RSS Feed

Monthly Archives: August 2011

JORAN NAN SEBATANG – GY HANIEY

Posted on


1

Hujan masih belum mahu berhenti. Titis-titis air yang lahir dari kegelapan awan berguguran lebat hingga mengaburkan pandangan serta menghilangkan warna merah senja. Tebing sungai pasti ada yang runtuh serta menumbangkan pohon-pohon kecil di pinggirannya kemudian hanyut deras dialirkan sungai yang keruh bercampur tanah dan lumpur hingga ke hilir.

Pak Akob sudah tidak mampu mengira waktu. Kaki tuanya itu digagahinya melangkah perlahan menyusur tebing sungai bertemankan sekaki payung yang patah tangkainya. Lampu suluh yang dibawa menghulurkan sedikit bantuan meski kadang-kadang kakinya tersadung batu dan akar pokok kerana gagal melihat dengan jelas.

‘Di mana anakku?’ soalan itu bergumpalan dalam dadanya, berpusar-pusar dan menjerut tangkai hati orang tua itu. Gerun sekali memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang tidak henti menerpa ke akalnya.

“Uda!”

Beberapa kali dijeritkan nama itu namun suara Pak Akop hilang dibawa hujan.

‘Di mana kau,nak?’ hatinya terus diamuk bimbang. Tidak mungkin dia dapat mencari dalam keadaan begini tanpa pertolongan sesiapa. Gelap malam semakin memekat ditambah lagi hujan yang sedang menggila. Dia perlu segera mendapatkan bantuan.

Menyusur denai becak yang menghala ke jalan utama kampung, Pak Akob diasak sesal tiba-tiba. Petang tadi, kalaulah dia mendengar rungutan isterinya tentang Uda yang masih belum pulang bermain, tentu pencariannya tidak sesukar begini. Kalaulah dia menyedari sejak awal akan ketiadaan joran sebatang itu, pasti Uda sudah diturutnya ke sungai. Kalaulah joran itu tidak diterimanya dulu, mungkin perkara ini tidak akan berlaku. Ah,begitu banyaknya kalau hingga Pak Akob jadi lupa akan ketentuan takdir.

Skrett!

“Pak Akob? Kenapa?”

Bunyi motosikal dibrek seiring dengan suara menyapa yang dikenalinya, mendadak menyapu lamunan. Mail anak arwah Busu Deris. Mereka berdua sering bertemu di tebing sungai dengan tujuan yang sama. Menebak lubuk bersarang ikan dengan harapan tinggi melangit, agar berhasil menyinggah rezeki. Melihat beberapa batang joran yang berceracak di dalam bakul motosikal itu, hati Pak Akob kembali diusik hiba.

“Uda hilang.”

Matanya masih belum lepas dari memandang batang-batang joran tersebut. Dari sinilah datangnya joran yang sebatang miliknya itu menggantikan joran buluh beruas lima yang sudah lama menabur khidmat. Benar sungguh kata orang, sudah dapat gading bertuah, tanduk pun tidak berguna lagi. Pak Akob pun sudah lupa, entah di mana gerangannya joran buluh beruas limanya itu sudah dicampaknya.

“Mari!”

Gesaan Mail singgah di telinga menyedarkan orang tua itu agar perlu bertindak pantas. Payung buruknya dilipat kemudian bertenggek di belakang motosikal Mail untuk mencari bantuan.

‘Anakku masih hilang!’ raung hatinya lagi.

***
Hari itu tiada bezanya dari semalam. Dia kembali ke tebing sungai dengan harapan menggunung tinggi. Duduk beralaskan rumput hijau setelah beberapa kali beralih tempat mencari lubuk yang diyakini tempat ikan bermain. Berjarak beberapa depa darinya, ada anak muda berbaju merah bertopi hitam sedang mengatur joran-joran gentian kaca yang sudah diumpan. Batang-batang joran itu disangga dengan ranting kayu terpacak kukuh ke tanah. Berbanding dengan dirinya, hanya sebatang joran buluh beruas lima di tangan sesekali turut bergegar bahana diterpa pusaran air. Yang mana kerap mengelirukan diri akan sambaran rezeki di mata pancing.

‘Ah! Mudah-mudahan rezeki hari ini lebih baik dari semalam.’ detak hati kecilnya. Sekilas, imbasan wajah-wajah mulus yang berselera menjamah hidangan malam berlaukkan anak-anak ikan sembilang sebesar tiga jari mulai mengacah ingatan. Hatinya terkocak hiba.

Kasihan anak-anak… lauk selalu tidak pernah lebih dari itu. Sesekali dijemput orang ke majlis kenduri kendara, dihadap rezeki yang berlimpah itu dengan bersungguh hati. Seumpama tidak makan berbulan lamanya. Malu segan segalanya ditolak ke tepi. Namun jauh di sudut hati, terbit rasa terkilan kerana dirinya gagal memberi yang terbaik buat keluarga.

Tiba-tiba gegaran di joran buluh mematikan lamunannya. Perlahan-lahan, tangsi bingkas digulung. Sembari hati menyeru-menyeru agar ada sesuatu yang terlekat di hujungnya menggantikan umpan. Merkah senyum di ulas bibir tua itu tatkala melihat seekor lais menggelepar rakus sambil menahan bisa mata kail yang terlekat di muncung.

Mata tuanya yang semakin mengumpul kedut dapat meneka dirinya tentu sedang diintai, mungkin juga sedang dinilai dalam diam oleh pemuda berbaju merah itu namun sedikitpun tidak menjadi kudis baginya.

‘Pandanglah aku. Anak lais sebesar empat jari ini, sudah mampu membuat aku tersenyum senang namun tahukah kau, habuan tidak seberapa itu terlalu bermakna buat diriku sekeluarga?’ ucapnya dalam hati.

‘Lihatlah aku. Lihatlah gumpalan tangsi yang bergulung pada tin kosong ini. Pasti kau tertanya-tanya,masih ada lagikah kaedah seperti itu diguna pakai pada zaman manusia sudah tinggal di angkasa?’ sambung hatinya lagi

Namun kehadiran anak muda tersebut bersama sebatang joran biru di tangan menghairankannya sekaligus mematikan terus kata-kata yang terbit dari dalam hatinya itu. Terpinga-pinga dia memandang bahkan gagal memahami isyarat yang diberikan oleh pemuda bertopi hitam apabila menyorongkan joran biru tersebut ke tangannya.

“Saya ikhlas.”

Sepotong ayat itu bagai meresap jauh ke dalam hati. Joran biru dipandang lama. Mampukah joran itu mendatang rezeki yang lebih kepada dia sekeluarga? Bukankah rezeki terletak pada ketentuan tuhan?

“Cubalah! Mungkin ikannya besar sedikit.”

Hati tuanya akur dengan kata-kata itu. Joran gentian kaca tersebut sudah tentu dapat menyelam ke lubuk ikan paling dalam berbanding joran buluh beruas lima miliknya. Dan umpan cacing hidup di hujung kail tentunya mampu mengundang kehadiran mangsa yang lebih besar berbanding anak-anak lais dan seluang yang sering termakan umpan di mata kail joran buluhnya itu.

Sekilas,gambaran anak-anak bersorak gembira meraikan hasil tangkapan yang luar dari kebiasaan, merekah senyum di bibirnya. Joran biru itu disambut dengan rasa syukur di hati. Tiada kata-kata yang mampu dilontarkan namun pandangan berterima kasih dengan ulas mata yang bergenang air dek keharuan itu semuga dapat dimengerti oleh anak muda berbaju merah. Dan petang tersebut, seperti yang diharapkan, raga buruknya sarat dengan hasil pancingan. Cukup untuk hidangan mereka sekeluarga sehari dua. Dia benar-benar berterima kasih. Sejak itu, joran biru nan sebatang menjadi teman setia…

***
“Akob! Akob!” Tok Empat Zali dan Lebai Dolah tergesa-gesa menghampiri. Di tebing sungai itu,kelihatan cahaya lampu suluh bersilang-silang. Suara memanggil-manggil nama Uda, bergema di sekitarnya. Pak Akob bangun berdiri mengharapkan sebarang berita, baik atau buruk sudah tidak jadi persoalan lagi. Halimah isterinya masih duduk memeluk lutut di bawah pohon ara. Hujan semakin mereda namun airmata isterinya masih lagi mengalir lebat.

“Ada jumpa, lebai?” melihat gelengan kepala lebai berkopiah putih tersebut, ngongoi Halimah semakin berlagu kencang.

‘Uda, di mana kau nak?’ hati Pak Akob menjerit lagi.

“Kita kena panggil penyelamat. Air deras sangat. Kita tak cukup alat,” saran Tok Empat Zali pula.

Pak Akob hanya mampu mengangguk tatkala mendengar usul lelaki berbadan gempal itu. Dia menyerahkan semuanya kepada budi bicara penduduk kampung. Pertolongan mereka sangat-sangat diharapkan. Orang tua hanya mampu memandang orang-orang kampung berkumpul setempat sebelum kedengaran suara tok empat mengarahkan salah seorang darinya membuat panggilan kecemasan. Namun tiba-tiba…

“Nanti!”

Mail anak arwah Busu Deris melaung dari atas denai. Motosikalnya tidak sempat ditongkat. Anak muda itu turun menggelongsor ke tebing mendapatkan orang kampung yang sedang berkumpul di situ. Kelihatannya pemuda itu sudah pulang ke rumah kerana pakaiannya sudahpun bertukar. Masing-masing jelas terpinga-pinga.

“Kita cari di lombong tinggal!” arahnya.

“Mail?” serak suara Pak Akob memohon kepastian.

“Percayalah. Nanti saya cerita.”

***
‘Anakku sudah tiada.’ detak hati kecilnya.

Anak itu sudah pergi meninggalkan mereka sekeluarga yang akan meneruskan hidup dalam keadaan serba kekurangan. Tiada lagi kelibat Uda di dalam rumah usang ini. Tidak akan ada lagi suara tawanya mengusik Acik dan Usu. Pasti Kak long juga tidak boleh lagi menyuruhnya mengangkut air di perigi. Angah pula sudah tiada teman bermain gasing atau layang-layang tatkala angin deras bertiup kencang.

Hati tuanya bergalau dengan rasa rindu yang mencengkam. Uda anaknya yang paling cergas tidak terbanding dengan usia sembilan tahun. Abangnya pun bukan tandingan sementelah lagi Angah mengidap lelah semenjak dari kecil. Walaupun tubuhnya rincing kurus, pergerakannya agak tangkas dan ringan tulang. Anak itulah yang sering menemaninya ke baruh bertanam pisang. Kadang-kadang menjadi kawan bersenda ketika menorah getah. Uda juga selalu menemankannya berjam-jam di tebing sungai memancing ikan.

‘Kasihan anakku.’

Hati tuanya merintih lagi apabila terbayangkan Uda di saat-saat terakhir hayatnya. Pasti bertarung habis-habisan untuk menyedut udara yang semakin menipis di dadanya. Mungkinkah anakku itu terbayangkan kami semua? Mungkinkah saat itu Uda sudah dapat melihat bayangan syurga yang menantinya? Hatinya tidak habis-habis berbicara.

Mana mungkin dia dapat melupakan tatkala jasad kecil yang sudah membengkak diangkat ke tebing lombong tinggal. Halimah sudah meraung-raung berteriak nama anak itu. Mujurlah ada jiran-jiran yang berusaha menenangkan. Kakinya sendiri sudah tidak dapat berdiri sempurna. Gigilannya masih terasa-rasa hingga ke saat ini.

Mail membuka cerita lara. Ketika pulang ke rumah seketika untuk melunaskan hajat, dia terpempam melihat joran biru nan sebatang itu tersangkut kembali di dinding rumahnya. Akibat diasak rasa hairan yang bukan sedikit, Malek adik si adik bongsu dicari bagi mendapatkan penjelasan. Melotot mata pemuda itu apabila dikhabarkan Uda tergelincir ke dalam lombong tatkala merebut joran biru dari tangan Malek yang tersalah menebak. Sangkanya anak Pak Akob itu berhasil mendapatkan joran biru tersebut dengan cara tidak halal. Walaupun Uda sudah berkali-kali menafikan joran itu dicuri, Malek tetap dengan pendiriannya. Di saat melihat Uda terkapai-kapai di dalam air, Malek dan dua rakan yang lain lintang pukang pulang ke rumah dengan mengunci mulut.

Hati tuanya terhiris lagi sebaik sahaja bola matanya singgah ke joran biru nan sebatang yang tersandar di tangga.

‘Joran itu menjadi penyebab kematian anakku!’ jerit hati kecilnya.

‘Bagaimana mungkin joran yang pernah meraih rezeki yang banyak itu menjadi sebab kematian?’ hatinya berbolak balik sendiri.

‘Kalau bukan kerana joran biru itu, pasti Uda masih hidup,’ protesnya dalam hati.

‘Bukan begitu! Joran itu tiada daya. Hidup dan mati manusia, ketentuan tuhan yang tidak boleh diubah sesiapa,’ bangkang hatinya terus.

***
Pak Akob kembali ke tebing sungai yang mengalir lesu. Beralaskan rumput menghijau dan berlatarkan langit membiru, tali tangsi perlahan-lahan dijatuhkan ke air. Hari ini, seperti juga hari-hari kelmarin yang telah berlalu tiada bezanya bagi orang tua itu. Dia tetap juga mengharapkan raga buruknya menjadi tempat ikan menyinggah untuk santapan mereka sekeluarga.

Joran buluh beruas lima erat dalam genggaman. Dalam hatinya sudah dipasang ikrar, joran itu akan tetap berada di sisinya sampai bila-bila. Tiada lagi joran biru. Tiada lagi joran nan sebatang itu. Segala-galanya yang mengingatkan dia dengan kesedihan, ingin dilontar jauh-jauh. Biarlah ingatannya terhadap Uda hanya yang manis-manis sahaja. Senyum Uda, tawa Uda, gurau senda Uda dan canda Uda.

Joran nan sebatang itu akan membuatkan dia terkenang lambaian terakhir Uda, kesakitan Uda, penderitaan Uda dan wajah terakhir dari Uda sebelum liang dikambus.

“Uda, ayah rindu.”

TAMAT

KEJAM, INI CINTAKU YANG PERTAMA! – AZRINA NUR RUSLY

Posted on

“TENGGELAM dalam kesayuan ku seorang
Biarpun dulu berjanji bersama
Ucap rayuanmu kau putarkan
Sehingga kini masih kupercaya
Rindu dan dendam menjadi pegangan
Tak mungkin kulepaskan
Biarpun terluka dalam dada
Kata-katamu menghiris hatiku
Di dalam sendu
Aku tatapi potret-potret wajahmu
Hingga kuterbayang kenangan bersamamu
Di saat-saat bahagia
Kau kejam dan …”

Belum sempat Datul menghabiskan nyanyian sumbangnya, mikrofon yang berada di tangannya dirampas oleh Puan Zaleha. Serentak itu, set karaoke yang sedang ligat bekerja turut terpadam. Merah padam wajah Puan Zaleha menahan amarah. Sakit telinganya mendengar Datul terjerit-jerit berkaraoke di ruang tamu rumah teres setingkat itu. Kalaulah ada bilik kedap bunyi di rumah peninggalan arwah suaminya itu, teringin juga Puan Zaleha menyembunyikan dirinya di situ.

“Apa ni ma? Datul tak habis nyanyi lagi!” Geram Datul apabila Puan Zaleha merampas mikrofonnya ketika dia sedang seronok menyanyi. Baharu masuk bahagian korus pula itu. Bahagian yang paling Datul suka sekali, yang mencabar kekuatan vokalnya. Hehehe… Berangan sekejap Datul menjadi seorang penyanyi.

“Banyaklah kamu punya tak habis nyanyi. Dah berpuluh buah lagu dah kamu melalak, masih tak puas-puas lagi?” Sambil melilitkan wayar ke badan mikrofon, sempat lagi Puan Zaleha bersoaljawab dengan anak gadisnya yang tampak tidak berpuashati dengan tindakannya itu. Sudah hampir dua jam menyanyi, masih belum puas lagi anak gadisnya itu. Memang bertuah punya anak.

“Ala… Bukannya selalu pun ma. Hujung minggu aje nak rehat-rehatkan minda. Haaaa… Masa ni la nak ‘release tension’, nyanyi-nyanyi, barulah berbaloi-baloi cuti hujung minggu.” Datul membuat gaya seperti iklan di televisyen pula sambil membalas kata-kata Puan Zaleha.

“Amboiii… Kamu tahu kamu punya berbaloi ajelah ye? Habis mama ni tak tahu nak bercuti ke? Penat gegendang telinga mama ni bekerja hari ni kamu tahu tak?”

“Apasal pulak gegendang telinga mama penat?” Aduhai… Apalah malang nasib Puan Zaleha mendapat anak yang loyar buruk sebegini. Ini sudah tentu akibat suka sangat menonton rancangan hiburan lawak jenaka yang banyak disiarkan di televisyen dewasa ini. Jika tidak pun, mungkin diwarisi daripada Puan Zaleha sendiri.

“Yelah, penat dengar kamu menyanyi. Kalau sedap tak apalah, ini tidak, bukan main sumbang lagi! Datul… Datul… Kamu tolong mama berkemas pun lagi bagus daripada kamu melalak tak tentu arah ni.” Jangan harap Datul boleh menang apabila berloyar buruk dengan Puan Jamilah. Jangan tidak tahu, Puan Jamilah itu dahulu lebih hebat lagi loyar buruknya. Jika tidak, masakan arwah suaminya dahulu boleh terpikat kepadanya. Disebabkan dirinya yang suka berjenaka dan tidak mudah ambil hati dengan kata-kata oranglah yang membuatkan arwah suaminya yang memang terkenal dengan sikap seriusnya itu jatuh cinta kepadanya.

“Mama ni… Esok dah nak kena kerja, hari ni bagi peluang la Datul rehat-rehat.” Mimik muka kasihan dipamerkan oleh Datul. Itu tidak lain dan tidak bukan, hendak memancing simpati Puan Zalehalah itu. Anak manjalah katakan.

“Susah bercakap dengan kamu ni, Datul. Esok, bila kamu dah ada anak sendiri, tahulah nasib kamu!” Sebenarnya, Puan Zaleha bukanlah serius sangat dengan kata-katanya itu tadi. Bukan ada apa pun yang perlu dikemaskan lagi. Semuanya sudah Puan Zaleha bereskan, dari mengemas rumah, hinggalah hal masak-memasak. Lagi pun Puan Zaleha bukannya bekerja. Duit pencen arwah suaminya sebagai bekas tentera cukup untuk perbelanjaannya dua beranak. Malahan Datul juga ada menghulurkan sebahagian dari wang gajinya untuk perbelanjaan rumah.

Naik malas Puan Zaleha mahu bercakap lagi dengan anak tunggalnya itu. Umurnya sudah menginjak dua puluh lapan tahun, tetapi perangai manjanya mengalahkan remaja belasan tahun. Tahunya hendak berhibur sahaja. Namun, mujur juga Datul hendak juga bekerja sebaik habis belajar. Buatnya, bekerja pun dia tidak mahu, lagi pening kepala Puan Zaleha. Akhirnya Puan Zaleha berlalu ke dapur. Buat cekodok bilis lagi bagus dari melayan perangai loyar buruk anak gadisnya itu, fikirnya. Kenyang juga perut di waktu petang-petang redup begini.

**********
CEKODOK yang masih panas di dalam piring, dicapainya seketul lalu segera dibawa ke mulut. Sebelum digigit, sempat juga Datul meniup-niup dahulu untuk menyejukkan cekodok itu. Kalau masih panas itu terus sahaja dikunyah, mahu melecur lidahnya nanti. Kalau sudah melecur, siapa yang susah kalau bukan dirinya sendiri. Dan sudah tentu susah dia hendak makan masakan mamanya yang sedap-sedap nanti.

“Datul… Mama tanya kamu sikit, boleh?” Datul mengangkat muka memandang wajah mamanya. Lain macam sahaja riak mamanya, seperti ada perkara penting yang hendak ditanyakan.

“Apa dia ma?”

“Kamu tu, dah ada calon ke belum?” Haishh… Hal jodoh lagi rupanya. Mati-mati Datul ingatkan mamanya ada masalah negara yang besar hendak dibincangkan. Bosan pula asyik subjek yang sama sahaja dibangkitkan. Tetapi subjek yang membosankan itulah yang menjadi subjek kesukaan mamanya. Apa yang boleh Datul lakukan lagi selain melayan sahaja. Itulah satu-satunya mama yang Datul ada. Tiada dua, tiada tiga kerana tidak pernah pula Datul mendengar arwah papanya ada mempunyai isteri lain semasa hayatnya dahulu.

“Calon apa ma?” Sengaja Datul buat-buat tidak tahu. Padahal di dalam kepalanya sudah berkira-kira hendak mengenakan mamanya. Hah! Mamanya kalau sudah terkena, pasti akan senyap sendiri.

“Calon suamilah, takkan ayah tiri pulak!” Datul perasan riak wajah mamanya sedikit berubah. Tentu mamanya panas hati apabila soalannya dijawab dengan soalan juga oleh Datul.

“Calon suami tu tak adalah ma, kalau mama nak calon ayah tiri, memang ada yang Datul berkenan dah ma.” Hah! Hajat hendak mengenakan si Datul, akhirnya Puan Zaleha sendiri yang terkena. Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Tersengih Datul memandang wajah cemberut mamanya itu.

Datul menuangkan air kopi ke dalam cawan. Asap nipis yang terbit dari air kopi yang masih panas itu mengeluarkan aroma yang sangat wangi. Kopi jenama apalah yang mamanya gunakan agaknya, punya rasa yang sedap dan bau yang sangat wangi. Jangan-jangan mama gunakan kopi cap Kapal Api, sekali minum, boleh lepas sampai ke bulan tanpa perlu menaiki roket. Tersengih-sengih Datul mengingatkan iklan itu yang pernah disiarkan di televisyen satu ketika dahulu.

“Haaa… Yang kamu tersengih-sengih ni kenapa pulak Datul? Ingatkan calon suami ke?” Cawan berisi air kopi yang dihulurkan oleh Datul segera diambil oleh Puan Zaleha, lalu diletakkan di hadapannya. Matanya masih tidak lepas dari wajah anak gadisnya itu. Cantik. Anak gadisnya itu berkulit putih, seperti arwah suaminya dahulu. Rambutnya ikal mayang dan bermata bundar. Mustahil tiada lelaki yang tidak terpikat dengan anak gadisnya itu.

“Hishhh mama ni. Datul mana ada masa nak fikir pasal calon suami! Dah la ma, tak nak cerita pasal tu lagi. Ada jodoh nanti, kawin la Datul. Mama janganlah risau.” Melihatkan reaksi anak gadisnya yang seakan tidak senang dengan topik yang dibincangkan, Puan Zaleha tidak lagi meneruskan perbualan. Cawan yang berada di hadapannya dibawa ke mulut. Diminum beberapa teguk isinya sebelum diletakkan semula ke atas meja.

Diperhatikan wajah anak gadisnya yang leka menyuap cekodok ke dalam mulut. Nampak berselera sungguh. Puan Zaleha memang bersyukur dengan sikap anak gadisnya yang tidak memilih makanan. Apa sahaja yang dimasak oleh Puan Zaleha, semuanya sedap bagi Datul. Cuma satu perkara itu sahaja yang Puan Zaleha terkilankan. Tentang jodoh anak gadisnya itu.

Susah sungguh hendak berbincang tentang jodoh dengan Datul. Puan Zaleha tahu, pasti ada sesuatu yang disembunyikan oleh Datul daripadanya. Entah-entah anak gadisnya itu sudah punya teman lelaki namun dirahsiakan daripadanya. Atau barangkali Datul menunggu seseorang yang dirasakannya sangat istimewa dalam hidupnya.

**********
DATUL berbaring-baring di atas tilam di dalam biliknya. Usai makan malam tadi, Datul sudah meminta izin Puan Zaleha hendak masuk tidur lebih awal. Alasannya, takut tidak tersedar pagi nanti. Maklumlah, sudah dua hari bercuti. Bimbang juga jika otak masih memikirkan esok juga adalah hari cuti. Alamatnya, cuti kecemasanlah Datul nanti.

Suram suasana di bilik Datul. Hanya diterangi sedikit imbasan cahaya lampu jalan yang mencuri-curi masuk melalui cermin tingkap yang terselak langsirnya. Sungguh, ia tidak langsung mampu membantu Datul melelapkan matanya malam ini. Perbualan dengan mamanya petang tadi, kembali berlegar-legar di fikirannya.

Sudah acapkali Datul mengelak setiap kali mamanya mula menyentuh tentang isu jodoh. Bukan Datul tidak mahu berumahtangga, memberikan cucu kepada mamanya, namun sudah tersurat jodohnya lambat sampai. Datul redha dengan ketentuan Ilahi. Lagi pun tiada sesiapa dapat menggantikan tempat tertinggi di dalam hati Datul yang telah terlebih dahulu dipenuhi oleh satu nama yang pemiliknya sudah lama tidak Datul temui.

