RSS Feed

Aktiviti Geng Kaki Tulis [TERKINI]

Posted on

Cerpen Bertema

Cerpen Bertema I – Tajuk Lagu (19 Jun 2011) – DONE
Cerpen bertema II – Peribahasa (17 Julai 2011) – DONE
Cerpen Bertema III – Ramadhan (14 Ogos 2011) – DONE
Cerpen Bertema IV – Raya (17 September 2011) – DONE
Cerpen Bertema V -Islamik (17 Februari 2012)
Cerpen Bertema VI – Misteri, Seram, Penyiasatan (17 Mac 2012)
Cerpen Bertema VII – DUET (21 April 2012)

Terima kasih atas sokongan padu anda. Teruskan menyokong Geng Kaki Tulis

Cinta Di Sebalik Purdah – SyaCha Abdullah

Posted on

Karya picisan ini ditulis sekadar untuk memperbaiki kelemahan saya dalam bidang ini. Minta sebarang teguran jika ada sebarang kesilapan dalam karya ini. Maaf jika jalan ceritanya mengecewakan. Terima kasih.

+++++

“MAAF … adik, boleh abang bertanya?” lembut suara Izz menyapa sekumpulan kanak-kanak yang sedang leka bermain konda-kondi. Salah seorang daripada mereka sedang memegang sebatang kayu yang sehasta panjangnya. Mungkin giliran dia untuk bermain, telah hati Izz.

“Ya, ada apa yang boleh saya tolong abang?” sahut seorang daripada mereka. Yang lain hanya membatukan diri. Izz membongkokkan sedikit badannya. Dia memegang bahu budak itu.

“Abang cari rumah Tok Ketua. Adik boleh tunjukkan tak?”

“Oh, kerja senang aje tu, bang! Jom!”

Si Gempal tadi melangkah ke arah basikal yang disandarkan pada bangsal buruk berdekatan tempat mereka bermain. Rakan-rakannya turut serta mengikut tingkahnya. Masing-masing menarik basikal mereka yang terbaring tanpa ditongkatkan.

“Jauh ke rumah Tok Ketua tu, dik?”

Izz bertanya, umum. Tanpa mengajukan soalan itu untuk siapa.

“Tak jauh, bang. Abang nampak tak kat hujung sana ada simpang tiga?”

Izz mengangguk.

“Kat sana ada satu kedai. Sebelah tu rumah Mak Temah. Rumah Tok Ketua selang tiga buah rumah je daripada rumah Mak Temah,” sekali lagi Izz mengangguk.

“Haa, asyik abang je yang tanya kita orang macam-macam. Saya pula nak tanya abang.”

Si Gempal yang tadi memperkenalkan diri sebagai Fakree, bersuara.

“Fakree nak tanya apa?”

Kening Izz diangkat sedikit. Tanda teruja mahu mendengar soalan yang bakal dilontarkan.

“Abang datang dari mana? Tengok gaya macam datang dari jauh je,”

Izz tersenyum dengan soalan itu. Dia mengusap kepala Fakree, sebelah tangannya memeluk bahu Adri.

“Abang datang dari Kuala Lumpur. Datang sekejap sahaja. Ada kerja di sini.”

“Ooooo ….” serentak suara kanak-kanak lingkungan tujuh hingga sepuluh tahun itu menyahut.

+++

KAKI mereka dijejakkan di halaman Tok Ketua. Adri melangkah menghampiri pintu serambi rumah itu.

“Assalamualaikum … tok, oh atok … .”

Adri memanggil. Matanya mencari-cari kelibat Tok Ketua. Manalah tahu kut orang tua itu sudah menunjukkan dirinya.

“Waalaikumussalam. Tok kat sini. Marilah sini,” suara Tok Ketua kedengaran dari arah pangkin yang agak terselindung di belakang rumah.

Adri memberi isyarat kepada kawan-kawannya, juga Izz yang sedang menanti. Mereka semua menuju ke arah suara Tok Ketua sebaik mendapat isyarat daripada Adri.

Dari jauh, mereka dapat lihat dua susuk tubuh di pangkin. Tok Ketua dan Nek Tijah, isterinya. Selalunya, petang-petang begitu, memang pasangan ini akan menghabiskan masa bersama di pangkin ini.

Tok Ketua tidak seperti suami-suami lain di kampung ini. Mereka lebih gemar menghabiskan waktu petang mereka di Warung Pak Ramli. Berbual kosong dan bermain dam. Hanya sesekali sahaja Tok Ketua menyertai mereka. Sekadar untuk menjenguk orang kampung, seraya beramah mesra dengan mereka.

“Assalamualaikum ….”

Izz menyapa kedua-dua orang tua itu. Tangannya dihulurkan ke arah Tok Ketua. Tangan tua itu dikucup. Senyuman tanda menyapa dihulurkan buat Nek Tijah. Hanya kumpulan kanak-kanak itu sahaja yang mengucupi tangan kedua-dua mereka, Tok Ketua dan Nek Tijah.

“Waalaikumussalam. Kamu ni …,” kata-kata Tok Ketua terhenti. Riaknya seperti sedang mengingatkan sesuatu.

“Izz Rizqin. Anak kepada Rahimi.”

Izz memperkenalkan dirinya. Tidak mahu orang tua itu pecah kepala memikirkan siapa dirinya.

“Haaa … Anak Dato’ Rahimi!”

Izz tersenyum. Mujur Tok Ketua kenal dengan ayahnya. Mudah untuk dia meminta bantuan Tok Ketua sepanjang dia di sini nanti.

“Dia ni datang bawa hajat besar, Jah.”

Tok Ketua memberitahu isterinya. Izz tersengih melihat senyum Nek Tijah yang seolah-olah mahu mengusik.

“Eloklah tu. Haa, pergi masuk dulu. Mandi siap-siap. Maghrib nanti ikut tok ke surau. Sekejap lagi nek siapkan bilik tidur untuk kamu.”

Nek Tijah memberi arahan. Mungkin mengerti lelah Izz setelah menempuh perjalanan. Bukanlah jauh mana pun, daripada Kuala Lumpur ke Melaka. Hanya mengambil masa dua jam. Cuma, mungkin kerana mengerti yang Izz tidak pernah menggunakan pengangkutan awam. Maklum sahajalah, anak orang berada. Punya pemandu sendiri untuk ke mana sahaja. Tetapi berbeza untuk kali ini.

“Kamu semua balik dulu ya? Nanti Maghrib jangan lupa datang solat di surau. Sama-sama kita meramaikan jemaah ya?”

Tok Ketua pula memberi arahan, untuk kumpulan kanak-kanak tadi. Mereka hanya mengangguk. Mereka memang selalu muncul di surau. Selalunya, usai solat berjemaah, mereka akan mengaji Al-Quran. Ustaz Dahlan yang mengajar mereka.

“Abang, nah ambil beg abang. Nanti kita jumpa di surau ya?”

Adri menghulurkan beg Izz yang ditumpangkan di dalam bakul pada basikalnya. Izz menyambut huluran itu.

“Okey. Malam nanti kita jumpa di surau ya?”

“Abang, kita kan orang Islam. Lagi elok kalau kita gunakan perkataan InsyaAllah. Sebab kalau Allah tak izinkan, sesuatu perkara itu takkan berlaku,” lancar penjelasan keluar daripada mulut Firas. Izz tersenyum.

“InsyaAllah. Kalau Allah izinkan, nanti kita jumpa di surau ya. Haa, nah. Ini ada sikit bahagian untuk adik-adik. Terima kasih sebab tolong tunjukkan abang jalan ya,” helaian not berwarna merah dihulurkan kepada kanak-kanak itu.

“Eh, tak apalah abang. Kami ikhlas nak bantu abang. Lagipun, kalau bukan kami, siapa lagi yang nak tolong?”

“Tak apa. Ambillah. Kata orang, rezeki jangan ditolak.”

Mendengar kata-kata Izz, Fakree mengambil helaian not itu. Mewakili teman-temannya.

“Terima kasih abang,” serentak mereka mengucapkan terima kasih kepada Izz. Izz mengangguk, tanda menyahut.

“Tok, kami balik dulu ya. Assalamualaikum Tok, abang.”

Izz mengekori langkah Tok Ketua menuju ke arah pintu dapur rumah sebaik sahaja kelibat kanak-kanak itu hilang dari pandangan mereka.

+++

IZZ duduk di tangga serambi. Betul kata ayah, tangga rumah Melaka memang menarik binaannya. Kata Tok Ketua, sekarang sudah tidak banyak tangga seperti itu. Maklumlah, umur semakin meningkat, tenaga semakin kurang. Susah jika rumah terlalu banyak tangga.

Fakree, Adri, Firas dan tiga orang lagi rakan mereka leka bermain di halaman rumah Tok Ketua. Sebentar tadi Izz menyertai mereka.

“Kamu tak mahu jalan-jalan keliling kampung ni, Izz?”

Nek Tijah menegur Izz yang sedang ralit memerhati pemandangan di sekeliling rumah itu, dulang yang berisi secawan kopi diletakkan di atas tangga. Di hadapannya terdapat beberapa batang pokok kelapa yang tinggi menggapai langit. Pelbagai jenis pokok bunga yang hampir menjadi pagar, menceriakan lagi laman itu. Kelopak-kelopak bunga yang mekar sesekali bergoyang bersama daun-daunnya apabila ditiup angin. Merah, kuning, oren, merah jambu disatukan pula dengan warna daunnya. Kombinasi warna yang cukup menarik!

“Petang sikit kut, nek. Saya jalan dengan budak-budak ni nanti. Tok tak balik lagi ke, nek?”

“Dah balik. Ada kat dalam tu. Solat Zohor. Tadi tak sempat agaknya.”

Izz memandang ke arah muka jam pada pergelangan kanannya. Jam 3.45 petang, Asar hampir menjenguk. Kopi yang dihidang, dihirup perlahan. Sekejap-sekejap, angin bertiup lembut. Rambut Izz yang sedikit panjang pada bahagian jambul bergoyang-goyang angkara sang angin.

+++

DERINGAN telefon bimbit mengejutkan Izz. Dia terlelap di atas kerusi rotan sebaik sahaja pulang daripada kebun getah. Sengaja Tok Ketua mengajaknya untuk pergi menoreh bersama. Biar dia rasa bagaimana kehidupan orang di kampung.

“Hello …,” serak basah suara Izz menyahut panggilan.

“Hei, tidurlah tu! Izz Rizqin, wake up!”

Suara Datin Faridah lantang menerjah masuk ke ruangan telinga Izz. Izz berdehem membetulkan suaranya. Memang pantang ibunya jika dia mahupun adik-adiknya tidur ketika matahari mulai tegak.

“Ehem … mum. Sorry mum. Izz tertidur sekejap tadi. Tak sengaja.”

Izz memperlahankan suara. Cukup untuk didengari mereka berdua sahaja.

“Mum hantar kamu ke sana untuk cari jodoh, bukan suruh tidur! Dah jumpa calonnya?”

Izz menggaru kepala yang tidak gatal. Mukanya dicemberutkan. Baru dua hari dia tiba di kampung ini, berjalan di sekeliling kampung pun belum sempat, masakan hendak mencari calon isteri. Cari isteri bukan macam cari ikan di pasar!

“Izz Rizqin, are you hear me?”

“Yes mum. Izz dengar. Nantilah mum. Izz tak sempat nak keluar rumah lagilah. Bagi Izz masa lebih sikit ya?”

“Mum dah beri kamu tempoh tiga bulan, kelmarin. Dua bulan dah berlalu. Tinggal lebih kurang 30 hari sahaja lagi. Kalau kamu lambat, kamu pergi cari rumah sendiri. Mum tak mahu tinggal sebumbung dengan bujang terlajak!”

Izz tergelak mendengar ugutan daripada ibunya itu. Kedengaran juga tawa halus Datin Faridah di hujung talian. ‘Mum, memang suka mendesak. Tapi, mum tetap memahami anak-anaknya,’ hati Izz berbisik.

Talian ditamatkan oleh Datin Faridah. Izz menatap skrin telefon bimbitnya. Gambar seorang gadis menghiasi skrin kecil itu. Izz tersenyum sendiri. Dulu dia pernah bawa gadis itu pulang untuk bertemu dengan ibu dan ayah. Tetapi sayangnya, gadis itu hanya mahu mengambil kesempatan di atas kemewahan keluarga Izz.

+++

“AKU beri amaran pada kau, jauhi tunang aku,” tiba-tiba seorang lelaki memberi amaran pada Izz yang sedang menikmati hidangan tengaharinya. Izz terkesima. Namun, dia cuba untuk berlagak tenang. Dia juga berusaha untuk tidak menegangkan keadaan.

Izz bangkit dari duduknya. Berdiri di hadapan lelaki yang tubuhnya sedikit sasa berbanding Izz. Belakang lelaki tersebut kelihatan dua orang lagi yang agak sasa juga. Izz menghulurkan tangan untuk bersalam. Lelaki itu terkejut.

“Saya Izz Rizqin. Ini Saufi, kawan baik saya.”

Izz menghalakan tangannya ke arah Saufi yang tadi duduk bertentangan dengannya. Lelaki yang berbadan sasa tadi memandang Saufi yang tersenyum mesra.

“Duduk dulu. Kita bincang elok-elok. Saya sendiri belum kenal saudara, tapi saudara mungkin mengenali saya. Saudara ni, tunang kepada siapa ya?”

Izz menarik tangan lelaki itu untuk duduk di sebelahnya. Dua lelaki yang mengiringi tadi hanya berdiri.

“Saya Nazri. Tunang kepada Herlina,” mendatar suara lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Nazri itu. Izz terpaku. Antara percaya dengan tidak. Tidak mungkin Herlina sudah bertunang. Kata Herlina, cintanya hanya untuk Izz. Izz menggeleng berkali-kali. Sukar untuknya menerima apa yang disampaikan oleh Nazri. Saufi memegang bahunya.

“Beginilah. Kita bersua enam mata nanti. Saya nak dengar sendiri daripada mulut Lina.”

Nazri mengangguk setuju. Dia menghulurkan tangan menyalami Izz dan Saufi. Begitu juga dua orang lelaki yang tidak diketahui namanya it. Saufi menepuk bahu Izz perlahan dan berkali-kali. Dia tahu apa yang bermain di fikiran Izz sekarang. Dia juga tahu, cinta Izz terhadap Herlina sangat mendalam. Izz berupaya mengukir senyuman.

“Izz … Izz …,” suara Tok Ketua menyedarkan Izz daripada lamunannya. Dia tersenyum ke arah Tok Ketua.

“Kamu ada masalah ke?” Izz tersenyum lagi. Tidak tahu bagaimana mahu menjawab soalan Tok Ketua. Dia menarik nafas dalam-dalam.

“Mum baru sekejap telefon …,” kata-katanya terputus di situ. Tok ketua menepuk bahunya. Dia mengerti perasaan anak muda ini.

“InsyaAllah. Kalau jodoh kamu dengan gadis yang ayah kamu maksudkan, kamu akan jumpa dia nanti.”

+++

IRIS mengeluarkan semua baju-baju daripada beg yang dibawanya tadi. Banyak helaian yang sudah tidak kemas lipatannya. Iris membersihkan almari usang peninggalan arwah ayah. Bilik itu sudah tidak didiami lagi. Emak tidak lagi tidur di bilik itu kecuali apabila rindunya pada arwah ayah menusuk tepat di kalbu.

Selama tiga tahun ketiadaan Iris di rumah, pelbagai perkara yang adik-adik ceritakan tentang emak. Mereka kata, emak menangis kerana rindukan arwah ayah, emak menangis kerana rindukan Iris. Kadang-kadang, emak menangis lagi kerana terlalu rindukan arwah nenek. Emak anak bongsu dan sangat rapat dengan arwah nenek sehingga orang tua itu pergi pada usia Iris 18 tahun.

Iris mengemaskan semula lipatan pakaiannya. Lantas menyusunnya ke dalam almari usang yang sudah dibersihkan itu. Sungguhpun dia hanya bercuti selama sebulan, atas arahan Tuan Pengarah, namun, pakaiannya harus disusun rapi. Sehelai, dua helai, tiga helai …

Tiba-tiba, sepucuk surat terjatuh ke atas lantai. Iris mengambilnya semula. Dia tidak tahu siapa yang meletakkan surat itu ke dalam begnya. Tetapi, dia kenal dengan tulisan yang terpampang di atas sampul surat itu. Kak Iris, siapa sahaja yang memanggil dia dengan nama itu. Iris tersenyum sendiri.

Iris meletakkan surat itu di atas meja solek. Belum ada masa untuk diluangkan kepada si penulis surat itu. Iris menyambung kerjanya. Hampir selesai, Iris terjumpa pula sebuah kotak baldu berwarna merah hati. Tak mungkin!

Iris bangkit mencari semula surat yang diletakkan di atas meja solek sebentar tadi. Hati Iris berdebar. Degup jantungnya sudah mula tidak teratur. Iris membawa surat dan kotak baldu yang berada di tangannya ke arah katil. Dia duduk di birai katil. Perlahan dia cuba membuka sampul surat itu. Tiba-tiba, bunyi pintu yang diketuk oleh Irdina mematikan pergerakan Iris.

“Kak, jom makan. Dina dah siap masak. Adik-adik tengah hidangkan. Jom.”

Senyum Irdina dibalas oleh Iris. Anggukan mengiringi senyumnya. Irdina merapatkan kembali pintu bilik Iris. Iris bangkit sebaik sahaja adiknya itu berlalu pergi. Sekali lagi, surat itu ditempatkan di atas almari solek, kali ini bersama dengan kotak baldu tadi.

+++

“KAK, Dina nampak, macam akak pegang something dalam bilik tadi. Apa tu?”

Dina menduga. Dia tersengih-sengih. Sengihannya memberi isyarat kepada otak Iris yang adiknya itu sedang menggonjaknya.

“It’s just a box, dear.”

Iris tersenyum.

“Kotak apa, kak? Kotak cincin eh?”

Irsyad menyampuk tiba-tiba. Anak ketiga dalam keluarga itu memang tidak sabar mahu melihat kakak-kakaknya naik pelamin. Katanya, dia bosan menjadi anak tunggal lelaki. Jika kakak-kakaknya sudah berkahwin, sudah tentu dia ada teman untuk berborak perihal dunia lelaki.

Tawa Irdina membolehkan Irsyad membuat telahan berikutnya. Irsyad tersengih memandang Iris. Iris buat tidak tahu. Malas mahu melayan karenah dua adiknya ini. Ini baru dua. Belum lagi Ibtihal dan Ibtihaj menyertai mereka. Si kembar itu, jika sudah menggiat, sampai naik kejang pipi Iris menahan senyum.

“Okey, Irsyad tahu kotak apa yang Kak Iris dapat!”

Irsyad ketawa terkekeh-kekeh. Iris menggeleng. Emak hanya tersenyum bahagia.

“Kak, petang ni kita bawa adik dan mak jalan-jalan keliling kampung ya?”

Irsyad menyuarakan hasratnya. Sebenarnya dia yang mahu menghabiskan masa bersama kakaknya yang seorang itu. Iris mengangguk tanda setuju.

“Kak Iris nak tidur sekejap lepas solat ni. Nak masuk Asar nanti, Irsyad tolong kejutkan, ya?”

“Beres!”

+++

IRIS menghidupkan enjin Proton Exora miliknya. Sebenarnya, emak yang belikan kereta itu untuk Iris. Hasil duit pemberian Iris setiap bulan yang emak kumpulkan, sedikit demi sedikit. Emak buat untuk bayar wang pendahuluan. Entah kenapa emak tidak menggunakannya, Iris sendiri tidak tahu.

Janji Iris untuk membawa emak dan adik-adiknya mengelilingi kampung perlu dilaksanakan walaupun lelah masih terasa. Iris tersenyum melihat emak dan adik-adiknya yang baru terjengul di muka pintu.

“Cepat … cepat. Siapa lambat tinggal,”

Irdina berseloroh dengan emak dan adik-adiknya. Iris tersenyum lagi. Kelihatan emak dan adik-adiknya terkocoh-kocoh menyarung selipar masing-masing. Iris memandang selipar tua Mak Temah, emaknya. Entah sudah berapa tahun agaknya emak tidak tukar selipar. Dipandang pula ke arah selipar di tapak kaki Irdina, nampak seperti baru beberapa kali disarung. Mungkin dibeli untuk menjadi kelengkapan Irdina di kolej. Selipar pada kaki Irsyad, Ibtihal dan Ibtihaj masing-masing di pertengahan usia. Iris menggeleng. Dia sudah bekerja, tetapi, kenapa kehidupan keluarganya masih sama seperti saat Iris masih menuntut di kolej dahulu? Iris bingung sendiri.

Bunyi pintu kereta dirapatkan mematikan lamunan Iris. Dia melemparkan senyum buat Mak Temah yang duduk di sebelahnya. Irsyad dan Irdina di kerusi tengah, sementara si kembar duduk di kerusi paling belakang.

“Nak pergi mana sekarang ni?” soalan Iris lemparkan buat keluarganya. Mak Temah memandang ke arah anak-anaknya di tempat duduk belakang.

“Mana je. Kami tak kisah.”

Iris mengangguk. Pemanduannya dimulakan. Tempat pertama dituju ialah sungai di hujung kampung. Sungai tempat dia, Irdina dan Irsyad menghabiskan waktu petang bersama arwah ayah mereka.

Iris memasukkan kakinya ke dalam air. Pandangannya dilemparkan ke arah sawah yang terbentang di hadapannya. Hijau dan mendamaikan. Jika di bandar, Iris hanya dapat melihat bangunan-bangunan yang megah berdiri. Masing-masing mencakar langit!

“Best kan duduk kampung?”

Irsyad yang duduk di sebelah Iris memandang kakaknya itu. Mahu penjelasan selanjutnya.

“Iyalah. Di kampung, kita boleh tengok pokok-pokok yang menghijau. Ada sungai. Ada pokok kelapa yang tinggi. Dan yang paling penting, ada emak!”

Iris memeluk Mak Temah yang baru sahaja melabuhkan punggungnya di sebelah Iris. Mak Temah mengusap kepala Iris yang dilentokkan ke bahunya. Petang itu, mereka menghabiskan masa bersama di sungai itu. Pelbagai kenangan di singkap semula. Iris bahagia.

+++

MAK Temah merenung anak gadis sulung keluarga yang sedang leka memilihkan pakaian sesuai untuk dirinya. Sepasang demi sepasang baju kurung Iris capai. Kemudian ditempatkan semula di tempat asalnya. Mungkin tidak sesuai dengan aku, telah Mak temah sendiri.

“Tak payahlah beli baju mak sekarang. Duit Iris tu, buat belikan barang untuk adik-adik je. Lagipun, adik-adik lagi perlukan duit tu,” setelah lama menyusun ayat, akhirnya, Mak Temah berjaya menyuarakan rasa hatinya. Bukan tidak sudi menerima pemberian anaknya. cuma tidak mahu menyusahkan gadis itu.

Iris tersenyum di sebalik purdahnya. Dari redup matanya, Mak Temah dapat mengagak Iris sedang tersenyum. Dia membalas senyuman Iris.

“Mak, adik-adik, ada bahagian lain untuk mereka. Ini bahagian mak. Mak kena ambil juga.”

“Iris … Iris terlalu baik dengan mak.”

“Emak … sungguhpun emak hanya ibu tiri kepada Iris. Tapi, emak tetap emak Iris. Lagipun, Iris dah tak ada ummi, dah tak ada ayah. Hanya mak tempat Iris menumpang kasih sekarang,” kata-kata Iris berjaya mengalirkan air mata Mak Temah yang sejak tadi sudah bergenang. Iris betul-betul mengikut sifat umminya. Baik luaran mahupun dalaman, Iris persis ibu kandungnya.

Usai membeli pakaian untuk Mak Temah dan adik-adiknya. Iris membawa mereka untuk menikmati makan tengahari di sebuah restoran. Ibtihal dan Ibtihaj yang paling teruja. Mereka tidak pernah menjejakkan kaki di mana-mana restoran pun.

“Mak Temah!”

Adri menyapa Mak Temah yang sedang berbual dengan anak-anaknya.

“Eh, Adri. Firas dan Fakree pun ada?”

“Aah. Ni, Abang Izz ajak kami jalan-jalan kat sini. Bosan katanya duduk terperap di rumah,” petah Firas memberi hujah. Izz menghadiahkan senyumnya untuk Mak Temah sekeluarga. Tangannya dihulurkan kepada Irsyad, menyalaminya.

Sekejap pandangan mata Izz dilemparkan ke arah setiap wajah di meja itu. Tiba giliran memandang Iris, dia cuba mengakses raut wajah gadis itu. Namun gagal. Pandangan mata mereka bertaut seketika. Iris menundukkan pandangannya sebaik tersedar akan tingkahnya, juga tingkah Izz. Izz juga tersedar daripada perlakuannya itu.

“Kami minta diri dulu ya, Mak Temah,” sekali lagi tangannya dihulurkan kepada Irsyad. Kemudian mereka berlalu pergi.

Sebaik keluar daripada restoran …

“Abang kata nak makan!”

Fakree menekan sedikit nada suaranya. Izz mengusap kepala anak kecil itu.

“Kita makan kat tempat lain ya?”

Izz tergelak kecil melihat wajah cemberut tiga kanak-kanak itu. Mereka sudah dianggap seperti adik mereka sendiri.

+++

MALAM itu, Izz mencapai komputer ribanya yang selalunya hanya disentuh ketika dia hendak melakukan tugas. Dia meraba ke dalam poket beg mencari alat jalur lebar yang diselitkan di situ.

Dia mula mengakses ke laman Facebooknya. Mencari sesuatu. Alamak, dah terpadam! Izz menepuk dahinya. Dia menggerakkan kursor ke arah ikon Yahoo! Mesengger yang terpapar pada skrin.

Nama Izzah Durrani dicari dan diklik sebaik terlihat ikon menandakan Izzah Durrani berada di atas talian ketika itu..

‘Acu, hint abang lagi!’ – Izz Rizqin.

‘Oits … dah la masuk rumah orang tak beri salam! Tiba-tiba minta hint. Apa kes?’ – Izzah Durrani.

‘Maaf! Assalamualaikum, Acu. Boleh bagi abang hint pasal that girl lagi tak?’ – Izz Rizqin.

‘Haa … macam nilah abang saya! Hint? No way! Kelmarin Acu nak hint, abang menyombong. Rasain kamu! Cari sendiri jodohnya!’ – Izzah Durrani.

‘Please, dear. I’m begging you.’ – Izz Rizqin.

‘Dah jumpa ke?’ – Izzah Durrani.

Belum sempat membalas perbualan adiknya, Izz terpaksa bangkit dari katil, menuju ke pintu sebaik terdengar bunyi ketukan dari luar bilik.

“Mari minum di serambi. Tok ada perkara nak bincang dengan kamu.”

Izz mengangguk. Sebaik Tok Ketua menghilangkan diri, Izz masuk semula ke dalam bilik. Baju sukan yang seringkali disarung untuk mengelak dirinya daripada kesejukan, dicapai.

Izz melangkah ke arah tempat yang Tok Ketua sebutkan sebentar tadi. Kelihatan Tok Ketua sedang menikmati kopi panas ditemani beberapa ekor kucing peliharaannya. Dia menghampiri Tok Ketua.

“Tok …,” Izz duduk di atas anak tangga di serambi, sementara Tok Ketua duduk di atas pangkin berhadapan dengan tangga. Tok Ketua menoleh.

“Minum dulu, Izz.”

Izz mengangkat cawan kopi yang terhidang berdekatan dengannya. Perlahan dia menghirup kopi panas itu.

“Tengahari tadi, ayah kamu telefon Tok. Dia bertanya tentang kamu.”

Hirupan Izz terhenti. Dia meletakkan semula cawannya ke tempat asal.

“Dad tanya pasal apa?”

Tok Ketua hanya memberi isyarat, Izz faham dengan isyarat tersebut. Izz mengeluh. Dia bersandar di jenang pintu.

“Masa yang tinggal tak lama lagi, Tok.”

Izz meluahkan. Kerisauannya memuncak. Tinggal lagi 2 minggu masa untuk dia mencari jodohnya.

“Istikharahlah. Minta petunjuk daripada Allah. Jangan terburu-buru.”

Tok Ketua memegang bahu Izz. Izz mengangguk. Dia bangkit sebaik Tok Ketua menghilangkan diri ke dalam bilik tidur. Komputer riba dicari semula.

‘Dah offline? Awal sungguh!’

+++

“Firas!”

Izz berteriak memanggil Firas yang sedang melintasi laman rumah Tok Ketua. Dia melambai ke arah Firas, isyarat memanggil kanak-kanak yang sudah dianggap seperti adiknya. Firas mendekati Izz.

“Ada apa, bang?”

“Firas nak ke mana?” soalan Firas dijawab dengan soalan daripada Izz.

“Kedai Wak Dol. Mak suruh beli barang-barang ni.”

Firas menunjukkan senarai barang yang dikirim oleh ibunya. Izz terkejut. Banyak!

“Seorang?” jawapan Firas hanya dengan anggukan. “Mari abang temankan.”

Izz menyarung seliparnya. Firas tersengih sendiri melihat telatah Izz. Izz mencemberutkan wajahnya melihat sengihan daripada Firas.

“Kenapa?”

“Abang nak ikut ni … ada udang dalam mee ke?” kata-kata Firas membuatkan Izz malu sendiri, tetapi cepat dia menangkisnya dengan tawa. Firas turut tergelak sama. ‘Macam mana budak kecil ni boleh tahu? Takkan ada sixth sense kut?’

+++

FIRAS menghulurkan senarai barang yang digenggam rapi sejak dari rumah tadi kepada pekerja Wak Dol. Sementara menunggu, Firas duduk di atas pangkin yang terletak di luar kedai bersama Izz.

Sedang leka berborak, tiba-tiba Izz terdiam seketika. Pandangan matanya memandang ke arah sesuatu. Firas mengikut arah pandangan Izz. Seorang perempuan berpurdah sedang melangkah ke arah kedai Wak Dol. Mungkin atas tujuan yang sama dengan Firas. Ada seorang lelaki bersamanya.

Gadis itu menundukkan pandangannya sebaik perasan bahawa Izz sedang memandangnya. Lelaki di sebelahnya melemparkan senyuman kepada Izz dan Firas.

“Assalamualaikum,” sapa si lelaki. Tangannya dihulur ke arah Izz.

“Waalaikumussalam.”

Izz menyambut huluran tangan lelaki itu. Si gadis melangkah masuk ke dalam kedai Wak Dol. Sementara si lelaki tetap berdiri bersama Izz yang sedang terpaku dan Firas yang sudah tersengih menampakkan giginya yang rongak.

“Itu kakak saya. Iris. Sedang bercuti. Tapi tak lama lagi nak balik KL dah,” terang Irsyad tanpa dipinta. Izz mengangguk.

‘Erkkk … KL?’

Izz tiba-tiba tersedar sesuatu. Diakah?

“Jom, Irsyad. Jumpa lagi Firas, Encik …,” kata-kata Iris terhenti di situ.

“Ni Abang Izz, datang dari KL juga, Kak Iris. Abang, ni Kak Iris. Yang hari tu kita jumpa di restoran. Anak Mak Temah.”

Izz tersenyum. Dia mengangguk lagi.

“Okey. Kak Iris dan Abang Irsyad balik dulu ya, Firas. Encik Izz, kami minta diri dulu,” lembut suara di sebalik purdah itu. Izz diam seribu bicara. Irsyad dan Firas hanya tersengih. Irsyad mengenyitkan sebelah matanya ke arah Firas kemudian menuruti langkah kakaknya itu.

+++

“KAK, handsome kan Abang Izz? Irsyad rasa, kalau dia jadi suami akak … confirm!”

“Apa yang confirm?”

“Perghhh … mesti anak-anak akak comel-comel belaka!”

Irsyad menyambung katanya tadi.

“Irsyad! Ke situ pula perginya.”

“Irsyad nak tanya, akak jawab jujur ya?”

“Pernah ke akak tak jujur dengan adik?”

“Soalan ni, soalan cepu mas. Mungkin akak payah nak jawab kut.”

Irsyad mengangkat bahu. Iris mengangkat kening tanda memberi peluang untuk adiknya itu melontarkan soalan yang berbuku di hati.

“Apa yang akak rasa, setiap kali mata Abang Izz bertentang dengan mata akak?”

“Adik!”

“See! Irsyad dah kata. Mesti akak tak mahu jawab.”

Irsyad menarik muka masam. Iris melepaskan nafas, kuat. Mungkin keliru, sama ada hendak memberikan jawapan atau tidak.

“Kalau tak mahu jawab, tak apa. Mungkin akak belum sedia.”

“Entahlah, dik. Akak pun tak tahu sebenarnya. Macam-macam perasaan ada dalam hati ni. Gementar, degupan jantung ni tiba-tiba jadi laju. Akak rasa macam pernah jumpa dia. Tapi akak tak ingat di mana.”

Irsyad mengangkat sebelah keningnya. Dia terangguk-angguk mendengar kata-kata kakaknya itu.

“Irsyad rasa?”

Irsyad menoleh ke arah kakaknya.

“Rasa apa pula?”

“Pandangan Irsyad?”

“Akak tahu apa yang patut akak lakukan,” sekali lagi Irsyad mengenyitkan matanya, kali ini untuk kakaknya.

+++

IZZ berteleku di atas sejadah. Sudah dua malam, dia bermimpi akan gadis itu. Entah, dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak mentafsirkan mimpinya. Usai solat asar di surau petang tadi, Izz bertemu dengan Ustaz Dahlan untuk bertanya tentang makna mimpinya.

Dia keliru dengan jawapan daripada Ustaz Dahlan. Kata Ustaz Dahlan, mungkin itu petunjuk yang Allah kurniakan kepada Izz selepas Izz memintanya melalui istikharah. Dalam masa yang sama, Ustaz Dahlan kata, kalau permintaannya itu datang dari hati yang bernafsu, mungkin, mimpi yang dia dapat itu, hanya sekadar permainan tidur.

‘Ya Allah, hanya pada-Mu hamba mengadu. Kaulah yang Maha Rahim, kurniakanlah hamba petunjuk-Mu. Kau juga yang Maha Latiff, lembutkanlah jalan kepayahan yang perlu hamba terokai ini. Amiiin Ya Allah.’

Tanpa sedar, air mata Izz menitik. Lelah dalam pencariannya.

+++

Telefon bimbit Izz berdering, tanda ada panggilan masuk daripada ibunya.

“Hello, mum,” lemah suara Izz menerobos masuk ke ruang pendengaran wanita itu.

“Are you okay, my dear?”

“Yeah, i’m good.”

“How?”

“Izz dah give up, mum. Izz tak tahu apa yang patut Izz cari sekarang ni.”

Luahan Izz merendahkan tahap keterujaan Datin Faridah. Hajat untuk menyambut menantu dalam masa terdekat, mungkin tidak akan kesampaian.

“Tak apalah, sayang. Kalau Izz dah tak mampu nak teruskan, baliklah. Jangan paksa diri.”

“Thanks, mum.”

Menitik lagi air mata lelakinya. Dia tahu ibunya kecewa dengan dirinya. Silapnya juga kerana tidak mencari cinta di zaman dia belajar dahulu. Silap dia juga kerana terlalu kecewa setelah kehilangan Herlina dahulu. Izz meraup wajahnya. Fikirannya berkecamuk. ‘Dah tentu hati mum perit dengar khabarku tadi.’

