saya kat library ni. Awak, tadi kan saya boleh terlupa nak silent phone. Semua orang kat sini dah jeling semacam je. Hahaha… mak awak macam mana? Dah okey ke? Bila boleh keluar wad?

           

            Hahaha… awak memang… kalau dah jumpa library memang tak ingat dunia. Ulat buku la katakan… alhamdulillah, mak saya dah okey sikit. Mak saya tu memang degil. Orang cakap jangan makan durian, dia makan jugak. Mana darah tinggi tu tak naik. Insya-Allah lusa mak saya dah boleh keluar wad. Nanti saya bila saya dah balik sana saya pulangkan kereta awak ek.

 

            Saya tak kisah pun pasal kereta tu yang penting awak selamat balik ke sini.

 

            Thanks ek. Okeylah saya nak pergi hospital balik ni. Assalamualaikum.

 

            Waalaikumussalam. Take care ey…

Usai sesi balas membalas mesej, Qalif meneruskan kembali pembacaannya.

*****

EXCUSE ME..” Seorang gadis yang memakai selendang hitam menegur Qalif yang sedang mengemas buku-buku untuk beredar dari perpustakaan.

“Saya ke?” soalnya sambil menundingkan ibu jari ke arahnya. Dia takut kalau-kalau gadis itu menegur orang lain, dia pula yang perasan.

“Ya awak. Awak ni Qalif Haikal anak kepada pemilik syarikat Impiana Holdings right?” soal gadis berselendang hitam itu, ingin tahu. Dia mengambil tempat di hadapan Qalif.

Qalif menjungkitkan keningnya. “Macam mana awak tahu nama saya dan nama syarikat papa saya?” soalnya pelik.

Gadis berselendang hitam itu tersenyum apabila tekaannya tepat. “Siapa yang tak kenal dengan syarikat Impiana Holdings yang dah setanding dengan syarikat-syarikat korporat lain. Saya Aina Nazihah, pelajar akaun tahun akhir. Boleh kita berbincang sekejap?”

“Boleh tapi bukan kat sini. Apa kata kita ke kafe. Saya tengok mak cik library tu dah jeling semacam je,” ajaknya. Qlif segera bangkit lalu berjalan keluar dari perpustakaan diikuti oleh Nazihah.

*****

OKEY, apa yang Cik Aina Nazihah nak bincangkan?” Qalif memulakan soalan selepas menyedut minuman yang baru dibelinya tadi.

Just call me Zihah.”

Qalif tersenyum dan mengangguk. Dia setia menanti bicara Nazihah seterusnya.

“Macam ni… tahun ni mnrupakan tahun akhir saya di kolej ni. So, saya ingat nak buat praktikal kat syarikat papa awak,” terangnya.

“Buat je la, apa susah,” pintasnya.

“Masalahnya sekarang, saya dapat tahu ramai yang memohon kat syarikat tu. Saya takut tak terpilih. Boleh tak awak tolong yakinkan papa awak supaya pilih saya?” pinta Nazihah.

“Kalau dah terlalu ramai, awak masih boleh pilih syarikat lain, kan. Buat praktikal kat mana-mana pun sama je. Lepas 3 bulan, habis belajar,”  ujar Qalif.

“Tapi saya kena jugak buat praktikal kat syarikat papa awak tu. Please… I’m begging you,” rayunya.

“Kenapa awak nak sangat buat praktikal kat syarikat papa saya?” soalnya, curiga. Benaknya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan gadis yang bekulit putih di hadapannya ini.

“Sebab… sebab..” Tergagap-gagap dia menjawab. Dalam tengah mencari jawapan, matanya terpaku pada skrin televisyen yang menayangkan filem idola. “Sebabnya, Dato’ Johan tu idola saya. Saya kagum dengan papa awak yang tabah dalam mengharungi hidup. Dia sanggup bangkit semula selepas syarikatnya muflis,” sambungnya lagi.

“Memang papa seorang yang tabah. Walaupun dia terpaksa bermula dari bawah, dia tak pernah merungut. Papa memang mempunyai kesabaran yang tinggi. Akhirnya dia berjaya juga membangunkan syarikatnya kembali.” Kendur suaranya.

So, awak boleh tolong saya tak?” Dia membuat muka kasihan.

“Hmm…” Qalif membuat muka seperti sedang berfikir. Jari telunjuknya diketuk-ketuk ke dagu. Kemudian dia menarik nafas. “Baiklah, nanti saya akan cuba berbincang dengan papa. Tapi apa-apa aje keputusan papa, awak kena terima,” sambungnya.

Thanks Qalif. Boleh saya dapatkan phone number awak? Ni saya punya phone number.” Dia memberikan sekeping kertas yang mengandungi nombor telefonnya.

Qalif mengambil kertas lalu mencatatkan nombor telefonnya. Usai menulis, dia menyerahkan kertas itu kepada Nazihah.

“Okeylah, saya pergi dulu ek,” pintanya. Dia mula bangkit lalu keluar dari kawasan kafe.

*****

SELEPAS makan malam, Qalif masuk ke biliknya. Dia mencapai telefon bimbitnya lalu mencari nama Mardhiah. Selepas menekan punat hijau, dia menunggu seketika. “Assalamualaikum Dhiah, awak busy ke? Saya nak tanya sesuatu kat awak,” ujarnya apabila panggilannya bersambut.

“Waalaikumussalam. Saya kat kantin hospital ni. Awak nak tanya apa?” soalnya. Dia mencapai gelas di hadapannya lalu diteguk.

“Awak kenal tak Aina Nazihah?” soalnya terus.

“Aina Nazihah? Macam pernah kenal je nama ni. kejap ek saya nak ingat balik.” Dia mula berfikir. “Oh ya… dah ingat. Dia budak akaun tahun akhir. Kenapa dengan dia?” soalnya.

“Betul la dia. Tadi dia datang jumpa saya. Dia ajak berbincang,” jelasnya.

“Bincang apa?” Suaranya meninggi sedikit. Dia menundukkan kepalanya menahan malu apabila orang-orang yang sedang menjamu selera di kantin, memandang ke arahnya.

“Dia nak buat praktikal kat syarikat papa tapi dia suruh saya pujuk papa supaya pilih dia.. awak rasa macam mana? Patut ke saya tolong dia?” soalnya.

“Oh… macam tu ke. Saya tengok dia okey, tapi dia tu macam pendiam sikit dan… dia merupakan pelajar terbaik akaun. Saya yakin, papa awak akan setuju punya. Oh ya, awak nak tahu sesuatu tak?”

“Apa dia?” soal Qalif ingin tahu.

“Pernah sekali tu dia jumpa saya. Dia asyik tanya pasal awak je. Patutlah dia asyik tanya, rupa-rupanya dia nak minta tolong awak. Saya pulak dah rasa semacam je masa tu. Hahaha,” ceritanya.

“Uii, jelous ke?” usiknya.

“Mahunya tak jelous… tiba-tiba je ada perempuan yang sibuk sangat nak tahu tentang latar belakang awak. Nasib baiklah saya tak sembur dia.  Awak tolonglah dia ek,

“Kalau awak dah kata macam tu, kenalah saya pujuk papa bersungguh-sungguh. Okeylah, saya nak jumpa papa sekarang.” pintanya.

All the best ey.. assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam..” Selepas mematikan talian, dia melangkah keluar dari biliknya lalu menuju ke bilik papanya.

*****

PINTU bilik papanya diketuk lalu dipulas tombol. Dia menjengukkan kepalanya ke dalam. “Papa dah nak tidur ke?” soalnya.

Dato’ Johan yang sedang membaca buku di atas katil segera menutup bukunya. Dia menggamit Qalif agar duduk di sisinya.

“Kat syarikat papa tu ada buat praktikal untuk pelajar, kan?” soalnya sebaik sahaja duduk di sisi Dato’ Johan.

“Memang ada tapi bukan ke praktikal Qalif lagi setahun?” soalnya pelik.

“A’ah lagi setahun. Pa, nanti boleh tak papa terima permohonan pelajar yang bernama Aina Nazihah?” pintanya.

“Kenapa papa kena terima permohonan dia?”

“Dia kawan Qalif. Dia nak sangat buat praktikal kat syarikat papa. Dia kata papa idola dia. Boleh ya pa…” rayunya.

“Nantilah papa fikirkan.”

“Ala pa… boleh la.. Dhiah kata Nazihah tu pelajar terbaik akaun. Qalif dah janji nak tolong dia,” pujuknya lagi.

“Yelah… yelah… papa tolong. Tapi lain kali jangan berjanji lagi dengan kawan tau. Papa bukan apa, papa takut nanti orang fikir papa ni pilih kasih pulak.

Thanks pa.. Okeylah pa, Qalif nak baca buku dulu. Nite pa.” Dia menyalami tangan Dato’ Johan.

“Jangan tidur lewat sangat. Awak tu kalau dah jumpa buku, macam tak ingat dunia.”

“Hehehe… okey pa.” Dia menutup pintu bilik papanya lalu menuju ke biliknya kembali.

*****

 DIA duduk di katilnya lalu mencapai telefon bimbit yang diletakkan di atas meja lampu. Dia menaip sesuatu untuk dihantar kepada Nazihah.

Assalamualaikum. Saya dah berbincang dengan papa saya. Dia dah bersetuju untuk terima permohonan awak.

            – Qalif Haikal-

            Usai menaip, dia menekan butang hantar. Beberapa minit kemudian telefon bimbitnya berbunyi menandakan satu mesej diterima. Dia segera membacanya.

Waalaikumussalam. Thanks a lots. Saya akan ingat budi awak. Nite.

Selepas membaca mesej itu, dia bergerak ke meja belajar. Dia mula menelaah pelajaran.

*****

BOS, Cik Carmylla is on the line. Nak saya sambungkan ke?” Suara Shazwina Shamien, setiausaha merangkap kawan baiknya kedengaran di interkom.

“Okey, sambungkan.” Qasyi mengangkat ganggang dan menekan butang talian. Dia melekapkan ganggang ke telinga.

“Qasyi, petang ni kita pergi shopping ek.” Suara manja Carmylla kedengaran di hujung talian.

Qasyi mengurut-urut tengkuknya. “Semalam kan kita dah shopping.. nak shopping apa lagi?” soal Qasyi pelik.

“Ala… semalam kita shopping hand bag… Hari ni I nak beli baju..  boleh la,” rengeknya.

Qasyi menyandarkan badannya. “I banyak kerjalah. Hari lain je la ya,” tolaknya.

Please,” rayunya.

“Hmm…. okeylah tapi lambat sikit tau,” putusnya.

“Okey, I tunggu you kat luar office I paling lewat pun pukul 6 tau. Bye.” Dia bersuara ceria.

Qasyi menyambung kerjanya semula.

*****

NAZIHAH merebahkan badannya di atas katil. Sebaik sahaja habis kuliah, dia terus pulang ke rumah teres yang disewa bersama dua orang pelajar tahun dua. Kebetulan ada pelajar yang ingin mencari bilik sewa pada ketika itu. Memandangkan rumah yang disewanya masih mempunyai dua bilik kosong, dia menawarkan kepada mereka.

Dia bangkit dari pembaringan lalu menuju ke almari pakaian. Pintu almari dibuka lalu dia mengeluarkan satu kotak kecil lalu dibawa ke katil. Perlahan-lahan penutup kotak itu dibuka. Dia mengambil keluar semua isi dalam kotak itu. Dia membelek keratan-keratan akhbar mengenai Dato’ Johan yang dikumpulnya suatu ketika dahulu. Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Dia meletakkan kembali keratan tadi ke dalam kotak. Kemudian dia berjalan ke arah pintu lalu menguak sedikit pintu itu.

“Kak Zihah, nak pinjam kereta boleh tak? Sofea dengan Aida nak pergi Kinokuniya kejap, nak cari buku,” pinta Sofea.

“Kejap ek.” Dia menutup pintu biliknya semula lalu mencapai kunci kereta yang diletakkan di atas meja solek. Kemudian dia berjalan semula ke pintu bilik. Pintu bilik dikuak semula lalu menyerahkan kunci kereta ke tangan Sofea.

Thanks kak.”

Nazihah menutup pintu biliknya semula lalu mendapatkan katil. Keratan tadi dikeluarkan semula. Dia tersenyum seorang diri. “Syukur alhamdulillah plan aku  untuk masuk ke dalam syarikat Dato’ Johan dah berjaya. Nasib baik Qalif percaya alasan aku. Kalau tak… terpaksalah aku guna cara lain,” monolognya. Tiba-tiba perutnya berbunyi. Dia menyimpan semula kotak kecil itu ke dalam almari lalu keluar dari biliknya untuk ke dapur.

*****

MUKA Carmylla masam mencuka. Qsyi yang sedang memandu langsung tidak ditegur.

Sorry la Myla… I terlewat sikit je.. sorry okey,” mohonnya.

“You tahu tak dah sejam I tercongok kat luar office tu! You janji nak ambil I pukul 6 tapi sekarang dah pukul 7!” marahnya tidak puas hati.

“Kan I dah cakap I banyak kerja tadi… you yang nak sangat pergi shopping hari ni. Macam dah takde hari lain,” protesnya.

“Oh… jadi you nak salahkan I la ni ya! Hantarkan I balik rumah sekarang!” rajuknya.

“Tadi kata nak pergi shopping?”

“Tak jadi. I dah takde mood nak pergi shopping!

Qasyi mengeluh. “Betul ke you tak nak pergi? I dengar ada satu butik tu dress dia cantik sangat. Sesuai dengan you,” umpannya.

Terbeliak mata Carmylla mendengar kata-kata Qasyi. “Cantik sangat ke dress tu?” soal Carmylla teruja.

Yup cantik sangat. You nak balik ke nak shopping?”

Shopping la…” Hilang terus rajuknya.

Qasyi tersengih. Kalau dah namanya perempuan, puji sikit terus cair, bisik hatinya. Kesemua bekas teman wanitanya jenis mata duitan. Prinsip dia, apabila sudah bosan, mereka akan dia tinggalkan. Baginya, berpoket tebal dan pandai mengayat sudah cukup untuk mencairkan hati perempuan.

*****

MYLLA, kita solat dulu ek maghrib dah masuk ni,” ajaknya ketika mereka baru menjejakkan kaki ke dalam kompleks membeli-belah.

“You sorang je la… I ABC,” bohongnya.

“Okey, you tunggu kat bangku sana tu.” Dia mula melangkah mengikut papan tanda yang menunjukkan arah surau.

20 minit kemudia, dia sampai di tempat dia meninggalkan Carmylla tadi. “Jom,” ajaknya.

Carmylla memaut lenngan Qasyi. Mereka memasuki sebuah butik. Dari satu butik ke satu butik mereka jejak. Apabila tangan Qasyi sudah dipenuhi dengan paper bag, barulah Carmylla mengajaknya balik.

“You tak nak pergi makan dulu ke? I laparlah,” soal Qasyi.

“Tak nak la… I dah kenyang tengok baju-baju ni semua. Kita balik ek… you makanlah kat rumah,” jawabnya bersahaja.

Isy perempuan ni, baju-baju dia je yang dia fikir. Perut aku yang berbunyi ni dia tak perduli! Marahnya dalam hati. Dia berpura-pura tersenyum.

*****

SUDAH tiga hari Nazihah memulakan praktikalnya di Impiana holdings. Pekerja-pekerja di situ juga sangat baik dan selalu memberikan tunjuk ajar. Layanan Dato’ Johan kepadanya mewujudkan satu perasaan yang telah lama dia dahagakan. Dia mengimbas kembali hari pertamanya di syarikat ini.

*****

CIK, saya nak lapor diri.” Nazihah seseorang yang menjaga di bahagian lobi.

“Oh, awak ni Cik Aina Nazihah ya? Tunggu sekejap ya, kejap lagi ada orang yang akan bawak awak naik atas,” kata Hidayah. Dia kemudiannya mencapai ganggang telefon lalu memanggil orang yang akan membawa Nazihah naik ke atas untuk turun menjemput Nazihah.

Beberapa minit kemudian Nazihah dibawa masuk ke bilik Dato’ Johan.

*****

AWAK la Aina Nazihah kawan yang Qalif cakap tu,” ujar Dato’ Johan. Dia merenung lama wajah Nazihah. Sejuk matanya menatap wajah putih bersih itu. Dalam hati dia berkenan dengan tingkah laku gadis di hadapannya itu.

“Ya saya, Dato’” akuinya.

“Panggil saja saya uncle. Kawan-kawan Qalif dah uncle anggap macam anak-anak uncle jugak. Nak panggil papa pun boleh. Maklumlah uncle ni takde anak perempuan.”

Terharu Nazihah mendengarnya. Ternyata Uncle  Johan sangat baik, bisik hatinya.

Dato’ Johan menekan interkom. “Sheila, tolong panggilkan Laila.”

“Baik Dato’,” balas setiausahanya.

Beberapa minit kemudian, pintu bilik Dato’ Johan di ketuk. Selepas mendapat arahannya, pintu terkuak. Laila berdiri di sebelah kerusi yang diduduki Nazihah.

“Laila, kenalkan ini Aina Nazihah, pelajar yang akan buat praktikal di sini.” Dato’ Johan memperkenalkan Laila kepada Nazihah. Mereka berjabat tangan seketika.

“Saya nak awak kenalkan dia kepada semua pekerja dan tunjukkan tempat dia sekali,” arahnya.

“Baik Dato’. Mari ikut saya Cik,”

“Terima kasih Dato’…”

“Kan uncle dah kata panggil uncle,” pintasnya sebelum Nazihah menghabiskan ayatnya.

Opss, terima kasih uncle, saya minta diri dulu,” ucapnya.

*****

ZIHAH oiii…. kau tak nak keluar makan ke?” Laila menegur Nazihah yang sedang termenung.

Nazihah tersentak. Lamunannya pecah. “Dah pukul 1 ke kak?” soalnya terpingga-pingga. Dia menilik jam di pergelangan tangan kiri. “Cepatnya masa bergerak. Jomlah Kak,” ajaknya.

“Berangan ek… nasib baik Dato’ Johan tak nampak. Opss bukan Dato’ Johan tapi Uncle Johan,” giatnya.

“Kak Laila ni kan, mengada tau.” Nazihah mencubit perlahan pinggang Laila. Mereka berpapasan menuju ke lif.

*****

MORNING bos,” ucap Shazwina sebaik sahaja dia masuk ke bilik pejabat Qasyi, bersama dengan diari hitam.

Morning… my timetable please?” pintanya.

Shazwina mula membuka diari hitam yang tercatat segala jadual harian Qasyi. “Hari ni bos cuma ada meeting dengan Encik Fakrullah pukul 2.30 petang. Pukul 4 pulak meeting dengan Encik Akhbar. That’s all for today.” Shazwina menyudahkan kata-katanya.

“Ada apa-apa cerita ke masa saya pergi outstation?” soalnya ingin tahu.

“Takde… bos nak minum air apa?”

A coffee please. Thanks.

Shazwina mula berpusing untuk melangkah. Sebaik sahaja sampai di muka pintu, dia berpaling semula. “Lupa pulak nak bagitahu,” ujarnya.

“Apa dia?” soal Qasyi ingin tahu. Dia masih membuat kerjanya.

“Minggu lepas ada pelajar perempuan lapor diri untuk praktikal,” ujarnya.

Mendengar perkataan ‘perempuan’ terus terhenti kerja yang dia lakukan. “ Suruh dia masuk jumpa saya,” pintanya.

“Okey bos.” Shazwina terus berlalu keluar.