Datul mengeluarkan sebuah album lama dari dalam laci meja soleknya. Diselak helaian demi helaian. Bibirnya mengukir senyum melihat gambar-gambar dirinya bersama rakan-rakan sekolah yang dirakamkan ketika sambutan majlis Hari Guru. Ketika itu, Datul dan Fazli mengambil bahagian dalam satu persembahan bersama. Wajah Fazli yang sedang tersenyum manis di dalam gambar direnung lama. Tanpa sedar, fikirannya menerawang ke masa silam. Kembali ke zaman persekolahan yang sudah bertahun-tahun ditinggalkan.

***********
“DATUL… Datul…” Datul segera menoleh ke arah suara yang memanggil. Suara yang sangat dikenalinya. Entah apa lagilah yang dikehendaki oleh budak lelaki seorang ini daripadanya. Semenjak mereka membuat persembahan bersama ketika sambutan Hari Guru, tidak habis-habis Fazli mengekorinya. Naik rimas Datul hendak melayannya. Ada-ada sahaja yang hendak ditanya. Ada-ada sahaja yang hendak dicerita. Kadang-kadang cerita yang tiada kaitan dengan diri Datul pun, heboh budak lelaki seorang ini hendak berkongsi.

“Apa benda? Lecehlah kau ni Fazli. Asyik nak berkepit dengan aku aje. Cuba kau pergi campur dengan Tajul ke, dengan si Napi tu ke. Ini tidak, mana aku pergi, kat situ jugak kau nak pergi.”

“Ala Datul. Aku suka kawan dengan kau. Kau baik, tak macam diorang tu. Diorang tu suka buli aku.”

“Buat fitnah saja kerja kau ni Fazli. Tak pernah pun aku nampak diorang buli kau!”

“Memanglah kau tak pernah nampak, Datul. Depan kau, diorang tunjuk baik. Belakang kau, diorang buli aku.”

“Dahlah. Apa benda yang kau nak cerita pula kali ni? Cepat, telinga aku dah bersedia nak dengar ni.”

“Aku malulah nak cakap…”

“Kalau malu, tak payah cakap!”

“Tapi…” Belum sempat Fazli menghabiskan kata, Datul sudah berlari meninggalkannya sendirian di situ. Fazli hanya mampu memandang langkah gadis itu dengan pandangan penuh sayu.

“Bye!!” Tanpa sedar, laungan selamat tinggal yang kedengaran dari kejauhan itulah rupanya yang menjadi kalimah terakhir Datul buat Fazli.

***********
“KORANG ada nampak Fazli tak?” Meluncur juga pertanyaan itu daripada mulut Datul akhirnya. Puas juga Datul menahan gejolak rasa ingin tahu yang berpusaran di dalam fikirannya. Semenjak masuk ke dalam kawasan sekolah, jangankan bayang, malahan kelibat Fazli pun langsung tidak kelihatan. Sakitkah dia? Atau ada apa-apa perkara burukkah yang terjadi kepadanya? Selalunya ada sahaja budak lelaki yang seorang itu di sekitarnya.

“Kau tak tahu ke Datul? Atau… Kau saja buat-buat tak tahu?” Soalan yang ditanya, soalan pula yang diberi sebagai jawapan. Pelik bercampur geram dirasakan oleh Datul. Betullah si Napi ini kurang berfikir. Jika Datul tahu, tidak perlu ditanya lagi soalan itu kepada mereka.

“Kalau aku tahu, apa gunanya aku bersusah-payah mengeluarkan suara aku yang lemak merdu ni bertanya kat korang? Jadi, eloklah kiranya tuan hamba menerangkan kepada hamba hal yang sebenarnya.” Hah! Sudah keluar loyar buruk gadis genit seorang ini. Bahasa pertuturan sewaktu di Zaman Kesultanan Melaka pula yang digunakannya. Itu sudah pasti Datul sudah mula masuk mood gila-gilanya. Namun, mood gila-gilanya itu terpadam terus setelah mendengar kenyataan yang dibentangkan oleh Napi di hadapannya.

“Fazli dah pindah. Minggu lepas tu minggu terakhir dia sekolah di sini. Ayah dia ditukarkan ke Kedah. Semua orang dah tahu!”

“Dia tak cakap dengan aku pun.” Lemah suara Datul. Lain sungguh perasaannya mendengar baris ayat yang keluar daripada mulut Napi. Tanpa kata, Datul berlalu meninggalkan Napi, berlalu membawa hatinya yang tercalar.

‘Fazli… Kenapa kau pergi tak beritahu aku? Kenapa mesti aku orang yang terakhir tahu berita sedih ni?’

Bunyi ketukan di pintu bilik berselang-seli dengan suara Puan Zaleha, menerbangkan kenangan Datul ketika zaman persekolahan dahulu. Entah apa lagi yang mamanya itu mahukan daripadanya. Jika hendak berbicara soal jodoh, sudah jelas terang lagi bersuluh Datul tidak berminat. Malas-malas Datul turun dari katil. Pintu bilik yang berkunci dibuka selaknya. Terjengul wajah mamanya di muka pintu bersama sekeping surat.

“Ini surat kamu. Rabu lepas mama terima tapi maaflah, mama terlupa nak beri pada kamu.”

“Rabu lepas? Lama dah tu ma.”

“Alah, tak lama manalah. Hari ni baru Ahad. Bukalah. Mama teringin juga nak tahu isinya.”

“Esok ajelah Datul buka surat ni ma. Datul ngantuk ni, nak tidur dulu. Esok Datul ada kursus motivasi, kena pergi awal.”

Datul hanya memandang langkah Puan Zaleha yang makin lama makin jauh meninggalkan dirinya terkulat-kulat di muka pintu. Rasa bersalah menerjah hatinya. Sedar mamanya itu terasa hati dengan jawapannya tadi. Hai Datul, berdosa jika seorang anak menyakitkan hati ibunya. Apatah lagi jika sampai mengalir airmata si ibu. Surat di tangan dipandang lagi. Tiada keinginan langsung hatinya untuk melihat isi surat itu ketika ini namun digagahi juga untuk membukanya. Ternyata tiada apa yang menarik berkenaan surat itu.

Datul kembali ke katil. Tubuh direbahkan di atas tilam. Dengan tangan disilangkan di atas dahi, terbayang lagi wajah mamanya sebentar tadi. Rasa bersalah semakin kuat terasa. Akhirnya, Datul bangun mendapatkan mamanya. Lebih baik memohon kemaafan mamanya dahulu sebelum tidur. Jika tidak, andainya dia tidur malam ini dan tidak bangun-bangun lagi buat selamanya, dosa menyakitkan hati mamanya akan dibawa bersama hingga ke hari kebangkitan semula.

**********
DEWAN yang menempatkan peserta kursus motivasi kecemerlangan disertai oleh Datul masih belum lagi dipenuhi oleh para peserta. Masih banyak lagi kerusi yang kosong termasuklah yang berada di sebelah tempat duduk Datul. Sambil menunggu peserta memenuhi dewan, Datul sempat melemparkan pandangan ke seluruh pelusuk dewan. Tiba-tiba matanya tertancap pada seorang peserta lelaki yang baharu sahaja memboloskan diri di pintu.

‘Wow, kacaknya dia tapi wajahnya macam pernah nampaklah!’

Datul segera mengalihkan pandangannya apabila menyedari lelaki tersebut memandang ke arahnya sambil melemparkan senyum. Secara automatik, jemarinya membetul-betulkan rambutnya yang sudah siap sedia kemas itu. Itulah sikap Datul yang tidak pernah berubah semenjak sekolah hingga kini.

Datul menumpukan pandangannya pada papan putih yang terdapat di hadapan dewan. Namun begitu, hanya pandangannya sahaja di situ, tidak fikirannya. Datul masih lagi terfikirkan lelaki tadi. Ulas senyumnya seperti pernah dilihat sebelum ini tetapi tidak dapat Datul pastikan di mana.

Bunyi derap tapak kasut yang semakin mendekat menambahkan debar di dadanya. Haish… janganlah lelaki kacak itu duduk di sebelah Datul. Jika ya, tentu tidak keruan Datul jadinya nanti. Sudahlah hati bergetar terpandangkan raut wajah lelaki itu yang cukup kacak dirasakannya. Apatah lagi dengan senyumannya yang cukup manis. Argh! Datul sudah terpikat.

“Hai… Ada orang duduk di sini?”

“Ermm… Ha.. Hai… Tak.. Tak ada.” Haish Datul, kenapa pula tiba-tiba sahaja menjadi gagap. Janganlah menjatuhkan saham sendiri, bentak hatinya.

“Kalau macam tu, boleh saya duduk di sini?”

“Boleh! Boleh! Silakan.”

“Saya Fazli. Cik?” Namanya sama seperti pemilik cinta yang ada di dalam hati Datul. Diakah orangnya? Kalau benar dia, Datul adalah orang yang paling gembira. Bertemu cinta pertamanya semula.

“Saya Datul, Syaidatul Akmal”

“Syaidatul Akmal? Dulu sekolah di Seri Mahkota?” Datul memandang tepat ke wajah lelaki yang duduk di sebelahnya itu. Lelaki itu juga tahu dia bersekolah di Seri Mahkota. Diakah?

“Ya, kenapa?”

“Awak tak ingat saya lagi?” Datul mengamati wajah Fazli. Tahi lalat yang berada di sudut bibir lelaki itu mengingatkan Datul kepada Fazli yang sama bersekolah dengannya di Seri Mahkota dahulu. Mungkinkah lelaki yang berada di sebelahnya ini adalah Fazli yang itu?

“Jangan kata awak Fazli Skema yang selalu kena buli dengan Napi tu…” Melihat senyuman Fazli, sahlah jangkaannya betul. Patutlah hatinya berdebar tatkala pandangan mata mereka bertaut.

“Haaaa… Betullah tu. Sayalah Fazli yang selalu kena buli tu. How’s life? Sudah berpunya?” Gembira Fazli apabila Datul dapat mengingatinya semula. Harap-harap jawapan pada persoalannya nanti adalah sesuatu yang menggembirakan.

“Siapalah yang sudi nak berkawan dengan saya ni awak…” Bertambah mekar senyum Fazli. Ada peluang untuknya mengisi ruang kosong di hati gadis itu, fikirnya. Namun, dia tidak menyedari yang ruang kosong itu sudah lama diisinya.

‘Kalaulah awak tahu Fazli yang sesungguhnya dalam hati saya ini hanya ada nama awak sahaja dari dahulu hinggalah sekarang. Tidak pernah sedetik pun saya melupakan awak, melupakan kenangan sewaktu kita bersama di alam persekolahan kita. Kalaulah awak tahu betapa hati saya merintih kehilangan awak dahulu.’ Namun kata-kata itu hanya mampu terluah di dalam hati Datul sahaja.

“Jadi awak masih kosonglah ni?” Di dalam hati Fazli sudah rasa kegembiraan yang tiada tolok bandingnya. Ternyata tidak sia-sia dia menolak segala cinta yang dihulurkan kepadanya semenjak berpisah dengan Datul. Begitu juga dengan calon yang dicadangkan oleh kedua orangtuanya. Semuanya ditolak gara-gara di dalam hatinya hanya ada cinta untuk Datul sahaja.

“A’ah. Awak pula?”

“Oh! Saya bahagia sekarang. Cuba awak tengok ni… Comel tak?” Sekeping gambar kanak-kanak lelaki yang berada di atas dukungan sambil memaut erat lehernya dari belakang yang ditunjukkan kepada Datul. Gambar yang diambil ketika dia melawat abang sulungnya sekeluarga yang tinggal di luar negara tahun lalu. Itulah kebahagiaannya selain kenangan bersama Datul dahulu. Nampaknya tidak sia-sia dia menunjukkan gambar itu. Perubahan riak wajah Datul menampakkan ada sesuatu. Adakah Datul kecewa?

“Comel. Tahniah sebab dah menjadi seorang bapa.” Senyuman yang terbit di ulas bibir Fazli umpama belati yang menghiris lumat hati Datul. Sungguh Datul kecewa. Riak wajah Fazli menggambarkan kebahagiaan yang kini sedang dikecapinya. Berlainan dengan Datul yang masih lagi belum mampu membuka hatinya untuk didiami oleh insan lain.

“Eh, ini bukan anak saya la. Ini Pejal, anak abang saya. Dia memang mesra dengan saya, maklumlah, saya ni seorang aje Pak Usunya yang masih bujang.” Sebelah kening Fazli yang sengaja dijungkitkan bersama senyuman yang terukir mendebarkan dada Datul. Ketara sangatkah riak kecewa di wajahnya tadi? Ah! Malunya.

Perbualan mereka terhenti ketika penceramah memulakan sesinya. Seluruh perhatian ditumpukan kepada penceramah di hadapan dewan hingga usai kursus tersebut dijalankan. Dan keduanya terpaksa berpisah lagi namun pertemuan mereka tidak berakhir di situ sahaja. Pertemuan demi pertemuan berlanjutan hingga akhirnya dua jiwa yang punya satu rasa yang sama tenggelam dalam hangatnya gelora cinta.

**********
“MA, kalau Datul cakap sesuatu mama jangan marah ye?” Puas sudah Datul berfikir bagaimana cara hendak bercerita dengan mamanya tentang permintaan Fazli siang tadi. Rasa seperti terlalu tergesa-gesa sedangkan mereka baharu sahaja bertemu beberapa minggu bertemu semula.

“Cakaplah, tapi mama tak dapat janji tak marah. Kalau perkara tu tak elok, terpaksalah mama marah juga.” Bimbang juga jika tiba-tiba anak gadisnya itu mengaku ada melakukan perbuatan yang melanggar hukum agama pula. Jika ada, tidak mungkin Puan Zaleha akan mendiamkan sahaja. Walaupun dia tidak terlalu menekankan aspek agama terhadap anak gadisnya itu, namun untuk membiarkan Datul melakukan sesuatu yang di luar batasan, tidak baginya.

“Yelah. Sebenarnya ma, baru-baru ni Datul terjumpa semula kawan lama Datul masa sekolah dulu.” Wajah mamanya kelihatan serius. Takut pula Datul hendak meneruskan ceritanya.

“Jadi?” Puan Zaleha menyampuk apabila dilihatnya Datul terdiam.

“Dulu dia ada nak cakap sesuatu dengan Datul tapi Datul tak mahu dengar. Lepas tu dia pindah.”

“Habis tu?” Hairan pula Puan Zaleha melihat cara Datul bercerita kali ini. Terhenti-henti. Tidak seperti selalu. Biasanya setiap kali bercerita, lancar sahaja mulutnya berkata-kata.

“Rupa-rupanya dulu dia nak cakap yang dia sukakan Datul.” Ceria wajah Datul apabila menyebut perkataan ‘suka’ itu.

“Datul pula macam mana?” Puan Zaleha dapat mengagak anak gadisnya turut menyukai lelaki itu. Dari riak wajahnya yang ceria, Puan Zaleha sudah dapat meneka. Puan Zaleha lebih dahulu makan garam, sekilas ikan di air, sudah dapat dikesan yang mana jantan dan yang mana betina.

“Datul pun sukakan dia. Masa sekolah tu Datul rimas dengan dia, tapi lepas dapat tahu dia pindah, baru Datul rasa kehilangan.” Ukiran senyum terbit di bibir Puan Zaleha mendengar kata-kata Datul. Tidak lama lagi bermenantulah Puan Zaleha. Sudah lama sangat Puan Zaleha teringin bercucu.

“Jadi, apa masalahnya? Dia dah kawin? Atau Datul dah suka orang lain?”

“Tak la ma. Datul hanya suka dia dari dulu sampai sekarang. Ini cinta pertama Datul ni ma.”

“Eloklah tu. Apa pula yang jadi masalahnya?”

“Masalahnya, kami baru aje terjumpa setelah bertahun-tahun terpisah. Datul memang betul-betul cintakan dia, dan dia pun nampaknya macam betul-betul cintakan Datul tapi Datul tak pasti ma. Datul tak tahu betul ke tidak dia cintakan Datul, nak hidup bersama Datul, dapat menjaga dan melindungi Datul sampai akhir hayat. Datul tak dapat nak buat keputusan. Ma… Dia ajak Datul kawin!” Betul sangkaan Puan Zaleha. Gembira sungguh mendengar kata-kata Datul. Dipeluk erat anak gadisnya itu seketika.

“Datul buatlah keputusan mengikut kata hati Datul, cuma satu aje mama nak pesan.”

“Apa dia ma?”

“Sebelum Datul buat keputusan, Datul minta dulu petunjuk Allah. Buat solat istikharah beberapa kali. Insyaallah, jika kita betul-betul memohon kepadaNya untuk menunjukkan kepada kita pilihan yang terbaik untuk kita, Dia tak akan menghampakan kita.”

“Baiklah ma, nanti Datul buat.”

“Tapi mama harap dapat dengar keputusan yang baik la. Hehe… Mama dah lama teringin nak main-main dengan cucu.” Ucapan bernada gurauan tetapi mempunyai maksud yang benar-benar penuh harapan diluahkan oleh Puan Zaleha.

“Ma…” Merona merah wajah Datul diusik mamanya. Belum apa-apa sudah menyebut tentang bermain dengan cucu mamanya yang seorang ini. Terasa malu pula Datul.

**********
“YA ALLAH, pemilik seluruh alam dan sekalian isinya, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui akan apa yang tidak aku ketahui dan sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui akan setiap sesuatu yang ghaib.

Ya Allah, tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, aku bermohon padaMu, ampunkanlah segala dosaku, kedua ibubapaku, kaum keluargaku dan seluruh umat Islam di seluruh dunia sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.

Ya Allah, tuhan yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui, aku memohon kepadamu, sekiranya lelaki bernama Fazli ini adalah tercipta sebagai jodoh yang baik untukku, untuk agamaku, kehidupanku dan akibat persoalanku, baik di masa kini atau di masa akan datang, maka berikanlah aku petunjuknya dan permudahkanlah aku membuat keputusan serta kurniakanlah keberkatan kepadaku dalam menempuh kehidupan bersamanya. Tetapi sekiranya lelaki bernama Fazli ini bukan tercipta sebagai jodoh yang baik untukku, untuk agamaku, kehidupan dan akibat persoalanku, baik di masa kini atau masa akan datang, maka palingkanlah dia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya, lalu takdirkanlah yang baik-baik sahaja untukku di mana sahaja adanya, kemudian kurniakanlah keredhaanMu padaku dengan apa-apa yang baik itu.”

Usai berdoa, Datul merebahkan diri di atas katil. Sudah tiga malam Datul melakukan solat Istikharah seperti yang disarankan oleh Puan Zaleha kepadanya lewat perbualan minggu lepas. Dan sudah dua kali dia didatangi mimpi kehadiran seorang lelaki yang berpotongan seperti Fazli. Mungkinkah benar Fazli adalah jodoh yang telah ditetapkan kepadanya? Datul ingin melihat pula petunjuk yang akan diberi sekiranya ada untuk permintaan kali ketiganya ini kepada Allah. Jika petunjuk yang sama, maka Datul akan membuat keputusan yang menggembirakan semua orang.

**********
“AWAK, kalau benar awak ikhlas hendak memperisterikan saya, bawalah keluarga awak jumpa mama saya. Jika mama saya merestui, saya akan terima lamaran awak.” Datul tertunduk seusai menghabiskan kata-kata yang membuatkan dia bertemu Fazli hari ini. Terasa ringan kepalanya selepas berjaya meluahkannya.

“Betul ni? Awak tak main-main dengan saya?” Masih lagi Fazli seperti tidak percaya. Benarkah apa yang baharu sahaja menerobos pendengarannya sebentar tadi? Jika benar, sejuta syukur dipanjatkan kepada Ilahi.

“Saya serius ni. Memanglah saya ni gila-gila sikit, tapi tentang hidup, saya tak akan main-main.”

“Syukur kepada Allah! Terima kasih, sayang. Betullah petunjuk yang saya dapat lepas lakukan solat istikharah. Memang awak yang ditakdirkan sebagai jodoh saya.” Fazli meraup wajahnya berkali-kali. Dia benar-benar gembira.

“Awak pun buat solat istikharah juga?” Datul seperti tidak percaya lelaki itu juga sepertinya, melakukan solat istikharah untuk memohon petunjuk. Mungkin benar jodoh mereka ditakdirkan untuk bersama.

“Iyelah sayang, awak ingat persoalan masa depan saya, saya nak buat main-main aje? Hehe.. Hujung minggu nanti, saya bawa keluarga saya jumpa mama awak ye, sayang. Tak sabar saya nak jumpa bakal mertua. Lagi tak sabar nak miliki anak bakal mak mertua saya tu.” Berkerut wajah Fazli apabila secara spontan jemari Datul sudah hinggap di lengannya bersama sebuah cubitan yang dihadiahkan oleh gadis itu.

“Isk, gatal!” Cemberut wajah Datul namun dia sedikit termalu apabila teringatkan tindakan spontannya mencubit Fazli. Mujur juga Fazli memakai kemeja berlengan panjang, maka tidak tersentuh kulit mereka.

**********
SEAWAL pagi Puan Zaleha sudah membuat persiapan untuk menyambut kehadiran tetamu istimewa. Abang sulungnya yang tinggal di kampung sejak semalam sudah tiba di rumahnya. Walaupun keluarga Fazli datang sekadar untuk merisik dan bertanya sahaja, Puan Zaleha mengharapkan bantuan abang sulungnya itu untuk mewakili dirinya dan Datul. Jika arwah suaminya masih hidup, tidak perlulah Puan Zaleha menyusahkan abang sulungnya itu.

Tetamu dijangka sampai ketika waktu makan tengahari nanti. Pagi-pagi lagi Datul sudah dikerah ke pasar membeli barangan basah untuk dijadikan juadah makan tengahari. Hari ini Puan Zaleha hendak menyediakan masakan kampung. Masak lemak cili api daging bersama kentang, ayam masak merah, kerabu mangga, sayur kangkung goreng belacan dan ulam-ulaman. Biar terbuka selera tetamunya nanti. Datul juga dikerah memasak bersamanya sebagai latihan. Mudah-mudahan satu-satunya anak daranya itu akan diterima dengan baik setelah memasuki keluarga Fazli nanti.

Juadah yang sudah siap terhidang di atas meja ditutup elok dengan tudung saji supaya tidak dihinggapi lalat. Kebersihan harus dijaga. Bukankah di dalam Islam amat menitikberatkan tentang kebersihan. Bukan sahaja tubuh badan, makanan yang disediakan dan juga persekitaran, malahan hati dan jiwa juga harus dijaga kebersihannya. Puan Zaleha percaya, bermula dengan rezeki yang diterima, makanan yang dimakan dan amalan yang dilakukan, dapat memberikan kebersihan hati dan jiwa.

Datul sudah siap berhias. Walaupun berpakaian ringkas namun kelihatan cantik dan kemas. Puan Zaleha berpuas hati melihat penampilan anak gadisnya yang lengkap bertudung. Mungkin sudah sampai masa anak gadisnya berubah. Sebelum ini puas juga Puan Zaleha menyuruh Datul memakai tudung tetapi ada-ada sahaja alasannya untuk mengelak. Kali ini, Datul sendiri yang memakainya tanpa disuruh. Cantik!

“Cantiknya anak mama ni bertudung. Kan betul cakap mama dulu, anak mama bila bertudung nampak lebih cantik.”

“Ma… Datul bertudung bukan sebab nak cantik la.”

“Mama tahu. Datul bertudung sebab nak jaga aurat kan? Sebelum ni lagi mama dah cakap kan, menutup aurat itu dituntut oleh agama kita. Baguslah kalau anak mama dah sedar keperluan bertudung. Haaaa… Itu pun tetamu kita dah sampai. Pergi ke dapur. Nanti bila mama panggil, baru keluar.” Sengaja Puan Zaleha menyuruh Datul ke dapur. Tidak manis pula jika anak gadisnya itu ada sekali bersamanya menyambut bakal suaminya bersama keluarga yang datang. Elok anak gadisnya itu keluar bersama air yang sudah siap dibancuh, lebih manis nampaknya.

“Baik ma.” Lambat-lambat Datul berlalu ke dapur. Namun sempat dia berdiri di sebalik dinding yang membahagikan ruang tamu dan ruang dapur. Teringin juga Datul melihat dahulu keluarga Fazli.

**********
DATUL mengintai tetamu yang datang dari belakang dinding. Kelihatan mamanya dan Pak Long Zaidi mempelawa tetamu masuk ke rumah. Hatinya tercuit tatkala melihat seorang perempuan yang kelihatan cantik beriringan masuk bersama Fazli. Jika hendak dikatakan adiknya, sebelum ini Fazli ada menyatakan dirinya anak bongsu. Lagi pun, Fazli hanya dua beradik, abangnya yang menetap di luar negara dan Fazli sendiri. Siapa pula gadis itu? Hati Datul sudah berbolak-balik.