+++

IRIS yang sedang bersantai bersama adik-adiknya, tiba-tiba bangkit.

“Kak Iris nak ke mana?”

Ibtihal bersuara.

“Nak ke bilik sekejap.”

Adik-adiknya mengangguk mendengar jawapan itu. Iris melangkah perlahan. Entah kenapa, tiba-tiba dia teringat tentang surat yang yang terselit di celahan pakaiannya kelmarin. Surat tersebut masih elok terletak di atas meja solek bersama kotak berwarna merah baldu itu.

Iris mencapai surat itu dan melangkah ke birai katil. Punggungnya dihulurkan sedikit. Perlahan Iris membuka lipatan surat yang diterimanya.

‘Assalamualaikum, Kak Iris. Dah siap kemas pakaian ya? Rajin sungguh Kak Iris. Sebenarnya, Izzah tulis surat ni atas satu tujuan. Untuk beritahu akak, yang sebenarnya, ada seorang lelaki sedang dalam misi mencari cinta dihantar ke kampung akak. Mum and dad yang hantar. Sebenarnya, mum dan dad dah lama berkenan nak jadikan akak sebagai menantu mereka, so that, mereka hantar lelaki tu untuk cari akak. Izzah pun suka kalau akak jadi kakak ipar Izzah. Sejuk mata Izzah. Oh ya, cincin ni, sebagai tanda yang kami dah ‘cop’ akak jadi a part of our family. Terima ya.’ –Izzah Durrani.

Iris tersenyum sendiri. Izzah Durrani, memang nakal! Selalu sahaja dia menyakat Iris. Tetapi, siapa lelaki itu? Iris bingung.

+++

PETANG itu, Iris duduk di pangkin. Ibtihal dan Ibtihaj sedang menikmati zaman kanak-kanak mereka. Irdina melayan kehendak adik-adiknya itu. Irsyad dan Mak Temah menyertai Iris di pangkin.

“Mak …,” suara Iris dimatikan. Mak Temah menoleh. Irsyad turut mengalihkan pandangannya ke arah Iris.

“Nah …,” surat yang Iris terima itu dihulurkan. Pantas sahaja Irsyad menyambut huluran itu, mewakili emaknya. Dia membuka dan membacanya, tekun!

“Wah! Kak Iris rasa siapa?”

“Entahlah, dik.”

Iris diam seketika. Mak temah dan Irsyad turut menyepi.

“Iris dah buat istikharah …,”

“Jawapannya?” serentak Mak Temah dan Irsyad bersuara.

“Kak Iris rasa dia. Mungkin sebab tu, pagi tadi tiba-tiba Kak Iris tergerak hati nak baca surat ni. Walhal, Kak Iris terima surat ini dah lama. Sejak Kak Iris sampai sini kelmarin.”

“Jadi?” jawapan Iris hanyalah dengan mengangkat bahunya. Daripada penerangan Iris sebentar tadi, Irsyad dapat mengagak siapa lelaki yang Iris maksudkan.

“Iris buntu mak. Takkan Iris yang nak terhegeh-hegeh cari dia.”

Mak Temah menepuk perlahan paha anak gadisnya itu.

+++

IZZ menyarung jeans lusuh berserta kemeja-T seusai mandinya. Fakree, Adri dan Firas sudah lama menunggu di ruang tamu. Izz menunjukkan wajahnya di ruang tamu setelah hampir 15 minit bersiap. Hari ini hari terakhir dia di kampung ini. Esok dia akan pulang ke Kuala Lumpur. Jadi, hari ini dia akan mengahabiskan masanya bersama tiga kanak-kanak yang banyak membantunya itu.

“Jom!”

Suara Izz menghentikan gelak tawa Tok Ketua dan kanak-kanak itu. Kanak-kanak itu bangkit menyalami Tok Ketua dan Nek Tijah. Kemudian mereka melangkah keluar daripada rumah, menyarung kasut masing-masing.

Ketika melintasi laman rumah Mak Temah, Izz menoleh ke arah laman kosong itu. Dia tidak tahu jika hatinya juga sekosong laman itu. Yang dia tahu hanyalah dia perlu mengisi ruang kosong itu. Tetapi dengan siapa? Izz mengeluh. Keluhannya jelas kedengaran dan menarik perhatian tiga kanak-kanak itu.

“Abang okey?”

Izz hanya mengangguk lemah. Fakree, Adri dan Firas tidak perlu tahu apa yang sedang berkecamuk di fikirannya.

“Hurm, kita nak ke mana hari ni?”

“Oleh kerana hari ni hari terakhir abang di kampung ni, jadi, abang yang akan buat keputusan.”

Adri memberi cadangan.

“Setuju!”

“Tapi abang tak setuju. Kamu bertiga buat keputusan. Sebab, abang nak kamu bertiga puas hati. Okey?”

Fakree, Adri dan Firas mengangguk. Mereka melambai-lambaikan tangan isyarat menahan bas.

+++

PENAT berjalan sekeliling bandar. Banyak aktiviti yang mereka lakukan. Banyak juga perkara baru yang Fakree, Adri dan Firas pelajari daripada Izz. Kepingan-kepingan gambar yang sempat mereka cuci sebentar tadi ditatap. Indah sungguh kenangan bersama Izz.

“Abang, nanti kalau ada masa lapang, jangan lupa jenguk kami di sini lagi ya?” pinta Adri. Air matanya mula bergenang. Izz menyeka air mata Adri.

“InsyaAllah. Kalau ada kelapangan, nanti abang akan datang jenguk kamu semua. Tok Ketua dan Nek Tijah juga.”

“Jangan lupa Kak Iris juga!”

Fakree menyahut nakal. Izz menangkap tangannya. Dia tersenyum pada Fakree.

“Dah. Jom kita balik. Dah penat dah ni.”

Izz memulakan semula langkah yang terhenti. Sebaik mendekati laman rumah Tok Ketua, Izz terpaku. Kereta itu? Langkah Izz diteruskan. kali ini perlahan dan lebih teratur.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam. Haa, dah balik pun kamu semua. Mari masuk. Ni, mak, ayah dan adik kamu dah lama menunggu ni.”

“Mum, dad …,” sapa Izz. Dia mengucupi tangan dan dahi kedua-dua orang tuanya.

“Go and take your bath. Siap-siap. Lepas Maghrib kita berangkat.”

“But …,” kata-kata Izz terputus di situ. Namun dia tetap melangkah sebaik mendapat isyarat daripada ayahnya.

+++

USAI melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah. Izz mengangkat beg pakaiannya masuk ke dalam but kereta. Mujur tidak terlalu banyak pakaian yang dibawa.

“Kita tak mahu tunggu Tok Ketua dan Nek Tijah balik dari surau ke, mum? Dad?”

“Nek Tijah pesan, rapatkan pintu, dan manggakan sahaja. Mereka mungkin pulang lewat. Jom. Kita pun dah lambat ni.”

Tubuh Izz menerobos masuk ke dalam perut kereta. Didahului dengan ibu, ayah dan adiknya. Sebaik sahaja ayahnya menghidupkan enjin kenderaan, Izz terus menutup mukanya dengan bantal kecil yang tersedia di dalam kereta itu.

“Izz Rizqin, are you okay?”

Izzah di sebelahnya bersuara.

“Yes, i’m okay Miss Izzah Durrani binti Dato’ Rahimi. Just a little bit tired. Need some rest.”

Izzah tersenyum lebar mendengar jawapan abangnya itu. Menipu sahaja kerjanya!

“Okay, come. Kita dah sampai.”

Datin Faridah membuka pintu di sebelah tempat duduk Izz. Izz terkejut. Rasanya dia belum sempat melelapkan diri. Atau mungkin dia sedang bermimpi? Dia mengalihkan bantal yang menutup mukanya.

“Come on, sayang. Mereka tunggu kita dah lama tu.”

Bagai kerbau yang dicucuk hidung, Izz hanya menurut. Datin Faridah menghadiahkan senyumnya kepada isi rumah. Izz mengangkat pandangannya. Tok Ketua? Nek Tijah? Kata ke surau? Izz bingung.

“Eloklah, semua dah ada. Jadi, boleh kita mulakan?”

“Kita ni orang Melaka, Tok. Apa kata, kita berpantun. Adat kita,” cadang Irsyad. Mak Temah mencubit lengan anaknya.

“Elok juga tu. Jadi, Tok sebagai wakil bagi pihak lelaki, biar Tok mulakan dulu ya?”

“Silakan.”

“Bintang bukan sebarang bintang, bintang kejora tidak terpanjat, datang bukan sebarang datang, datang kami membawa hajat. Haa, siapa yang nak beli ni?”

“Biar Irsyad jawab. Bintang kejora jadi kenangan, kenangan indah sudah tersurat, datang lengkap dengan rombongan, apakah hajat maksud tersirat?”

Izz bingung. Dia hanya membatukan diri. Langsung tidak tahu apa yang sedang berlaku.

“Walau ribut datang melanda, bunga tetap harum baunya, sebelum bermula adat petanda, adakah bunga sudah berpunya?”

“Semangat pendekar berapi-api, pencak silat hebat langkahnya, mekar elok dijaga rapi, setahu saya bunga di taman belum berpunya.”

“Teruna merantau merata-rata, hati tetap pada si dara, kalau begitu bagai dikata, eloklah kita mulakan bicara. Boleh, Dato’?”

“Ya … ya, kita mulakan. Saya wakil anak teruna saya, Izz Rizqin, berhajat nak jadikan anak sulung Mak Temah, Iris Qaireen, sebagai penyeri hatinya yang dah lama kosong katanya. Jadi bagaimana?”

Izz terkejut mendengar susunan kata ayahnya. Bagai tidak percaya. Dia menoleh ke arah Izzah di sebelahnya. Izzah mengangguk tanda mengiakan. Air mata Izz mengalir perlahan. Langsung tidak percaya akan apa yang sedang berlaku.

“Boleh kami nak dengar terus daripada mulut tuan yang empunya badan?”

Irsyad bersuara. Izzah menepuk paha Izz, menyedarkan Izz tentang soalan yang ditujukan kepadanya.

“Beberapa hari yang lalu, saya minta petunjuk daripada Allah tentang jodoh saya. Tapi saya kurang keyakinan. Bukan kerana tidak percaya akan petunjuk daripada Allah, cuma, terasa diri ini terlalu hina nak dibandingkan dengan Cik Iris. Maklumlah, saya jahil. Kurang ilmu agama. Tapi, bila diingat semula pada getaran hati ni tatkala saya menatap mata Cik Iris, saya yakin, memang Cik Irislah orangnya. Cik Iris, sudikah Cik Iris menjadi teman hidup saya?”

Iris menoleh ke arah Mak Temah, Irsyad, Irdina, Ibtihal dan seterusnya Ibtihaj. Mereka tersenyum menanti keputusan daripada Iris. Tok Ketua dan Nek Tijah juga bagai tidak sabar menanti keputusan. Debaran yang seumpama saat menanti penentuan sepakan penalti.

Iris mengangguk perlahan. Dia yakin dengan jawapannya. Dia juga yakin lelaki yang berada di depannya kini telah muncul beberapa kali dalam mimpinya. Izz meraup wajahnya dengan kedua-dua telapak tangan. Dia bersyukur.

+++

“AKU terima nikah Iris Qaireen binti Kamal, dengan mas kahwinnya sebanyak RM 20.80 tunai.”

“Sah!” suara tiga orang saksi yang menyaksikan hari bersejarah buat Izz dan Iris kedengaran. Untuk kesekian kalinya, air mata Izz mengalir. Usai lafaz taklik dan penyerahan wang mas kahwin, mereka sekeluarga bergambar.

Fakree, Adri dan Firas turut tidak ketinggalan. Mereka menjadi orang kuat dalam menjayakan majlis perkahwinan Izz dan Iris yang dilangsungkan secara sederhana.

Azan Zohor berkumandang jelas dari surau berdekatan. Surau yang telah melakar sejarah buat Izz dan Iris. Iris bangkit menuju ke biliknya, kewajipannya harus ditunaikan. Izz turut bangkit bersama.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam. Abang.”

Iris menegur Izz. Langsung tiada riak kekok. Izz duduk di birai katil, sementara Iris duduk dihadapan meja solek. Berusaha untuk menanggalkan purdahnya. Dari cermin, dia dapat melihat Izz sedang memerhatikannya. Tingkahnya mula tidak keruan. Izz bangun mendekati Iris. Dia membantu Iris dari arah belakang.

“Terima kasih,” satu kucupan hinggap di hujung kepala Iris yang masih bertudung. Iris mengangkat keningnya.

“Terima kasih sebab sudi terima abang.”

“Alhamdulillah, jodoh itu datang dari Allah.”

Iris memusingkan badannya menghadap Izz.

“SubhanAllah,” hanya lafaz itu yang terkeluar dari bibir Izz. Dia tunduk. Air matanya mengalir lagi. Dia bersyukur ke hadrat Illahi. Iris mengusap lembut kepala suaminya.

“Abang, jom, imamkan solat Iris.”

Izz bangkit. Air matanya diseka. Tersenyum melihat senyuman indah isterinya. Dalam doanya, Izz meminta supaya Allah memelihara keharmonian rumah tangganya.

+++

KINI, Izz bahagia melayari hidupnya bersama isterinya. Jodoh yang datang daripada Allah. Jodoh yang terlalu indah buat Izz. Izz selalu tersenyum sendiri tatkala teringat akan bait-bait kata yang dilemparkan oleh pelakon yang membawa watak sebagai datuk kepada Syuhadah dalam filem Syurga Cinta.

“Jodoh itu datang daripada tiga cara. Jodoh yang datang daripada syaitan, dimana, pasangan itu berkenalan, bercinta, bersentuhan dan terus melakukan maksiat. Yang kedua, jodoh yang datang daripada bomoh. Berlaku apabila si lelaki terlalu gilakan si perempuan, sedangkan si perempuan berusaha menjauhi dirinya daripada lelaki itu. Lalu lelaki itu membomoh si perempuan untuk mendapatkannya, lalu berkahwin. Dan yang ketiga, jodoh yang datang daripada Allah, dimana, pasangan itu berkenalan, bertentang mata dan terus menusuk ke kalbu, lantas si lelaki meminang perempuan itu dan diterima. Maka jodoh itu yang paling dirahmati oleh-Nya.”

Izz tersenyum lagi. Dia faham, jodoh itu amanah buatnya, dan dia akan menjaga amanah itu sebaik mungkin. Itu janji Izz pada dirinya sendiri.

Raya Sedondon – Wild Cherry

Posted on


“KAK SYA pergi sekali, ya?” ajak Faiq Adhwa. Dia melabuhkan punggung di sofa, di sebelah Aimy Hasya sambil tangannya menggoncang lengan kakaknya itu. Matanya pula sengaja dikerdip-kerdipkan berberapa kali agar Hasya cair dan bersetuju untuk mengikutnya ke rumah jiran sebelah.

“Tak payahlah kau nak buat mata macam tu. Ingan cantik sangat ke mata kau? Sorrylah, akak tak cair!” Hasya bangkit mahu melangkah ke dapur, ingin memasak lauk untuk berbuka. Memandangkan hanya dia seorang sahaja yang akan berbuka di rumah, tidak perlulah dia memasak terlampau banyak. Hanya untuk dirinya sudah memadai.

“Kak Sya…” Faiq menahan Hasya dari berlalu. Tangannya memegang kejap lengan Hasya.

“Akak cakap tak nak! Lepaslah, akak nak memasak ni.” Hasya menarik-narik lengannya. Sebaik sahaja pegangan terlepas, dia terus berlalu ke dapur.

Pintu peti ais dibuka lalu mengeluarkan sayur kubis, sotong, cili padi dan telur lalu diletakkan di tepi singki. Dia melangkah pula ke tempat yang menyimpan bawang lalu mengeluarkan satu labu bawang besar, dua ulas bawang putih dan plastik yang berisi ikan bilis lalu di bawa juga ke tepi sinki. Dia mula mengopek ikan bilis untuk dijadikan rencah menggoreng sayur. Menu hari ini dia mahu memasak sambal telur hancur dan goreng kubis bersama sotong. Ringkas dan cepat! Asalkan perut kenyang, sudah…

“Jomlah Kak Sya…” Faiq tiba-tiba berdiri di sebelah Hasya. Dia masih belum berputus asa memujuk.

Terjungkit sedikit bahu Hasya kerana terkejut. Jarinya tertusuk sedikit pada tulang ikan bilis. Hatinya mula terasa panas dengan desakan Faiq. Sabar Sya, bulan puasa tak baik marah-marah, bisik hatinya cuba menyabarkan hati yang sudah senipis kulit bawang.

“Faiq Adhwa! Kan akak dah cakap yang akak tak nak pergi!” Matanya dicerlungkan dan suaranya dikeraskan namun nadanya perlahan. Dia meneruskan kerjanya mengupas bawang pula.

“Kalau dia orang tanya akak, macam mana?” Faiq menggaru kepala. Dia sudah buntu untuk memujuk kakaknya.

“Cakap aje yang akak berbuka puasa kat luar dengan kawan-kawan,” jawab Hasya sambil berlalu ke rak pinggan untuk mengambil penapis. Kemudian dia membasuh ikan bilis, bawang putih, bawang merah dan cili padi. Selesai membasuh bahan-bahan, dia membasuh pula batu lesung sebelum memulakan kerja tumbuk-menumbuk.

“Tak baik menipu bulan puasa ni tau. Lagipun, bukannya dia orang percaya kalau tengok kereta Kak Sya ada kat garaj tu.”

“Bohong sunat tak apa. Malaslah akak nak menghadap muka si Fira yang sombong dan berlagak tu. Pandai-pandailah Iq kelentong nanti, ya?”

“Iq, jomlah kita pergi…” Puan Salmi sudah memanggil di ruang tamu.

“Tu, mak dah panggil. Pergilah… kirim salam pada Fina,” ujar Hasya.

Faiq mengeluh. “Dekat Fina aje? Dekat Kak Fira tak nak kirim salam ke?” Dia berkata sambil berlari laju meninggalkan perkarangan dapur.

“Haip!” marahnya apabila Faiq menyebut nama musuhnya, Darin Zafira.

*****

“ASSALAMUALAIKUM…” Faiq memberi salam sambil melangkah masuk ke dalam rumah diikuti Puan Salmi dan Encik Samad. Mereka kemudiannya melabuhkan punggung di sofa.

“Waalaikumussalam,” jawab Hasya yang keluar dari dapur. Kemudian dia melangkah ke sofa lalu melabuhkan punggung. Tisu di atas meja kopi diambil lalu mengelap tangannya yang basah selepas mencuci pinggan.

“Nah, kak.” Faiq menghulurkan tupperware kepada Hasya.

“Apa ni?” soal Hasya sambil menyambut huluran Faiq.

“Kek coklat kukus. Fina suruh Kak Sya rasa. Ni semua untuk Kak Sya la.”

Semerbak bau kek coklat apabila penutup tupperware dibuka. Dia mengambil sepotong kek coklat itu lalu menyuap ke mulutnya. Hmm, sedapnya, detik hati Hasya. Setelah habis sepotong, sepotong lagi dimakan.

“Sedap tak? Kak Fira yang buat kek ni,” beritahu Faiq.

Uhuk! Uhuk!

Hasya terbatuk. “Tak sedap langsung! Rasa pahit aje kat tekak ni.” Dia menutup kasar tupperware itu lalu meletakkannya di atas meja kopi.

“Aik, tak sedap? Kalau tak sedap, kenapa sampai dua potong Kak Sya balun?” Faiq sengaja menyakat.

“Tekak kamu ni tekak apa Sya? Kami makan sedap aje, kamu pulak kata pahit,” kata Encik Samad. Keningnya sudah dikerutkan.

“Masalahnya ayah, tekak Sya ni tak boleh terima kalau perempuan tu yang masak. Nak termuntah lagi ada la,” dengus Hasya. “Yang kau ni Iq, kenapa tak cakap awal-awal yang kek ni perempuan tu yang buat?” Dia menjegilkan mata pada Faiq.

“Kalau Iq cakap awal-awal, mesti Kak Sya takkan sentuh punya. Tengok, berjaya jugak taktik Iq ni, kan?” Faiq ketawa lebar.

“Hesy, menyampah betul ada adik macam ni!” Hasya bangkit, mahu melangkah ke biliknya.

“Kamu ni Hasya, cubalah berbaik sikit dengan jiran kita tu,” kata Puan Salmi sambil menanggalkan tudung Ariani di kepalanya.

“Bukan selama ni Sya selalu baik dengan semua jiran ke, mak?” Hasya yang sudah memijak anak tangga kedua, berpaling.

“Itu jiran lain… yang mak kamu maksudkan, jiran sebelah rumah kita ni,” sampuk Encik Samad.

“Sya okey aje dengan Fina… jumpa aje kat luar pintu, Sya siap bagi senyuman paling lebar lagi,” jawabnya.

“Fina tu mak tahu, kau baik dengan dia. Tapi dengan kakak dia, si Fira tu, sampai bila kamu berdua nak bermasam muka? Kita ni hidup berjiran, tak baik bermasam muka,” nasihat Puan Salmi.

“Kalau dengan perempuan tu, tak berbaik pun tak mengapa mak. Buat menyakitkan hati aje dia tu.” Hasya menaiki tangga semula.

Puan Salmi menggeleng kepala melihat perangai Hasya. “Iq, kamu simpan kek ni kat dalam peti sejuk,” arahnya.

*****

PERLAHAN-LAHAN dia menuruni tangga. Lampu di ruang tamu sengaja tidak dihidupkan, bimbang orang dalam rumah akan terjaga. “Aduh!” jeritnya apabila kakinya tersepak kaki kerusi. Mulutnya ditutup kuat sambil memandang ke atas, takut-takut ada yang keluar dari bilik. Setelah yakin tiada siapa yang tersedar, dia melangkah ke dapur sambil tangannya teraba-raba seperti orang buta.

Dia tersenyum apabila tangannya menyentuh benda yang dia cari. Perlahan-lahan pintu peti sejuk ditarik. Cahaya lampu dari peti sejuk sudah cukup menerangkan ruang dapur, tanpa perlu membuka lampu. Matanya bersinar-sinar sebaik sahaja melihat tupperware yang berisi kek coklat elok terletak di dalam peti sejuk. Tidak sia-sia dia menunggu sehingga lewat malam.

Laju sahaja tangannya mencapai tupperware itu lalu membuka penutupnya. Dia menarik nafas sambil memejamkan matanya, menikmati wangian kek coklat itu. Dia mencapai sepotong kek itu lalu mengunyah lambat-lambat. Habis sepotong, sepotong lagi diambil sehingga tidak sedar ada sepasang mata yang memerhatikannya.

Tiba-tiba lampu dapur terpasang. Dia yang sedang menghabiskan potongan kek yang terakhir, terkejut. Tupperware di tangannya terlepas ke lantai. Dia memegang lehernya apabila terasa kek yang ditelannya itu tersekat pada kerongkong. Tangannya dipanjangkan untuk mengambil mug yang terletak di sebelah peti sejuk. Botol air sejuk ditarik keluar lalu dituang ke dalam mug. Kemudian dia meneguk rakus air itu untuk menghilangkan rasa tercekik. Dia mengeluh lega setelah kek itu melepasi tekak.

Hasya berpaling ke belakang untuk melihat gerangan yang membuka lampu dapur tadi. Dia terkedu. “He…he…he…” Hasya menayang gigi.

“Kak Sya buat apa dalam gelap ni? Lampu pun tak bukak. Nasib baik Iq tak ketuk Kak Sya dengan Kayu hoki ni.” Faiq menayang kayu hoki yang berada di tangannya. Dia yang sedang tidur tadi, terus terjaga apabila terdengar bunyi di bawah. Sebaik sahaja sampai di bawah bersama kayu hoki, dia terlihat ada cahaya di balik dapur. Perlahan-lahan kaki dihayun ke dapur. Kayu hokinya sudah sedia diangkat untuk memukul orang yang disangkanya pencuri. Sebaik sahaja lampu dapur dihidupkan, dia tidak jadi untuk menghayun kayu hoki.

“Akak nak minum airlah,” jawab Hasya sambil menayang gelas yang telah kosong. Dia melangkah ke sinki untuk membersihkan gelas yang telah digunakan tadi.

“Tupperware apa tu?” soal Faiq. Anak matanya tertunak pada tupperware di lantai.

Hasya berpaling. Dia tercengang melihat tupperware jiran sebelah yang elok terbaring di atas lantai. Dia pantas mendapatkan tupperware itu lalu disorokkan di belakang badan. Fuhh, nasib baik kek dah habis. “Tak ada apa-apalah. Iq pergilah tidur, esok nak bangun sahur,” halau Hasya. Lagi cepat Faiq berlalu dari dapur, lagi cepat dia dapat mencuci tupperware dan masuk tidur. Mata dia pun sudah mula memberat.

“Yang Kak Sya kalut sangat ni kenapa? Macam ada something aje… Mintak sini tupperware tu?” Faiq menghampiri Hasya.

“Janganlah Iq!” jerit Hasya. Pergelutan mula berlaku. Faiq cuba merampas tupperware yang disorok Hasya di belakang badan, manakala Hasya pula menolak-nolak badan Faiq. Suasana di dapur menjadi sedikit riuh dengan suara mereka.

“Astaghfirullahalazim…. Faiq Adhwa! Aimy Hasya! Apa yang kamu berdua memekak tengah-tengah malam buta ni hah?! Tak tahu ke orang lain tengah tidur sekarang?!”

Pergelutan terhenti. Faiq dan Hasya memalingkan muka ke arah laluan ke masuk dapur. Mata mereka berdua terbeliak. “Mak!! Nenek kebayan!!” jerit mereka serentak lalu berpelukan sesama sendiri. Tupperware yang beria-ia dipertahankan Hasya tadi, terlepas ke lantai. Darjah ketakutan yang melebihi darjah keberanian membuatkan Hasya dan Faiq terlupa tentang pergelutan mereka. Mata dipejam rapat, tubuh mereka pula menggeletar ketakutan.

“Banyaklah kamu punya nenek kebayan! Ingat tua sangat ke mak ni, sampai dicop nenek kebayan?!” Puan Salmi mencekak pinggang.

Serentak mereka membuka mata lalu perlahan-lahan meneliti ke arah susuk tubuh yang di sangka nenek kebayan. Kemudian mereka memandang sesama sendiri. Dengan pantas mereka melepaskan pelukan apabila menyedari keadaan mereka.

“Mak rupanya… Ingatkan nenek kebayan tadi. He…he…he…” Hasya tergelak besar sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

Faiq menyiku lengan Hasya apabila melihat perubahan pada wajah emaknya.

“Ada rupa nenek kebayan ke mak ni?” Puan Salmi menghampiri Hasya dan Faiq sambil menjegilkan matanya.

“Entah Kak Sya ni. Ada ke cakap mak kita yang comel lote ni macam nenek kebayan… jahat betul Kak Sya ni, kan mak?” Faiq mengubah posisi ke belakang Puan Salmi. Dagunya dilabuhkan ke bahu Puan Salmi.

“Eleh, tadi bukan kau pun cakap mak ni nenek kebayan ke?” Hasya memulas telinga Faiq.

“Aduh! Mak, tolong!!” jerit Faiq.

“Sudah… sudah! Kamu berdua ni kan, dari kecik sampai dah boleh jadi mak dan bapak orang tak habis-habis dengan perangai macam kanak-kanak Ribena. Kalau satu hari tak bergaduh tak boleh ke?!” Puan Salmi mencekak pinggangnya semula. Kusut kepalanya memikirkan perangai anak-anaknya itu.

“Kita orang gaduh-gaduh manja aje mak,” jawab Hasya sambil tersengih.

“What?! Gaduh-gaduh manja?! Pulas telinga orang kuat-kuat, cubit sana, cubit sini tu gaduh-gaduh manjalah ya? Huh, ingat tak sakit ke?” Faiq menampar kuat lengan Hasya.

Hasya menjegilkan mata sambil tangan kiri menggosok perlahan lengannya yang terasa perit.

“Apa yang kamu berdua buat kat dapur tengah-tengah malam buta ni?” Puan Salmi kembali ke topik asalnya. Dia mengikat rambutnya yang mengerbang dengan getah dipergelangan tangan. Mungkin keadaan rambutnya yang mengerbang dan sudah beruban ini menyebabkan anak-anaknya menyangka dia nenek kebayan. Dia tersenyum di dalam hati.

“Tupperware!!” jerit Faiq apabila dia mula teringat kembali pergelutan tadi.

Hasya terkejut apabila melihat tangannya kosong. Dia berpaling mahu mengambil tupperware itu, namun Faiq lebih pantas. Mukanya sudah memerah apabila melihat Faiq membelek-belek tupperware itu.

“Tu bukan jiran sebelah punya ke?” soal Puan Salmi pelik.

“Uwarrghh… mengantuknya. Sya masuk tidur dululah mak, ya?” Hasya berpura-pura menguap. Dia pantas berlalu meninggalkan perkarangan dapur.

“Mana isi dalam tupperware ni?” soal Faiq pelik.

Langkah Hasya terhenti. Bibir bawah digigit perlahan. Satu… dua… tiga… cabut!! Dia berlari pantas mendaki tangga.

“Kak Sya!”

Panggilan Faiq tidak dihiraukan. Dia meluru masuk ke dalam biliknya.

“Dia dah makanlah tu. Dahlah, Iq cuci tupperware tu, mak nak masuk tidur. Nanti jangan lupa tutup lampu dapur ni, tau?” arah Puan Salmi. Dia melangkah keluar dari ruang dapur, meninggalkan Faiq keseorangan.

Faiq mengeluh. Dia melangkah ke sinki lalu membersihkan tupperware itu. “Tadi beria-ia kata tak sedaplah, pahitlah, tekak tak boleh terimalah… tengok-tengok licin jugak dia mencekik,” bebel Faiq.

*****

“ANGKAT elok-elok, ya? Letak aje kat depan tu,” arah Zafira kepada pekerja yang sedang memunggah perabot yang baru dibelinya tadi. Sambil memantau pekerja itu melakukan kerja, matanya sempat menjeling ke rumah jiran sebelah. Dari ekor mata, dia ternampak sepasang mata yang sedang mengintai di balik tingkap. Dia tersenyum sendirian.

“Eh… eh… baik-baik turunkan almari ni, nanti pecah pulak dia. Almari baru ni!” Sengaja Zafira menguatkan suaranya. Zafira menggosok perlahan permukaan almari pinggan mangkuk itu. Sedang dia leka dengan almari itu, sebuah kereta Myvi berhenti betul-betul di hadapan pagar rumahnya. Dia yang kenal benar dengan pemilik kenderaan itu, hanya memerhatikan sahaja adiknya, Afina Syakira turun dari bahagian penumpang.

Faiq yang memandu, terus memandu masuk ke garaj rumahnya.

“Eh, Kak Fira dah beli dulu, ke? Kata nak tunggu Fina balik?” Afina menyoal apabila melihat sebuah lori tersadai di garaj rumahnya.

“Akak geram sangatlah tengok barang-barang kat situ semua cantik-cantik. Nak tunggu Fina, terasa macam lambat aje Fina nak sampai rumah. Jadi, akak belilah dulu. Lepas ni kita susun semua perabot tu, ya?” ajak Zafira.

“Iyalah… kan kita dah janji nak kemas rumah sama-sama…”

“Wah, perabot baru, nampak… raya sakanlah Kak Fira tahun ni, ya?” Faiq yang baru keluar dari perut kereta, bersidai di tembok yang memisahkan rumah mereka. Tangannya dilekapkan pada tembok itu.

“Rayakan dah nak dekat, kenalah tukar baru!” Zafira berkata kuat sambil mulutnya terjuih pada tingkap di rumah Faiq. Dia ketawa kuat apabila langsir rumah Faiq ditutup kasar. Dia tahu Hasya bengang.

Afina menyiku lengan Zafira. “Kak Fira… cakap tu slowlah sikit!” tegurnya. Dia tidak suka dengan perangai Zafira yang suka menunjuk-nunjuk, terutama pada Hasya.

“Ni mulut akak, kan? Suka hati akaklah nak cakap apa pun!” Zafira menjeling tajam ke wajah Afina. Tidak berpuas hati dengan teguran itu.

“Memanglah tu mulut akak… tapi kalau jiran lain dengar, tak ke dia orang cop akak ni berlagak? Tak elok tau, menunjuk-nunjuk ni,” nasihatnya.

“Ah, lantak dia oranglah nak dengki ke apa ke, yang penting akak tak kacau hidup dia orang, kan Iq?” Dia mengalihkan wajah ke arah Faiq sambil melemparkan senyuman.

“Erk… Iya… iya…” terangguk-angguk kepala Faiq, menyokong kata-kata Zafira.

“Iq, kejap lagi boleh tak tolong akak kemas rumah?” pinta Zafira. Dia tahu jika hanya dia berdua sahaja tidak mampu untuk mengangkat almari yang berat itu. Mujurlah hari ini hari sabtu, Faiq bekerja separuh hari. Dapatlah dia meminta pertolongan lelaki itu.

“Kakak… Iq kan baru aje balik kerja. Kita berdua aje sudahlah… tak perlu nak menyusahkan orang lain,” bantah Afina.

“Kau larat ke nak angkat katil dengan almari tu bawak masuk bilik? Cuba kau tengok badan akak dengan kau, kecikkan? Manalah larat nak angkat semua tu… lainlah Iq ni, dia lelaki. Kalau kita bertiga yang angkat, barulah ringan sikit kerja,” ujar Zafira tidak mahu mengalah.

“Tukang angkut tu kan ada… suruhlah dia orang yang letak dalam bilik. Senang sikit kerja kita,” balas Afina. Dahinya dikerutkan.

“Kalau biar dia orang yang letak, silap-silap ada yang cacat nanti. Akak tak suka barang yang akak beli cacat. Iq boleh tolong, kan?” Dia menyoal Faiq kembali.

Faiq memandang muka Afina dan Zafira silih berganti. Afina memberi isyarat mata agar dia tidak bersetuju dengan kehendak kakaknya, manakala Zafira pula membuat muka kasihan. “Mmm… bolehlah kak, tapi Iq nak masuk mandi dulu. Nanti Iq datang rumah kakak, ya?” Faiq memberi persetujuan.

Afina mengetap gigi menahan geram, manakala Zafira mempamerkan wajah ceria kerana berjaya memujuk Faiq.
“Datang tau… akak masuk dalam dululah, nak pantau dia orang buat kerja.” Zafira meminta diri lalu melangkah masuk ke rumah.

“Kenapa awak setuju?” soal Afina tidak puas hati.

“Apa salahnya tolong bakal kakak ipar? Kalau saya tak tolong, buatnya dia reject saya jadi adik ipar dia, macam mana?” jelas Faiq.

“Awak tak tahu Kak Fira tu macam mana! Lantak awaklah, rajin sangat, kan? Tanggunglah sendiri nanti!” Afina melangkah masuk ke rumah, meninggalkan Faiq yang tercengang.
*****
SETELAH bersiap ala kadar, Faiq menuruni tangga untuk ke rumah sebelah.

“Kau nak pergi mana tu?” soal Hasya yang sedang membaca surat khabar di ruang tamu.