Beberapa minit kemudian, pintu biliknya diketuk. “Masuk,” arahnya.

Pintu terkuak. Shazwina mempersilakan Nazihah masuk. Selepas meletakkan minuman, dia segera keluar. Nazihah masih bediri kaku di hadapan mej qasyi.

“Duduklah,” arahnya yang masih belum mengangkat muka dari kerjanya.

Nazihah melabuhkan punggungnya di kerusi. Dia menjeling sekitar bilik itu. Biliknya luas, terdapat set sofa di penjuru bilik. Gambar keluarga juga tergantung cantik. Mana gambar isteri uncle Johan? Gumamnya di dalam hati. Dia meliarkan lagi pandangannya. Memang tidak terdapat gambar mama Qasyi di bilik itu. Dia membuang pandang ke arah Qasyi yang masih leka dengan kerjanya. Dia sabar menunggu.

Qasyi mengangkat mukanya. Matanya terpaku memandang wajah putih bersih di hadapannya. Degupan jantungnya mula menari kencang.

“Ehem… ehem…” Nazihah berdehem apabila mata Qasyi tidak beralih dari melihatnya. Dia terasa segan.

Qasyi tersentak. “Sorry… nama awak apa?” soalnya ingin menutup malu di atas ketelanjurannya merenung lama wajah Nazihah tadi.

“Aina Nazihah,” jawabnya sepatah.

“Cantik nama… secantik orangnya,” puji Qasyi spontan.

Wajah Nazihah memerah menahan malu. “Terima kasih,” ucapnya. Oh, ni la Qasyi Umair si playboy tu ek… muka boleh tahan hensem, detik hatinya.

“Kenapa awak pilih syarikat ni?”

Nazihah sudah mengagak soalan ini yang akan ditanya. “Saya pilih syarikat ni sebab Dato’ Johan…” Dia menarik nafas sebelum menyambung ayatnya. “Dato’ Johan merupakan idola saya. Saya kagum dengan semangat Dato’ Johan.” Dia mengulang jawapan yang pernah diberikan kepada Qalif.

“Okey ke bekerja di sini?” soalnya lagi.

“Okey, pekerja-pekerja kat sini semua baik. Tak sombong. Banyak yang saya belajar kat sini,” jawabnya lancar.

“Awak dah kahwin?” soalnya ingin tahu.

Nazihah terkejut. Dia menggelengkan kepalanya.

“Bertunang?” soalnya lagi.

Nazihah menggeleng lagi.

“Kekasih?”

Pun dia menggeleng.

“Ada peluang la ni,” ujar Qasyi perlahan.

“Apa dia Encik?” soal Nazihah kurang jelas.

“Oh, takde apa-apa. Awak boleh keluar sekarang,” ujarnya.

Nazihah mula bangun untuk beredar dari bilik Qasyi.

Qasyi menarik nafas sebaik sahaja Nazihah menutup pintu bilik. Dia tersenyum sendirian.

*****

ENCIK QASYI nak apa?” soal Laila selepas setengah jam selepas Nazihah keluar dari bilik Qasyi.

“Takde apa-apa… dia cuma nak kenal dengan ahli baru Impiana holdings je,” jawabnya sambil melemparkan senyuman.

“Berhati-hati sikit dengan Encik Qasyi tu,” nasihat Laila.

“Kenapa?” soalnya ingin tahu.

“Dia tu pantang tengok perempuan berdahi licin. Semua nak ditacklenya. Nak-nak lagi ,macam kau ni… cantik… putih… dah cukup pakej tu,” terangnya tanpa memandang sekeliling.

“Apa yang dah cukup pakej tu Kak Laila?” sergah Qasyi yang tiba-tiba muncul di situ.

“Oh pakej kau cantik, pakej kau hensem… Bila mau kahwin? Eh.. eh..” Latah Laila. Tangannya ditundingkan pada Nazihah dan Qasyi. Dia menggaru kepalanya yang dilapik tudung.

Semua pekerja ketawa kuat mendengar latah Laila. Qasyi mempamerkan muka serius.

Sorry Encik Qasyi. Jangan ambil hati dengan kata-kata saya tadi ya,” mohonnya.

Qasyi masih lagi serius. Dia memandang semua pekerjanya. Terus mati ketawa mereka. Qasyi memandang Laila pula. “Tak sangka Kak Laila ni kaki latah ek,” ujarnya lalu menghemburkan tawanya. Dia berpaling untuk berlalu ke biliknya.

Sorry ek Zihah. Akak memang tak boleh kena sergah , nanti jadi macam tadi. Sorry sangat-sangat,” rayunya.

“Tu la Kak Laila… lain kali cakap siang pandang-pandang, malam dengar-dengar,” sampuk Mazlan. Dia ketawa lagi.

“Eh tapi kan… Tak pernah-pernah pulak pantau department ni, kan… ke, dia dah tangkap cintan dekat si Zihah ni?” serkapnya.

“Merepek la Kak Laila ni,” ujar Nazihah.

“Haa.. Kak Laila, slow sikit suara tu. Karang tak pasal-pasal Encik Qasyi patah balik ke sini, masak Kak Laila,” ujar Farhana pula.

Laila memandang ke belakang. Takut-takut Qasyi muncul semula. “Akak nak sambung buat kerja dulu la ek,” pintanya lalu beredar ke mejanya.

Macam-macam, desis hatinya. Nazihah menyambung kerjanya semula.

*****

EHEM-EHEM…” Nazihah yang tekun melakukan kerja segera mengangkat muka apabila mendengar deheman seseorang.

“Eh Encik Qasyi… ada apa-apa yang boleh saya tolong?” soalnya.

“Jom temankan saya pergi lunch,” ajaknya. Dia melambung-lambungkan kunci kereta di tangannya.

Semua pekerja di situ tercengang. Nazihah menilik jam di tangan kirinya. “Baru pukul 12.30 encik… ada lagi 30 minit sebelum pukul 1,” katanya.

“Sayakan anak bos. Jom cepat ikut saya.” Kali ini bukan ajakan tapi arahan. Kunci yang dilambung tadi diletakkan di atas meja Nazihah. Kedua-dua belah tangannya di selukkan ke dalam poket seluar.

Sorry la encik, saya dah janji dengan orang lain,” tolaknya. Dia memang sudah berjanji untuk keluar makan tengahari dengan orang lain.

Canclekan je. Jom cepat,” ajaknya lagi. Dia mula berpusing untuk keluar.

Nazihah masih lagi kaku di tempatnya. “Tak baik mungkir janji kalau kita dah berjanji dengan seseorang encik.” Nazihah bersuara.

Langkah Qasyi terhenti. Dia menoleh ke belakang.

“Lagipun, kalau saya keluar lunch sebelum waktunya, apa pulak kata pekerja-pekerja lain.” sambungnya lagi.

“Jadi awak tak nak ikut sayalah?” soalnya sedikit bengang.

Nazihah menganggukkan kepalanya.

Melihat anggukkan Nazihah, Qasyi terus berlalu dari situ dengan muka bengang.

Laila dengan muka menyibuknya datang ke meja Nazihah. Pekerja lain menyambung kerja mereka semula.

“Beraninya kau Zihah,” katanya.

“Kenapa pulak kak?” soalnya ingin tahu.

“Sebelum ni mana pernah ada perempuan yang tolak pelawaan dia… tup tup bila dia ajak kau, kau menolak pulak. Kau tak terpikat ke kat muka hensem dia? Anak Dato’ lagi…” Sengaja Laila menguji Nazihah.

Nazihah tersenyum mendengar kata-kata Laila. “Saya tak pandang semua tu kak. Saya kalau nak cari teman hidup, saya tak tengok luaran tapi dalaman. Kalau luaran je cantik tapi dalaman tak cantik nak buat apa kan… Saya tak suka kacau hak orang. Tak nak la saya dengan Encik Qasyi tu dah la playboy,  merana hidup saya nanti. Lagipun, saya berada di sini untuk buat praktikal, bukan untuk bercinta,” jawabnya. Dan ada misi yang perlu saya laksanakan, bisik hatinya.

Laila berpaling apabila mendengar bunyi tapak kasut di belakangnya. Matanya membulat apabila melihat Qasyi menghampiri meja Nazihah.

“Awak ni takde kerja ke Laila? Asyik nak menempel kat meja orang lain aje kerjanya!” Meninggi suaranya. Mukanya masih lagi masam.

Erk… saya nak pinjam stapler kat Zihah.” Laila kelam kabut menjawab. Dia mencapai stapler di dalam bekas alat tulis milik Nazihah lalu berlalu ke mejanya.

Ayat nak cover kantoi la tu, gumam Farhana di dalam hati.

Qasyi merenung tajam ke wajah Nazihah yang selamba membuat kerja. Kemudian dia mencapai kunci keretanya yang tertinggal di atas meja Nazihah. Kemudian dia beredar menuju ke biliknya. Terbantut seleranya untuk keluar makan.

*****

QASYI menghempaskan punggungnya di kerusi dengan kasar. Interkom ditekan. “Awin, masuk ke bilik aku sekarang!” Tegas bunyi suaranya.

Shazwina yang sedang membuat kerja, terkejut apabila mendengar suara Qasyi di interkom. Dia mencapai pen dan buku kecil sebelum berlalu ke bilik Qasyi. Pintu bilik diketuk. Setelah mendapat arahan dari dalam, dia memulas tombol.

“Duduklah,” arahnya.

“Tadi kata nak keluar lunch?” soal Shazwina, pelik melihat bosnya masuk semula ke bilik. Dia sedah bersedia dengan pen dan buku kecil untuk mencatat segala arahan Qasyi.

“Terbantut selera aku!” suaranya masih lagi keras.

“Siapa yang buat selera kau terbantut ni?” soalnya ingin tahu. Kali ini dia menyoal sebagai kawan baik kepada lelaki itu. Shazwina dan bakal suaminya iaitu Shakir merupakan kawan baik kepada Qasyi sejak di universiti lagi. Selepas habis belajar, Qasyi menawarkannya bekerja sebagai setiausaha. Memandangkan dia masih belum mendapat sebarang tawaran pekerjaan, dia menerima sahaja tawaran Qasyi itu.

“Budak praktikal tu la,” adunya.

“Apa yang dia dah buat kat kau?” soalnya ingin tahu.Pertama kali sejak mengenali lelaki itu, belum ada perempuan yang menbuatkan Qasyi bengang sebegini.

“Aku ajak dia lunch tapi dia tolak. Lepas tu masa aku nak patah balik kat tempat dia untuk ambil kunci kereta aku yang tertinggal, aku dengar dia cakap sesuatu pada Laila,” ujarnya

“Apa dia?” Shazwina ingin tahu.

“Dia boleh kata macam ni, tak nak la saya dengan Encik Qasyi tu, dah la playboy.. nanti merana hidup saya.. lagipun, saya berada di sini untuk praktikal, bukan untuk bercinta.” Dia mengulang apa yang sempat di dengar dari mulut Nazihah. “Mana aku tak bengang! Dia mengata aku tau,” marahnya.

“Menarik!” ujar shazwina.

“Menarik ngeng kau! Kau suka pulak dia kutuk aku ek,” marahnya lagi.

Shazwina tidak mengambil hati dengan kata-kata Qasyi tadi. Dia tersenyum lagi. “Selama aku kenal kau, belum pernah lagi perempuan tolak kau. Ni dia baru tolak sikit kau dah bengang semacam. Kalau Shark tahu pasal ni, mesti dia tergelak guling-guling punyalah. Hahaha Qasyi umair Dato’ Johan, jejaka pujaan kolej telah ditolak mentah-mentah oleh Aina Nazihah si gadis bertudung,” usiknya lagi.

Eii…Kau ni kan, aku panggil kau untuk kurangkan tahap kebengangan aku tapi kau boleh bantai gelakkan aku lagi. Dah lah kau boleh keluar sekarang,” suruhnya.

Opss, bos dah marah. Okeylah aku keluar dulu ek, sekarang lunch time…” ujarnya lalu melangkah keluar dari bilik Qasyi.

“Awin!” panggilnya

Yess bos?” Shazwina yang baru sahaja membuka tombol pintu, berpaling ke belakang.

“Kau lunch dengan siapa?”

“Dengan siapa lagi, dengan shark bakal suami terchenta la.. nak join ke?” pelawanya.

“Boleh jugak… kau tunggu aku kat pintu masuk lobby, aku nak ke gents sekejap.”

“Okey bos!” Shazwina melangkah ke mejanya untuk mengambil beg tangan. Qasyi pula meluru ke tandas.

*****

MANA Shark nya?” soalnya sebaik sahaja sampai di luar bangunan Impiana Holdings. Kelibat shakir masih belum kelihatan.

“Dia kata lagi 5 minit dia sampai.”

Qasyi melemparkan pandangannya. Matanya terpaku pada Nazihah yang sedang memasuki sebuah kereta. Di bahagian pemandu, kelihatan seorang lelaki yang tidak berapa jelas wajahnya. Shazwina turut memandang ke arah yang sama.

“Patutlah dia tolak kau, rupa-rupanya dah ada kekasih,” ujarnya.

Hari tu cakap takde kekasih, gumam hatinya. “Awin, kau boleh tolong aku?”

“Ni mesti nak suruh aku buat bancian kan?” serkapnya.

“Pandai pun kau. Tolong aku ek?” rayunya. Dia tidak tahu kenapa hatinya rasa panas apabila melihat nazihah keluar dengan lelaki lain. Adakah ini cinta? Ah… tak mungkinlah. Mengarut je aku ni, gumam hatinya.

*****

NAZIHAH melemparkan pandangannya ke sekeliling medan selera di KLCC. Waktu-waktu rehat begini, ramai yang mengisi perut. Dia menongkat dagu, menunggu Ehsan yang sedang membeli makanan. Dia menyedut air teh o ais limau yang dibelinya tadi.

“Nasi ayam dah sampai,” kata Ehsan. Dia menghulurkan sepinggan nasi ayam kepada Nazihah. Selepas membaca doa, Nazihah mula menyudukan nasi ayam ke mulutnya.

“Apa rancangan Zihah lepas ni?” Soal Ehsan yang merupakan abang sepupunya.

“Entahlah, Zihah pun tak pasti lagi. Tapikan bang, uncle Johan tu baik sangat dengan Zihah. Ni yang membuatkan Zihah tak sabar nak teruskan misi Zihah ni,” ujarnya.

“Zihah perasan tak ada sorang lelaki tu pandang semacam je masa Zihah naik kereta abang tadi?”

“Perasan… tu la Qasyi Umair anak sulung uncle Johan.”

“Oh… yang tu ke Qasyi. Hensem jugak… padanlah ramai perempuan yang tergila-gilakan dia. Tapi kenapa cara pandangan dia macam tak puas hati?” soalnya

             “Zihah tolak pelawaan dia tadi.” Dia menceritakan kejadian tadi kepada Ehsan.

“Kenapa Zihah tolak?”

“Tak nak la Zihah, nanti dia ingat Zihah syok kat dia pulak.

“Betul Zihah tak syok kat dia?” soal Ehsan ingin kepastian.

“Betul… lagipun abang pun tahu, kan sebab apa Zihah nak masuk kat dalam syarikat tu. Zihah ke situ bukan untuk bercinta tapi Zihah nak kembalikan semula kebahagiaan orang yang Zihah sayang. Susah payah Zihah cuba yakinkan Qalif,” jelasnya.

“Tapi macam mana kalau Qasyi betul-betul suka kat Zihah?”

“Itu tak boleh bang. Kalau dia cuba nak mendekat, Zihah pulak akan menjauh,” katanya

“Kenapa pulak tak boleh?” soalnya pelik.

“Sebab dia tu playboy… Zihah tak nak hidup menderita,” jawabnya.

“Tapi dia boleh berubah, kan kalau dia betul-betul sukakan Zihah,” katanya lagi.

“Dah la bang, Zihah tak nak fikir pasal cinta buat masa sekarang. Apa yang penting, macam mana Zihah nak teruskan rancangan Zihah. Tu je yang Zihah perlu fikirkan sekarang. Kalau abang dah habis makan, jom kita balik,” ajaknya.

Ehsan mengeluh perlahan.

*****

PAPA, macam mana dengan Zihah kat office?” tanya Qalif. Ketika itu dia, Dato’ Johan dan Qasyi sedang makan malam di rumah.

Suapan Qasyi terhenti apabila mendengar nama Nazihah keluar dari mulut adiknya.

“Hai… dah sebulan lebih dia kat sana baru Qalif nak tanya?”

“Qalif kan sibuk dengan quiz and exam… sekarang baru ada masa nak tanya,” jawabnya.

“Dia okey… rajin budaknya,” puji Dato’ Johan.

“Qalif kenal Zihah ke?” Qasyi menyampuk.

“Dia senior Qalif kat kolej,” jawabnya.

“Qalif rapat dengan dia ke?” soal Qasyi lagi.

“Tak rapat sangat, kenal-kenal gitu je,”

Dato’ Johan memandang wajah Qasyi lama. Dia pelik melihat Qasyi bertanya tentang Nazihah. “Qalif takde rasa sesuatu yang pelik ke kat sini?” soalnya kepada Qalif

“Apa yang pelik pa?” soal Qalif dan Qasyi serentak. Mereka tidak dapat menangkap maksud papanya.

“Ada orang tu bila time makan malam je selalu lesap. Tapi hari ni ada pulak,” usik Dato’ Johan. Dia tersenyum memandang wajah Qasyi.

“A’a la pa… sejak along balik dari outstation sebulan lebih dulu, along dah jarang keluar malam.” Qalif mengeyakan kata-kata papanya.

“Papa ni mesti sindir along la tu… Along dah malaslah nak keluar malam. Penat.” jawabnya malas.

“Ye ke penat? Dulu tak penat pun. Sekarang pulak mengeluh,” giat Dato’ Johan lagi.

Qasyi meneruskan suapannya. Malas dia mahu melayan usikan papanya itu.

“Qalif nak tahu tak, papa ada ternampak along cuba nak tackle Zihah tau… tapi sayangnya Zihah tak layan,” ceritanya. Dia teringat  kejadian Nazihah menolak ajakan anaknya untuk keluar makan. Ketika itu dia sengaja meronda-ronda untuk melihat anak-anak buahnya berkerja.

Ketika dia sampai di bahagian Nazihah diletakkan, dia ternampak kelibat anak sulungnya. Dia mula bersembunyi untuk melihat perilaku anaknya. Dia cepat-cepat beredar dari tempat persembunyian apabila melihat kelibat anaknya yang ingin beredar dengan muka yang masam.

“Ye ke pa? Papa tengok Zihah tu sesuai tak jadi bakal menantu papa?”

“Sesuai sangat… oarangnya pun baik, lemah lembut dan hormat orang tua. Yang paling penting perangai dia tak macam kesemua bekas teman wanita along tu, yang seksi sana, seksa sini, pakai pakaian macam tak cukup kain..” Dalam memuji perangai Nazihah, sempat lagi dia mengutuk perangai bekas teman wanita Qasyi.

Muka Qasyi sudah memerah mendengar kata-kata papanya. “Along naik atas dulu la pa,” pamitnya

“Eh, sikitnya along makan?” soaln Dato’ Johan apabila melihat nasi di pinggan Qasyi luak sedikit sahaja.

“Along dah kenyang,” jawabnya lalu berjalan menuju ke tangga.

“Along malulah tu pa… muka pun dah merah. Hahaha,” usik Qalif. Dia dan Dato’ Johan ketawa kuat.