Sedang hatinya tertanya-tanya, kedengaran suara mamanya memanggil namanya. Ditilik seketika penampilan dirinya sebelum keluar bertemu keluarga Fazli bersama sedulang air buat tetamu membasah tekak. Begitu berhati-hati Datul melangkah. Ditambah lagi dengan debaran di dalam dadanya yang semakin menggila. Datul harus menjaga reputasinya di hadapan keluarga Fazli.

Dimaniskan wajah apabila tiba di ruang tamu di mana keluarga Fazli sedang duduk berbincang dengan Pak Long Zaidi dan mamanya. Di sofa berangkai dua pula kelihatan gadis tadi duduk di sebelah Fazli. Apabila pandangan mereka bertemu, sengaja gadis itu mendekatkan tubuhnya kepada Fazli. Hati Datul sedikit membara apabila Fazli bagaikan tidak peduli dengan perbuatan gadis itu. Siapakah dia? Arghhh… Siapakah gadis itu?

Air teh ‘o’ yang sudah siap dituang ke dalam cawan, dihulurkan kepada semua tetamu. Apabila tiba kepada Fazli, gadis yang masih belum diperkenalkan kepada Datul itu pula yang mencapainya sebelum diberi kepada Fazli. Dan lelaki itu, dengan tanpa rasa bersalah terus sahaja menghirup air yang dihulurkan kepadanya. Bengkak hati Datul melihat kemesraan itu. Namun sedaya upaya disembunyikan riak cemburunya.

Usai berkenalan dan berbincang tentang hubungan Fazli dan Datul, kesemua tetamu menjamah hidangan yang disediakan. Sekali lagi Datul diserang rasa cemburu apabila gadis bernama Ros yang diperkenalkan sebagai anak angkat di dalam keluarga Fazli itu melayan Fazli di meja makan. Di dalam hati Datul timbul perasaan curiga tentang hubungan mereka. Benarkah gadis itu sekadar adik angkat kepada Fazli atau mereka ada hubungan istimewa. Pelik pula Datul lihat cara gadis itu memandangnya, seperti hendak memberitahu bahawa Datul sudah mengganggu haknya.

**********
MAJLIS pertunangan berlangsung dengan meriah sebulan selepas pertemuan dua keluarga. Datul bahagia. Begitu juga dengan Fazli namun panas yang disangka sampai ke petang, rupanya ditimpa hujan di tengahari. Kebahagiaan yang tercipta seketika cuma. Ada hati yang cemburu dengan kebahagiaan mereka. Dan sesuatu yang akhirnya membuat hati keduanya terluka terjadi tanpa diduga.

“Abang, tolong Ros bang.” Ros meluru mendakap tubuh Fazli sejurus pintu dibuka. Terkejut Fazli apabila adik angkatnya itu begitu berani bertindak begitu. Segera Fazli menjauh sedikit sebaik berjaya meleraikan pelukan gadis itu.

“Kenapa ni Ros? Apa yang dah berlaku?” Tubuh Ros kelihatan sedikit terdedah dengan pakaian yang terkoyak di sini-sana. Wajah gadis itu juga kelihatan seperti orang takut. Gadis itu duduk di sofa sambil menangis.

“Ad… Ada o… Ada orang cuba nak rogol Ros masa Ros nak datang sini tadi. Nasib baik orang tu tak sempat buat apa-apa, Ros dapat lari.” Selesai berkata-kata, Ros menyambung tangisnya.

“Kenapa Ros datang sini. Abang tinggal sorang aje kat rumah ni. Mama dan papa tak ada di rumah. Nanti kalau ap…”

Tok! Tok! Tok!

Belum sempat Fazli menghabiskan ayat, bunyi ketukan di pintu menghentikan percakapannya. Siapa pula yang datang malam-malam begini? Kalau mama, tak mungkin akan mengetuk pintu pula. Mama ada kuncinya sendiri. Bergegas Fazli ke pintu utama. Berubah riak wajahnya apabila wajah enam orang lelaki berkopiah berdiri di hadapan pintu.

Lelaki berkopiah yang dijemput masuk ke rumah hanya menggeleng melihatkan keadaan pakaian Ros yang duduk di sofa. Tidak pula gadis itu menutup tubuhnya yang terdedah. Hanya membiarkan sahaja lelaki-lelaki berkopiah itu memandangnya. Ketika lelaki berkopiah itu menyebutkan tuduhan, tidak pula gadis itu mahu menafikan walaupun puas Fazli merayu dia menceritakan kisah sebenar. Dan sekali lagi wajah Fazli berubah pucat ketika wajah mama dan papa muncul di hadapan pintu. Akhirnya, di luar kerelaannya, Fazli terpaksa menikahi adik angkatnya itu untuk menutup malu keluarga.

**********
DATUL menangis di dalam bilik sendirian. Perut yang terasa lapar tidak dihiraukan. Dibiarkan sahaja isi perutnya menjerit-jerit meminta makanan. Hatinya yang terluka perlu dirawat dahulu. Perkhabaran yang baharu sahaja diterima daripada keluarga Fazli sebentar tadi membuatkan jiwanya kacau. Fazli terpaksa menikahi adik angkatnya setelah ditangkap khalwat. Kenapa Datul harus menerima nasib sebegini. Datul kecewa. Kejam. Fazli memang kejam, ini adalah cinta Datul yang pertama. Dan cintanya terputus di tengah jalan setelah dikhianati.

Usai menangis, Datul ke bilik air untuk mengambil wuduk. Dan dengan hati yang sedih, Datul melakukan solat taubat. Walaupun disarankan mengadakan solat taubat di sepertiga malam, namun Datul melakukan juga ketika malam masih muda. Usai, Datul menunaikan pula solat isyak. Jiwanya gundah dan lebih baik dia meluahkan kesedihannya kepada Allah. Datul berdoa, memohon kepada Allah memberikannya ketenangan dan kekuatan dalam menempuhi dugaan yang diterima.

Deringan telefon bimbit mengejutkan Datul dari keasyikan memohon keredhaan Allah. Telekung yang tersarung di tubuhnya, dibuka dan disangkutkan di penyidai. Telefon bimbit yang masih belum penat berbunyi segera dicapai. Membulat matanya melihat nama pemanggil yang tertera di skrin. Fazli! Entah apa lagi yang lelaki itu hendak. Tidak puaskah hatinya melukakan hati Datul. Tidak cukupkah lagi kekecewaan yang telah diberikan.

Malas-malas Datul menjawab panggilan. Walau di dalam hatinya kecewa, namun rasa cintanya masih tebal buat lelaki itu. Walaupun lelaki itu kejam namun ini cintanya yang pertama. Tidak mungkin dengan mudahnya dia dapat melupakan dan menanam kebencian terhadap lelaki yang dicintainya semenjak zaman persekolahan lagi.

“Assalamualaikum!”

“Waalaikumussalam. Sayang, dengar penjelasan abang!” Sudah ber’abang’ pula Fazli. Datul dapat merasakan cinta lelaki itu kukuh buatnya. Tetapi, kenapa sampai boleh ditangkap khalwat hingga menyebabkan pertunangan mereka terpaksa diputuskan?

“Apa lagi yang awak nak jelaskan? Cepatlah cakap, saya nak tidur ni. Esok nak kerja.”

“Sayang, percaya cakap abang. Abang tak buat apa-apa dengan Ros. Dia hampir dirogol masa nak datang rumah abang dan masa abang nak suruh dia balik, rumah abang diserbu pencegah maksiat. Abang pun tak tahu macam mana boleh jadi macam tu. Bila abang minta Ros ceritakan hal sebenar, dia taknak. Dia asyik menangis aje. Mama dan papa pula balik dan nampak kejadian tu, dengan pakaian Ros yang terkoyak, mama paksa abang bertanggungjawab.”

“Entahlah awak, saya tak tahu nak percaya atau tidak cakap awak. Apa yang saya tahu, awak kejam. Ini cinta saya yang pertama dan awak dah hancurkannya. Sudahlah, semoga awak berbahagia. Assalamualaikum.” Belum sempat Fazli menjawab, Datul pantas memutuskan talian. Cerita Fazli tentang kejadian yang menyebabkan hatinya dilukai itu berlegar-legar di dalam kepalanya. Hendak percaya atau pun tidak.

**********
“BERHENTI!” Suara seorang lelaki yang kedengaran dari luar pintu rumah mengejutkan semua orang yang sedang tekun menyaksikan majlis pernikahan Fazli dan Ros. Terhenti lafaz akad yang sedang diucapkan oleh Fazli. Semua mata tertumpu kepada lelaki itu.

“Kenapa ni? Awak ni siapa?” Papa Fazli meluru ke pintu rumah. Terkejut juga apabila perjalanan majlis tiba-tiba sahaja diganggu.

“Maafkan saya, pakcik. Saya datang ni sebenarnya nak berterus-terang dengan keluarga Ros.” Mendengarkan tujuan kedatangan lelaki itu berkaitan dengan Ros, segera Fazli bangkit dari silanya. Pintu rumah segera dituju. Disarung selipar yang ada di muka pintu. Lengan lelaki itu ditarik menjauh sedikit daripada pintu.

Mereka duduk di gazebo. Papa Fazli turut berada di situ. Selepas lelaki itu menerangkan hal sebenar yang berlaku di antara dia dan Ros, Fazli naik berang. Dicekak kolar baju lelaki itu namun sempat dileraikan oleh papanya sebelum kepalan tangannya sampai ke wajah lelaki itu. Tindakan lelaki itu meninggalkan Ros yang sudah mengandungkan anaknya menyebabkan Fazli terpaksa menanggung akibatnya. Pertunangannya terputus di tengah jalan akibat tindakan Ros memerangkapnya demi menyelamatkan diri dari malu.

“Papa, sekarang papa dah dengar kan cerita sebenarnya. Fazli taknak teruskan pernikahan ni. Biarlah Amir yang menggantikan tempat Fazli. Sekarang, Fazli nak pergi ke rumah Datul. Fazli nak sambung semula pertunangan kami.” Papa Fazli tidak mampu menghalang kehendak Fazli. Tahu salahnya kerana mendesak Fazli memikul tanggungjawab yang ternyata bukan perbuatannya.

“Fazli, selesai majlis nanti kita pergi rumah Datul ye nak. Tapi sekarang, jom kita teruskan majlis. Bawa Amir ke dalam. Biar kita nikahkan Amir dengan Ros.” Mereka bertiga meninggalkan gazebo, masuk ke rumah dan semua yang ada di dalam rumah merasa pelik apabila bukan Fazli yang duduk di hadapan kadi tetapi digantikan dengan lelaki yang tidak mereka kenali. Namun, majlis terus dijalankan setelah papa Fazli memaklumkan hal sebenar kepada kadi.

**********
KEDATANGAN Fazli sekeluarga disambut baik oleh Puan Zaleha. Dia sudah tahu tujuan besan tidak jadinya itu datang kali ini. Fazli sudah menghubungi sebelum mereka datang. Puan Zaleha bersyukur apabila Fazli sudah terbukti tidak bersalah dan tidak mencurangi Datul. Puan Zaleha amat mengharapkan anak gadisnya akan mendapat kebahagiaan dengan orang yang benar-benar dicintainya. Dan kebahagiaan itu pasti akan menjadi milik anaknya sedikit masa lagi.

“Kami minta maaf sebab memutuskan pertunangan anak-anak kita sebelum ni, Leha.” Mama Fazli memulakan bicara.

“Tak apalah Kak Dah. Benda tak kita jangka kan? Adalah hikmahnya di sebalik apa yang berlaku tu. Syukur, benda dah selesai. Dah tahu Fazli tak salah dalam hal ni.” Fazli tersenyum mendengar kata-kata bakal ibu mertuanya. Gembira kerana masih diterima dengan baik oleh Puan Zaleha. Dan dia sangat berharap akan diterima semula juga oleh Datul. Cintanya benar-benar tulus untuk Datul. Sejak dahulu tiada perempuan lain yang berjaya merampas cintanya yang telah dikhaskan untuk Datul.

“Datul pula macam mana Leha? Dia sudi ke terima anak kami semula?” Riak kebimbangan terpamer pada wajah kedua orangtua Fazli. Bimbang jika gadis itu tidak mahu menerima anak mereka yang sudah tertutup pintu hatinya kepada perempuan lain. Jika ditolak cintanya oleh Datul, bimbang pula jika Fazli akan membujang hingga ke tua.

“Kak Dah jangan risau, saya tahu Datul akan terima Fazli. Anak saya tu memang dah lama sayangkan Fazli, sejak sekolah. Dia dah tahu perkara yang berlaku ni hanya satu salah faham. Dia dah setuju nak sambung semula jika Fazli minta.” Fazli sekeluarga meraup muka, bersyukur diberi kemudahan dalam menyelesaikan salah faham yang berlaku.

“Kalau macam tu, bulan depan kita langsungkan pernikahan budak-budak ni Leha. Kak Dah tak mahu ada salah faham berlaku lagi. Susah hati Kak Dah selagi diorang ni tak disatukan.”

“Baiklah Kak Dah, nanti saya uruskan persiapan bagi pihak saya.”

Pertemuan dua keluarga memeterai persetujuan untuk satu perjalanan hidup dua hati yang sudah lama saling menyinta. Di balik dinding, ada hati yang sedang diamuk gelora. Namun, gelora yang membadai di dalam hati terpaksa dikawal apabila namanya dipanggil ke ruang tamu. Datul melangkah penuh sopan dengan bibir mengukir senyuman paling manis bersama sedulang air kopi pelepas dahaga.

Pandangan dua pasang mata bertaut. Bicara mata menzahirkan rasa yang terbenam di dasar hati yang sedang hebat melagukan irama rindu, semakin lama semakin kuat dan mendayu syahdu. Cinta yang disemai di jiwa makin tumbuh subur dan kukuh berakar umbi. Semoga kebahagiaan menjadi milik mereka selamanya. Perjalanan cinta yang kejam, namun ini cinta pertama. Cinta pertama Datul dan Fazli, bakal terzahir akhirnya.

Lagu ‘Kejam’ dan ‘Ini cintaku yang pertama’ tidak akan berkumandang lagi di dalam rumah. Kini Datul sudah menemui kebahagiaannya bersama Fazli, insan yang menduduki tempat tertinggi di dalam hatinya. Ini cinta pertama mereka dan cinta pertama itu dibawa ke akhir hayat.

CARIK-CARIK BULU AYAM – GY HANIEY

Posted on

Sambungan dari cerpen MUDA…

“Ateh!… aku tak sangka kau macam ni! Sanggup betul!”

Nok tersedak. Coklat Cadbury yang belum sempat cair di mulut nyaris tersengkang di tekak. Telefon bimbit dalam genggaman direnung berjurus-jurus. Memang nak kena budak Noi ni, hatinya menggerutu. Bibir diketap, kegeraman.

“Eh, ni apahal ni? Pagi-pagi dah serang Ateh? Lagi satu… bila nak belajar bagi salam kalau telefon orang? Hah?”

Nok dengar adiknya berdecit halus. Ada suara riuh rendah di belakang Noi, terjerit-jerit menyuruh supaya rapat, pilih dan buka. Hatinya diserbu hairan. Dia jadi tertanya-tanya.

“Apa yang bising sangat kat belakang tu? Noi kat mana ni? Dorang suruh bukak apa tu?”

“Assalamualaikum!”

“Pandai pun! Ateh tanya ni, Noi kat mana? Bising sangat tu!”

“Bagi salam tu, hukumnya sunat tapi orang yang mendengar, wajib jawab!”

Nok garu-garu keningnya dengan jari telunjuk. Nampaknya, Noi sudah pandai memulangkan paku buah keras! Nok sengih sendiri. Kalau Noi ada depan mata, mahu dicubit-cubitnya mulut murai adiknya itu. Biar Noi tahu, langit itu tinggi atau rendah.

“Orang temankan umi pergi pasar. Tak sangka pulak, ada cerita sensasi kat sini. Ateh! Tak sangka betul kau ni! Kesian umi, tau tak?”

Kuat betul Noi menjerit. Nok pun tidak pasti, jeritan itu kerana Noi mahu mengatasi bunyi bising ataupun kerana teruja mendengar cerita sensasi di pasar seawal pagi begini. Namun yang nyata, ada nada tidak puas hati yang teramat sangat pada jeritan tersebut. Sedikit sebanyak, Nok ikut terasa debarannya.

“Kenapa dengan umi? Ateh dah buat apa?”

“Eh, tanya orang pulak? Dia yang buat hal!”

Nok terpinga-pinga. Antara keliru dan hairan, benaknya digesa bekerja keras untuk mengingati semula apa yang telah dilakukannya hingga menimbulkan kemarahan si Noi. Tak ada! Sungguh! Plot kehidupannya tiada perubahan langsung. Statik! Pergi kerja, balik kemudian masak, makan dan tidur. Sesekali keluar berbelanja, mustahil itu boleh dikira berita sensasi yang telah tersebar ke pasar pagi di kampung. Lagipun, jarak antara Kampung Dusun dengan Bandar Dua bukannya dekat. Kena tukar bas dua kali, memang kena betul dengan nama bandarnya!

“Kenapa diam pulak? Nak cari alasanlah tu!” tekan Noi dengan suara tinggi.

“Alasan apa? Orang tak buat apa-apalah!” bantah Nok pula dalam nada serupa.

“Memanglah Ateh tak buat! Tapi Ateh dah cakap!”

Bertambah melengking suara di hujung talian itu. Serta merta Nok menjarakkan N71 dari telinga. Dadanya berombak geram. Kurang asam betul si Noi ni! Nasib baik tak bernanah telinga aku!

“Ateh…” Tut..tut..tut… Hampeh!

Nok mengurut dada. Dipujuk-pujuk perasaan supaya bersabar namun rasa geram semakin giat menyubur dalam hati lantas dicampak telefon bimbit ke katil. Kemudian, dia mula menyukat keluasan bilik tidur yang tidaklah sebesar mana. Ke hulu ke hilir, pergi dan balik seraya fikiran semakin memberat dengan persoalan.

‘Apa yang dah aku buat? Eh, bukan buat tapi cakap! Apa yang aku dah cakap? Aku ni memang banyak cakap tapi yang mana satu yang buat Noi marah sangat ni? Ishh… musykil betul!’

Nok berhenti di tengah-tengah bilik. Kedua-dua tangan mencekup rambut yang masih kuncup kebasahan. Ketika Noi menghubungi sebentar tadi, dia baru sahaja keluar dari bilik air. Diramas-ramasnya perlahan. Sesekali digoyang-goyang kepalanya sambil membayangkan sedang mengerjakan kepala si Noi di kampung. Biar dia rasa!

“Ini mesti semalam aje ni… Kalau cerita minggu lepas, tentu dari minggu lepas lagi Noi dah mengamuk! Semalam, aku cakap apa, ye?” Nok merungut sendirian lantas kembali mundar mandir di dalam bilik tidurnya itu. Fikirannya terseret ke satu persatu peristiwa semalam. Cuba mengingati andai ada di antaranya yang telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada keluarganya di kampung khususnya umi.

“Pagi sebelum kerja, aku tak cakap dengan orang! Dengan Comel je so tak boleh kira!” Telunjuknya dilipat, tolak satu perkara.

Kemudian, satu persatu wajah-wajah pekerja bawahannya muncul di benak namun sepanjang ingatannya, perbincangan mereka hanya berkisar tentang kerja. Mustahil! Nok menggeleng perlahan lantas melipat jari tengahnya pula. Tolak dua!

“Petang semalam, aku keluar makan dengan Nora,” gumamnya perlahan.

Betul! Semalam mereka bertegang leher sekejap. Banyak perkara yang dibahaskan tapi ada satu yang tidak dapat diterimanya bulat-bulat. Nora beria-ia mengatakan durian di kampungnya adalah yang terbaik di Semenanjung Malaysia. Eh, mana boleh! Langkah mayat aku dulu!

“Kau pernah makan durian dari kampung aku?” tanya Nok. Buntang matanya melawan pandangan tajam si Nora yang mencebir. Rasa hendak digunting bibir tebal temannya itu sebelum dicampak ke longkang. Padan muka!

“Sekali kau jamah, aku rasa mesti kau sesat jalan nak balik kampung kau! Itu baru jamah tu! Kalau kau makan seulas, pitam. Habis sebiji, sah kau koma!”

“Kenapa pulak?” Nora masih dalam aksi mencebir. Ingat bibir tu macam Angelina Jolie ke?, kutuknya dalam hati.

“Power beb! Durian Kampung Dusun tak ada tandingan, tau? Kalau nak banding dengan tempat lain, macam langit dengan bumi. Jauh panggang dari api!”

“Habis, kau pernah ke makan durian kampung aku?” bidas Nora.

Nok terbata-bata. Nora ketawa sinis. Berasap hati Nok melihat aksi tersebut. Tapi sekarang, bila difikir-fikirkan semula, mustahil hal itu yang membangkitkan kemarahan Noi. Salah ke puji durian kampung sendiri? Tak mungkinlah, fikirnya.

“Jangan-jangan…” dahinya berkerut. “Tapi…” Panggilan telefon malam tadi mencuri ingatan…

*********

“Nok apa khabar?” Suara itu menyapa lembut selepas berbalas salam.

Nok sengih selesa dalam gelap. Hati berbunga gembira. Panggilan itu diterima ketika dia hampir melelapkan mata. Awalnya dia malas melayan. Sangkanya Nora yang telefon untuk meminta maaf sekaligus mengakui durian Kampung Dusun adalah yang terbaik. Tapi, haram! Ketika melihat sebaris nombor asing muncul di skrin, hatinya sudah berdetak kencang. Sebaik empunya suara memperkenalkan diri, dia sedikit terkejut. Tak sangkanya!

“Betul ke keputusan Nok buat tu? Dah fikir panjang?”

“Bukan keputusan saya! Umi dengan walid yang suruh!”

“Suruh?”

“Bukan… err, maksudnya ini cadangan umi dan walid. Saya ikut je,”

“Sebenarnya, saya kecewa sikit. Tak sangka, walaupun dah lama tapi saya masih ingat pada Nok,”

Dada Nok berkocak kuat. Jantungnya berdegup laju. Sungguh, mendengar pengakuan itu bagaikan bulan jatuh ke riba! Dia sudah lupa pada yang lain. Pada umi, pada walid atau pada Arip! Yang terbayang hanya wajah orang yang bercakap dengannya sekarang!

“Kalau boleh, Nok tolong fikirkan lagi. Saya akan tunggu dengan sabar,”

Satu jam selepas panggilan tersebut, Nok masih terkebil-kebil dalam gelap. Perasaannya menjadi bersimpang siur, tidak tentu arah. Seketika, wajah umi dan walid menerpa. Hatinya diusik belas. Dah berapa ramai aku tolak? Benaknya membilang wajah. Ramai! Hatinya bergetus. Harapan orang tuanya tidak pernah setinggi sekarang. Tegakah aku menolak lagi dan menghancurkan harapan umi dan walid? Nafasnya dihela panjang.

Kemudian, hadir pula wajah itu. Ah, dia! Arip gembala lembu! Itu dulu! Masa zaman sekolah. Kata umi, Arip sudah berjaya sekarang. Daging lembunya sudah sampai ke pasaran luar. Dulu Arip ambil upah jaga lembu datuknya dan penduduk kampung yang lain. Arip tidak bersikap seperti kanak-kanak sebaya yang suka bermain bersama-sama. Masanya banyak dihabiskan di padang ragut dengan lembu. Tetapi, sesekali bila Arip keluar bermain dengan Adul, tanduknya ikut tumbuh. Dah serupa lembu! Nok mengorak senyum sedikit.

Eh, kenapa pulak aku ni? Tiba-tiba ingat si Arip? Hatinya mendongkol lantas senyuman padam serta merta. Akalnya dipaksa agar menyisihkan wajah si gembala lembu tersebut lalu hadir pula Adul, dengan senyum manis 15 tahun lampau. Panggilan telefon sebentar tadi kembali membuatkan Nok terseringai di dalam selimut.

“Mana dia dapat nombor telefon aku, agaknya? Lupa pulak nak tanya. Lama tak jumpa dia, mesti sekarang dah tambah handsome!” Nok mengomel dalam gelap.

Fikiran mula melayang mengingati surat-surat cinta yang pernah dihantar Adul. Semuanya masih tersimpan elok dalam kotak kasut di bawah katilnya di kampung. Setiap satunya Nok sudah hafal, bukan sahaja isi malahan tanda baca juga. Sampai naik lunyai! Kalau Nok praktikkan amalan menghafal begitu ketika belajar, sah-sah dia muncul pelajar terbaik negeri Pahang 15 tahun lalu. Tapi, haram!

“Tapi peliklah… kenapa panggilan dah lain? Dulu, lain!”