Langkah Faiq yang sudah hampir di pintu keluar terhenti. Dia berpaling memandang wajah Hasya yang terlindung di balik surat khabar yang dibacanya. “Kenapa Kak Sya tanya? Tak pernah-pernah pulak akak rajinkan mulut bertanya mana Iq nak pergi, sebelum ni?” Faiq pelik.

“Saja aje tanya. Tak boleh ke?” Hasya melipat surat khabar lalu diletakkan di atas pahanya.

“Iq nak pergi rumah sebelah sekejap, nak tolong kemas rumah. Okeylah, Iq pergi dulu,” ujar Faiq. Dia mula memulas tombol pintu, bersedia untuk keluar.

“Amboi, rajin betul kau tolong jiran sebelah, ya? Maklumlah, girlfriend kau orang sebelah, kenalah tunjuk rajin, iya tak? Rumah kita pulak bila kau nak tolong kemas?” Hasya mengangkat keningnya.

Faiq berpaling kembali. “Rumah kita kan belum nak dikemaskan lagi… kalau dah nak kemas, Iq tolonglah…” Usai berkata-kata, Faiq melangkah keluar lalu menuju ke rumah sebelah. “Assalamualaikum…” Faiq memberi salam di luar rumah.

“Waalaikumusalam, masuklah,” ajak Zafira.

Faiq melangkah masuk. Terlopong mulutnya melihat almari dua pintu bergelonsor, almari pinggan mangkuk, rangka katil bersaiz king , sofa berbentuk L dan meja makan yang elok berlonggok di ruang tamu. Mak aihh… banyak betul barang yang nak kena angkat ni… boleh patah pinggang aku! gumam Faiq dalam hati. “Wow, banyaknya barang! Bila kita nak mula ni? Iq dah tak sabar nak berkemas ni,” ujar Faiq. Lain yang dikatakan di hati, lain pula yang keluar dari mulutnya.

“Nak mula sekarang pun boleh! Fina, jom kita mula,” ajak Zafira.

Afina yang sedang menonton televisyen, mencapai alat kawalan jauh untuk menutup televisyen. Kemudian mereka bertiga mula mengangkat rangka katil bersaiz king untuk dimuatkan di bilik utama. Selepas meletakkan rangka katil, Zafira melangkah sepuluh langkah ke belakang untuk melihat kedudukan katil itu. Kemudian dia menggeleng kepala. “Cuba ubah kat sana pulak,” arah Zafira sambil jari telunjuknya menunding ke arah berhampiran pintu.

Terbuntang mata Faiq mendengarnya. Tangannya mengesat peluh di dahi kemudian dia memandang wajah Afina yang tersenyum mengejek kepadanya. Kini barulah dia tahu mengapa Afina berkeras mambangkang keras permintaan Zafira.

“Awak suka sangat menolong, kan? Cepatlah angkat,” kata Afina yang sudah bersedia untuk mengangkat rangka katil itu kembali.

Faiq menarik nafas beberapa kali sebelum mengangkat rangka katil yang berat itu.

Zafira pula hanya memerhati kerja Faiq dan adiknya.

Selesai meletakkan katil itu di tempat yang dipinta Zafira, Faiq merenggangkan otot-otot badannya yang terasa sengal. Berdetup-detap bunyinya.

“Nampak macam tak kenalah pulak…” Zafira bersuara.

Faiq yang baru ingin meletupkan jari-jemarinya, terbantut mendengar kata-kata Zafira yang masih tidak berpuas hati dengan kedudukan katil itu.

“Cuba alihkan kat tepi tingkap pulak,” arahnya lagi sambil memeluk tubuh.

Faiq sudah mengetap gigi menahan geram. Macam ni, bila kerja nak siap? rungutnya dalam hati. “Baiklah Kak Fira…” Dia melemparkan senyuman tidak ikhlas. Selesai meletakkan katil di tepi tingkap, Faiq duduk bersila di lantai untuk menghilangkan lelah.

“Angkat baliklah, letak kat dinding hujung sana pulak,” arah Zafira lagi. Tangannya sudah di bawa ke kening.

Allah… cerewet betullah kakak ipar to be aku ni! Rehatlah dulu Kak Fira oi!! Aku dah penat dah ni, rungutnya lagi dalam hati.

“Kak, rehat sekejap boleh tak?” Afina bersuara apabila melihat Faiq sudah bersandar kepenatan.

Faiq tersenyum lega mendengar permintaan Afina.

“Selagi tak siap, selagi tu tak boleh rehat,” bantah Zafira.

Terus mati senyuman di wajah Faiq. Dia memandang wajah Afina, meminta simpati.

“Rehatlah kejap kak, Iq dah penat tu,” kata Afina lagi.

Zafira memandang Faiq yang membuat muka keletihan. “Kita habiskan dulu kerja, baru boleh rehat, ya Iq?” Dia memang tidak suka menangguh kerja. Prinsipnya, selagi tidak selesai kerja, selagi tu dia tidak akan berhenti.

“Erk… Iya… iya…” Tergagap-gagap dia bersuara.

“Akak rasa dah okeylah ni. Jom kita angkat almari pakaian pulak,” ajak Zafira.

Glurp! Almari pulak nak kena angkat! Sah… sah patah pinggang aku! Padan muka aku, nak tunjuk rajin sangat, desis hatinya.

“Kan elok akak suruh aje pekerja tadi angkat almari masuk bilik. Kan dah menyusahkan, nak kena angkat naik tangga lagi. Berat tau almari tu.” Afina menggeleng kepala.

“Kan akak dah kata tadi kalau pekerja tu yang angkat, takut tercalar sana sini. Kalau kita yang angkat, barulah akak rasa puas hati sikit. Lagipun, kalau orang tu yang angkat masuk bilik, kita akan tetap ubah kedudukan dia, kan? Sama aje! Kau pun tahukan perangai akak macam mana?” Zafira tidak mahu kalah. “So, tutup mulut dan teruskan kerja. Penat belakang kira. Siap kerja baru boleh rehat! Berpeluh ni pun baik untuk kesihatan, tau!” ujar Zafira lagi.

Faiq mula bangkit, menggeliat semahunya sebelum mengekori Afina dan Zafira turun ke bawah untuk mengangkat almari pakaian.

*****

FAIQ merebahkan dirinya di atas paha Puan Salmi yang sedang menonton televisyen di ruang tamu.

“Mak…” Melirik manja suaranya. Tangan kiri emaknya ditarik lalu diletakkan di atas badannya.

“Kenapa ni?” soal Puan Salmi apabila melihat muka Faiq berkerut.

“Sakit belakang,” adunya. “Mak tuamkan belakang Iq dengan tunku, boleh?” pintanya manja.

“Bangkit, mak nak pergi bakar batu tunku kat dapur.” Puan Salmi menolak sedikit kepala Faiq untuk berlalu ke dapur.

Faiq akur. Dia duduk menyandar pada sofa. Belakangnya terasa sengal selepas menolong jiran sebelah mengemas rumah.

5 minit kemudian Puan Salmi muncul dengan batu tunku panas yang dibalut dengan kain.

Faiq meniarapkan badannya di sofa untuk membiarkan Puan Salmi menuam belakangnya. Dia memejamkan matanya merasai kehangatan batu tunku itu. Makin lama, matanya semakin tertutup.

*****

PAP!!!

Faiq terjaga apabila seseorang memukul lengannya. Dia mengangkat kepala untuk melihat gerangan yang mengacaunya tidur. “Kak Sya ni kenapa? Kalau tak kacau orang, tak boleh ke?” Dia membaringkan kepalanya kembali. “Mak, tuam kat sini, mak,” pintanya sambil tangan menunjuk ke pinggang. “Mak?” panggilnya lagi apabila tiada reaksi daripada Puan Salmi. Dia memaling kepalanya. “Eh, mana pulak mak ni?” bisik Faiq perlahan.

“Mak dah masuk tidur. Mak tengok kau lena sangat, mak malaslah nak kejut. Tulah nak tolong sangat bakal kakak ipar kau tu berkemas rumah. Dah sakit belakang, mulalah mengadu itu ini.”

“Bisinglah Kak Sya ni!” Faiq mula bangkit mahu tidur di biliknya.

“Esok tolong akak kemas rumah pulak!” Hasya bersuara.

Langkah Faiq terhenti di tangga tengah. Dia berpaling ke belakang. “Kemas hari lain ajelah, banyak masa lagi, kan?” bantah Faiq. Baru hari ini belakangnya sakit, kakaknya pula mahu menambah sakit di badannya.

“Oh, kalau rumah sebelah laju aje kau ni. Kalau rumah sendiri bukan main liat lagi! Akak tak kira, esok jugak akak nak kemas rumah. Kau temankan akak beli barang esok!” putusnya.

“Tak berhati perut betullah Kak Sya ni! Belakang Iq ni sakit! Dahlah tadi angkat berat-berat. Akak ni pulak dari dua tahun lepas asyik nak bersaing aje dengan Kak Fira tu. Bukannya boleh dapat hadiah rumah tercantik pun kak…” Faiq mengeluh.

“Sebab akak berhati perutlah akak ajak kau teman akak esok. Akak bukannya nak beli barang macam Fira tu, almarilah, katillah… akak ni kakak yang baik punya tau! Kau cuma tolong temankan aje, yang lain akak kemas sendiri dengan mak,” terang Hasya.

“Iyalah… iyalah…” Faiq mengalah. Kemudian dia melangkah semula anak tangga untuk ke biliknya.
Hasya tersenyum senang hati. Giliran aku pulak esok! detik hatinya.

*****

“MASUK… masuk… boleh ke belakang lagi ni. Masuk, jangan segan-segan!” Kuat suara Hasya menyuruh lori yang membawa perabot yang baru dibelinya, masuk ke perkarangan rumah. Suaranya memang sengaja dikuatkan untuk membalas perbuatan Zafira.

“Uhuk… uhuk… uhuk… uhuk…”

Hasya memandang ke laman rumah sebelah apabila terdengar bunyi orang terbatuk yang sangat teruk. Dia lihat Zafira sedang bersenam di laman rumahnya. Dia tahu itu hanya taktik Zafira untuk melihat apa yang dibelinya.

“Hai Cik Fira, batuk ke?” Hasya sengaja menegur. Suaranya itu kedengaran sinis.

“Tak ada la Cik Sya, sakit tekak aje.” Zafira melemparkan senyuman sinis.

“Sakit tekak ke, sakit hati? Bahaya tau sakit hati ni, baik Cik Fira cepat pergi jumpa doktor. Nanti lingkup, tak dapat nak tengok Fina nikah!” Pedas sekali kata-kata yang dituturkan Hasya. Dia kemudiannya ketawa besar.

Faiq sudah menyiku lengan Hasya. Dia tidak suka apa yang kakaknya katakan tadi.

“Engkau ni kenapa mulut macam longkang hah?! Apa yang kau tak puas hati dengan aku ni?!” Zafira mendekati tembok yang memisahkan rumah mereka. Matanya tajam memandang Hasya yang dirasakan seperti semut kecil yang ingin dipijak sampai mati.

“Mulut aku, suka hati akulah! Yang kau nak melenting ni kenapa?”

“Huh! Peniru! Orang beli perabot baru, dia pun nak beli!”

“Siapa tiru kau ni? Aku dah lama rancang nak beli perabot baru, tau! Kau ingat kau sorang aje ke yang boleh beli perabot baru, cantikkan rumah? Aku pun bolehlah! Kau tak payah nak bising-bising, aku bukan beli guna duit kau pun!” Hasya mula berangin apabila dia dikatakan peniru. Dia masih ingat lagi dua tahun lepas, apabila dia mengecat rumah, Zafira turut meniru. Apabila dia beli televisyen baru untuk diletakkan di biliknya, keesokkannya Zafira turut meniru.

“Kak Sya, sudahlah tu… tak elok bergaduh, orang tengok tu,” pujuk Faiq. Perkarangan rumahnya mula dipenuhi jiran-jiran. Pekerja yang mengangkat perabot juga turut menyaksikan adengan itu.

“Kau diam, jangan nak masuk campur!” Hasya memarahi Faiq. Pandangannya dialihkan pula pada pekerja yang mengangkut perabot. “Apa tengok-tengok?! Buat kerja tu, jangan nak makan gaji buta aje?” marahnya.

Kelam-kabut mereka meneruskan kerja. “Macam ini punya orang pun ada ka?” bisik salah seorang pekerja.

“Memang kau peniru pun! Semalam aku beli perabot, hari ni kau pulak yang beli!”

“Hey perempuan! Jaga sikit mulut kau! Kalau jiran lain beli perabot hari ni, maknanya dia pun tiru kaulah, ya?! Perasan betul kau ni, ya?” Hasya mencekak pinggang.

Faiq mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menghubungi Afina. “Hesy, mana pulaklah Fina pergi ni?” Dia mengeluh apabila panggilannya tidak bersambut. Sekali lagi dia mencuba. “Kenapa lambat sangat angkat?” soal Faiq sebaik sahaja panggilannya disambut Afina.

“Fina kat dalam toilet tadi. Kenapa ni?” soalnya. Telinganya menangkap suara orang sedang bergaduh di luar tingkap.

“Cepat turun, Kak Fira dengan Kak Sya bergaduh!” suara Faiq cemas.

“Hah?!” Afina berlari ke tingkap. “Okey… okey… Fina turun sekarang!” Afina bergegas menuruni tangga.

“Kalau orang lain yang tukar perabot aku tak kisah, tapi kalau kau, memang aku tak suka! Dasar peniru!”

Cuba kau cakap lagi sekali?!” Hasya sudah mendengus marah.

“Dasar peniru!” ulang Zafira lagi.

“Cakap lagi sekali?!” Hasya sudah meletup-letupkan jari-jemarinya.

“Dasar peniru! Peniru! Peniru!” ulang Zafira kuat.

“Kau ni memang nak kena!” Hasya menyinsingkan lengan bajunya lalu mula melangkah ke pagar.

Faiq bertindak menahan Hasya. Pergelangan Hasya dipegang kuat.

“Eii lepaslah!” Hasya memukul memukul tangan Faiq.

Faiq masih tidak melepaskan pegangan. Semakin kuat pergelangan tangan kakaknya dicengkam.

“Peniru! Peniru! Peniru!” Zafira sengaja menaikkan kemarahan Hasya.

“Jom kita masuk kak!” Afina yang baru muncul di sebelah Zafira, menarik bahu kakaknya. Dengan sekuat tenaga dia cuba mengheret kakaknya itu.

“Lepaslah! Aku nak tengok, apa yang perempuan ni boleh buat.” Zafira menolak tangan Afina yang berada di bahunya. Kemudian dia menghampiri tembok itu semula sambil berpeluk tubuh. Dia melemparkan senyuman sinis kepada Hasya. Keningnya sengaja diangkat berkali-kali.

“Akak, orang tengok tu, malulah sikit!” Afina bersuara geram dengan kedegilannya. “Jom masuk!” Afina menarik kembali bahu Zafira.

“Apa yang kecoh-kecoh ni?” tanya Puan Salmi yang baru sahaja pulang dari kedai. Jiran-jiran yang berkerumun di pagar rumahnya memberi laluan kepadanya. “Astaghfirullahalazim…” Puan Salmi mengucap melihat Hasya yang meronta minta dilepaskan.

“Mak, cepat tolong!” panggil Faiq apabila melihat kelibat emaknya di pintu pagar.

Puan Salmi bergegas mendapatkan kedua orang anaknya itu.

“Lepaskan akulah Iq! Aku nak kerjakan perempuan mulut lancang tu!” Hasya menyiku kuat rusuk Faiq yang menghalangnya.

“Aduh!” jerit Faiq. Pegangannya terlepas.

Pang!!!

Puan Salmi menampar pipi Hasya.

Hasya tergamam.

“Apa nak jadilah dengan kamu ni Aimy Hasya?! Kenapa perlu bergaduh dengan jiran? Tak boleh ke berbaik-baik?” marah Puan Salmi. Dia malu dengan perbuatan Hasya. Dia malu apabila semua jiran berkerumun di rumahnya semata-mata untuk melihat pertengkaran Hasya dan Zafira.

“Kalau bukan perempuan tu yang mulakan dulu, takkan jadi macam nilah mak,” Hasya mempertahankan diri.

“Ewah…. Sesedap mulut kau aje nak tuduh aku! Bukan ke kau yang mulakan dulu? Ke, kau nak buat-buat hilang ingatan?” Zafira tidak berpuas hati apabila dituduh.

“Engkau yang cakap aku peniru tadi, kan?!” Hati Hasya kembali panas.
“Aimy Hasya! Pergi masuk rumah sekarang!” arah Puan Salmi sambil menundingkan ibu jarinya ke arah pintu masuk. Mukanya merah menahan marah.

“Tapi mak…”

“Masuk mak kata!” tengking Puan Salmi.

Hasya menjeling tajam Zafira yang tersenyum sinis. Kemudian dia melangkah masuk ke rumah. Kakinya dihentak kuat tanda protes.

Puan Salmi mengeluh kuat lalu turut melangkah masuk ke rumah.

“Maaf ya semua, sila teruskan kerja,” pinta Faiq kepada pekerja yang mengangkut perabot.

Semua pekerja kembali meneruskan kerja.

Kemudian dia melangkah pula menghampiri pagar. “Mak cik-mak cik semua, tayangan percuma dah tamat, silalah balik ke rumah masing-masing, ya?”

Giliran jiran-jirannya pula meninggalkan perkarangan rumahnya.

Faiq menoleh pula ke arah Afina dan Zafira yang masih berdiri. “Sorry, ya Kak Fira?” Faiq memohon maaf bagi pihak Hasya.

“Dahlah kak, jom masuk,” ajak Afina.

Kali ini Zafira akur. Dia mengikut adiknya masuk ke rumah.

“Encik, barang sudah siap dipunggah. Kami pergi dulu, ya?” pinta salah seorang pekerja.

Faiq menoleh ke arah pekerja itu. “Iyalah, terima kasih, ya?”

Perlahan-lahan lori itu mengundur dari perkarangan rumahnya. Sebaik sahaja lori itu beredar, Faiq menutup pintu pagar. Kemudian dia melangkah masuk ke rumah. “Kak Sya mana, mak?” tanyanya apabila tidak terlihat kelibat kakaknya di ruang tamu.

“Ada kat dalam bilik tu. Merajuklah tu,” jawab Puan Salmi sambil membelek-belek sofa baru.

“Habis tu, siapa yang nak mengecat rumah ni?”

“Kamulah…”

“Mana boleh macam tu. Semalam cakap Iq cuma tolong temankan beli barang aje. Ni tak boleh jadi ni!” Faiq mendaki tangga untuk ke bilik Hasya. “Kak Sya…. oh Kak Sya,” panggilnya sebaik sahaja sampai di hadapan bilik Hasya.

“Cepatlah kemas kat bawah tu oiii!” jeritnya diikuti dengan ketukan pintu.

“Tak ada mood nak buat. Kau ajelah mengecat kat bawah tu!” jerit Hasya dari dalam bilik.

“Akak ni mungkir janjilah! Semalam cakap lain, hari ni suruh buat lain pulak!” Faiq tidak berpuas hati.

Pintu bilik dibuka kasar oleh Hasya. Matanya tajam merenung wajah Faiq. “Semalam boleh pulak kau tolong perempuan tu berkemas, kan? Kalau kau tak nak cat, kau buang ajelah semua barang-barang tu!” Hasya menghempas pintu bilik.

“Apa pulak nak buang? Membazir aje, bukannya murah!”

“Kalau dah tahu membazir, kau ajelah yang kemas!” jeritnya dari dalam bilik.

“Hai… Apalah nasib aku dapat kakak macam ni,” keluhnya lalu menuruni tangga.

*****

HASYA meneliti ruang tamu rumahnya yang sudah dicat cantik dengan warna krim. Semasa berbuka semalam dan bersahur tadi, dia hanya memandang sepintas lalu sahaja. “Hmm… cantik jugak warna cat yang aku pilih ni,” pujinya. Susunan sofa juga ditilik, kemudian dia membetulkan susunan sofa yang dirasakan tidak sesuai.

“La… tak pergi kerja lagi ke? Dah pukul berapa dah ni, nanti lewat pulak,” tegur Puan Salmi yang sedang menuruni tangga.

“Kejaplah mak, nak alihkan sofa ni dulu.”

“Sofa tu nanti-nanti pun boleh betulkan, bukannya lari pun. Dah, pergi kerja.”

Hasya berhenti mengheret sofa. Beg tangan yang diletak pada meja kopi, dicapai lalu melangkah ke luar rumah. Enjin kereta dihidupkan lalu dia mendapatkan Puan Salmi yang sedang berdiri di hadapan pintu. Tangan dihulur untuk bersalam, meminta restu untuk mencari rezeki. Kemudian dia melangkah semula ke kereta.

Pin… pin… pin… pin… pin…

Baru sahaja dia ingin masuk ke perut kereta, kedengaran bunyi hon di luar rumah. Dia menoleh untuk melihat gerangan yang membuat pencemaran bunyi. Wajahnya berubah kelat apabila terlihat Zafira melambai dengan penuh berlagak dari dalam kereta BMW yang dipandu oleh seorang lelaki. “Huh, berlagak!” cemuhnya.

“Biarlah dia Sya, tak usah nak cari gaduh macam semalam. Bukannya dapat hadiah, dapat malu ada la,” nasihat Puan Salmi.

“Sya pergi dululah mak, malas nak rosakkan mood pagi ni. Dah elok hati orang sejuk sikit, ada aje yang nak mengacau!” Hasya menutup pintu kereta lalu mengundurkan keretanya untuk keluar dari pintu pagar.

*****

PAGI ahad itu Hasya mencuci kereta Myvinya di halaman rumah manakala Puan Salmi pula sibuk menambah tanah pada pokok yang ditanamnya.

“Baik-baik, ya cuci kereta tu, jangan kau siram mak pulak,” kata Puan Salmi yang sedang bertinggung di hadapan pasu bunga yang terletak bersebelahan kereta Hasya.

“Mak, tersiram!” Hasya sengaja mengacah Puan Salmi. Getah yang tidak dibuka paipnya sengaja disuakan di hadapannya.

Puan Salmi sudah terlompat untuk mengelak air dari terkena padanya. Dia berdiri lalu mencekak pinggang apabila mengetahui dirinya telah dipermainkan. “Kamu ni Sya, jahat tau! Mak siram kamu dengan tanah ni, baru tahu,” ugut Puan Salmi.

Hasya tergelak kuat melihat telatah emaknya tadi. “Ala mak ni, nak bergurau pun tak boleh.” Hasya menyabun badan kereta Myvi manakala Puan Salmi melakukan kerjanya semula.

Sedang Hasya leka membilas keretanya, kereta Zafira masuk ke perkarangan rumah. Turun seorang lelaki yang memakai T-shirt Polo berwarna putih di bahagian penumpang. Lelaki itu menanggalkan cermin mata hitamnya lalu di sangkutkan di baju. Dia mula memerhati sekeliling rumah. Zafira juga turut keluar di bahagian pemandu lalu beredar ke bonet untuk mengeluarkan bagasi.

Terlopong mulut Hasya melihat kemacoan lelaki itu. Dalam dia leka menilik wajah lelaki itu, getah yang dipegang untuk membilas kereta sudah tersasar pada tubuh emaknya. Habis basah lencun pakaian Puan Salmi.

“Oh mak kau hujan!” latah Puan Salmi. Dia mendongak ke atas. Tahulah dia yang air itu bukan datang dari langit tapi dari muncung getah yang dipegang Hasya. Dia mula bangkit, sudah bersedia untuk bertempik. “Hasya, apa yang kamu dah buat ni?!” sergah Puan Salmi.

Dek kerana terkejut mendengar suara Puan Salmi, getah yang dipegangnya terlepas ke tanah. Mulutnya yang ternganga dikatup semula. Wajahnya merona merah apabila lelaki maco itu turut merenung ke arahnya. Dia malu apabila diherdik di hadapan lelaki itu. Dia menundukkan wajahnya ke bawah. Menyembunyikan wajahnya daripada dilihat.

Zafira mencebikkan bibirnya tanda meluat melihat Hasya.

“Apa yang kamu tunduk-tunduk tu? Selalunya ada aje modal kamu nak menjawab. Hari ni menikus pulak,” ujar Puan Salmi. Dia hairan melihat kelakuan Hasya.

“Pantang tengok lelaki handsome, macam nilah mak cik…” Zafira bersuara.

Hasya mengetap gigi menahan geram. Kepalanya diangkat kemudian ditundukkan kembali apabila lelaki itu masih memandangnya.

Puan Salmi yang tidak menyedari kewujudan Zafira dan lelaki itu, mula berpaling. “Eh, siapa ni?” soal Puan Salmi kepada Zafira.

Hasya memasang telinganya untuk mendengar. Tangannya sengaja mencapai span untuk menyabun keretanya yang sudah sedia berkilat.

“Mak cik, kenalkan ini abang sulung saya, Aisy Iskandar. Abang, yang ni Mak Cik Salmi, jiran sebelah rumah kita.” Zafira memperkenalkan Iskandar kepada Puan Salmi.

“Apa khabar mak cik?” Iskandar beramah mesra.

“Khabar baik,” jawab Puan Salmi sambil melemparkan senyuman.

“Yang itu pula…” kata-kata Zafira terhenti apabila ingin memperkenalkan Hasya.

Hasya mengangkat mukanya bersedia untuk diperkenalkan. Wajahnya berseri-seri memandang Iskandar. Senyuman paling manis dilemparkan.

“Tak payah kenallah, tak penting pun,” sambung Zafira selamba.

Berubah wajah Hasya. Dia menjeling tajam ke wajah Zafira.

Puan Salmi hanya menggeleng. Dia malas mahu masuk campur. “Mak cik tak pernah nampak pun abang Fira ni sebelum ni?” Puan Salmi mula menyoal.

“Abang Is ni kerja kat luar negara… dah lima tahun dia bekerja kat sana. Hari ni dia akan menetap terus kat Malaysia, dah tak nak tinggal kat London lagi katanya,” Zafira mula bercerita.

“Iskandar hanya tersenyum. Matanya sempat melirik pada wajah Hasya.

“Okeylah mak cik, kami masuk dulu, ya? Abang Is ni pun dah penat duduk berjam-jam dalam flight,” pinta Zafira lalu melangkah ke pintu rumahnya.

Puan Salmi menghadap Hasya yang sedang leka memandang Iskandar berjalan masuk ke rumah. “Amboi, mata tu tak berkelip tengok anak teruna orang,” tegur Puan Salmi.

Hasya menundukkan kepalanya apabila Iskandar berpaling dan melemparkan senyuman kepadanya.

“Apa yang tersipu-sipu lagi tu? Cepat basuh kereta. Habis basah mak disiramnya.” Puan Salmi melangkah ke rumah untuk menukar pakaian.

Hasya tersenyum sendirian sambil membilas keretanya. Hatinya menyanyi riang terbayangkan senyuman Iskandar.

*****

SELEPAS berbuka, Iskandar berehat di ruang tamu diikuti Afina. Zafira pula leka mengemas di dapur.

“Siapa nama anak perempuan Mak Cik Salmi?” soal Iskandar ingin tahu. Sejak terpandang anak perempuan Puan Salmi yang tersipu-sipu, hatinya yang selama ini telah tertutup, terbuka dengan luasnya. Sudah lima tahun dia menetap di London untuk mengubati hatinya yang hancur apabila tunang yang amat dicintainya itu berlaku curang di belakangnya. Semenjak itu hatinya tertutup untuk menerima cinta.

“Aimy Hasya. Kenapa Abang Is?” soalnya pelik.

“Aimy Hasya? Cantik nama dia. Kenapa Abang tengok Hasya dengan Fira macam bergaduh aje?” Iskandar mula mengorek rahsia. Memang dia berasa pelik apabila Zafira tidak mahu memperkenalkan Hasya kepadanya tadi. Cara cakapnya pula berbaur sinis.

Afina merapatkan dirinya kepada Iskandar. “Sebenarnya, Kak Fira dengan Kak Sya bermusuh,” beritahunya. Dia memandang ke arah dapur sebelum menyambung ceritanya. “Dua tahun lepas kita orang pindah ke sini. Sampai aje kat laman rumah, ada lori yang tolong punggahkan barang-barang. Masa Kak Fira sibuk mengarah itu ini pada pekerja yang angkut barang tu, Kak Sya datang kat kita orang untuk beramah mesra. Tapi Kak Fira pulak naik angin bila salah seorang pekerja telah terpecahkan pasu bunga kesayangan dia. Apa lagi, Kak Fira pun marahlah orang tu. Dengan Kak Sya sekali ditengkingnya. Abang Is bukan tak tahu perangai Kak Fira tu. Orang lain yang buat salah, orang lain pun turut terkena tempiasnya. Sejak Dari tulah Kak Sya bermasam muka dengan Kak Fira,” Afina menyudahkan ceritanya.

“Astaghfirullahalazim… tak patut betul Fira tengking dia. Dia bukannya buat salah pun. Fina tak ada suruh dia mintak maaf kat Sya ke?”

Sekali lagi Afina meninjau ke dapur. Dia takut kalau-kalau Zafira terdengar yang dia mengadu kepada Iskandar.

“Pernah jugaklah Fina suruh Kak Fira mintak maaf, tapi Kak Fira buat bodoh aje. Boleh pulak dia cakap bukan salah dia pun. Tapikan Abang Is, cara dia orang ni bergaduh macam pelik sikit tau.”

“Pelik macam mana?” soal Iskandar tidak sabar ingin tahu.

“Bila nak dekat raya aje, dia orang ni berlumba nak cantikkan rumah masing-masing. Bila Kak Sya mengecat rumah, Kak Fira pun nak mengecat. Bila Kak Sya beli kereta baru, Kak Fira pun nak beli kereta baru. Pendek kata semuanya nak bersaing. Mengalahkan ada pertandingan rumah tercantik aje! Kadang-kadang Kak Fira sengaja nak naikkan kemarahan Kak Sya. Pening betul memikirkan perangai dia orang ni. Mak Cik Salmi dengan Pak Cik Samad pulak malas nak masuk campur. Dia orang kata, hal orang muda biarlah Kak Sya dengan Kak Fira tu uruskan sendiri.”

Iskandar tersenyum mendengarnya.

“Baru-baru ni pulak dia orang perang mulut.”

Terbeliak mata Iskandar mendengarnya.

“Kecoh jugaklah kawasan perumahan ni sekejap dengan suara dia orang tu. Dia orang ni hampir-hampir nak bertarik rambut tau bang. Nasib baik ada Mak Cik Salmi, dia yang tolong selesaikan,” cerita Afina lagi.

“Fina tak ada cuba nak berbaikkan dia orang ke? Macam plan makan-makan ke? Buat dia orang duduk satu meja, berbincang dari hati ke hati?” tanya Iskandar.

“Macam-macam yang Fina dengan Iq dah buat tapi semua tak menjadi. Ajak keluarga Iq makan kat sini, Kak sya pulak tak nak datang. Dulu Iq sengaja belikan dua helai blaus yang sama warna dan corak untuk bagi kat dia orang ni tapi bila dua-dua pakai serentak, Kak Fira dengan Kak Sya mengamuk. Kak Fira suruh Fina pulangkan balik baju tu, Kak Sya pulak sanggup gunting dan buang baju tu kat dalam tong sampah. Marah betul dia orang.” Afina menamatkan ceritanya.

“Yang Abang Is ni syok sangat bila Fina cerita pasal Kak Sya ni kenapa? Abang Is minat kat dia, ya?” serkap Afina. Jari telunjuknya digoyang-goyangkan ke hadapan.

“Kalau minat pun kenapa? Abang Is lelaki, Hasya perempuan. Okeylah tu, lagipun dua-dua bujang,” kata Iskandar selamba.

“Mana Abang Is tahu yang dia bujang? Entah-entah dah ada boyfriend.” Sengaja Afina menguji Iskandar.

“Cara dia pandang abang pun dah boleh tahu yang dia memang ada hati kat abang. Nak buktikan apa lagi? Sudah terang lagi bersuluh pun,” jawab Iskandar yakin.

“Apa yang bersuluh-suluh tu?” sampuk Zafira yang baru keluar dari dapur. Dia melabuhkan punggung di hadapan Afina dan Iskandar.

“Tak ada apa-apa kak, Abang Is ni suruh beli lampu suluh, senang dia nak berjalan dalam gelap,” bohong Afina. Dia tersengih memandang Iskandar.

Iskandar menjeling tajam.

“Lampu kan ada, nak buat apa guna lampu suluh?” soal Zafira pelik.

“Erk… Erk… Ha! Kalau blackout, kan kena guna lampu suluh, sebab tulah Abang Is suruh beli,” jawab Afina tergagap-gagap.

“Hai, sejak kita duduk sini, belum pernah lagi blackout…” Zafira sudah pening mendengar jawapan yang tidak masuk akal adiknya itu. Dahinya dikerutkan.

“Sudah… sudah…. tak payah nak kerut-kerutkan dahi tu. Sebenarnya kami tengah bercerita pasal Fira,” beritahu Iskandar.

“Pasal Fira? Kenapa pulak dengan Fira?” soal Zafira pelik.

“Abang nak Fira berbaik-baik dengan Hasya,” pintanya.

“Oh… tadi mengumpat pasal Fira la ya? Bukan salah Fira sorang, dia pun salah jugak!” Zafira melenting. Dia menjeling tajam ke wajah Afina yang telah membocorkan rahsia.

“Memang dua-dua salah, tapi tak salah kalau Fira rendahkan sedikit ego tu, mintak maaf pada Sya. Sekarang dah nak masuk kali ketiga raya, Fira masih bermasam muka dengan dia. Fira tak ingat ke pesan arwah ibu dan abah? Kita kalau nak hidup jangan cari musuh tapi cari kawan. Ini Fira pulak bermusuh dengan jiran, kalau ada apa-apa, jiran jugak yang kita cari,” nasihat Iskandar. Dia berharap hati Zafira akan lembut.

“Tapi bang, Fira tak bolehlah dengan dia tu… kalau hati cakap tak boleh, tetap tak boleh!” Zafira bangkit mahu melangkah ke biliknya.

“Nanti abang nak ajak jiran sebelah berbuka kat rumah kita. Tarikh nanti abang tetapkan. Abang sendiri yang akan menjemput dia orang,” putus Iskandar.

Langkah Zafira terhenti lalu berpaling. “Kalau abang jemput dia orang pun, Sya mesti tak datang, tengok ajelah nanti,” ujar Zafira penuh yakin.

“Hati abang kuat mengatakan yang Sya akan datang.”

Zafira meneruskan langkahnya menaiki tangga dengan kasar tanda protes.

*****

“ASSALAMUALAIKUM pak cik…” Iskandar menegur Encik Samad yang sedang menunggu keluarganya di luar pagar untuk bersembahyang tarawikh.

Encik Samad berpaling. “Waalaikumusalam… nak ke surau ke? Marilah pergi sekali dengan pak cik, kita tunggu mak cik kamu dengan Iq sekejap, ya?” pelawanya.

Iskandar dan Afina turut sama menunggu Puan Salmi dan Faiq.

“Ha… itupun mak cik kamu dah keluar. Jom kita pergi,” ajak Encik Samad sebaik sahaja melihat Puan Salmi dan Faiq menghampiri mereka.

“Ayah, tunggu!” jerit Hasya.

Encik Samad, Puan Salmi, Iskandar, Faiq dan Afina menoleh ke belakang.