******

QASYI berdiri di balkoni. Dia termenung jauh. Macam mana aku boleh tak perasan papa ada kat situ masa tu? Haish…. malu aku, monolognya di dalam hati. Telefon bimbitnya berbunyi. Dia masuk ke dalam biliknya lalu mendapatkan telefon bimbitnya yang diletakkan di atas katil. Nama Camalia tertera di situ. “Tak faham bahasa betullah perempuan ni!” marahnya. Dia menekan butang hijau. Telefon dilekapkan di telinga.

“Qasyi, I tak percaya you nak putuskan perhubungan kita… you gurau je kan?” Suara Camalia kedengaran dihujung talian.

“I tak bergurau. Memang I nak putuskan perhubungan kita. So lepas ni you jangan contact I lagi,” tegasnya.

“Kenapa you buat macam ni pada I? You dah jumpa orang lain ke?” Camalia menangis teresak-esak.

Yes I memang dah jumpa orang lain. Tapi kali ni I dah jumpa dengan cinta sejati I yang sebenar-benarnya. I harap you takkan ganggu hidup I lagi selepas ni!” Usai berkata-kata, Qasyi meletakkan talian. Dia tidak menghiraukan panggilan Camalia dihujung talian. Dia membaringkan dirinya di atas katil.

*****

CAMALIA menghempaskan telefon bimbitnya di atas katil. Dia geram dengan tindakkan Qasyi yang sesuka hati memutuskan perhubungan mereka. Nasibnya sama seperti kesemua bekas teman wanita lelaki itu. Air mata palsunya diseka. Dia mencapai semula telefon bimbit yang dicampak tadi. Nama Datuk Halim dicari dalam senarai telefon bimbitnya.

“Helo Datuk, you free tak hari ni? Boleh temankan I  shopping?” Dia memulakan perbualan apabila taliannya bersambut. “Okey, I tunggu Datuk kat rumah ya,” jawabnya manja. Usai berbual, dia mematikan telefon bimbitnya. Telefon bimbitnya dilambung-lambung.

“Huh, dia ingat dia sorang je ke banyak duit! Ramai lagilah orang-orang kaya yang nakkan aku… Pangkat Datuk lagi tu tau! Kalau setakat muka hensem tapi ajak masuk club pun tak nak, baik tak payah! Saja nak tunjuk alimlah tu!” Dia mencemuh Qasyi.

*****

KERETA Zihah bila siap?” soal Ehsan yang sedang memandu . Sudah semalam dia menjadi pemandu tak bergaji Nazihah.

“Entah… orang tu cakap dah siap nanti dia call,” jawabnya.

“Petang ni abang tak dapat nak ambil Zihah sebab lepas ni abang kena pergi outstation. So, Zihah kena balik naik teksi la dua tiga hari ni. Tak pun, Zihah mintak tolong Qasyi hantarkan ke,” usiknya.

Nazihah mencebik. “Nak buat apa suruh dia hantarkan, dahlah banyak kali Zihah tolak pelawaan dia. Teksi pun banyak, kan… Zihah naik teksi je la nanti,” jawabnya. Dia teringat setiap kali Qasyi mengajaknya keluar, pelbagai alasan yang dia bagi. Tapi Qasyi tetap tidak jemu mengajaknya. Sehingga dia naik rimas dengan Qasyi yang asyik mengejarnya.

*****

MORNING,” ucap Qasyi. Ketika itu dia dan Nazihah berada di dalam perut lif. Hanya mereka berdua.

Morning,” jawabnya sepatah.

“Awak dah breakfast?”

“Saya puasa hari ni,” bohongnya. Isy kenapalah aku pergi tahan lif ni tadi. Kalau aku tahu dia yang ada kat dalam, baik aku naik tangga je, marahnya dalam hati.

“Oh… saya baru je nak ajak awak pergi breakfast…”

Sebaik sahaja lif terbuka, Nazihah tergesa-gesa keluar.

Qasyi menggeleng melihat telatah Nazihah. Dia mula melangkah menuju ke biliknya.

*****

SEBAIK sahaja meletakkan beg tangan ke dalam hati, Nazihah berkira-kira sama ada mahu ke pantri atau tidak. Dia takut terserempak dengan Qasyi pula nanti.

“Nak pergi…. tak nak…. nak pergi… tak nak… ah, pergi je la. Dia kan ada PA. Mestilah Awin yang buatkan dia air, kan,” monolognya. Dia bangkit dari kerusi lalu beredar ke pantri.

Sekotak jus oren dikeluarkan dari peti sejuk lalu dia menuju ke rak yang menempatkan gelas-gelas. Dia menuangkan jus oren ke dalam gelas lalu meneguknya.

“Kata puasa?” sergah Qasyi dari belakang.

Nazihah tersedak.

“Awak tipu saya, kan? Kalau awak tak sudi, kenapa tak berterus terang?” soalnya geram apabila ditipu.

Nazihah membisu. Matanya merenung tajam wajah Qasyi.Dia geram dengan Qasyi. Gara-gara sergahan Qasyi, sedikit jus oren tertumpah pada baju kurung yang dipakainya.

“Saya peliklah dengan awak ni… kenapa setiap kali saya ajak awak pergi mana-mana mesti awak tolak?”

Sebab aku tak nak jatuh cinta pada kau, jewabnya di dalam hati. “Sebab saya tak nak kekasih-kekasih Encik Qasyi salah faham,” jawabnya.

Qasyi tersengih mendengar jawapan Nazihah. “Oh, sebab tu rupanya… awak tak perlu risau sekarang sebab saya dah single sekarang,” katanya yang masih lagi tersengih.

Senangnya dia ni… bila dah jemu, buang. Apa dia ingat perempuan ni baju ke! marahnya dalam hati. Nazihah memang anti dengan lelaki yang suka mempermainkan perasaan perempuan. Sebab itulah dia sering menjauhi Qasyi.

“Temankan saya lunch hari ni?” Dia mencuba lagi.

Nazihah membisu. Dia telah kehabisan idea untuk menolak. Alasan apa aku nak bagi ni? Encik idea, tolonglah datang cepat!! desis hatinya.

“Zihah, Dato’ Johan panggil,”ujar Laila yang tiba-tiba muncul ke pantri.

Nazihah segera berlalu. Dalam hati dia berterima kasih kepada Laila yang datang tepat pada waktunya.

*****

DAH sampai, tak nak turun ke?”

Nazihah tersentak. Suara Ehsan mengembalikannya ke alam nyata. Dia membuka tali pinggang keledar.

“Eh kejap,” tahan Ehsan apabila Nazihah ingin membuka pintu kereta.

“Kenapa bang?” soal Nazihah pelik.

“Cuba tengok tu, Qasyi tengah pandang kita. Zihah duduk duam-diam biar abang yang bukakkan pintu kereta. Matanya memandang Qasyi yang sedang berdiri di hadapan pintu masuk lobi, memerhatikan mereka.

“Eh tak payahlah bang,” tolaknya.

“Zihah duduk, abang saja nak tengok reaksi dia. Firasat abang benar-benar mengatakan yang Qasyi betul-betul suka kat adik abang ni. Bukan seperti yang Zihah fikirkan.”

“Apa yang Zihah fikirkan?” soalnya, pura-pura tak mengerti.

“Zihah ingat abang tak tahu… dalam hati Zihah tu fikir yang Qasyi hanya nak mempermainkan Zihah macam bekas kekasih dia yang lain, kan?” Usai berkata-kata, Ehsan membuka pintu keretanya lalu menuju ke sebelah penumpang lalu membuka pintu untuk Nazihah. Dia memandang Qasyi dengan hujung matanya. Dia dapat melihat api cemburu di muka Qasyi.

“Qasyi yang tidak tahan melihat aksi itu terus melajukan langkahnya masuk ke dalam Impiana holdings.

See, kan betul apa yang abang rasa. Zihah sendiri nampak muka dia macam mana tadi kan?” ujarnya setelah Qasyi berlalu.

“Apa-apa je lah. Malas nak fikir. Zihah masuk dalam dululah. Drive carefully ey,” Nazihah melangkah masuk ke dalam.

Ehsan mengangkat bahunya. Kemudian dia masuk kembali ke dalam keretanya.

*****

PINTU bilik pejabat Qasyi diketuk. Setelah Qasyi memberi arahan, pintu bilik dibuka. “Dah selesai banci kau?” Belum sempat Shazwina duduk, Qasyi terus melemparkan soalan.

“Dah. Sorry sebab dah dekat dua bulan baru aku nak bagi jawapan kat kau. Kau tahu je la lately ni kita bussy sikit dengan projek yang makin banyak masuk,” jelasnya.

“Okey sekarang aku nak tahu jawapannya.”

“Daripada bancian yang aku buat, aku dapati Nazihah tu single and dia merupakan anak tunggal.”Shazwina memberitahu maklumat yang diperoleh daripada Laila.

“Habis tu siapa lelaki yang jemput dia hari tu?”

“Laila cakap yang tu cuma abang sepupu dia. Just abang, tak lebih dari itu,” jelasnya lagi.

“Ye ke tak lebih dari seorang abag? Depan mata aku sendiri lelaki tu bukakkan pintu untuk Zihah,” katanya. Dia teringat kes pagi kelmarin.

“Yang tu aku tak pasti sebab, Laila sendiri yang kata Zihah tu single. Chop… chop… are you jelous?” soalnya ingin tahu.

“Kalau aku kata yes?” duganya.

Oh my God!! Syukur alhamdulillah… akhirnya terbuka jugak hati kawan aku ni untuk bercinta,” ucapnya.

“Selama ni aku bukan bercinta ke?” soalnya buat-buat bodoh.

“Selama ni kau hanya suka-suka je… tak serius pun. Tapi sejak Zihah muncul, aku tengok kau dah lain. Muka kau pulak berseri-seri bila datang office. Walaupun banyak kali pelawaan kau ditolak, kau langsung tak berputus asa,” pujinya

“Apa yang membuatkan kau terjatuh hati pada dia?” Shazwina mengorek rahsia.

“Aku pun tak tahu macam mana nak cakap… Pertama kali aku terpandang muka dia, aku rasa sesuatu kat dalam ni.” Jari telunjuk dibawa ke dada. “Dengan dia, aku rasa tercabar bila dia asyik menolak pelawaan aku. Aku tengok dia tak sama macam perempuan-perempuan yang selalu aku usung sana sini,” luahnya.

“Tak syak lagi, kau memang dah terkena panahan cinta Nazihah. Bila kau nak confess kat dia?”

“Macam mana aku nak confess, bila aku ajak keluar je dia tolak… dia nampak aku je dia mengelak,” ujarnya.

“Sabarlah… nanti ada la peluang untuk kau confess kat dia. Kalau dah couple nanti, jangan pulak buat dia macam semua bekas kekasih kau tu,” nasihatnya.

“Kali ni aku akan jaga betul-betul. Insya-Allah, kad perkahwinan aku akan sampai ke tangan kau suatu hari nanti.”

“Okeylah aku nak pergi sambung kerja. Aja-aja fighting boss!!” Shazwina berlalu dari bilik itu.

******

NAZIHAH sedang menunggu teksi di hentian teksi yang berdekatan dengan bangunan Impiana Holdings. Tiba-tiba hujan turun. Dari renyai-renyai bertukar menjadi lebat. Dia mengutuk dirinya kerana tertinggal payung di pejabat. “Hesy… macam mana aku nak balik ni? Hujan bertambah lebat, batang hidung teksi pun aku tak nampak lagi ni,” keluhnya.

Dia menjeling jan di pergelangan tangan kiri, sudah pukul 5.30. Sudah setengah jam dia menunggu di situ. Bukan tiada rakan-rakan sekerjanya mahu menumpangkan, tapi dia yang menolak. Dia tidak mahu menyusahkan mereka.

Gegaran di dalam beg tangannya mengejutkannya. Dia menyelukkan tangan untuk mencapai telefon bimbit.

“Helo Zihah, mama ni.” kedengaran suara di hujung talian.

“Ya ma,” sahutnya.

“Zihah kat mana tu? Kenapa suara tak clear?” soal mama Nazihah lagi.

“Zihah tengah tunggu teksi ni… kat tempat kerja hujan,” jawabnya kuat, cuba melawan bunyi hujan.”

“Tu la Zihah… mama suruh bawak Toyota Camry, Zihah tak nak.. nak jugak beli kereta second hand… lepas tu boleh pulak Zihah mohon praktikal kat syarikat lain. Syarikat arwah ayah kan ada,” leternya.

“Mama, Zihah nak cari pengalaman kat syarikat lain dulu. Bila dah habis belajar barulah Zihah tolong mama kat syarikat arwah ayah,” bohongnya. Sorry ma, Zihah tak boleh beritahu mama pasal plan Zihah tu. Kalau mama tahu, mesti mama marah Zihah, bisik hatinya. “Pasal kereta pulak, Zihah tak nak orang lain tahu yang Zihah anak orang berada… nanti ada orang ambil kesempatan pulak,” sambungnya lagi.

“Ikut suka hati Zihah la… dah tu, kenapa dah tak balik rumah? Tak rindu mama ke? Banyak sangat ke kerja kat office tu?” soal mama Nazihah lagi.

“Sekarang ni busy sikit la ma… nanti Zihah balik ya,” bohongnya lagi.  Memang Zihah busy ma… tapi bukan pasal kerja.. Zihah busy merangka rancangan Zihah. Tak lama je lagi, kebahagiaan orang yang Zihah paling sayang, akan kembali. Sabar ya ma, bisik hatinya.

Tiba-tiba sebuah kereta Toyota Harier berhenti betul-betul di hadapannya.

“Ma, nanti kita sembang lagi ya… assalamualaikum,” ucapnya. Lantas dia mematikan talian.

“Cermin kereta diturunkan. Qasyi menjengukkan kepalanya. “Zihah, apa awak buat kat sini?” jeritnya melawan bunyi hujan.

“Saya tengah tunggu teksi,” jawabnya sepatah. Dia melihat ke kanan, kalau-kalau teksi lalu di situ. Dia hampa.

“Masuklah saya hantarkan,” pelawanya.

“Eh takpe la, saya boleh tunggu teksi,” tolaknya.

“Hujan-hujan macam ni, teksi susah nak dapat. Marilah saya hantar, hari pun dah lewat ni,” pujuknya lagi.

Nazihah berfikir sejenak sebelum berlari anak masuk ke dalam kereta Qasyi.

*****

KERETA awak mana?” soalnya apabila hampir pertengahan jalan mereka diam membisu.

“Kat bengkel,” jawabnya sepatah. Dia melemparkan pandangan ke hadapan.

“Kenapa awak tak suruh kekasih awak jemput?” sengaja dia menyoal begitu.

“Kekasih?” Keningnya berkerut.

“Ala… lelaki yang hantar awak pagi kelmarin tu,”

“Oh, Abang Ehsan… dia abang sepupu saya. Dia takde kat KL sekarang,” jawabnya.

“Awak takde boyfriend ke?” soalnya ingin kepastian.

“Takde… saya malas nak fikir pasal cintan-cintun ni.”

“Zihah, kalau saya kata yang saya suka awak, dan nak awak jadi kekasih saya, awak terima tak?” soalnya. Qasyi berdebar menunggu jawapan dari mulut Nazihah.

“Maaf, saya tak boleh terima,” jawapnya laju. Ketika itu kereta Qasyi sudah berhenti di hadapan rumah sewa Nazihah.

“Tapi kenapa?”

“Sebab saya tak nak jadi sebahagian dari koleksi awak!” tegas jawapannya.

“Saya suka awak bukan untuk dijadikan koleksi, Zihah… saya dah berubah. Dah buang semua tabiat lama saya tu. Saya nak awak jadi suri di hati saya,” ujarnya bersungguh-sungguh.

“Maaf, saya tak berminat.” Usai berkata-kata, dia terus melangkah keluar, meredah hujan. Dia membuka kunci pintu pagar.

“Zihah!” panggil Qasyi yang turut keluar dari kereta.

“Nazihah berpaling. Qasyi sudah basah disirami hujan.

“Saya ikhlas sukakan awak… cintakan awak.. please terima saya,” rayunya.

Nazihah melangkah masuk ke dalam apabila pintu pagar berjaya dibuka. Pintu pagar dikunci semula, memandangkan taman serumahnya pulang bercuti ke rumah masing-masing.  “Dan saya ikhlas menolak awak,” jawabnya lalu berpaling untuk melangkah ke pintu rumah.

“Saya takkan balik selagi awak tak terima saya!” Qasyi tetap berdegil

“Suka hati awaklah,”jawabnya lalu berlalu masuk ke rumah.

Qasyi duduk di batu bersebelahan pagar. Dia nekad tidak akan balik selagi Nazihah tidak menerimanya.

*****

JAM sudah menunjukkan pukul 8 malam. Hujan di luar masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti, sebaliknya semakin lebat dia turun. Nazihah melangkah ke jendela lalu mengintai ke luar pagar. Dia ternampak kelibat Qasyi yang sedang duduk di luar bermandikan hujan. “Dia serius ke, sukakan aku?” monolognya. Dia jatuh kasihan melihat keadaan Qasyi yang menggigil kesejukkan.

Dia mencapai telefon bimbit yang diletakkan di meja solek. Ehsan dihubungi. Apabila talian bersambut, dia menceritakan kejadian lewat petang tadi.

“Tak baik Zihah biarkan dia berhujan. Zihah tak kesiankan dia ke?” Ehsan ternyata tidak menggemari apa yang dilakukan oleh Nazihah. “Cuba Zihah tanya pada hati Zihah, takde sekelumit rasa kasih ke Zihah pada dia? Kalau perempuan-perempuan kat luar sana boleh jatuh hati pada dia, mesti Zihah pun ada tersangkut sekali, kan bila tengok muka dia 8 jam setiap hari,” nasihatnya lagi.

“Ya Zihah mengaku, memang Zihah terpaut pada dia sejak pertama kali tengok gambar dia kat dalam paper. Tapi Zihah takut… Zihah takut kalau Zihah terima dia, nasib Zihah akan sama dengan kekasih-kekasih dia yang lain.” Dia membuat pengakuan. Dengan abang sepupunya itu memang dia tidak berahsia.

“Dengar sini Zihah, cuba Zihah fikir secara logik. Pernah tak dia merayu begitu pada bekas kekasihnya yang lain? Pernah ke?”

“Tak pernah,” jawabnya perlahan.

See… Maknanya dia betul-betul cintakan Zihah. Kejadian pagi kelmarin buktinya. Zihah sendiri tengok muka dia berubah, kan… Sekarang, abang nak Zihah keluar dari rumah dan katakan pada dia yang Zihah terima dia,” arahnya.

“Tapi apa akan jadi dengan Zihah nanti kalau dia tahu siapa Zihah yang sebenarnya?”

“Abang rasa, Zihah kena berterus-terang pada dia. Abang yakin dia akan menerima Zihah dan berterima kasih kerana Zihah mengembalikan kebahagiaannya. Tapi, Zihah kena tabah menerima keputusan dia nanti,” nasihatnya. “Okeylah, abang nak keluar makan ni. Assalamualaikum,” ucapnya.

“Waalaikumussalam…” Selepas memutuskan talian, Nazihah melangkah keluar dari biliknya. Dia menuruni tangga lalu membuka pintu rumah.

*****

DIA mencapai payung yang terletak di luar rumah lalu berjalan ke arah pintu pagar. Pintu pagar dibuka lalu dia memayungi Qasyi.