Ahh, dia dah lupa agaknya! Lagipun dah lama sangat, fikir Nok. Selebihnya, hendak menyedapkan hati sendiri. Dia mengenali diri Adul melalui surat-surat tersebut. Mereka berkongsi cerita mengenai kehidupan dan masa depan. Dengan surat itu juga, Nok menyelongkar sisi Adul yang berbeza. Lembut dan penyayang! Juga romantis!

“Dah berubah ke?” Nok bangkit duduk. Hatinya merusuh dalam diam!

************
5 pagi, Nok dikejutkan oleh penggera telefon. Bingkas dia bangun dengan kepala memberat bagai dihempap batu. Malam tadi dia berjaga lewat. Sejak pulang dari kerja hinggalah membawa ke malam, jari jemari naik lenguh menghubungi Noi. Mesej tidak berbalas, telefon tidak bersambut. Telinganya naik kebas mendengar pesanan dari peti mel suara. Marah betul si Noi ni! Besar sangat ke salah aku? Itulah yang ditanya pada dirinya sepanjang malam. Mata yang tertutup tetap enggan terlena kerana tersengkang dek rasa bersalah.

Pagi ini, Nok mencuba lagi tetapi hasilnya tetap sama. Dia mula berasa tersinggung. Sampai hati Noi! Takkan marah sampai macam tu sekali? Apa salah aku sebenarnya? Liur terasa kesat. Dadanya berbungkal dengan rasa sebak. Nombor umi pula ditekan. Panggilan pertama tidak bersambut, dicubanya lagi. Panggilan kedua bersambung dengan pesanan di peti mel suara, dada Nok terasa menyempit!

Panggilan ketiga dan terakhir! Kalau yang ini pun tidak berjawap, dia bertekad untuk balik ke Kampung Dusun hari ini juga. Apa nak jadi, jadilah! Hatta, kena buang kerja sekalipun!

“Ateh… mimpi apa telefon umi pagi-pagi ni?” suara umi muncul pada deringan ke tiga. Ya Allah! Leganya! Terasa hati bagai disiram sebaldi ais!

“Umiii…” rengek Nok manja. Beli jiwa, kata orang. “Noi kat mana?”

“Laa… nak cakap dengan Noi ke? Telefonlah dia. Kenapa telefon umi pulak?”

“Suruh dia balik!” tegas suara walid menyampuk dari belakang. Dada Nok berdebar semacam!

“Ateh dah minta cuti? Kenduri lagi sebulan, tau? Balik awal sikit,” suara umi masih lembut, tiada tanda-tanda dirinya telah melakukan kesilapan seperti yang didakwa Noi. Pelik!

“Semalam, umi pergi pasar dengan Noi kan? Apa yang umi dah dengar?”

Umi hanya diam, hanya terdengar helaan nafas panjang dan dalam. Sah! Memang ada sesuatu!

“Tak ada apa-apa lah. Ateh balik ye? Jangan buat hal pulak!”

Nok menjadi semakin tidak sabar. Nampak benar umi cuba berselindung di sebalik lalang sehelai. Dengan karenah Noi yang menjauhkan diri, Nok sudah dapat mengagak.

“Apa sebenarnya umi? Kenapa Noi marah sangat? Dia langsung tak jawab telefon! Ceritalah umi. Kalau macam ni, Ateh tak boleh fokus pada kerja,”

Nok dengar umi mengeluh perlahan.

“Pagi semalam kat pasar, umi terjumpa dengan makcik Leha,” Oh, itu ibu Adul dan Arip. Kenapa ya? Hatinya tertanya-tanya. Dan selepas itu, setiap patah kata-kata umi melekat di benak bersama rasa tidak percaya yang bukan sedikit!

“Umi dan walid dah buat keputusan. Kalau Ateh tak suka Arip, tak apalah. Ateh boleh pilih Adul. Tapi umi tetap mahukan Arip sebagai menantu. Dan Noi pun dah setuju untuk ganti tempat Ateh,” sambung umi lagi.

Apa? Patutlah Noi marah!

‘Arip dengan Noi? Aku dengan Adul? Betul ke? Tapi, kenapa hatiku tak rasa teruja?’ Nok melekap tangan ke dada. Ada sedikit rasa hampa terpalit di situ!

**********
Malam itu, malam paling sunyi dalam hidupnya. Pulang dari kerja dia hanya berkurung di bilik. Pelawaan Nora untuk keluar ditolak mentah-mentah. Semangatnya bagai direnggut! Entah mengapa, perkhabaran semalam benar-benar mengganggu fikiran Nok.

Bruno Mars berdendang Lazy Song di N71. Dibiarkan sahaja sampai penyanyi itu letih sendiri. Pesanan ringkas pula masuk. Bukan satu atau dua, tapi bertalu-talu. Lambat-lambat Nok bangun membelek telefon hitamnya itu. Ada panggilan dari nombor yang tidak dikenali. Adul kah? Tapi, nombor pemuda itu sudah disimpan. Dahinya berkerut halus.

Mesej pertama dibuka.

Nur, di sini bulan cantik sekali. Ada wajahmu terukir di dadanya!

Darah Nok menyirap! Ayat itu! Mana mungkin dia lupa! Tangannya menggigil mencari mesej kedua.

Dunia ini perhiasan. Dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Sudahkah Nur ku bersedia untuk itu?

Bulu roma Nok merinding! Otot-otot perutnya dirasa mengecut. Tidak sanggup hendak membaca mesej seterusnya. Keinginannya melonjak tetapi hatinya melarang. Itu bukan nombor Adul! Tapi ayat-ayat itu pernah dibacanya lewat surat-surat yang pernah lelaki itu kirimkan. Itu panggilan Adul buat dirinya dulu! Jadi, siapa? Dadanya mengencang, batin mula berbisik. Arip kah? Kepala Nok menggeleng lantas disembamkan kepala ke bantal. Tak mungkin!

Bruno Mars kembali menganggu. Dendangannya seiring dengan rentak hati Nok. Terketar-ketar dia melihat skrin. Nombor yang tidak dikenali itu muncul semula.

“Nur…”

Suara garau itu mudah sahaja dikenalinya. Arip! Tapi, sejak bila Arip panggil dia, Nur? Nok bingung sekaligus membatukan diri. Dia tidak tahu bagaimana mahu bereaksi. Kelmarin, lelaki itu bakal tunangnya. Sekarang, dia sudah jadi bakal kakak ipar!

“Ada orang ke tidak ni? Kenapa senyap aja? Benci sangat ke?”

Nok tahu Arip hanya bersenda tetapi hatinya tiba-tiba dilumur sebak mendengarkan ungkapan tersebut. Benarkah dia benci Arip?

“Mana awak dapat nombor telefon saya? Siapa beri?” Hanya itu yang terlintas di fikiran buat masa ini.

“Nasib baik ada Noi. Nak tunggu Nur berikan sendiri, sampai ke sudah tak merasa. Ya tak?” Arip gelak sedikit. Sekali lagi Nok rasa seram sejuk. Nada lelaki itu tidak seperti abangnya. Tiba-tiba Nok rasa jauh hati. Ya lah… orang dah ada Noi!

“Kenapa telefon saya? Telefonlah Noi! Cakap dengan saya, bukan ada faedah pun, kan?” tanpa sedar Nok membuka rahsia hati.

Arip ketawa lepas. Nok terpinga-pinga tidak mengerti. Seketika, soalan bertubi-tubi mengasak kotak akalnya. Sekarang waktunya! Hati Nok berbisik. Dia perlu cari punca sebenar yang menyebabkan Noi begitu memusuhi.

“Arip, boleh tolong tak?”

“Tengoklah, bergantung kepada jenis pertolongan,” lelaki itu masih ingin mengusik.

“Boleh cerita apa yang sebenarnya dah berlaku? Awak, Adul, Noi dan saya?”

“Kenapa nak tahu? Nur dah buat keputusan, kan? Walau apapun kisahnya, Nur dah pun pilih Adul, kan? Sejak dulu, dia yang ada dalam hati Nur. Sebab tu, Nur masih simpan surat-surat Adul, kan?”

Sekali lagi darah Nok menyirap! Tangannya yang menggenggam telefon terasa menggigil. Surat? Macamana Arip tau? Kerja Noi kah? Patutlah Arip tahu kandungan surat-surat tu semua! Hatinya mendidih marah tatkala teringatkan mesej-mesej yang diterima sebentar tadi. Nur konon! Penipu! Penciplak!

“Awak baca surat saya? Noi yang beri, kan? Awak ni kan, memang! Sanggup awak buat saya macam ni? Nur? Eh, sejak bila awak pandai panggil saya Nur?” tempik Nok geram. Dia sudah berdiri di atas katil. Nasib baik kepala masih jauh dari kipas siling!

“Ehh… nanti kejap! Jangan marah-marah. Bila pulak saya baca surat awak? Noi cuma beritahu. Jangan tuduh macam tu. Kecik hati saya, tau?” suara Arip masih lembut memujuk.

Nok mencebir meniru tingkah Nora tempohari. Apabila dia mendiamkan diri, Arip mengambil peluang itu menjelaskan keadaan sebenar. Dia hanya membisu dan mendengar dengan teliti. Kata Arip, Adul menghubunginya untuk bertanyakan berita peminangan tersebut. Pada Arip, Adul mengakui masih mengingati Nok meski lama terpisah. Tambahan lagi, dia baru sahaja berpisah dengan teman wanitanya. Adul memang bercadang untuk meminang tapi Arip lebih dahulu bertindak.

“Dia dah ada kekasih?” pintas Nok tiba-tiba. Tidak berpuas hati dengan apa yang didengarinya.

“Dulu… sekarang dah tak ada!” jelas Arip, begitu tenang. Nok jadi tertanya-tanya, bagaimana agaknya perasaan Arip? Abang sendiri mahukan bakal tunang? Kalau dirinya berada di tempat lelaki itu, mampukah dia bertingkah serupa? Tidak! Nok akui, dia bukanlah penyabar orangnya! Silap-silap, putus kepala Noi cantas!

“Adul ada telefon Nur? Dia kata Nur tak setuju kita bertunang. Cuma ikut kehendak umi dengan walid saja. Betul ke?”

Nok tergigit lidah. Adul ni! Itupun nak cerita ke?

“Ibu dengan ayah dah datang rumah Nur. Dorang dah buat keputusan nak satukan Adul dengan Nur, saya dengan Noi…”

“Noi setuju?” pintas Nok.

“Nur rasa? Kenapa tak tanya dia sendiri?” tanya Arip semula.

Nok diam. Hatinya kembali dihurung sebak apabila teringatkan adiknya yang seorang itu. Selama ini, hanya Noi yang rajin melayannya. Walau dia sering membebel, marah-marahkan Noi yang selalu terlupa hendak memberi salam tetapi Noi tidak pernah serik. Kerana dia jarang-jarang pulang ke kampung, Noi lah yang selalu melaporkan sebarang perkembangan dan berita terkini. Sekarang, Noi dah merajuk! Noi marahkan dia yang selalu tidak tetap pendirian!

“Dia marahkan saya! Dia tak mahu jawap panggilan, tak jawap mesej. Dia merajuk! Macamana saya nak tanya sendiri?”

“Alahh… carik-carik bulu ayam aje tu. Keras-keras kerak nasi. Telefonlah lagi!” pujuk Arip lembut.

“Aripp…” rengek Nok. Tiba-tiba mood bermanja merasuknya. Arip diam, mungkin terkejut dengan suara menggoda Nur nya itu.

“Awak suka dekat Noi? Awak tak kisah kena bertunang dengan dia? Awak marahkan saya?” Nok dengar Arip mengeluh.

“Noi memang baik tapi yang saya pinang tu, Nur. Awak! Saya tak marah tapi kecewa sikit. Saya tak sangka, awak masih tunggu Adul hanya kerana surat-surat yang dia pernah bagi masa sekolah!”

“Tapi, saya kenal Adul dengan surat-surat tu! Impian dia, cerita masa depan! Surat-surat tu ada nilai pada saya,”

“Cerita masa depan? Cuba baca semula surat-surat tu. Impian Adul yang tertulis, sama ke dengan yang dia ada sekarang? Saya rasa lari jauh,”

Sekali lagi Nok terdiam. Mindanya mula diperah. Apa yang Adul pernah tulis? Menjadi usahawan berjaya? Adul kerja apa ya? Kata umi, pegawai felda! Jadi, semua itu impian siapa? Nok terpempam!

“Nur..” Nok tersentak. Arip! Panggilan itu dari Arip rupanya. Sejak dulu dan kini! Kenapa dia menyamar? Kenapa dia yang membalas surat-surat tu semua?

“Kenapa?”

“Kenapa apa?”

“Kenapa?” tekan Nok lagi. Dia dengar Arip mengeluh panjang. Dalam keliru, ada rasa semacam bertapak di hatinya mendengar keluhan sebegitu di lewat malam sebegini.

“Sebab, sejak dulu awaklah cahaya saya. Tak ada yang lain. Hanya awak, Nur!”

*********
“Nak apa?”

“Sorry! Ateh bukan sengaja bercerita hari tu! Sorry ya?”

“Sorry naik lori!”

“Noi!”

“Apa? Cepatlah, orang sibuk ni!”

“Noi, janganlah macam tu. Ateh betul-betul minta maaf. Ateh nak ucap terima kasih jugak,”

“Kenapa pulak? Orang tak buat apa-apa pun!”

“Terima kasih sebab beritahu Arip tentang surat-surat tu! Kalau tak, sampai sekarang Ateh tak tahu hal sebenarnya,”

“Hal apa?”

“Sebenarnya, surat tu Arip yang tulis… bukan Adul. Ateh dah salah orang selama ni,”

“Itu aje ke?”

“Ya, itu je!”

“Ok lah kalau macam tu. Orang sibuk ni! Nak beli hantaran. Kalau dia tak nak, biar je orang ambik!”

“Noi!” jerit Nok lantang.

*********
Noi bersimpuh sopan di atas pelamin rendah di ruang tamu rumah. Baju biru mudanya nampak padan dengan latar belakang kuning. Nok hanya memandang dari jauh. Melihat air muka adiknya yang sedang berbahagia, hatinya ikut menumpang gembira. Sanak saudara memenuhi ruang yang agak luas, sama-sama menyaksikan upacara menyarung cincin pertunangan di jari manis Noi. Nok memandang jari sendiri. Ada dua bentuk cincin tersarung di situ. Di usapnya perlahan-lahan.

“Nok!” ada tangan menjalar di belakangnya.

“Kam! Tina! Kau pun ada? Tun mana?” Nok terjerit kecil. Beberapa orang tetamu berpaling ke arah mereka lantas ditariknya tangan kedua-dua teman lama masuk ke dalam bilik.

“Tun tak ada! Bulan lepas kan dah balik? Aku masih ada cuti lagi. Kam pulak, baru nak mula cuti,” Tina menunjuk ke arah perut Kam yang membulat. Nok ketawa gembira.

“Kau tengok adik aku tu! Bahagia betul dia!”

“Alah, dah jodoh nak datang cepat… apa nak kata, kan? Macam kau juga! Tak sangka, kan?” Tina mengangguk mengiakan kata-kata Kam.

“Dah sebulan ni, kau okay tak?” Tina mengait jari Nok dengan jarinya. Nok senyum penuh makna. Pipinya merah merona apabila Kam dan Tina mula mengusik.

“Sayang!” Pintu bilik terbuka dari luar. Ada kepala terjengul di situ. Spontan, Kam dan Tina bangun serentak.

“Kami keluar dulu lah! Nanti kita sembang kat luar!” Nok sengih melihat keduanya mengenyit mata.

“Dah makan ke?”

Nok geleng perlahan dengan kepala tertunduk sedikit. Perasaan segan masih menebal meski sudah hampir sebulan mereka terikat.

“Jom, makan dengan abang. Sayang tak tengok Noi ke? Tak jumpa dengan bakal adik ipar?”

“Eh, dia ada datang ke?”

“Ada tapi duduk kat bawah. Tak naik pun!” hidungnya dicuit perlahan. “Sayang cantiklah hari ni! Berseri-seri! Sampai abang tak dapat beza, yang mana satu nak bertunang. Adik ke kakak?” Nok sengih malu-malu. Siapa tak bangga kena puji dengan suami?

Suami? Ya… itu suaminya! Arip! Lelaki yang sebenarnya dicintai dan dikasihi. Yang hampir terlepas dari genggaman kerana sikapnya sendiri. Yang menjadi punca perbalahannya dengan Noi hingga sebulan tidak bertegur sapa.

Diam-diam Nok mengintai dari ekor mata. Pertama kali bersua muka sejak sekian lama, dia langsung tidak menduga betapa besar perubahan yang berlaku terhadap lelaki ini. Dia bukan lagi si gembala yang kurus kering! Tubuhnya sasa sepadan dengan ketinggian yang dimiliki. Pada diri lelaki itu sekarang, sudah ada aura seorang usahawan berjaya. Fikirannya cenderung ke arah membangunkan perniagaan daging dan tenusu. Sikap tegasnya kadang-kadang terlindung dek sifat lembut dan penyayang. Sebulan berlalu, lelaki itu masih tidak jemu memanjai Nok dengan bicara romantisnya. Persis surat-surat lama mereka!

“Tengok apa tu?” hidungnya ditarik lembut. Pantas dia menepis tetapi jarinya pula masuk dalam genggaman suami tercinta.

“Rugikan, kalau sayang pilih Adul dulu? Tak dapat tengok abang macam sekarang!” Nok mengerling sekilas. Wajah Adul bertandang seketika. Nasib baik lelaki itu dapat menerima suratan yang tertulis meski mengakui hatinya agak kecewa kerana tidak menyangka ikatan antara mereka hanya bersandar kepada surat-surat tulisan Arip.

“Rugi juga kalau abang pilih Noi. Tentu tak dapat tarik hidung Nur macam sekarang!”

Arip ketawa bahagia. Ditariknya Nok dalam dakapan.

“Tak mungkin, sayang. Nur kan cahaya abang. Tentulah abang pilih sayang. Noi pun tak mahukan abang. Dia terpaksa! Macam sayang juga. Malang betul abang ni, dua-dua pun reject! Apa? Tak cukup handsome ke? Kalau setakat Remy Ishak tu, boleh pukul tau!”

Betul kata Arip. Noi marah sungguh apabila disuruh menggantikan tempatnya. Jenuh dia memujuk dan akhirnya keadaan kembali pulih sebaik sahaja ijab kabul terlafaz. Noi meluru memeluknya, memohon maaf. Kerana tidak mahu umi atau walid mengatur perkahwinan seterusnya, Noi lekas-lekas meminta kekasihnya masuk meminang. Agaknya sudah serik terjebak dalam cinta 3 segi!

“Terima kasih abang!” Arip senyum bahagia.

“Kan betul abang cakap dulu!” Nok menjungkit kening, kurang faham. “Sayang yang kena panggil abang. Bukan abang yang kena panggil kakak!”

Nok terseringai.

MUDA – GY HANIEY

Posted on

i

“Ateh! Encik Walid suruh sampaikan pesan.  Kali ni tak boleh patah balik dah, macam yang dulu-dulu, sebab Encik Walid dan Ahli Majlis Tertinggi dah terima dengan sebulat suara,”

Terkebil-kebil dia merenung N71 di tangan.  Kelam kabut berkejar dari dapur mencari telefon bimbitnya yang menyorok entah di mana-mana, itu yang dia dapat.  Terkejut, ditambah sedikit sakit hati. Tanpa salam dan  bertanya khabar, suara adiknya itu bagai petir menyambar ke dada.  Rentung! Terbakar! Hangus!… Hangit!

Hah? Hangit! Hidungnya bijak memberi reaksi lantas meluru ke dapur bersama telefon yang terlekap di telinga.  Ulas mata terjojol saat melihat ikan kembung yang tadinya cantik disalut kunyit bak hiasan bersepuh emas, sudah bertukar arang.  Asap berkepul-kepul terbit dari kuali terlebih panas hingga merabunkan pandangan.

“Ya Allah, habis hangit ikan aku!  Ini semua kau punya pasal, Noi! Tak boleh ke telefon kejap lagi? Dah tau masa ni Ateh nak masak, masa ini jugaklah kau nak baca perutusan!”

Dengan gementar, dihulurnya tangan perlahan-lahan lalu mematikan aliran gas.  Pedih mata menahan asap hingga terbatuk-batuk. Fuh! Nasib baik rumah aku tak hangus sama.  Kalau tak, tidur surau malam ni, bisik hatinya kelegaan.

Berderai tawa si adik di hujung talian tambah menyakitkan hati. Ditekannya butang mati dengan kasar sambil membayangkan sedang menunjal kepala si Noi di kampung. Hah, padan muka kau!

Kuali panas diangkat ke singki. Malang tidak bertanda, minyak yang masih berasap terpercik pula ke tangan. Akibat terkejut bercampur perit, pegangan di kuali terlepas lalu  minyak yang direnangi dua ekor ikan kembung rentung mencemari lantai marmar putih. Spontan dia berundur ke belakang, bimbang kakinya menerima nasib serupa tetapi lompatannya tidak kena gaya. Maka, terlentanglah dia di dapur sempit itu dengan kepala terkunang-kunang akibat terhempas ke lantai. Sekoyong-koyang, suara umi terngiang-ngiang di telinga

“Ateh ni nanti, kawin dengan orang kaya! Ada bibik, ada orang gaji. Umi pun boleh tumpang senang”

Bagai terasa-rasa umi mengelus rambutnya, seperti waktu dulu. Saat umi memujuk rajuknya  kerana diejek untuk dijodohkan dengan Arip, budak gembala lembu. Tersedar semua itu sudah  15 tahun berlalu, dia bangun perlahan-lahan menghadapi kenyataan. Kepala yang terasa sengal digosok. Pandangannya terpaku di lantai, di bawah meja makan sebelum beralih ke dinding kabinet. Dia mengeluh lemah. Tumpahan minyak memang mencemarkan alam sekitar!

“Umiii…Tolong Ateh! Bilalah mulut umi nak jadi masin ni?” raungnya.

Perutusan dari adiknya sebentar tadi melintas di fikiran. N71nya dicapai lantas nombor mudah alih Noi ditekan. Sebaik saja adiknya itu menyebut ‘hello’, terus sahaja dia berteriak kuat.

“Noi! Encik Walid tak salah orang ke?”

“Entah! Tak lah, kot!”

Dia nekad kali ini kerana tidak mampu lagi memberi pelbagai alasan. Empat bulan lagi, dia bakal meyertai kelab 3 ‘series’. Semakin dia mengeraskan hati, semakin lentuk pujuk rayu umi. Tambahan lagi, seisi alam sudah maklum bahawa si dia itu pernah mencuit rasa dalam hatinya, bertahun lampau. ‘Handsome, kaya lagi!’

Di matanya sudah terbayang bibik yang mundar mandir di ruang dapur rumahnya nanti. Telinganya bagai terdengar-dengar panggilan ‘puan’ dari mulut pembantu rumahnya itu. Hujung minggu, bercuti makan angin ke Paris, Las Vegas. Sarapan di Hong Kong, tengaharinya sudah berada di Seoul. Dia tersengih melayan anganan.

‘Seronoknya jadi isteri orang kaya!’, bisiknya dalam hati. Tak payah susah-susah macam sekarang! Namun, kenyataan tetap perlu didepani. Mop dicapai. Lalu dua ekor ikan kembung yang sudah bertukar menjadi ikan kayu itupun dicampak ke tong sampah!

***

“Alif…Lam…Mimm,” Arip memulakan bacaannya.  Tok Malim senyum girang sambil mengangguk perlahan.  Gembira melihat peningkatan tersebut.  Tetapi, senyumnya tidak lama.  Terbeliak mata tok guru mengaji itu apabila mendengar suara-suara halus menyampuk dari tangga rumah.

“Arip…Lemm…buuu!” Diikuti ketawa tertahan-tahan.

“Siapa tu, hah? Nak kena sula?” Ayat lazim Tok Malim apabila marah. Seketika, bergemuruh hentakan kaki di tangga sebelum senyap sunyi. Arip pun menyambung semula bacaannya…

“Nok! Cepatlah sikit! Kau ni lembablah… Cepat! Nanti dia nampak!”

“Sabarlah… Hish, dia ni! Kalau nak cepat sangat, buat sendiri! Jangan suruh aku!” Bibir nipis Nok sudah memuncung panjang. Sakit hatinya digesa begitu rupa. Kerja sukarela, bukannya bergaji pun!

Kasut getah bersepuh lumpur dijinjit si Nok dengan hujung jari. Gelilah konon! Padahal warna selipar jepun yang tersarung di kakinya itu  lebih kurang sama sahaja. Terjingkit-jingkit dia menjauhi kaki tangga rumah Tok Malim. Di atas rumah, masih ramai yang belum habis mengaji. Oleh kerana hari ini mereka datang dan pulang awal, rancanganpun berjalan seperti yang direncana.

“Ehh… bukan yang tu! Yang ni… yang ni! Ini besar sikit, susah nak ambik nanti. Nok, letak kat sini!”