Hasya yang sudah bertelekung di kepala, berjalan laju mendapatkan keluarganya. “Jomlah kita pergi,” ajak Hasya sebaik sahaja dia sampai di hadapan mereka.

Puan Salmi dan Encik Samad tersenyum lalu meneruskan langkah diikuti Iskandar.

“Kau orang berdua ni kenapa? Macam nampak hantu aje?” tanya Hasya apabila Faiq dan Afina tercengang melihatnya. Hasya membetulkan kain telekung di pergelangan tangannya.

“Isy Kak Sya ni, cabul betul mulut. Mana ada hantu bulan-bulan puasa ni! Hantu semua dah kena ikatlah,” ujar Afina yang gerun mendengar perkataan hantu yang muncul dari mulut Hasya.

“Kak Sya ni demam ke?” soal Faiq pelik. Turun-naik matanya memandang Hasya dari atas ke bawah, dari bawah ke atas.

“Demam apanya? Kau tak tengok ke akak makan dengan penuh berselera masa berbuka tadi? Kalau demam, mestilah tak lalu makan. Sudahlah, jom kita gerak, mak dengan ayah dah semakin jauh tu.” Hasya mula mengorak langkah diikuti Faiq dan Afina.

“Bukan Kak Sya selalu tarawikh kat rumah ke? Apa mimpi nak ikut kita orang ni?” Faiq masih tidak berpuas hati. Sejak dari awal puasa lagi Hasya lebih selesa bersembahyang tarawikh di rumah kerana dia tidak mahu bertembung dengan Zafira. Hari ini angin tak ada, ribut tak ada tiba-tiba sahaja Hasya mahu mengikut.

“Erk… sekali sekala nak berubah angin, tak salah kan? Lagipun berjemaah lebih afdal.” Mujur dia dapat menjawab soalan Faiq. Yang sebenarnya, dia mengikut keluarganya berjemaah apabila ternampak kelibat Iskandar yang sedang bersembang dengan Encik Samad semasa dia ingin menutup tingkap. Sesegera mungkin dia berlari ke bilik mandi untuk mengambil wuduk.

“Kenapa Kak Fira tak pergi tarawikh sekali?” soal Faiq apabila tersedar ketiadaan Zafira.

Hasya menjeling tajam ke arah Faiq. Hatinya menjadi panas apabila mendengar nama Zafira.

“Biasalah orang perempuan, tengah-tengah bulan macam ni asyik sakit. Faham-faham sendiri ajelah ya?” Afina berkias. Dia terasa malu untuk menyebutnya.

“Dia sakit apa tu?” Faiq berpura-pura tidak faham.

“Ala, yang gitu-gitu tu…” Wajah Afina sudah terasa panas menahan malu. Kakaknya yang dapat penyakit, dia pula yang berasa segan.

“Yang gitu-gitu tu apa?” Faiq sengaja menyakat Afina.

Hasya pula diam, malas mahu menyampuk.

Afina menggaru kepalanya yang dilindungi telekung. “Erk… ABC!” jawab Afina kalut.

“ABC?” Faiq sengaja mengerutkan kening. “Awak, saya bukan nak belajar membaca, tapi saya nak tahu apa penyakit Kak Fira?”

Afina sudah kegeraman. “ABC tu maknanya air batu campur!” Afina melangkah laju mendapatkan Iskandar, Puan Salmi dan Encik Samad.

“Fina, nanti kita makan air batu campur, ya?” Faiq tergelak kuat.

Hasya menolak kepala adiknya. “Apa ke bengap sangat kau ni? ABC pun tak tahu ke? Maknanya Allah bagi cuti!” Akhirnya Hasya masuk campur kerana tidak tahan melihat adiknya asyik bertanya soalan-soalan yang baginya semua orang pun boleh faham dengan kiasan Afina.

“Orang tahulah, saja aje nak usik dia.” Faiq tersengih.

“Kau ni nak usik pun tengok tempatlah, kan dah merajuk si Fina tu.”

“Sekejap aje tu,” ujar Faiq penuh yakin. Dia dan Hasya berjalan pantas untuk menyaingi langkah emak dan ayahnya.

“Pak cik, esok jemputlah berbuka kat rumah saya. Mak cik, Iq dengan Sya sekali, ya? Jangan lupa datang,” jemput Iskandar.

Hasya yang turut mendengar pelawaan itu sudah tersenyum di dalam hati.

“Insya-Allah kami sekeluarga datang,” jawab Encik Samad.

“Is mesti dah lama tak merasa masakan kampung, kan? Apa makanan kegemaran Is? Biar mak cik yang masak,” tawar Puan Salmi.

“Eh, tak payah susah-susahlah mak cik. Kami yang jemput mak cik, kamilah yang kena sediakan makanan,” tolak Iskandar.

“Apa salahnya Abang Is, masakan mak cik ni sedap tau. Kalau mak cik nak tahu, kami tiga beradik suka sangat makan lauk ayam masak lemak cili api. Dah lama tak makan lauk tu sejak arwah ibu meninggal. Boleh tak mak cik masakkan untuk kami?” pinta Afina.

“Fina,” halang Iskandar. Dia menggelengkan kepalanya tanda tidak setuju.

“Tak apalah Is, mak cik boleh masakkan. Jomlah kita masuk, kejap lagi nak masuk solat isyak,” ajak Puan Salmi.

Mereka mula berpecah untuk ke tempat masing-masing. Perempuan di bahagian perempuan, lelaki di bahagian lelaki.

*****

HASYA memakirkan keretanya di garaj. Dia keluar dari perut kereta dan melangkah ke pintu rumah. Baru sahaja dia ingin memasukkan kunci ke lubang tombol, pintu rumah terbuka dari dalam.

“Eh, awalnya kamu balik, Sya?” soal Encik Samad. Dia mula menyarungkan capalnya di kaki diikuti Puan Salmi dan Faiq.

“Saja aje nak balik awal. Ayah, mak dengan Iq nak pergi mana?”

“Nak pergi rumah sebelahlah. Kan semalam Iskandar ada menjemput… lauk mak dah masak. Berbuka nanti jangan lupa makan pulak,” pesan Puan Salmi. Mereka mula melangkah ke pagar.

“Eh mak, tunggulah kejap,” panggilnya.

“Nak apa lagi ni?”

“Orang nak ikutlah, tunggulah kejap. Nak mandi dulu. Lepas Sya mandi, kita pergi sama-sama, ya?”

“Tunggu kamu alamat dah berbuka nantilah kamu sampai ke rumah sebelah. Bukannya kami tak tahu, kamu tu kalau mandi, mesti lebih dari satu jam.” Encik Samad bersuara.

“Ala…. tunggulah… Sya janji mandi cepat-cepat. Tunggu, ya?” rayunya.

“Jangan terpedaya dengan kata-kata Kak Sya tu mak. Nanti satu jam jugak kita kena tunggu. Baik kita pergi dulu,” hasut Faiq.

Hasya mengetap gigi. “Kau ni dengki, kan? Aku baling dengan kasut ni karang!” Hasya mula mengangkat kasut tumit tingginya berpura-pura untuk membaling.

“Ya Allah… Kamu berdua ni tak habis-habis! Sya, kalau nak ikut, cepat pergi mandi!” arah Encik Samad.

Hasya mencicit lari masuk ke rumah.

Kita tunggu Sya dulu,” arah Encik Samad. Dia melabuhkan punggung di kerusi di luar rumah.

“Hari tu beria-ia menolak bila orang ajak pergi rumah sebelah. Hari ni nak pulak!” rungut Faiq.

Lima minit menunggu, Hasya muncul di pintu. “Jom kita pergi,” ajaknya.

“Aik, cepatnya Kak Sya mandi?” Faiq merenung jam dipergelangan tangan. “Lima minit aje,” katanya.

Hasya tersenyum. “Tadikan dah janji nak mandi cepat.”

“Mandi ke tak ni?”soal Puan Salmi. Dia pelik Hasya hanya mandi selama lima minit aje.

“Mandilah mak… mandi ala-ala P.Ramlee. Kalau lambat, mak jugak yang bising.,” jawab Hasya sambil tersengih. Dia menutup pintu pagar rumahnya.

Loceng yang terletak di tepi pintu pagar dipicit oleh Encik Samad.

Iskandar keluar membuka pintu pagar dan menjemput semua masuk. “Fina… tetamu dah datang ni,” panggilnya. Jemput duduk dulu, Fira ada kat atas, tengah mandi.”

Afina keluar dari dapur lalu bersalaman dengan tetamu yang hadir di rumahnya. “Fina masuk ke dapur sekejap ya? Nak hidangkan lauk,” pintanya.

“Mak cik tolong, ya? Jom Sya kita ke dapur,” ajak Puan Salmi lalu bangkit mengekori Afina ke dapur.

“Ni lauk Ayam masak lemak cili api yang Fina suruh mak cik masak…” Puan Salmi menyerahkan tupperware berisi lauk kepada Afina.

“Terima kasih mak cik…” Afina menyambutnya dengan senang hati lalu menyalinnya ke dalam mangkuk kaca.

Zafira turun ke ruang tamu sebaik sahaja azan maghrib berkumandang. Terkaku dia di tangga terakhir apabila melihat Hasya turut berada di meja makan. Dia sangka Hasya tidak akan datang kerana mereka bermusuhan. Perlahan-lahan kakinya diheret menuju ke meja makan. Tangannya dihulurkan kepada Puan Salmi lalu dicium. Kemudian dia melabuhkan punggung di sebelah Iskandar. “Maaf lambat…”

“Kakak tu bila mandi tak pernah sekejap. Mesti lebih dari sejam.” Afina membocorkan rahsia Zafira.

Zafira menjegilkan matanya.

“Samalah dengan… aduh!!” Faiq mengerut mukanya menahan sakit.

“Kenapa dengan kamu ni Iq?” tanya Encik Samad pelik.

“Tak ada apa-apa ayah, semut api ni gigit kaki Iq. He…he…he” Faiq tergelak. Dia memandang Hasya lalu menjegilkan mata tanda tidak berpuas hati kakinya dipijak.

Hasya menjelirkan lidah.

“Macam-macam ajelah kamu ni…” Encik Samad mula menadah tangan untuk membaca doa berbuka puasa sambil diikuti yang lain.

Selesai membaca doa, Iskandar mengangkat piring yang berisi buah kurma lalu diagihkan.

“Abang Is suka makan ayam masak lemak cili api, kan? Ni mak masakkan khas untuk Abang Is…” Hasya mencedokkan lauk itu ke dalam pinggan Iskandar.

Tercengang Puan Salmi, Encik Samad, Faiq dan Afina melihat kelakuan Hasya.

Wajah Zafira berubah riak. Air matanya terasa mahu menitis. “Fira naik atas dulu,” pintanya lalu melangkah menaiki tangga.

Yang lain memalingkan wajah memerhatikan langkah Zafira.

“Maaf ya mak cik, pak cik, Kak Sya, Faiq… Kak Fira tu sensitif sikit dengan lauk tu,” terang Afina takut tetamunya tersinggung.

“Kenapa dia sensitif?” soal Faiq ingin tahu.

“Sebenarnya Kak Fira paling rapat dengan arwah ibu. Sejak arwah ibu meninggal, Kak Fira pasti akan menangis bila tengok lauk ayam masak lemak cili api ni. Dia selalu salahkan diri sendiri di atas kematian ibu.” Afina bercerita.

Iskandar menundukkan wajahnya.

“Fina tak sangka pulak yang Kak Fira akan sedih lagi sebab perkara tu dah lama berlalu. Kalau Fina tahu, Fina suruh mak cik masak lauk lain aje.” Afina mengesat air matanya.

“Sudahlah Fina, jangan menangis kat depan rezeki. Kita makan dulu, ya? Fira tu biarkan ajelah dia, nanti eloklah tu,” ujar Iskandar

Yang lain mula menghadap makanan.

Puan Salmi membasuh tangannya setelah tiga suap nasi masuk ke mulutnya.

“Sikitnya awak makan?” soal Encik Samad pelik.

“Saya ingat nak pergi tengok Fira la bang,” beritahunya. “Fina, mana bilik Fira?” tanya Puan Salmi.

“Mak cik naik tangga, bilik Kak Fira yang hujung sekali,” jawab Afina.

Puan Salmi mula bangkit lalu melangkah menaiki tangga.

Hasya memerhatikan langkah emaknya. Dalam hati dia berasa simpati pada Zafira.

Sampai sahaja di bilik Zafira, Puan Salmi mengetuk pintu lalu masuk. Tergeleng kepalanya apabila melihat Zafira melangkupkan mukanya ke bantal sambil badannya terhenjut-henjut seperti sedang menangis. Dia menghampiri lalu melabuhkan punggung di sisi katil. Bahu Zafira disentuh perlahan.

“Mak cik mintak maaf. Gara-gara mak cik, Fira bersedih. Mak cik betul-betul tak tahu. Maafkan mak cik, ya?”

Zafira bangkit. Air mata yang mengalir di pipinya dikesat dengan belakang tangan. “Mak cik,” panggilnya.

“Ya?”

“Fira rindukan ibu… sebab Fira la ibu meninggal…” Zafira menangis lagi.

“Fira… jangan salahkan diri sendiri… ibu Fira meninggal bukan salah Fira tapi Allah lebih sayangkan dia,” pujuk Puan Salmi.

“Tak, memang salah Fira! Kalau Fira makan aje lauk yang ibu masak, ibu tentu takkan kemalangan.” Zafira menceritakan kembali peristiwa yang menyebabkan dia tidak boleh memaafkan dirinya sendiri yang ketika itu baru berusia 11 tahun.

*****

“IBU, mana lauk ayam masak lemak cili api? Semalam ibu janji nak masakkan untuk Fira?” soal Zafira

“Maaf Fira, dari pagi tadi hujan tak henti-henti ibu tak dapat nak ke kedai nak beli ayam. Esok ajelah ibu masakkan, ya?” pujuk Puan Sabariah.

“Tak nak! Fira nak sekarang jugak!” protesnya sambil menghentakkan tangan pada meja makan. Bergoyang sedikit meja itu.

“Mengada-ngadalah Fira ni, makan ajelah lauk yang ada ni!” marah Iskandar. Wajah Zafira direnung tajam.

“Ha’ahlah Kakak ni… makan ajelah lauk yang ada. Esok-esok ibu masaklah lauk tu,” sampuk Afina pula.

“Kau diamlah Fina! Kalau ibu masak karang, kau makan jugak, kan?!” tengkingnya. “Fira tak kira, Fira nak jugak ayam masak lemak cili api, sekarang!” Wajahnya dimasamkan.

“Hey, kat luar tu hujanlah! Kau ni macam esok tak boleh makan pulak! Ibu jangan layan kerenah anak manja ibu ni. Makin naik lemak pulak dia nanti,” kata Iskandar sambil menceduk lauk sambal sotong ke dalam pinggan.

“Fira makan aje lauk yang ada, ya? Abah balik kerja petang karang, ibu ajak abah pergi pasar malam, beli ayam, ya?” pujuk Puan Sabariah lagi.

“Fira tak nak makanlah macam ni!” Zafira menolak kuat kerusi lalu melangkah kasar ke bilik tidurnya. Pintu bilik dihempas kuat. Punggungnya dihenyak kasar pada katil.

Pintu bilik Zafira terkuak dari luar. “Fira… janganlah macam ni, nanti perut masuk angin. Makanlah dulu lauk kat atas meja tu.” Puan Sabariah melabuhkan punggung di sebelah Zafira.

“Kalau tak ada lauk ayam, Fira tak nak!”

“Fira sayang ibu, kan? Makan dulu, ya?” Puan Sabariah memeluk tubuh anaknya dari belakang.

“Kalau ada lauk ayam, lagi Fira sayang ibu,” ujarnya. Pelukan ibunya direnggangkan. Kemudian dia bangkit dari katil lalu menuju ke ruang tamu pula.

Puan Sabariah mengeluh. Dia bangkit mengekori langkah Zafira ke ruang tamu. “Baiklah ibu pergi ke kedai dulu, cari ayam dan santa,” putusnya.

“Betul ke ni ibu?” Wajah Zafira berubah ceria.

“Betul… demi melihat anak kesayangan ibu ni makan, ibu sanggup redah hujan.” Puan Sabariah memeluk tubuh Zafira. “Ibu masuk bilik dulu, ya? Nak ambil duit dan pakai tudung,” pintanya.

“Ibu nak ke mana tu?” tanya Iskandar yang melihat Puan Sabariah membuka pintu rumah.

“Ibu nak beli ayamlah… nak masakkan lauk untuk Fira! Abang Is dengan Fina tak boleh makan, ya? Tadi marah Fira, kan?” Zafira bersuara bangga kerana akan mendapat apa yang dipinta.

“Kan hujan kat luar tu, ibu… tunggulah hujan teduh dulu,” kata Iskandar lagi.

“Ala, nanti lambat pulak dapat makan ayam masak lemak cili api… Fira dah lapar ni ibu,” rengeknya. Tangannya menggosok perut.

“Iyalah… iyalah… ibu pergi, ni. Is tolong jaga adik-adik, ya? Ibu pergi dulu. Mari salam ibu dulu…” Dia menggamit anak-anaknya. Pipi anak-anaknya dicium.

“Ibu, Fina nak ikut boleh?” pinta Afina manja.

“Tak boleh sayang, hujan lebat tu. Ibu pergi sekejap aje, kejap lagi ibu balik.” Puan Sabariah menggosok perlahan kepala Afina kemudian membuka payung dan meredah hujan untuk ke kedai.

*****

HUJAN sudah lama berhenti namun Puan Sabariah belum pulang ke rumah lagi. Iskandar mundar-mandir di hadapan televisyen.

“Abang Is, tepilah! Orang nak tengok tv pun tak senang. Asyik mundar-mandir aje, pening kepala tahu tak?! Orang dahlah tengah lapar ni!” marah Zafira.

“Fira ni tak risaukan kat ibu ke? Dah petang pun ibu tak balik-balik lagi ni.” Iskandar meluahkan kegusarannya.

“Jangan risaulah, ibu mesti berbual dengan kawan-kawan dia tu,” ujarnya. Rancangan di televisyen ditonton dengan penuh khusyuk.

“Abang Is, ibu belum balik lagi, ke?” tanya Afina yang baru keluar dari bilik tidur. Matanya yang mengantuk ditenyeh beberapa kali.

“Belum lagi. Tu yang Abang Is tengah risau ni…”

“Abang Is dah telefon handphone ibu ke?” tanya Afina lagi lalu melabuhkan punggung di sofa.

“Ye tak ye jugak! Kenapalah abang tak terfikir pasal ni tadi!” Iskandar melangkah ke arah yang menempatkan telefon rumah. Baru beberapa langkah, pintu rumahnya diketuk.

“Haa… kan ibu dah balik tu… korang aje risau tak bertempat.” Zafira bangkit mahu membuka pintu. “Eh, abah… ingatkan ibu tadi,” kata Zafira sebaik sahaja membuka pintu. Dia melangkah semula ke sofa untuk menyambung menonton.

“Mana ibu?” tanya Encik Ilyas.

“Ibu dari tengahari tadi tak balik-balik dari kedai. Is risaulah abah,” adunya.

“Kejap lagi baliklah tu kot. Fina, tolong ambilkan abah air masak, dahagalah,” pintanya.

Afina bangkit, mendapatkan air untuk abahnya.

Encik Ilyas menyambut huluran gelas itu lalu meneguknya. Baru dua teguk air dimunum, tiba-tiba telefon rumah berbunyi.

Iskandar bergegas menyambut panggilan. “Helo, ya betul ni rumah Encik Ilyas… Apa?! Ya Allah, ibu!!” Iskandar terduduk dilantai. Air matanya mengalir laju.

Encik Ilyas, Zafira dan Afina mendapatkan Iskandar.

“Kenapa dengan ibu, Is?” tanya Encik Ilyas.

“Ibu, ayah… ibu kemalangan. Sekarang ibu berada di hospital.”

“Ya Allah…. Kita ke hospital sekarang!” putus Encik Ilyas.

*****

“DOKTOR, macam mana dengan isteri saya?” tanya Encik Ilyas sebaik sahaja doktor wanita india keluar dari bilik pembedahan.

Iskandar, Zafira dan Afina turut bangun untuk mendengar penjelasan doktor.

“Maaf encik, isteri encik tidak dapat diselamatkan. Banyak-banyaklah bersabar. Saya mintak diri dulu,” pinta doktor itu.

“Maafkan Fira ibu… maafkan Fira…” Zafira sudah terduduk di lantai hospital sambil menangis.

“Sudahlah Fira…” Iskandar memeluk bahu Zafira.

“Abang Is, kalau Fira tak merajuk, mesti ibu tak tinggalkan kita, kan? Fira nak ibu bang… Fira nak ibu…” Tersedu-sedan dia menangis.

“Kak Fira, ibu dah tak ada,” pujuk Afina pula.

“Maafkan saya encik, saya yang bersalah…” Kedengaran suara seorang lelaki meminta maaf.

Zafira mengangkat mukanya untuk melihat orang yang memohon maaf kepada Encik Ilyas.

“Saya betul-betul tak perasan masa isteri encik melintas. Waktu tu hujan lebat sangat. Maafkan saya, encik,” pinta lelaki itu lagi.

“Awak tak salah pun. Awak dah hantarkan isteri saya ke hospital tu pun dah cukup,” ujar Encik Ilyas tenang.

“Ibu… ibu janji nak balik… baliklah ibu… ibu janji nak masakkan lauk ayam masak lemak cili api untuk Fira… kalau ibu tak balik jugak, Fira tak nak makan lauk tu lagi… sebab Fira ibu meninggal. Kenapa ibu tak bangkang aje kehendak Fira? Fira ni anak yang degil, kan ibu? Baliklah ibu… Baliklah… Fira janji tak akan degil lagi,” rintihnya.

Afina menggenggam erat tangan kakaknya.

*****

PUAN SALMI mengusap perlahan belakang badan Zafira. Air matanya turut tumpah mendengar cerita Zafira. Dia tidak menyangkan perempuan yang sering bergaduh dengan anak perempuannya itu menyimpan cerita yang cukup perit. Selama ini dia tidak pernah mengambil tahu perihal keluarga jirannya itu. Yang dia tahu dia tidak suka masuk campur hal orang lain.

“Lepas kematian ibu, abah yang jaga kami bertiga. Abah, Abang Is dan Fina tak pernah salahkan Fira pasal kematian ibu tapi Fira… Fira tetap rasa semua tu berpunca dari Fira. Bila Fira tengok lauk ayam masak lemak cili api yang mak cik bawak tadi, Fira teringat ibu. Bila Fira teringat ibu, perasaan bersalah tu akan muncul dalam hati Fira,” ceritanya.

“Abah Fira pulak mana? Sejak Fira pindah ke sini dua tahun lepas, tak pernah mak cik nampak abah Fira,” tanya Puan Salmi. Kali ini dia bertekad untuk menyelami hati Zafira.

“Abah dah tiga tahun meninggal. Dia meninggal sebab sakit jantung. Mak cik nak tahu tak kenapa Fira selalu cari gaduh dengan Sya?”

“Kenapa?” Puan Salmi ingin tahu.

“Sebab dia ada keluarga yang lengkap. Dia ada mak cik dan pak cik sedangkan Fira cuma ada adik-beradik aje. Fira cemburu dengan dia. Sebab tulah Fira selalu cari gaduh dengan dia,” terangnya.

Puan Salmi tersenyum. “Kalau Fira nak, Fira boleh anggap mak cik dengan pak cik sebagai mak dan ayah Fira,” tawarnya. Dia tahu Zafira dahagakan kasih sayang seorang ibu.

Zafira menegakkan badannya daripada pelukan Puan Salmi. “Betul ke ni mak cik? Fira boleh panggil mak cik mak?” Zafira teruja.

“Betul…” Puan Salmi ketawa.

“Mak… Fira dah lama mengidam nak panggil panggilan ni. Terima kasih mak… terima kasih kerana sudi jadi mak Fira.” Dia memeluk semula Puan Salmi. Air mata gembira membasahi pipinya.

“Fira ikut mak ke bawah, ya? Kita makan lauk yang mak bawak tu,” ajak Puan Salmi.

Zafira segera merenggangkan pelukan. “Tapi… lauk tu…”

“Fira kena buang perasaan bersalah tu jauh-jauh. Fira kena ingat, kematian ibu Fira tak ada kena-mengena dengan Fira, kerana semuanya telah ditentukan oleh-Nya. Cuba Fira fikir balik, Fira telah kehilangan ibu kerana lauk ayam masak lemak cili api dan Fira mendapat keluarga baru pun kerana lauk tu. Ada hikmah di sebalik semua yang berlaku, kan? Jadi, mak nak Fira makan lauk yang mak bawak tu kalau Fira betul-betul anggap mak ni mak Fira… penat mak masak tau. Mak tahy, Fira mesti dah lama teringin nak makan lauk tu, kan? Mari iku mak… ” Puan Salmi menghulurkan tangannya.

Lama Zafira berikir sebelum menyambut huluran tangan Puan Salmi.

Puan Salmi tersenyum lalu membawa Zafira ke bawah.

*****

SELEPAS menunaikan solat tarawikh berjemaah di rumah Zafira, Encik Samad sekeluarga mula meminta diri.

“Mak, boleh tak masakkan lagi ayam masak lemak cili api, esok? Sedaplah, tadi dapat sikit aje,” pinta Zafira di muka pintu.

Iskandar, Afina, Hasya, Faiq dan Encik Samad tercengang mendengarnya.

“Boleh, esok mak masakkan…” Puan Salmi tersenyum.

“Sejak bila kau panggil mak aku ni mak?” Tanpa bertangguh, Hasya terus menyoal.

“Sejak tadi. Mulai hari ni, mak dah jadi mak angkat Fira tau Abang Is, Fina… jangan jealous!” Matanya dilirikkan pada Hasya. Sengaja ayat terakhirnya itu ditujukan pada Hasya. Dia tersenyum melihat majah cemberut Hasya.

Hasya mencebik. “Ala, kalau kau ambil mak aku, aku ambil Abang Is! Opps!” Hasya menekup mulut. Sangkanya dia berkata di dalam hati, tadi.

Semua mata tertumpu kepada Hasya pula.

Wajah Hasya sudah kemerah-merahan. “He…he…he… tadi tu gurau aje,” katanya cuba menutup malu. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Kalau Fira dah jadi anak angkat mak, maknanya Fira anak angkat ayahlah,” Encik Samad yang sedari tadi diam, bersuara.

“Betul ke Fira boleh panggil pak cik ayah?” Zafira ingin kepastian.

“Apa pulak tak boleh… Is dengan Fina kalau nak panggil ayah pun boleh. Ayah memang dah lama nak ada anak ramai ni,” kata Encik Samad lagi.

“Fina kalau tak panggil ayah pun, nanti bila dah kahwin dengan Iq tetap kena panggil ayah, kan?” Faiq mengusik Afina. “Aduh!” Faiq mengaduh kesakitan apabila Afina menyiku lengannya.

“Padan muka, gatal lagi.” Hasya mengejek adiknya.

“Okeylah, dah lewat ni, kami mintak diri dulu,” pinta Encik Samad. Kemudian dia mendahului yang lain, melangkah keluar dari pintu pagar.

“Sya!” panggil Iskandar sebaik sahaja Hasya mahu memasuki pintu pagar rumahnya.

Encik Samad, Puan Salmi dan Faiq sudah selamat masuk ke dalam rumah.

Hasya berpaling. Jantungnya berdebar melihat Iskandar menghampirinya. Tangannya memegang besi pintu pagar. “Erk pasal tadi tu Abang Is jangan marah, ya? Sya bergurau aje,” beritahu Hasya. Dia takut kalau-kalau Iskandar marah dengan kata-kata yang keluar dari mulutnya tadi.

Iskandar ketawa melihat kekalutan Hasya. “Abang tak marah pun… suka lagi ada la…”

Hasya tersipu-sipu mendengar bicara Iskandar. “Nanti marah pulak kekasih abang kalau dengar abang cakap macam ni.” Hasya sengaja memancing kata untuk mengetahui isi hati Iskandar.

“Tak ada siapa pun nak marah sebab abang bukannya ada kekasih,” beritahunya jujur. Entah kenapa dia tertarik pada Hasya. Walaupun Afina ada memberitahu yang Hasya dan Zafira pernah berperang mulut, dia tetap tertarik. Mungkin kekalutan Hasya yang menarik hatinya. Wajah Hasya akan kelihatan comel apabila tersipu-sipu.

“Takkanlah orang macam Abang Is ni tak ada kekasih? Tipulah.” Hasya tidak mempercayai kata-kata Iskandar. Baginya Iskandar mempunyai pakej yang cukup lengkap untuk menjadi lelaki idaman wanita. Kacak, tinggi, berbadan sasa dan mempunyai pekerjaan yang bagus.

“Betul… mungkin abang tak cukup baik untuk bekas tunang abang, sebab tu dia tinggalkan abang, kot?” Iskandar ketawa kecil.

“Abang Is ditinggalkan?” Terkejut Hasya mendengarnya. “Bodoh betul bekas tunang Abang Is tu. Memang dia tak tahu menilai. Tak apalah, mungkin jodoh abang dengan orang lain… sabar, ya?” Hasya cuba menyedapkan hati Iskandar.

“Abang nak nombor telefon Sya, boleh?” mintanya.

“Hah?! Nak buat apa?” soalnya kalut. Dahinya sudah berpeluh-peluh. Selama ini nombor telefon bimbitnya tidak pernah diberikan pada mana-mana lelaki, kecuali Faiq dan Encik Samad.

“Saje… senang nak hubung nanti. Boleh tak?”

“Erk… okey…” Hasya menyebut satu persatu nombor telefonnya. Beberapa saat kemudian telefon bimbitnya berbunyi. Dia menyeluk poket seluar untuk melihat nama pemanggil.

“Itu nombor abang. Dah lewat malam dah ni, pergilah masuk, tak manis kita berlama-lama kat luar ni,” kata Iskandar sambil memandang sekeliling kawasan rumah.

Hasya akur. Dia melangkah masuk lalu mengunci pintu pagar. “Selamat malam,” ucap Hasya lalu melangkah menuju ke pintu rumah.

“Sya!” panggil Iskandar.

Hasya berpaling. “Ada apa, Abang Is?” tanyanya.

“Jom kita bercinta?” laju Iskandar menuturkannya. Peluh dingin mula memercik di dahinya. Gementar juga dia ketika ingin menuturkan tadi.

Hasya tercengang. Matanya terbeliak. Lama dia mendiamkan diri. Tak romantic betullah Abang Is ni. Ada ke lamar macam nak ajak pergi pasar malam aje, rungutnya dalam hati.

“Tak apalah kalau tak nak…” Iskandar mula berpusing mahu melangkah ke rumahnya. Dengan terdiamnya Hasya dia tahu Hasya tidak sudi. Nampaknya segala tafsirannya salah. Hanya dia yang bertepuk sebelah tangan. Hatinya terasa perit sekali dengan penolakan Hasya.

“Sya setuju!” jawab Hasya cepat-cepat.

Langkah Iskandar terhenti. Dia berpaling semula lalu menghampiri pagar rumah Hasya. “Apa dia?” Wajahnya teruja.

“Sya setuju,” ulang Hasya lagi sambil menundukkan wajahnya ke bawah.

“Sya setuju nak bercinta dengan abang ke, dengan lantai tu? Asyik sangat dia tengok lantai,” usik Iskandar.

Hasya ketawa sambil mengangkat wajahnya memandang Iskandar. “Sya setuju nak jadi kekasih abang,” ucapnya malu-malu.

“Cuba ulang lagi?” pintanya lagi. Tidak puas untuk mendengar.

Hasya geram. “Sya setuju,” jawabnya sambil menahan geram.

“Ulang lagi?” Kali ini dia sengaja mengusik Hasya.

“Malaslah nak layan Abang Is ni!” Hasya berjalan laju memasukki rumahnya.

“Eh, Sya… Sya… janganlah marah, abang gurau ajelah!” panggil Iskandar sambil ketawa. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menghantar pesanan ringkas kepada Hasya.

Hasya yang sedang menaiki tangga mengeluarkan telefon bimbitnya yang berbunyi. Butang baca ditekan untuk membaca pesanan ringkas yang dihantar Iskandar.

‘Sorry, janganlah marah… lain kali abang buat lagi… ha…ha…ha… :p’

Hasya mula membalas mesej Iskandar.

‘Sya tarik balik kata-kata Sya tadi, baru tahu…’

Hasya tersenyum sebaik sahaja selesai menghantar mesej itu.

“Apa yang tersengih sorang-sorang kat tangga ni?” sergah Encik Samad yang ingin turun ke dapur

Hasya terkejut. Hampir terlepas telefon bimbitnya. “Erk… tak ada apa-apalah ayah, Sya masuk bilik dulu, mengantuklah.” Hasya berpura-pura menguap. Ketika dia mahu melangkah, telefon bimbitnya berbunyi lagi. Dia cepat-cepat menekan butang baca sambil pintu bilik dibuka.

‘Please jangan tarik balik… tapikan, abang tak rasa Sya nak tarik balik kata-kata Sya tu sebab… abang dah lama tau yang Sya pun mempunyai perasaan yang sama dengan abang. Dari renungan mata, cara Sya cedukkan lauk ayam tadi ke pinggan abang dan juga Sya tersasul masa nak balik tu pun abang boleh tahu… :D

Glurp! Hasya menelan liur membaca apa yang ditulis Iskandar. Peluh dingin memercik di dahinya. Tangannya laju menaip.

‘Okeylah bang, Sya dah nak tidur ni, mengantuk sangat. Nite…’

Selesai menghantar mesej, dia menutup telefon bimbitnya. Wajahnya sudah memerah. Dia meletakkan telefon bimbit di meja lampu dan bersedia untuk tidur.

*****

ZAFIRA berjalan menyusuri lorong yang sunyi sebaik sahaja mengeluarkan duitnya di mesin ATM pada petang itu. Sengaja dia mengikut jalan itu kerana mahu cepat sampai ke hentian Transit Aliran Ringan. Dia tidak membawa keretanya kerana tidak mahu bersesak di jalan raya.

Tiba-tiba dia terasa tali begnya ditarik dari belakang. Dia terkejut lalu memegang kuat tali begnya. “Tolong!” jeritnya kuat. Dia mula rasa menyesal kerana memilih jalan ini. Jika dia tahu akan menemui pencuri di sini, dia pasti akan mengikut jalan jauh. Tetapi semuanya sudah terlambat. “Tolong! Pencuri! Tolong!” jeritnya lagi kuat sambil menarik kuat begnya.

“Ha…ha…ha… tak ada siapa yang akan dengar suara kau! Tempat ni jauh dari orang ramai. Baik kau lepaskan aje beg kau tu kalau tak nak kena lebih teruk,” ugut pencuri tu.

“Tak! Aku tak akan serahkan beg ni kat kau. Dasar pencuri! Penat-penat aku bekerja, senang-senang aje kau nak ambil!” Zafira cuba memberanikan diri walaupun ada rasa takut dalam hatinya. Beg tangannya tetap tidak dilepaskan.

“Degil jugak kau ni, ya?!”

Buk!!

Pencuri itu menendang perut Zafira.

Terbongkok sedikit badan Zafira menahan sakit namun beg masih digenggam kuat. “Tolong!!” jeritnya dalam suara tertahan-tahan. Dia berdoa dalam hati agar ada orang melalui kawasan itu.