Qasyi yang masih setia di situ segera bangkit.  Dia menggigil kesejukkan. “Awak sudi terima saya?” soalnya lemah.

“Nazihah menggangguk laju. Matanya mula berair.

“Betul ni?” soalnya ingin kepastian. Suaranya masih lagi lemah.

“Betul, saya ikhlas menerima awak,” jawabnya kuat.

Sebaik mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Nazihah,  Qasyi mulai rebah. Mujur Nazihah sempat menahannya dari jatuh. Payung yang dipegang Nazihah terlepas.

“Encik Qasyi, kenapa ni? Encik Qasyi!” soalnya risau. Dia melekapkan belakang tangannya di dahi Qasyi. Panas! “Ya Allah… panasnya!”  Nazihah menggunakan kudrat yang ada untuk menarik Qasyi ke kereta lelaki itu yang masih tersadai di hadapan rumahnya.

Kemudian dia berlari ke rumah untuk mencapai beg tangan dan telefon bimbitnya. Selepas mengambil apa-apa yang patut, dia menuju ke kereta semula, lalu memandu laju menuju ke hospital.

*****

PINTU wad dikuak dari luar. Nazihah berpaling ke arah pintu. Dia berdiri apabila Dato’ Johan dan Qalif melangkah masuk.

“Maafkan saya uncle… ni semua salah saya. Kalau saya tak biarkan dia berhujan, mesti dia tak jatuh sakit,” mohonnya. Wajahnya menunduk.

“Dato’ Johan memandang wajah lembut di hadapannya. Dia tersenyum. “Takpe Zihah… uncle tak salahkan Zihah.  Qasyi memang sensitif dengan hujan. Kalau dia terkena air hujan, dia mudah demam macam mama dia jugak.”  Senyuman Dato’ Johan mati apabila dia tersasul menyebut tentang bekas isterinya.

Sudah lama dia tidak menyebut pasal bekas isterinya apabila bersama dengan anak-anaknya. Jauh di sudut hati, dia masih lagi mencintai bekas isterinya itu. Hanya anak-anaknya sahaja yang tidak tahu. Mereka menyangka dia sudah membenci bekas isterinya.

“Awak balik dululah Zihah, kami boleh jaga along,” arah Qalif, memecahkan kejanggalan di wad itu.

“Eh takpe…saya yang sepatutnya jaga dia. Disebabkan saya, dia jatuh sakit,” tolaknya.

“Zihah balik dulu. Tengok pakaian Zihah tu basah. Nanti Zihah pulak yang demam,” nasihat Dato’ Johan.

“Kalau macam tu, saya balik dulu. Ini kunci kereta Encik Qasyi,” hulurnya.

“Zihah bawak balik kereta Qasyi tu. Bahaya anak dara naik teksi malam-malam.” Dato’ Johan bimbang akan keselamatan Nazihah.

Nazihah mengangguk lalu keluar dari wad itu.

*****

NAZIHAH merebahkan badannya di atas katil. Dia tersenyum memandang siling. Hubungannya dengan Qasyi semakin rapat sejak Qasyi keluar dari hospital. Selain Qasyi, dia juga semakin rapat dengan Dato’ Johan dan Qalif. Berada di kelompok keluarga Qasyi membuatkan dia bahagia. Dato’ Johan melayannya seperti anaknya sendiri. Dia berasa seperti mendapat semula kasih sayang ayahnya.

Ayahnya meninggal akibat serangan jantung. Ketika itu dia baru berusia 15 tahun dan sedang menduduki peperiksaan PMR. Hanya Tuhan sahajayang tahu perasaan dia ketika itu. Dia menjadi yatim piatu pada usia yang terlalu muda. Mama kandungnya pula meninggal dunia sebaik sahaja dia dilahirkan.

Ketika dia berusia 9 tahun, ayahnya telah berkahwin lain. Mama tirinya itu terlalu baik padanya, melayan dia seperti anak kandung sendiri walaupun mempunyai anak dengan bekas suaminya. Dia pernah bertanya kepada mama tirinya itu, kenapa berpisah dengan bekas suami? Jawapan yang diberikan ialah tiada jodoh.

Selepas kematian ayahnya, dia bergantung hidup pada mama tirinya.Mama tirinyalah yang menguruskan segala keperluan hidupnya. Suatu hari, ketika dia ke bilik mama tirinya, dia ternampak mamanya itu menangis sambil menatap sebuah album. Apabila dia menghampiri, mamanya cepat-cepat menyembunyikan album itu dan memberikan alasan matanya termasuk habuk. Tapi dia tidak mudah percaya. Hatinya menyatakan ada sesuatu pada album itu yang membuatkan mama tirinya sedih.

*****

KEESOKANNYA, ketika mama tirinya sudah ke tempat kerja, dia menyelinap masuk ke bilik mama tirinya. Hampir semua tempat digeledah namun satu album pun dia tidak jumpa. Matanya tiba-tiba terpaku pada almari pakaian. Dia membuka almari itu lalu memulakan cariannya. Matanya bersinar apabila menjumpai apa yang dicari. Ketika dia menarik keluar album itu, sebuah diari yang kelihatan kusam milik mama tirinya terjatuh. Dia mengutip diari itu lalu membeleknya. Dia duduk di birai katil lalu membaca isi yang terkandung dalam diari itu.

Dia terkejut membaca isi diari itu.  Dia tidak menyangka mama tirinya sanggup mengobankan diri sendiri demi menyelamatkan syarikat bekas suaminya. Dia juga  tidak menyangka bahawa ayah yang amat dia sayang dan hormati sanggup meruntuhkan rumah tangga orang. Usai membaca diari itu, dia membuka pula album yang diambil tadi. Dia melihat satu persatu gambar.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi enjin kereta dimatikan. Dia mengambil sekeping gambar pada album itu lalu menyimpan semula album itu di dalam almari. Diari milik ibu tirinya itu dibawa ke biliknya. Sejak dari itu dia bertekad untuk mengembalikan mama tirinya ke pangkuan bekas suami dan anak-anak kandungnya. Sejak dari itu juga dia mula mengumpul maklumat mengenai bekas suami mama tirinya iaitu Dato’ Johan.

*****

QASYI, saya ada sesuatu nak bagitahu awak,” katanya. Ketika itu dia dan Qasyi sedang menikmati pemandangan waktu malam di Putrajaya.

“Apa dia?” soalnya ingin tahu.

Nazihah menarik nafas perlahan. Dia mahu berterus-terang pada Qasyi. Jika Qasyi masih menerima dia sebagai seorang kekasih, dia ingin meminta bantuan lelaki itu untuk menolongnya menemukan kembali Dato’ Johan dengan mama tirinya, Puan Khalidah.

“Sebenarnya, saya anak tiri Puan Khalidah.”

Muka Qasyi merah padam menahan marah apabila mendengar nama mamanya keluar dari mulut Nazihah. Peristiwa 15 tahun dahulu kembali menerjah di mindanya. Dia meraba parut yang dihadiahkan oleh mamanya.

“Jadi selama ni awak sengaja nak mempermainkan saya la? Awak buat saya jatuh cinta pada awak! Tergila-gilakan awak! Kemudian baru nak bagitahu yang awak ni anak tiri perempuan tu! Apa yang awak dapat dengan berbuat begini? Apa?” tengkingnya. Orang ramai yang turut berada di situ, memandang ke arah mereka.

Qasyi bangkit dari duduknya. Dia berlalu meninggalkan Nazihah. Dia tidak dapat menerima bahawa perempuan yang dicintainya adalah anak tiri mamanya.

“Qasyi tunggu! Dengarlah penjelasan saya dulu,” rayunya. Dia turut bangun mengejar Qasyi. Ketika Qasyi ingin membuka pintu kereta, Nazihah cepat-cepat menghalang. Dia berdiri betul-betul di hadapan pintu kereta. “Dengarlah penjelasan saya dulu Qasyi. Saya bukan nak mempermainkan awak,” rayunya.

“Takde apa-apa yang awak perlu jelaskan lagi. Mulai hari ni, hubungan kita putus!” putusnya. Dia menolak Nazihah ke tepi.

“Senangnya awak Qasyi… lepas awak tunjukkan keikhlasan awak, awak tinggalkan saya. Awak tahu tak sebab inilah saya tak nak terima awak dulu. Sekarang awak tinggalkan saya bila dapat tahu yang saya anak tiri mama Khalidah. Saya tak kisah awak tinggalkan saya tapi please… please dengar dulu penjelasan saya,” rayunya sambil menangis teresak-esak.

Qasyi tidak sanggup melihat air mata Nazihah. Dia memang mencintai Nazihah. Tapi apabila mendapat tahu bahawa Nazihah mempunyai hubungan dengan mamanya, dia jadi benci! Benci dengan orang yang ada pertalian dengan perempuan itu. Dia mengeraskan hatinya untuk tidak mempedulikan permintaan Nazihah. Dia masuk ke dalam kereta. Kereta dipandu laju meninggalkan kawasan putrajaya.

Nazihah masih lagi menangis teresak-esak. Dia mengambil telefon bimbit di dalam beg tangan. Nombor Ehsan didail. Apabila talian bersambut, dia meminta abang sepupunya itu datang menjemputnya.

*****

SABARLAH Zihah… semuanya salah abang, kan. Kalau abang tak suruh Zihah berterus-terang, mesti hubungan Zihah dengan dia tak jadi macam ni kan,” ujar Qasyi. Ketika itu dia membawa Nazihah makan di restoren Seri Melayu.

Nazihah masih lagi sedih dengan keputusan Qasyi tadi.

“Apa rancangan Zihah lepas ni?” soalnya lagi.

“Zihah ingat esok Zihah nak jumpa dia kat office. Dia nak atau tidak, Zihah akan tetap akan bagitahu perkara sebenar,”

“Zihah nak abang temankan ke?” tanya Ehsan. Dia bersimpati dengan nasib Nazihah.

“Tak perlu bang, Zihah masih boleh handle,” Beberapa minit selepas itu, makanan yang dipesan sampai. Mereka menikmati makan malam dengan perasaan yang sayu.

*****

AWIN, batalkan semua appointment aku. Lagi satu, aku tak nak siapa-siapa mengganggu aku. Aku nak bersendirian!” Suara Qasyi kedengaran di Interkom.

“Okey bos,” jawabnya. Selepas beberapa hari tidak datang ke pejabat, akhirnya Qasyi muncul juga hari ni.

Nazihah berjalan mendapatkan Shazwina. “Awin, Encik Qasyi ada kat dalam ke?” soalnya kepada Shazwina. Hampir setiap hari dia bertanya Shazwina mengenai Qasyi. Pagi tadi ketika dia memakirkan keretanya, dia ternampak kelibat kereta Qasyi di situ. Dengan muka berseri-seri dia melangkah ke pejabat.

“Bos ada, tapi dia tak nak jumpa siapa-siapa,” beritahunya.

Please Awin, saya kena berjumpa dengan Encik Qasyi. Penting sangat-sangat,” rayunya.

“Sebentar ya.” Awin menekan interkom. “Bos, Nazihah nak jumpa,” katanya

“Kan aku dah kata tak nak jumpa siapa-siapa! Kau tak faham bahasa ke?” herdiknya. Shazwina pelik mendengar suara Qasyi yang menengkingnya. Selama dia bekerja di bawah Qasyi, tidak pernah lagi dia ditengking sebegitu rupa.

Dalam Shazwina sedang terkulat-kulat, Nazihah mengambil keputusan untuk melangkah masuk ke bilik Qasyi. Pintu bilik Qasyi dikuak.

*****

MENCERLUNG mata Qasyi melihat Nazihah di biliknya. “Siapa suruh kau masuk? Keluar dari bilik aku sekarang!” herdiknya. Marahnya pada Nazihah masih belum pudar. Dia rasa tertipu.

“Saya takkan berganjak sebelum awak mendengar penjelasan saya!” ujarnya tegas.

“Okey, apa yang kau nak jelaskan? Cepat sikit, aku sibuk!” dia mengalah dengan kedegilan Nazihah.

Nazihah menghulurkan diari kusam milik Puan Khalidah kepada Qasyi. “Awak baca ni dulu,” arahnya.

Qasyi mengambil lalu menyelak helaian demi helaian. Dia terhenti pada helaian yang bertarikh 18 April 1996. Dia membaca satu persatu bait yang tertulis di situ.

18 April 1996

            Aku mendapat mendapat panggilan telefon dari mama. Mama memaksa aku meminta cerai dari Johan. Jika aku tidak mematuhi arahannya, mama akan memusnahkan perniagaan Johan. Aku hanya mengabaikan permintaan mama. Aku menyangka mama hanya berpura-pura mengugutku.

 

            21 April 1996

            Sedikit demi sedikit pelabur di syarikat Johan menarik diri untuk terus melabur di syarikat. Aku lihat Johan semakin susah hati dengan syarikatnya yang kian terumbang-ambing. Aku ingin sekali membantu tapi aku tak tahu apa yang perlu aku buat. Hanya satu sahaja yang terlintas di kepalaku iaitu… mama. Ya, hanya mama yang boleh membantu syarikat Johan. Esok aku akan cuba ke rumah mama untuk meminta bantuan.

            22 April 1996

            Aku tak sangka kejatuhan syarikat Johan adalah berpunca dari mama. Mama telah memaksaku sekali lagi agar meninggalkan Johan dan kedua-dua puteraku yang masih kecil, Qasyi dan Qalif. Tapi aku tak sanggup. Aku sangat sayangkan keluargaku. Mama telah memberi kata putus kepadaku. Sekiranya aku tidak meminta cerai kepada Johan, mama akan membuat hidup kami sekeluarga merempat.

             Sampainya hati mama memperlakukan anak kandungnya sebegini. Tidakkah mama mahu melihat aku hidup bahagia bersama keluargaku sendiri?

            Aku terpaksa membuat keputusan! Demi untuk tidak mahu melihat suami dan anak-anakku hidup menderita, biarlah aku mengalah. Biarpun pedih, kuteruskan jua.

 

            23 April 1996

            Mama menghubungiku, bertanyakan mengenai keputusanku. Aku memberitahu mama yang aku akan turut segala kehendaknya. Mama gembira dengan keputusanku. Dia akan menyuruh Malik menjemputku esok.

            Hari ni merupakan hari terakhirku bersama keluarga tercinta. Aku memasakkan lauk kegemaran suami dan anak-anakku. Aku melihat satu persatu wajah yang aku sayang. Dalam hati aku menangis pilu. Ya Allah, aku tak sanggup berpisah dengan keluargaku. Tolonglah kuatkan semangatku esok.

           

            24 April 1996

            Aku telah berjaya menyakiti hati suami dan anak-anakku. Aku terpaksa berbuat begitu kalau tidak aku tak akan sampai hati nak meninggalkan mereka. Aku memang ibu yang teruk! Dengan tanganku sendiri aku telah menolak along. Aku tergamam apabila melihat banyak darah yang mengalir di dahi along. Aku ingin menghampiri along dan mengatakan bahawa aku tidak sengaja untuk menolaknya.

            Apabila Johan memberikan kata putus kepadaku, aku ingin sekali memilih untuk terus menjadi isteri dia tetapi mesej yang dikirim oleh mama membantutkan keputusanku. Aku pasrah kalau sampai di sini sahaja jodohku dengan Johan. Kerna terpaksa juga, aku melangkah pergi selama-lamanya dari hidup suami dan anak-anakku.

            25 April 1996

            Hari ini mahkamah mengesahkan perceraianku dan Johan. Aku terpaksa meneruskan hidupku tanpa Johan dan anak-anak.

            Petang itu tanpa pengetahuan Johan, aku pergi ke hospital di mana along ditempatkan. Aku hanya melihat dari jauh. Pilu hatiku melihat kepala along berbalut. Aku teringin sekali memeluk along dan mengurangkan kesakitannya. Maafkan mama along…. maafkan mama..

            Air mata Qasyi tumpah apabila membaca isi diari itu. Dia meneruskan pembacaannya.

26 April 1996

            Aku terkejut mendengar permintaan mama. Mama memaksaku mengahwini Malik yang telah lama kematian isteri, sesudah aku habis edah nanti. Menurut mama, Malik mempunyai seorang anak perempuan yang ketandusan kasih-sayang seorang ib. Mama kejam!! Kenapa mama tidak memikirkan tentang anak-anakku yang juga memerlukan kasih-sayangku!

            Petang itu jugak aku bertemu Malik. Aku meminta dia agar menolak cadangan mama. Tetapi Malik tidak mahu menuruti kemahuanku. Dia membuat pengakuan. Pengakuannya membuatkan aku terkejut! Menurutnya, dia sebenarnya mencintaiku sejak dahulu lagi. Dia kecewa apabila mendapati bahawa aku telah berkahwin lari di Songkhla, Thailand bersama Johan.

            Sejak dari itu dia membawa diri ke luar negara. Beberapa tahun kemudian dia kembali ke Malaysia bersama anak tunggalnya yang ketika itu berumur 9 tahun. Apabila dia mendapati syarikat mama menghadapi masalah, dia menghulurkan bantuan tapi dengan syarat, mama mesti mengahwinkan aku dengan dia! Demi menyelamatkan syarikatnya, mama sanggup menggadaikan aku tanpa mengira aku masih isteri kepada Johan ketika itu. Sungguh kejamnya mama!

            Ternyata rancangan Malik dan mama untuk memisahkanku dan keluargaku, berhasil. Sehingga aku dibenci oleh bekas suami dan anak-anakku sendiri.

            14 August 1996

            Hari aku telah sah menjadi isteri kepada Malik. Hatiku merintih pilu namun, apabila melihat wajah anak tunggal Malik, aku merasakan rinduku terhadap anak-anakku terubat. Aku melayan anak Malik seperti anakku sendiri. Nazihah seorang anak yang baik dan mendengar kata.

 

            28 Julai 1999

            Mama telah kembali ke Rahmatullah. Aku redha dengan pemergian mama. Kepada Dia kita datang, dan kepada Dia juga kita pergi. Semoga roh mama dicucuri rahmat. Sebelum mama menghembuskan nafas terakhir, mama sempat memohon maaf atas segala perbuatannya kepadaku. Aku dengan seikhlas hati memaafkan mama.

            30 september 2000

            Hubunganku dengan Malik tidak bahagia sejak dari mula kami berkahwin. Kami sering bertengkar kerana dia tertangkap aku sering menangis melihat gambar-gambarku bersama Johan dan anak-anak. Pernah dia mencampakkan albumku ke luar tingkap.  Mujur Mak Milah, orang gajiku ternampak ketika dia sedang menyiram pokok bunga. Dia segera menyimpannya dan memberikan kepadaku semula selepas Malik berangkat ke tempat kerja.

            20 February 2002

            Malik telah selamat dikebumikan semalam. Aku terjumpa sepucuk surat dari dalam laci. Aku kenal benar tulisan tangan Malik. Surat itu kubuka apabila melihat namaku tertera di situ. Dalam kandungan surat itu Malik juga memohon maaf kepadaku kerana telah meruntuhkan rumahtanggaku. Dia meminta aku menjaga anaknya Nazihah dan memintaku menguruskan syarikatnya. Aku berjaji akan menjaga Nazihah seperti anakku sendiri kerana Nazihahlah penawarku sekarang.

            15 September 2003

            Selepas terbaca  artikel tentang Johan di paper, aku merasa sangat rindu dengan anak-anakku. Ternyata Johan telah berjaya membangunkan empayarnya semula. Aku teringin untuk berjumpa dengan anak-anakku dan Johan tapi, aku takut mereka tidak mahu berjumpa denganku lagi.