“Eh, janganlah oi! Yang tu memang besar tapi leper. Senang je nak ambik. Yang ni, hah! Tengok! Kan tebal ni!” Ada suara lain pula membantah.

Nok mula berang. Dilepasnya kasut getah ke tanah. Beg berisi muqaddam yang melurut, ditarik kasar ke bahu. Mukanya cemberut masam. Memang kepantangan baginya, diarah-diarah begitu begini.

“Hah Nok! Kau jangan nak mengelat, ye? Kali ini giliran kau. Tadi dah janji!” Kam, Tina dengan Ton, mula tidak berpuas hati. Giliran mereka bertiga tiada masalah. Sampai masa Nok beraksi, mulalah timbul macam-macam.

“Koranglah! Sekejap yang tu! Sekejap yang ni! Malas aku… kita tunda esok!” Boleh pula tunda-tunda!

“Kami tak kira! Kau kena buat hari ni! Esok kita nak buat yang lain…” Bantah Kam. Dua lagi jadi tukang angguk.

Nok merengus geram. Dikepit semula jarinya di hujung kasut getah. Perlahan-lahan diletakkan atas gumpalan tahi lembu, di tepi rumah Tok Malim. Bahan buangan itu masih baru, kerana waktu mereka sampai, ada sekumpulan lembu berkumpul di situ. Nok menekan sedikit kasut getah itu tetapi Tina bertindak lebih ekstrem. Dengan menggunakan ranting kayu, ditekannya kasut itu hingga terbenam, diikuti yang sebelah lagi. Teman berdua menabur bunga kertas di atasnya bak meraikan mempelai. Sekali pandang, tidak ubahnya bagai kek coklat berinti kasut!

Berderai ketawa mereka berempat tetapi terbantut dek bunyi berdeham Tok Malim dari atas rumah. Kelam kabut mereka bersembunyi di sebalik seperdu senduduk, bertentangan dengan kediaman tok guru mengaji mereka itu. Duduk berhimpitan di sana sambil beralaskan selipar masing-masing, menunggu saat mangsa keluar dan ‘menikmati’ hadiah dari mereka sebentar lagi.

“Abang, kau ada nampak kasut aku?”

Nok kerling Tina yang  terseringai sebelum melawan pandangan Ton. Badan Kam sudah mula bergegar menahan tawa. Ulas mata dibesarkan kerana mereka berempat tidak mahu ketinggalan walau sebabak pun adegan di depan mata. Siaran langsung tu!

“Cuba cari sebelah sana! Nanti aku cari kat bawah rumah. Ni mesti ada yang sorok ni!” Dan pastinya, dia boleh mengagak angkara siapa!

Si abang sudah menyusup ke bawah rumah. Tampak sukar benar membawa perut yang boroi. Tawa Nok sudah mula terletus tapi mulutnya cepat-cepat dicekup Tina. Telunjuk Ton tegak di tepi mulut sementara Kam pula menuding ke arah depan. Tengok sana! Kam guna bahasa isyarat menunjuk si adik yang semakin menghampiri sasaran. Dua tiga orang teman lain ikut meninjau di merata kawasan rumah. Empat dara sunti di sebalik perdu senduduk terasa jantung mereka seperti mahu terlompat keluar menantikan saat-saat itu. Teruja yang amat!

“Abanggg!”

Jeritan si adik itu mengejutkan abangnya. Spontan, dia berpaling. Mungkin terlupa ataupun mungkin tidak sengaja, dia menegakkan badan. Dan,

Kelekuk!

“Adoi! Tak guna punya gelegar! Sakit kepala aku!”

“Eh, ni apa yang bising-bising sangat ni, hah? Kawan awak ramai lagi nak mengaji ni… Janganlah bising!” Tok Malim bertempik dari beranda. Misai penunduknya yang melenting diurut-urut.

Kelam kabut si perut gendut keluar dari bawah rumah. Wajah Tok Malim ditentang dengan gementar tapi kebenaran perlu ditegakkan. Dari ekor mata, dia nampak adiknya sedang mengadap selonggok najis lembu di tepi rumah. ‘Apahal pulak tu?’, hatinya tertanya-tanya.

“Tok, kasut Arip hilang. Tak tau siapa sorok. Adul cari kat bawah rumah, terhantuk gelegar pulak. Sakit tok!” Adunya sambil menggosok-gosok kepala yang terasa perit.

“Siapa yang main sorok-sorok kasut ni, hah? Nak kena sula?” Tempik Tok Malim lagi. Misai yang berbelang putih turut bergerak-gerak.

Siapa berani hendak mengaku? Sedangkan yang tidak tahu apa-apa, sudah seperti ayam patah tengkuk, inikan pula ‘mereka’ yang punya kerja. Kecut urat perut macam limau terlebih busuk!

Tok Malim hanya mampu menggeleng kemudian masuk semula ke dalam rumah menghabiskan tugas. Adul rapat ke sisi Arip. Terkejutnya dia melihat ‘kek’ yang berhias cantik. Beberapa orang budak laki-laki turut hampir lalu pecah tawa dalam kumpulan itu. Adul melirik Arip di sisi. Cebikan si adik mengundang kasihan dalam hatinya lalu di kuis  kasut itu menggunakan sebatang ranting. Saat itulah dia terdengar bunyi ketawa dari rimbun senduduk. Perasaan berkocak marah, sangkaannya tadi mungkin ada benarnya. Diam-diam, dijolok  ranting kayu ke dalam kasut lalu menghampiri perdu senduduk yang galak bergoyang.

“Hoi!” Tempiknya. Kasut berlumur tahi lembu diangkat betul-betul di atas kepala anak dara sunti nan berempat.

Wah! Bukan main terkejut semuanya! Terus sahaja membuka langkah seribu mencari basikal mereka tanpa sempat menyarung selipar, hanya di sauk di lengan masing-masing. Geli geleman pun ada apabila membayangkan andai kasut tersebut menimpa muka. Dari jauh, mereka dengar Adul terjerit-jerit mengejar dari belakang. Kasut berlumur warna hijau masih terlekat di hujung ranting yang dipegangnya.

“Tunggu! Kurang ajar! Aku sumbat mulut korang dengan kasut ni!” Termengah-mengah dia mengekor. Tidak mampu menandingi kepantasan empat orang budak perempuan bertubuh kurus kering.

“Nok! Nok! Selipar kau cicir!” Laung Kam.

“Apa? Ahh… lantaklah!” Yang penting sekarang, selamatkan diri. Basikal disorong ke depan lalu dengan sekali lompat, dia sudah mendahului yang lain.

“Nok, selipar kau!” Ton pula menjerit bila terpandang Adul sudah menjinjit selipar Nok.

“Aku kata biar aje… lagipun bukan selipar aku,”

“Selipar siapa?”

“Umi aku!”

Hahahaha… ketawa mereka bersambung-sambung dari atas basikal.

ii

“Ateh, umi suruh kau balik bulan depan. Encik Walid tak mau tunggu lama-lama, takut kau belot lagi,”

Matanya yang hampir tertutup, kembali luas. Sakit benar rasa hati diganggu masa rehatnya. Lebih sakit lagi, bila si Noi masih tidak mahu belajar sivik. Angkat telefon, beri salam! Tak adalah buat orang mati terkejut! Rungutnya dalam hati.

“Tengoklah dulu! Ateh kerjalah, jadi kuli orang. Kalau bos kasi cuti, bolehlah. Kalau tak, macamana?” Mendatar suaranya melayan si Noi. Mata kembali layu. Minggu ini, masa kerjanya sebelah malam. Waktu siang begini, dia perlu mengecas tenaga.

“Ehhh… tak boleh. Kena balik jugak. Encik Walid nak temukan korang berdua,”

“Hah? Biar betul kau ni,”

“Laa… betullah! Encik Walid takut Ateh lari macam hari tu. Nak bagi Ateh puas hati. Nanti tak adalah komplen, hidung kembanglah! Mata besarlah! Telinga capanglah!”

Dia diam sahaja. Malas hendak menjawab. Mata kembali tertutup tetapi benaknya terbuka luas. Wajah ‘si dia’ menjelma di minda. Kemudian, membandingkan pula dengan wajah-wajah yang pernah diperkenalkan kepadanya oleh walid dan umi. Hidung dia, mancung. Hidung Jamal, kembang! Mata dia sepet, mata Talib terjojol luas. Telinga dia cantik tapi telinga Nabil capang! Ohh… jauhnya beza antara mereka, hatinya dianyam bahagia kerana wajah itulah yang bakal dia tatap setiap hari, nanti.

“Ateh, hidup lagi ke?”

“Kurang ajar, ye? Sukalah tu kalau aku mati!” Kata-katanya disambut kekehan Noi yang begitu menjengkelkan.

“Walid ada gambar terbaru dia. Nak tengok ke?”

Kali ini, matanya terbuka luas. Segala urat, sendi dan otot di dalam badan terasa hidup. Spontan dia bangun dari pembaringan. Hatinya berdendang lagu bahagia. Jantungnya berkompang lagu pengantin baru!

“Nak… nak… nak! Nak tengok sangat,” Dia dengar adiknya di sana berdengus kasar.

“Gatal!” Jerkah Noi.

Terletus ketawa dari ulas bibirnya. Sempat lagi membayangkan wajah Noi yang kelat umpama salak muda. Bimbang adiknya itu berjauh hati, ketawanya dipendekkan sahaja. Dia khuatir kerugian kerana tidak dapat menatap wajah terkini bakal tunangnya itu. Nafasnya dihela panjang.

“Tapi, macamana walid dapat gambar dia pulak?”

“Eh… dia datang rumahlah. Penuh dalam telefon walid tu, gambar dia aje…”

Si dia datang? Bukankah dia di New Zealand sekarang ni? Pulang bercutikah? Hatinya mengembang dengan rasa bangga. Begitu bermaknakah dirinya itu? Sekadar rombongan merisik, cukup hanya keluarga yang hadir tetapi dia sudi ikut bersama. Bukankah itu tandanya dirinya dihargai? Ohh… hati melonjak girang. Tidak sabar menunggu sebulan lagi.

“Tapi orang peliklah. Macam tu punya handsome, kenapa tak kawin lagi? Mustahil tak ada orang nak! Kalau Ateh tu, orang fahamlah…”

“Eh, kenapa dengan Ateh pulak?”

“Ateh tu kan, buruk! Hodoh! Memanglah tak laku, tak ada orang hendak!” Ketawa Noi terdengar sayup-sayup sebelum talian terputus.

Haprak punya adik!

***

Malang betul nasib mereka hari ini. Sudahlah didenda kerana tidak menyiapkan kerja rumah, basikal Kam pula pancit. Terdorong oleh rasa persahabatan yang kental, Kam dibenarkan membonceng di belakang Nok. Sambil mengayuh perlahan-lahan, tiada lain yang dibincangkan kecuali pembalasan!

“Memang nak kena si Roi tu! Mentang-mentang dia pengawas! Suka hati dia aje nak tulis nama orang. Lewat 2 minit pun tak boleh!”

Nok terpinga-pinga, mindanya mula menganalisa. Roi mana pulak ni? Seingatnya, tiada pengawas bernama Roi di sekolah!

“Ada pengawas baru ke? Aku tak kenalpun pengawas nama Roi tu?”

“Hish, kau ni. Roi tu si boroi Adul  tulah, siapa lagi!” Ton mencebir. Tina dan Kam mengekeh gelihati mendengar panggilan manja tersebut. Memang kena betul dengan tuannya!

“Kau pun kena, Ton? Aku ingatkan, aku seorang je jadi mangsa dia,” Nok meniru tingkah Ton, mencebir panjang. Meluat betul bila ingat muka si Adul boroi. Rasa hendak belah saja perut besar tu! Gantikan dengan hati dan perut yang baru. Yang sekarang ni, busuk! Tak boleh pakai!

“Kami berdua pun kena! Ingat tak aku keluar dengan Tina pergi tandas tadi? Dia kata kami berdua ponteng kelas! Tak guna punya Adul!” Kam menumbuk udara.

Terjerit Nok memarahinya kerana basikal bergoyang kuat dan sukar dikawal. Tapi, Kam masih lagi di bawah pengaruh rasa sakit hati yang melampau pada Adul. Kali ini, kakinya pula bergerak laju lalu tersepak belakang lutut Nok. Tergolek kedua-duanya ke tanah bersama jeritan nyaring dari Nok.

“Kau turun dari basikal aku, sekarang!” Lurus telunjuknya menghalau.

“Habis, aku nak naik basikal siapa?” Kam pandang Tina. Tapi bagi Tina, langit yang membiru lebih cantik untuk dipandang berbanding muka temannya itu.

“Tonnn…” Rayu Kam sambil menunjuk muka kasihan. Ton yang lebih lembut hatinya berbanding yang lain, angguk kepala laju. Rambut tocang duanya bergoyang-goyang. Kam tidak tunggu lima saat pun. Terus sahaja bertenggek di belakang Ton. Pergerakannya dihadkan. Bimbang dihalau buat kali kedua!

“Macam ni tak boleh jadi! Kita mesti kenakan dia semula. Si Arip pun berlagak betul! Mentang-mentang cikgu asyik puji dia, nak menunjuk dengan kita. Kalau dia bagi kita pinjam buku latihan dia tadi, tentu kita tak kena denda. Tak adalah balik lewat macam ni. Kedekut!” Kutuk si Tina.

“Alah… Dia tu berani sebab ada abang dia aje… Cuba kalau sorang? Nak angkat muka pun tak berani! Tak apa… tahun depan si boroi tu dah masuk tingkatan satu. Hah, tahulah nasib dia nanti!”

Keempat-empatnya tersengih lebar. Lagi lima bulan, mereka akan melangkah ke darjah lima. Tidak sabar rasanya menanti detik Si Arip melutut di hadapan mereka bila tiadanya Adul sebagai pelindung. Budak gembala lembu itu memang pandai bermuka-muka! Kalau depan cikgu, dialah yang paling baik, paling bijak. Jalanpun tertunduk-tunduk. Tapi, bila ada abangnya di sisi, perangai sebenarnya mula terdedah.  Walaupun tindakannya tidak seganas Adul namun mereka tetap tidak sukakannya yang dirasakan pembantu kanan abangnya itu.

“Cepatlah sikit oi! Nanti lambat pergi mengaji, tak jadi pulak rancangan kita. Aku tak sabar nak balas dendam pada Adul,”

Nok mempercepatkan kayuhan. Dibiarkannya teman bertiga tertinggal di belakang. Sakit hati pada budak lelaki 12 tahun itu, payah dihilangkan. Tidak pasal-pasal dia didenda mencabut rumput di padang pagi tadi. Pinggangnya rasa hendak patah.  Kalau padang sebesar gelanggang bola jaring, tidaklah dihairankan sangat. Ini, padang bola! Dendamnya berbungkal di dalam hati.

“Tunggulah Nok! Kalau ia pun, janganlah laju sangat! Kam ni berat, tau tak?” Teriak Ton tapi Nok tetap menonong ke depan.

Tina cuba menyaingi temannya itu. Ton masih termengah-mengah mengayuh kerana terlebih muatan. Sebelah pagi, mereka ke sekolah berasingan kerana ada yang pergi bersama kakak atau abang masing-masing. Ketika pulang baharulah mereka berbasikal bersama sementara abang dan kakak mereka menghadiri kelas tambahan di sekolah.

“Nok, kau datang lewat pagi tadi?”

“Tak!”

“Habis, kenapa Adul tulis nama kau?”

“Entah, dia kata aku tak berdisiplin. Tak pakai lencana sekolah!”

Tina mengerling baju seragam Nok. Apa yang tak kena? Bukankah ada lencana di baju Nok itu? Adul sengaja nak buat khianat ke? Dahinya berkerut hairan. Bila diamatinya, ternyata ada sedikit kelainan pada Nok hari ini, tapi apa?

“Nok, kau pakai baju baru ke? Nampak besar sikitlah!” Nampaknya Ton ikut menyedari kelainan tersebut.

“Taklah! Baju aku basah. Aku pakailah baju kakak aku!”

“Kakak kau yang sekolah menengah tu?”

Nok mengangguk. Kam dengan Ton sudah ketawa lepas. Terbayang-bayang tubuh gempal Kak Wok yang belajar di tingkatan satu. Tina ternganga. Lencana di baju Nok dijelingnya semula.

Laaa… Patutlah!

iii

“Boleh cakap dengan cik Norkiah?”

“Ya, sayalah tu. Siapa ni?” Hairan betul dia. Sebelum ini, tiada siapa yang menghubungi bertanyakan nama penuhnya. Nama yang umi pilih kerana tertarik dengan filem Masam Masam Manis lakunan Tan Sri P. Ramlee. Akauntan tempat kerjapun, memanggilnya Kiah. Sejak bekerja, nama Nok seolah-olah sudah berkubur. Kadang-kadang , dia rasa rindu hendak mendengar panggilan itu semula.

“Nok! Ni akulah… Rindunya aku kat kau!”

Ya Tuhan! Siapakah yang mendengar jeritan batinnya itu? Beberapa potong nama yang sudah lama sirna, melintas kembali di benak. Ton? Tina? Kam? Tak mungkin! Kepalanya tergeleng perlahan. Hubungan mereka berempat sudah lama terputus. Tuhan saja yang tahu, betapa dia merindukan saat-saat lalu. Sebaik sahaja tamat sekolah, masing-masing keluar dari kampung mencari penghidupan baru. Sejak itu mereka jarang berjumpa, hanya sesekali bila pulang beraya. Kali terakhir bertemu, di hari bahagia Kam lima tahun lalu!

“Nok! Ini akulah… Tina!”

“Tinaaa! Betul ke ni Tina?” Terharu sungguh rasanya, langsung tidak menyangka dihubungi teman lama. Antara mereka berempat, Tina yang paling awal mengakhiri zaman dara. Pasangannya pun, kawan sekolah mereka juga cuma berlainan tingkatan. Terbayang-bayang wajah manis Tina yang bujur sireh, dagu berbelah sehingga menambat hati Azhar, abang angkatnya dari tingkatan lima. Dia tersengih sendiri.

“Nok… aku ada kat kampung. Due aku dah dekat, anak kedua. Noi yang bagi nombor kau ni. Tak sangka, akhirnya kau jadi juga dengan dia,” Ada nada sebak pada suara Tina. Dia menghela nafas dalam-dalam.

“Aku pun tak percaya, dia masih sudi tunggu aku. Ye la kan, kat luar negeri tu ada ramai lagi yang dia boleh pilih,”

“Dia belajar kat luar negeri ke? Aku tak tahu pun. Tapi tulah, orang tua ada cakap. Jangan benci sangat, nanti jadi suka!”

Dia mula berkerut hairan. Bila waktunya dia membenci? Zaman nakal sekolah rendah? Itupun nak kira jugak ke? Tina dah salah orang ni, fikirnya.

“Kau cakap pasal siapa ni, Tina? Bila masa pulak kami ni saling membenci?”

“Laa… aku cakap pasal kau lah, dengan si gembala lembu tu! Arip… lemmm… buuu!”

Hah? Batu besarkah yang menghempap kepalanya kini? Tidakkk!

***

“Eh Arip! Siapa yang datang rumah Tok Malim dengan kau semalam, hah? Aku tak pernah tengok pun! Sedara kau ke?”

Nok rapat ke meja Arip. Temannya yang bertiga berdiri di belakangnya, tidak ubah bagaikan panglima melindungi sang ratu. Arip terkebil-kebil melihat mereka sebelum membuang pandang. Malas hendak melayan samseng Kampung Dusun!

“Arip, kau dengar tak Nok tanya?” Kam pula menyoal siasat. Geram juga rasanya melihat tingkah selamba si Arip.

“Ingat aku pekak ke?” Suara Arip garau dan dalam. Tidak kena dengan badannya yang kurus tinggi.

“Kalau tak pekak, jawablah. Nama aje bijak tapi itupun nak kena ajar!” Basuh Kam lagi. Nok sengih. Ton dan Tina hanya membisu. Diserahkan bulat-bulat kepada teman berdua.  Tambahan lagi, Nok yang beria-ia benar mahu menyiasat.  Mereka berdua hanya bertindak mengikut arahan!

Arip menjeling Kam yang membuntangkan mata. Rimas rasanya melayan karenah anak dara berempat itu. Tetapi apakan daya, mereka sekelas. Mahu atau tidak, terpaksalah juga dia menghadapinya. Semenjak dari sekolah rendah hinggalah sudah boleh jadi emak orang, perangai nakal tidak surut-surut. Paling menghairankan, hanya dia yang sering jadi mangsa berbanding teman-teman lain. Lebih-lebih lagi, selepas Adul melangkah ke sekolah asrama penuh. Tinggallah dia menghadapi kaki buli berempat itu!

Bukan dia tidak pernah melawan tetapi balasan yang akan dia terima lebih teruk lagi. Pernah sekali dia meletakkan seekor katak puru dalam kasut Nok semasa mengaji, gara-gara selipar jepunnya dicampak anak dara itu ke atas bumbung rumah Tok Malim. Keesokannya, dia menerima penghantaran istimewa berupa sekotak katak pelbagai saiz. Terjerit-jerit emak melatah akibat geli geleman melihat katak berlompatan di ruang tamu. Terbakar sungguh hatinya!

“Itu Adul, abang aku!” Akhirnya Arip mengalah. Terbelalak empat pasang mata di hadapannya itu.

“Adul? Eh, bukan dia boroi ke? Kau jangan nak tipu kami!” Tina mengancam. Tiba-tiba terasa mahu masuk campur. Macam tidak percaya dengan kata Arip. Adul yang mereka kenal berperut boroi, dagu berlapis. Tapi semalam… alamak! Kacak sungguh!

“Kau nak percaya ke tidak, aku peduli apa!” Arip mula mengangkat punggung, mahu pergi dari situ tetapi langkahnya ditahan Nok. Senyum gadis itu nampak lain macam. Nok menapak hampir dengannya dengan muka comel sambil mata dikelip-kelip berulang kali. Tidak ubah macam si Tompok, kucingnya yang manja. Berderau darah Arip naik ke kepala! Dadanya rasa mahu meletup!

“Ariipp… cakaplah betul-betul. Siapa semalam tu?”

“Adul, abang aku! Dia balik cuti, kena sakit mata. Kau jangan dekat dengan dia, nanti kau pulak kena jangkit!” Amaran itu dibuat kerana dia tidak mahu empat dara itu mengganggu abangnya pula. Cukuplah yang sudah-sudah!

“Jadi, betullah tu Adul? Tak sangkanya! Kalau macam tu, aku lantik kau jadi posmen aku. Hari ni, aku nak kirim salam je. Esok, aku nak kirim surat pulak, boleh?” Nok sengih lebar. Tiga lagi jadi pom pom girl. Bersorak-sorai tanda sokongan tidak berbelah bahagi.

Arip terpinga-pinga. Jangkaannya meleset. Dan, sejak hari itu bahunya semakin senget memikul tanggungjawab. Menyampaikan salam beserta surat cinta beraroma bedak bayi. Dan paling penting, mengarang surat balasan bagi pihak Adul. Sudahnya, dia sendiri terasa hanyut oleh perasaan terhadap Nok… tanpa diketahui sesiapa. Lebih-lebih lagi, anak gadis itu yang menyangka perasaannya terluah kepada orang yang sepatutnya.

“Korang jangan ganggu Arip lagi! Dia dah baik sekarang,”

“Eleh… dia baik dengan kau aje. Dengan kami, sama jugak. Kedekut! Tangkai jering!” Bentak Kam suatu hari, bila dia merancang hendak mengenakan bakal ‘adik ipar’ Nok itu.

“Apalah bengap sangat? Kalau dia baik dengan aku, korang pun dapat untung sama. Nah, buku aku! Baru kejap aku salin jawapan dari Arip!” Nok mengibar buku tulis sambil terseringai. Pandai betul ambil kesempatan! Sambil menyelam, sambil minum air!

Kam, Ton serta Tina bertepuk tampar kegirangan. Bagai tikus jatuh ke beras!

iv

“Umii… kenapa Arip pulak? Bukan Adul ke?”

Dia tidak tunggu sesaat pun, apatah lagi sebulan untuk bertanyakan tentang hal tersebut. Kali ini, masalahnya bukan lagi tentang hidung, mata atau telinga tapi status gembala yang disandang Arip. Sejak dulu, kini dan selamanya. Wajah Adul yang kacak melambai-lambai di ruang mata. Impiannya berkecai! Paris, Las Vegas, Hong Kong dan Korea makin jauh dari jangkauan. Yang ada hanya padang tempat lembu meragut rumput!

“Adul? Eh, yang datang minta Ateh ni, Arip. Dengarnya, Adul ada kat New Zealand. Arip pun apa kurangnya. Ateh dah tengok gambar Noi hantar tu?”