“Oh… dah kena tendang pun masih tak nak lepaskan beg ni, ya? Kau nak kena lagi, ya?” Pencuri itu mengangkat kakinya untuk menendang Zafira buat kali kedua. Belum sempat kakinya sampai ke perut Zafira, belakang badannya terasa sakit. Kepalanya berpusing. Perlahan-lahan pandangannya menjadi gelap.

Zafira turut jatuh terduduk apabila pencuri itu rebah ke tanah. Dia memegang perutnya yang senak akibat ditendang kuat tadi. Sakitnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Dia mendongak apabila ada tangan yang dihulurkan. “Kau?!” Dia terkejut melihat wajah orang yang membantunya. Tangan penyelamatnya itu tetap disambut.

“Kau okey?” tanya Hasya sebaik sahaja berjaya membangunkan Zafira. Kayu di tangan kiri yang digunakan untuk memukul pencuri itu, di campak ke tanah.

“Okey… aduh!” Zafira memegang perutnya.

“Kenapa ni? Dia pukul kau ke?” soal Hasya risau.

Zafira mengangguk. Tubuh pencuri itu cuba diangkat dengan sekuat tenaganya.

“Kau nak buat apa tu?” soal Zafira pelik.

“Aku nak hantar dia ke balai polis. Jom ikut aku, kita buat report. Kereta aku kat hujung sana. Kau bawak kereta tak?” tanya Hasya. Sekali lagi dia cuba mengangkat tubuh pencuri itu yang terasa berat.

“Tak…” Zafira menghampiri Hasya lalu membantu Hasya mengangkat pencuri itu.

*****

“TERIMA KASIH sebab selamatkan aku. Tapi, macam mana kau boleh ada kat situ?” soal Zafira pelik kerana kawasan yang dilaluinya sunyi dan tidak berorang. Ketika ini, Hasya dan Zafira dalam perjalanan untuk pulang ke rumah selepas membuat laporan polis.

“Kawan aku ada dobi dekat dengan kawasan tu. Aku lepak dekat dobi dia sekejap sebelum balik ke rumah. Masa aku nak ke tempat aku letakkan kereta, aku terdengar suara orang mintak tolong. Aku terkejut tengok kau tengah bergelut dengan pencuri tu. Nak panggil orang dah tak sempat, lagipun kawasan tu jauh dari orang ramai. Aku carilah kayu, nak tolong kau.” terangnya.

“Aku nak mintak maaf atas segala perbuatan aku pada kau. Kita berdamai?” Zafira menghulurkan tangan untuk bersalam.

Hasya yang sedang memandu, menyambut huluran tangan Zafira dengan sebelah tangan. “Aku pun nak mintak maaf… mulut aku pun boleh tahan jugak, kan? Kosong-kosong, ya?” Hasya tersenyum.

Zafira ketawa apabila mengingati kembali pergaduhan demi pergaduhan mereka dahulu. “Kau berhentikan aku kat simpang ni ajelah, ya? Aku tak nak keluarga kita tahu yang kita balik bersama,” pinta Zafira apabila kereta Hasya hampir membelok ke laluan rumah mereka.

“Kenapa?” soal Hasya pelik.

“Belum masanya lagi untuk keluarga kita tahu yang kita dah berbaik. Buat sementara ni, kita buat macam biasa dulu. Aku nak bagi dia orang kejutan masa raya nanti. Raya pun tinggal berapa hari aje lagi.”Zafira menerangkan mengenai rancangannya.

“Okey… aku no hal…” Hasya memberhentikan keretanya di simpang jalan.

Zafira turun dari perut kereta. Baru berapa langkah dia berjalan, dia berpatah balik ke kereta Hasya. Cermin kereta diketuk, minta diturunkan.

Hasya akur lalu menurunkan cermin keretanya.

“Kau dah beli baju raya?” tanya Zafira.

“Belum lagi… kenapa?” soal Hasya pelik.

“Aku pun belum jugak… Esok kita shopping baju raya, nak? Biar aku belanja kau, sebab kau dah selamatkan aku tadi,” pelawa Zafira.

“Alright… orang nak belanja jangan ditolak… betul tak?” Hasya bersetuju.

“Aku tunggu kau kat KLCC dalam pukul 3 petang, ya?” Zafira menetapkan tempat. Kemudian dia berpusing semula untuk pulang ke rumah.

*****

“MAK… ayah… Iq… cepatlah! Nanti lama pulak jiran sebelah tunggu,” panggil Hasya. Selepas sembahyang sunat hari raya, mereka sekeluarga bersiap untuk beraya di rumah sebelah.

“Kejaplah, mak tengah ceduk lauk ayam masak lemak cili api ni. Tak menyabar pulak kamu ni,” kata Puan Salmi dari dapur.

“Ha’ahlah Kak Sya ni… sejak Abang Is ada, bukan main tak sabar lagi dia nak ke rumah sebelah. Dulu tak nak pergilah, apalah,” rungut Faiq yang sedang membetulkan sampingnya di tangga. Selesai mengemaskan sampingnya, dia melangkah ke ruang tamu, berdiri di sebelah Hasya yang sudah cantik memakai baju kurung moden berwarna merah jambu.

“Bisinglah kau ni!” Hasya menarik samping Faiq menyebabkan samping itu kelihatan tidak kemas.

“Kak Sya ni kan!” Faiq menarik sedikit rambut Hasya. Sampingnya dikemaskan kembali.

“Woi!” marah Hasya. Dia mengangkat sedikit kain kurungnya untuk menyepak kaki Faiq.

“Faiq Adhwa! Aimy Hasya! Apa sajalah kamu ni bergaduh di pagi raya… tadi baru aje bermaaf-maafan, sekarang ni bergaduh balik,” tegur Encik Samad.

“Kak Sya ni ayah, ada ke patut dia tarik samping Iq,” adunya.

“Mulut kau tu yang macam longkang!”

“Sudah jangan nak bertekak! Jom kita pergi sekarang. Tadi tak sabar nak pergi sangat,” ajak Puan Salmi yang menatang dulang berisi sedikit juadah raya.

Hasya menjelirkan lidah pada Faiq lalu mengekori langkah Encik Samad dan Puan Salmi. Sebaik sahaja Faiq keluar dari pintu, Hasya mengunci pintu rumah. Sengaja dia berjalan di belakang sekali. Ketika dia sedang mengunci pintu pagar, Puan Salmi, Encik Samad dan Faiq sudah pun masuk ke rumah jiran sebelah.

“Tadi kata aku yang tak sabar-sabar, tengok-tengok dia yang jalan laju,” ujar Hasya perlahan. Hasya melangkah memasuki pintu pagar rumah Zafira. Ketika dia hampir sampai ke pintu masuk, Faiq keluar dari rumah lalu menariknya menjauhi pintu masuk. “Eh, kenapa ni?” soal Hasya pelik.

“Iq rasa, baik Kak Sya balik,” ujar Faiq sambil menarik tangan kakaknya.

“Kakak dah sampai pun, kenapa nak balik pulak? Lepaslah, biar akak masuk.” Hasya menolak tangan Faiq.

“Akak balik, tukar baju dululah. Baju ni macam tak sesuai aje dengan akak.” Faiq menahan Hasya.

“Amboi! Sedap mulut kau aje cakap baju ni tak sesuai dengan akak, ya?! Akak tak kira, akak nak masuk jugak! Tepilah!” Kali ini dia menolak kuat tubuh Faiq.

“Kak Sya tak boleh masuk dalam… tolonglah tukar baju dulu,” rayunya. Dia tidak mahu melihat Hasya dan Zafira berperang mulut di pagi raya. Bukannya dia tidak tahu, kakaknya itu pasti akan melenting apabila barang yang dibelinya sama dengan Zafira.

“Yang kau ni paksa-paksa orang kenapa? Dulu bukan main lagi merayu ajak akak datang sini. Bila akak dah rela hati nak datang sini, disuruhnya pulak kita balik!” rungut Hasya.

Zafira menjenguk ke muka pintu. “La… kat luar rupanya… kenapa tercegat aje kat situ? Mari masuk,” pelawanya.

Faiq dan Hasya berpaling. Faiq menutup mukanya sebaik sahaja dia melihat Hasya terlopong memandang baju yang dipakai Zafira sama dengan baju yang dipakainya. Dia tahu selepas ini laman rumah Zafira akan meriah dengan perang mulut antara Hasya dan Zafira.

“Si Iq ni tahan-tahan orang tak bagi masuk…” Hasya melangkah ke arah pintu.

Erk? Betul ke apa yang aku dengar ni? monolognya dalam hati. Perlahan-lahan tangan yang menutupi mukanya dibuka. Dia merenung pelik ke arah Hasya dan Zafira yang boleh bermesra.

“Hasya menghulurkan tangan untuk bersalam. “Selamat hari raya, maaf zahir aje, ya? Batin tak ada,” gurau Hasya.

“Samalah kita… jom masuk,” ajak Zafira sambil memeluk pinggang Hasya. Dia berpaling menghadap Faiq yang sudah terlopong. “Tak nak masuk ke Iq?” Dia bersuara.

“Iya… iya…” Faiq mengekori langkah Hasya dan Zafira masuk ke rumah.

“Kamu berdua sihat tak?” soal Encik Samad sebaik sahaja Hasya dan Zafira melabuhkan punggung di sofa.

Iskandar, Afina dan Puan Salmi turut tercengang melihat perubahan Hasya dan Zafira.

“Kami sihat aje ayah,” ujar Zafira.

“Tapi, bukan ke Kak Fira dengan Kak Sya tak ngam?” soal Afina pelik.

“Sebenarnya….” Zafira sengaja bercakap lambat-lambat.

“Kami dah berdamai!!!” kata Hasya dan Zafira serentak.

“Hah?!” Puan Salmi, Encik Samad, Iskandar, Afina dan Faiq bersuara serentak. Sukar untuk mereka mempercayai. Sudah dua tahun berperang, akhirnya berdamai.

“Sejak bila berdamai ni?” tanya Iskandar ingin tahu.

“Dah seminggu kami berdamai…” Hasya bersuara.

“Kenapa kami tak tahu pun?” Tanya Faiq. Songkok di kepala sudah ditanggalkan.

“Kita orang dah rancang nak bagi kejutan kat semua. Sengaja kami beli baju yang sama, nak tengok reaksi semua. Terkejut tak?” Zafira bersuara ceria. Tangan kirinya diletakkan di bahu Hasya.

“Pandai kamu berdua ni, ya?” Puan Salmi tersenyum sambil menggeleng kepalanya perlahan.

“Akak ceritalah macam mana boleh berdamai?” soal Afina ingin tahu.

Zafira menceritakan kembali peristiwa dia hampir diragut. Sesekali Hasya menyampuk.

“Ya Allah…” Puan Salmi menutup mulutnya dengan tangan. Tidak menyangka anak angkatnya hampir dirompak.
“Astaghfirullahalazim…” Encik Samad mengucap.

“Kenapa tak bagitau abang?” Iskandar mempamerkan riak risau.

Faiq tercengang.

“Patutlah muka Kak Fira lain macam aje masa balik petang tu,” ujar Afina pula.

“Fira tak nak menyusahkan abang dengan Fina… lagipun, kami dah buat laporan polis. Budak tu pun dah kena tangkap,” jelas Zafira.

“Sudahlah, yang penting Fira selamat. Jom kita makan, mak dah lapar ni,” ajak Puan Salmi.

“Eh, lupa pulak nak jemput makan. Terkejut tengok Sya dengan Fira ni sampai terlupa semua. Jom kita ke ke meja makan,” ajak Iskandar.

“Sya, aku ada buat kek coklat kukus khas untuk kau.,” kata Zafira sambil melangkah ke meja makan.

“Macam mana kau tahu aku suka makan kek coklat kukus yang kau buat tu?” soal Hasya pelik.

“Hari tu aku ada terdengar perbualan Iq dengan Fina kat laman rumah. Iq cakap kau seludup kek tu tengah-tengah malam,” ceritanya.

Hasya tersenyum. Wajahnya berubah merah apabila mengingati peristiwa malam itu. Sampai emaknya sendiri di sangka nenek kebayan.

♥♥ TAMAT ♥♥

JORAN NAN SEBATANG – GY HANIEY

Posted on


1

Hujan masih belum mahu berhenti. Titis-titis air yang lahir dari kegelapan awan berguguran lebat hingga mengaburkan pandangan serta menghilangkan warna merah senja. Tebing sungai pasti ada yang runtuh serta menumbangkan pohon-pohon kecil di pinggirannya kemudian hanyut deras dialirkan sungai yang keruh bercampur tanah dan lumpur hingga ke hilir.

Pak Akob sudah tidak mampu mengira waktu. Kaki tuanya itu digagahinya melangkah perlahan menyusur tebing sungai bertemankan sekaki payung yang patah tangkainya. Lampu suluh yang dibawa menghulurkan sedikit bantuan meski kadang-kadang kakinya tersadung batu dan akar pokok kerana gagal melihat dengan jelas.

‘Di mana anakku?’ soalan itu bergumpalan dalam dadanya, berpusar-pusar dan menjerut tangkai hati orang tua itu. Gerun sekali memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang tidak henti menerpa ke akalnya.

“Uda!”

Beberapa kali dijeritkan nama itu namun suara Pak Akop hilang dibawa hujan.

‘Di mana kau,nak?’ hatinya terus diamuk bimbang. Tidak mungkin dia dapat mencari dalam keadaan begini tanpa pertolongan sesiapa. Gelap malam semakin memekat ditambah lagi hujan yang sedang menggila. Dia perlu segera mendapatkan bantuan.

Menyusur denai becak yang menghala ke jalan utama kampung, Pak Akob diasak sesal tiba-tiba. Petang tadi, kalaulah dia mendengar rungutan isterinya tentang Uda yang masih belum pulang bermain, tentu pencariannya tidak sesukar begini. Kalaulah dia menyedari sejak awal akan ketiadaan joran sebatang itu, pasti Uda sudah diturutnya ke sungai. Kalaulah joran itu tidak diterimanya dulu, mungkin perkara ini tidak akan berlaku. Ah,begitu banyaknya kalau hingga Pak Akob jadi lupa akan ketentuan takdir.

Skrett!

“Pak Akob? Kenapa?”

Bunyi motosikal dibrek seiring dengan suara menyapa yang dikenalinya, mendadak menyapu lamunan. Mail anak arwah Busu Deris. Mereka berdua sering bertemu di tebing sungai dengan tujuan yang sama. Menebak lubuk bersarang ikan dengan harapan tinggi melangit, agar berhasil menyinggah rezeki. Melihat beberapa batang joran yang berceracak di dalam bakul motosikal itu, hati Pak Akob kembali diusik hiba.

“Uda hilang.”

Matanya masih belum lepas dari memandang batang-batang joran tersebut. Dari sinilah datangnya joran yang sebatang miliknya itu menggantikan joran buluh beruas lima yang sudah lama menabur khidmat. Benar sungguh kata orang, sudah dapat gading bertuah, tanduk pun tidak berguna lagi. Pak Akob pun sudah lupa, entah di mana gerangannya joran buluh beruas limanya itu sudah dicampaknya.

“Mari!”

Gesaan Mail singgah di telinga menyedarkan orang tua itu agar perlu bertindak pantas. Payung buruknya dilipat kemudian bertenggek di belakang motosikal Mail untuk mencari bantuan.

‘Anakku masih hilang!’ raung hatinya lagi.

***
Hari itu tiada bezanya dari semalam. Dia kembali ke tebing sungai dengan harapan menggunung tinggi. Duduk beralaskan rumput hijau setelah beberapa kali beralih tempat mencari lubuk yang diyakini tempat ikan bermain. Berjarak beberapa depa darinya, ada anak muda berbaju merah bertopi hitam sedang mengatur joran-joran gentian kaca yang sudah diumpan. Batang-batang joran itu disangga dengan ranting kayu terpacak kukuh ke tanah. Berbanding dengan dirinya, hanya sebatang joran buluh beruas lima di tangan sesekali turut bergegar bahana diterpa pusaran air. Yang mana kerap mengelirukan diri akan sambaran rezeki di mata pancing.

‘Ah! Mudah-mudahan rezeki hari ini lebih baik dari semalam.’ detak hati kecilnya. Sekilas, imbasan wajah-wajah mulus yang berselera menjamah hidangan malam berlaukkan anak-anak ikan sembilang sebesar tiga jari mulai mengacah ingatan. Hatinya terkocak hiba.

Kasihan anak-anak… lauk selalu tidak pernah lebih dari itu. Sesekali dijemput orang ke majlis kenduri kendara, dihadap rezeki yang berlimpah itu dengan bersungguh hati. Seumpama tidak makan berbulan lamanya. Malu segan segalanya ditolak ke tepi. Namun jauh di sudut hati, terbit rasa terkilan kerana dirinya gagal memberi yang terbaik buat keluarga.

Tiba-tiba gegaran di joran buluh mematikan lamunannya. Perlahan-lahan, tangsi bingkas digulung. Sembari hati menyeru-menyeru agar ada sesuatu yang terlekat di hujungnya menggantikan umpan. Merkah senyum di ulas bibir tua itu tatkala melihat seekor lais menggelepar rakus sambil menahan bisa mata kail yang terlekat di muncung.

Mata tuanya yang semakin mengumpul kedut dapat meneka dirinya tentu sedang diintai, mungkin juga sedang dinilai dalam diam oleh pemuda berbaju merah itu namun sedikitpun tidak menjadi kudis baginya.

‘Pandanglah aku. Anak lais sebesar empat jari ini, sudah mampu membuat aku tersenyum senang namun tahukah kau, habuan tidak seberapa itu terlalu bermakna buat diriku sekeluarga?’ ucapnya dalam hati.

‘Lihatlah aku. Lihatlah gumpalan tangsi yang bergulung pada tin kosong ini. Pasti kau tertanya-tanya,masih ada lagikah kaedah seperti itu diguna pakai pada zaman manusia sudah tinggal di angkasa?’ sambung hatinya lagi

Namun kehadiran anak muda tersebut bersama sebatang joran biru di tangan menghairankannya sekaligus mematikan terus kata-kata yang terbit dari dalam hatinya itu. Terpinga-pinga dia memandang bahkan gagal memahami isyarat yang diberikan oleh pemuda bertopi hitam apabila menyorongkan joran biru tersebut ke tangannya.

“Saya ikhlas.”

Sepotong ayat itu bagai meresap jauh ke dalam hati. Joran biru dipandang lama. Mampukah joran itu mendatang rezeki yang lebih kepada dia sekeluarga? Bukankah rezeki terletak pada ketentuan tuhan?

“Cubalah! Mungkin ikannya besar sedikit.”

Hati tuanya akur dengan kata-kata itu. Joran gentian kaca tersebut sudah tentu dapat menyelam ke lubuk ikan paling dalam berbanding joran buluh beruas lima miliknya. Dan umpan cacing hidup di hujung kail tentunya mampu mengundang kehadiran mangsa yang lebih besar berbanding anak-anak lais dan seluang yang sering termakan umpan di mata kail joran buluhnya itu.

Sekilas,gambaran anak-anak bersorak gembira meraikan hasil tangkapan yang luar dari kebiasaan, merekah senyum di bibirnya. Joran biru itu disambut dengan rasa syukur di hati. Tiada kata-kata yang mampu dilontarkan namun pandangan berterima kasih dengan ulas mata yang bergenang air dek keharuan itu semuga dapat dimengerti oleh anak muda berbaju merah. Dan petang tersebut, seperti yang diharapkan, raga buruknya sarat dengan hasil pancingan. Cukup untuk hidangan mereka sekeluarga sehari dua. Dia benar-benar berterima kasih. Sejak itu, joran biru nan sebatang menjadi teman setia…

***
“Akob! Akob!” Tok Empat Zali dan Lebai Dolah tergesa-gesa menghampiri. Di tebing sungai itu,kelihatan cahaya lampu suluh bersilang-silang. Suara memanggil-manggil nama Uda, bergema di sekitarnya. Pak Akob bangun berdiri mengharapkan sebarang berita, baik atau buruk sudah tidak jadi persoalan lagi. Halimah isterinya masih duduk memeluk lutut di bawah pohon ara. Hujan semakin mereda namun airmata isterinya masih lagi mengalir lebat.

“Ada jumpa, lebai?” melihat gelengan kepala lebai berkopiah putih tersebut, ngongoi Halimah semakin berlagu kencang.

‘Uda, di mana kau nak?’ hati Pak Akob menjerit lagi.

“Kita kena panggil penyelamat. Air deras sangat. Kita tak cukup alat,” saran Tok Empat Zali pula.

Pak Akob hanya mampu mengangguk tatkala mendengar usul lelaki berbadan gempal itu. Dia menyerahkan semuanya kepada budi bicara penduduk kampung. Pertolongan mereka sangat-sangat diharapkan. Orang tua hanya mampu memandang orang-orang kampung berkumpul setempat sebelum kedengaran suara tok empat mengarahkan salah seorang darinya membuat panggilan kecemasan. Namun tiba-tiba…

“Nanti!”

Mail anak arwah Busu Deris melaung dari atas denai. Motosikalnya tidak sempat ditongkat. Anak muda itu turun menggelongsor ke tebing mendapatkan orang kampung yang sedang berkumpul di situ. Kelihatannya pemuda itu sudah pulang ke rumah kerana pakaiannya sudahpun bertukar. Masing-masing jelas terpinga-pinga.

“Kita cari di lombong tinggal!” arahnya.

“Mail?” serak suara Pak Akob memohon kepastian.

“Percayalah. Nanti saya cerita.”

***
‘Anakku sudah tiada.’ detak hati kecilnya.

Anak itu sudah pergi meninggalkan mereka sekeluarga yang akan meneruskan hidup dalam keadaan serba kekurangan. Tiada lagi kelibat Uda di dalam rumah usang ini. Tidak akan ada lagi suara tawanya mengusik Acik dan Usu. Pasti Kak long juga tidak boleh lagi menyuruhnya mengangkut air di perigi. Angah pula sudah tiada teman bermain gasing atau layang-layang tatkala angin deras bertiup kencang.

Hati tuanya bergalau dengan rasa rindu yang mencengkam. Uda anaknya yang paling cergas tidak terbanding dengan usia sembilan tahun. Abangnya pun bukan tandingan sementelah lagi Angah mengidap lelah semenjak dari kecil. Walaupun tubuhnya rincing kurus, pergerakannya agak tangkas dan ringan tulang. Anak itulah yang sering menemaninya ke baruh bertanam pisang. Kadang-kadang menjadi kawan bersenda ketika menorah getah. Uda juga selalu menemankannya berjam-jam di tebing sungai memancing ikan.

‘Kasihan anakku.’

Hati tuanya merintih lagi apabila terbayangkan Uda di saat-saat terakhir hayatnya. Pasti bertarung habis-habisan untuk menyedut udara yang semakin menipis di dadanya. Mungkinkah anakku itu terbayangkan kami semua? Mungkinkah saat itu Uda sudah dapat melihat bayangan syurga yang menantinya? Hatinya tidak habis-habis berbicara.

Mana mungkin dia dapat melupakan tatkala jasad kecil yang sudah membengkak diangkat ke tebing lombong tinggal. Halimah sudah meraung-raung berteriak nama anak itu. Mujurlah ada jiran-jiran yang berusaha menenangkan. Kakinya sendiri sudah tidak dapat berdiri sempurna. Gigilannya masih terasa-rasa hingga ke saat ini.

Mail membuka cerita lara. Ketika pulang ke rumah seketika untuk melunaskan hajat, dia terpempam melihat joran biru nan sebatang itu tersangkut kembali di dinding rumahnya. Akibat diasak rasa hairan yang bukan sedikit, Malek adik si adik bongsu dicari bagi mendapatkan penjelasan. Melotot mata pemuda itu apabila dikhabarkan Uda tergelincir ke dalam lombong tatkala merebut joran biru dari tangan Malek yang tersalah menebak. Sangkanya anak Pak Akob itu berhasil mendapatkan joran biru tersebut dengan cara tidak halal. Walaupun Uda sudah berkali-kali menafikan joran itu dicuri, Malek tetap dengan pendiriannya. Di saat melihat Uda terkapai-kapai di dalam air, Malek dan dua rakan yang lain lintang pukang pulang ke rumah dengan mengunci mulut.

Hati tuanya terhiris lagi sebaik sahaja bola matanya singgah ke joran biru nan sebatang yang tersandar di tangga.

‘Joran itu menjadi penyebab kematian anakku!’ jerit hati kecilnya.

‘Bagaimana mungkin joran yang pernah meraih rezeki yang banyak itu menjadi sebab kematian?’ hatinya berbolak balik sendiri.

‘Kalau bukan kerana joran biru itu, pasti Uda masih hidup,’ protesnya dalam hati.

‘Bukan begitu! Joran itu tiada daya. Hidup dan mati manusia, ketentuan tuhan yang tidak boleh diubah sesiapa,’ bangkang hatinya terus.

***
Pak Akob kembali ke tebing sungai yang mengalir lesu. Beralaskan rumput menghijau dan berlatarkan langit membiru, tali tangsi perlahan-lahan dijatuhkan ke air. Hari ini, seperti juga hari-hari kelmarin yang telah berlalu tiada bezanya bagi orang tua itu. Dia tetap juga mengharapkan raga buruknya menjadi tempat ikan menyinggah untuk santapan mereka sekeluarga.

Joran buluh beruas lima erat dalam genggaman. Dalam hatinya sudah dipasang ikrar, joran itu akan tetap berada di sisinya sampai bila-bila. Tiada lagi joran biru. Tiada lagi joran nan sebatang itu. Segala-galanya yang mengingatkan dia dengan kesedihan, ingin dilontar jauh-jauh. Biarlah ingatannya terhadap Uda hanya yang manis-manis sahaja. Senyum Uda, tawa Uda, gurau senda Uda dan canda Uda.

Joran nan sebatang itu akan membuatkan dia terkenang lambaian terakhir Uda, kesakitan Uda, penderitaan Uda dan wajah terakhir dari Uda sebelum liang dikambus.

“Uda, ayah rindu.”

TAMAT

KEJAM, INI CINTAKU YANG PERTAMA! – AZRINA NUR RUSLY

Posted on

“TENGGELAM dalam kesayuan ku seorang
Biarpun dulu berjanji bersama
Ucap rayuanmu kau putarkan
Sehingga kini masih kupercaya
Rindu dan dendam menjadi pegangan
Tak mungkin kulepaskan
Biarpun terluka dalam dada
Kata-katamu menghiris hatiku
Di dalam sendu
Aku tatapi potret-potret wajahmu
Hingga kuterbayang kenangan bersamamu
Di saat-saat bahagia
Kau kejam dan …”

Belum sempat Datul menghabiskan nyanyian sumbangnya, mikrofon yang berada di tangannya dirampas oleh Puan Zaleha. Serentak itu, set karaoke yang sedang ligat bekerja turut terpadam. Merah padam wajah Puan Zaleha menahan amarah. Sakit telinganya mendengar Datul terjerit-jerit berkaraoke di ruang tamu rumah teres setingkat itu. Kalaulah ada bilik kedap bunyi di rumah peninggalan arwah suaminya itu, teringin juga Puan Zaleha menyembunyikan dirinya di situ.

“Apa ni ma? Datul tak habis nyanyi lagi!” Geram Datul apabila Puan Zaleha merampas mikrofonnya ketika dia sedang seronok menyanyi. Baharu masuk bahagian korus pula itu. Bahagian yang paling Datul suka sekali, yang mencabar kekuatan vokalnya. Hehehe… Berangan sekejap Datul menjadi seorang penyanyi.

“Banyaklah kamu punya tak habis nyanyi. Dah berpuluh buah lagu dah kamu melalak, masih tak puas-puas lagi?” Sambil melilitkan wayar ke badan mikrofon, sempat lagi Puan Zaleha bersoaljawab dengan anak gadisnya yang tampak tidak berpuashati dengan tindakannya itu. Sudah hampir dua jam menyanyi, masih belum puas lagi anak gadisnya itu. Memang bertuah punya anak.

“Ala… Bukannya selalu pun ma. Hujung minggu aje nak rehat-rehatkan minda. Haaaa… Masa ni la nak ‘release tension’, nyanyi-nyanyi, barulah berbaloi-baloi cuti hujung minggu.” Datul membuat gaya seperti iklan di televisyen pula sambil membalas kata-kata Puan Zaleha.

“Amboiii… Kamu tahu kamu punya berbaloi ajelah ye? Habis mama ni tak tahu nak bercuti ke? Penat gegendang telinga mama ni bekerja hari ni kamu tahu tak?”

“Apasal pulak gegendang telinga mama penat?” Aduhai… Apalah malang nasib Puan Zaleha mendapat anak yang loyar buruk sebegini. Ini sudah tentu akibat suka sangat menonton rancangan hiburan lawak jenaka yang banyak disiarkan di televisyen dewasa ini. Jika tidak pun, mungkin diwarisi daripada Puan Zaleha sendiri.

“Yelah, penat dengar kamu menyanyi. Kalau sedap tak apalah, ini tidak, bukan main sumbang lagi! Datul… Datul… Kamu tolong mama berkemas pun lagi bagus daripada kamu melalak tak tentu arah ni.” Jangan harap Datul boleh menang apabila berloyar buruk dengan Puan Jamilah. Jangan tidak tahu, Puan Jamilah itu dahulu lebih hebat lagi loyar buruknya. Jika tidak, masakan arwah suaminya dahulu boleh terpikat kepadanya. Disebabkan dirinya yang suka berjenaka dan tidak mudah ambil hati dengan kata-kata oranglah yang membuatkan arwah suaminya yang memang terkenal dengan sikap seriusnya itu jatuh cinta kepadanya.

“Mama ni… Esok dah nak kena kerja, hari ni bagi peluang la Datul rehat-rehat.” Mimik muka kasihan dipamerkan oleh Datul. Itu tidak lain dan tidak bukan, hendak memancing simpati Puan Zalehalah itu. Anak manjalah katakan.

“Susah bercakap dengan kamu ni, Datul. Esok, bila kamu dah ada anak sendiri, tahulah nasib kamu!” Sebenarnya, Puan Zaleha bukanlah serius sangat dengan kata-katanya itu tadi. Bukan ada apa pun yang perlu dikemaskan lagi. Semuanya sudah Puan Zaleha bereskan, dari mengemas rumah, hinggalah hal masak-memasak. Lagi pun Puan Zaleha bukannya bekerja. Duit pencen arwah suaminya sebagai bekas tentera cukup untuk perbelanjaannya dua beranak. Malahan Datul juga ada menghulurkan sebahagian dari wang gajinya untuk perbelanjaan rumah.

Naik malas Puan Zaleha mahu bercakap lagi dengan anak tunggalnya itu. Umurnya sudah menginjak dua puluh lapan tahun, tetapi perangai manjanya mengalahkan remaja belasan tahun. Tahunya hendak berhibur sahaja. Namun, mujur juga Datul hendak juga bekerja sebaik habis belajar. Buatnya, bekerja pun dia tidak mahu, lagi pening kepala Puan Zaleha. Akhirnya Puan Zaleha berlalu ke dapur. Buat cekodok bilis lagi bagus dari melayan perangai loyar buruk anak gadisnya itu, fikirnya. Kenyang juga perut di waktu petang-petang redup begini.

**********
CEKODOK yang masih panas di dalam piring, dicapainya seketul lalu segera dibawa ke mulut. Sebelum digigit, sempat juga Datul meniup-niup dahulu untuk menyejukkan cekodok itu. Kalau masih panas itu terus sahaja dikunyah, mahu melecur lidahnya nanti. Kalau sudah melecur, siapa yang susah kalau bukan dirinya sendiri. Dan sudah tentu susah dia hendak makan masakan mamanya yang sedap-sedap nanti.

“Datul… Mama tanya kamu sikit, boleh?” Datul mengangkat muka memandang wajah mamanya. Lain macam sahaja riak mamanya, seperti ada perkara penting yang hendak ditanyakan.

“Apa dia ma?”

“Kamu tu, dah ada calon ke belum?” Haishh… Hal jodoh lagi rupanya. Mati-mati Datul ingatkan mamanya ada masalah negara yang besar hendak dibincangkan. Bosan pula asyik subjek yang sama sahaja dibangkitkan. Tetapi subjek yang membosankan itulah yang menjadi subjek kesukaan mamanya. Apa yang boleh Datul lakukan lagi selain melayan sahaja. Itulah satu-satunya mama yang Datul ada. Tiada dua, tiada tiga kerana tidak pernah pula Datul mendengar arwah papanya ada mempunyai isteri lain semasa hayatnya dahulu.

“Calon apa ma?” Sengaja Datul buat-buat tidak tahu. Padahal di dalam kepalanya sudah berkira-kira hendak mengenakan mamanya. Hah! Mamanya kalau sudah terkena, pasti akan senyap sendiri.

“Calon suamilah, takkan ayah tiri pulak!” Datul perasan riak wajah mamanya sedikit berubah. Tentu mamanya panas hati apabila soalannya dijawab dengan soalan juga oleh Datul.

“Calon suami tu tak adalah ma, kalau mama nak calon ayah tiri, memang ada yang Datul berkenan dah ma.” Hah! Hajat hendak mengenakan si Datul, akhirnya Puan Zaleha sendiri yang terkena. Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Tersengih Datul memandang wajah cemberut mamanya itu.

Datul menuangkan air kopi ke dalam cawan. Asap nipis yang terbit dari air kopi yang masih panas itu mengeluarkan aroma yang sangat wangi. Kopi jenama apalah yang mamanya gunakan agaknya, punya rasa yang sedap dan bau yang sangat wangi. Jangan-jangan mama gunakan kopi cap Kapal Api, sekali minum, boleh lepas sampai ke bulan tanpa perlu menaiki roket. Tersengih-sengih Datul mengingatkan iklan itu yang pernah disiarkan di televisyen satu ketika dahulu.

“Haaa… Yang kamu tersengih-sengih ni kenapa pulak Datul? Ingatkan calon suami ke?” Cawan berisi air kopi yang dihulurkan oleh Datul segera diambil oleh Puan Zaleha, lalu diletakkan di hadapannya. Matanya masih tidak lepas dari wajah anak gadisnya itu. Cantik. Anak gadisnya itu berkulit putih, seperti arwah suaminya dahulu. Rambutnya ikal mayang dan bermata bundar. Mustahil tiada lelaki yang tidak terpikat dengan anak gadisnya itu.

“Hishhh mama ni. Datul mana ada masa nak fikir pasal calon suami! Dah la ma, tak nak cerita pasal tu lagi. Ada jodoh nanti, kawin la Datul. Mama janganlah risau.” Melihatkan reaksi anak gadisnya yang seakan tidak senang dengan topik yang dibincangkan, Puan Zaleha tidak lagi meneruskan perbualan. Cawan yang berada di hadapannya dibawa ke mulut. Diminum beberapa teguk isinya sebelum diletakkan semula ke atas meja.

Diperhatikan wajah anak gadisnya yang leka menyuap cekodok ke dalam mulut. Nampak berselera sungguh. Puan Zaleha memang bersyukur dengan sikap anak gadisnya yang tidak memilih makanan. Apa sahaja yang dimasak oleh Puan Zaleha, semuanya sedap bagi Datul. Cuma satu perkara itu sahaja yang Puan Zaleha terkilankan. Tentang jodoh anak gadisnya itu.