            Biarlah aku memendam rindu ini, asalkan mereka bahagia tanpaku. Biarlah Tuhan yang menentukan segalanya.

            Qasyi menutup diari kusam itu setelah selesai membacanya. Air matanya masih lagi belum berhenti. Dia memandang Nazihah. “Thanks Zihah… thanks kerana memberitahu saya perkara yang sebenar,” ucapnya

Nazihah tersenyum. “Lepas je saya baca diari mama, saya terus bertekad untuk mengembalikan mama semula kepada keluarganya. Sebab tu la saya masuk ke syarikat ni. Tapi awak je yang salah anggap,” terangnya.

“Sorry sebab saya dah menyakiti hati awak kelmarin,” ucapnya.

it’s okay.” Nazihah tersenyum.

“Awak balik dengan apa hari tu?” soalnya

“Saya panggil Abang Ehsan, suruh dia ambil saya,” jawabnya  sambil tersenyum lagi.

“Boleh bawak saya jumpa mama?” pintanya.

Nazihah mengangguk. “Tapi bukan sekarang.”

“Kenapa pulak?” soal Qasyi pelik.

“Sebab saya ada rancangan saya tersendiri. Tapi sebelum tu saya nak awak tolong saya,” pintanya.

“Tolong apa?” soal Qasyi ingin tahu.

“Begini, hari ahad ni hari bapa… so, saya nak awak pakat dengan Qalif supaya bawak uncle Johan ke Hotel Hilton. Saya pulak akan bawak mama ke sana. Nanti kita jumpa kat sana la ek,” terangnya.

“Oh… maknanya awak nak buat program jejak kasih la ni ek?” soalnya ingin kepastian.

“Pandainya awak teka,” pujinya. Nazihah dan Qasyi ketawa kuat.

Shazwina yang berada di luar, pelik mendengar ketawa bosnya dan Nazihah.  “Aik, tadi melenting, sekarang ketawa pulak… entah apa la ilmu yang si Zihah pakai ni,” bebelnya seorang diri.

Boyfriend awak jugakkan…”

Ketawa Nazihah mati. Dia merenung muka Qasyi.

“Zihah, saya nak kita sambung balik hubungan kita. Saya janji takkan sakitkan hati awak lagi. Awak pun tahukan time tu fikiran saya bercelaru bila awak bagitahu pasal identiti awak yang sebenarnya. Terima saya balik ek?” pintanya

Nazihah mengangguk laju.

Thanks Zihah… Thank you so much,” ucapnya.

*****

PAPA, hari ni kita sambut hari bapa kat Hotel Hilton la ek… dah boringlah asyik sambut kat rumah je,” ujar Qalif. Semalam dia baru mendapat tahu mengenai mamanya. Qasyi telah menceritakan segala-galanya. Dia juga seperti Qasyi, tidak menyangka mamanya telah diugut oleh arwah nenek mereka. Tapi dia tidak membenci arwah neneknya kerana neneknya telah tiada. Tidak baik memaki orang yang sudah tiada.

“Papa rasa malaslah nak keluar hari ni. Kita sambut kat rumah je la,” ujar Dato’ Johan pula.

“Ala pa…. please…” rayu Qasyi pula. “Along, Qalif dan Zihah ada hadiah istimewa untuk papa. Please pa,” rayunya lagi.

“Betul ni hadiah istimewa?” Dato’ Johan teruja mendengar kata-kata anak-anak bujangnya.

Kedua-dua mereka mengangguk.

“Okey,” putus Dato’ Johan.

Yeah!!!!” Mereka bersorah seperti budak kecil. “Jom kita bersiap sekarang!!” Qasyi dan Qalif mengajak Dato’ Johan supaya bersiap. Dato’ Johan tiada pilihan lain. Dia hanya menuruti kehendak anak-anaknya.

*****

MANA hadiahnya?” mintanya. Tangan dihulurkan kepada Qasyi dan Qalif.

“Nantilah pa… kejap lagi Zihah bawak. Kita tunggu sekejap.” jawab Qasyi. Dia menilik jam di tangan kiri. Beberapa minit menunggu, Qasyi terpandang kelibat Nazihah bersama mamanya di pintu masuk restoren Hotel Hilton. “Papa, pejam mata sekejap boleh tak? Zihah dah bawakkan hadiah tu,” pinta Qasyi.

“Okey.” tanpa banyak cakap, Dato’ Johan menutup kedua-dua belah matanya.

Nazihah mempercepatkan langkahnya.

“Zihah, mama takutlah,” luah Puan Khalidah. Dia sudah mengetahui tujuan Nazihah membawanya ke situ. Puas dipujuk, barulah dia mahu pergi.

“Mama jangan risau, Qasyi dan Qalif dah pun maafkan mama… dorang tak salahkan mama pun. Relaks okey,” pujuk Nazihah.

Qasyi dan Qalif menyalami mamanya sebaik sahaja Nazihah dan Puan Khalidah sampai ke meja. Qasyi membuat isyarat agar Puan Khalidah tidak bersuara dan memintanya duduk di hadapan Dato’ Johan yang masih lagi munutup mata.

“Papa boleh bukak mata sekarang,” arah Qasyi.

Sebaik sahaja membuka matanya, Dato’ Johan terkejut apabila melihat bekas isterinya berada di hadapannya. Lama dia merenung wajah bekas isterinya itu.

“Pa, ni la hadiah yang along, Qalif dan Zihah cakapkan tu. Tapi sebelum kami tinggalkan papa dan mama untuk berbincang, along dan Qalif nak mintak maaf pada mama sebab pernah membenci mama,” ucap Qasyi. Kemudian Qasyi dan Qalif mendapatkan mamanya. Tubuh wanita itu dipeluk.

“Mama pun nak mintak maaf jugak sebab mama dah tinggalkan kamu berdua dan mama jugak telah mencederakan along,” ucap Puan Khalidah sambil menangis teresak-esak.  Dia mencium dahi kedua-dua anak bujangnya yang sudah 15 tahun tidak ditemui.

Nazihah dan Dato’ Johan yang menyaksikan adengan itu, turut mengalirkan air mata. Selepas itu, Dato’ Johan dan Puan Khalidah ditinggalkan berdua untuk berbincang dari hati ke hati.

“Abang, Khal nak mintak maaf kat abang sebab Khal tak tunaikan janji Khal untuk hidup semati dengan abang. Khal dah mungkir janji.” Puan Khalidah menceritakan semula sebab dia meninggalkan keluarganya pada masa itu.

Dato’ Johan mengesat air matanya. “Sudahlah Khal, perkara yang lama jangan dikenang lagi. Sekarang ni kita buang yang keruh, ambil yang jernih,” ucap Dato’ Johan seusai mendengar cerita dari Puan Khalidah. “Khal, abang nak kita berkahwin semula. Sudikah Khal menjadi isteri abang semula?” tanya Dato’ Johan. Cintanya kepada Puan Khalidah bertambah mekar setelah mendengar cerita isterinya. Dia terharu dengan pengorbanan bekas isterinya itu.

“Tapi bang, macam mana dengan along dan Zihah? Diorangkan tengah bercinta sekarang?” soalnya ragu-ragu.

“Pasal kami, mama dan papa tak perlu risau sebab, kamikan bukan adik-beradik kandung. Jadi along dah buat keputusan yang along akan menikahi Zihah.” Qasyi tiba-tiba menyampuk dari belakang.

Nazihah terharu bercampur terkejut mendengar keputusan Qasyi.

“Nampaknya kita buat serentaklah perkahwinan papa dengan mama, along dengan Zihah,” kata Qalif pula. Mereka sekeluarga ketawa gembira.

*****

USAI majlis pernikahan antara Dato’ Johan-Puan Khalidah dan Qasyi-Nazihah, mereka berkumpul di ruang tamu beramai-ramai.

“Zihah, Thanks sebab kembalikan mama kepada papa. Papa amat menghargai pertolongan Zihah.”

“Takpe pa, itu dah memang tanggungjawab Zihah. Zihah sanggup berbuat apa sahaja untuk melihat mama gembira semula. Mama dah banyak hidup menderita di sebabkan ayah Zihah,” kata Nazihah pula.

Thanks Zihah… thanks sebab satukan kembali keluarga kami. Kalau Zihah tak muncul kat syarikat papa, mungkin abang masih jadi playboy lagi,” ucap Qasyi pula

“Kalau tak disebabkan Qalif, mesti along tak bertemu dengan kak long tau… dahsyat betul along ni tau ma… sampai berhujan dia merayu kat kak long supaya terima cinta dia.” Qasyi mengungkit semula kejadian yang menyebabkan Qasyi demam.

“Yelah… terima kasih jugak pada Encik Qalif kita ni yang telah berjaya memujuk papa supaya memilih Zihah untuk program praktikal kat office tu,” kata Qasyi lagi. Mereka ketawa lagi

Nazihah bersyukur di dalam hati kerana segala rancangannya berjalan lancar. Sekarang, keluarga suaminya sudah bersatu kembali.

– TAMAT –

 

 

 

Bangau Oh Bangau – Noraz Ikha

Posted on


Tok! Tok! Tok!

Bunyi ketukan pintu bilik Mariana bergema. Hesyy, anak dara seorang ni! Agaknya, mahu tunggu matahari berada tegak di atas kepala baharu dia nak bangun tidur. Di dalam hati, Puan Sally menggumam geram.

“Marianaaa, bangun cepat! Mak dah nak keluar ni!” panggil Puan Sally, kuat nada suaranya.

Sementara di dalam bilik itu, Mariana masih berselubung selimut sehingga menutupi kepalanya. Mujur sahaja selimut itu berwarna merah jambu. Jika berwarna putih, bukankah sudah kelihatan seperti mayat? Hai… Mariana… Mariana… Dia langsung tidak memberi tindak balas terhadap panggilan Puan Sally. Tidurnya begitu lena. Barangkali, dia sedang mimpikan putera raja datang melamar dirinya.

“Marianaaaaa!!!”  Kali ini Puan Sally menyeru dalam nada yang paling kuat. Terasa mahu keluar anak tekaknya.

Mata Mariana terbuka secara spontan. Telinganya dapat menangkap jeritan ibunya yang agak menakutkan. Kenapakah dengan ibunya itu? Tergesa-gesa dia menyelak selimut. Dia terus bangun dan melangkah ke pintu.

“Kenapa, mak? Pagi-pagi lagi dah buat orang terkejut,” terus Mariana menyoal sebaik wajah ibunya terpapar di ruang matanya.

“Pagi-pagi apanya? Dah hampir pukul sepuluh pagi ni. Hei, Mariana! Anak dara tak boleh bangun lewat macam ni tau,” bebel Puan Sally. Mariana sudah membuat gaya mahu menutup telinga.

“Alah, mak…. sekali-sekala aje,” bela Mariana sambil mempamerkan riak kasihan pada wajahnya.

“Banyaklah kamu punya sekali-sekala. Mak nak keluar dengan Mak Cik Midah ni. Kamu tolong jaga adik kamu tu, tau!” arah Puan Sally sambil matanya melirik ke arah Adriana Iffah yang sedang menonton rancangan kartun di televisyen.

“Tapi mak…” Belum sempat Mariana menghabiskan kata-katanya, terdengar suara seseorang memberi salam. Spontan perhatian mereka terarah ke pintu rumah. Puan Hamidah sudah tercegat di situ bersama anak lelakinya yang baru berumur sepuluh tahun, sebaya dengan Adriana Iffah.

“Waalaikumussalam, Midah. Jemput masuk,” pelawa Puan Sally sambil langkahnya disusun laju ke pintu yang sudah sedia terbuka.

Tanpa membuang masa, Puan Hamidah dan Harraz Rifqi melangkah masuk.

“Ha, ni Mariana… kamu tolong jaga sekali si Rifqi.” Puan Sally menambah arahannya. Mariana dilihat sedang menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Mak dengan Mak Cik Midah ni, nak ke mana? Hari ni, Mariana pun ada hal juga. Mana boleh jaga budak dua orang ni, mak!” Cepat-cepat Mariana memberitahu sebelum rancangannya untuk keluar berjumpa kekasih hati berkubur begitu sahaja.

“Kamu jangan nak mengada-ada. Hal kamu tu tak penting. Kamu nak jumpa Faizal, kan? Tak payah! Hal mak dengan Mak Cik Midah kamu ni lagi penting. Kami perlu menghadiri mesyuarat Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Limau Manis ni. Kamu nak kampung kita mundur?” jelas Puan Sally. Sempat dia menyedarkan Mariana tentang masa hadapan Kampung Limau Manis.

“Mak ni… balik-balik masa depan Kampung Limau Manis. Yalah, mak dengan Mak Cik Midah kan orang kuat kampung. Tapi, nanti mak jangan menyesal pula kalau Mariana tak kahwin. Sebabnya, mak selalu halang rancangan anak mak nak keluar dating. Mak jangan lupa, umur Mariana dah dua puluh satu tahun tau. Mak nak ke anak mak ni jadi anak dara tua?” luah Mariana separuh mengugut.

Terbeliak mata Puan Sally mendengar kata-kata Mariana. Adakah patut Mariana berkata begitu?

“Kamu jangan nak merepek. Kamu tu muda lagi. Lagipun, tak ke mananya si Faizal tu. Kalau dia tak mahu dengan kamu, tahulah apa mak nak buat dengan dia,” balas Puan Sally. Kata-katanya penuh dengan makna tersirat.

“Mak ni, pandai-pandai aje. Jangan nak buat rancangan yang bukan-bukan pula ya, mak!” Mariana memberi amaran kepada ibunya.

“Dah… dah… Rifqi, hari ni Rifqi duduk dengan Iffah, ya? Nanti mak cik balik, mak cik bawa aiskrim Cornetto.” Puan Sally mengalihkan perhatiannya kepada Harraz Rifqi dan Adriana Iffah pula.

Harraz Rifqi hanya mengangguk. Manakala, Adriana Iffah sudah tersenyum sambil memandang Harraz Rifqi.

“Mak keluar dulu ya, Iffah. Jangan nakal-nakal. Dengar cakap Kak Mariana, tau!” Puan Sally mengingatkan Adriana Iffah pula.

“Baik, mak,” ringkas sahaja balasan yang keluar dari mulut Adriana Iffah.

Tidak berapa lama kemudian, Puan Sally dan Puan Hamidah sudah keluar rumah. Meninggalkan Adriana Iffah dan Harraz Rifqi di bawah jagaan Mariana.

“Helo, Faizal! Maaf… Saya tak boleh keluar. Mak suruh saya jaga Iffah dengan Rifqi…” Terdengar suara Mariana, separuh merengek di sebalik pintu bilik yang sudah tertutup itu.

**********

KINI, tinggal Adriana Iffah dan Harraz Rifqi sahaja di ruang tamu. Mariana yang sudah masuk ke bilik tidak pula keluar-keluar sejak tadi. Entah apalah yang dibuatnya di dalam bilik itu.

Senaskhah majalah di atas meja yang sudah sedia terbuka helaiannya menarik perhatian Harraz Rifqi. Perlahan-lahan dia mendekati majalah tersebut.

TANDA-TANDA KITA JATUH CINTA

Suara Harraz Rifqi yang kuat membaca tajuk di dalam majalah itu telah menarik perhatian Adriana Iffah. Spontan dia menoleh ke arah Harraz Rifqi. Keningnya sedikit berkerut. Seketika, dia sudah duduk di sisi Harraz Rifqi. Nampaknya, dia juga tertarik dengan apa yang sedang dibaca oleh Harraz Rifqi itu.

“Jatuh cinta tu, apa ya?” Tiba-tiba Adriana Iffah menyoal.

“Jatuh cinta tu… jatuh cintalah.” Harraz Rifqi menjawab. Yakin sahaja gayanya, walhal, dia juga tidak pasti.

“Sama tak macam kita jatuh tangga?”  Adriana Iffah bertanya lagi.

Dua-dua sebutan ada perkataan jatuh. Bukankah lebih kurang sahaja bunyinya tu? Fikir Adriana Iffah di dalam hati.

“Kena jatuh tangga dulu baharu akan jatuh cinta kut,” kata Harraz Rifqi sambil mengusap-usap dagunya. Gayanya seperti sedang memikirkan masalah negara.

“Hahahaha!!!”

Tiba-tiba perbualan dua orang kanak-kanak itu terganggu dengan bunyi ketawa kuat yang sudah kedengaran seperti orang hilang akal. Rupa-rupanya Mariana yang sedang ketawa sambil menekan perut di hadapan pintu biliknya. Geli hati sungguh dia apabila terdengar teori tidak munasabah yang keluar dari mulut Adriana Iffah dan Harraz Rifqi.

“Kenapa Kak Mariana ketawa?” soal Adriana Iffah tidak puas hati.

Mariana menghampiri Adriana Iffah dan Harraz Rifqi dengan tawa yang masih bersisa. Kemudian, dia duduk di atas sofa tanpa berlengah.

“Korang nak dengar sebuah cerita tak? Cerita best punya!” ajak Mariana dengan penuh semangat.

Luas bukaan mata Adriana Iffah dan Harraz Rifqi. Teruja.

“Nak… Nak… Cerita cinta ke, kak?” Spontan Rifqi bertanya.

Mariana mengecilkan matanya. Haisy, budak ni. Tak padan dengan kecil. Mahu cerita cinta saja. Hmmm…. sebenarnya salah Mariana juga. Siapa suruh dia letak majalah yang ada topik cinta itu di tempat umum a.k.a di ruang tamu. Tidak pasal-pasal sahaja budak kecil yang membacanya.

“Hei, budak kecil tak boleh tahu cerita cintalah. Gatal Rifqi ni, ya!”

Mariana menegur sambil berpura-pura marah. Matanya dijegilkan ke arah Harraz Rifqi yang sedang tersengih. Sementara Adriana Iffah pula terkebil-kebil tidak faham apa-apa.

“Okey la, akak rasa…. akak boleh ceritakan kisah cinta. Tapi, kisah cinta ni ialah kisah cinta sepasang bangau,” ujar Mariana sambil mengambil majalah yang masih berada di atas meja itu. Cepat-cepat dia menyimpannya di dalam laci meja. Majalah itu tidak sesuai dibaca oleh kanak-kanak.

“Bangauu??” Serentak Adriana Iffah dan Harraz Rifqi bersuara. Laju Mariana mengangguk.

“Bangau oh bangau…. kenapa engkau kurus. Macam mana aku tak kurus… ikan tak mahu timbul.” Tiba-tiba Harraz Rifqi menyanyi. Dia dan Adriana Iffah baru sahaja mempelajari lagu ini di sekolah untuk satu persembahan lakonan.

“Iffah pun nak nyanyi juga! Ikan oh ikan… kenapa kau tak mahu timbul. Macam mana aku nak timbul… rumput panjang sangat,” sambung Adriana Iffah pula.

Kemudian, mereka memandang Mariana.

“Akak, sambunglah!” Serentak itu juga mereka berkata.

Adoii, aku kena nyanyi juga ke? Fikir Mariana sambil menggaru-garu kepalanya. Ah… layan sahajalah mereka ni. Putus Mariana kemudian.

“Rumput oh rumput…. kenapa kau panjang sangat. Macam mana aku tak panjang…. kerbau tak makan aku.” Adriana menyanyi.

“Hahahaha….” Mereka ketawa serentak. Seronok sungguh rasanya.

“Kau orang berdua ni, tahu ke apa maksud lagu ni?” Sengaja Mariana bertanya.