Panjang sedepa bibirnya. Gambar? Huh, dah lama dia padamkan. Bahkan sebelum sempat dijamah pandangan mata. Tidak sanggup menelek tubuh kurus kering si Arip. Agaknya, setiap hari mengadap lembu, selera Arip pada nasi pun sudah hilang. Entah-entah, Arip makan rumput! Hatinya berbisik jahat.

“Alaa… umi. Ateh tak naklah! Umi cakap dengan walid, ye? Ateh tak suka!” Rengeknya lagi. Airmata sudah semakin berat di pinggir kelopak. Terbayang kembali wajah Arip yang suka berlindung di belakang abangnya Adul. Teringat semula sifat kedekut lelaki itu ketika di alam persekolahan. Oh Tuhan, bukankah anak-anak bakal mewarisi sifat orang tuanya? Dia impikan zuriat yang berani dan baik hati! Bukannya penakut dan tangkai jering!

“Jangan buat hal! Walid dengan umi dah setuju. Ateh pun tak bantah hari tu! Atok pun dah tahu. Sebab tu umi suruh balik! Kenapa Ateh tak balik?” Bebel umi. Dia diam tidak menjawab. Memang salah sendiri!

“Ateh ingatkan Adul…”

“Lagi-lagi Adul! Apa lebihnya Adul dari Arip?”

“Adul pandai, kaya…”

“Arip pun bijak. Dia lulus universiti jugak. Lagi kaya dari Adul, tau? Lembu dia tu dah eksport sampai luar negeri!” pintas umi panjang lebar membuatkan dia terpinga-pinga seketika. Agak terkejut dengan berita yang baru diketahuinya itu. Otaknya diperah lagi, mencari fakta untuk melenyapkan impian umi bermenantukan si kurus tersebut.

“Tapi, Adul duduk New Zealand. Arip tu langsung tak ke mana-mana. Otakpun tak berkembang. Macam katak bawah tempurung!”

“Eh… Si Arip tu tak suka membazir! Kumpul duit, nak besarkan ternakan lembu dia tu! Esok, bila dah kawin, dia bawaklah kamu ke mana-mana yang kamu nak pergi. Lagipun, New Zealand dengan kampung kita ni, tak ada beza pun!” Umi sudah menukar panggilan untuknya sebagai petanda ribut kecil sedang berpusar di dalam tubuh uminya itu.

Umi ni macam tahu-tahu saja, gerutunya dalam hati. Kalau sudah berkenan, semuanya elok! New Zealand dengan Kampung Dusun pun sudah tak nampak beza!

“Banyak beza umi. New Zealand kan sejuk…”

“Sejuk? Felda New Zealand tu, sejuk ke? Rasanya, sama aje dengan Kampung Dusun ni!”

Kenyataan umi itu membuatkan dia hampir pitam. Kepalanya berdenyut keras. Fikirannya dipenuhi gambaran pemuda kurus kering yang pernah dilantik menjadi posmennya suatu ketika dulu. Hidungnya terbau-bau hamis daging lembu. Lebih dramatik, ingatannya terseret kepada ‘kek berinti kasut’ yang pernah menjadi hadiah istimewa buat Arip!

***
“Arip, nanti kau kena panggil aku, kakak. Sebab masa tu, aku dah jadi kakak ipar kau!” Nok mengilai gelihati. Cikgu tiada di kelas, inilah masa yang sesuai untuk mengusik. Seronok pula membayangkan Arip memanggilnya kakak. Ton, Tina dan Kam hanya tersengih, menumpang seronok.

“Tak ingin aku! Jangan nak berangan!” Marah Arip. Kalau sungguh Adul berjodoh dengan Nok, tidak mungkin dia mahu memanggil gadis itu dengan panggilan kakak. Lebih baik kalau dia langsung tak bercakap!

Nok berkerut hairan. Arip mahu berkurang ajarkah? Walaupun dia maklum mereka seusia, pangkat tetap diutamakan. Wajah Arip direnungnya, lama. Tidak sedar, dia menilai penampilan anak muda itu dalam diam. Kalau dilihat dari segi rupa, kedua-duanya setara cuma Arip kurus tinggi berbanding Adul yang dulunya boroi, sekarang sudah tegap badannya. Suara Arip garau dan dalam. Ada waktunya, suara itu mampu membuatkan romanya meriding terutama apabila Arip berbisik ke telinga Nok tentang rahsia dari Adul. Lengan Arip kekar, urat lengannya kelihatan timbul. Mungkin kerana kerja mengembala yang dilakukannya selepas tamat sesi persekolahan.

“Nok! Kau menung apa tu?” Jerkah Kam membuatkan Nok tersentak. Dadanya diurut perlahan-lahan, bagi mengurangkan rasa terkejut. eman bertiga yang tersengih-sengih dijelingnya, tajam.

“Nok teringat Adul tu!”

Arip mengerling sekilas. Mahu melihat perubahan air muka Nok tetapi anak gadis itu diam sahaja. Nok angkat muka, mengilas pandangan ke arah Arip sekali lagi namun pandangan mereka bertembung. Kali ini, Nok bertahan dan Arip pula melawan. Entah bila, teman yang bertiga pergi dari situ, kedua-duanya tidak pasti.

“Aku tak rasa yang aku kena panggil kau kakak,” Arip bersuara perlahan. Nok terpinga-pinga. Kurang memahami ungkapan tersebut. Senyuman Arip tersembunyi maksud tersirat yang sukar ditebaknya.

“Aku yakin sangat, kau yang kena panggil aku abang, nanti!” Senyuman Arip semakin melebar membuatkan jantung Nok bertukar rentak!

Perigi Cari Timba – Wild Cherry

Posted on

 

SUASANA petang itu mendamaikan dengan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Kelihatan ramai pelajar yang bersantai di kawasan taman kolej. Ada yang sedang bergosip, ada yang duduk bersantai, ada juga yang mengulang kaji pelajaran di atas rumput dan di atas meja yang disediakan.

“Kita rehat 15 minit, kepala aku dah berat nak menghafal segala benda ni,” kata Izzah Qhaireena kepada empat orang temannya yang turut sama mengulang kaji pelajaran di atas meja.

“Okey!!” jawab Syamira, Nadhia, Idham dan Fadhli serentak.

Izzah mengeluarkan botol kaca berisi air soya soy dari dalam beg sandang, lalu meneguknya.

“Bestnya angin petang ni. Tidur pun sedap…” Idham bersuara sambil mendongakkan kepala ke langit. Tangannya didepangkan.

“Korang, jom kita main satu permainan nak?” ajak Fadhli. Dia melemparkan pandangannya ke wajah teman-temannya.

Game apa?” soal Syamira ingin tahu.

Truth or dare!” Fadhli tersengih sambil mengangkat keningnya.

“Menarik tu. Dah lama aku tak main game tu. Aku on.” Idham memberikan persetujuan.

“Korang pulak?”

“Aku no hal.. ringan sikit kepala aku ni,” jawab Izzah.

On,” jawab Nadhia dan Syamira serentak.

“Cantik!! Izzah, kau habiskan air soya kau tu. Guna botol kaca baru best sikit,” arah Fadhli yang dari tadi memerhatikan botol air soya di atas meja.

Izzah mencapai botol airnya lalu meneguk air sehingga habis. Kemudian dia menyerahkan botol kaca yang telah kosong itu kepada Fadhli.

Fadhli menyambutnya lalu membaringkan botol itu di tengah-tengah meja. Dia sudah bersedia untuk memusingkan botol kaca itu.

Chop! Chop!” tahan Izzah.

“Kenapa?” soal Fadhli, pelik. Keempat-empat mereka memandang wajah Izzah.

Korang tunggu kejap, aku nak pergi kantin.” Dia mula bangkit dari bangku dan mula berjalan laju.

“Cepat sikit tau!” jerit Idham yang sudah tidak sabar mahu memulakan permainan.

“Okey!” Izzah turut menjerit. Langkahnya dilajukan lagi untuk cepat sampai ke kantin.

Beberapa minit menanti, bayangan Izzah muncul dengan gelas yang berisi air. Dia tersengih sambil menayangkan gelas di tangannya.

“Air apa pulak tu?” soal Syamira, pelik melihat warna air yang tidak serupa air. Keruh semacam aje.

Izzah hanya menjawab dengan sengihan. “Bagi aku pusing botol tu,” pintanya.

Fadhli mengangkat tangannya dari botol kaca itu untuk memberi ruang kepada Izzah memulakan permainan.

Izzah menarik nafas, kemudian dia mula memusingkan botol kaca di hadapannya. Botol itu berpusing 360 darjah dan berhenti di hadapan Idham.

Truth or dare?” Izzah bertanya kepada Idham.

Hmm… dare!” jawabnya pantas.

“Aku nak kau habiskan air ni.” Izzah menyerahkan gelas yang dibawanya tadi kepada Idham.

Tanpa banyak soal, Idham meneguk sedikit air itu.

Puurrrgggghhhh!!!!! Air yang diminum tersembur keluar.

Woit!! Tempiaslah!” marah Fadhli, Syamira dan Nadhia. Izzah pula, sebaik sahaja Idham mula meneguk air, dia segera menundukkan badannya di bawah meja. Dia sudah ketawa terbahak-bahak.

“Masin gila!! Air apa yang kau bagi ni Izzah oi? Boleh kena darah tinggi aku kalau macam ni.”

Izzah menegakkan semula badannya. “Air asam jawa campur garam dua sudu! Kata nak main truth or dare… kenalah kasi kaw-kaw punya dare!” Izzah menjawab selamba. Dia kembali ketawa. Yang lain juga turut menghamburkan tawa.

“Kejamlah kau ni Izzah!”

“Tu pun dah kira okey aku suruh abang kantin tu buat setengah gelas aje. Buatnya aku suruh dia buat satu gelas, masak kau nak kena habiskan.”

Idham sudah memuncung.

“Ha muncung… muncung… saya ikat mulut awak dengan getah ikat sayur baru tahu. Cepatlah habiskan air tu!” arah Syamira.

“Mira, sampainya hati awak tengok kekasih hati awak ni minum air masin.” Idham berpura-pura membuat muka sedih.

“Padanlah muka, siapa suruh awak pilih dare. Cepatlah habiskan, nanti lambat pulak sambung game,” desak Syamira.

Idham mengangkat semula gelas yang berisi air asam jawa bercampur garam tadi. Dia memicit kuat hidungnya lalu meneguk air itu sehingga habis. Dia seperti mahu termuntah apabila berjaya menghabiskan air itu. Kemudian dia mencapai botol air mineral di atas meja lalu meneguknya rakus untuk mencuci tekaknya. Dia mengusap perutnya yang sedikit kembung kerana terlalu banyak minum air.

Turn aku pulak putarkan botol ni.” Idham mula memutarkan botol. Kali ini botol itu terhenti di hadapan Nadhia.

Truth or dare?”

Truth!”

Idham mengerutkan dahi, berfikir soalan apa yang ingin diberikan. Dia memetik jari apabila sudah mempunyai soalan. “Kau cinta sangat si Li ni, kan? Aku nak kau beritahu kita orang, perkara apa yang Li tak suka?”

Fadhli sudah teruja untuk mendengar jawapan kekasih hatinya.

“ala, senang aje… buah hati pengarang jantung aku ni tak suka…. sorry ya awak.” Nadia memohon maaf terlebih dahulu kepada Fadhli sebelum menjawab. “ Dia paling tak suka dengan lipas yang terbang-terbang tu…”

Aduh, bocor rahsia aku! bisik hati Fadhli. Wajahnya sudah berubah merah. Syamira, Izzah dan Idham sudah tergelak  sambil menjeling Fadhli.

“Lepas tu, dia tak suka menunggu. Kalau dah janji pukul 10, mesti tepat-tepat ada kat situ jugak. Dan dia jugak tak suka makan nasi minyak. Cukuplah tu ya..” Nadhiah menyudahkan jawapannya.

“Apa kes kau tak makan nasi minyak? Kalau korang nak kahwin nanti macam mana?” Izzah menyoal Fadhli, pelik.

“Ala apa susah, nasi putih kan ada… Nad makan nasi minyak, aku makan nasi putih. Bolehkan Nad?”

Nadhia mengangguk sahaja. “Okey next…” Nadhia memusingkan botol kaca itu. Kali ini botol berhenti di hadapan Syamira.

Truth or dare?”

Truth!” jawab Syamira pantas.

“Sebelum kau dengan Idham berpacaran… ceh wah, ayat aku… tak boleh blah! Ha ha ha..” Nadhia dan yang lain sudah tergelak.  “pernah tak kau minat kat siapa-siapa?” sambungnya lagi.

Glurp! Syamira menelan air liur. Dia memandang wajah Idham yang seperti ingin tahu. Kemudian dia memandang wajah seorang demi seorang temannya.

“Cepatlah jawab,” desak Nadhia

“Kalau tukar soalan boleh tak?”

“Tak boleh! Kau kena jawab jugak soalan ni.”

Syamira mengeluh. Dia menarik nafas panjang. “Pernah.” Dia menjawab senafas.

“Siapa?” Ketiga-tiganya bertanya serentak.

“Masa sekolah dulu, aku ada minat kat ketua pengwas.”

“Kau luahkan kat dia tak?” potong Izzah.

“Tak.”

“Kenapa?” tanya Nadhia pula.

“Kalau aku beritahu dia, mesti dia reject aku sebab dia dah ada makwe time tu.”

“Ooo….” Ketiga-tiganya bersuara serentak.

“Dahlah lupakan cerita lama tu. Dah basi pun. Cinta monyet aje tu. Okey next…” Dia memusingkan botol itu. Selepas berpusing beberapa kali, akhirnya botol berhenti di hadapan Fadhli.

Truth or dare?

Dare!” jawab Fadhli sambil menaikkan kolar bajunya ke atas.

“Aku nak kau nyanyikan lagu kegemaran Nad.”

Fadhli tersengih. “Id, pinjam gitar kau kejap,” pintanya.

Idham mengambil gitar yang diletakkan di sebelahnya lalu menghulurkan kepada Fadhli.

“Nadhia, dengarlah nyanyian saya yang tak seberapa ni. Saya akan menyanyikan lagu kegemaran awak iaitu… what should I do.” Fadhli mula memetik gitar. Matanya memandang tepat ke wajah Nadhiah. Dengan penuh perasaan dia menyanyi.

Hangoru mankum  gudelbo nemyon nunmu rina

            Hangoru mankum   gudega gamyon tonun murihu lowa

            Sonulpo dodo   sonnemi rodo  dahul suom nungo suro

            Gudega nunde  japjino tago  nanulgo manitjo

                                    c/o

            O tokajo.. o tokajo..  gudegato naga neyo

            O tokajo.. o tokajo..  naldu goto naga neyo

            Sarang heyo.. sarang heyo..  mokno habu lobojiman

            Gudendut jimo teyo   gasumu roman   wechigo isu ni

            Haruon jongil   jiwo bojiman   toto o la

            Haruon jongil   ibyol hajiman  toda shito o la

            Sonulpo dodo  sonnemi rodo  hanul suom nungo suro

            Gudaga jiman  japji motago  nanulgo  manitjo

                                    c/o

            O tokajo.. o tokajo..   gudegato naga neyo

            O tokajo.. o tokajo..  naldugoto naga neyo

            Sarang heyo.. sarang heyo..  mokno habu lobo jiman

            Gudendut jimo teyo  gasumu roman  wechigo isu ni

                                    c/o

            O tokajo.. o tokajo..  nanu jiku depu ninde

            O tokajo.. o tokajo..  gudegato naga neyo

            O tokajo.. o tokajo..  naldugoto naga neyo

            Sarang heyo.. sarang heyo..  mokno habu lobo jiman

            Gudendut jimo teyo  gasumu roman  wechigo isu ni

           

            “Nadhia Natasya, sarang heyo!” ucap Fadhli sebaik sahaja menghabiskan nyanyiannya.

Nadhia sudah mengalirkan air mata. Dia tidak menyangka Fadhli yang tidak meminati drama korea, sanggup menghafal lagu kegemarannya.

Wallaweyh!!! First time aku dengar kau nyanyi semerdu ni. Sebelum ni macam katak panggil hujan aje…” Izzah menepuk tangan diikuti Syamira dan Idham.

“Alololo…. touching  pulak minah air mata ni.Laplah air mata tu, nanti orang  fikir apa pulak tengok kau nangis-nangis ni.” Syamira mengusap bahu Nadhia.

Nadhia tersenyum sambil mengelap air matanya. “Thanks awak… thanks sebab nyanyikan lagu kegemaran saya, walaupun suara awak tak semerdu Jang Geun Suk.”

“Untuk awak, apa pun saya sanggup.” Fadhli tersenyum.

“Jom sambung study balik, dah lebih 15 minit kita break.” Izzah mula membuka buku di hadapannya.

Na… na… na… mana aci kau tak kena lagi. Jangan nak mengelak, aku tahu sangat kau tu.” Fadhli merampas buku di tangan Izzah.

Izzah menjegilkan matanya. Isy mamat ni, kan… tahu aje aku nak mengelak! gumam hatinya.

“Okey! Yang pasti, aku akan terlepas.” Dengan penuh yakin Izzah menjawab.

“Bismillahirrahmanirrahim…” Fadhli memusingkan botol itu. Laju botol itu berputar. Semakin lama semakin perlahan… perlahan… dan perlahan… Akhirnya muncung botol itu berhenti di hadapan Izzah.

Izzah menjatuhkan mukanya di atas meja. Dia mengeluh kuat.

Truth or dare?”

Izzah mengangkat mukanya semula. Dia berfikir sejenak sebelum menjawab. “Dare!

Fadhli tersenyum penuh makna. “Aku nak kau lafazkan cinta pada…” Fadhli memandang sekeliling taman. Dia tersenyum apabila matanya terhenti pada suatu objek. “Pokok tu!” Dia menundingkan jari telunjuknya pada sebatang pokok besar yang tidak berapa jauh dengan tempat mereka duduk.

Izzah, Syamira, Idham dan Nadhia mengalihkan pandangan mengikut telunjuk Fadhli. Fadhli memilih pokok itu kerana hanya pokok itu yang masih kosong dan belum diduduki orang.

“Ala, kacang goreng aje tu!” Izzah mula bangkit mahu melangkah ke arah pokok yang ditunjuk oleh Fadhli tadi.

Wait… wait…” tahan Fadhli apabila Izzah sudah mula melangkah.

“Apa lagi?” Izzah berpatah semula ke mejanya apabila Fadhli menggamit.

“Kau kena ikut arahan aku ni. Dengar baik-baik ya… kau kena berjalan dari sini hingga ke pokok tu dengan menutup mata.”

Terbeliak mata Izzah mendengar arahan itu.

“Bila dah sampai kat pokok tu, kau melutut macam putera raja nak melamar kekasih hatinya…”

Izzah sudah bercekak pinggang.

“Kemudian, kau jerit I love you kuat-kuat, barulah kita orang boleh percaya yang kau dah berjaya menyahut cabaran ni!” Fadhli tersengih lagi.

“Fulamak! Boleh tahan jugak dare kau ni ya. Aku langsung tak terfikir nak buat macam tu. Give me five!” Idham dan Fadhli menyatukan tapak tangan mereka.

Syamira dan Nadhia hanya mampu tersenyum melihat muka mencuka Izzah.

“Kau ni kejamlah! Dahlah orang ramai kat sini, tak pasal-pasal dorang cop aku ni mental pulak. Tukar lainlah.” Izzah tidak berpuas hati.

“Pandai pulak kau, kan… tadi time aku, kau suruh minum air asam jawa campur garam. Kira kejamlah jugak tu.Hurry up… hurry up… lambat kau buat, lambatlah kita sambung study.” paksa Idham.

“Yalah… yalah…” Izzah mula memusingkan badannya. Dia mula melangkah perlahan.

Oit minah! Tutup matalah,” Nadhia mengingatkan.

“Aku nak kira langkah dulu. Kalau main redah aje, boleh pengsan aku nanti, terlanggar batang pokok tu. Satu, dua, tiga, empat, lima, enam, tujuh, lapan, sembilan, sepuluh.” Dia mengira selangkah demi selangkah. Kemudian dia melangkah ke belakang semula dengan kiraan yang sama. Dia meliarkan matanya ke sekeliling taman.

“Apa yang kau cari?” soal Syamira, pelik.

“Aku nak cari bunga.. barulah nampak real sikit nanti.” Izzah melangkah ke arah pokok bunga raya lalu memetiknya sekuntum.

Syamira menepuk dahinya. “Perangai gila-gila dia dah mai dah…”

Tadaa…” Izzah menayangkan bunga yang dipetikya. Dia memusingkan badannya untuk memulakan cabaran. “Tengok ni, aku pejam mata.” Dia mula melangkah setapak demi setapak dengan membuat kiraan di dalam hati.

“Izzah!” jerit Nadhia apabila baru setengah jalan Izzah melangkah.

Izzah berhenti mengejut. Dia menunggu Nadhia menyambung kata. Matanya masih ditutup.

“Tak payah panggil. Biarkan aje,” halang Idham. “Go Izzah! Go!

Izzah kembali meneruskan langkahnya.

“Kalau dia marah macam mana?” Nadhia bersuara cemas.

“Ni barulah nampak real” Idham tersengih. Mereka berempat menumpukan kembali perhatian kepada Izzah.

Lapan, sembilan, sepuluh! kiranya dalam hati. Dia mula melutut seperti yang diajar oleh Fadhli. Bunga raya yang dipetik tadi dihalakan ke hadapan. Matanya masih ditutup dan…

I love you!!” jeritnya. Dia tersengih.  “Erk??” Izzah pelik apabila terasa ada yang menyambut huluran bunganya.

Pandai betul pokok ni sambut bunga aku, desis hatinya. Dia tersenyum. Wait… wait… pokok? Bunga? Eh, pokok mana ada tangan. Takkan pokok ni berhantu kot? Mampus kau Izzah! Hantu dah sambut cinta kau! Bercinta dengan hantulah kau nampaknya! Dia berteka-teki dalam hati.

Tapi… mana ada hantu siang-siang… hantu selalu keluar waktu malam aje… perlahan-lahan matanya dibuka. Objek pertama yang dilihat ialah seorang lelaki yang bercermin mata berbingkai hitam. Rambutnya pula disikat ke tepi. Baju yang dipakainya pula, dibutang hingga ke atas. Wajahnya keanak-anakan dan ada iras-iras Ming Dao. Lesung pipit di kedua-dua belah pipi, menyerlahkan kecomelannya. Anak matanya yang berwarna hazel itu membuatkan Izzah terpaku lama. Cantik sangat!

“Boooooo!!!!!!!!”

Izzah tersedar apabila mendengar bunyi sorakan pelajar yang masih berada di taman itu. Dia memandang sekeliling. Ada yang berbisik sesama sendiri, ada yang memandang dengan pandangan sinis, ada yang ketawa dan ada juga yang mempamerkan muka seakan-akan kagum dengan keberanian Izzah melafazkan cinta. Wajah Izzah dan lelaki berwajah comel itu sudah bertukar merah.

“Saya pergi dulu.” Lelaki berwajah comel itu mula menyimpan bukunya ke dalam beg, kemudian berjalan dengan lemah-gemalai meninggalkan Izzah.

“Hei Mr. Cute! Siapa nama awak?” Sempat lagi Izzah bertanya.

Lelaki berwajah comel itu tidak mengendahkan soalan Izzah. Dia mula berlari laju, meninggalkan taman yang telah memberikannya sejarah yang paling memalukan.

Izzah menjungkitkan bahunya. Getah ikat sayur di pergelangan tangannya di tarik keluar lalu mengikat rambutnya yang hanya paras bahu.

“Perempuan ni tak ada taste langsung! Dengan lelaki lembut pun dia minat. Eeuw! Siap confess depan orang ramai lagi tu, macam perigi cari timba aje!”

Izzah mula bangkit untuk mendapatkan teman-temannya. Dia tidak memandang wajah perempuan yang mengatanya. Dia malas mahu melancarkan pergaduhan kerana mereka tidak tahu dia sedang menyahut cabaran Fadhli.

“Yang korang ni ternganga apasal? Masuk lipas kang, baru tahu.” Dia melabuhkan punggung di bangku.

“Lipas-lipas jangan sebut ya!” Fadhli menjegilkan matanya.

Opps, aku lupa pulak yang kau ni penakut lipas.”

“Bukan takutlah, geli!” Fadhli membetulkan tanggapan Izzah.

Korang, aku peliklah… tadi sebelum aku tutup mata, tak ada pulak orang kat bawah pokok tu… ke… aku tersalah pokok?” Izzah menayangkan wajah keliru.

“Memang tak ada orang pun tadi. Kau dengar tak aku panggil nama kau?”

Izzah mengangguk.

“Masa tulah budak yang kau panggil Mr. Cute tu muncul. Si Id pulak tak bagi aku beritahu kau, katanya nak bagi nampak real.” sambung Nadhia lagi. Dia sudah risau, takut Izzah mengamuk.

Cutelah budak tadi tu.” Izzah sudah menongkat dagu, membayangkan semula wajah comel yang berlesung pipit itu.