Susah sungguh hendak berbincang tentang jodoh dengan Datul. Puan Zaleha tahu, pasti ada sesuatu yang disembunyikan oleh Datul daripadanya. Entah-entah anak gadisnya itu sudah punya teman lelaki namun dirahsiakan daripadanya. Atau barangkali Datul menunggu seseorang yang dirasakannya sangat istimewa dalam hidupnya.

**********
DATUL berbaring-baring di atas tilam di dalam biliknya. Usai makan malam tadi, Datul sudah meminta izin Puan Zaleha hendak masuk tidur lebih awal. Alasannya, takut tidak tersedar pagi nanti. Maklumlah, sudah dua hari bercuti. Bimbang juga jika otak masih memikirkan esok juga adalah hari cuti. Alamatnya, cuti kecemasanlah Datul nanti.

Suram suasana di bilik Datul. Hanya diterangi sedikit imbasan cahaya lampu jalan yang mencuri-curi masuk melalui cermin tingkap yang terselak langsirnya. Sungguh, ia tidak langsung mampu membantu Datul melelapkan matanya malam ini. Perbualan dengan mamanya petang tadi, kembali berlegar-legar di fikirannya.

Sudah acapkali Datul mengelak setiap kali mamanya mula menyentuh tentang isu jodoh. Bukan Datul tidak mahu berumahtangga, memberikan cucu kepada mamanya, namun sudah tersurat jodohnya lambat sampai. Datul redha dengan ketentuan Ilahi. Lagi pun tiada sesiapa dapat menggantikan tempat tertinggi di dalam hati Datul yang telah terlebih dahulu dipenuhi oleh satu nama yang pemiliknya sudah lama tidak Datul temui.

Datul mengeluarkan sebuah album lama dari dalam laci meja soleknya. Diselak helaian demi helaian. Bibirnya mengukir senyum melihat gambar-gambar dirinya bersama rakan-rakan sekolah yang dirakamkan ketika sambutan majlis Hari Guru. Ketika itu, Datul dan Fazli mengambil bahagian dalam satu persembahan bersama. Wajah Fazli yang sedang tersenyum manis di dalam gambar direnung lama. Tanpa sedar, fikirannya menerawang ke masa silam. Kembali ke zaman persekolahan yang sudah bertahun-tahun ditinggalkan.

***********
“DATUL… Datul…” Datul segera menoleh ke arah suara yang memanggil. Suara yang sangat dikenalinya. Entah apa lagilah yang dikehendaki oleh budak lelaki seorang ini daripadanya. Semenjak mereka membuat persembahan bersama ketika sambutan Hari Guru, tidak habis-habis Fazli mengekorinya. Naik rimas Datul hendak melayannya. Ada-ada sahaja yang hendak ditanya. Ada-ada sahaja yang hendak dicerita. Kadang-kadang cerita yang tiada kaitan dengan diri Datul pun, heboh budak lelaki seorang ini hendak berkongsi.

“Apa benda? Lecehlah kau ni Fazli. Asyik nak berkepit dengan aku aje. Cuba kau pergi campur dengan Tajul ke, dengan si Napi tu ke. Ini tidak, mana aku pergi, kat situ jugak kau nak pergi.”

“Ala Datul. Aku suka kawan dengan kau. Kau baik, tak macam diorang tu. Diorang tu suka buli aku.”

“Buat fitnah saja kerja kau ni Fazli. Tak pernah pun aku nampak diorang buli kau!”

“Memanglah kau tak pernah nampak, Datul. Depan kau, diorang tunjuk baik. Belakang kau, diorang buli aku.”

“Dahlah. Apa benda yang kau nak cerita pula kali ni? Cepat, telinga aku dah bersedia nak dengar ni.”

“Aku malulah nak cakap…”

“Kalau malu, tak payah cakap!”

“Tapi…” Belum sempat Fazli menghabiskan kata, Datul sudah berlari meninggalkannya sendirian di situ. Fazli hanya mampu memandang langkah gadis itu dengan pandangan penuh sayu.

“Bye!!” Tanpa sedar, laungan selamat tinggal yang kedengaran dari kejauhan itulah rupanya yang menjadi kalimah terakhir Datul buat Fazli.

***********
“KORANG ada nampak Fazli tak?” Meluncur juga pertanyaan itu daripada mulut Datul akhirnya. Puas juga Datul menahan gejolak rasa ingin tahu yang berpusaran di dalam fikirannya. Semenjak masuk ke dalam kawasan sekolah, jangankan bayang, malahan kelibat Fazli pun langsung tidak kelihatan. Sakitkah dia? Atau ada apa-apa perkara burukkah yang terjadi kepadanya? Selalunya ada sahaja budak lelaki yang seorang itu di sekitarnya.

“Kau tak tahu ke Datul? Atau… Kau saja buat-buat tak tahu?” Soalan yang ditanya, soalan pula yang diberi sebagai jawapan. Pelik bercampur geram dirasakan oleh Datul. Betullah si Napi ini kurang berfikir. Jika Datul tahu, tidak perlu ditanya lagi soalan itu kepada mereka.

“Kalau aku tahu, apa gunanya aku bersusah-payah mengeluarkan suara aku yang lemak merdu ni bertanya kat korang? Jadi, eloklah kiranya tuan hamba menerangkan kepada hamba hal yang sebenarnya.” Hah! Sudah keluar loyar buruk gadis genit seorang ini. Bahasa pertuturan sewaktu di Zaman Kesultanan Melaka pula yang digunakannya. Itu sudah pasti Datul sudah mula masuk mood gila-gilanya. Namun, mood gila-gilanya itu terpadam terus setelah mendengar kenyataan yang dibentangkan oleh Napi di hadapannya.

“Fazli dah pindah. Minggu lepas tu minggu terakhir dia sekolah di sini. Ayah dia ditukarkan ke Kedah. Semua orang dah tahu!”

“Dia tak cakap dengan aku pun.” Lemah suara Datul. Lain sungguh perasaannya mendengar baris ayat yang keluar daripada mulut Napi. Tanpa kata, Datul berlalu meninggalkan Napi, berlalu membawa hatinya yang tercalar.

‘Fazli… Kenapa kau pergi tak beritahu aku? Kenapa mesti aku orang yang terakhir tahu berita sedih ni?’

Bunyi ketukan di pintu bilik berselang-seli dengan suara Puan Zaleha, menerbangkan kenangan Datul ketika zaman persekolahan dahulu. Entah apa lagi yang mamanya itu mahukan daripadanya. Jika hendak berbicara soal jodoh, sudah jelas terang lagi bersuluh Datul tidak berminat. Malas-malas Datul turun dari katil. Pintu bilik yang berkunci dibuka selaknya. Terjengul wajah mamanya di muka pintu bersama sekeping surat.

“Ini surat kamu. Rabu lepas mama terima tapi maaflah, mama terlupa nak beri pada kamu.”

“Rabu lepas? Lama dah tu ma.”

“Alah, tak lama manalah. Hari ni baru Ahad. Bukalah. Mama teringin juga nak tahu isinya.”

“Esok ajelah Datul buka surat ni ma. Datul ngantuk ni, nak tidur dulu. Esok Datul ada kursus motivasi, kena pergi awal.”

Datul hanya memandang langkah Puan Zaleha yang makin lama makin jauh meninggalkan dirinya terkulat-kulat di muka pintu. Rasa bersalah menerjah hatinya. Sedar mamanya itu terasa hati dengan jawapannya tadi. Hai Datul, berdosa jika seorang anak menyakitkan hati ibunya. Apatah lagi jika sampai mengalir airmata si ibu. Surat di tangan dipandang lagi. Tiada keinginan langsung hatinya untuk melihat isi surat itu ketika ini namun digagahi juga untuk membukanya. Ternyata tiada apa yang menarik berkenaan surat itu.

Datul kembali ke katil. Tubuh direbahkan di atas tilam. Dengan tangan disilangkan di atas dahi, terbayang lagi wajah mamanya sebentar tadi. Rasa bersalah semakin kuat terasa. Akhirnya, Datul bangun mendapatkan mamanya. Lebih baik memohon kemaafan mamanya dahulu sebelum tidur. Jika tidak, andainya dia tidur malam ini dan tidak bangun-bangun lagi buat selamanya, dosa menyakitkan hati mamanya akan dibawa bersama hingga ke hari kebangkitan semula.

**********
DEWAN yang menempatkan peserta kursus motivasi kecemerlangan disertai oleh Datul masih belum lagi dipenuhi oleh para peserta. Masih banyak lagi kerusi yang kosong termasuklah yang berada di sebelah tempat duduk Datul. Sambil menunggu peserta memenuhi dewan, Datul sempat melemparkan pandangan ke seluruh pelusuk dewan. Tiba-tiba matanya tertancap pada seorang peserta lelaki yang baharu sahaja memboloskan diri di pintu.

‘Wow, kacaknya dia tapi wajahnya macam pernah nampaklah!’

Datul segera mengalihkan pandangannya apabila menyedari lelaki tersebut memandang ke arahnya sambil melemparkan senyum. Secara automatik, jemarinya membetul-betulkan rambutnya yang sudah siap sedia kemas itu. Itulah sikap Datul yang tidak pernah berubah semenjak sekolah hingga kini.

Datul menumpukan pandangannya pada papan putih yang terdapat di hadapan dewan. Namun begitu, hanya pandangannya sahaja di situ, tidak fikirannya. Datul masih lagi terfikirkan lelaki tadi. Ulas senyumnya seperti pernah dilihat sebelum ini tetapi tidak dapat Datul pastikan di mana.

Bunyi derap tapak kasut yang semakin mendekat menambahkan debar di dadanya. Haish… janganlah lelaki kacak itu duduk di sebelah Datul. Jika ya, tentu tidak keruan Datul jadinya nanti. Sudahlah hati bergetar terpandangkan raut wajah lelaki itu yang cukup kacak dirasakannya. Apatah lagi dengan senyumannya yang cukup manis. Argh! Datul sudah terpikat.

“Hai… Ada orang duduk di sini?”

“Ermm… Ha.. Hai… Tak.. Tak ada.” Haish Datul, kenapa pula tiba-tiba sahaja menjadi gagap. Janganlah menjatuhkan saham sendiri, bentak hatinya.

“Kalau macam tu, boleh saya duduk di sini?”

“Boleh! Boleh! Silakan.”

“Saya Fazli. Cik?” Namanya sama seperti pemilik cinta yang ada di dalam hati Datul. Diakah orangnya? Kalau benar dia, Datul adalah orang yang paling gembira. Bertemu cinta pertamanya semula.

“Saya Datul, Syaidatul Akmal”

“Syaidatul Akmal? Dulu sekolah di Seri Mahkota?” Datul memandang tepat ke wajah lelaki yang duduk di sebelahnya itu. Lelaki itu juga tahu dia bersekolah di Seri Mahkota. Diakah?

“Ya, kenapa?”

“Awak tak ingat saya lagi?” Datul mengamati wajah Fazli. Tahi lalat yang berada di sudut bibir lelaki itu mengingatkan Datul kepada Fazli yang sama bersekolah dengannya di Seri Mahkota dahulu. Mungkinkah lelaki yang berada di sebelahnya ini adalah Fazli yang itu?

“Jangan kata awak Fazli Skema yang selalu kena buli dengan Napi tu…” Melihat senyuman Fazli, sahlah jangkaannya betul. Patutlah hatinya berdebar tatkala pandangan mata mereka bertaut.

“Haaaa… Betullah tu. Sayalah Fazli yang selalu kena buli tu. How’s life? Sudah berpunya?” Gembira Fazli apabila Datul dapat mengingatinya semula. Harap-harap jawapan pada persoalannya nanti adalah sesuatu yang menggembirakan.

“Siapalah yang sudi nak berkawan dengan saya ni awak…” Bertambah mekar senyum Fazli. Ada peluang untuknya mengisi ruang kosong di hati gadis itu, fikirnya. Namun, dia tidak menyedari yang ruang kosong itu sudah lama diisinya.

‘Kalaulah awak tahu Fazli yang sesungguhnya dalam hati saya ini hanya ada nama awak sahaja dari dahulu hinggalah sekarang. Tidak pernah sedetik pun saya melupakan awak, melupakan kenangan sewaktu kita bersama di alam persekolahan kita. Kalaulah awak tahu betapa hati saya merintih kehilangan awak dahulu.’ Namun kata-kata itu hanya mampu terluah di dalam hati Datul sahaja.

“Jadi awak masih kosonglah ni?” Di dalam hati Fazli sudah rasa kegembiraan yang tiada tolok bandingnya. Ternyata tidak sia-sia dia menolak segala cinta yang dihulurkan kepadanya semenjak berpisah dengan Datul. Begitu juga dengan calon yang dicadangkan oleh kedua orangtuanya. Semuanya ditolak gara-gara di dalam hatinya hanya ada cinta untuk Datul sahaja.

“A’ah. Awak pula?”

“Oh! Saya bahagia sekarang. Cuba awak tengok ni… Comel tak?” Sekeping gambar kanak-kanak lelaki yang berada di atas dukungan sambil memaut erat lehernya dari belakang yang ditunjukkan kepada Datul. Gambar yang diambil ketika dia melawat abang sulungnya sekeluarga yang tinggal di luar negara tahun lalu. Itulah kebahagiaannya selain kenangan bersama Datul dahulu. Nampaknya tidak sia-sia dia menunjukkan gambar itu. Perubahan riak wajah Datul menampakkan ada sesuatu. Adakah Datul kecewa?

“Comel. Tahniah sebab dah menjadi seorang bapa.” Senyuman yang terbit di ulas bibir Fazli umpama belati yang menghiris lumat hati Datul. Sungguh Datul kecewa. Riak wajah Fazli menggambarkan kebahagiaan yang kini sedang dikecapinya. Berlainan dengan Datul yang masih lagi belum mampu membuka hatinya untuk didiami oleh insan lain.

“Eh, ini bukan anak saya la. Ini Pejal, anak abang saya. Dia memang mesra dengan saya, maklumlah, saya ni seorang aje Pak Usunya yang masih bujang.” Sebelah kening Fazli yang sengaja dijungkitkan bersama senyuman yang terukir mendebarkan dada Datul. Ketara sangatkah riak kecewa di wajahnya tadi? Ah! Malunya.

Perbualan mereka terhenti ketika penceramah memulakan sesinya. Seluruh perhatian ditumpukan kepada penceramah di hadapan dewan hingga usai kursus tersebut dijalankan. Dan keduanya terpaksa berpisah lagi namun pertemuan mereka tidak berakhir di situ sahaja. Pertemuan demi pertemuan berlanjutan hingga akhirnya dua jiwa yang punya satu rasa yang sama tenggelam dalam hangatnya gelora cinta.

**********
“MA, kalau Datul cakap sesuatu mama jangan marah ye?” Puas sudah Datul berfikir bagaimana cara hendak bercerita dengan mamanya tentang permintaan Fazli siang tadi. Rasa seperti terlalu tergesa-gesa sedangkan mereka baharu sahaja bertemu beberapa minggu bertemu semula.

“Cakaplah, tapi mama tak dapat janji tak marah. Kalau perkara tu tak elok, terpaksalah mama marah juga.” Bimbang juga jika tiba-tiba anak gadisnya itu mengaku ada melakukan perbuatan yang melanggar hukum agama pula. Jika ada, tidak mungkin Puan Zaleha akan mendiamkan sahaja. Walaupun dia tidak terlalu menekankan aspek agama terhadap anak gadisnya itu, namun untuk membiarkan Datul melakukan sesuatu yang di luar batasan, tidak baginya.

“Yelah. Sebenarnya ma, baru-baru ni Datul terjumpa semula kawan lama Datul masa sekolah dulu.” Wajah mamanya kelihatan serius. Takut pula Datul hendak meneruskan ceritanya.

“Jadi?” Puan Zaleha menyampuk apabila dilihatnya Datul terdiam.

“Dulu dia ada nak cakap sesuatu dengan Datul tapi Datul tak mahu dengar. Lepas tu dia pindah.”

“Habis tu?” Hairan pula Puan Zaleha melihat cara Datul bercerita kali ini. Terhenti-henti. Tidak seperti selalu. Biasanya setiap kali bercerita, lancar sahaja mulutnya berkata-kata.

“Rupa-rupanya dulu dia nak cakap yang dia sukakan Datul.” Ceria wajah Datul apabila menyebut perkataan ‘suka’ itu.

“Datul pula macam mana?” Puan Zaleha dapat mengagak anak gadisnya turut menyukai lelaki itu. Dari riak wajahnya yang ceria, Puan Zaleha sudah dapat meneka. Puan Zaleha lebih dahulu makan garam, sekilas ikan di air, sudah dapat dikesan yang mana jantan dan yang mana betina.

“Datul pun sukakan dia. Masa sekolah tu Datul rimas dengan dia, tapi lepas dapat tahu dia pindah, baru Datul rasa kehilangan.” Ukiran senyum terbit di bibir Puan Zaleha mendengar kata-kata Datul. Tidak lama lagi bermenantulah Puan Zaleha. Sudah lama sangat Puan Zaleha teringin bercucu.

“Jadi, apa masalahnya? Dia dah kawin? Atau Datul dah suka orang lain?”

“Tak la ma. Datul hanya suka dia dari dulu sampai sekarang. Ini cinta pertama Datul ni ma.”

“Eloklah tu. Apa pula yang jadi masalahnya?”

“Masalahnya, kami baru aje terjumpa setelah bertahun-tahun terpisah. Datul memang betul-betul cintakan dia, dan dia pun nampaknya macam betul-betul cintakan Datul tapi Datul tak pasti ma. Datul tak tahu betul ke tidak dia cintakan Datul, nak hidup bersama Datul, dapat menjaga dan melindungi Datul sampai akhir hayat. Datul tak dapat nak buat keputusan. Ma… Dia ajak Datul kawin!” Betul sangkaan Puan Zaleha. Gembira sungguh mendengar kata-kata Datul. Dipeluk erat anak gadisnya itu seketika.

“Datul buatlah keputusan mengikut kata hati Datul, cuma satu aje mama nak pesan.”

“Apa dia ma?”

“Sebelum Datul buat keputusan, Datul minta dulu petunjuk Allah. Buat solat istikharah beberapa kali. Insyaallah, jika kita betul-betul memohon kepadaNya untuk menunjukkan kepada kita pilihan yang terbaik untuk kita, Dia tak akan menghampakan kita.”

“Baiklah ma, nanti Datul buat.”

“Tapi mama harap dapat dengar keputusan yang baik la. Hehe… Mama dah lama teringin nak main-main dengan cucu.” Ucapan bernada gurauan tetapi mempunyai maksud yang benar-benar penuh harapan diluahkan oleh Puan Zaleha.

“Ma…” Merona merah wajah Datul diusik mamanya. Belum apa-apa sudah menyebut tentang bermain dengan cucu mamanya yang seorang ini. Terasa malu pula Datul.

**********
“YA ALLAH, pemilik seluruh alam dan sekalian isinya, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui akan apa yang tidak aku ketahui dan sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui akan setiap sesuatu yang ghaib.

Ya Allah, tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, aku bermohon padaMu, ampunkanlah segala dosaku, kedua ibubapaku, kaum keluargaku dan seluruh umat Islam di seluruh dunia sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.

Ya Allah, tuhan yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui, aku memohon kepadamu, sekiranya lelaki bernama Fazli ini adalah tercipta sebagai jodoh yang baik untukku, untuk agamaku, kehidupanku dan akibat persoalanku, baik di masa kini atau di masa akan datang, maka berikanlah aku petunjuknya dan permudahkanlah aku membuat keputusan serta kurniakanlah keberkatan kepadaku dalam menempuh kehidupan bersamanya. Tetapi sekiranya lelaki bernama Fazli ini bukan tercipta sebagai jodoh yang baik untukku, untuk agamaku, kehidupan dan akibat persoalanku, baik di masa kini atau masa akan datang, maka palingkanlah dia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya, lalu takdirkanlah yang baik-baik sahaja untukku di mana sahaja adanya, kemudian kurniakanlah keredhaanMu padaku dengan apa-apa yang baik itu.”

Usai berdoa, Datul merebahkan diri di atas katil. Sudah tiga malam Datul melakukan solat Istikharah seperti yang disarankan oleh Puan Zaleha kepadanya lewat perbualan minggu lepas. Dan sudah dua kali dia didatangi mimpi kehadiran seorang lelaki yang berpotongan seperti Fazli. Mungkinkah benar Fazli adalah jodoh yang telah ditetapkan kepadanya? Datul ingin melihat pula petunjuk yang akan diberi sekiranya ada untuk permintaan kali ketiganya ini kepada Allah. Jika petunjuk yang sama, maka Datul akan membuat keputusan yang menggembirakan semua orang.

**********
“AWAK, kalau benar awak ikhlas hendak memperisterikan saya, bawalah keluarga awak jumpa mama saya. Jika mama saya merestui, saya akan terima lamaran awak.” Datul tertunduk seusai menghabiskan kata-kata yang membuatkan dia bertemu Fazli hari ini. Terasa ringan kepalanya selepas berjaya meluahkannya.

“Betul ni? Awak tak main-main dengan saya?” Masih lagi Fazli seperti tidak percaya. Benarkah apa yang baharu sahaja menerobos pendengarannya sebentar tadi? Jika benar, sejuta syukur dipanjatkan kepada Ilahi.

“Saya serius ni. Memanglah saya ni gila-gila sikit, tapi tentang hidup, saya tak akan main-main.”

“Syukur kepada Allah! Terima kasih, sayang. Betullah petunjuk yang saya dapat lepas lakukan solat istikharah. Memang awak yang ditakdirkan sebagai jodoh saya.” Fazli meraup wajahnya berkali-kali. Dia benar-benar gembira.

“Awak pun buat solat istikharah juga?” Datul seperti tidak percaya lelaki itu juga sepertinya, melakukan solat istikharah untuk memohon petunjuk. Mungkin benar jodoh mereka ditakdirkan untuk bersama.

“Iyelah sayang, awak ingat persoalan masa depan saya, saya nak buat main-main aje? Hehe.. Hujung minggu nanti, saya bawa keluarga saya jumpa mama awak ye, sayang. Tak sabar saya nak jumpa bakal mertua. Lagi tak sabar nak miliki anak bakal mak mertua saya tu.” Berkerut wajah Fazli apabila secara spontan jemari Datul sudah hinggap di lengannya bersama sebuah cubitan yang dihadiahkan oleh gadis itu.

“Isk, gatal!” Cemberut wajah Datul namun dia sedikit termalu apabila teringatkan tindakan spontannya mencubit Fazli. Mujur juga Fazli memakai kemeja berlengan panjang, maka tidak tersentuh kulit mereka.

**********
SEAWAL pagi Puan Zaleha sudah membuat persiapan untuk menyambut kehadiran tetamu istimewa. Abang sulungnya yang tinggal di kampung sejak semalam sudah tiba di rumahnya. Walaupun keluarga Fazli datang sekadar untuk merisik dan bertanya sahaja, Puan Zaleha mengharapkan bantuan abang sulungnya itu untuk mewakili dirinya dan Datul. Jika arwah suaminya masih hidup, tidak perlulah Puan Zaleha menyusahkan abang sulungnya itu.

Tetamu dijangka sampai ketika waktu makan tengahari nanti. Pagi-pagi lagi Datul sudah dikerah ke pasar membeli barangan basah untuk dijadikan juadah makan tengahari. Hari ini Puan Zaleha hendak menyediakan masakan kampung. Masak lemak cili api daging bersama kentang, ayam masak merah, kerabu mangga, sayur kangkung goreng belacan dan ulam-ulaman. Biar terbuka selera tetamunya nanti. Datul juga dikerah memasak bersamanya sebagai latihan. Mudah-mudahan satu-satunya anak daranya itu akan diterima dengan baik setelah memasuki keluarga Fazli nanti.

Juadah yang sudah siap terhidang di atas meja ditutup elok dengan tudung saji supaya tidak dihinggapi lalat. Kebersihan harus dijaga. Bukankah di dalam Islam amat menitikberatkan tentang kebersihan. Bukan sahaja tubuh badan, makanan yang disediakan dan juga persekitaran, malahan hati dan jiwa juga harus dijaga kebersihannya. Puan Zaleha percaya, bermula dengan rezeki yang diterima, makanan yang dimakan dan amalan yang dilakukan, dapat memberikan kebersihan hati dan jiwa.

Datul sudah siap berhias. Walaupun berpakaian ringkas namun kelihatan cantik dan kemas. Puan Zaleha berpuas hati melihat penampilan anak gadisnya yang lengkap bertudung. Mungkin sudah sampai masa anak gadisnya berubah. Sebelum ini puas juga Puan Zaleha menyuruh Datul memakai tudung tetapi ada-ada sahaja alasannya untuk mengelak. Kali ini, Datul sendiri yang memakainya tanpa disuruh. Cantik!

“Cantiknya anak mama ni bertudung. Kan betul cakap mama dulu, anak mama bila bertudung nampak lebih cantik.”

“Ma… Datul bertudung bukan sebab nak cantik la.”

“Mama tahu. Datul bertudung sebab nak jaga aurat kan? Sebelum ni lagi mama dah cakap kan, menutup aurat itu dituntut oleh agama kita. Baguslah kalau anak mama dah sedar keperluan bertudung. Haaaa… Itu pun tetamu kita dah sampai. Pergi ke dapur. Nanti bila mama panggil, baru keluar.” Sengaja Puan Zaleha menyuruh Datul ke dapur. Tidak manis pula jika anak gadisnya itu ada sekali bersamanya menyambut bakal suaminya bersama keluarga yang datang. Elok anak gadisnya itu keluar bersama air yang sudah siap dibancuh, lebih manis nampaknya.

“Baik ma.” Lambat-lambat Datul berlalu ke dapur. Namun sempat dia berdiri di sebalik dinding yang membahagikan ruang tamu dan ruang dapur. Teringin juga Datul melihat dahulu keluarga Fazli.

**********
DATUL mengintai tetamu yang datang dari belakang dinding. Kelihatan mamanya dan Pak Long Zaidi mempelawa tetamu masuk ke rumah. Hatinya tercuit tatkala melihat seorang perempuan yang kelihatan cantik beriringan masuk bersama Fazli. Jika hendak dikatakan adiknya, sebelum ini Fazli ada menyatakan dirinya anak bongsu. Lagi pun, Fazli hanya dua beradik, abangnya yang menetap di luar negara dan Fazli sendiri. Siapa pula gadis itu? Hati Datul sudah berbolak-balik.

Sedang hatinya tertanya-tanya, kedengaran suara mamanya memanggil namanya. Ditilik seketika penampilan dirinya sebelum keluar bertemu keluarga Fazli bersama sedulang air buat tetamu membasah tekak. Begitu berhati-hati Datul melangkah. Ditambah lagi dengan debaran di dalam dadanya yang semakin menggila. Datul harus menjaga reputasinya di hadapan keluarga Fazli.

Dimaniskan wajah apabila tiba di ruang tamu di mana keluarga Fazli sedang duduk berbincang dengan Pak Long Zaidi dan mamanya. Di sofa berangkai dua pula kelihatan gadis tadi duduk di sebelah Fazli. Apabila pandangan mereka bertemu, sengaja gadis itu mendekatkan tubuhnya kepada Fazli. Hati Datul sedikit membara apabila Fazli bagaikan tidak peduli dengan perbuatan gadis itu. Siapakah dia? Arghhh… Siapakah gadis itu?

Air teh ‘o’ yang sudah siap dituang ke dalam cawan, dihulurkan kepada semua tetamu. Apabila tiba kepada Fazli, gadis yang masih belum diperkenalkan kepada Datul itu pula yang mencapainya sebelum diberi kepada Fazli. Dan lelaki itu, dengan tanpa rasa bersalah terus sahaja menghirup air yang dihulurkan kepadanya. Bengkak hati Datul melihat kemesraan itu. Namun sedaya upaya disembunyikan riak cemburunya.

Usai berkenalan dan berbincang tentang hubungan Fazli dan Datul, kesemua tetamu menjamah hidangan yang disediakan. Sekali lagi Datul diserang rasa cemburu apabila gadis bernama Ros yang diperkenalkan sebagai anak angkat di dalam keluarga Fazli itu melayan Fazli di meja makan. Di dalam hati Datul timbul perasaan curiga tentang hubungan mereka. Benarkah gadis itu sekadar adik angkat kepada Fazli atau mereka ada hubungan istimewa. Pelik pula Datul lihat cara gadis itu memandangnya, seperti hendak memberitahu bahawa Datul sudah mengganggu haknya.

**********
MAJLIS pertunangan berlangsung dengan meriah sebulan selepas pertemuan dua keluarga. Datul bahagia. Begitu juga dengan Fazli namun panas yang disangka sampai ke petang, rupanya ditimpa hujan di tengahari. Kebahagiaan yang tercipta seketika cuma. Ada hati yang cemburu dengan kebahagiaan mereka. Dan sesuatu yang akhirnya membuat hati keduanya terluka terjadi tanpa diduga.

“Abang, tolong Ros bang.” Ros meluru mendakap tubuh Fazli sejurus pintu dibuka. Terkejut Fazli apabila adik angkatnya itu begitu berani bertindak begitu. Segera Fazli menjauh sedikit sebaik berjaya meleraikan pelukan gadis itu.

“Kenapa ni Ros? Apa yang dah berlaku?” Tubuh Ros kelihatan sedikit terdedah dengan pakaian yang terkoyak di sini-sana. Wajah gadis itu juga kelihatan seperti orang takut. Gadis itu duduk di sofa sambil menangis.

“Ad… Ada o… Ada orang cuba nak rogol Ros masa Ros nak datang sini tadi. Nasib baik orang tu tak sempat buat apa-apa, Ros dapat lari.” Selesai berkata-kata, Ros menyambung tangisnya.

“Kenapa Ros datang sini. Abang tinggal sorang aje kat rumah ni. Mama dan papa tak ada di rumah. Nanti kalau ap…”

Tok! Tok! Tok!

Belum sempat Fazli menghabiskan ayat, bunyi ketukan di pintu menghentikan percakapannya. Siapa pula yang datang malam-malam begini? Kalau mama, tak mungkin akan mengetuk pintu pula. Mama ada kuncinya sendiri. Bergegas Fazli ke pintu utama. Berubah riak wajahnya apabila wajah enam orang lelaki berkopiah berdiri di hadapan pintu.

Lelaki berkopiah yang dijemput masuk ke rumah hanya menggeleng melihatkan keadaan pakaian Ros yang duduk di sofa. Tidak pula gadis itu menutup tubuhnya yang terdedah. Hanya membiarkan sahaja lelaki-lelaki berkopiah itu memandangnya. Ketika lelaki berkopiah itu menyebutkan tuduhan, tidak pula gadis itu mahu menafikan walaupun puas Fazli merayu dia menceritakan kisah sebenar. Dan sekali lagi wajah Fazli berubah pucat ketika wajah mama dan papa muncul di hadapan pintu. Akhirnya, di luar kerelaannya, Fazli terpaksa menikahi adik angkatnya itu untuk menutup malu keluarga.

**********
DATUL menangis di dalam bilik sendirian. Perut yang terasa lapar tidak dihiraukan. Dibiarkan sahaja isi perutnya menjerit-jerit meminta makanan. Hatinya yang terluka perlu dirawat dahulu. Perkhabaran yang baharu sahaja diterima daripada keluarga Fazli sebentar tadi membuatkan jiwanya kacau. Fazli terpaksa menikahi adik angkatnya setelah ditangkap khalwat. Kenapa Datul harus menerima nasib sebegini. Datul kecewa. Kejam. Fazli memang kejam, ini adalah cinta Datul yang pertama. Dan cintanya terputus di tengah jalan setelah dikhianati.

Usai menangis, Datul ke bilik air untuk mengambil wuduk. Dan dengan hati yang sedih, Datul melakukan solat taubat. Walaupun disarankan mengadakan solat taubat di sepertiga malam, namun Datul melakukan juga ketika malam masih muda. Usai, Datul menunaikan pula solat isyak. Jiwanya gundah dan lebih baik dia meluahkan kesedihannya kepada Allah. Datul berdoa, memohon kepada Allah memberikannya ketenangan dan kekuatan dalam menempuhi dugaan yang diterima.

Deringan telefon bimbit mengejutkan Datul dari keasyikan memohon keredhaan Allah. Telekung yang tersarung di tubuhnya, dibuka dan disangkutkan di penyidai. Telefon bimbit yang masih belum penat berbunyi segera dicapai. Membulat matanya melihat nama pemanggil yang tertera di skrin. Fazli! Entah apa lagi yang lelaki itu hendak. Tidak puaskah hatinya melukakan hati Datul. Tidak cukupkah lagi kekecewaan yang telah diberikan.

Malas-malas Datul menjawab panggilan. Walau di dalam hatinya kecewa, namun rasa cintanya masih tebal buat lelaki itu. Walaupun lelaki itu kejam namun ini cintanya yang pertama. Tidak mungkin dengan mudahnya dia dapat melupakan dan menanam kebencian terhadap lelaki yang dicintainya semenjak zaman persekolahan lagi.

“Assalamualaikum!”

“Waalaikumussalam. Sayang, dengar penjelasan abang!” Sudah ber’abang’ pula Fazli. Datul dapat merasakan cinta lelaki itu kukuh buatnya. Tetapi, kenapa sampai boleh ditangkap khalwat hingga menyebabkan pertunangan mereka terpaksa diputuskan?

“Apa lagi yang awak nak jelaskan? Cepatlah cakap, saya nak tidur ni. Esok nak kerja.”

“Sayang, percaya cakap abang. Abang tak buat apa-apa dengan Ros. Dia hampir dirogol masa nak datang rumah abang dan masa abang nak suruh dia balik, rumah abang diserbu pencegah maksiat. Abang pun tak tahu macam mana boleh jadi macam tu. Bila abang minta Ros ceritakan hal sebenar, dia taknak. Dia asyik menangis aje. Mama dan papa pula balik dan nampak kejadian tu, dengan pakaian Ros yang terkoyak, mama paksa abang bertanggungjawab.”

“Entahlah awak, saya tak tahu nak percaya atau tidak cakap awak. Apa yang saya tahu, awak kejam. Ini cinta saya yang pertama dan awak dah hancurkannya. Sudahlah, semoga awak berbahagia. Assalamualaikum.” Belum sempat Fazli menjawab, Datul pantas memutuskan talian. Cerita Fazli tentang kejadian yang menyebabkan hatinya dilukai itu berlegar-legar di dalam kepalanya. Hendak percaya atau pun tidak.

**********
“BERHENTI!” Suara seorang lelaki yang kedengaran dari luar pintu rumah mengejutkan semua orang yang sedang tekun menyaksikan majlis pernikahan Fazli dan Ros. Terhenti lafaz akad yang sedang diucapkan oleh Fazli. Semua mata tertumpu kepada lelaki itu.

“Kenapa ni? Awak ni siapa?” Papa Fazli meluru ke pintu rumah. Terkejut juga apabila perjalanan majlis tiba-tiba sahaja diganggu.

“Maafkan saya, pakcik. Saya datang ni sebenarnya nak berterus-terang dengan keluarga Ros.” Mendengarkan tujuan kedatangan lelaki itu berkaitan dengan Ros, segera Fazli bangkit dari silanya. Pintu rumah segera dituju. Disarung selipar yang ada di muka pintu. Lengan lelaki itu ditarik menjauh sedikit daripada pintu.