“Cikgu kata, jangan suka salahkan orang lain kalau terjadi apa-apa yang buruk,” jawab Adriana Iffah dan disokong Harraz Rifqi.

“Okey, akak nak cerita ni. Pada zaman dahulu kala, ada seekor bangau jantan dan seekor bangau betina. Kedua-dua bangau ni merupakan sepasang kekasih yang sangat bahagia. Kalau Iffah dan Rifqi nak tahu, tempat tinggal bangau ni tak tetap. Sebab, bangau hidup dengan cara berpindah randah. Sekejap tinggal kat pantai sini, sekejap tinggal kat pantai sana.” Mariana berhenti sebentar untuk mengambil nafas panjang.

“Oh…. kesian bangau tu sebab kena pindah-pindah, kan? Bangau tu tak ada rumah sendiri ke, kak?” soal Adriana Iffah. Dia kelihatan sungguh berminat dengan cerita yang sedang disampaikan oleh Mariana itu. Begitu juga dengan Harraz Rifqi.

Mariana ketawa mendengar soalan itu. Alahai…. budak kecil ini. Rumah pula yang ditanya.

“Bangau tak ada rumahlah, sayang. Bangau tinggal kat kawasan pantai,” jawab Mariana sambil menggosok kepala Adriana Iffah. Kusut masai jadinya rambut budak kecil itu.

“Ooo…!” Mulut Adriana Iffah sudah membentuk huruf ‘O’.

“Okey, akak sambung ya. Pada suatu hari, tibalah masanya untuk pasangan bangau ini berpindah dan mencari tempat tinggal atau pantai yang baharu. Mereka pun terbang… terbang… dan terus terbang. Tengah asyik terbang ni, mereka tak perasan yang ada seorang pemburu kat bawah tu tengah menghalakan senapangnya ke arah mereka.” Sekali lagi Mariana berhenti bercerita. Dia menghela nafasnya dalam-dalam sambil memejamkan mata, seolah-olah dia pula yang sedang berhadapan dengan risiko muncung senapang itu.

“Lepas tu, apa yang terjadi, kak?” Harraz Rifqi sudah tidak sabar untuk mengetahuinya.

“Bangau tu kena tembak ke??” Adriana Iffah menambah soalan.

“Sabar ya, adik-adikku. Akak nak ceritalah ni. Akhirnya, pemburu tu menembak bangau betina dan bangau jantan pula terselamat.”

Mulut Adriana Iffah dan Harraz Rifqi melopong. Mariana tersenyum melihat reaksi mereka.

“Tapi, sebenarnya pemburu tu bukanlah seorang yang jahat. Dia membawa bangau betina itu kepada doktor haiwan dan merawat lukanya,” sambung Mariana.

“Wah…. baiknya pemburu tu!” celah Adriana Iffah.

“Betul tu, Iffah. Okey, akak nak tanya. Korang rasa, apa yang terjadi kepada bangau jantan selepas kekasihnya iaitu bangau betina tinggal dengan pemburu tu? Mereka telah terpisah ni,” soal Mariana.

Adriana Iffah dan Harraz Rifqi berpandangan. Kemudian mereka menggeleng. Tidak mampu teka apa yang terjadilah.

“Ha… bahagian inilah yang akak suka nak cerita. Sebenarnya, bangau ialah seekor burung yang sangat terkenal dengan nilai setia.” Cerita Mariana terhenti lagi kerana dia terdengar soalan daripada Harraz Rifqi.

“Bangau tu burung? Bukan ke burung tu selalunya kecil-kecil? Tapi, bangau tu besar,” sangkal Harraz Rifqi dengan perasaan Pelik. Dia kurang faham.

“Ya, Rifqi. Bangau tu memang sejenis burung walaupun saiznya besar. Okey, burung helang besar tak?” Mariana sedang cuba memberi kefahaman kepada Harraz Rifqi. Terbantut sudah niatnya untuk bercerita mengenai nilai setia yang ada pada bangau.

“Besarrr! Burung helang boleh angkat orang dengan cakarnya. Burung helang kuat!” Begitu bersemangat Harraz Rifqi menjawab.

“Ha… tu, besar kan? Tadi Rifqi kata, kalau burung kecil aje?” duga Mariana.

“Opsss!!!” Harraz Rifqi menutup mulutnya. Sedar bahawa dia sudah tersilap cakap.

“Tapi, bangau tu tak nampak macam burung, pun?” celah Adriana Iffah pula.

“Okey, akak faham. Bangau tak nampak macam burung sebab kakinya panjang. Lepas tu, lehernya pun panjang, kan? Tapi, bangau ada paruh. Dia ada kepak. Dan dia juga boleh terbang, sama macam burung-burung yang lain,” terang Mariana. Dia perlu bersabar dalam melayan kerenah dan pertanyaan dua orang kanak-kanak di hadapannya itu.

“Ooo…!” Sekali lagi mulut Adriana Iffah membentuk huruf ‘O’. Harraz Rifqi pula mengangguk tanda faham.

“Okey, kita sambung cerita tadi. Lepas bangau betina itu ditangkap pemburu, bangau jantan berasa sangat sedih. Tapi, dia kena meneruskan perjalanannya. Lalu, dia pun terbang meninggalkan bangau betina itu di bawah jagaan pemburu.”

Mariana berhenti bercerita lagi apabila dilihatnya Harraz Rifqi seperti mahu memperkatakan sesuatu. Lalu Mariana memandang dan memberi isyarat mata agar Harraz Rifqi meluahkan apa yang sedang bermain di fikirannya saat itu.

“Rifqi tak puas hatilah! Kenapa bangau jantan tu tak pergi selamatkan bangau betina? Kenapa dia sanggup tinggalkan kekasihnya?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Harraz Rifqi. Sementara itu, Adriana Iffah mengangguk-angguk tanda menyokong pertanyaan rakan sepermainannya itu.

Errkk! Mariana terkedu dengan soalan tersebut. Dia sendiri tidak pernah memikirkannya. Bagaimana budak sekecil Harraz Rifqi boleh terfikir tentang hal itu? Anak kecil zaman sekarang… lain cara berfikirnya. Dia memperoleh kisah bangau ini melalui internet. Namun, tidak pula diceritakan kenapa bangau jantan itu tidak menyelamatkan bangau betina. Buat seketika, Mariana buntu. Apa dia mahu jawab? Akhirnya dia mendapat satu idea.

“Sebabnya, bangau jantan tu sedar bahawa dia tak mampu merawat kecederaan bangau betina yang sangat teruk. Bangau betina tu lumpuh dan dia tak mampu terbang lagi. Mujurlah bangau betina tu tak mati. Bukankah tadi akak kata, hidup bangau ni berpindah-randah. Kalau bangau betina tu dah tak boleh terbang, macam mana dia nak ikut bangau jantan cari tempat tinggal baharu? Lagipun, pemburu itu sudah menyediakan sarang untuk bangau betina itu tinggal,” jawab Mariana penuh yakin.

“Oh…. kesiannya mereka.” Serentak Harraz Rifqi dan Adriana Iffah mengeluh. Bagai sehati sejiwa pula mereka itu.

“Okey, akak sambung cerita lagi. Walaupun mereka sudah terpisah, bangau jantan tu tak pernah berhenti daripada mencintai bangau betina. Begitu juga dengan bangau betina. Pendek kata, mereka ialah pasangan kekasih yang sangat setia. Bangau jantan sanggup terima hakikat yang kekasihnya itu sudah cacat. Perasaan cintanya semakin kuat. Bangau jantan itu juga sanggup terbang dari tempat tinggal baharunya yang jauh beribu batu untuk pulang melawat bangau betina yang setia menunggu. Mereka tetap hidup bahagia. Macam itulah cara mereka menjalani hidup selepas kejadian malang itu. Cerita tamat. Hehehe… suka tak?” Mariana menamatkan ceritanya sambil tersenyum.

“Sukaaa!!!” jerit Adriana Iffah dan Harraz Rifqi.

“Pengajarannya, kita kena setia dan jaga orang yang kita sayang macam pasangan bangau tadi. Kita kena terima walau bagaimana keadaannya. Jangan pula masa dia susah atau sakit, kita tinggalkan dia. Tak berhati perut tu namanya. Tentu korang pun ada orang yang korang sayang, kan? Contohnya, macam kawan-kawan dan keluarga. Ha… korang sayang akak tak ni??” Sengaja Mariana menduga mereka.

“Sayanggg!!” sahut Adriana Iffah dan Harraz Rifqi. Senada.

Mariana memeluk mereka. Senang rasa hatinya melihat mereka yang menurut kata. Cuma mulut mereka sahaja yang banyak bertanya. Hmmm…. layankan sahajalah!

“Bagus. Akak pun sayang sangat pada korang. Nanti kalau akak sakit, korang kena jaga akak tau. Rifqi sayang Iffah tak?” soal Mariana tiba-tiba. Hehehe…. seronok pula dia berbual dengan mereka.

“Mestilah sayang, kak. Akak jangan risau. Nanti kalau Iffah sakit, Rifqi akan jaga dia,” jawab Harraz Rifqi. Terpancar kejujuran dan keikhlasan pada riak wajahnya.

Mariana tersenyum. Bagusnya Harraz Rifqi. Detik Mariana jauh di sudut hatinya.

“Iffah? Sayang Rifqi tak?” Kali ini Mariana bertanya kepada Adriana Iffah pula.

“Sayang,” jawab gadis kecil itu sambil tersipu-sipu.

“Alala… comelnya adik akak ni!” balas Mariana sambil mencubit pipi Adriana Iffah. Adriana Iffah cuba mengelak sambil tergelak.

“Akak nak ajar cara membuat burung bangau menggunakan kertas. Siapa nak belajar angkat tangan cepat!” ajak Mariana kemudian.

Kedua-dua kanak-kanak itu mengangkat tangan dengan pantas.

Mariana mengambil kertas A4 berwarna warni dari dalam bilik. Gamat suasana di ruang tamu itu apabila mereka saling membaling bangau masing-masing yang sudah berjaya disiapkan. Konon-kononnya mahu menerbangkan bangau kertas itu. Tidak ada maknanya, semua bangau kertas itu jatuh semula ke lantai.

Ding… Dong!

“Assalamualaikum!”

Tiba-tiba loceng rumah berbunyi diikuti ucapan salam. Itu macam suara mak! Jerit Mariana dalam hati. Cepat-cepat dia membuka pintu.

“Waalaikumussalam, mak,” balas Mariana. Tepat tekaannya. Puan Sally dan Puan Hamidah sudah tercegat di depan pintu.

“Ya-Allah! Apa yang kau orang buat di rumah ni?? Masya-Allah…. bersepah dengan kertas warna warni,” bebel Puan Sally sebaik masuk ke dalam rumah.

Mariana, Harraz Rifqi, dan Adriana Iffah hanya tersengih mendengar bebelan tersebut.

**********

KETIKA ini, Mariana, Adriana Iffah, Puan Sally dan suaminya iaitu Encik Hussein sudah berada di meja makan rumah Puan Hamidah kerana menerima jemputan makan malam. Ada berita yang mahu disampaikan katanya. Berita apa itu tidak pula Puan Sally sekeluarga tahu. Hati mereka tertanya-tanya juga. Seperti ada berita gempar pula.

“Ada berita apa ni, Midah?” Puan Sally bertanya dalam nada kurang sabar. Suaminya hanya memerhati.

“Rasanya, eloklah kalau Lan yang jelaskan. Silakan, bang!” Puan Hamidah mempersilakan suaminya.

“Sebenarnya, saya dinaikkan pangkat daripada jawatan penolong pengurus kepada pengurus cawangan. Syarikat menghantar saya untuk menguruskan cawangan syarikat yang baharu. Tempatnya jauh pula dari kampung ni. Tak laratlah saya nak berulang-alik setiap hari. Jadi, terpaksalah kami sekeluarga pindah dari sini,” terang Encik Mazlan.

“Ya ke?” Hanya perkataan itu yang mampu Puan Sally katakan. Mulutnya sudah melopong. Dia benar-benar terkejut.

Nampaknya, Puan Sally bakal kehilangan sahabat baik merangkap penyokong setianya dalam mesyuarat ahli jawatankuasa kampung. Adriana Iffah juga bakal kehilangan rakan sepermainannya iaitu Harraz Rifqi.

“Sally, aku sebenarnya sayang sangat nak tinggalkan kampung ni. Lepas ni, aku mesti rindu nak berpersatuan dengan kau,” luah Puan Hamidah. Suaranya kedengaran sangat sebak.

Tanpa menunggu lama, Puan Hamidah bangun dan dia terus memeluk Puan Sally. Air matanya sudah bercucuran. Puan Sally pula masih kaku kerana terkejut. Sunyilah dia nanti tanpa Puan Hamidah di sisi.

“Bila pindahnya, Lan?” Encik Hussein yang senyap dari tadi mula bersuara.

“Esok, Sein,” jawab Encik Mazlan dengan berat hati.

“Cepatnya!” Serentak Encik Hussein dan Puan Sally bersuara.

Semakin lemah semangat Puan Sally mendengar jawapan Encik Mazlan itu. Puan Hamidah mengeratkan pelukannya. Sebenarnya, Puan Hamidah sudah mengetahui hal perpindahan ini sejak sebulan lalu. Tetapi, dia tidak sampai hati untuk memberitahu Puan Sally dan keluarganya.

Sementara itu, terdapat seseorang yang lain sedang kuat menahan perasaan di meja makan itu. Jiwanya seperti mahu memberontak. Dia tidak bersetuju dengan perpindahan yang bakal berlaku pada esok hari. Dia tidak suka!!!!

“Rifqi tak mahu pindahhh!!” bentak Rifqi secara tiba-tiba. Tinggi sungguh nada suaranya.

Semua orang terperanjat dengan bentakan itu. kini, semua mata sudah menghala ke wajah Harraz Rifqi.

“Rifqi?” tegur Puan Hamidah sambil menghampiri anak lelakinya itu.

Namun, belum sempat bahu Harraz Rifqi disentuh, Harraz Rifqi bingkas bangun dan berlari keluar dari ruang makan keluarganya itu. Tindakan Harraz Rifqi itu disusuli Adriana Iffah pula. Sekali lagi semua yang berada di situ tergamam. Ke mana mereka mahu pergi?

**********

HARRAZ RIFQI mencabut-cabut rumput yang ada di tempat duduknya. Geram! Sudah banyak kali dia memberitahu ayah dan ibunya yang dia tidak mahu berpindah. Tapi, langsung mereka tidak mahu mendengar.

“Rifqi.” Terdengar suara seseorang menegur.

Harraz Rifqi menoleh. Adriana Iffah sudah tercegat di sebelahnya.

“Iffah,” pendek sahaja balasan Harraz Rifqi. Sekadar mencukupkan syarat untuk bersuara.

Adriana Iffah turut duduk di samping Harraz Rifqi, di taman permainan Kampung Limau Manis.

“Saya tak nak pindah dari sini, Iffah.” Harraz Rifqi meluahkan rasa hatinya yang semakin membuatkan dia tertekan.

“Saya pun tak nak awak pindah dari sini. Nanti saya tak ada kawan nak main. Tak seronoklah kalau awak tak ada,” luah Adriana Iffah. Dia juga turut bersedih.

“Saya takkan pergi dari sini. Awak jangan risau, saya takkan tinggalkan awak. Kita akan terus main sama-sama,” azam Harraz Rifqi.

“Betul??”

“Saya janji!”

**********

KEESOKAN harinya………

“Assalamualaikum!!” Kuat Adriana Iffah mengucap salam.

Dia berasa sangat pelik. Sudah berkali-kali dia memberi salam. Tapi, pintu rumah Harraz Rifqi masih juga bertutup. Ke mana perginya Harraz Rifqi?

“Iffah…”

Adriana Iffah terkejut dengan sapaan itu. Pantas dia berpaling.

“Rifqi dah pindah, Iffah,” beritahu Mariana sambil memeluk bahu adik perempuan kesayangannya itu.

Adriana Iffah menggeleng-geleng. Dia tidak percaya.

“Akak, Rifqi dah janji yang dia takkan tinggalkan Iffah. Dia takkan pindah dari sini!” Adriana Iffah menafikan hakikat yang sudah jelas terbentang di hadapan matanya.

“Rifqi dah pindah, sayang. Takkanlah keluarganya nak tinggalkan dia seorang kat sini.” Mariana cuba menerangkan perkara sebenar.

“Rifqi kata, dia sayangkan Iffah. Iffah pun sayangkan dia. Kalau dia dah pergi, maknanya dia tak sayang pada Iffah lagi. Iffah benci dia!” bentak Adriana Iffah.

Air matanya mula tumpah ke pipi. Manakala sendunya mula kedengaran. Mariana menggeleng. Kasihannya Iffah. Detik hati Mariana

**********

Imbas kembali…..

“Macam mana dengan Rifqi, bang? Dia tak nak pindah.” Puan Hamidah meluahkan kerisauannya. Dia sudah duduk berhadapan dengan suaminya di meja makan.

“Mana dia sekarang?” Encik Mazlan bertanya kembali.

“Ada kat dalam bilik. Dari tadi saya panggil dia sarapan. Tapi dia tak nak keluar. Kunci pintu pula tu,” adu Puan Hamidah.

“Walau bagaimanapun, kita kena bawa Rifqi sekali. Takkan kita nak tinggalkan dia kat sini pula,” tegas Encik Mazlan.

Encik Mazlan bangun dan membuka kabinet dapur. Dia mengeluarkan ubat tidur, lalu dicampurkan ke dalam segelas air. Terbuntang mata Puan Hamidah melihat apa yang sedang dilakukan suaminya.

“Abang nak buat apa dengan ubat tidur tu? Kejap lagi abang nak memandu, kan?” tegur Puan Hamidah sepantas mungkin.

“Abang nak bagi anak kita tu minum. Nanti masa dia tertidur lepas minum air ni, kita angkat dia masuk kereta,” terang Encik Mazlan.

Sekali lagi mata Puan Hamidah terbuntang.

“Abang, anak kita tu baru aje bangun tidur. Abang nak suruh dia tidur lagi?”

“Dah tak ada cara lain lagi. Dia mati-mati tak nak pindah.”

Puan Hamidah terdiam.

Di dalam bilik, Harraz Rifqi sedang duduk berteleku di atas katil. Dia mendengar panggilan ibunya. Namun, dia tidak peduli. Dia masih mahu menunjukkan bantahan kepada isu perpindahan mereka.

“Rifqi, ayah ni. Tolong buka pintu ni, sayang!”

Kali ini Harraz Rifqi terdengar suara ayahnya pula. Ahhh, dia tidak peduli! Biarkan mereka. Dia terus berbaring dan memejamkan mata. Pura-pura tidur.

“Rifqi, ayah tahu Rifqi tak nak pindah. Ayah ikut kemahuan Rifqi. Kita tak jadi pindah. Tapi, Rifqi tolong buka pintu ni dulu, ya!” Encik Mazlan cuba menarik perhatian Harraz Rifqi.

Mendengarkan itu, mata Harraz Rifqi terbuka dengan luas. Laju dia bangun dan terus membuka pintu. Encik Mazlan tersenyum sambil memasuki bilik itu. Dia duduk di atas katil. Begitu juga dengan Harraz Rifqi.

“Betul ke kita tak jadi pindah?” soal Harraz Rifqi. Dia mahukan kepastian. Kalaulah benar, alangkah seronoknya!

“Rifqi tentu haus. Daripada bangun tidur lagi Rifqi tak minum apa-apa, kan? Minum air ni dulu, Rifqi,” pelawa Encik Mazlan tanpa menjawab soalan Harraz Rifqi.