Syamira, Nadhia, Idham dan Fadhli sudah ternganga mendengar kata-kata Izzah.

“Kau tak marah ke?” soal Nadhia, ingin tahu.

“Taklah, tapi aku suka. He he he… betul-betul cutelah budak tu, rasa nak cubit-cubit aje pipi dia., tapi tak boleh, bukan muhrim.”

“Kau tak marah ke tengok orang lain mengumpat kau tadi?” soal Syamira ingin tahu. Selalunya kalau ada yang mengumpatnya, Izzah pasti akan melenting. Sekarang, kerana seorang lelaki berwajah comel, hilang kemarahan kawannya ini.

“Nampaknya tak lama lagi bertambah soranglah dalam group kita ni ya. Aku dengan Nad, Id dengan Mira, Izzah dengan… siapa nama budak tu?” Fadhli bertanya teman-temannya.

Izzah, Nadhia dan Syamira menjungkit bahu tanda tidak tahu.

“Harraz,” kata Idham.

Enam pasang mata memandang tepat ke wajah Idham.

“Harraz fayyadh,” sambungnya lagi.

“Tapi Izzah, kau tak nampak ke cara dia jalan? Lembut semacam aje. Takkan kau dah jatuh cinta kat dia?” Syamira meluahkan kemusykilannya. Setahunya Izzah tidak mudah untuk jatuh cinta. Ada yang mencuba nasib untuk memikatnya namun dia menolak mentah-mentah.

“Kenapa? Lelaki lembut tak boleh bercinta ke? Lelaki lembut tak boleh kahwin? Cik Mira, cinta tu buta okey… yang penting, hati. Aku tak kisah kalau orang nak kata dia lembut ke apa, yang penting aku suka dia.” Izzah meluahkan rasa hatinya.

“Okey, drop the topic. Sekarang sambung baca buku balik, esok ada kuiz.” Fadhli bersuara. Tidak mahu memanjangkan pendebatan. Masing-masing sudah membuka buku kembali.

*****

IZZAH menyambut mangkuk nasi yang dihulurkan oleh ibunya. Dia menceduk dua senduk nasi ke dalam pinggan, kemudian dia meletakkan mangkuk nasi tadi di hadapannya lalu mencapai mangkuk yang berisi tomyam. Dia tergamam apabila ternampak wajah Harraz di dalam mangkuk itu. Lama dia merenung mangkuk itu.

“Reen,” panggil Puan Izzati.

Izzah tersentak. Dia memandang wajah ibu dan ayahnya yang memandangnya dengan muka pelik.

“Kenapa ditenung aje tomyam tu? Makanlah.” Encik Khalid bersuara.

Izzah tersenyum malu. Dia cepat-cepat menceduk tomyam ke dalam pinggan, kemudian menghulurkan mangkuk tomyam itu kepada ayahnya.

“Reen..”

Baru tiga suap nasi masuk ke mulutnya, Puan Izzati sudah memanggil. Izzah mengangkat wajahnya. “Ya ibu?”

“Hari ahad nanti kita pergi rumah Mak Long ya… Kak Maria kamu nak bersanding.”

“Kalau ibu dengan ayah aje yang pergi, boleh tak? Reen malaslah. Nanti ada aje yang Mak Long tu bebelkan. Reen, kamu dah ada pakwe ke belum? Reen, kenapa potong rambut tu pendek sangat? Huh bosan!” Izzah meniru gaya Mak Longnya.

“Mana boleh macam tu. Masa akad nikah pun Reen tak pergi, nanti kecik pulak hati Kak Maria kamu tu. Sekurang-kurangnya tunjukkanlah muka tu. Pergi ya?”

Izzah mengeluh. Nasi di pinggan digaul perlahan.

“Reen pergi ya nak?” pujuk Puan Izzati lagi.

Izzah mengangguk lemah.

Puan Izzati tersenyum puas.

*****

IZZAH cuba memejamkan matanya namun tidak mahu terlelap. Dia mengiring ke kanan, terbayang mata cantik Harraz. Dia berkalih pula ke kiri terbayang lesung pipit milik lelaki itu. Akhirnya dia bangkit dari pembaringan.

“Aku betul-betul dah jatuh cinta kat dia ke? Tapi tak ada pulak jantung aku berdenyut laju macam dalam novel tu.” Dia bermonolog sendirian. Dia membaringkan semula badannya sambil tangan diletak di bawah kepala. Dia merenung siling bilik seolah-olah wajah Harraz berada di situ.

“Tapikan, mata dia cantik sangat. Mata betul ke tipu ek?” monolognya lagi.

“Isy apa yang aku merepek ni? Dah sah-sahlah mata betul. Kalau tak, takkan dia pakai cermin mata!” Izzah mengetuk kepalanya.

“Reen, cakap dengan siapa tu? Tak tidur lagi ke? Dah pukul 12 ni.” Kedengaran suara Puan Izzati diikuti dengan ketukan pada pintu bilik.

“Reen tengah bercakap dalam telefon, bu. Kejap lagi Reen tidur,” bohongnya.

“Jangan tidur lewat sangat.”

“Baik ibu, Reen dah nak tidur ni.” Dia menarik selimut hingga ke paras dada lalu memejamkan matanya.

*****

CANTIKNYA Kak Maria,” puji Izzah, ikhlas. Dia meliarkan matanya, merenung hiasan di bilik pengantin itu.

Maria yang sudah siap bermekap hanya tersenyum. “Kenapa tak datang masa akad nikah hari tu?”

“Reen busy sikitlah kak… sorry ya,” bohongnya. Dia mencapai tangan Maria sambil membelek-belek inai yang terlukis cantik.

Maria tersenyum.

“Kak, selalunya majlis perkahwinan kat KL ni guna katering, tapi kenapa Reen tengok jiran-jiran akak yang memasak?” soalnya, pelik.

“Mak malas nak guna katering. Mak cakap, nak wujudkan balik budaya melayu yang dah lama orang bandar tinggalkan. Kalau bergotong-royong, dapat merapatkan lagi hubungan kita dengan jiran tetangga,” jelas Maria.

Izzah mengangguk, bersetuju dengan penjelasan itu.

“Haa datang pun kamu, Reen. Mak Long ingatkan tak datang,” ujar Puan Rohaya yang baru sahaja muncul di bilik itu.

Izzah bangkit untuk menyalami Puan Rohaya.

“Kamu bila pulak nak kahwin Reen?”

Dah mula dah! gumam hatinya. “Reen muda lagilah Mak Long. Belajar pun belum habis lagi.”

“Mak Long dulu, umur 18 tahun dah kahwin tau… ke… kamu belum ada calon?”

“Tu zaman dulu Mak Long… zaman sekarang, perempuan suka kahwin lambat. Dah kumpul duit banyak-banyak baru boleh kahwin.” Dia meluahkan pendapatnya.

“Kalau tak menjawab, tak sah kamu ni, kan? Kalau lambat sangat kahwin tu, tak lakulah gamaknya.” Puan Rohaya bersuara sinis.

Grr… geramnya aku! Nilah yang malas nak datang ni, marahnya dalam hati.

Maria melekapkan tangannya ke atas tangan Izzah, untuk memberi kekuatan. Dia tahu Izzah bengang dengan bicara emaknya. Dia sudah masak benar dengan perangai emaknya yang suka membebel itu. Bukan dengan Izzah seorang sahaja yang dibebelkan, tetapi dengan semua anak saudaranya yang dirasakan tidak kena dengan matanya.

“Ala mak ni, Maria pun kahwin umur 27. Lambat jugak tu.Mak jangan risaulah pasal Reen, ada jodoh, kahwinlah Reen ni.” Dia menyebelahi Izzah.

“Kamu lain Maria, masa tengah belajar lagi kamu dah ada boyfriend. Tapi Reen ni langsung tak ada.”

Izzah hanya memekakkan telinganya.

“Mak, ayah panggil. Tetamu dah nak sampai,” panggil Nazim, di balik langsir bilik.

Puan Rohaya berlalu meninggalkan bilik itu.

“Sabar ya, Reen. Mak memang macam tu,” pujuknya.

Izzah hanya tersenyum.

*****

IZZAH mengangkat kepalanya yang terasa lenguh kerana tunduk terlalu lama. Dia mengurut tengkuknya perlahan sambil meliarkan matanya melihat sekitar perpustakaan. Matanya terpaku apabila melihat Harraz turut berada di dalam perpustakaan.

Dia menopang dagu. Jarak di antara meja yang didudukinya dengan meja Harraz, membolehkannya melihat wajah Harraz dengan jelas. Dia tersenyum sendirian melihat pelbagai mimik di wajah lelaki itu. Adakalanya Harraz mengerutkan dahi, adakalanya dia memejamkan mata sambil mulutnya terkumat-kamit, dan adakala cermin matanya hampir melurut jatuh dari batang hidung, ditarik semula ke atas.

“Hoi, apa yang kau senyum sorang-sorang ni?” bisik Syamira ke telinga Izzah.

Izzah tersentak. “Tu…” Dia memuncungkan mulutnya, menunjuk ke arah Harraz yang sudah berubah dari duduk menegak bertukar menongkat dagu.

Syamira menepuk dahinya. “Kawan aku yang sorang ni la… betul-betul angau.” Dia menyambung kembali bacaannya, membiarkan Izzah yang masih lagi merenung Harraz.

Harraz terasa seperti ada mata yang memerhatikannya. Dia mengangkat muka dan meliarkan pandangan ke sekeliling perpustakaan. Terbeliak matanya apabila melihat Izzah sedang merenungnya sambil melambaikan tangan.

Wajah Harraz sudah berubah merah apabila mengingati kejadian yang memalukan itu. Dia menegakkan buku yang dibacanya, kemudian dia menyorokkan mukanya di sebalik buku itu. Perlahan-lahan kepalanya diangkat sedikit dari buku. Dia kembali menunduk apabila Izzah masih lagi merenungnya.

“Izzah, jom pergi kantin, dorang dah tunggu kita kat sana.” Syamira menyiku Izzah.

Izzah mula mengemas buku-bukunya lalu bangkit meninggalkan perpustakaan. Apabila hampir sampai ke pintu keluar, dia berpaling ke belakang. Dia melihat Harraz seperti tercari-cari. Apabila mata mereka saling bertentangan, Izzah menggerakkan bibirnya dengan berkata see you! Kemudian dia melambaikan tangannya tanpa menghiraukan pandangan pelik pelajar lain. Dia berpusing kembali untuk mengejar Syamira yang sudah ke hadapan.

Wajah Harraz kembali bertukar merah apabila semua mata memandang ke arahnya. Dia mula mengemas semua buku untuk beredar dari situ.

*****

KAK, mee goreng basah satu.” Izzah memesan makanan di kantin.

“Hai Izzah… aku dengar kau dah popular sekarang.” Aiman, si buaya darat kolej menegurnya.

“Apa maksud kau ni?” soalnya, kurang faham.

“Kau tak tahu ke yang kau dah dapat gelaran baru kat kolej ni? Perigi cari timba!” Aiman menekankan ayat perigi cari timba.

Izzah tersenyum sinis. “Peduli apa aku!”

“Itulah, dulu aku nak kat kau, kau jual mahal. Sekarang baru nak terhegeh-hegeh cari lelaki. Kalau lelaki yang elok sikit tak apalah jugak, ini half-half yang kau pilih. Ha ha ha…” Aiman ketawa besar.

Izzah menyambut dulang yang berisi mee goreng basah, lalu menjeling tajam ke wajah Aiman. Dia melangkah mendapatkan teman-temannya.

“Izzah, kalau kau sudi, aku boleh jadi timba kau!” jeritnya.

Izzah menjelirkan lidahnya, tanda dia menyampah mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Aiman.

“Apa hal tu?” soal Idham yang sedari tadi memerhatikan Izzah dengan Aiman.

“Dia gelakkan aku pasal kes minggu lepas.” Izzah mula menyudu mee gorengnya.

“Kau betul-betul serius ke, sukakan Harraz?” soalnya, ingin tahu. Dia menyisip air tembikainya.

Yup… kenapa, kau tak percaya ke?”

“Bukan tak percaya tapi aku takut kau tak serius sukakan dia. Manalah tahu, bila jumpa lelaki lain, kau tinggalkan dia.” Idham menjelaskan keraguannya.

Izzah menyisip air teh o ais limaunya.

“Dulu dia pernah couple dengan budak junior. Dia cinta gila-gila kat perempuan tu. Cinta pertamalah katakan.”

Izzah, Syamira, Nadhia dan Fadhli mendengar tanpa menyampuk.

“Lepas dua bulan, dorang putus.”

“Kenapa?” soal Fadhli sambil mengerutkan kening.

“Dia tangkap perempuan tu tengah dating dengan lelaki lain. Masa tu jugaklah perempuan tu mintak putus dan beritahu yang dia sebenarnya bukan sukakan Harraz pun tapi dia dicabar oleh kawan-kawan dia. Kalau dia berjaya, dapatlah duit, kalau gagal, dialah yang kena bagi duit kat kawan-kawan dia. Lepas tu, depan orang ramai dia hina Harraz. Korang nak tahu apa perempuan tu kata?”

Ketiga-tiga mereka mengangguk serentak.

“Lelaki lembut macam kau ni tak layak untuk bercinta dengan akulah! Cerminlah diri tu sikit. Dengan cara pemakaian ni, dengan cara jalan kau lagi, boleh memalukan aku tahu, tak?” Idham mengajuk cara percakapan bekas kekasih Harraz.

Izzah sudah mengepal penumbuk.

“Mana kau tahu pasal cerita ni?” soal Nadhia, ingin tahu.

“Kawan aku yang cerita. Time tu dia ada kat restoren tu.”

“Id, kau tunjuk sikit minah kat aku, biar aku pelakangkung kepala dia!” Wajah Izzah bertukar merah.

“Tak ada gunanya kau nak pelangkung kepala dia. Dia dah pindah pun.”

“Aku tak main-main, aku betul-betul serius sukakan dia. Korang pun tahu yang aku ni jenis yang susah nak jatuh cinta, kan? Korang percayakan aku tak?” Izzah membuat pengakuan.

“Kita orang percaya… apa yang kau nak buat lepas ni?” soal Fadhli.

Dorangkan gelarkan aku perigi cari timba, kan? Mulai hari ni aku akan tunjukkan yang aku ni betul-betul perigi cari timba!” Izzah tersenyum penuh makna.

“Kau tak malu ke kalau ada orang mengutuk kau?” soal Syamira, ragu-ragu.

“Peduli apa aku… butakan mata, tulikan telinga aje. Habis cerita. Korang sokong aku tak?”

Keempat-empat mereka mengangguk kepala.

*****

IZZAH masuk ke perpustakaan. Dia meliarkan matanya mencari kelibat Harraz. Menurut Idham, dia nampak Harraz menuju ke perpustakaan. Dia tersenyum apabila sudah terjumpa apa yang dicari. Dia melangkah ke bahagian rak buku.

“Hai Mr. Cute..” Izzah menegur Harraz yang sedang memilih buku.

Harraz berpaling. Wajahnya berubah terkejut. “Apa yang awak buat kat sini?”

“Cari awaklah!” Izzah tersengih.

Harraz kembali mencari buku di rak.

“Awak… kita couple nak?” Tanpa segan silu, Izzah bertanya.

Terjatuh buku yang dipegang oleh Harraz. Dia menunduk untuk mengutip buku itu, kemudian diletakkan semula di dalam rak. Dia berpaling ke belakang, merenung tajam wajah Izzah.

“Nak tak?” soalnya lagi.

Are you nuts? Awak ni rabun ke?” Dia bersuara keras tapi perlahan.

“Saya tak gila dan tak rabun. Saya serius ni. Awak nak tak?”

Harraz mendengus kuat, kemudian berlalu meninggalkan Izzah yang setia menanti jawapan.

Izzah bercekak pinggang. “Tak apa, banyak lagi masa.” Dia tersenyum sendirian.

*****

SELEPAS makan malam, Harraz melangkah ke gazebo. Dia duduk di situ sambil merenung tasik buatan. Bunyi air yang mencurah di dalam tasik buatan mendamaikan suasana malam. Otaknya berpusing, mengimbas kembali kejadian petang tadi.

*****

HARRAZ sedang melayari internet di kantin kolej, untuk mencari maklumat berkenaan tugasannya. Sedang dia leka, Aiman tiba-tiba duduk di hadapannya.

“Woi sotong! Aku nak bagi warning pada kau. Jangan sesekali rapat dengan Izzah! Kalau kau degil… kau tahulah apa akibatnya nanti!” ugutnya sambil meletup-letupkan jari-jemarinya.

“Apa yang kau merepek ni?” Harraz mengerutkan dahinya.

“Kau ingat aku tak tahu yang Izzah selalu terkejar-kejarkan kau! Apa ilmu yang kau pakai ha sampai Izzah jadi macam tu? Nak kata kau hensem… hensem lagi aku! Hei! Cerminlah diri tu dulu,” cemuhnya.

“Aku dah lama cermin diri aku. Aku sedar yang lelaki lembut macam aku tak layak untuk bercinta.”

“Haa! Sedar pun kau. Ingat ya, aku nampak kau layan Izzah… siap kau!” Aiman mengambil air Harraz lalu meneguknya hingga habis. Kemudian, dia tersenyum sinis sebelum berlalu meninggalkan Harraz yang sudah kecut perut.

*****

ANGAH menungkan apa tu?”

Berterabur semua kejadian petang tadi. “Bila masa Iqy ada kat sini?” Dia menyoal adiknya yang duduk di hadapannya.

“Dah 10 minit Iqy kat sini. Apa yang Angah menungkan tadi? Sharelah dengan Iqy… Sharing is caring, right?”

“Ada sorang perempuan kat kolej minat kat Angah,” ceritanya.

So?”

“Dia ajak Angah couple tapi Angah tak layan dia.”

Mata Iqbal sudah terbeliak. “Kenapa Angah tak layan?”

“Angah takut dia hanya nak mempermainkan Angah macam Salina tu. Lagipu, mana ada perempuan yang suka dengan lelaki lembut macam Angah ni.”

“Angah ni terlampau merendah dirilah. Kat luar tu ada aje lelaki lembut yang berkahwin. Angah kena yakin dengan diri Angah!” Iqbal memberi semangat.

“Iqy bolehlah cakap macam tu sebab bukan Iqy yang lembut, tapi Angah. Iqy tak tahu macam mana hancurnya perasaan Angah ni bila Salina beritahu yang dia hanya menyahut cabaran kawan dia aje. Sakit hati Angah ni Iqy. Sakit!” Wajah Harraz bertukar sedih.

Iqbal sudah kehilangan kata-kata.

“Angah masuk dalam dululah.” Harraz bangkit lalu melangkah ke dalam rumah.

*****

IZZAH mengeluarkan pengetip kuku di dalam beg sandang. Pisau pengetip kuku ditarik lalu dibawa ke batang pokok. Dia mula mengukir sesuatu pada batang pokok itu. Hampir 15 minit dia berkerja keras mengukir namanya dan nama Harraz. Dia tersenyum melihat hasilnya. Jemarinya menyentuh lembut ukiran nama itu.

“Awak buat apa tu?”

Izzah berpaling. Dia tersenyum memandang Harraz. “Datang pun awak. Saya ingatkan awak tak datang.”

“Sinikan tempat  favourite saya. Kalau awak nak duduk sini, saya cari tempat lain ajelah.” Harraz mula melangkah.

            “Raz, tunggu!” panggil Izzah.

Harraz berpaling ke belakang.

“Cuba awak tengok apa yang saya ukir kat batang pokok ni,” pintanya.

Harraz mula mendekatkan diri, menghampiri pokok itu. “Reen dan Raz?” Dia memandang wajah Izzah.

Yup! Reen tu saya, Izzah Qhaireena dan Raz tu awak, Harraz Fayyadh,” jawabnya selamba.

“Kenapa awak buat macam tu?”

“Pokok ni jadi saksi, saya lafazkan cinta pada awak dan bila saya pandang pokok ni, saya teringat kejadian tu. Awak nak couple dengan saya tak?” Izzah masih mencuba nasib.

“Tak nak!” jawabnya pantas. Dia mula mengatur langkah.

“Habis tu, kenapa awak terima bunga saya dulu?” Izzah tidak puas hati dengan penolakkan Harraz.

“Saya dah buang pun bunga tu!” Dia berjalan laju.

“Harraz, saya ikhlas sukakan awak! Saya takkan putus asa!” jeritnya.

Harraz berlari laju meninggalkan perkarangan taman.

*****

IBU…” Izzah melangkah masuk ke dalam salon milik ibunya. Dia melabuhkan punggung di hadapan ibunya.

“Reen, tadi kata tak nak ikut ibu pergi salon. Apa mimpi Reen datang sini?” Puan Izzati yang sedang mengira di kalkulator, terkejut melihat kedatangan Izzah pada petang itu.

Boringlah duduk rumah sorang-sorang… Ayah pulak belum balik lagi dari main golf,” rungutnya. Dia meletakkan dagunya di atas meja, sambil jarinya mengetuk-ngetuk meja.

“Kalau boring, tolong ibu cucikan rambut customer.”

“Yang mana satu?” Izzah menegakkan badannya. Matanya meliar memandang pelanggan-pelanggan di dalam salon itu.

“Yang baju hitam tu.” Puan Izzati menundingkan ibu jarinya kepada seorang gadis cina yang sedang leka membaca majalah.

“Okey bos!” Izzah mula bangkit dari kerusi lalu melangkah ke arah gadis cina yang ditunjukkan ibunya tadi.

Hello miss, nak cuci rambut ke?” soal Izzah.

Gadis cina itu mengangkat muka, memandang Izzah dari dalam cermin. Dia mengangguk dan tersenyum.

Izzah mencapai sarung tangan getah lalu menyarung ke tangannya. Kain bersih diambil lalu dibalut pada tubuh pelanggan untuk mengelakkan pakaian pelanggan kotor. Kemudian dia memicit syampu ke tangan lalu dibawa ke atas rambut gadis cina itu. Dia mula mengurut perlahan rambut gadis cina itu, kemudian kepala dan tengkuk turut diurut untuk melancarkan pengaliran darah.

Setelah 15 minit bersyampu, dia membuka kain yang dilapik tadi dan membawa gadis cina itu ke tempat untuk membilas rambut. Paip air dipusing. Dia menunggu air itu sedikit suam barulah dia membilas rambut gadis itu. Setelah selesai membilas, dia mencapai tuala kecil lalu mengelap rambut yang basah itu. Kemudian, dia meminta gadis itu duduk semula di tempat yang ditinggalkan tadi.

Izzah membuka sarung tangannya lalu mencapai tuala kecil untuk mengelap tangannya sehingga kering. Suis pengering rambut dihidupkan lalu mengeringkan rambut gadis cina itu. Setelah selesai, gadis cina itu bangun dan melangkah ke kaunter untuk membuat pembayaran.

Izzah mula mendapatkan Ibunya kembali. Dia mengambil tempat di hadapan ibunya. “Ibu, salah ke kalau perigi cari timba?” Dia menyoal ibunya. Dia menongkat dagu, memandang ibunya.

Puan Izzati menghentikan kerjanya. Wajah anak tunggalnya direnung. “Tak salah pun… zaman rasulullah dulu pun Saidatina Khadijah yang melamar rasulullah. Kenapa ni? Reen ada suka kat seseorang ke?”

“Reen ada suka kat sorang lelaki ni tapi dia tolak Reen.” Izzah menceritakan kembali peristiwa dia melafazkan cinta hingga ke peristiwa Harraz menolak cintanya.

Puan Izzati terkejut mendengar cerita Izzah. “Ibu rasa dia takut pisang berbuah dua kali. Yalah, dengan keadaan diri dia yang macam tu, mesti dia tak yakin. Reen cubalah yakinkan dia ya, jangan putus asa,” nasihat Puan Izzati. Dia tidak kisah siapa pun pilihan anaknya yang penting anaknya itu bahagia.

*****

IZZAH melangkah keluar dari surau lalu berjalan ke rak kasut. Dari jauh dia terlihat kelibat Harraz yang turut keluar dari surau. Dia tersenyum sendirian . Cepat-cepat dia menyarungkan kasutnya dan berjalan laju untuk menyaingi langkah Harraz.

“Raz!” jeritnya apabila sudah menjauh dari kawasan surau.

Harraz berhenti. Selama ini belum pernah ada orang yang memanggilnya Raz. Dia berpaling ke belakang untuk melihat orang yang memanggilnya.

Izzah tercungap-cungap sebaik sahaja sampai di hadapan Harraz. “Awak buat apa kat surau?” Sengaja dia menyoal begitu.

“Sembahyanglah. Kenapa? Lelaki lembut macam saya ni tak boleh sembahyang ke?” Harraz menjawab sinis.

Alamak! sensitiflah pulak, desis hati Izzah. “Jom temankan saya makan kat kantin?” Izzah mempelawa.