Mereka duduk di gazebo. Papa Fazli turut berada di situ. Selepas lelaki itu menerangkan hal sebenar yang berlaku di antara dia dan Ros, Fazli naik berang. Dicekak kolar baju lelaki itu namun sempat dileraikan oleh papanya sebelum kepalan tangannya sampai ke wajah lelaki itu. Tindakan lelaki itu meninggalkan Ros yang sudah mengandungkan anaknya menyebabkan Fazli terpaksa menanggung akibatnya. Pertunangannya terputus di tengah jalan akibat tindakan Ros memerangkapnya demi menyelamatkan diri dari malu.

“Papa, sekarang papa dah dengar kan cerita sebenarnya. Fazli taknak teruskan pernikahan ni. Biarlah Amir yang menggantikan tempat Fazli. Sekarang, Fazli nak pergi ke rumah Datul. Fazli nak sambung semula pertunangan kami.” Papa Fazli tidak mampu menghalang kehendak Fazli. Tahu salahnya kerana mendesak Fazli memikul tanggungjawab yang ternyata bukan perbuatannya.

“Fazli, selesai majlis nanti kita pergi rumah Datul ye nak. Tapi sekarang, jom kita teruskan majlis. Bawa Amir ke dalam. Biar kita nikahkan Amir dengan Ros.” Mereka bertiga meninggalkan gazebo, masuk ke rumah dan semua yang ada di dalam rumah merasa pelik apabila bukan Fazli yang duduk di hadapan kadi tetapi digantikan dengan lelaki yang tidak mereka kenali. Namun, majlis terus dijalankan setelah papa Fazli memaklumkan hal sebenar kepada kadi.

**********
KEDATANGAN Fazli sekeluarga disambut baik oleh Puan Zaleha. Dia sudah tahu tujuan besan tidak jadinya itu datang kali ini. Fazli sudah menghubungi sebelum mereka datang. Puan Zaleha bersyukur apabila Fazli sudah terbukti tidak bersalah dan tidak mencurangi Datul. Puan Zaleha amat mengharapkan anak gadisnya akan mendapat kebahagiaan dengan orang yang benar-benar dicintainya. Dan kebahagiaan itu pasti akan menjadi milik anaknya sedikit masa lagi.

“Kami minta maaf sebab memutuskan pertunangan anak-anak kita sebelum ni, Leha.” Mama Fazli memulakan bicara.

“Tak apalah Kak Dah. Benda tak kita jangka kan? Adalah hikmahnya di sebalik apa yang berlaku tu. Syukur, benda dah selesai. Dah tahu Fazli tak salah dalam hal ni.” Fazli tersenyum mendengar kata-kata bakal ibu mertuanya. Gembira kerana masih diterima dengan baik oleh Puan Zaleha. Dan dia sangat berharap akan diterima semula juga oleh Datul. Cintanya benar-benar tulus untuk Datul. Sejak dahulu tiada perempuan lain yang berjaya merampas cintanya yang telah dikhaskan untuk Datul.

“Datul pula macam mana Leha? Dia sudi ke terima anak kami semula?” Riak kebimbangan terpamer pada wajah kedua orangtua Fazli. Bimbang jika gadis itu tidak mahu menerima anak mereka yang sudah tertutup pintu hatinya kepada perempuan lain. Jika ditolak cintanya oleh Datul, bimbang pula jika Fazli akan membujang hingga ke tua.

“Kak Dah jangan risau, saya tahu Datul akan terima Fazli. Anak saya tu memang dah lama sayangkan Fazli, sejak sekolah. Dia dah tahu perkara yang berlaku ni hanya satu salah faham. Dia dah setuju nak sambung semula jika Fazli minta.” Fazli sekeluarga meraup muka, bersyukur diberi kemudahan dalam menyelesaikan salah faham yang berlaku.

“Kalau macam tu, bulan depan kita langsungkan pernikahan budak-budak ni Leha. Kak Dah tak mahu ada salah faham berlaku lagi. Susah hati Kak Dah selagi diorang ni tak disatukan.”

“Baiklah Kak Dah, nanti saya uruskan persiapan bagi pihak saya.”

Pertemuan dua keluarga memeterai persetujuan untuk satu perjalanan hidup dua hati yang sudah lama saling menyinta. Di balik dinding, ada hati yang sedang diamuk gelora. Namun, gelora yang membadai di dalam hati terpaksa dikawal apabila namanya dipanggil ke ruang tamu. Datul melangkah penuh sopan dengan bibir mengukir senyuman paling manis bersama sedulang air kopi pelepas dahaga.

Pandangan dua pasang mata bertaut. Bicara mata menzahirkan rasa yang terbenam di dasar hati yang sedang hebat melagukan irama rindu, semakin lama semakin kuat dan mendayu syahdu. Cinta yang disemai di jiwa makin tumbuh subur dan kukuh berakar umbi. Semoga kebahagiaan menjadi milik mereka selamanya. Perjalanan cinta yang kejam, namun ini cinta pertama. Cinta pertama Datul dan Fazli, bakal terzahir akhirnya.

Lagu ‘Kejam’ dan ‘Ini cintaku yang pertama’ tidak akan berkumandang lagi di dalam rumah. Kini Datul sudah menemui kebahagiaannya bersama Fazli, insan yang menduduki tempat tertinggi di dalam hatinya. Ini cinta pertama mereka dan cinta pertama itu dibawa ke akhir hayat.

CARIK-CARIK BULU AYAM – GY HANIEY

Posted on

Sambungan dari cerpen MUDA…

“Ateh!… aku tak sangka kau macam ni! Sanggup betul!”

Nok tersedak. Coklat Cadbury yang belum sempat cair di mulut nyaris tersengkang di tekak. Telefon bimbit dalam genggaman direnung berjurus-jurus. Memang nak kena budak Noi ni, hatinya menggerutu. Bibir diketap, kegeraman.

“Eh, ni apahal ni? Pagi-pagi dah serang Ateh? Lagi satu… bila nak belajar bagi salam kalau telefon orang? Hah?”

Nok dengar adiknya berdecit halus. Ada suara riuh rendah di belakang Noi, terjerit-jerit menyuruh supaya rapat, pilih dan buka. Hatinya diserbu hairan. Dia jadi tertanya-tanya.

“Apa yang bising sangat kat belakang tu? Noi kat mana ni? Dorang suruh bukak apa tu?”

“Assalamualaikum!”

“Pandai pun! Ateh tanya ni, Noi kat mana? Bising sangat tu!”

“Bagi salam tu, hukumnya sunat tapi orang yang mendengar, wajib jawab!”

Nok garu-garu keningnya dengan jari telunjuk. Nampaknya, Noi sudah pandai memulangkan paku buah keras! Nok sengih sendiri. Kalau Noi ada depan mata, mahu dicubit-cubitnya mulut murai adiknya itu. Biar Noi tahu, langit itu tinggi atau rendah.

“Orang temankan umi pergi pasar. Tak sangka pulak, ada cerita sensasi kat sini. Ateh! Tak sangka betul kau ni! Kesian umi, tau tak?”

Kuat betul Noi menjerit. Nok pun tidak pasti, jeritan itu kerana Noi mahu mengatasi bunyi bising ataupun kerana teruja mendengar cerita sensasi di pasar seawal pagi begini. Namun yang nyata, ada nada tidak puas hati yang teramat sangat pada jeritan tersebut. Sedikit sebanyak, Nok ikut terasa debarannya.

“Kenapa dengan umi? Ateh dah buat apa?”

“Eh, tanya orang pulak? Dia yang buat hal!”

Nok terpinga-pinga. Antara keliru dan hairan, benaknya digesa bekerja keras untuk mengingati semula apa yang telah dilakukannya hingga menimbulkan kemarahan si Noi. Tak ada! Sungguh! Plot kehidupannya tiada perubahan langsung. Statik! Pergi kerja, balik kemudian masak, makan dan tidur. Sesekali keluar berbelanja, mustahil itu boleh dikira berita sensasi yang telah tersebar ke pasar pagi di kampung. Lagipun, jarak antara Kampung Dusun dengan Bandar Dua bukannya dekat. Kena tukar bas dua kali, memang kena betul dengan nama bandarnya!

“Kenapa diam pulak? Nak cari alasanlah tu!” tekan Noi dengan suara tinggi.

“Alasan apa? Orang tak buat apa-apalah!” bantah Nok pula dalam nada serupa.

“Memanglah Ateh tak buat! Tapi Ateh dah cakap!”

Bertambah melengking suara di hujung talian itu. Serta merta Nok menjarakkan N71 dari telinga. Dadanya berombak geram. Kurang asam betul si Noi ni! Nasib baik tak bernanah telinga aku!

“Ateh…” Tut..tut..tut… Hampeh!

Nok mengurut dada. Dipujuk-pujuk perasaan supaya bersabar namun rasa geram semakin giat menyubur dalam hati lantas dicampak telefon bimbit ke katil. Kemudian, dia mula menyukat keluasan bilik tidur yang tidaklah sebesar mana. Ke hulu ke hilir, pergi dan balik seraya fikiran semakin memberat dengan persoalan.

‘Apa yang dah aku buat? Eh, bukan buat tapi cakap! Apa yang aku dah cakap? Aku ni memang banyak cakap tapi yang mana satu yang buat Noi marah sangat ni? Ishh… musykil betul!’

Nok berhenti di tengah-tengah bilik. Kedua-dua tangan mencekup rambut yang masih kuncup kebasahan. Ketika Noi menghubungi sebentar tadi, dia baru sahaja keluar dari bilik air. Diramas-ramasnya perlahan. Sesekali digoyang-goyang kepalanya sambil membayangkan sedang mengerjakan kepala si Noi di kampung. Biar dia rasa!

“Ini mesti semalam aje ni… Kalau cerita minggu lepas, tentu dari minggu lepas lagi Noi dah mengamuk! Semalam, aku cakap apa, ye?” Nok merungut sendirian lantas kembali mundar mandir di dalam bilik tidurnya itu. Fikirannya terseret ke satu persatu peristiwa semalam. Cuba mengingati andai ada di antaranya yang telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada keluarganya di kampung khususnya umi.

“Pagi sebelum kerja, aku tak cakap dengan orang! Dengan Comel je so tak boleh kira!” Telunjuknya dilipat, tolak satu perkara.

Kemudian, satu persatu wajah-wajah pekerja bawahannya muncul di benak namun sepanjang ingatannya, perbincangan mereka hanya berkisar tentang kerja. Mustahil! Nok menggeleng perlahan lantas melipat jari tengahnya pula. Tolak dua!

“Petang semalam, aku keluar makan dengan Nora,” gumamnya perlahan.

Betul! Semalam mereka bertegang leher sekejap. Banyak perkara yang dibahaskan tapi ada satu yang tidak dapat diterimanya bulat-bulat. Nora beria-ia mengatakan durian di kampungnya adalah yang terbaik di Semenanjung Malaysia. Eh, mana boleh! Langkah mayat aku dulu!

“Kau pernah makan durian dari kampung aku?” tanya Nok. Buntang matanya melawan pandangan tajam si Nora yang mencebir. Rasa hendak digunting bibir tebal temannya itu sebelum dicampak ke longkang. Padan muka!

“Sekali kau jamah, aku rasa mesti kau sesat jalan nak balik kampung kau! Itu baru jamah tu! Kalau kau makan seulas, pitam. Habis sebiji, sah kau koma!”

“Kenapa pulak?” Nora masih dalam aksi mencebir. Ingat bibir tu macam Angelina Jolie ke?, kutuknya dalam hati.

“Power beb! Durian Kampung Dusun tak ada tandingan, tau? Kalau nak banding dengan tempat lain, macam langit dengan bumi. Jauh panggang dari api!”

“Habis, kau pernah ke makan durian kampung aku?” bidas Nora.

Nok terbata-bata. Nora ketawa sinis. Berasap hati Nok melihat aksi tersebut. Tapi sekarang, bila difikir-fikirkan semula, mustahil hal itu yang membangkitkan kemarahan Noi. Salah ke puji durian kampung sendiri? Tak mungkinlah, fikirnya.

“Jangan-jangan…” dahinya berkerut. “Tapi…” Panggilan telefon malam tadi mencuri ingatan…

*********

“Nok apa khabar?” Suara itu menyapa lembut selepas berbalas salam.

Nok sengih selesa dalam gelap. Hati berbunga gembira. Panggilan itu diterima ketika dia hampir melelapkan mata. Awalnya dia malas melayan. Sangkanya Nora yang telefon untuk meminta maaf sekaligus mengakui durian Kampung Dusun adalah yang terbaik. Tapi, haram! Ketika melihat sebaris nombor asing muncul di skrin, hatinya sudah berdetak kencang. Sebaik empunya suara memperkenalkan diri, dia sedikit terkejut. Tak sangkanya!

“Betul ke keputusan Nok buat tu? Dah fikir panjang?”

“Bukan keputusan saya! Umi dengan walid yang suruh!”

“Suruh?”

“Bukan… err, maksudnya ini cadangan umi dan walid. Saya ikut je,”

“Sebenarnya, saya kecewa sikit. Tak sangka, walaupun dah lama tapi saya masih ingat pada Nok,”

Dada Nok berkocak kuat. Jantungnya berdegup laju. Sungguh, mendengar pengakuan itu bagaikan bulan jatuh ke riba! Dia sudah lupa pada yang lain. Pada umi, pada walid atau pada Arip! Yang terbayang hanya wajah orang yang bercakap dengannya sekarang!

“Kalau boleh, Nok tolong fikirkan lagi. Saya akan tunggu dengan sabar,”

Satu jam selepas panggilan tersebut, Nok masih terkebil-kebil dalam gelap. Perasaannya menjadi bersimpang siur, tidak tentu arah. Seketika, wajah umi dan walid menerpa. Hatinya diusik belas. Dah berapa ramai aku tolak? Benaknya membilang wajah. Ramai! Hatinya bergetus. Harapan orang tuanya tidak pernah setinggi sekarang. Tegakah aku menolak lagi dan menghancurkan harapan umi dan walid? Nafasnya dihela panjang.

Kemudian, hadir pula wajah itu. Ah, dia! Arip gembala lembu! Itu dulu! Masa zaman sekolah. Kata umi, Arip sudah berjaya sekarang. Daging lembunya sudah sampai ke pasaran luar. Dulu Arip ambil upah jaga lembu datuknya dan penduduk kampung yang lain. Arip tidak bersikap seperti kanak-kanak sebaya yang suka bermain bersama-sama. Masanya banyak dihabiskan di padang ragut dengan lembu. Tetapi, sesekali bila Arip keluar bermain dengan Adul, tanduknya ikut tumbuh. Dah serupa lembu! Nok mengorak senyum sedikit.

Eh, kenapa pulak aku ni? Tiba-tiba ingat si Arip? Hatinya mendongkol lantas senyuman padam serta merta. Akalnya dipaksa agar menyisihkan wajah si gembala lembu tersebut lalu hadir pula Adul, dengan senyum manis 15 tahun lampau. Panggilan telefon sebentar tadi kembali membuatkan Nok terseringai di dalam selimut.

“Mana dia dapat nombor telefon aku, agaknya? Lupa pulak nak tanya. Lama tak jumpa dia, mesti sekarang dah tambah handsome!” Nok mengomel dalam gelap.

Fikiran mula melayang mengingati surat-surat cinta yang pernah dihantar Adul. Semuanya masih tersimpan elok dalam kotak kasut di bawah katilnya di kampung. Setiap satunya Nok sudah hafal, bukan sahaja isi malahan tanda baca juga. Sampai naik lunyai! Kalau Nok praktikkan amalan menghafal begitu ketika belajar, sah-sah dia muncul pelajar terbaik negeri Pahang 15 tahun lalu. Tapi, haram!

“Tapi peliklah… kenapa panggilan dah lain? Dulu, lain!”

Ahh, dia dah lupa agaknya! Lagipun dah lama sangat, fikir Nok. Selebihnya, hendak menyedapkan hati sendiri. Dia mengenali diri Adul melalui surat-surat tersebut. Mereka berkongsi cerita mengenai kehidupan dan masa depan. Dengan surat itu juga, Nok menyelongkar sisi Adul yang berbeza. Lembut dan penyayang! Juga romantis!

“Dah berubah ke?” Nok bangkit duduk. Hatinya merusuh dalam diam!

************
5 pagi, Nok dikejutkan oleh penggera telefon. Bingkas dia bangun dengan kepala memberat bagai dihempap batu. Malam tadi dia berjaga lewat. Sejak pulang dari kerja hinggalah membawa ke malam, jari jemari naik lenguh menghubungi Noi. Mesej tidak berbalas, telefon tidak bersambut. Telinganya naik kebas mendengar pesanan dari peti mel suara. Marah betul si Noi ni! Besar sangat ke salah aku? Itulah yang ditanya pada dirinya sepanjang malam. Mata yang tertutup tetap enggan terlena kerana tersengkang dek rasa bersalah.

Pagi ini, Nok mencuba lagi tetapi hasilnya tetap sama. Dia mula berasa tersinggung. Sampai hati Noi! Takkan marah sampai macam tu sekali? Apa salah aku sebenarnya? Liur terasa kesat. Dadanya berbungkal dengan rasa sebak. Nombor umi pula ditekan. Panggilan pertama tidak bersambut, dicubanya lagi. Panggilan kedua bersambung dengan pesanan di peti mel suara, dada Nok terasa menyempit!

Panggilan ketiga dan terakhir! Kalau yang ini pun tidak berjawap, dia bertekad untuk balik ke Kampung Dusun hari ini juga. Apa nak jadi, jadilah! Hatta, kena buang kerja sekalipun!

“Ateh… mimpi apa telefon umi pagi-pagi ni?” suara umi muncul pada deringan ke tiga. Ya Allah! Leganya! Terasa hati bagai disiram sebaldi ais!

“Umiii…” rengek Nok manja. Beli jiwa, kata orang. “Noi kat mana?”

“Laa… nak cakap dengan Noi ke? Telefonlah dia. Kenapa telefon umi pulak?”

“Suruh dia balik!” tegas suara walid menyampuk dari belakang. Dada Nok berdebar semacam!

“Ateh dah minta cuti? Kenduri lagi sebulan, tau? Balik awal sikit,” suara umi masih lembut, tiada tanda-tanda dirinya telah melakukan kesilapan seperti yang didakwa Noi. Pelik!

“Semalam, umi pergi pasar dengan Noi kan? Apa yang umi dah dengar?”

Umi hanya diam, hanya terdengar helaan nafas panjang dan dalam. Sah! Memang ada sesuatu!

“Tak ada apa-apa lah. Ateh balik ye? Jangan buat hal pulak!”

Nok menjadi semakin tidak sabar. Nampak benar umi cuba berselindung di sebalik lalang sehelai. Dengan karenah Noi yang menjauhkan diri, Nok sudah dapat mengagak.

“Apa sebenarnya umi? Kenapa Noi marah sangat? Dia langsung tak jawab telefon! Ceritalah umi. Kalau macam ni, Ateh tak boleh fokus pada kerja,”

Nok dengar umi mengeluh perlahan.

“Pagi semalam kat pasar, umi terjumpa dengan makcik Leha,” Oh, itu ibu Adul dan Arip. Kenapa ya? Hatinya tertanya-tanya. Dan selepas itu, setiap patah kata-kata umi melekat di benak bersama rasa tidak percaya yang bukan sedikit!

“Umi dan walid dah buat keputusan. Kalau Ateh tak suka Arip, tak apalah. Ateh boleh pilih Adul. Tapi umi tetap mahukan Arip sebagai menantu. Dan Noi pun dah setuju untuk ganti tempat Ateh,” sambung umi lagi.

Apa? Patutlah Noi marah!

‘Arip dengan Noi? Aku dengan Adul? Betul ke? Tapi, kenapa hatiku tak rasa teruja?’ Nok melekap tangan ke dada. Ada sedikit rasa hampa terpalit di situ!

**********
Malam itu, malam paling sunyi dalam hidupnya. Pulang dari kerja dia hanya berkurung di bilik. Pelawaan Nora untuk keluar ditolak mentah-mentah. Semangatnya bagai direnggut! Entah mengapa, perkhabaran semalam benar-benar mengganggu fikiran Nok.

Bruno Mars berdendang Lazy Song di N71. Dibiarkan sahaja sampai penyanyi itu letih sendiri. Pesanan ringkas pula masuk. Bukan satu atau dua, tapi bertalu-talu. Lambat-lambat Nok bangun membelek telefon hitamnya itu. Ada panggilan dari nombor yang tidak dikenali. Adul kah? Tapi, nombor pemuda itu sudah disimpan. Dahinya berkerut halus.

Mesej pertama dibuka.

Nur, di sini bulan cantik sekali. Ada wajahmu terukir di dadanya!

Darah Nok menyirap! Ayat itu! Mana mungkin dia lupa! Tangannya menggigil mencari mesej kedua.

Dunia ini perhiasan. Dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Sudahkah Nur ku bersedia untuk itu?

Bulu roma Nok merinding! Otot-otot perutnya dirasa mengecut. Tidak sanggup hendak membaca mesej seterusnya. Keinginannya melonjak tetapi hatinya melarang. Itu bukan nombor Adul! Tapi ayat-ayat itu pernah dibacanya lewat surat-surat yang pernah lelaki itu kirimkan. Itu panggilan Adul buat dirinya dulu! Jadi, siapa? Dadanya mengencang, batin mula berbisik. Arip kah? Kepala Nok menggeleng lantas disembamkan kepala ke bantal. Tak mungkin!

Bruno Mars kembali menganggu. Dendangannya seiring dengan rentak hati Nok. Terketar-ketar dia melihat skrin. Nombor yang tidak dikenali itu muncul semula.

“Nur…”

Suara garau itu mudah sahaja dikenalinya. Arip! Tapi, sejak bila Arip panggil dia, Nur? Nok bingung sekaligus membatukan diri. Dia tidak tahu bagaimana mahu bereaksi. Kelmarin, lelaki itu bakal tunangnya. Sekarang, dia sudah jadi bakal kakak ipar!

“Ada orang ke tidak ni? Kenapa senyap aja? Benci sangat ke?”

Nok tahu Arip hanya bersenda tetapi hatinya tiba-tiba dilumur sebak mendengarkan ungkapan tersebut. Benarkah dia benci Arip?

“Mana awak dapat nombor telefon saya? Siapa beri?” Hanya itu yang terlintas di fikiran buat masa ini.

“Nasib baik ada Noi. Nak tunggu Nur berikan sendiri, sampai ke sudah tak merasa. Ya tak?” Arip gelak sedikit. Sekali lagi Nok rasa seram sejuk. Nada lelaki itu tidak seperti abangnya. Tiba-tiba Nok rasa jauh hati. Ya lah… orang dah ada Noi!

“Kenapa telefon saya? Telefonlah Noi! Cakap dengan saya, bukan ada faedah pun, kan?” tanpa sedar Nok membuka rahsia hati.

Arip ketawa lepas. Nok terpinga-pinga tidak mengerti. Seketika, soalan bertubi-tubi mengasak kotak akalnya. Sekarang waktunya! Hati Nok berbisik. Dia perlu cari punca sebenar yang menyebabkan Noi begitu memusuhi.

“Arip, boleh tolong tak?”

“Tengoklah, bergantung kepada jenis pertolongan,” lelaki itu masih ingin mengusik.

“Boleh cerita apa yang sebenarnya dah berlaku? Awak, Adul, Noi dan saya?”

“Kenapa nak tahu? Nur dah buat keputusan, kan? Walau apapun kisahnya, Nur dah pun pilih Adul, kan? Sejak dulu, dia yang ada dalam hati Nur. Sebab tu, Nur masih simpan surat-surat Adul, kan?”

Sekali lagi darah Nok menyirap! Tangannya yang menggenggam telefon terasa menggigil. Surat? Macamana Arip tau? Kerja Noi kah? Patutlah Arip tahu kandungan surat-surat tu semua! Hatinya mendidih marah tatkala teringatkan mesej-mesej yang diterima sebentar tadi. Nur konon! Penipu! Penciplak!

“Awak baca surat saya? Noi yang beri, kan? Awak ni kan, memang! Sanggup awak buat saya macam ni? Nur? Eh, sejak bila awak pandai panggil saya Nur?” tempik Nok geram. Dia sudah berdiri di atas katil. Nasib baik kepala masih jauh dari kipas siling!

“Ehh… nanti kejap! Jangan marah-marah. Bila pulak saya baca surat awak? Noi cuma beritahu. Jangan tuduh macam tu. Kecik hati saya, tau?” suara Arip masih lembut memujuk.

Nok mencebir meniru tingkah Nora tempohari. Apabila dia mendiamkan diri, Arip mengambil peluang itu menjelaskan keadaan sebenar. Dia hanya membisu dan mendengar dengan teliti. Kata Arip, Adul menghubunginya untuk bertanyakan berita peminangan tersebut. Pada Arip, Adul mengakui masih mengingati Nok meski lama terpisah. Tambahan lagi, dia baru sahaja berpisah dengan teman wanitanya. Adul memang bercadang untuk meminang tapi Arip lebih dahulu bertindak.

“Dia dah ada kekasih?” pintas Nok tiba-tiba. Tidak berpuas hati dengan apa yang didengarinya.

“Dulu… sekarang dah tak ada!” jelas Arip, begitu tenang. Nok jadi tertanya-tanya, bagaimana agaknya perasaan Arip? Abang sendiri mahukan bakal tunang? Kalau dirinya berada di tempat lelaki itu, mampukah dia bertingkah serupa? Tidak! Nok akui, dia bukanlah penyabar orangnya! Silap-silap, putus kepala Noi cantas!

“Adul ada telefon Nur? Dia kata Nur tak setuju kita bertunang. Cuma ikut kehendak umi dengan walid saja. Betul ke?”

Nok tergigit lidah. Adul ni! Itupun nak cerita ke?

“Ibu dengan ayah dah datang rumah Nur. Dorang dah buat keputusan nak satukan Adul dengan Nur, saya dengan Noi…”

“Noi setuju?” pintas Nok.

“Nur rasa? Kenapa tak tanya dia sendiri?” tanya Arip semula.

Nok diam. Hatinya kembali dihurung sebak apabila teringatkan adiknya yang seorang itu. Selama ini, hanya Noi yang rajin melayannya. Walau dia sering membebel, marah-marahkan Noi yang selalu terlupa hendak memberi salam tetapi Noi tidak pernah serik. Kerana dia jarang-jarang pulang ke kampung, Noi lah yang selalu melaporkan sebarang perkembangan dan berita terkini. Sekarang, Noi dah merajuk! Noi marahkan dia yang selalu tidak tetap pendirian!

“Dia marahkan saya! Dia tak mahu jawap panggilan, tak jawap mesej. Dia merajuk! Macamana saya nak tanya sendiri?”

“Alahh… carik-carik bulu ayam aje tu. Keras-keras kerak nasi. Telefonlah lagi!” pujuk Arip lembut.

“Aripp…” rengek Nok. Tiba-tiba mood bermanja merasuknya. Arip diam, mungkin terkejut dengan suara menggoda Nur nya itu.

“Awak suka dekat Noi? Awak tak kisah kena bertunang dengan dia? Awak marahkan saya?” Nok dengar Arip mengeluh.

“Noi memang baik tapi yang saya pinang tu, Nur. Awak! Saya tak marah tapi kecewa sikit. Saya tak sangka, awak masih tunggu Adul hanya kerana surat-surat yang dia pernah bagi masa sekolah!”

“Tapi, saya kenal Adul dengan surat-surat tu! Impian dia, cerita masa depan! Surat-surat tu ada nilai pada saya,”

“Cerita masa depan? Cuba baca semula surat-surat tu. Impian Adul yang tertulis, sama ke dengan yang dia ada sekarang? Saya rasa lari jauh,”

Sekali lagi Nok terdiam. Mindanya mula diperah. Apa yang Adul pernah tulis? Menjadi usahawan berjaya? Adul kerja apa ya? Kata umi, pegawai felda! Jadi, semua itu impian siapa? Nok terpempam!

“Nur..” Nok tersentak. Arip! Panggilan itu dari Arip rupanya. Sejak dulu dan kini! Kenapa dia menyamar? Kenapa dia yang membalas surat-surat tu semua?

“Kenapa?”

“Kenapa apa?”

“Kenapa?” tekan Nok lagi. Dia dengar Arip mengeluh panjang. Dalam keliru, ada rasa semacam bertapak di hatinya mendengar keluhan sebegitu di lewat malam sebegini.

“Sebab, sejak dulu awaklah cahaya saya. Tak ada yang lain. Hanya awak, Nur!”

*********
“Nak apa?”

“Sorry! Ateh bukan sengaja bercerita hari tu! Sorry ya?”

“Sorry naik lori!”

“Noi!”

“Apa? Cepatlah, orang sibuk ni!”

“Noi, janganlah macam tu. Ateh betul-betul minta maaf. Ateh nak ucap terima kasih jugak,”

“Kenapa pulak? Orang tak buat apa-apa pun!”

“Terima kasih sebab beritahu Arip tentang surat-surat tu! Kalau tak, sampai sekarang Ateh tak tahu hal sebenarnya,”

“Hal apa?”

“Sebenarnya, surat tu Arip yang tulis… bukan Adul. Ateh dah salah orang selama ni,”

“Itu aje ke?”

“Ya, itu je!”

“Ok lah kalau macam tu. Orang sibuk ni! Nak beli hantaran. Kalau dia tak nak, biar je orang ambik!”

“Noi!” jerit Nok lantang.

*********
Noi bersimpuh sopan di atas pelamin rendah di ruang tamu rumah. Baju biru mudanya nampak padan dengan latar belakang kuning. Nok hanya memandang dari jauh. Melihat air muka adiknya yang sedang berbahagia, hatinya ikut menumpang gembira. Sanak saudara memenuhi ruang yang agak luas, sama-sama menyaksikan upacara menyarung cincin pertunangan di jari manis Noi. Nok memandang jari sendiri. Ada dua bentuk cincin tersarung di situ. Di usapnya perlahan-lahan.

“Nok!” ada tangan menjalar di belakangnya.

“Kam! Tina! Kau pun ada? Tun mana?” Nok terjerit kecil. Beberapa orang tetamu berpaling ke arah mereka lantas ditariknya tangan kedua-dua teman lama masuk ke dalam bilik.

“Tun tak ada! Bulan lepas kan dah balik? Aku masih ada cuti lagi. Kam pulak, baru nak mula cuti,” Tina menunjuk ke arah perut Kam yang membulat. Nok ketawa gembira.

“Kau tengok adik aku tu! Bahagia betul dia!”

“Alah, dah jodoh nak datang cepat… apa nak kata, kan? Macam kau juga! Tak sangka, kan?” Tina mengangguk mengiakan kata-kata Kam.

“Dah sebulan ni, kau okay tak?” Tina mengait jari Nok dengan jarinya. Nok senyum penuh makna. Pipinya merah merona apabila Kam dan Tina mula mengusik.

“Sayang!” Pintu bilik terbuka dari luar. Ada kepala terjengul di situ. Spontan, Kam dan Tina bangun serentak.

“Kami keluar dulu lah! Nanti kita sembang kat luar!” Nok sengih melihat keduanya mengenyit mata.

“Dah makan ke?”

Nok geleng perlahan dengan kepala tertunduk sedikit. Perasaan segan masih menebal meski sudah hampir sebulan mereka terikat.

“Jom, makan dengan abang. Sayang tak tengok Noi ke? Tak jumpa dengan bakal adik ipar?”

“Eh, dia ada datang ke?”

“Ada tapi duduk kat bawah. Tak naik pun!” hidungnya dicuit perlahan. “Sayang cantiklah hari ni! Berseri-seri! Sampai abang tak dapat beza, yang mana satu nak bertunang. Adik ke kakak?” Nok sengih malu-malu. Siapa tak bangga kena puji dengan suami?

Suami? Ya… itu suaminya! Arip! Lelaki yang sebenarnya dicintai dan dikasihi. Yang hampir terlepas dari genggaman kerana sikapnya sendiri. Yang menjadi punca perbalahannya dengan Noi hingga sebulan tidak bertegur sapa.

Diam-diam Nok mengintai dari ekor mata. Pertama kali bersua muka sejak sekian lama, dia langsung tidak menduga betapa besar perubahan yang berlaku terhadap lelaki ini. Dia bukan lagi si gembala yang kurus kering! Tubuhnya sasa sepadan dengan ketinggian yang dimiliki. Pada diri lelaki itu sekarang, sudah ada aura seorang usahawan berjaya. Fikirannya cenderung ke arah membangunkan perniagaan daging dan tenusu. Sikap tegasnya kadang-kadang terlindung dek sifat lembut dan penyayang. Sebulan berlalu, lelaki itu masih tidak jemu memanjai Nok dengan bicara romantisnya. Persis surat-surat lama mereka!

“Tengok apa tu?” hidungnya ditarik lembut. Pantas dia menepis tetapi jarinya pula masuk dalam genggaman suami tercinta.

“Rugikan, kalau sayang pilih Adul dulu? Tak dapat tengok abang macam sekarang!” Nok mengerling sekilas. Wajah Adul bertandang seketika. Nasib baik lelaki itu dapat menerima suratan yang tertulis meski mengakui hatinya agak kecewa kerana tidak menyangka ikatan antara mereka hanya bersandar kepada surat-surat tulisan Arip.

“Rugi juga kalau abang pilih Noi. Tentu tak dapat tarik hidung Nur macam sekarang!”

Arip ketawa bahagia. Ditariknya Nok dalam dakapan.

“Tak mungkin, sayang. Nur kan cahaya abang. Tentulah abang pilih sayang. Noi pun tak mahukan abang. Dia terpaksa! Macam sayang juga. Malang betul abang ni, dua-dua pun reject! Apa? Tak cukup handsome ke? Kalau setakat Remy Ishak tu, boleh pukul tau!”

Betul kata Arip. Noi marah sungguh apabila disuruh menggantikan tempatnya. Jenuh dia memujuk dan akhirnya keadaan kembali pulih sebaik sahaja ijab kabul terlafaz. Noi meluru memeluknya, memohon maaf. Kerana tidak mahu umi atau walid mengatur perkahwinan seterusnya, Noi lekas-lekas meminta kekasihnya masuk meminang. Agaknya sudah serik terjebak dalam cinta 3 segi!

“Terima kasih abang!” Arip senyum bahagia.

“Kan betul abang cakap dulu!” Nok menjungkit kening, kurang faham. “Sayang yang kena panggil abang. Bukan abang yang kena panggil kakak!”

Nok terseringai.

MUDA – GY HANIEY

Posted on

i

“Ateh! Encik Walid suruh sampaikan pesan.  Kali ni tak boleh patah balik dah, macam yang dulu-dulu, sebab Encik Walid dan Ahli Majlis Tertinggi dah terima dengan sebulat suara,”

Terkebil-kebil dia merenung N71 di tangan.  Kelam kabut berkejar dari dapur mencari telefon bimbitnya yang menyorok entah di mana-mana, itu yang dia dapat.  Terkejut, ditambah sedikit sakit hati. Tanpa salam dan  bertanya khabar, suara adiknya itu bagai petir menyambar ke dada.  Rentung! Terbakar! Hangus!… Hangit!

Hah? Hangit! Hidungnya bijak memberi reaksi lantas meluru ke dapur bersama telefon yang terlekap di telinga.  Ulas mata terjojol saat melihat ikan kembung yang tadinya cantik disalut kunyit bak hiasan bersepuh emas, sudah bertukar arang.  Asap berkepul-kepul terbit dari kuali terlebih panas hingga merabunkan pandangan.