Gelas di tangan Encik Mazlan itu diunjukkan kepada Harraz Rifqi. Tanpa ragu-ragu, Harraz Rifqi terus mencapai gelas tersebut dan meminum airnya sehingga habis.

“Betul ke kita tak jadi pindah ni, ayah?” Sekali lagi Harraz Rifqi menyoal.

“Betul.” Encik Mazlan terpaksa menjawab begitu.

“Kenapa tak jadi?” Harraz Rifqi terus bertanya.

“Rifqi tak payahlah fikir pasal perkara ni lagi. Ayah nak keluar dulu. Rifqi berehat, ya. Nanti, ayah bawakan sarapan,” jawab Encik Mazlan.

Beberapa minit selepas Encik Mazlan keluar, Harraz Rifqi mula berasa mengantuk. Dia pun berbaring dan terus tertidur.

**********

TIDUR Harraz Rifqi yang nyenyak itu terganggu dek hentakan yang menggegarkan tubuhnya. Perlahan-lahan dia membuka mata. Kepalanya terasa sedikit sakit dan pening. Mungkin kerana hentakan itu atau kerana dia terlebih tidur.

Eh, kat mana ni? Hati Harraz Rifqi berdetik. Hairan. Dalam kereta? Dia menoleh ke arah ayahnya yang sedang memandu.

“Ayah! Ayah kata kita tak jadi pindah!” Harraz Rifqi melenting.

“Maaf, Rifqi. Kita kena pindah.” Hanya itu yang mampu Encik Mazlan ucapkan.

“Ayah tipu!!!”

Bunyi raungan Harraz Rifqi itu bergema di dalam kereta. Hampir sahaja Encik Mazlan dan Puan Hamidah menyumbat kapas ke dalam telinga. Bingit. Maafkan kami, sayang.

**********

Dua minggu kemudian……

“Iffah, bangun. Tak nak pergi sekolah ke?” Puan Sally mengejutkan Adriana Iffah.

Adriana Iffah tidak memberi tindak balas. Matanya terus terpejam. Puan Sally berasa hairan. Pantas dia menyentuh dahi anaknya itu. Ya-Allah, panasnya! Demam ini!

“Rifqi… Rifqi….”

Terdengar Adriana Iffah meracau dalam lenanya. Puan Sally kaget. Dia mula mengetap bibir sambil menahan sebak di dadanya.

“Iffah benar-benar rindukan Rifqi. Semoga suatu hari nanti, Iffah akan bertemu kembali dengan dia. Sabar ya, sayang,” bisik Puan Sally sambil mengusap lembut kepala Adriana Iffah. Kemudian, dia mengucup dahi anaknya itu dengan penuh rasa kasih.

**********

Sepuluh tahun kemudian……

Masa yang berlalu telah mengubah keadaan. Adriana Iffah dan Harraz Rifqi yang dahulunya kanak-kanak, kini sudah meningkat dewasa. Sudah dua puluh tahun umur mereka. Mereka sedang menuntut di universiti yang sama. Namun, masing-masing tidak mengenali. Manakala, Mariana sudah berkahwin dengan cinta hatinya iaitu Faizal.

“Iffah, kau ni macam budak kecillah. Setiap hari kau buat bangau guna kertas. Bilik ni dah jadi macam taman permainan kanak-kanak aje aku tengok. Kau buat apa dengan bangau kertas banyak-banyak macam ni?” tegur Suhaila iaitu rakan sebilik Adriana Iffah di universiti.

Suhaila membuka sebuah kotak lutsinar besar yang dipenuhi dengan bangau-bangau kertas hasil tangan kreatif Adriana Iffah. Berwarna-warni lagi.

“Suka hati akulah kalau aku nak jadi budak kecil pun. Ada kau kisah?” Balas Adriana Iffah dengan selamba. Dia sibuk membuat bangau kertas yang baharu.

Suhaila ternampak sehelai kertas panjang terselit di antara bangau-bangau kertas yang berselerak di dalam kotak tersebut. Tanpa membuang masa, dia terus mengambil dan membaca tulisan pada kertas itu.

“Kau ni memang betul-betul buat lawaklah. Lagu Bangau Oh Bangau pun ada dalam kotak ni. Dah sah-sahlah kau teringin nak balik ke zaman kanak-kanak, kan?” duga Suhaila.

“Zaman kanak-kanak ialah zaman yang paling seronok dalam hidup aku. Aku tak akan berhenti daripada merindui semua yang ada pada zaman itu,” luah Adriana Iffah sejujur hati.

“Wahh, mesti kau ada pengalaman yang best, kan? Ceritalah kat aku pasal zaman kanak-kanak kau!” pinta Suhaila bersungguh-sungguh. Dia menggoyang-goyangkan tangan Adriana Iffah.

“Mana boleh cerita. Rahsia!” balas Adriana Iffah dengan sengihan yang meleret.

“Okey…. Kalau kau tak nak cerita, esok aku buang kotak bangau kau ni,” ugut Suhaila.

“Kalau kau berani, buanglah!” Adriana Iffah tidak mahu mengaku kalah.

“Oohh… Kau ingat, aku tak berani buang, ya? Tak apa, kau tengoklah esok pagi. Jangan menyesal.” Suhaila memberi ingatan.

Adriana Iffah hanya mencebik. Apa-apa ajelah si Suhaila ni. Bisik Adriana Iffah di dalam hati.

**********

Keesokan harinya…….

“Suhaila! Bangun cepat! Mana kau buang kotak bangau aku tu??” jerit Adriana Iffah sambil menggoyang-goyangkan badan Suhaila.

Suhaila pura-pura tidur. Dia ketawa terbahak-bahak di dalam hati. Padan muka dia! Dia ingat aku cakap main-main agaknya semalam, ya? Rasakannn. Hati Suhaila berkata-kata.

“Aku tau kau tak tidur. Janganlah buat aku macam ni. Kesianlah sikit kat aku. Suhailaaa,” rengek Adriana Iffah.

Apa hal aku nak kesian kat kau? Itulah, cakap orang tak nak dengar! Suhaila terus membebel di dalam hati. Dia terus membatu.

“Yalah…. Aku cerita kisah zaman kanak-kanak aku nanti. Tapi, kau pulangkanlah dulu kotak bangau aku,” pancing Adriana Iffah.

Spontan mata Suhaila terbuka.

“Serius?” tanya Suhaila sambil bangun.

“Serius!!” balas Adriana Iffah.

“Hmmm…. Tapi…. Aku dah buang kat tempat sampah belakang asrama kitalah,” lambat-lambat Suhaila memberitahu.

“Apa??!” Spontan Adriana Iffah menjerit.

Tanpa membuang masa, dia terus berlari keluar untuk mendapatkan kembali kotak bangau kesayangannya. Penat-penat aku buat bangau tu, senang-senang pula kau nak buang, ya! Bebelnya di dalam hati.

Nasib baik kotak bangau itu masih berada di tempat sampah. Kalau tidak, menangis tak berlagulah dia jawabnya. Dia mengusap-usap kotak tersebut sebelum mengangkatnya. Langkahnya terhenti sewaktu dia melintasi kolam ikan yang terdapat di asrama itu. Dua ekor bangau batu yang menjadi hiasan di dalam kolam telah mencuri perhatiannya. Lantas dia duduk di bangku berhadapan kolam yang telah disediakan. Kotak bangaunya diletakkan di sisi.

Kenangan masa kecilnya mula menguasai fikiran Adriana Iffah. Tanpa sedar, dia tersenyum sendiri saat teringatkan kisah bangau yang pernah diceritakan oleh kakaknya. Kisah bangau yang setia kepada pasangan. Senyumannya bertambah mekar tatkala mengimbau kenangan ketika dia menyanyikan lagu Bangau Oh Bangau dan mempelajari cara membuat bangau kertas bersama Harraz Rifqi.

Perlahan-lahan, Adriana Iffah mula menyanyikan kembali lagu Bangau Oh Bangau…..

**********

BADAN Harraz Rifqi terasa segar. Dia baharu balik daripada berjogging. Hari-hari cuti macam ni, memang seronok bila dapat jogging lama-lama. Bisik hatinya. Dia mula memasuki kawasan asrama.

Seorang gadis yang sedang duduk di tepi kolam itu mencuri tumpuannya. Perlahan-lahan dia mendekati tanpa gadis itu sedari. Dia dapat mendengar nyanyian gadis itu yang kedengaran mendayu-dayu.

Lagu Bangau Oh Bangau?? Fikir Harraz Rifqi. Kemudian, dia melihat kotak bangau di sebelah gadis itu. Serta-merta dia teringatkan zaman kanak-kanaknya. Sampai bila-bila pun dia tidak akan lupa kenangan itu. Tiba-tiba, perasaan rindunya kepada Adriana Iffah membuak-buak. Bagaimanakah wajah Iffah sekarang?

“Rifqi…. Aku rindukan kau..” Tiba-tiba Adriana Iffah meluahkan kata-kata itu setelah habis menyanyi.

Harraz Rifqi bagaikan terkena arus elektrik tatkala mendengarkan kata-kata gadis itu. Jadi, gadis ini ialah Adriana Iffah?? Hati Harraz Rifqi berdetik. Dia terus diserbu seribu persoalan.

“Iffah,” panggil Harraz Rifqi. Dia memberanikan diri menyebut nama itu.

Bagai mahu gugur jantung Adriana Iffah apabila tiba-tiba ada suara yang menegur saat dia hanyut dibuai kenangan. Dia menoleh ke arah Harraz Rifqi.

“Ya, saya,” balas Adriana Iffah.

Harraz Rifqi seperti mahu melonjak gembira apabila gadis itu menyahut panggilannya. Ya, memang benar gadis ini ialah Iffah! Jerit hatinya.

“Saya pun, rindukan awak. Sangat rindukan awak!” luah Harraz Rifqi tanpa ragu-ragu.

Adriana Iffah mengerutkan keningnya. Buang tabiat ke lelaki ni? Sempat Adriana Iffah berfikir begitu.

“Awak ni, siapa?” tanya Adriana Iffah. Seram juga bila tiba-tiba ada lelaki yang tidak dikenali berkata begitu kepadanya.

“Saya, Rifqi. Harraz Rifqi!”

Adriana Iffah terkesima.

“Rifqi? Benar awak ialah Rifqi??” Sukar untuk Adriana Iffah mempercayai hakikat itu.

Harraz Rifqi menganggukkan kepalanya laju-laju. Kemudian dia membuka kotak bangau kepunyaan Adriana Iffah. Diambilnya seekor bangau kertas berwarna merah.

“Bangau kertas ni, Kak Mariana yang ajar kita dulu, kan?” ujar Harraz Rifqi bagi meyakinkan Adriana Iffah bahawa dia memang Harraz Rifqi. Bukan orang lain.

“Ya, betul. Ya-Allah! Saya tak sangka boleh jumpa awak balik di sini.” Adriana Iffah memanjatkan rasa syukurnya ke hadrat Illahi.

Beberapa saat kemudian, mereka saling berbalas senyuman. Mungkinkah perasaan rindu itu tanda cinta? Kita fikirlah sendiri. Semoga mereka bertemu bahagia yang dinanti selama ini.

Di sebalik pokok berhampiran kolam itu, terdapat orang lain yang sedang tersenyum. Hatinya turut terharu tatkala menyaksikan pertemuan ala-ala jejak kasih itu. Dia puas hati. Dan dia tidak akan bertanya mengapa mereka berpisah dahulu. Biarlah rasa gembira ini kekal buat selama-lamanya.

Perlahan-lahan, Suhaila melangkah meninggalkan pasangan merpati dua sejoli itu.

-TAMAT-

Kuingin Kamu – SyaCha Abdullah

Posted on

“ADUH…” Emran menarik kakinya yang terjulur keluar kereta.  Ketingnya digosok berkali-kali.  Kemudian dia menoleh ke arah dua gadis yang terpacak di sebelah pintu Hyundai Genesisnya.  Riak bersalah jelas terpampang pada wajah gadis itu.  Terutamanya yang seorang itu.

“Tengok je?” Emran menyoal mereka.

“Errkkkkk…”

“Maaf, encik.  Kawan saya tak sengaja tadi.”

Fitriah membela temannya.  Padahal salahnya juga!

“Kawan awak ni, bisu kah?”  sedikit bentakkan dalam nada suara lelaki itu.

“Errkkkk…”

“Sekolah tak habis agaknya.  Sebab tu tak pandai bercakap,” Sinis.

“Heh, jaga sikit mulut awak tu ya!  Ingat awak tu bijak sangat ke bercakap?  Tak ada budi bahasa langsung!” Humaira’ memarahi Emran.  Emran tergelak.  Humaira’ memandang Fitriah yang sedang memandangnya.

“Gila ek?” Humaira’ menyoal perlahan.  Tapi cukup jelas di pendengaran Emran.

“Kelakarlah bila awak marah!” tawanya masih bersisa.

“Ah, sudahlah!  Saya minta maaf pasal tadi.  Dah, saya dah lambat ni.  Gelaklah sorang-sorang.”

Humaira’ menarik lengan Fitriah.  Cuba untuk meninggalkan lelaki yang dianggap tidak siuman itu.

“Kalau saya tak mahu maafkan macam mana?” duga Emran.

“Errkkkk… Janganlah macam tu.  Nanti kat akhirat, saya kena cari awak untuk minta maaf.  Aduh, susahlah nanti.”

Humaira’ sedikit merayu.  Emran gelak lagi.

“Hish, cepatlah maafkan!”

“Ek eh, nak paksa-paksa orang pulak.  Cik adik, maaf tu lahir dari hati okey.”

Emran masuk ke dalam perut keretanya.

Humaira’ kalut.  Ibu pernah pesan, ‘Kalau ada buat salah dengan orang, minta maaf cepat-cepat dan pastikan orang tu maafkan kita.  Kalau tak, kita kena cari orang tu kat Padang Mahsyar nanti. Kalau dia dah masuk Syurga macam mana?’.  Sebaris pesan ibu yang sentiasa terngiang-ngiang di telinga Humaira’.

Tingkap kereta diketuk bertalu-talu.  Airmata sudah bertakung di kolam mata.  Emran buat tidak endah.  Humaira’ cuba meraih simpati Fitriah.  Fitriah tidak tahu apa yang patut dilakukan.

“Encik…”

Emran membuka tingkap kereta.

“Encik, tolonglah.  Maafkan saya,” sedikit merayu.  Fitriah menggeleng.  Cepat benar Humaira’ menunjukkan kelemahannya.  Merayu pada lelaki yang tidak dikenali.

“Saya maafkan awak.”

Humaira’ hampir melonjak kegembiraan.

“Tapi dengan syarat.”

Emran menyambung.

“Syarat?”

“Ya, syarat.  Awak kena jadi kawan saya.”

Emran mengangkat sedikit keningnya.

“Kawan?” Humaira’ mengerutkan dahinya.

“Ya.  Saya Emran.  Awak?”

“Humaira’.  Faqehah Humaira’,”  dia tersenyum.  Terpana Emran melihat lesung pipit pada kedua-dua belah pipi gadis itu.  Emran membalas senyuman itu.

+++

TIMBUNAN kertas ditenung.  Menanti untuk dibuat salinan.  Ramai pula yang menghantar bahan untuk dibuat salinan hari ini.  Musim peperiksaan agaknya.  Macam soalan periksa saja ni.

“Assalamualaikum,” satu suara menegur.

“Waalaikumussalam.”

Humaira’ menoleh.   “Erkkk, awak?”

“Ya saya.  Kenapa?”

“Mana awak tahu saya ker…” belum sempat Humaira’ menghabiskan ayat, lengannya sudah ditarik oleh Emran.

“Aunty, saya bawa makcik ni pergi lunch sekejap.”

Emran mengenyitkan matanya ke arah tauke kedai tempat Humaira’ bekerja.  Aunty Mei Li hanya mengangguk.  Dia kenal benar dengan Emran, pelanggan tetapnya.  Namun beberapa bulan kebelakangan ini Emran jarang menghantar bahan untuk dicetak.  Mungkin sudah memiliki mesin pencetak sendiri di rumah.

+++

“HAA, order.  Awak nak makan apa hari ni?”

Emran mengetuk jemarinya ke atas meja.  Bunyi ketukan halus terhasil.  Jelas di pendengaran Humaira’ yang duduk setentang dengan tempat duduk Emran.

Humaira’ memandang suasana sekitar restoran itu.  Kerusi dan mejanya diperbuat daripada kayu jati.  Lantai dihiasi marmar yang bagai diketuk oleh adik bongsunya, tidak serupa lantai!  Tetapi Humaira’ tahu, semakin teruk rupa marmar itu, semakin tinggi nilainya.

Mata dikalihkan pula ke arah kaunter pembayaran.  Ada dua mesin kira di situ.  Dua orang juruwang berdiri di sebalik mesin tersebut.  Pelanggan yang sudah siap menjamu selera beratur di kaunter untuk melangsaikan bayaran.

Pelayan restoran juga berpakaian kemas.  Berkemeja putih.  Seluar slack hitam disarungkan.  Topi di kepala, mengikut etika penyediaan makanan, supaya rambut tidak gugur dan masuk ke dalam hidangan pelanggan.  Apron juga siap dililit pada pinggang masing-masing.

Humaira’ terpana.  Sepanjang 23 tahun hidupnya, belum sekali pun dia menjejakkan kakinya ke dalam restoran semewah ini.  Lampu malap di siling ditenung.  Cermin yang menampakkan permandangan luar restoran juga diperhati tanpa sebarang kedipan mata.

“Awak!”

Emran mematikan lamunan Humaira’.

“Nak makan apa?” Kening diangkat sedikit.

“Errrr…” Humaira’ memandang menu di tangannya.  “Saya tak pandai nak pilih.” Humaira’ menghulurkan menu kepada Emran.  Pelayan yang sedari tadi berdiri di sisi meja tersenyum ke arah Humaira’.

“Cik, selalunya, kami cadangkan kepada pelanggan untuk  makanan yang bertanda thumbs up  ni.”  Perlahan gadis itu bersuara, cukup untuk pendengaran mereka bertiga.  Humaira’ mengangguk.  ‘Hish, macam mana boleh tak perasan tanda ni!’

“Yang tanda cili kat hujung nama makanan tu pula, selalunya masakan pedas.  Awak tak makan pedas, kan?”  Emran menyambung.

“Bukan tak makan pedaslah.  Tapi kurang sikit dengan masakan pedas,”  balas Humaira’ tersenyum.  Cepat sungguh Emran mengenalinya.  ‘Mamat ni stalk aku ke?’ senyuman mengulum manis di bibir tatkala bisikan nakal itu melintasi hatinya.

+++

EMRAN meletakkan sudu dan garfu bersebelahan, rapat-rapat.  Nasi Goreng Tom Yam, hidangan istimewa di restoran itu menjadi pilihannya tengahari itu.  Humaira’ juga memilih makanan yang sama.  Sebenarnya, restoran itu tidaklah semewah PappaRich, tidak juga se‘eksklusif’ OldTown Cafe, tapi cukup mewah pada pandangan Humaira’.

Tisu yang tersedia diambil dan disapu ke mulut.  Banyak perkara yang mereka bualkan sepanjang menikmati makanan tengahari.

+++

WAKTU hampir menunjukkan jam 2 petang.  Humaira’ gelisah.  Kewajipannya sebagai seorang muslim belum dilaksanakan.  Emran pula ralit menikmati keindahan tasik di hadapan mereka.