“Tak naklah, saya nak balik,” tolaknya. Dia mula melangkah.

Izzah merentap buku dipegangan Harraz. Dia menyembunyikan di belakang badannya.

Harraz terkejut dengan tindakkan pantas Izzah. “Hei buku saya!” Harraz cuba merampas kembali.

“Temankan saya makan, baru saya pulangkan.” Izzah mengatur langkah.

“Saya nak balik!”

“Awak nak buku ni tak?” Dia berpusing sambil menayang-nayang buku di tangannya.

“Nak!” Dia menghulurkan tangannya.

“Temankan saya makan dulu!” Izzah mengatur langkah menuju ke kantin.

*****

OKEY, saya dah temankan awak. Sekarang pulangkan balik buku saya.” Harraz menghulurkan tangannya.

Izzah menggeleng. “Awak tak order pun makanan awak. Pergi order dulu,” arah Izzah.

“Saya kenyang. Cepatlah, saya nak balik!”

Order first!” paksa Izzah.

“Awak ni, kan… Eii!” Harraz geram. Dia terasa seperti mahu mencekik leher Izzah. Dia bangkit untuk memesan makanan.

Izzah hanya menayang gigi.

“Saya dah order, bagi balik buku saya,” pinta Harraz sebaik sahaja dia sampai di meja dengan sepinggan mee goreng dan air bandung. Dia menghulurkan tangan meminta bukunya.

“Makanlah dulu, tak baik membazir,” arah Izzah lalu menyuap nasi ke mulutnya.

Harraz mengetap gigi. Dia mula menyudu mee goreng laju.

“Makan slow-slow, nanti tercekik.”

Harraz tidak mempedulikan kata-kata Izzah. Bagi dia, cepat dia habiskan mee, cepat dia dapat balik. Selesai menghabiskan mee, dia meneguk pula air bandung sehingga habis.

“Saya dah habis makan. Bagi balik buku saya,” pintanya. Tangan dihulurkan lagi.

“Tunggulah saya habis makan dulu.” Izzah meneruskan suapannya.

Harraz mendengus. Dia menongkat dagu, menunggu sehingga Izzah menghabiskan makanan. Setelah Izzah selesai makan, dia menghulurkan lagi tangannya.

Izzah merenung lama wajah comel Harraz. Tangannya diselukkan ke dalam beg sandang. Buku Harraz dikeluarkan lalu meletakkannya di telapak tangan lelaki itu.

Tanpa membuang masa, Harraz terus bangun dan berjalan laju meninggalkan Izzah yang sedang tersenyum.

*****

SYAMIRA berlari laju menuju ke perpustakaan. Sesampai di perpustakaan, dia meliarkan matanya mencari Izzah. Dia melangkah pantas ke tempat yang diduduki Izzah. Wajahnya bertukar cemas.

“Izzah, kau kena ikut aku sekarang jugak!” Syamira berbisik di telinga Izzah sambil menarik tangan Izzah.

Izzah yang terkejut dengan perlakuan Syamira, terus menyambar begnya.

“Kita nak pergi mana ni? Kenapa yang kau kelam-kabut sangat?” soal Izzah apabila mereka sudah keluar dari perpustakaan.

“Kau kena cepat! Aiman belasah Harraz kat luar kolej,” beritahunya.

Izzah terkejut. Tanpa membuang masa, dia mempercepatkan langkahnya.

*****

WAJAH Izzah berubah merah apabila melihat muka Harraz lebam dibelasah Aiman. Dia segera meluru ke arah Harraz yang lemah di dalam pegangan Idham. Kemudian, dia berpaling ke arah Aiman yang dipegang kuat oleh Fadhli. Dia merenung tajam ke wajah Aiman.

“Kenapa kau pukul dia?” marah Izzah.

“Tulah akibatnya bila dia tak dengar cakap aku. Lepaskan akulah!” Dia meronta minta dilepaskan.

“Apa yang kau suruh dia buat?” soal Izzah lagi.

“Aku suruh dia jangan rapat dengan kau, tapi dia ni degil! Dia keluar makan jugak dengan kau semalam!” Aiman merenung tajam ke wajah Harraz.

“Kau tak ada hak nak suruh dia jangan rapat dengan aku! Dan kau tak ada hak nak pukul dia!” Meninggi suara Izzah.

“Kenapa kau nak mempertahankan dia sangat ni ha?” Aiman turut meninggikan suaranya.

“Sebab aku cintakan dia!” Izzah membuat pengakuan.

Harraz tergamam.

“Apa yang ada pada budak sotong ni sampai kau tergila-gilakan sangat? Cuba kau tengok aku, rupa ada, kalau kau nak kata dia kaya, aku pun kaya jugak! Aku lelaki sejati, bukan macam dia, lembik! Memang padanlah dengan gelaran sotong tu.” cacinya.

Izzah mengetap gigi. “Kau ingat dia suka ke jadi lembut? Kau ingat dia tak sedih ke kena caci? Cuba kau bayangkan kau berada di tempat dia! Mesti kau  rasa, apa yang dia rasa! Untk pengetahuan kau, aku suka dia bukan kerana dia kaya tapi kerana hati! Walaupun dia lembut, dia tetap taat pada Tuhannya. Dia bukan macam kau yang kaki disko, kaki enjoy.

Cuba kau muhasabah diri… adakah kau dah cukup baik? Dalam sehari cukup ke kau sembahyang? Ubahlah perangai kau tu sikit, jadilah anak yang baik dan hamba yang taat. Kalau mama dan papa kau tahu perangai sebenar kau, mesti mereka kecewa. Kau jangan riak dengan kemewahan yang kau miliki sebab, bila-bila masa aje Allah boleh tarik balik semuanya!”

Aiman menunduk, mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Izzah.

“Sudahlah, aku tak nak perkara ni berlaku lagi. Bersurai semua!” Izzah melangkah ke arah Harraz. “Jom kita bawak dia pergi klinik,” ajak Izzah.

Idham memapah Harraz menuju ke kereta Izzah.

“Harraz!” panggil Aiman ketika Idham mahu memasukkan Harraz ke dalam kereta.

Izzah, Harraz, Idham, Nadhia, Syamira dan Fadhli berpaling ke belakang.

Aiman melangkah mendapatkan Harraz. Dia merenung tajam ke wajah Harraz. Dia menghulurkan tangan kanan sambil tersenyum ikhlas.

Teragak-agak Harraz menyambut huluran tangan Aiman.

“Aku minta maaf. Kau bertuah memiliki cinta Izzah. Terimalah dia, dia ikhlas cintakan kau.” Aiman memandang wajah Izzah pula. “Izzah, thanks kerana menyedarkan aku. Aku akan mengundur diri.” Usai berkata-kata, Aiman melangkah meninggalkan perkarangan kolej.

*****

SEBAB aku cintakan dia!

Kata-kata Izzah asyik terngiang-ngiang di telinganya. Dia tersentuh dengan kata-kata Izzah itu. Kepalanya terbayang kembali gelagat Izzah yang cuba mendekatinya. Dia tersenyum seorang diri. Telefon bimbitnya berbunyi. Dia mencapai telefon bimbit yang diletakkan di meja lampu. Tanpa melihat nama pemanggil, dia terus menekan butang hijau.

“Helo,” Harraz bersuara.

“Helo Angah, Kak Long ni. Petang ni ambil Kak Long kat rumah ya, temankan Kak Long shopping barang baby.”Julia bersuara di hujung talian.

“Abang Long mana?” soalnya, pelik.

“Angah tak tahu ke yang Abang Long dengan papa pergi seminar?”

“Lupa pulak.” Harraz mengetuk dahinya.

“Malam ni Kak Long tidur rumah mama. Temankan Kak Long ya?” pintanya.

“Okey… I’ll pick you up around 3 pm.” Usai mematikan talian, dia bangkit dari pembaringan lalu melangkah ke bilik mandi.

*****

AMBOI, semua warna pink… dah tahu ke jantina baby?” soal Harraz.

“Sebab dah tahulah Kak Long ambil… jom kita pergi bahagian botol susu.” Julia mengepit lengan Harraz.

Ketika Julia sedang membelek botol susu, Harraz mendekatkan telinganya pada perut Julia yang sudah membulat.

Terkejut Julia dibuatnya. “Isy budak ni, kat sini jugak dia nak buat perangai. Bangunlah, orang pandang tu.” Dia menolak sedikit bahu Harraz.

“Kejaplah Kak Long, Angah nak dengar bunyi baby ni.” Harraz mengusap perut kakak kandungnya. Kemudian dia mengangkat kepalanya.

“Jom pergi bayar. Bawak bakul ni.” Julia menyerahkan bakul yang dipenuhi dengan barangan bayi kepada Harraz, kemudian dia mengepit lengan Harraz kembali.

*****

SUDAH hampir seminggu Harraz tidak berjumpa dengan Izzah. Dia sendiri berasa pelik. Selalunya Izzah pasti akan tercari-cari dia, tidak kira dia ada di perpustakaan, di bawah pokok atau di kantin, pasti Izzah akan terpacak di hadapannya. Dalam diam dia mula merindui gelagat Izzah yang suka memaksanya. Hatinya pula sudah jatuh suka pada Izzah semenjak Izzah membuat pengakuan di hadapan Aiman.

Harraz bangkit dari duduk. Belakang seluarnya dikibas-kibas. Dia merenung ukiran nama pada batang pokok itu. Perlahan-lahan dia mengusap ukiran nama itu. Dia menyeluk poket seluar jeansnya lalu mengeluarkan telefon bimbit. Kemudian menangkap gambar ukiran nama itu untuk disimpan sebagai kenangan.

“Id,” panggilnya ketika Idham dan Syamira lalu di hadapannya.

“Ya?” Idham dan Syamira menghentikan langkahnya.

“Kau nampak Reen tak?” soalnya, ingin tahu.

“Aku nampak Izzah kat library tadi,” beritahunya

Thanks ya.” Harraz mencapai begnya lalu meninggalkan kawasan taman.

*****

SESAMPAI sahaja di perpustakaan, dia mengambil tempat yang jauh dari orang ramai. Dia meliarkan mata mencari kelibat Izzah. Dia mengeluh hampa apabila tidak menjumpai Izzah. Dia mengeluarkan buku di dalam beg lalu membacanya dengan perasaan yang bercelaru.

Dari sudut rak buku, Izzah memerhatikan Harraz. Ketika ingin keluar dari perpustakaan tadi, dia sudah terlihat kelibat Harraz. Cepat-cepat dia bersembunyi di sebalik rak-rak buku. Dia menahan air matanya yang hampir tumpah.

“Saya tak akan kacau awak lagi. Semoga awak berbahagia,” monolognya. Air mata yang tumpah dilap dengan jari. Dia beredar dari perpustakaan apabila melihat Harraz leka dengan bacaannya.

*****

CUTI semester sudah bermula. Harraz berbaring di atas katilnya sambil berfikir-fikir mengapa Izzah sudah tidak seperti dahulu lagi? Dia dah jumpa dengan lelaki lain ke? Dia dah putus asa ke? Gumam hatinya.

Pintu biliknya diketuk. Iqbal melangkah masuk lalu membaringkan dirinya di sebelah Harraz. Dia merenung wajah Harraz lama.

“Angah ni kenapa? Sejak mula cuti asyik berkurung aje dalam bilik. Makan pun sikit aje. Angah tak sihat ke?” Iqbal melekapkan belakang tangannya ke dahi Harraz. “Erk… tak panas pun?”

“Angah sihat,” jawabnya sepatah.

“Habis tu kenapa muka nampak sedih aje?” soal Iqbal, ingin tahu.

“Iqy ingat tak perempuan yang Angah cerita tu?” Harraz bangkit dari pembaringan lalu duduk di kepala katil diikuti Iqbal.

“Ingat. Kenapa dengan dia? Angah dah terima cinta dia ke? Dia ada mempermainkan Angah ke?” soalnya tidak sabar.

“Bukan…”

“Kalau bukan apa?” soalnya, ingin tahu.

“Seminggu sebelum cuti, dia macam nak mengelak dari Angah. Selalunya dia akan cari Angah, ni langsung tak nampak batang hidung. Mungkin dia dah putus asa kot. Apa yang harus Angah buat sekarang?” Harraz meminta bantuan adiknya.

“Angah cintakan dia?”

Harraz mengangguk. “Tapi dengan keadaan Angah yang macam sotong ni mesti akan membuatkan dia malu bila keluar dengan Angah. Angah dah mula sayangkan dia, tapi tak nak dia malu,” luah Harraz.

“Kalau dia betul-betul ikhlas cintakan Angah, dia akan terima keadaan diri Angah seadanya,” nasihat Iqbal.

“Dia memang terima Abgah seadanya tapi, lama-kelamaan mesti dia akan malu bila hari-hari ada orang yang kutuk dia, kan?”

Iqbal mengangguk, mengeyakan kata-kata Harraz. Seketika kemudian, dia memetik jari. “Iqy rasa dah sampai masanya untuk Angah berubah!” Iqbal memberikan cadangan.

“Berubah?” Harraz tidak dapat menangkap kata-kata adiknya.

Yup! Berubah. Sepanjang cuti ni, Iqy akan cuba merubah Angah supaya jadi keras sikit.” Iqbal tersenyum penuh makna.

“Macam mana tu?” Harraz mula teruja.

“Angah tidur dulu, esok ikut Iqy pergi pertama kompleks,” arah Iqbal. Dia turun dari katil dan melangkah keluar dari bilik Harraz.

*****

IQY nak beli apa kat sini?” soal Harraz sebaik sahaja dia dan Iqbal melangkah masuk ke dalam pertama kompleks.

Iqbal tidak menjawab, sebaliknya dia terus berjalan. Apabila dia ternampak kedai yang menjual pakaian seragam, dia melangkah masuk ke dalam kedai itu.

Harraz hanya menurut.

“Bang, pakaian seragam PKBM kat mana?” tanyanya kepada juru jual.

Juru jual itu menunjukkan pakaian seragam yang diminta kepada Iqbal dan Harraz, kemudian dia berlalu ke kaunter kerana ada pelanggan yang mahu membuat pembayaran.

Tanpa membuang masa, Iqbal mula memilih saiznya dan Harraz.

“Nak buat apa dengan baju ni? Angah bukannya masuk PKBM pun,” soal Harraz, pelik apabila Iqbal menyerahkan pakaian seragam kepadanya.

“Nilah cara untuk keraskan sikit cara jalan Angah yang lembut tu,” jelasnya lalu kembali membelek pakaian seragam itu.

“Tak fahamlah.” Harraz menggaru kepalanya.

“Macam ni, sepanjang cuti semester ni Angah akan berkawad kat laman rumah kita. Buat bangkit tubi dan tekan tubi sekali,” terangnya lagi.

Harraz terkejut mendengar penjelasan Iqbal. “Mampuslah Angah macam tu! Kalau tak buat boleh tak?” Harraz cuba menolak.

“Tak boleh. Angah cakap tak nak buat… siapa nama perempuan tu?”

“Reen..”

“Haa Reen.. Angah cakap tak nak buat Reen malu, kan bila keluar dating dengan Angah?”

Harraz mengangguk.

So, dengan adanya latihan ni insya-Allah cara jalan Angah yang lemah gemalai tu boleh jadi keras sikit macam Iqy ni.” Iqbal cuba meyakinkan Harraz. Dia mengambil pakaian seragam di tangan Harraz lalu dibawa ke kaunter pembayaran.

*****

KIRI! Kanan! Kiri!” Harraz berkawad di tengah panas.

“Keras sikit jalan tu, jangan lemah gemalai! Tegakkan badan!” jerit Iqbal.

Peluh sudah memercik di dahi Harraz. Dia tidak sangka Iqbal boleh bertukar sebegini garang apabila mengajarnya. Pernah juga dia mahu berputus asa tidak mahu berkawad lagi namun, demi Izzah dia kuatkan juga semangatnya.

Skuad! Ke belakang… pusing!” arah Iqbal.

Check in satu, dua, tiga, maju! Kiri! Kanan! Kiri!” Dia mula berjalan ke arah Iqbal.

Skuad... ti!”

“Satu, dua!”

“Kita berhenti kawad dulu, lepas ni buat tekan tubi seratus kali.”

Terbeliak mata Harraz mendengarnya.

Skuad! Keluar… baris!”

“Satu, dua, satu! Kiri! Kanan! Kiri!” Harraz berlari mendapatkan mamanya yang sedang duduk di gazebo. Dia mengambil tempat di sebelah mamanya.

“Anak mama penat ya? Nah, minum air ni.” Datin Suhana menghulurkan gelas yang berisi air oren kepada Harraz.

Harraz menyambutnya lalu meneguk rakus.

Iqbal menjentik kuat jari kelengking Harraz yang menegak setiap kali meneguk air.

“Sakitlah!” marahnya lalu merapatkan jari kelengkingnya.

“Dah berapa kali Iqy kata rapatkan jari kelengking tu.”

“Tak biasalah,” rengeknya.

“Biasakan. Lama-lama nanti okeylah.”

Harraz mencebik.

“Cepatlah minum, kita nak buat tekan tubi pulak ni.” Iqbal sudah mula bangkit.

“Penat pun tak hilang lagi ni!” sungutnya.

“Angah, lagi sebulan lebih aje nak habis cuti. Angah kena kerja keras sikit!” leter Iqbal sambil menarik tangan Harraz.

“Kejap, nak ambil semangat dulu.” Harraz mencapai telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja. Gambar latar telefon bimbit direnung lama. Dengan merenung ukiran namanya dan Izzah telah mengembalikan semangatnya kembali.

“Okey jom!” Harraz mula bangkit. Badannya mula ditegakkan lalu berjalan seperti berkawad. Tanpa disedari, dia telah terlanggar batu lalu jatuh di atas rumput.

“Aduh!” Dia menjerit kesakitan.

Iqbal menepuk dahinya manakala Datin Suhana menggeleng kepala.

“Boleh tak nak buat tekan tubi ni? Kalau tak kita tangguh aje dulu.” Iqbal menolong Harraz untuk bangkit.

“Boleh! Angah kuat!” ujarnya setelah berdiri dengan stabil. Dia melangkah menuju ke tapak dia berkawad tadi.

*****

KERETA diparkirkan ditempat yang disediakan. Cermin mata hitam ditanggalkan dan dibiarkan di dalam kereta. Pintu kereta dibuka dan dia melangkah keluar dari perut kereta. Dia mula berjalan dengan penuh bergaya menuju ke dewan kuliah.

Dia tersenyum kepada semua yang memandangnya seperti tidak pernah melihat orang. Dia mengambil tempat di bahagian belakang sekali. Ketika dia duduk, pelajar perempuan tidak habis-habis merenung ke wajah kacaknya.

Beberapa minit kemudian, pensyarah mula masuk. “Mana Harraz?” tanya Encik Azman apabila tidak melihat kelibat Harraz.

“Saya encik.” Lelaki kacak itu mula berdiri. Dia tersenyum kepada Encik Azman.

Semua pelajar sudah ternganga. Mereka tidak menyangka lelaki lembaut yang sering mereka sindir sudah berubah menjadi sangat kacak. Jalannya pula sudah tidak lemah gemalai lagi.

“Macam mana awak boleh berubah sampai begini sekali?” soal Encik Azman, tidak percaya.

“Semuanya atas kehendak Allah… kalau kita berusaha, pasti apa yang kita lakukan itu akan membuahkan hasil,” jawabnya tenang.

“Okey, awak boleh duduk,” arah Encik Azman. Kemudian,  sesi pembelajaran bermula.

*****

SELEPAS tamat kuliah, Harraz bergegas keluar dari bilik. Tujuannya hanya satu iaitu mahu mencari Izzah. Tempat pertama yang dituju ialah taman. Dia melangkah laju menuju ke pokok yang telah menjadi saksi pertemuannya dan Izzah. Dari jauh dia terlihat kelibat seorang gadis yang sedang berdiri menghadap batang pokok. Dia melajukan lagi langkahnya.

“Awak nak buat apa tu?” tegurnya apabila melihat Izzah seperti mahu menoreh nama yang pernah diukir dahulu.

Izzah tersentak apabila mendengar suara yang amat dikenalinya. Dia berpaling ke belakang. “Awak ni siapa?” soalnya apabila lelaki yang tidak dikenali itu menghampirinya.

“Awak tak kenal saya ke?” Harraz menyoal.

Izzah menggeleng laju.

“Saya Raz… Harraz Fayyadh,” jelasnya.

Izzah terjelopok jatuh sebaik sahaja mendengar nama yang ingin dilupakan. “Tak.. saya tak percaya. Awak tipu, kan? Harraz bukan macam ni! Dia lelaki lembut, rambut dia disisir belah tepi bukan belah tengah! Dia pakai cermin mata tapi awak tidak.” Izzah menerangkan ciri-ciri Harraz.

Harraz duduk di hadapan Izzah. Dia mengeluarkan sebuah buku dari dalam beg sandangnya. Buku itu diselak lalu mengeluarkan bunga raya yang telah layu. Bunga itu diserahkan kepada Izzah.

Izzah menyambutnya lalu membelek bunga itu. Dia memandang wajah Harraz. “Betul awak Harraz?” soalnya, ingin kepastian.

Harraz mengangguk sambil tersenyum.

Lesung pipit tu memang milik Harraz, bisik hatinya. “Kenapa awak berubah?”

“Sebab saya tak nak awak malu bila keluar dengan saya. Biar saya dihina tapi saya tak sanggup tengok awak dihina disebabkan saya,” jelas Harraz. Dia merenung lembut wajah Izzah.

“Dah terlambat Raz… dah terlambat…”

“Kenapa? Awak dah ada orang lain ke?” Wajah Harraz berubah kecewa.

“Bukan saya… tapi awak… awak milik orang lain sekarang,” ujar Izzah lemah.

“Saya milik siapa? Harraz tidak faham apa yang dikatakan oleh Izzah.

“Awak milik isteri dan anak awak!”

Harraz terkejut. “Apa yang awak merepek ni?”

“Saya nampak awak dengan seorang perempuan mengandung kat shopping complex, dulu.” Wajahnya ditundukkan, tidak sanggup mendengar pengakuan Harraz.

Harraz ketawa kuat.

Izzah mengangkat mukanya semula. “Kenapa awak gelak? Kelakar sangat ke bila rahsia awak dah terbongkar? Patutlah selama ni bila  saya ajak couple, awak menolak!” Izzah geram.

“Kalau awak nak tahu, perempuan mengandung tu Kak Long saya,” jelasnya.

Wajah Izzah mula memerah. “Awak tak tipu?” soalnya, ingin kepastian.

“Betul! Kalau awak tak percaya, nanti saya bawak awak jumpa Kak Long saya.”

Izzah mula tersenyum. “Awak kata awak dah buang bunga ni?” soalnya, pelik.

“Saya tak buang pun. Saya tipu awak sebab nak awak putus asa dan cari lelaki lain yang lebih sesuai dengan awak.  Awak nak buat apa dengan nama tu tadi?” soal Harraz apabila teringat perbuatan Izzah ketika dia baru sampai tadi.

“Saya nak toreh sampai hilang nama tu.”

“Kenapa?” soal Harraz, pelik.

“Sebab saya sangka orang yang saya cinta ni milik orang lain,” jelasnya sambil menundukkan muka.

“Oh… sebab nilah awak tak cari saya seminggu sebelum cuti tu ya? Patutlah saya tunggu perigi saya tak muncul-muncul..” Harraz mula faham.

Izzah tersipu malu.

“Okeylah, selepas tiga bulan bercuti, akhirnya timba sudah berjumpa semula dengan periginya yang menghilangkan diri. Izzah Qhaireena, awak nak couple dengan saya tak?”

Izzah mengangkat wajahnya. Perlahan-lahan dia mengangguk. “Raz,” panggilnya.

“Ya?”

“Mana mata awak?”

“Ni bukan mata saya ke?” Harraz menunjuk ke matanya.

“Anak mata awak bukan warna Hazel ke? Kenapa warna hitam?” soal Izzah. Keningnya dikerutkan.

Harraz tergelak mendengar pertanyaan Izzah. Dia menanggalkan kanta lekapnya. “Kalau saya bukak kanta ni saya tak nampak,” adunya, manja.

“Mana cermin mata awak?” soal Izzah lagi.

Harraz mengeluarkan cermin mata berbingkai hitamnya dari dalam beg lalu memakainya.

“Ini baru Raz saya… kalau awak tak berubah pun saya akan terima awak,” ujar Izzah ikhlas.

“Saya tahu itu.” Harraz tersenyum.

“Ha! Kat sini rupanya perigi dan timba… jom kita lepak kat kantin, yang lain dah menunggu tu,” ajak Fadhli yang tiba-tiba muncul. Mana mungkin dia tidak mengenali Harraz apabila satu kolej sudah heboh dengan berita perubahan dia.

Harraz dan Izzah mula bangkit lalu mengekori langkah Fadhli meninggalkan kawasan taman.

 

– TAMAT –