“Ya Allah, habis hangit ikan aku!  Ini semua kau punya pasal, Noi! Tak boleh ke telefon kejap lagi? Dah tau masa ni Ateh nak masak, masa ini jugaklah kau nak baca perutusan!”

Dengan gementar, dihulurnya tangan perlahan-lahan lalu mematikan aliran gas.  Pedih mata menahan asap hingga terbatuk-batuk. Fuh! Nasib baik rumah aku tak hangus sama.  Kalau tak, tidur surau malam ni, bisik hatinya kelegaan.

Berderai tawa si adik di hujung talian tambah menyakitkan hati. Ditekannya butang mati dengan kasar sambil membayangkan sedang menunjal kepala si Noi di kampung. Hah, padan muka kau!

Kuali panas diangkat ke singki. Malang tidak bertanda, minyak yang masih berasap terpercik pula ke tangan. Akibat terkejut bercampur perit, pegangan di kuali terlepas lalu  minyak yang direnangi dua ekor ikan kembung rentung mencemari lantai marmar putih. Spontan dia berundur ke belakang, bimbang kakinya menerima nasib serupa tetapi lompatannya tidak kena gaya. Maka, terlentanglah dia di dapur sempit itu dengan kepala terkunang-kunang akibat terhempas ke lantai. Sekoyong-koyang, suara umi terngiang-ngiang di telinga

“Ateh ni nanti, kawin dengan orang kaya! Ada bibik, ada orang gaji. Umi pun boleh tumpang senang”

Bagai terasa-rasa umi mengelus rambutnya, seperti waktu dulu. Saat umi memujuk rajuknya  kerana diejek untuk dijodohkan dengan Arip, budak gembala lembu. Tersedar semua itu sudah  15 tahun berlalu, dia bangun perlahan-lahan menghadapi kenyataan. Kepala yang terasa sengal digosok. Pandangannya terpaku di lantai, di bawah meja makan sebelum beralih ke dinding kabinet. Dia mengeluh lemah. Tumpahan minyak memang mencemarkan alam sekitar!

“Umiii…Tolong Ateh! Bilalah mulut umi nak jadi masin ni?” raungnya.

Perutusan dari adiknya sebentar tadi melintas di fikiran. N71nya dicapai lantas nombor mudah alih Noi ditekan. Sebaik saja adiknya itu menyebut ‘hello’, terus sahaja dia berteriak kuat.

“Noi! Encik Walid tak salah orang ke?”

“Entah! Tak lah, kot!”

Dia nekad kali ini kerana tidak mampu lagi memberi pelbagai alasan. Empat bulan lagi, dia bakal meyertai kelab 3 ‘series’. Semakin dia mengeraskan hati, semakin lentuk pujuk rayu umi. Tambahan lagi, seisi alam sudah maklum bahawa si dia itu pernah mencuit rasa dalam hatinya, bertahun lampau. ‘Handsome, kaya lagi!’

Di matanya sudah terbayang bibik yang mundar mandir di ruang dapur rumahnya nanti. Telinganya bagai terdengar-dengar panggilan ‘puan’ dari mulut pembantu rumahnya itu. Hujung minggu, bercuti makan angin ke Paris, Las Vegas. Sarapan di Hong Kong, tengaharinya sudah berada di Seoul. Dia tersengih melayan anganan.

‘Seronoknya jadi isteri orang kaya!’, bisiknya dalam hati. Tak payah susah-susah macam sekarang! Namun, kenyataan tetap perlu didepani. Mop dicapai. Lalu dua ekor ikan kembung yang sudah bertukar menjadi ikan kayu itupun dicampak ke tong sampah!

***

“Alif…Lam…Mimm,” Arip memulakan bacaannya.  Tok Malim senyum girang sambil mengangguk perlahan.  Gembira melihat peningkatan tersebut.  Tetapi, senyumnya tidak lama.  Terbeliak mata tok guru mengaji itu apabila mendengar suara-suara halus menyampuk dari tangga rumah.

“Arip…Lemm…buuu!” Diikuti ketawa tertahan-tahan.

“Siapa tu, hah? Nak kena sula?” Ayat lazim Tok Malim apabila marah. Seketika, bergemuruh hentakan kaki di tangga sebelum senyap sunyi. Arip pun menyambung semula bacaannya…

“Nok! Cepatlah sikit! Kau ni lembablah… Cepat! Nanti dia nampak!”

“Sabarlah… Hish, dia ni! Kalau nak cepat sangat, buat sendiri! Jangan suruh aku!” Bibir nipis Nok sudah memuncung panjang. Sakit hatinya digesa begitu rupa. Kerja sukarela, bukannya bergaji pun!

Kasut getah bersepuh lumpur dijinjit si Nok dengan hujung jari. Gelilah konon! Padahal warna selipar jepun yang tersarung di kakinya itu  lebih kurang sama sahaja. Terjingkit-jingkit dia menjauhi kaki tangga rumah Tok Malim. Di atas rumah, masih ramai yang belum habis mengaji. Oleh kerana hari ini mereka datang dan pulang awal, rancanganpun berjalan seperti yang direncana.

“Ehh… bukan yang tu! Yang ni… yang ni! Ini besar sikit, susah nak ambik nanti. Nok, letak kat sini!”

“Eh, janganlah oi! Yang tu memang besar tapi leper. Senang je nak ambik. Yang ni, hah! Tengok! Kan tebal ni!” Ada suara lain pula membantah.

Nok mula berang. Dilepasnya kasut getah ke tanah. Beg berisi muqaddam yang melurut, ditarik kasar ke bahu. Mukanya cemberut masam. Memang kepantangan baginya, diarah-diarah begitu begini.

“Hah Nok! Kau jangan nak mengelat, ye? Kali ini giliran kau. Tadi dah janji!” Kam, Tina dengan Ton, mula tidak berpuas hati. Giliran mereka bertiga tiada masalah. Sampai masa Nok beraksi, mulalah timbul macam-macam.

“Koranglah! Sekejap yang tu! Sekejap yang ni! Malas aku… kita tunda esok!” Boleh pula tunda-tunda!

“Kami tak kira! Kau kena buat hari ni! Esok kita nak buat yang lain…” Bantah Kam. Dua lagi jadi tukang angguk.

Nok merengus geram. Dikepit semula jarinya di hujung kasut getah. Perlahan-lahan diletakkan atas gumpalan tahi lembu, di tepi rumah Tok Malim. Bahan buangan itu masih baru, kerana waktu mereka sampai, ada sekumpulan lembu berkumpul di situ. Nok menekan sedikit kasut getah itu tetapi Tina bertindak lebih ekstrem. Dengan menggunakan ranting kayu, ditekannya kasut itu hingga terbenam, diikuti yang sebelah lagi. Teman berdua menabur bunga kertas di atasnya bak meraikan mempelai. Sekali pandang, tidak ubahnya bagai kek coklat berinti kasut!

Berderai ketawa mereka berempat tetapi terbantut dek bunyi berdeham Tok Malim dari atas rumah. Kelam kabut mereka bersembunyi di sebalik seperdu senduduk, bertentangan dengan kediaman tok guru mengaji mereka itu. Duduk berhimpitan di sana sambil beralaskan selipar masing-masing, menunggu saat mangsa keluar dan ‘menikmati’ hadiah dari mereka sebentar lagi.

“Abang, kau ada nampak kasut aku?”

Nok kerling Tina yang  terseringai sebelum melawan pandangan Ton. Badan Kam sudah mula bergegar menahan tawa. Ulas mata dibesarkan kerana mereka berempat tidak mahu ketinggalan walau sebabak pun adegan di depan mata. Siaran langsung tu!

“Cuba cari sebelah sana! Nanti aku cari kat bawah rumah. Ni mesti ada yang sorok ni!” Dan pastinya, dia boleh mengagak angkara siapa!

Si abang sudah menyusup ke bawah rumah. Tampak sukar benar membawa perut yang boroi. Tawa Nok sudah mula terletus tapi mulutnya cepat-cepat dicekup Tina. Telunjuk Ton tegak di tepi mulut sementara Kam pula menuding ke arah depan. Tengok sana! Kam guna bahasa isyarat menunjuk si adik yang semakin menghampiri sasaran. Dua tiga orang teman lain ikut meninjau di merata kawasan rumah. Empat dara sunti di sebalik perdu senduduk terasa jantung mereka seperti mahu terlompat keluar menantikan saat-saat itu. Teruja yang amat!

“Abanggg!”

Jeritan si adik itu mengejutkan abangnya. Spontan, dia berpaling. Mungkin terlupa ataupun mungkin tidak sengaja, dia menegakkan badan. Dan,

Kelekuk!

“Adoi! Tak guna punya gelegar! Sakit kepala aku!”

“Eh, ni apa yang bising-bising sangat ni, hah? Kawan awak ramai lagi nak mengaji ni… Janganlah bising!” Tok Malim bertempik dari beranda. Misai penunduknya yang melenting diurut-urut.

Kelam kabut si perut gendut keluar dari bawah rumah. Wajah Tok Malim ditentang dengan gementar tapi kebenaran perlu ditegakkan. Dari ekor mata, dia nampak adiknya sedang mengadap selonggok najis lembu di tepi rumah. ‘Apahal pulak tu?’, hatinya tertanya-tanya.

“Tok, kasut Arip hilang. Tak tau siapa sorok. Adul cari kat bawah rumah, terhantuk gelegar pulak. Sakit tok!” Adunya sambil menggosok-gosok kepala yang terasa perit.

“Siapa yang main sorok-sorok kasut ni, hah? Nak kena sula?” Tempik Tok Malim lagi. Misai yang berbelang putih turut bergerak-gerak.

Siapa berani hendak mengaku? Sedangkan yang tidak tahu apa-apa, sudah seperti ayam patah tengkuk, inikan pula ‘mereka’ yang punya kerja. Kecut urat perut macam limau terlebih busuk!

Tok Malim hanya mampu menggeleng kemudian masuk semula ke dalam rumah menghabiskan tugas. Adul rapat ke sisi Arip. Terkejutnya dia melihat ‘kek’ yang berhias cantik. Beberapa orang budak laki-laki turut hampir lalu pecah tawa dalam kumpulan itu. Adul melirik Arip di sisi. Cebikan si adik mengundang kasihan dalam hatinya lalu di kuis  kasut itu menggunakan sebatang ranting. Saat itulah dia terdengar bunyi ketawa dari rimbun senduduk. Perasaan berkocak marah, sangkaannya tadi mungkin ada benarnya. Diam-diam, dijolok  ranting kayu ke dalam kasut lalu menghampiri perdu senduduk yang galak bergoyang.

“Hoi!” Tempiknya. Kasut berlumur tahi lembu diangkat betul-betul di atas kepala anak dara sunti nan berempat.

Wah! Bukan main terkejut semuanya! Terus sahaja membuka langkah seribu mencari basikal mereka tanpa sempat menyarung selipar, hanya di sauk di lengan masing-masing. Geli geleman pun ada apabila membayangkan andai kasut tersebut menimpa muka. Dari jauh, mereka dengar Adul terjerit-jerit mengejar dari belakang. Kasut berlumur warna hijau masih terlekat di hujung ranting yang dipegangnya.

“Tunggu! Kurang ajar! Aku sumbat mulut korang dengan kasut ni!” Termengah-mengah dia mengekor. Tidak mampu menandingi kepantasan empat orang budak perempuan bertubuh kurus kering.

“Nok! Nok! Selipar kau cicir!” Laung Kam.

“Apa? Ahh… lantaklah!” Yang penting sekarang, selamatkan diri. Basikal disorong ke depan lalu dengan sekali lompat, dia sudah mendahului yang lain.

“Nok, selipar kau!” Ton pula menjerit bila terpandang Adul sudah menjinjit selipar Nok.

“Aku kata biar aje… lagipun bukan selipar aku,”

“Selipar siapa?”

“Umi aku!”

Hahahaha… ketawa mereka bersambung-sambung dari atas basikal.

ii

“Ateh, umi suruh kau balik bulan depan. Encik Walid tak mau tunggu lama-lama, takut kau belot lagi,”

Matanya yang hampir tertutup, kembali luas. Sakit benar rasa hati diganggu masa rehatnya. Lebih sakit lagi, bila si Noi masih tidak mahu belajar sivik. Angkat telefon, beri salam! Tak adalah buat orang mati terkejut! Rungutnya dalam hati.

“Tengoklah dulu! Ateh kerjalah, jadi kuli orang. Kalau bos kasi cuti, bolehlah. Kalau tak, macamana?” Mendatar suaranya melayan si Noi. Mata kembali layu. Minggu ini, masa kerjanya sebelah malam. Waktu siang begini, dia perlu mengecas tenaga.

“Ehhh… tak boleh. Kena balik jugak. Encik Walid nak temukan korang berdua,”

“Hah? Biar betul kau ni,”

“Laa… betullah! Encik Walid takut Ateh lari macam hari tu. Nak bagi Ateh puas hati. Nanti tak adalah komplen, hidung kembanglah! Mata besarlah! Telinga capanglah!”

Dia diam sahaja. Malas hendak menjawab. Mata kembali tertutup tetapi benaknya terbuka luas. Wajah ‘si dia’ menjelma di minda. Kemudian, membandingkan pula dengan wajah-wajah yang pernah diperkenalkan kepadanya oleh walid dan umi. Hidung dia, mancung. Hidung Jamal, kembang! Mata dia sepet, mata Talib terjojol luas. Telinga dia cantik tapi telinga Nabil capang! Ohh… jauhnya beza antara mereka, hatinya dianyam bahagia kerana wajah itulah yang bakal dia tatap setiap hari, nanti.

“Ateh, hidup lagi ke?”

“Kurang ajar, ye? Sukalah tu kalau aku mati!” Kata-katanya disambut kekehan Noi yang begitu menjengkelkan.

“Walid ada gambar terbaru dia. Nak tengok ke?”

Kali ini, matanya terbuka luas. Segala urat, sendi dan otot di dalam badan terasa hidup. Spontan dia bangun dari pembaringan. Hatinya berdendang lagu bahagia. Jantungnya berkompang lagu pengantin baru!

“Nak… nak… nak! Nak tengok sangat,” Dia dengar adiknya di sana berdengus kasar.

“Gatal!” Jerkah Noi.

Terletus ketawa dari ulas bibirnya. Sempat lagi membayangkan wajah Noi yang kelat umpama salak muda. Bimbang adiknya itu berjauh hati, ketawanya dipendekkan sahaja. Dia khuatir kerugian kerana tidak dapat menatap wajah terkini bakal tunangnya itu. Nafasnya dihela panjang.

“Tapi, macamana walid dapat gambar dia pulak?”

“Eh… dia datang rumahlah. Penuh dalam telefon walid tu, gambar dia aje…”

Si dia datang? Bukankah dia di New Zealand sekarang ni? Pulang bercutikah? Hatinya mengembang dengan rasa bangga. Begitu bermaknakah dirinya itu? Sekadar rombongan merisik, cukup hanya keluarga yang hadir tetapi dia sudi ikut bersama. Bukankah itu tandanya dirinya dihargai? Ohh… hati melonjak girang. Tidak sabar menunggu sebulan lagi.

“Tapi orang peliklah. Macam tu punya handsome, kenapa tak kawin lagi? Mustahil tak ada orang nak! Kalau Ateh tu, orang fahamlah…”

“Eh, kenapa dengan Ateh pulak?”

“Ateh tu kan, buruk! Hodoh! Memanglah tak laku, tak ada orang hendak!” Ketawa Noi terdengar sayup-sayup sebelum talian terputus.

Haprak punya adik!

***

Malang betul nasib mereka hari ini. Sudahlah didenda kerana tidak menyiapkan kerja rumah, basikal Kam pula pancit. Terdorong oleh rasa persahabatan yang kental, Kam dibenarkan membonceng di belakang Nok. Sambil mengayuh perlahan-lahan, tiada lain yang dibincangkan kecuali pembalasan!

“Memang nak kena si Roi tu! Mentang-mentang dia pengawas! Suka hati dia aje nak tulis nama orang. Lewat 2 minit pun tak boleh!”

Nok terpinga-pinga, mindanya mula menganalisa. Roi mana pulak ni? Seingatnya, tiada pengawas bernama Roi di sekolah!

“Ada pengawas baru ke? Aku tak kenalpun pengawas nama Roi tu?”

“Hish, kau ni. Roi tu si boroi Adul  tulah, siapa lagi!” Ton mencebir. Tina dan Kam mengekeh gelihati mendengar panggilan manja tersebut. Memang kena betul dengan tuannya!

“Kau pun kena, Ton? Aku ingatkan, aku seorang je jadi mangsa dia,” Nok meniru tingkah Ton, mencebir panjang. Meluat betul bila ingat muka si Adul boroi. Rasa hendak belah saja perut besar tu! Gantikan dengan hati dan perut yang baru. Yang sekarang ni, busuk! Tak boleh pakai!

“Kami berdua pun kena! Ingat tak aku keluar dengan Tina pergi tandas tadi? Dia kata kami berdua ponteng kelas! Tak guna punya Adul!” Kam menumbuk udara.

Terjerit Nok memarahinya kerana basikal bergoyang kuat dan sukar dikawal. Tapi, Kam masih lagi di bawah pengaruh rasa sakit hati yang melampau pada Adul. Kali ini, kakinya pula bergerak laju lalu tersepak belakang lutut Nok. Tergolek kedua-duanya ke tanah bersama jeritan nyaring dari Nok.

“Kau turun dari basikal aku, sekarang!” Lurus telunjuknya menghalau.

“Habis, aku nak naik basikal siapa?” Kam pandang Tina. Tapi bagi Tina, langit yang membiru lebih cantik untuk dipandang berbanding muka temannya itu.

“Tonnn…” Rayu Kam sambil menunjuk muka kasihan. Ton yang lebih lembut hatinya berbanding yang lain, angguk kepala laju. Rambut tocang duanya bergoyang-goyang. Kam tidak tunggu lima saat pun. Terus sahaja bertenggek di belakang Ton. Pergerakannya dihadkan. Bimbang dihalau buat kali kedua!

“Macam ni tak boleh jadi! Kita mesti kenakan dia semula. Si Arip pun berlagak betul! Mentang-mentang cikgu asyik puji dia, nak menunjuk dengan kita. Kalau dia bagi kita pinjam buku latihan dia tadi, tentu kita tak kena denda. Tak adalah balik lewat macam ni. Kedekut!” Kutuk si Tina.

“Alah… Dia tu berani sebab ada abang dia aje… Cuba kalau sorang? Nak angkat muka pun tak berani! Tak apa… tahun depan si boroi tu dah masuk tingkatan satu. Hah, tahulah nasib dia nanti!”

Keempat-empatnya tersengih lebar. Lagi lima bulan, mereka akan melangkah ke darjah lima. Tidak sabar rasanya menanti detik Si Arip melutut di hadapan mereka bila tiadanya Adul sebagai pelindung. Budak gembala lembu itu memang pandai bermuka-muka! Kalau depan cikgu, dialah yang paling baik, paling bijak. Jalanpun tertunduk-tunduk. Tapi, bila ada abangnya di sisi, perangai sebenarnya mula terdedah.  Walaupun tindakannya tidak seganas Adul namun mereka tetap tidak sukakannya yang dirasakan pembantu kanan abangnya itu.

“Cepatlah sikit oi! Nanti lambat pergi mengaji, tak jadi pulak rancangan kita. Aku tak sabar nak balas dendam pada Adul,”

Nok mempercepatkan kayuhan. Dibiarkannya teman bertiga tertinggal di belakang. Sakit hati pada budak lelaki 12 tahun itu, payah dihilangkan. Tidak pasal-pasal dia didenda mencabut rumput di padang pagi tadi. Pinggangnya rasa hendak patah.  Kalau padang sebesar gelanggang bola jaring, tidaklah dihairankan sangat. Ini, padang bola! Dendamnya berbungkal di dalam hati.

“Tunggulah Nok! Kalau ia pun, janganlah laju sangat! Kam ni berat, tau tak?” Teriak Ton tapi Nok tetap menonong ke depan.

Tina cuba menyaingi temannya itu. Ton masih termengah-mengah mengayuh kerana terlebih muatan. Sebelah pagi, mereka ke sekolah berasingan kerana ada yang pergi bersama kakak atau abang masing-masing. Ketika pulang baharulah mereka berbasikal bersama sementara abang dan kakak mereka menghadiri kelas tambahan di sekolah.

“Nok, kau datang lewat pagi tadi?”

“Tak!”

“Habis, kenapa Adul tulis nama kau?”

“Entah, dia kata aku tak berdisiplin. Tak pakai lencana sekolah!”

Tina mengerling baju seragam Nok. Apa yang tak kena? Bukankah ada lencana di baju Nok itu? Adul sengaja nak buat khianat ke? Dahinya berkerut hairan. Bila diamatinya, ternyata ada sedikit kelainan pada Nok hari ini, tapi apa?

“Nok, kau pakai baju baru ke? Nampak besar sikitlah!” Nampaknya Ton ikut menyedari kelainan tersebut.

“Taklah! Baju aku basah. Aku pakailah baju kakak aku!”

“Kakak kau yang sekolah menengah tu?”

Nok mengangguk. Kam dengan Ton sudah ketawa lepas. Terbayang-bayang tubuh gempal Kak Wok yang belajar di tingkatan satu. Tina ternganga. Lencana di baju Nok dijelingnya semula.

Laaa… Patutlah!

iii

“Boleh cakap dengan cik Norkiah?”

“Ya, sayalah tu. Siapa ni?” Hairan betul dia. Sebelum ini, tiada siapa yang menghubungi bertanyakan nama penuhnya. Nama yang umi pilih kerana tertarik dengan filem Masam Masam Manis lakunan Tan Sri P. Ramlee. Akauntan tempat kerjapun, memanggilnya Kiah. Sejak bekerja, nama Nok seolah-olah sudah berkubur. Kadang-kadang , dia rasa rindu hendak mendengar panggilan itu semula.

“Nok! Ni akulah… Rindunya aku kat kau!”

Ya Tuhan! Siapakah yang mendengar jeritan batinnya itu? Beberapa potong nama yang sudah lama sirna, melintas kembali di benak. Ton? Tina? Kam? Tak mungkin! Kepalanya tergeleng perlahan. Hubungan mereka berempat sudah lama terputus. Tuhan saja yang tahu, betapa dia merindukan saat-saat lalu. Sebaik sahaja tamat sekolah, masing-masing keluar dari kampung mencari penghidupan baru. Sejak itu mereka jarang berjumpa, hanya sesekali bila pulang beraya. Kali terakhir bertemu, di hari bahagia Kam lima tahun lalu!

“Nok! Ini akulah… Tina!”

“Tinaaa! Betul ke ni Tina?” Terharu sungguh rasanya, langsung tidak menyangka dihubungi teman lama. Antara mereka berempat, Tina yang paling awal mengakhiri zaman dara. Pasangannya pun, kawan sekolah mereka juga cuma berlainan tingkatan. Terbayang-bayang wajah manis Tina yang bujur sireh, dagu berbelah sehingga menambat hati Azhar, abang angkatnya dari tingkatan lima. Dia tersengih sendiri.

“Nok… aku ada kat kampung. Due aku dah dekat, anak kedua. Noi yang bagi nombor kau ni. Tak sangka, akhirnya kau jadi juga dengan dia,” Ada nada sebak pada suara Tina. Dia menghela nafas dalam-dalam.

“Aku pun tak percaya, dia masih sudi tunggu aku. Ye la kan, kat luar negeri tu ada ramai lagi yang dia boleh pilih,”

“Dia belajar kat luar negeri ke? Aku tak tahu pun. Tapi tulah, orang tua ada cakap. Jangan benci sangat, nanti jadi suka!”

Dia mula berkerut hairan. Bila waktunya dia membenci? Zaman nakal sekolah rendah? Itupun nak kira jugak ke? Tina dah salah orang ni, fikirnya.

“Kau cakap pasal siapa ni, Tina? Bila masa pulak kami ni saling membenci?”

“Laa… aku cakap pasal kau lah, dengan si gembala lembu tu! Arip… lemmm… buuu!”

Hah? Batu besarkah yang menghempap kepalanya kini? Tidakkk!

***

“Eh Arip! Siapa yang datang rumah Tok Malim dengan kau semalam, hah? Aku tak pernah tengok pun! Sedara kau ke?”

Nok rapat ke meja Arip. Temannya yang bertiga berdiri di belakangnya, tidak ubah bagaikan panglima melindungi sang ratu. Arip terkebil-kebil melihat mereka sebelum membuang pandang. Malas hendak melayan samseng Kampung Dusun!

“Arip, kau dengar tak Nok tanya?” Kam pula menyoal siasat. Geram juga rasanya melihat tingkah selamba si Arip.

“Ingat aku pekak ke?” Suara Arip garau dan dalam. Tidak kena dengan badannya yang kurus tinggi.

“Kalau tak pekak, jawablah. Nama aje bijak tapi itupun nak kena ajar!” Basuh Kam lagi. Nok sengih. Ton dan Tina hanya membisu. Diserahkan bulat-bulat kepada teman berdua.  Tambahan lagi, Nok yang beria-ia benar mahu menyiasat.  Mereka berdua hanya bertindak mengikut arahan!

Arip menjeling Kam yang membuntangkan mata. Rimas rasanya melayan karenah anak dara berempat itu. Tetapi apakan daya, mereka sekelas. Mahu atau tidak, terpaksalah juga dia menghadapinya. Semenjak dari sekolah rendah hinggalah sudah boleh jadi emak orang, perangai nakal tidak surut-surut. Paling menghairankan, hanya dia yang sering jadi mangsa berbanding teman-teman lain. Lebih-lebih lagi, selepas Adul melangkah ke sekolah asrama penuh. Tinggallah dia menghadapi kaki buli berempat itu!

Bukan dia tidak pernah melawan tetapi balasan yang akan dia terima lebih teruk lagi. Pernah sekali dia meletakkan seekor katak puru dalam kasut Nok semasa mengaji, gara-gara selipar jepunnya dicampak anak dara itu ke atas bumbung rumah Tok Malim. Keesokannya, dia menerima penghantaran istimewa berupa sekotak katak pelbagai saiz. Terjerit-jerit emak melatah akibat geli geleman melihat katak berlompatan di ruang tamu. Terbakar sungguh hatinya!

“Itu Adul, abang aku!” Akhirnya Arip mengalah. Terbelalak empat pasang mata di hadapannya itu.

“Adul? Eh, bukan dia boroi ke? Kau jangan nak tipu kami!” Tina mengancam. Tiba-tiba terasa mahu masuk campur. Macam tidak percaya dengan kata Arip. Adul yang mereka kenal berperut boroi, dagu berlapis. Tapi semalam… alamak! Kacak sungguh!

“Kau nak percaya ke tidak, aku peduli apa!” Arip mula mengangkat punggung, mahu pergi dari situ tetapi langkahnya ditahan Nok. Senyum gadis itu nampak lain macam. Nok menapak hampir dengannya dengan muka comel sambil mata dikelip-kelip berulang kali. Tidak ubah macam si Tompok, kucingnya yang manja. Berderau darah Arip naik ke kepala! Dadanya rasa mahu meletup!

“Ariipp… cakaplah betul-betul. Siapa semalam tu?”

“Adul, abang aku! Dia balik cuti, kena sakit mata. Kau jangan dekat dengan dia, nanti kau pulak kena jangkit!” Amaran itu dibuat kerana dia tidak mahu empat dara itu mengganggu abangnya pula. Cukuplah yang sudah-sudah!

“Jadi, betullah tu Adul? Tak sangkanya! Kalau macam tu, aku lantik kau jadi posmen aku. Hari ni, aku nak kirim salam je. Esok, aku nak kirim surat pulak, boleh?” Nok sengih lebar. Tiga lagi jadi pom pom girl. Bersorak-sorai tanda sokongan tidak berbelah bahagi.

Arip terpinga-pinga. Jangkaannya meleset. Dan, sejak hari itu bahunya semakin senget memikul tanggungjawab. Menyampaikan salam beserta surat cinta beraroma bedak bayi. Dan paling penting, mengarang surat balasan bagi pihak Adul. Sudahnya, dia sendiri terasa hanyut oleh perasaan terhadap Nok… tanpa diketahui sesiapa. Lebih-lebih lagi, anak gadis itu yang menyangka perasaannya terluah kepada orang yang sepatutnya.

“Korang jangan ganggu Arip lagi! Dia dah baik sekarang,”

“Eleh… dia baik dengan kau aje. Dengan kami, sama jugak. Kedekut! Tangkai jering!” Bentak Kam suatu hari, bila dia merancang hendak mengenakan bakal ‘adik ipar’ Nok itu.

“Apalah bengap sangat? Kalau dia baik dengan aku, korang pun dapat untung sama. Nah, buku aku! Baru kejap aku salin jawapan dari Arip!” Nok mengibar buku tulis sambil terseringai. Pandai betul ambil kesempatan! Sambil menyelam, sambil minum air!

Kam, Ton serta Tina bertepuk tampar kegirangan. Bagai tikus jatuh ke beras!

iv

“Umii… kenapa Arip pulak? Bukan Adul ke?”

Dia tidak tunggu sesaat pun, apatah lagi sebulan untuk bertanyakan tentang hal tersebut. Kali ini, masalahnya bukan lagi tentang hidung, mata atau telinga tapi status gembala yang disandang Arip. Sejak dulu, kini dan selamanya. Wajah Adul yang kacak melambai-lambai di ruang mata. Impiannya berkecai! Paris, Las Vegas, Hong Kong dan Korea makin jauh dari jangkauan. Yang ada hanya padang tempat lembu meragut rumput!

“Adul? Eh, yang datang minta Ateh ni, Arip. Dengarnya, Adul ada kat New Zealand. Arip pun apa kurangnya. Ateh dah tengok gambar Noi hantar tu?”

Panjang sedepa bibirnya. Gambar? Huh, dah lama dia padamkan. Bahkan sebelum sempat dijamah pandangan mata. Tidak sanggup menelek tubuh kurus kering si Arip. Agaknya, setiap hari mengadap lembu, selera Arip pada nasi pun sudah hilang. Entah-entah, Arip makan rumput! Hatinya berbisik jahat.

“Alaa… umi. Ateh tak naklah! Umi cakap dengan walid, ye? Ateh tak suka!” Rengeknya lagi. Airmata sudah semakin berat di pinggir kelopak. Terbayang kembali wajah Arip yang suka berlindung di belakang abangnya Adul. Teringat semula sifat kedekut lelaki itu ketika di alam persekolahan. Oh Tuhan, bukankah anak-anak bakal mewarisi sifat orang tuanya? Dia impikan zuriat yang berani dan baik hati! Bukannya penakut dan tangkai jering!

“Jangan buat hal! Walid dengan umi dah setuju. Ateh pun tak bantah hari tu! Atok pun dah tahu. Sebab tu umi suruh balik! Kenapa Ateh tak balik?” Bebel umi. Dia diam tidak menjawab. Memang salah sendiri!

“Ateh ingatkan Adul…”

“Lagi-lagi Adul! Apa lebihnya Adul dari Arip?”

“Adul pandai, kaya…”

“Arip pun bijak. Dia lulus universiti jugak. Lagi kaya dari Adul, tau? Lembu dia tu dah eksport sampai luar negeri!” pintas umi panjang lebar membuatkan dia terpinga-pinga seketika. Agak terkejut dengan berita yang baru diketahuinya itu. Otaknya diperah lagi, mencari fakta untuk melenyapkan impian umi bermenantukan si kurus tersebut.

“Tapi, Adul duduk New Zealand. Arip tu langsung tak ke mana-mana. Otakpun tak berkembang. Macam katak bawah tempurung!”

“Eh… Si Arip tu tak suka membazir! Kumpul duit, nak besarkan ternakan lembu dia tu! Esok, bila dah kawin, dia bawaklah kamu ke mana-mana yang kamu nak pergi. Lagipun, New Zealand dengan kampung kita ni, tak ada beza pun!” Umi sudah menukar panggilan untuknya sebagai petanda ribut kecil sedang berpusar di dalam tubuh uminya itu.

Umi ni macam tahu-tahu saja, gerutunya dalam hati. Kalau sudah berkenan, semuanya elok! New Zealand dengan Kampung Dusun pun sudah tak nampak beza!

“Banyak beza umi. New Zealand kan sejuk…”

“Sejuk? Felda New Zealand tu, sejuk ke? Rasanya, sama aje dengan Kampung Dusun ni!”

Kenyataan umi itu membuatkan dia hampir pitam. Kepalanya berdenyut keras. Fikirannya dipenuhi gambaran pemuda kurus kering yang pernah dilantik menjadi posmennya suatu ketika dulu. Hidungnya terbau-bau hamis daging lembu. Lebih dramatik, ingatannya terseret kepada ‘kek berinti kasut’ yang pernah menjadi hadiah istimewa buat Arip!

***
“Arip, nanti kau kena panggil aku, kakak. Sebab masa tu, aku dah jadi kakak ipar kau!” Nok mengilai gelihati. Cikgu tiada di kelas, inilah masa yang sesuai untuk mengusik. Seronok pula membayangkan Arip memanggilnya kakak. Ton, Tina dan Kam hanya tersengih, menumpang seronok.

“Tak ingin aku! Jangan nak berangan!” Marah Arip. Kalau sungguh Adul berjodoh dengan Nok, tidak mungkin dia mahu memanggil gadis itu dengan panggilan kakak. Lebih baik kalau dia langsung tak bercakap!

Nok berkerut hairan. Arip mahu berkurang ajarkah? Walaupun dia maklum mereka seusia, pangkat tetap diutamakan. Wajah Arip direnungnya, lama. Tidak sedar, dia menilai penampilan anak muda itu dalam diam. Kalau dilihat dari segi rupa, kedua-duanya setara cuma Arip kurus tinggi berbanding Adul yang dulunya boroi, sekarang sudah tegap badannya. Suara Arip garau dan dalam. Ada waktunya, suara itu mampu membuatkan romanya meriding terutama apabila Arip berbisik ke telinga Nok tentang rahsia dari Adul. Lengan Arip kekar, urat lengannya kelihatan timbul. Mungkin kerana kerja mengembala yang dilakukannya selepas tamat sesi persekolahan.

“Nok! Kau menung apa tu?” Jerkah Kam membuatkan Nok tersentak. Dadanya diurut perlahan-lahan, bagi mengurangkan rasa terkejut. eman bertiga yang tersengih-sengih dijelingnya, tajam.

“Nok teringat Adul tu!”

Arip mengerling sekilas. Mahu melihat perubahan air muka Nok tetapi anak gadis itu diam sahaja. Nok angkat muka, mengilas pandangan ke arah Arip sekali lagi namun pandangan mereka bertembung. Kali ini, Nok bertahan dan Arip pula melawan. Entah bila, teman yang bertiga pergi dari situ, kedua-duanya tidak pasti.

“Aku tak rasa yang aku kena panggil kau kakak,” Arip bersuara perlahan. Nok terpinga-pinga. Kurang memahami ungkapan tersebut. Senyuman Arip tersembunyi maksud tersirat yang sukar ditebaknya.

“Aku yakin sangat, kau yang kena panggil aku abang, nanti!” Senyuman Arip semakin melebar membuatkan jantung Nok bertukar rentak!

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 31 other followers