‘Aduh, dia tak mahu hantar aku balik ke?’ kepala yang tidak gatal digaru.  Mukanya cemberut.  Timbunan kerja di kedai menerjah ruang fikirannya.  Satu persatu.  Sebahagiannya perlu diselesaikan sebelum malam ini supaya esok tidak terkejar-kejar semasa pelanggan mahu mengambilnya.  Belum dikira dengan salinan yang perlu disiapkan pada hari yang sama.

Ligat otaknya memikirkan cara untuk mengajak Emran pulang.  Hendak berterus–terang, dia malu.  Humaira’ sangat menjaga hati mereka yang berkawan dengannya.

“Kenapa ni? Gelisah je.  Sepatutnya duduk di sini, tenangkan kepala otak yang serabut dengan kertas-kertas di kedai tu,” Emran hanya memerhati gelagat Humaira’ sejak tadi lagi, cuma Humaira’ tidak perasan.

Humaira’ mengangkat tangan kirinya.  Jam di pergelangan ditatap seketika, sesekali dia mengetuk muka jam itu.  Emran mengerutkan dahi.

“Awak, jam dah pukul berapa ya?  Jam saya mati pula.”

“1.55 tengahari.  Kenapa?”

“Erkkkkk…”

“Kenapa?” kening Emran diangkat sedikit.

“Dah hampir jam 2.  Kita belum solat.  Lunch hour pun dah habis.  Kerja kat kedai berlambak lagi.  Awak hantar saya balik ke kedai ya?”

Mendengar bicara Humaira’, Emran menepuk dahi. “Maaf! Saya terlupa. Jom!”

Bingkas mereka berdua bangun meninggalkan kawasan tasik itu.  Emran sendiri terlupa tentang mesyuaratnya jam 3 petang nanti.

+++

“HAA, pandai balik rupanya kau.  Aku ingatkan kau tak jumpa kedai tadi,” Fitriah bersuara, sinis.

“Maaf.  Aku keluar makan tengahari tadi.”

“Kau fikir nak isi perut kau je.  Habis, kerja-kerja ni semua kau tak ingat nak buat?  Kau ingat aku ni kuli batak kau ke?” terpempan Humaira’ mendengar keluhan Fitriah.  Selama ini Humaira’ tidak pernah merungut jika Fitriah seringkali meminta cuti daripada Aunty Mei Li.

“Aku bawa makanan untuk kau, makan ya.  Aku nak solat dulu,” Humaira’ meletakkan bungkusan makanan di atas meja berdekatan dengan Fitriah.

“Ah, tak payah! Kau ingat aku nak sangat makan benda ni?” Nasi Goreng Tom Yam yang dibungkus sebentar tadi berterabur di atas lantai.  Sekali lagi Humaira’ terkedu.  Titisan air jernih mengalir ke pipi mulusnya.

Humaira’ tunduk untuk mengutip nasi yang berterabur.  Mujur tiada pelanggan yang datang.  Aunty Mei Li bergegas lari dari dapur apabila terdengar suara tengkingan Fitriah tadi.  Dia menggeleng melihat situasi itu.  Dia berlari semula ke dapur mencari sesuatu.  Sebentar kemudian dia muncul bersama sebatang penyapu dan pengaut sampah.

“Yaya’, you pergi sembahyang dulu.  Ini nasi, kasi aunty yang kemaskan,” perempuan hampir sebaya dengan ibu itu menepuk bahu Humaira’.

“Biar saya yang kemaskan, aunty bagi penyapu pada saya,” Humaira’ merasa bersalah.

“Tak apa, tak apa.  Ini biar aunty yang kemaskan,” bersungguh-sungguh Aunty Mei Li memujuk.

Perempuan Cina itu mendorong tubuh Humaira’ yang sedikit kurus ke bilik air.  Kemudian dia ke hadapan semula.

“Aunty manjakan sangatlah budak tu.  Lama-lama nanti, dia pijak kepala aunty, baru aunty tahu,” tanpa menoleh Fitriah bersuara.

“Macam you?” sedikit sinis.

“Apa pula macam saya!” protes Fitriah.

+++

USAI solat, Humaira’ ke ruangan depan kedai.  Punggungnya dihulurkan ke atas bangku tinggi yang tersedia.  Alat pengokot yang selalu digunakan dicapai dan dipegang kemas.  Baru dua set salinan dikerjakan, telefon bimbitnya berdering.

Humaira’ mencapai beg galasnya.  Poket kecil dihadapan sekali diseluk untuk mengeluarkan telefon bimbitnya yang masih berdering.

‘Emran?’

Humaira’ menoleh kearah Fitriah yang sedang mengerjakan timbunan kertas itu.  Fitriah sedikit menjeling.  Humaira’ membiarkan telefon bimbitnya.  Dia menekan butang  ‘silent’, supaya tiada deringan menerpa ke gegendang telinga mereka lagi.  Sebentar kemudian, getaran pada telefon bimbit berhenti, lantas Humaira’ mencapainya dan mengubah kepada mod senyap.  Kemudian dia menyambung kerjanya.

Aunty Mei Li memandang sekilas pada dua teman serumah itu.  Seawal mereka mula bekerja dengan Aunty Mei Li, mereka tidak pernah bergaduh.  Tetapi, kenapa sekarang Fitriah seringkali menarik muka dengan Humaira’?  Mereka datang ke pekan dari kampung yang sama, dengan tujuan yang sama.  Mengapa kini mereka tidak sependapat seperti dahulu? Aunty Mei Li sendiri bingung.

+++

TEPAT jam 9 malam.  Semua kertas-kertas yang dihantar oleh pelanggan sepanjang hari disusun kemas.  Lantai kedai disapu dan dimop.  Meja kerja dilap supaya bersih.  Bangku dimasukkan ke bawah meja.

Usai semua kerja, pintu kedai yang ditutup separuh itu ditarik ke bawah.  Aunty Mei Li sudah masuk ke rumah.  Di rumah kedai itu, Aunty Mei Li tinggal bersama suaminya, tuan punya kedai fotostat itu.  Dahulu, Aunty Mei Li dan suaminya mempunyai seorang anak perempuan.  Satu-satunya anak mereka.  Humaira’ tahu akan perkara itu pun melalui gambar keluarga perempuan Cina itu.  Langsung dia tidak pernah bertanya tentang perihal keluarga majikannya itu.  Bimbang mengecilkan hati.

Humaira’ mencari kelibat Fitriah.  Gadis itu duduk di tepi koridor menunggu Humaira’.  Di bibirnya terukir senyuman manis.  Humaira’ mengerutkan dahi.

“Jom balik!” senyuman yang masih terukir di bibir Fitriah membuatkan Humaira’ putus akal.  Namun kakinya tetap menurut langkah Fitriah.

“Aku minta maaf pasal petang tadi.  Aku penat sangat.  Tak boleh nak kawal perasaan,” Fitriah memulakan bicara.

“Aku tak makan hati pun.  Cuma terkejut bila kau tiba-tiba buat macam tu.”

“Maaf ya?” Fitriah bersungguh.  Dia menghulurkan tangannya seperti selalu.  Humaira’ menyambutnya.

“Kita kawan sejak kecil lagi, aku harap, kita terus berkawan, sampai akhir hayat kita.  Walau apapun terjadi,” senyuman Fitriah menyejukkan hati.  Humaira’ membalas senyum dan mengangguk.  Tangan Fitriah digenggam erat.

+++

FITRIAH mencapai telefon bimbit Humaira’.  Ketika itu Humaira’ sedang mandi.  Dia membuka fail mesej.

‘Sayang? Semuanya dari penghantar yang sama,’ senarai mesej itu disemak lagi.  Satu persatu mesej dibuka.

“Kenapa Fit?” hampir terpelanting telefon bimbit ditangan.

“Eh kau ni.  Terkejut aku!”  Fitriah meletakkan telefon bimbit itu perlahan-lahan ke atas meja.

“Ada mesej masuk tak?”

“Tak.  Aku ambil nombor telefon Aunty Mei Li.  Semalam aku terpadam dari senarai pula,” Fitriah cuba berselindung. “Aku nak keluar kejap lagi.  Kau nak kirim apa-apa ke?” dia menyambung lagi.

“Tak kot.  Aku nak tidur je di rumah.  Sakit kepala pula,”

+++

FITRIAH cuba mendail seseorang.  Hampir 15 minit dia menunggu.  Namun kelibat temannya yang seorang itu belum juga  timbul.

“Awak kat mana?”

“Sekejap.  Saya tengah parkir kereta ni.  Awak kat mana?”

“Depan GSC ni.  Saya dah beli tiket pun.  Cepat sikit.”

Fitriah mematikan talian sebaik perkataan ‘Okey’ di hujung talian menerpa ke gegendang telinganya.  Kemudian dia duduk di bangku yang tersedia.

+++

“MAAF! Saya lambat.  Ada kerja sikit tadi.”

Emran meminta maaf.  Sedikit rasa bersalah menyalut hatinya.

“Tak apa.  Jom! Orang lain dah nak masuk tu.”

Fitriah menarik lengan Emran.  Emran sedikit kaget.  Dia sendiri tidak berani menyentuh mana-mana perempuan, apatah lagi memberi ruang untuk bersentuh dengan perempuan yang bukan mahramnya.  Dia menari lengannya perlahan.  Tidak mahu menyakitkan hati Fitriah.

“Humaira’ tak ikut?” dia cuba berbasa-basi.

“Tak.  Dia balik kampung sekejap,” nada suara Fitriah sedikit berubah.  Emran terus melangkah.  Dia membiarkan Fitriah berjalan di hadapan.

+++

“OKEY tak cerita tadi?” Fitriah memulakan bicara sebaik kakinya melangkah keluar dari panggung wayang itu.  Emran hanya mengangkat bahu sedikit.  Sepanjang cerita ditayangkan, dia langsung tidak fokus.  Gajet di tangan menemaninya sepanjang penceritaan.

“Jom makan!”

Fitriah sekali lagi menarik lengan sasa Emran.

“Saya kena balik, ada kerja sikit yang perlu diselesaikan.  Maaf.”

Emran melangkah tanpa menoleh ke arah Fitriah lagi.  Malas mahu melayan gadis itu.  Emran rimas.

Telefon bimbit Emran dikeluarkan.  Dia menaip pesanan ringkas untuk seseorang.

‘Balik kampung tak bagitahu saya pun.’ – Emran.

‘Errr, bila masa pula saya balik kampung?’ – Humaira’.

‘Fit bagitahu saya, awak balik kampung.’ – Emran.

‘Tak pun.’ – Humaira’

‘Ok.’ – Emran.

‘Pelik!  Fitriah tipu aku ke?  Motif?  Atau, Humaira’ yang mahu berahsia?’ detik hati Emran sendiri.

+++

MORNING sweetheart!’ – Emran.

Sebaris mesej yang Emran hantar pagi tadi tiada balasan.  Emran bingung.  ‘Kenapa tiba-tiba dia senyap?’

Ingin membuat panggilan, dia masih dalam bilik mesyuarat.  Dia akui, beberapa hari kebelakangan ini, dia agak sibuk.  Jarang dapat menghubungi Humaira’.  Keluar kerja seawal 7.30 pagi, pulang lewat jam 12 malam.  Banyak kerja yang perlu dilangsaikan di pejabat.  Dia gelisah menanti jawapan dari Humaira’.  Sihat kah? Dah makan kah?

Selesai mesyuarat, Emran terus melangkah deras.  Niatnya untuk menjenguk kedai tempat Humaira’ bekerja.

“Aunty, Yaya’ mana?”

“Sudah tiga hari dia minta cuti dari aunty.  Kenapa Emran?” kebimbangan terbit pada wajah Aunty Mei Li apabila melihat Emran gelisah.  Emran mengkerling ke arah Fitriah yang sedang melayan pelanggan.

“Erm… Dah tiga hari juga saya cuba hubungi dia, tapi tiada jawapan.  Dia sihat ke, dah makan ke.  Risau saya dibuatnya.”

“Hey, you sudah jatuh hati sama itu orang kah?” Aunty Mei Li cuba menyerkap.  Dia tersengih melihat muka merah Emran, menahan malu.

“Tak apalah aunty.  Saya balik ke ofis dulu ya.  Thanks aunty!”

Emran melangkah meninggalkan Aunty Mei Li.  ‘Kurang asam sungguh!  Malu aku! Hish!’  Emran tergelak sendiri.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering menandakan ada mesej masuk.

‘Humaira’!’

‘Saya takkan ganggu awak lagi.  Saya cuma nak tengok awak bahagia dengan orang yang awak sayang.  Awak bahagia, saya pun akan bahagia.’ – Humaira’.

‘Kenapa ni?  Tiba-tiba je.’ – Emran.

I’m leaving.’ – Humaira’.

‘Okey.  Hak awak.  Saya tak boleh bantah.  Cuma satu benda saya nak awak tahu, awak yang pertama dalam hati saya selepas keluarga saya.  Tak ada yang lain.’ – Emran.

‘Saya nak tengok awak bahagia je.  Walaupun saya terluka.’ – Humaira’.

‘Bahagiakan diri sendiri sebelum bahagiakan orang lain.’ – Emran.

‘Saya akan bahagia bila awak bahagia.’  – Humaira’.

‘Saya takkan bahagia tanpa awak di sisi.  Tapi saya tak boleh paksa awak.  Hak awak.’ – Emran.

‘Bagi saya masa.’ – Humaira’.

‘Selama mana yang awak mahu, silakan.’ – Emran.

Emran meraup wajahnya.  Bimbang kehilangan Humaira’ dia benar-benar sayang pada Humaira’, perlukan Humaira’ di sisi terutamanya bila sakitnya menyerang.

Emran memegang dadanya, sebelah kiri.  Perit.  Kepalanya berpinar.  Dia segera membuka laci.  Susunan ubatnya dicapai.  Perlahan-lahan sakit itu pergi meninggalkannya.  Mujur cepat.

“Encik Emran, bos nak jumpa,” Nadia, setiausaha Emran membuka pintu.  Kaget dia melihat sekujur tubuh Emran sudah terbaring di atas lantai pejabat.  Emran sedikit pucat.  Emran dibawa ke hospital.

+++

HUMAIRA’ bergegas ke hospital.  Dia menerjah ke kaunter pertanyaan untuk bertanya tentang Emran.  Bilik Emran dituju setelah jururawat menunjukkannya.

“Awak!” Humaira’ sedikit menjerit.  Emran terpaku di atas katil.  Dia terkejut dengan kehadiran Humaira’.

“Awak tak apa-apa?” Emran tersenyum.  Dia tahu Humaira’ risau.

“Awak sayang saya ke?”

“Mestilah sayang!” tegas Humaira’.  Hilang rasa malu untuk meluahkannya.

“Terima kasih awak.  Saya sayang awak juga.  Jangan tinggalkan saya lagi ye?” Emran mengulum senyuman.

“Janji!” tangan diangkat, bagai mahu berikrar pengakap.

+++

“SAYANG…”

“Ya saya.”

“Abang nak tanya ni.”

“Apa dia?”

“Hari tu, kenapa sayang nak tinggalkan abang?” Humaira’ hanya tersengih mendengar soalan itu.

“Senget ek?”

“Kenapa pula?”

“Sengih macam kerang busuk! Abang tanya tak mahu jawab!  Geram!” Humaira’ tergelak.  Wajah tunangnya itu ditatap.

“Sebenarnya…” Emran mengangkat kening.  Meminta Humaira’ menyambung ayatnya. “Yaya’ cemburu bila tahu abang rapat dengan Fit.  Abang balas mesej Fit, tapi mesej Yaya’ abang tak balas pun.  Tapi itu dulu lah.” giliran Emran pula ketawa terbahak-bahak.

“Abang! Orang tengok lah!”

“Hei, abang dengan dia kawan je okey!  Kan abang dah pesan, sayang yang pertama selepas keluarga abang.  You’re part of my life!  Sayang tak percayakan abang ke?” Emran bersungguh lagi.

“Okey.  Yaya’ janji! Yaya’ tak cemburu lagi,” Humaira’ tersengih.  Dia malu.

“Percaya abang tak?” Emran menduga.

“Percaya.  Dah, jom makan!  Yaya’ lapar,” Humaira’ menepuk perutnya.  Muka dicemberutkan.

“Ish…”

“Kenapa pulak?”

“Buruk muka tu.  Dah, makan.  Kejap lagi abang hantar ke kedai Aunty semula.” Humaira’ segera mencapai sudu dan garfu.  Makanan disuap cepat.  Kerja perlu dikejar, walaupun kerja tidak lari.  Ayat itu yang Emran selalu gunakan bila Humaira’ asyik sahaja ingin mengejar sesuatu.  “Benda tu tak ada kaki, buat apa nak dikejar.  Dia tak lari pun.”

+++

HUMAIRA’ tersenyum sendiri mengenang cerita lima tahun lalu itu.  Di situlah bermulanya bibit cinta Humaira’ dan Emran, suaminya kini.  Dia bersyukur mengenali Emran.  Seorang yang penyayang dan sentiasa mengambil berat.  Sangat mengambil berat.

Fitriah, kini bahagia bersama suaminya, teman sepejabat Emran.  Humaira’ dan Emran sendiri tidak pasti sejak bila Fitriah memulakan perkenalan bersama lelaki pilihannya itu.  Apa yang pasti, itu pilihannya.

Humaira’ memegang perutnya yang semakin membulat.  Anak ketiga.  Dia duduk di tepi kolam tempat dia dan Emran menghabiskan masa, selalunya.  Emran pula sibuk melayan karenah anak-anaknya bermain.  Berlari sana, berlari sini.  Apabila penat, menerpa ke arah Humaira’ meneguk air.

“Okey, Babah dah penat.  Lapar pula tu.  Along dan Angah lapar tak?” dua anak kecil itu mengangguk.

“Jom kita pergi cari kedai makan.  Ajak ibu.  Jom!”

“Jom!” Asyraf dan Arsyad bersorak serentak.  Mereka berlari ke arah ibu mereka.

“Sayang, jom makan,” lembut bahu Humaira’ disentuh.  Humaira’ tersenyum.  Mereka melangkah meninggalkan tasik itu dengan seribu satu kenangan yang setia bertamu di hati.  Tiada lagi cemburu dihati Humaira’ buat Emran.  Bisikan Emran ke telinganya setiap malam membuatkan dia lupa akan kisah cemburunya.

“Sayang, abang nak nyanyi ni.”

“Nyanyi lah, nak dengar.”

“Kuingin engkau menjadi milikku, aku akan mencintaimu, selama hidupku, dan aku kan berjanji, hanya kaulah yang ku sayangi, ku akan setia di sini, menemani…”

“Okey dah!”

“Kenapa?”

“Tengok langit tu, dah mendung!” Humaira’ menjarakkan sedikit tubuhnya dari Emran.  Emran mencuit pinggang Humaira’  Kedua-dua anaknya ketawa melihat telatah ibu bapa mereka.

“Sayang, kuingin kamu!”

Humaira’ tersenyum lagi.  Terlebih makan gula agaknya suaminya ini, sweet sangat! Tapi tak mengapa, Humaira’ tetap akan terus biarkan marakan api cintanya terhadap suaminya ini terus menyala.  Dia tahu, Emran benar-benar menyayanginya.  Humaira’ yakin.  Pelayaran cinta Humaira’ terhadap Emran akan diteruskan hingga ke akhir hayatnya.  Itu janji Humaira’ pada dirinya sendiri.